You are on page 1of 4

Ketika baru mendapat soalan tugasan projek bagi mata kursus Kokurikulum Olahraga (WAJ 3112) iaitu mengelola

a Kejohanan Balapan dan Padang (KBP), saya tertanya-tanya mampukah saya mengelola kejohanan sedemikian penting dengan jayanya? Mengapa saya perlu mengelola kejohanan yang sedemikian? Apakah kesan pelaksanaan tersebut kepada saya sebagai seorang bakal guru? Saya agak keliru pada mulanya. Walau bagaimanapun, saya berfikir kembali. Kalau tidak penting masakan saya bersama rakan Ambilan PISMP Jun 2011 diarahkan untuk merancang dan mengelolakan kejohanan tersebut. Bagi tugasan pelaksanaan program ini, kumpulan akademik saya telah mendapat jawatan kuasa penyelarasan KBP bahagian jawatankuasa kecil Perasmian Pembukaan, Persembahan dan Teknikal. Pada pandangan saya, jawatankuasa kecil Perasmian Pembukaan sesuatu perkara yang sukar untuk dipertanggungjawabkan apatah lagi saya tidak mempunyai pengalaman dalam mengelola kejohanan yang sedemikian. Walau bagaimanapun, setelah beberapa kali bertanya dan berbincang dengan pensyarah pembimbing iaitu Encik Mat Salleh Bin Mohamad Zain, barulah saya faham bahawa pelaksanaan sebagai

jawatankuasa kecil perasmian pembukaan adalah sesuatu yang mudah dan tidak sesukar yang dijangkakan asalkan saya merancang dan mempunyai kerjasama dari rakan sejawat dengan baik. Oleh yang demikian, bagi melancarkan pelaksaan tugasan yang diberikan, saya telah membuat senarai semak bagi memastikan setiap perancangan, permasalahan dan persoalan dapat diatasi satu persatu. Sebenarnya, jawatan saya dalam jawatankuasa perasmian bukanlah sebagai seorang pengerusi, namun oleh sebab pengerusi bagi jawatan tersebut mempunyai komitmen dalam jawatan kuasa yang lain maka saya selaku penolong pengerusi jawatankuasa perasmian bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran pelaksanaan tugasan tersebut. Oleh itu, tindakan pertama saya adalah dengan menyenaraikan kesemua bidang tugas dalam jawatan kuasa perasmian tersebut. Semasa menjalani tugasan ini, saya banyak membuat kolaborasi dengan pensyarah berkenaan dengan perasmian yang dirancang untuk dilakukan. Hal ini demikian kerana saya tidak mempunyai sebarang input mahupun pengalaman dalam mengelola bahagian tersebut. Melalui kolaborasi yang terjadi antara saya

dengan pensyarah, maka saya dapat memahami dengan jelas akan peranan yang bakal saya dan rakan sejawat laksanakan. Malah, sepanjang kolaborasi tersebut saya tidak melepaskan peluang untuk mencari jalan penyelesaian yang timbul, memaklumkan perancangan yang telah dirancang, serta menjawab setiap persoalan yang timbul bagi melaksanakan bahagian perasmian. Hal ini demikian secara tidak langsung menyedarkan saya akan betapa pentingnya senarai semak tersebut di samping kolaborasi yang baik dengan pensyarah. Di sinilah saya sedar bahawa perancangan dalam setiap tingkah laku itu penting. Setelah saya, menyempurnakan tugasan berpandukan senarai semak tersebut, saya telah membahagikan kerja kepada rakan kumpulan mengikut kategori yang ditetapkan agar memudahkan dan meringankan kerja jawatan kuasa perasmian. Saya bersyukur kerana rakan saya memberikan kerjasama yang baik dalam pelaksanaan tugasan yang diberi malah begitu komited dalam tugasan yang diberi. Hal ini membuatkan saya sedar bahawa tanpa semangat kerjasama tersebut maka tidak mustahil bahawa peranan sebagai ketua akan bertambah terbeban. Oleh itu, saya berpendapat agar sentiasa aktif dalam memikirkan masalah yang dihadapi di samping komited untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi. Selepas pembahagian tugasan tersebut, dari sehari ke sehari saya sentiasa memantau akan perkembangan dalam pelaksanaan tugasan tersebut. Saya cuba untuk memastikan bahawa perkembangan dalam melaksanakan tugasan sebagai jawatan kuasa perasmian berjalan dengan lancar. Kini barulah saya sedar, dalam mengelolakan sesebuah kejohanan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi melibatkan sekumpulan masyarakat yang ramai di samping perlu memastikan kesemuanya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Melalui pengalaman tersebut, saya berharap agar pengalaman dalam mengelola sesebuah program atau kejohanan mampu diaplikasikan dan memberikan saya gambaran terhadap perancangan dalam mengelola program di masa akan datang. Pada pendapat saya, pengalaman dalam pengelolaan amatlah penting agar saya mampu bersedia dan mengambil pengajaran dari pengalaman ini untuk memastikan pengelolaan saya yang seterusnya bertambah baik. Selain itu, saya terkilan dengan sikap segelintir ahli jawatankuasa kecil yang lain bagi KBP ini, yang mana telah mempertikaikan peranan saya dan rakan sejawat

selaku jawatan kuasa perasmian yang dianggap mudah dan remeh. Pada pendapat saya, tanggapan negatif sedemikian tidak seharusnya terjadi. Hal ini demikian kerana mereka tidak merasai untuk berada disituasi saya dan rakan saya yang lain. Apatah lagi, saya dan rakan turut memainkan peranan sebagai jawatan kuasa persembahan dan teknikal, yang mana turut perlu dilaksanakan. Saya begitu terkilan apabila segelintir AJK dari kumpulan lain menyuruh antara rakan saya untuk membuat kerja mereka sedangkan itu diluar tanggungjawab kami di samping memberi alasan bahawa ahli dalam kumpulan kami ramai dan mereka sedikit. Saya berasa agak marah kerana alasan tersebut tidak munasabah. Hal ini demikian kerana ahli kumpulan saya ramai disebabkan oleh kesemua ahli saya turun padang sedangkan ahli AJK bagi kumpulan tersebut hanya segelintir yang turun. Oleh itu, saya merasakan bahawa tingkah laku mempertikaikan peranan jawatan kuasa yang lain itu adalah tidak wajar dan harus dielakkan. Walau bagaimanapun, itulah cabaran yang perlu dihadapi dalam alam realiti. Saya berharap melalui pemikiran positif terhadap setiap perkara yang terjadi mampu menjadi proses meneutralkan kembali segala perasaan negatif yang menyelubungi pengalaman tersebut sekali gus diharap berjaya mengubah tingkah laku dan tindakan saya di masa akan datang terutamanya ketika menjadi guru kelak. Saya berpendapat kerjasama dari ahli memainkan peranan yang penting. Ketika hari raptai tersebut, saya bersama rakan telah bertungkus lumus dalam menyempurnakan setiap yang telah dirancang. Malah saya sendiri telah memantau dari Astaka untuk melihat kelancaran perancangan dalam raptai tersebut. Saya begitu berdebar-debar untuk melihat hasil perancangan bagi perasmian pembukaan. Di samping itu, saya sentiasa memastikan bahawa setiap ahli kumpulan saya memahami cara untuk melaksanakan perancangan tersebut. Saya agak sedikit tertekan apabila ada seorang pensyarah yang sering memberi nasihat negatif kepada saya terhadap perjalanan perasmian pembukaan tersebut sepanjang raptai itu berlangsung malah mempertikaikan perkara yang telah AJK saya rancangkan. Bagi saya, pensyarah tersebut seolah-olah beranggapan bahawa saya pernah mengelola perasmian yang sedemikian dan tidak harus membuat kesilapan. Oleh itu, saya sentiasa bersabar dengan karenah pensyarah yang sedemikian. Saya turut bertanya kepada pensyarah yang lain berkenaan dengan

pendapat mereka mengenai perancangan perasmian pembukaan yang telah diadakan pada hari raptai tersebut. Saya bersyukur dan terpujuk hati apabila majoriti pensyarah tersebut berpuas hati dan menyatakan kekaguman terhadapan kelancaran perasmian pembukaan tersebut kerana kumpulan saya mampu mengelola dengan baik walaupun pertama kali melakukan tugasan tersebut. Pada hari Kejohanan Balapan dan Padang, saya berasa cukup berbangga dengan hasil perancangan perasmian saya tersebut. Akhirnya, segala teka-teki saya terhadap kemampuan saya berjaya dijawab dan hasilnya saya mampu mengelola program yang sedemikian melalui kerjasama dan perancangan yang telah dibuat. Pada pendapat saya, setelah melaksanakan tugasan ini, keseluruhannya, penglibatan aktif mampu menghasilkan integrasi antara pemahaman baru dengan pengalaman yang telah dilalui. Hal ini juga amat perlu diterapkan kepada bakal guru seperti saya kerana pengalaman dan pemahaman baru tersebut adalah kunci dan elemen yang penting bagi saya yang baru mula untuk mengenali dunia pengelolaan program. Kesimpulannya, pengelolaan kejohanan ini memberi pelbagai pengalaman yang berharga kepada saya sama ada dari aspek fizikal, kognitif, rohani, intelek dan sosial. Saya berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sepanjang bergelar pelajar guru. Di samping itu, saya berharap agar melalui kefahaman ini, maka saya dapat mengelola kejohanan atau program dengan berkualiti serta mampu menjayakan kejohanan tersebut. Selain itu, melalui pembacaan serta pemahaman yang diperolehi dari tugasan ini, saya berharap agar input tersebut dapat saya sebarkan serta dipraktikkan ketika menjadi guru kelak. Hal ini demikian kerana saya tidak mahu ilmu yang diperolehi menjadi sia-sia. Di samping itu, saya berharap agar setiap perkara baik yang datang berpunca dari tugasan ini dapat saya terus amalkan manakala perkara buruk dan menjadi kekurangan dalam tugasan ini dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Hal ini demikian saya percaya bahawa setiap yang baik datang dari Allah dan setiap yang buruk datangnya dari diri saya sendiri. Sekian, terima kasih.

You might also like