You are on page 1of 17

KURIKULUM SEJARAH KE ARAH PEMBENTUKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA Ahamad bin Rahim

IPG Kuala Terengganu

Azwani bin Ismail


Bahagian Sumber Manusia MARA

Dr Abdul Razaq bin Ahmad


Universiti Kebangsaan Malaysia

Prof Madya Dr Datin Zahara binti Aziz


Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr Sharifah Nur Puteh


Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia sama ada oleh pihak kerajaan ataupun badan-badan bukan kerajaan. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan peranan pendidikan Sejarah di sekolah menengah bagi membantu meningkatkan usaha yang ada ke arah mempertingkatkan tahap integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang dianggap relevan dalam menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum dalam masyarakat multietnik di negara ini. Kertas kerja ini meninjau dari aspek permasalahan dalam pendidikan Sejarah dan mencadangkan beberapa langkah yang sesuai bagi menjadikan mata pelajaran Sejarah mampu menerapkan nilai-nilai yang berkaitan dengan hubungan kaum dari aspek kandungan, penerapan nilai dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya kertas kerja ini juga mencadangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan di sekolah dan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memantapkan aplikasi pendidikan Sejarah ke arah mencapai matlamat pendidikan Sejarah dalam membentuk sikap toleransi, patriotisme, kewarganegaraan dan nilai-nilai murni ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu selari dengan konsep 1 Malaysia. Kata Kunci : Kurikulum, Pendidikan Sejarah, Integrasi Kaum

PENGENALAN Konteks Masyarakat Majmuk di Malaysia Furnivall (1965) mengatakan masyarakat majmuk merujuk kepada penduduk pelbagai kaum yang tinggal di suatu kawasan tetapi mengamalkan kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Beliau menjelaskan masyarakat Malaysia sering ditakrifkan sebagai masyarakat majmuk dengan komuniti Melayu, Cina dan India yang hidup sebelah-menyebelah tetapi berbeza dari segi kepercayaan, budaya dan bahasa. Walaupun mereka hidup sebelah-menyebelah tetapi mereka terpisah dari segi perbezaan bahasa, budaya dan kepercayaan. Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan agama. Mengikut Jabatan Perangkaan Negara (2006), komposisi jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai 26.64 juta orang. Daripada jumlah tersebut, 24.8 juta orang merupakan warganegara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum Melayu mewakili 54% daripada populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera selain daripada Melayu seramai 2.93 juta orang yang mewakili 11.8%. Oleh itu, kaum Bumiputera mewakili 65.8% daripada jumlah keseluruhan warganegara Malaysia. Kira-kira 25% daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang, 7.5% terdiri daripada kaum India seramai 1.86 juta orang, manakala kaum lain pula mewakili 1.7% iaitu seramai 318.9 ribu orang. Masyarakat yang pelbagai etnik ini hidup dengan aman dan mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing secara bebas dan saling menghormati antara satu sama lain. Menurut Faridah et al. (2008) hubungan etnik yang merujuk kepada interaksi antara etnik yang berbeza (interetnik) atau interaksi dalam kumpulan etnik yang sama (intraetnik), kepelbagaian kelompok etnik di Malaysia telah diterima oeh semua rakyat dan ini merupakan sumber kekuatan perpaduan di Malaysia. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia bermula dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di Malaysia. Kontrak sosial adalah satu persetujuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa

pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setia kawan serta perkongsian kuasa yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan. (Anuar dan Nur Atiqah, 2008). Jika dilihat dari data yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan Negara (2006), maka tidak hairanlah isu perpaduan kaum menjadi suatu agenda yang diberi perhatian serius oleh kerajaan. Kepelbagaian ini seharusnya diurus dengan baik kerana kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali, ekoran sifat masyarakat yang heterogen. (Azwani & Zahara, 2009). Oleh yang demikian, perpaduan menjadi perkara utama bagi sesuatu dasar, pelan dan perancangan yang dibentuk oleh kerajaan. LATAR BELAKANG KURIKULUM SEJARAH DI MALAYSIA

Pendidikan zaman penjajahan British mencerminkan kepentingan penjajah. Ini jelas digambarkan melalui mata pelajaran Sejarah yang dijadikan saluran propaganda British yang amat berkesan. British memperkenalkan kurikulum Sejarah yang berbeza-beza antara sekolah aliran British dan sekolah aliran Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil pula menggunakan kurikulum Sejarah dari negara China dan India. Sejarah British diberi tempat yang penting dalam kurikulum Sejarah (Khoo Kay Kim, 1992). Ini diakui oleh Abdul Razaq (2007) yang menjelaskan kurikulum Sejarah lebih menceritakan latar belakang masyarakat Eropah ataupun sejarah England itu sendiri. Bagi Jamaliah (2005), sebenarnya inilah yang menyebabkan wujudnya jurang dalam pendidikan sejarah antara murid sekolah aliran Inggeris, Cina dan Tamil. Hal ini mengakibatkan identiti dan nilai kerjasama tidak wujud dalam kalangan masyarakat ketika itu. Pada peringkat awal pendidikan Sejarah yang diperkenalkan di sekolahsekolah aliran Melayu lebih berbentuk kepada Kesusasteraan Melayu Klasik. British tidak menekankan pendidikan Sejarah tempatan dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu kerana dikhuatiri boleh menggugat kepentingan politik dan ekonominya. Hanya selepas negara mencapai kemerdekaan, pengaruh kurikulum British dilihat semakin 3

berkurangan (Maharom Mahmood, 2001). Sementara pengaruh kurikulum Sejarah negara India dan Cina tamat apabila Laporan Razak 1956 dikemukakan untuk memastikan satu sukatan pengajaran dan peperiksaan yang sama dilaksanakan demi perpaduan kaum di negara ini. Selepas Perang Dunia ke-2 kurikulum Sejarah mula memberi penekanan ke arah perpaduan dan integrasi kaum. Pada tahun 1973, terdapat perbincangan untuk mengkaji semula kurikulum Sejarah. Kurikulum yang sedia ada dilihat terlalu luas dan tidak bersifat tempatan (Siti Zainun Mat, 1998; 1990). Beberapa forum seperti Kongres Kebudayaan Malaysia 1971, Seminar Sejarah Malaysia 1 dan 11 yang diadakan dalam tahun 1973 dan 1974 (Siti Zainun Mat, 1988 dan 1990) telah diadakan untuk membincangkannya. Dapatan seminar telah menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan pendekatan berpusatkan ke-Malaysiaan dalam menggubal sukatan pelajaran dan penulisan buku teks Sejarah (Siti Zainun Mat 1988, 1990). Hanya pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek teras yang wajib diambil oleh semua pelajar. Bagi Aini Hassan (2008) perubahan ini merupakan satu anjakan besar dalam falsafah dan konsepsi pengajaran dan pembelajaran Sejarah di sekolah. Falsafah, matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran telah dinyatakan dengan jelas. Fokus terhadap sejarah tempatan telah diterapkan dalam kurikulum. Pembahagian tajuk pula dilakukan mengikut tema-tema (PPK, 2002). Perkembangan kurikulum Sejarah pra dan pascamerdeka telah mengalami perubahan pesat, selari dengan tuntutan semasa. KEDUDUKAN MATA PELAJARAN SEJARAH Matlamat pendidikan Sejarah bagi peringkat menengah rendah dan menengah atas ialah memupuk semangat taat setia kepada bangsa dan negara serta berbangga menjadi warganegara Malaysia. Kandungan kurikulum yang disediakan, memberikan fokus kepada pemahaman yang menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu mengikut susunan tahun. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah seharusnya memberi tumpuan kepada pemerolehan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan

pemupukan nilai-nilai. Kedudukan mata pelajaran Sejarah dijelaskan seperti yang berikut: mata pelajaran Sejarah dalam KBSM, merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua pelajar sekolah menengah. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002) Langkah Kementerian Pelajaran menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus pada tahun 2012 di peringkat SPM dilihat sangat signifikan dalam konteks semasa. Seterusnya menjadikannya sebagai subjek teras untuk sekolah rendah mulai 2014. Ini selaras dengan transformasi dalam sistem pendidikan negara dengan perubahan KBSR kepada KSSR mulai tahun 2011. Ini secara tidak langsung akan memartabatkan lagi kedudukan mata pelajaran ini di kaca mata masyarakat. Shakila Yacob (2010) melihat langkah mewajibkan subjek Sejarah ini bertujuan untuk memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia dan memperkasakan legasi sejarah Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan perjuangan 1 Malaysia. Berdasarkan kenyataan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pembuat dasar negara sangat peka terhadap kepentingan mata pelajaran ini sebagai wawasan masa hadapan dalam membina perpaduan bangsa dan negara. Dasar mewajibkan pelajar sekolah menengah mempelajari sejarah adalah menepati kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang inginkan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar secara serentak dan bersepadu. Sebelum ini mata pelajaran Sejarah dianggap sebagai mata pelajaran kelas kedua dan dikaitkan dengan pelajar-pelajar aliran sastera (Omar 1992 dan Abdul Ghani 2008). MATLAMAT PENDIDIKAN SEJARAH Pendidikan Sejarah bertujuan memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air. Di peringkat menengah rendah, kurikulumnya meliputi jangka masa selama lima ratus tahun dan disusun 5

secara kronologi. Kurikulum ini bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh dan satu gambaran yang lengkap tentang sejarah negara. Dalam rentetan peristiwa ini dimasukkan pula sejarah negara luar yang mempunyai kaitan dengan sejarah negara. Sejarah negara luar ini merupakan asas bagi pelajar untuk mengetahui dan memahami hubungan dan kaitannya dengan Sejarah Malaysia (PPK 2002). Pendidikan Sejarah dilihat dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman antara bangsa (PPK 2002) kerana tujuan pendidikan Sejarah itu adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. ISU-ISU DALAM PENDIDIKAN SEJARAH Sering kedengaran pembelajaran Sejarah yang berpusatkan guru kurang memberi kesan sebagaimana yang diharapkan. Pengajaran guru yang bersifat indoktrinasi dan tidak kreatif, bercorak sehala, tidak mewujudkan peluang interaksi antara guru dan pelajar. Hal ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) Sejarah menjadi begitu kaku dan membosankan pelajar. Guru masih mengekalkan kaedah tradisi di bilik darjah. Guru kurang mempunyai kepakaran dalam menyampaikan pedagogi terkini. Kaedah chalk and talk yang menekankan interaksi sehala serta teknik hafalan terhadap sesuatu fakta telah menyebabkan Sejarah dilihat sebagai the dead man of curriculum (Abdul Razaq, 2009). Sikap negatif guru menyebabkan mereka gagal mencerna minda pelajar supaya lebih bersifat intelektual dan ini menyebabkan pelajar kurang memberi tumpuan semasa P & P dijalankan. Kandungan kurikulum Sejarah amat padat dengan fakta-fakta dan tahuntahun yang perlu diingati oleh pelajar. Mempelajari subjek Sejarah bermakna terpaksa menghafal fakta-fakta dan tahun-tahun yang begitu membebankan. Perkara ini menjadikan subjek Sejarah kurang menarik minat pelajar. Bagi pelajar, subjek ini lebih banyak bercerita tentang peristiwa yang sudah lapuk dan mereka tidak nampak apa yang harus dinilai dalam mempelajari Sejarah (Hartini Husain, 2006). Tambahan pula, terdapat ibu bapa yang melihat mata pelajaran ini tidak penting dan merupakan subjek kegemaran pelajar aliran sastera (Robiah Sidin, 1994). Kurikulum Sejarah lebih menjurus kepada penghafalan fakta dan

berbentuk stereotaip. Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, pendekatan menghafal sejarah perlu diubah kepada cara yang lebih menarik dan boleh menyebabkan pelajar berfikir secara kritikal terhadap sesuatu peristiwa. Di samping itu, kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dinilai kembali. Janganlah terlalu bersifat melayu centric. Peranan semua kaum dalam menuntut kemerdekaan dan memakmurkan negara perlu diberi penekanan. Sejarah yang diajar seolah-olah sejarah orang Melayu dan bukan sejarah Malaysia. Sumbangan dan pengorbanan kaum lain juga perlu dilihat dan dimasukkan dalam kurikulum Sejarah agar mata pelajaran lebih menarik, bersifat universal dan mempunyai nilai tambah. Setiap kaum mempunyai tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan kemajuan negara. Sumbangan kaum, masyarakat dan tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus dicakupi secara menyeluruh dan bukannya dipilih (selected). Peranan ikon pascamerdeka seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dilihat dari sudut perbincangan 1 Malaysia. Sering kedengaran subjek Sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja walaupun mereka bukan opsyen Sejarah. Masih terdapat jumlah peratusan yang besar dalam kalangan guru Sejarah di sekolah tidak mempunyai latihan ikhtisas dalam bidang berkenaan (Rahim Rashid, 1999). Ini menyebabkan guru yang mengajar subjek Sejarah kurang mempunyai pengetahuan daripada aspek pedagogi. Mereka tidak mendapat pendedahan dan latihan yang mencukupi. Guru Sejarah juga jarang dipanggil berkursus untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka dalam pengajaran Sejarah. Mereka kurang didedahkan dengan amalan pedagogi terkini di bilk darjah. Ketika ini ramai guru yang mengajar Sejarah terdiri daripada guru-guru sandaran yang tidak memahami matlamat pendidikan Sejarah. Malah ada antara mereka yang tidak menguasai isi kandungan yang disampaikan yang mengakibatkan penyampaian maklumat kepada pelajar kurang tepat. Kesemua ini akan membantutkan lagi usaha untuk mewujudkan perpaduan kaum melalui mata pelajaran Sejarah. Penggunaan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran tidak menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik. Penggunaan buku teks yang berlebihan menjadikan pengajaran bersifat stereotaip, kurang 7

daya kreatif dan imaginatif. Guru yang terlalu bergantung kepada penggunaan buku teks akan menyebabkan pelajar kurang berminat terhadap pengajarannya kerana sifat buku teks yang statik dan tidak bersifat interaktif. Terdapat guru yang amat bergantung kepada buku teks. Nota-nota dipetik terus daripada buku teks. Pelajar diminta menggariskan bahagian yang penting dalam buku teks. Fenomena ini menimbulkan kebosanan kepada pelajar mengikuti mata pelajaran ini. Kajian Noraizan Hamzah (2008) menunjukkan pelajar akan berasa bosan semasa membaca buku teks kerana isi kandungannya terlalu banyak fakta yang perlu dihafal. Masyarakat lebih suka melihat kejayaan dalam sesuatu peperiksaan sebagai kayu ukur dalam menentukan keberhasilan dan kecemerlangan masa hadapan seseorang pelajar. Lantaran itu, sudah menjadi rutin guru mengajar untuk memastikan pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan yang didudukinya tanpa menghiraukan matlamat dan objektif kurikulum itu sendiri. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah dilihat lebih bersifat reproduction iaitu mengeluarkan segala fakta yang dipelajari dalam peperiksaan. Kandungan kurikulum yang terlalu bersifat peperiksaan ini menyebabkan matlamat pendidikan Sejarah untuk perpaduan kaum tidak dapat dicapai sepenuhnya. KURIKULUM SEJARAH KE ARAH INTEGRASI KAUM

Peranan kurikulum Sejarah dalam mengeratkan integrasi kaum dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini masih tetap relevan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan masalah, namun masih terdapat ruang yang luas untuk memperbaiknya lagi. Berdasarkan masalahmasalah yang telah dibincangkan di atas, berikut dikemukakan beberapa saranan untuk mengatasinya. Antaranya ialah : a. Isi Kandungan Kurikulum Sejarah Kurikulum yang ditampilkan perlulah bersifat futuristik dan berdaya saing. Keseimbangan dari aspek teori dan amali perlu diberi perhatian. Penekanan kepada fakta dan tahun perlulah diminimumkan. Ilustrasi yang menarik dalam kandungan kurikulum 8

akan dapat menarik perhatian pelajar mengikutinya. Kurikulum Sejarah pada abad ini perlulah seimbang, progresif dan dinamik. Dalam konteks ini kurikulum yang dihasilkan perlu berpusatkan pelajar, realistik serta praktikal dan boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan seharian. Isi kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dilihat kembali agar sumbangan semua kaum di negara ini dapat dilihat dan dihargai. Sumbangan kaum Melayu, Cina dan India terhadap proses kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan perlu dimasukkan dalam kurikulum. Hal ini akan dapat mengelakkan tafsiran sejarah yang dipelajari lebih menjurus kepada sejarah orang Melayu atau Melayu centric. Seharusnya kurikulum Sejarah itu dapat merangsang pelajar-pelajar agar dapat menghayati sejarah yang dipelajari itu adalah milik mereka bersama. Perkara ini penting agar setiap kaum akan dapat memahami sejarah bagi setiap kaum yang lain. Kurikulum sedemikian akan dapat menarik minat pelajar daripada semua kaum dalam menilai sumbangan kaum mereka terhadap sejarah pembangunan negara. Secara tidak langsung akan meningkatkan perpaduan dalam kalangan mereka. Tema-tema yang dipilih dalam kurikulum Sejarah juga perlulah menjurus kepada tema yang dapat meningkatkan tahap integrasi kaum di negara ini. Tema yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan setiap kaum itu dari aspek politik, ekonomi dan sosial perlulah diberi fokus dalam menyusun kurikulum. Contohnya, dalam menuntut kemerdekaan Negara, peranan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dikupas dan diperhalus daripada perspektif perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Perkara ini dapat dijadikan model integrasi terbaik generasi terdahulu dalam membentuk konsep integrasi kaum sebenar. Pelajar akan dapat menghayati dan mendalami peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini dan seterusnya akan memberi kesedaran kepada mereka tentang proses integrasi yang telah wujud sejak prakemerdekaan. Di samping itu, dalam pelaksanaan kurikulum di bilik darjah, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersifat interaktif perlulah diberi perhatian kerana ini akan dapat menarik perhatian

pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan multimedia yang bersifat interaktif akan merangsang minat pelajar mengikuti P&P sepenuhnya. Terdapat banyak kajian yang menunjukkan kepentingan penggunaan BBM bersifat interaktif ini, khususnya dalam subjek Sejarah. Kajian Hazman Che Sidik (2000), Rohidah Alias (2003) dan Zaliza Zali (2004) menunjukkan penggunaan BBM bersifat interaktif ini dapat menjadikan pengajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar untuk belajar bukan sahaja daripada kalangan pelajar Melayu malah pelajar Cina dan India juga akan tertarik untuk mengikutinya. Oleh itu, guru bagi subjek Sejarah juga perlulah lebih kreatif dalam memilih BBM yang bersifat interaktif dengan pengajarannya. Tema yang terdapat dalam kurikulum boleh diaplikasikan dalam bentuk cakera padat seperti mana yang dilihat dalam History Channel dan Discovery Channel (Chan Nelee, 2010). Pihak Bahagian Teknologi Pendidikan di KPM perlu mengambil tindakan dalam menyebarluaskannya kepada guru-guru subjek Sejarah di seluruh negara. Aplikasi ini akan dapat membantu mewujudkan suasana yang menyeronokkan dalam pengajaran. Pelajar akan lebih teruja serta ingin mendalami apa yang dipelajarinya. Pada akhirnya pelajar akan mendapat iktibar daripada peristiwa sejarah yang dipelajarinya. Secara tidak langsung, ini akan dapat menarik minat pelajar daripada pelbagai kaum untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sejarah di bilik darjah. b. Latihan Guru Sejarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melatih lebih ramai guru Sejarah yang berminat untuk mengajar Sejarah (Anuar et.al. 2009). Pemilihan calon-calon guru Sejarah perlulah berlatarbelakangkan kepada minat yang mendalam terhadap mata pelajaran ini. Hal ini penting agar mereka yang terpilih dan dilatih kelak akan dapat melahirkan murid yang berilmu pengetahuan Sejarah yang tinggi. Pihak KPM dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) juga perlulah merangka dan menyediakan lebih banyak kursus dalam perkhidmatan kepada guru Sejarah berhubung dengan kepentingan mata pelajaran Sejarah dalam memupuk integrasi kaum di negara ini. KPM juga perlulah memberi penekanan kepada aspek psikologi dan motivasi dalam kalangan

10

guru Sejarah agar mereka dapat bersaing dengan rakan-rakan daripada mata pelajaran yang lain. Nilai dan kepentingan mata pelajaran ini perlulah dipertahankan. Mereka yang terpilih untuk mengajar kurikulum Sejarah ini perlulah memahaminya secara holistik dan komprehensif, dan bukannya secara selected. Mereka perlu didedahkan dengan latihan yang bersifat mikro dan amali secara konsisten bagi menguasai bidang dan memiliki keterampilan yang tinggi. Latihan guru Sejarah juga perlu disesuaikan dengan matlamat dan objektif kurikulum Sejarah itu sendiri, yang meletakkan integrasi dan asas perpaduan sebagai matlamat yang hendak dicapai kerana guru merupakan pelaksana. Selain itu, isi kandungan bagi latihan guru praperkhidmatan juga perlu dilihat semula. Isu-isu integrasi perlu dimasukkan dalam kurikulum dan diserapkan secara profesional. Melalui cara ini, guru dapat memahami dan menyelami hasrat dan aspirasi yang ingin dicapai oleh kerajaan. Kurikulum Sejarah juga perlu ke arah memperkenalkan jati diri dalam kalangan pelajar, semangat patriotik, membina Negara bangsa serta meningkatkan lagi unsur perpaduan kaum yang sedia terjalin. Melalui kefahaman dan usaha memperkasakan elemen ini akan dapat membantu hasrat kerajaan merealisasikan hasrat 1 Malaysia. c. Anjakan Paradigma Pedagogi Sejarah Perubahan masa menuntut guru Sejarah lebih berinovasi dan kreatif dalam mencorakkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sejarah perlulah diajar dalam konteks yang menyeronokkan. Kreativiti dan elemen kreatif perlulah dimasukkan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran guru. Guru boleh mengambil beberapa pendekatan seperti mengadakan aktiviti drama, perbincangan, lawatan tempat bersejarah dan mengadakan temu bual. dalam usaha menarik minat pelajar kepada subjek Sejarah. Pedagogi berkaitan integrasi kaum juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh agar dapat diserapkan dalam kursus-kursus untuk guru praperkhidmatan ini dengan lebih berkesan. Pemahaman yang jelas perlu agar mereka akan turut berperanan dalam mencapai matlamat integrasi ini.

11

d.

Konsep Pembelajaran Aktif Penulis berpendapat konsep pembelajaran aktif dalam pengajaran Sejarah perlulah diperkasakan. P & P bercorak student centered perlu diterapkan dalam kelas dan diberi nafas baru. Kirschner et.al. (2006) dan Mayer (2004) menjelaskan pelajar yang terlibat dengan pembelajaran aktif lebih banyak mengingati maklumat yang diperoleh. Contohnya guru boleh menggunakan pembelajaran koperatif seperti yang disarankan oleh Slavin (2006). Setiap kumpulan pelajar ini mesti disertai oleh pelbagai kaum, secara tidak langsung interaksi positif akan berlaku antara para pelajar pelbagai kaum. Melalui konsep pembelajaran ini, pelajar akan terlibat secara langsung dan lebih aktif dalam proses pembelajaran yang berbentuk hands-on dan minds-on (Arthur & Wright, 2001; Laughlin & Hartoonian, 1995; Orlich, Harder, Callahan, & Gibson, 2001). Konsep ini dilihat mampu membawa sinar dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah dalam bilik darjah.

e.

Konteks Penerapan Nilai dalam Sejarah Mata pelajaran Sejarah di sekolah dilihat sangat relevan dalam memupuk nilai-nilai kemasyarakatan, intelektual dan sosial untuk mencorakkan perkembangan personaliti yang lebih seimbang. Lewenstein (1963) dalam membincangkan sumbangan pendidikan sejarah, menekankan betapa pentingnya pendidikan ini dalam mengembangkan nilai dalam kalangan pelajar. Menurut Rahim Rashid (2000), penerapan nilai dalam pendidikan Sejarah terbahagi kepada 4 iaitu (i) nilai individu, (ii) nilai politik, (iii) nilai sosial dan kemasyarakatan dan (iv) nilai intelek. Pemahaman dan pengetahuan tentang unsur nilai ini mempunyai signifikannya dalam memupuk perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Hal ini akan dapat membantu mereka memahami pentingnya mengamalkan nilai-nilai sosial dan kemasyarakatan yang positif dalam kehidupan mereka seperti keadilan, kekitaan, kemanusiaan dan semangat bermasyarakat.

12

Dalam konteks politik, nilai politik (Rahim Rashid, 2000) seperti setia, patriotisme, demokrasi dan kepemimpinan perlu diamalkan dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk ini. Oleh itu, kurikulum Sejarah yang dibentuk perlu memberi penekanan kepada unsur nilai ini selari dengan hasrat untuk melahirkan generasi pelajar yang dapat memahami dan berinteraksi dengan lebih harmoni, khususnya dalam konteks masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Dalam konteks pendidikan Sejarah, penerapan nilai ini ialah proses menanam, memupuk dan mengembangkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, penekanan kepada unsur nilai kemasyarakatan dan nilai politik ini akan dapat membantu meningkatkan integrasi kaum dalam kalangan pelajar di negara ini sejak peringkat awal lagi. Ringkasnya penerapan nilai dalam kurikulum Sejarah sama ada daripada aspek kemasyarakatan mahupun politik dilihat sebagai landasan terbaik dalam melahirkan pelajar yang memahami pentingnya integrasi dalam masyarakat berbilang kaum ini.

KESIMPULAN
Usaha untuk memperkasa perpaduan dan integrasi kaum melalui kurikulum Sejarah tiada jalan noktahnya. Kurikulum Sejarah dilihat sebagai wadah terbaik untuk merealisasikan hasrat ini. Walaupun pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh pihak kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan. Dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik ini, usaha yang berterusan perlulah dilakukan untuk memelihara dan memperkukuh perpaduan dan integrasi masyarakat pelbagai kaum ini. Langkah kabinet untuk membentuk sebuah panel pembelajaran Sejarah bagi memantau pelaksanaan kurikulum Sejarah dianggap satu langkah tepat dan bersesuaian dengan konteks semasa. Sebagai rakyat Malaysia, semuanya amat berharap pada suatu hari nanti isu ini akan menemui titik noktahnya. Untuk itu, semua kaum perlulah menanam sikap kekitaan, toleransi dan saling mempercayai antara satu sama lain selain meletakkan kepentingan nasional dan kesejahteraan negara melebihi kepentingan etnik masingmasing. Kita tidak mahu isu dan dilema perpaduan ini akan terus menjadi duri dalam daging untuk tempoh 50 tahun yang akan datang. Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato Sri

13

Mohd Najib Tun Razak telah membuka lembaran baru ke arah memperkasa perpaduan kaum dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Oleh itu, kurikulum Sejarah dilihat sebagai medium yang sangat signifikan dalam merealisasikan hasrat ini. Rujukan

Abdul Rahim Abd. Rashid. (2000). Model dan Pendekatan Pengajaran Sejarah KBSM. Selangor. Dewan Bahasa dan Pustaka. Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Pendidikan Sejarah, Falsafah Teori dan Amalan. Kuala Lumpur. Percetakan Cergas Publication Sdn. Bhd. Abdul Razaq Ahmad dan Andi Suwirta. (2007). Sejarah dan Pendidikan Sejarah: Perspektif Malaysia Dan Indonesia. Bandung: Historia Utama Press. Abdul Ghani Abu. (2008). Sejarah Masih Relevan, Utusan Malaysia: 14 Jan 2008. Aini Hassan & Siti Hawa Abdullah. (2008). Sejarah Perkembangan Kurikulum Sejarah di Malaysia dalam Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di Malaysia; Pengalaman 50 Tahun Merdeka. Oleh Nik Azis Nik Pa dan Noraini Idris. 2008. Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd. Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah. (2009). Tahap Keupayaan Pengajaran Guru Sejarah dan Hubungannya dengan Pencapaian Murid di Sekolah Berprestasi Rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia. 34(1) (2009): 53 66, Fakulti Pendidikan, UKM. Anuar Ahmad dan Nur Atiqah T.Abdullah. (2008). Demografi Pendidikan di Malaysia. Kertas Kerja Kolokium Identiti, Etnisiti dan Pendidikan. Anjuran Bersama Kumpulan Penyelidik Hubungan Etnik dan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor. 27 Mac. Arthur, J., & Wright, D. (2001). Teaching Citizenship in the Secondary School. London: Fulton.

14

Azwani Ismail & Zahara Aziz. (2009). Pendidikan Pelbagai Budaya dalam Sistem Pendidikan di Malaysia. Diges Pendidik. Jilid 9 Bil. 2, Universiti Sains Malaysia. Chan Nelee. (2010). Pembinaan Kurikulum Sejarah ke Arah Pembentukan Perpaduan Kaum di Malaysia dalam Proceedings International Seminar Comparative Studies in Educational System Between Indonesia And Malaysia. Organised by UPI, UKM and UM.

Faridah Karim et al.(2008). Hubungan Etnik di Institusi Pengajian Tinggi dari Perspektif Etnografi Habitus dan Modal Budaya. Kertas Kerja Kolokium Identiti, Etnisiti dan Pendidikan. Anjuran bersama kumpulan penyelidik Hubungan Etnik dan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Institut Kajian Etnik (KITA). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 27 Mac. Furnivall, John S. (1965). Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India, New York University Press. Hartini Husain. (2006). Pencapaian dan Sikap Pelajar dalam Mata Pelajaran Sejarah Menerusi Pengajaran Berbantukan Komputer. Thesis Sarjana. Fakulti Pendidikan. UKM. Hazman Che Sidik. (2000). PPBK Mata Pelajaran Sejarah Bertajuk Sistem Pengangkutan di Tanah Melayu Dalam Abad Ke-19. Projek Sarjana. UKM. Jamaliah Shaik Abdullah. 2005. Perubahan Kurikulum Pendidikan Sejarah di Malaysia dari Tahun 1978-2000. Projek Sarjana. Universiti Sains Malaysia. Khoo Kay Kim. (1980). Perkembangan Pelajaran Agama Islam dalam Awang Had Salleh (1980). Pendidikan ke Arah Perpaduan: Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala Lumpur. Laughlin, M. A., & Hartoonian, H. M. (1995). Challenges of Social Studies Instruction In Middle And High Schools. Fort Worth, TX: Harcourt.

15

Maharom Mahmood. (2001). Kurikulum Sejarah ke Arah Memperkukuhkan Usaha Pemupukan Semangat Patriotik dalam Kalangan Murid. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sejarah ke arah pembentukan warganegara patriotik. 8-12 Oktober. Kuala Lumpur. Marimuthu,T. (1984). Policies For Multicultural Education In Malaysia. Paper Presented at the 4th National Convention on Education. Malaysian Association for Education. Kuala Lumpur. 6-8th August 1984. Mayer, R. 2004. Should There Be a Three Rule Against Pure Discovery Learning. The Case for Guided Methods of Instruction. American Psychologist 59(1), 14-19. Noraizan binti Hamzah @ Daud. 2008. Persepsi Pelajar dan Guru Terhadap Penggunaan Buku Teks Sejarah. Kertas Projek Sarjana. UKM. Bangi. Norrizan Seman. 2003. Perkembangan Semenanjung 1874-2002. Projek UKM. Pendidikan Sejarah Sarjana Pendidikan.

Omar Hashim. 1992. Falsafah Pendidikan Sejarah: Sejarah dalam Pendidikan. Persatuan Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.. Orlich, D. C., Harder, R. J., Callahan, R. C., & Gibson, H. W. (2001). Teaching Strategies: A Guide to Better Instruction (6th ed.). Boston, MA: Houghton. Rohidah bte Alias. 2003. Penghasilan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer Bertajuk Sejarah dan Kita, Petempatan Awal di Negara Kita, Parameswara dan Pengasasan Melaka. Projek Sarjana Pendidikan. UKM. Slavin, R. E. 2006. Educational Psychology : Theory and Practice. 8th.ed. United States of America : Pearson Education, Inc. Shakila Yacob. 2010. Ilmu Sejarah Membina Negara. Utusan Malaysia. 19.10. 2010.

16

Sufian Hashim (1976), An Introduction to the Constituitution of Malaysia, KL. Government Printers. Syed Husin Ali. (1984). Ethnicity, Class and Development: Malaysia, Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia. Siti Zainun Mat. (1988). Pelajaran Sejarah di Sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia 1948-1970an: Satu tinjauan. Tesis Ijazah Sarjana Muda. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Zaliza Zali. (2004). Pembinaan dan Penilaian Berbantukan Komputer Bagi Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan Satu. Projek Sarjana. UKM.

17

You might also like