You are on page 1of 15

Hubungan Dwihala Seni dan Bahasa Melayu : Ke Arah 3000 Tahun1

Abstrak

Seni dan bahasa merupakan dua bidang yang berbeza dan jarang
dihubungkaitkan. Atas dasar itu, seniman sering berasa janggal dan
mengasingkan diri daripada usaha memperkembangkan bahasa Melayu.
Meskipun demikian, seni sebenarnya memainkan peranan yang besar
dalam mempengaruhi perkembangan sesuatu bahasa, khususnya dalam
pengajian perkembangan bahasa Melayu. Hubungan intim antara
kedua-dua bidang tersebut paling jelas diperhatikan dalam korpus
leksikon bahasa Melayu. Hubungan akrab antara seni dan bahasa
Melayu dihuraikan pengkaji dalam empat komponen yang berasingan,
iaitu hubungan dwihala antara seni dan bahasa Melayu, seni sebagai
alat memangkin penggunaan bahasa Melayu, cabaran multikulturalisme
terhadap penakatan seni dan bahasa Melayu, dan sumbangsih seni
kepada bahasa dan kajian tentang orang Melayu. Hasil daripada kajian
yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa bahasa memberikan kesan
terhadap seni Melayu pada tiga peringkat utama. Selain itu, bahasa
Melayu turut merupakan komponen yang penting pada peringkat
pengetahuan, iaitu salah satu daripada enam peringkat yang telah
dikenal pasti pengkaji bagi mencapai daya kathartik yang berksan.
Kertas kerja ini turut akan menghuraikan sumbangan seni terhadap
perkembangan bahasa Melayu dalam memastikan penakatannya buat
1000 tahun yang akan datang.

Pengenalan

“Pengalaman manusia, baik melalui evolusi ataupun revolusi, jasmani dan rohani, telah
menukar dan mengubah corak hidup atau kebudayaan pada umumnya..Sesebuah ciptaan
seni yang luhur yang dihasilkan olehnya adalah satu rakaman hubungan simpati antara
seniman dengan alam sekeliling.” – (Abdul Ghani Hamid, 2001: 64-65)

Hubungan intim antara seniman dan alam sekeliling sering digambarkan dalam hasil karya seni. Perihal
tersebut turut dapat diperhatikan dalam hasil karya seni masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, dalam
usaha mendekati hasil karya seni Melayu, aspek bahasa sering diketepikan sama sekali. Walhal bahasa
turut memainkan peranan yang penting dalam perkembangan seni Melayu.

Bahasa dan seni Melayu sebenarnya dapat diibaratkan sebagai dua entiti yang biarpun tampak
jauh dari sudut persamaannya, berupaya untuk memberikan kesan terhadap entiti yang lain. Hubungan
kedua-dua bidang tersebut merupakan sebuah hubungan yang kompleks dan jarang dibincangkan sama
sekali oleh pakar bahasa mahupun seni secara eksplisit.

Latar Belakang Kajian

Kajian ini telah diusahakan atas kesedaran bahawa tiada kajian yang pernah dilakukan berkenaan dengan
hubungan seni dan bahasa Melayu. Justeru itu, pengkaji telah memilih untuk meneliti impak dan kesan

1
Diterbitkan dalam Muhammad Jailani b. Abu Talib. 2009. 3000 Tahun Bahasa Melayu : Cabaran dan Potensi.
Singapura : Angkatan Sasterawan ‘50
yang pernah dan dapat dimainkan oleh seni dalam memastikan penakatan bahasa selama 1000 tahun ke
hadapan.

Dalam hal ini, pengkaji akan meneliti empat perkara utama yang menjadi pemangkin terhadap usaha
menghuraikan hubungan dwihala yang wujud antara seni dan bahasa. Perkara-perkara tersebut adalah :

1) Hubungan dwihala antara seni dan bahasa Melayu.


2) Seni sebagai alat memangkin penggunaan bahasa Melayu.
3) Cabaran multikulturalisme terhadap penakatan seni dan bahasa Melayu
4) Sumbangsih Seni kepada Bahasa dan Kajian Tentang Orang Melayu

Konsep Seni

Dalam rangka perbincangan tentang seni, terdapat dua perkara yang dapat dikategorikan daripada bidang
tersebuat, iaitu seni rupa dan seni persembahan. Secara prinsipya, seni rupa merujuk kepada sebarang
hasil seni visual atau tampak manakala seni persembahan merujuk kepada hasil karya yang dipamerkan
buat tontonan khalayak ramai. Rahmah binti Haji Bujang (2008:11-12) menjelaskan perincian kategori
seni seperti berikut :

Seni Rupa

Seni lukisan, catan, arca, kaligrafi dan seumpamanya


Halus
Seni rantai leher, gelang tangan, sapu tangan, selimpang, destar, tiara dan
Kraf seumpamanya
Seni foto, poster, brosur, banner dan seumpamanya
Grafik
Seni tekstil, fesyen, seni bina, ukiran dan seumpamanya
Industri

Seni Persembahan

Seni lakonan, ucapan oratori, pantomime dan seumpamanya


Teater
Seni Tari joget, zapin, inang, masri, asli dan seumpamanya
Seni lagu rakyat, lagu korus, nyanyian klasik, asli dan seumpamanya
Muzik
Seni permainan rakyat, silat, senaman dan seumpamanya
Permainan
Seni drama, filem pendek, filem panjang dan seumpamanya
Filem
Seni kolaj video dan sebagainya
Video

Jelas daripada pecahan yang diberikan bahawa seni merupakan sebuah entiti yang bersifat
dinamik dan mencakupi pelbagai bidang. Dalam ruang kajian yang lebih luas, seni dapat ditafsirkan
sebagai perkara ataupun elemen yang memerlukan kemahiran tertentu dan berupaya untuk mengusik jiwa
manusia.

Namun begitu, proses penghayatan seni bagi mencapai respons kathartik yang sempurna
lazimnya mencakupi enam peringkat utama. Keenam-enam peringkat tersebut melancarkan proses
penikmatan dan penilaian seni. Kegiatan penghayatan tersebut meliputi :

1. Peringkat Persepsi

Pada peringkat persepsi, masyarakat umum akan membentuk persepsi peribadi mereka
akan beberapa bentuk karya. Di peringkat tersebut, konsep masyarakat akan ciri-ciri
kesenian akan dibentuk bagi membolehkan proses mengenal pasti dan memisah-
misahkan sesebuah karya mengikut genre atau gaya bentuk seni yang tertentu.

2. Peringkat Pengetahuan

Pada peringkat pengetahuan, penilai berkemungkinan telah didedahkan terlebih dahulu


akan beberapa konsep asas tentang sesebuah karya. Di peringkat tersebut, penilai
mempunyai pengetahuan asas akan karya seni yang ditampilkan. Dalam hal ini, Soedarso
(1987) merumuskan tiga jenis pendekatan yang digunakan oleh para pengkritik dan
penilai seni, iaitu pendekatan aplikatif, pendekatan permasalahan dan pendekatan sejarah.

3. Peringkat Pengertian

Pada peringkat pengertian, penilai, pengamat dan pengkritik seni akan menterjemahkan
hasil karya seni pada mesej-mesej dan kesan-kesan yang tertentu, berdasarkan
pengalaman, pengetahuan dan kemampuannya untuk menilai sesebuah karya.

4. Peringkat Analisis

Pada peringkat analisis, penilai, pengamat dan pengkritik seni akan membedah hasil
karya seni untuk membuat analisa-analisa tentang subjek dan objek yang ditampilkan.

5. Peringkat Penilaian

Pada peringkat penilaian, penilai akan membuat penilaian terhadap karya seni yang
ditampilkan, baik secara subjektif dan objektif.

6. Peringkat Penghayatan

Peringkat penghayatan dapat dipecahkan kepada tiga dasar utama, iaitu bentuk (wiraga),
keupayaan karya tersebut untuk berinteraksi dengan elemen-elemen yang ekstrinsik
(wirama) dan penyatuan bentuk dan elemen-elemen ekstrinsik untuk menglahirkan
penghayatan nilai-nilai yang metafizikal (wirasa).

Konsep Bahasa Melayu

Bahasa dapat ditakrifkan sebagai sebuah perlambangan yang memberikan makna terhadap
sesuatu konsep. Menurut Bloch dan Trager (1942), bahasa merupakan sebuah kumpulan simbol
vokal yang arbitrari yang digunakan masyarakat sosial untuk berkomunikasi. Secara asas, bahasa
digunakan manusia untuk berhubungan antara satu sama lain. Meskipun begitu, lewat sistem
bahasa sesebuah bangsa, para pengkaji berupaya untuk mengenal sistem kehidupan, budaya,
adab, adat dan kosmologi masyarakat tersebut.

Setiap bangsa di dunia mempunyai sistem bahasanya yang tersendiri. Bagi masyarakat
Melayu, masyarakat tersebut menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan sehariannya.
Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai dialek daerah. Walau bagaimanapun, secara umumnya,
bahasa Melayu standard merujuk kepada salah satu daripada dialek daerah yang telah diangkat
sebagai bahasa Melayu standard. Bahasa Melayu standard kini dikenal pasti sebagai dialek
bahasa Melayu Johor-Riau.

Hubungan Dwihala Antara Seni dan Bahasa Melayu

Seni dan bahasa Melayu memainkan peranan yang besar dan signifikan dalam perkembangan satu sama
yang lain. Bahkan, kedua-dua bidang itu saling mempengaruhi dan menyumbang terhadap perkembangan
satu sama yang lain. Atas dasar itu, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kemunduran salah satu
daripada bidang tersebut akan menjejas bidang yang lain. Kendatipun begitu, terdapat kecenderungan
bagi masyarakat secara umumnya untuk mengaitkan hubungan akrab antara seni dan bahasa Melayu
kepada bidang kesusasteraan sahaja. Tanggapan tersebut, biarpun benar, sebenarnya kurang tepat
memandangkan bahasa Melayu turut digunakan dalam genre-genre seni yang lain.

Secara umumnya, seni Melayu, sebagai hasil pantulan adab, adat, dan budaya Melayu
menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah menyampaikan gagasan, teknik serta falsafah seni. Namun
begitu, sebagai sebuah bidang yang bersifat figuratif dan abstrak, seniman memerlukan sebuah wahana
yang bersifat non-figuratif untuk mendukung hasil karya mereka. Bahasa Melayu menyumbang terhadap
perkembangan seni Melayu melalui keupayaannya untuk melaksanakan tugas utama yang diperlukan seni
Melayu, yakni sebagai pendukung konsep dan makna terhadap gambaran abstrak seni.
Bahasa Melayu memainkan peranan utamanya dalam perkembangan seni Melayu sebagai
penghujah konsep dan makna. Dalam hal ini, peranan bahasa instrumental dalam memberikan pengertian
dan kefahaman yang mendalam terhadap karya. Dalam bidang seni tari dan teater misalnya, bahasa
Melayu paling kerap digunakan pada tiga peringkat utama. Pada tahap pertama, iaitu pada tahap persepsi,
bahasa Melayu digunakan dalam proses pra-karya ataupun penulisan sinopsis. Pada tahap tersebut, bahasa
Melayu digunakan bagi memberikan gambaran akan karya yang dihayati. Dalam hal ini walau
bagaimanapun, bahasa Inggeris juga bisa digunakan. Namun begitu, hakikatnya, penggunaan bahasa
Melayu amat diperlukan bagi mengelakkan daripada kehilangan ataupun penjejasan makna dalam
sesebuah karya. Acapkali, seniman yang berbangsa Melayu, lebih cenderung untuk menggunakan bahasa
Melayu bagi tujuan menulis sinopsis karya mereka. Karya-karya seni Melayu sebagai hasil pantulan adab
dan budaya Melayu menggunakan bahasa Melayu dalam proses penulisan sinopsisnya untuk memastikan
ketepatan makna. Dalam hal ini, perkataan yang dianggap penting bagi karya seni Melayu harus ditulis
dalam bahasa Melayu sendiri.

Mengambil contoh daripada seni Zapin misalnya, Zapin secara asasnya dapat dipecahkan kepada
lima komponen yang asas, iaitu takzim, les, ragam, kopak dan wainab. Bagi tujuan menulis sinopsis,
perkataan-perkataan tersebut harus dipelihara demi menjaga makna yang tersirat dalam setiap perkataan
tersebut. Bagi perkataan taksim misalnya, perkataan tersebut merujuk kepada tahap awal dalam karya
muzik dan tari Zapin. Dalam bahasa inggeris, istilah takzim dapat dimengertikan sebagai beginning
ataupun introduction. Penggunaan istilah-istilah tersebut walau bagaimanapun kurang sejajar dengan
falsafah yang terdapat pada istilah takzim. Takzim merujuk kepada tahap permulaan seni Zapin yang
menggunakan alat gambus. Pada tahap awal muzik Zapin, takzim digunakan untuk memberikan
gambaran perasaan dan emosi dalam karya zapin yang ingin dipersembahkan. Sebagai contoh, dalam
karya-karya yang bersifat sentimental ataupun perlahan, takzim yang dimainkan turut mencerminkan
nada suram yang bisa diperolehi dalam karya tersebut.2 Hal yang sebaliknya berlaku apabila karya
tersebut bersifat agresif ataupun rancak. Dalam hal ini, takzim yang dimainkan turut mencerminkan sifat
karya tersebut.3

Penggunaan istilah introduction bagi menggantikan takzim tidak akan mampu menggambarkan
secara mendalam akan falsafah yang hadir dalam istilah asalnya. Takzim merupakan penyesuaian
daripada perkataan taqaseem yang diperolehi daripada bahasa Arab. Dalam bahasa asalnya walau
bagaimanapun, istilah taqaseem merujuk kepada proses penghasilan muzik secara langsung. Dalam
konteks seni dan budaya Melayu, istilah tersebut dikembangkan. Bahkan, payah untuk istilah tersebut
digantikan dengan sebarang istilah yang lain tanpa menjejas makna asalnya yang digunakan dalam
konteks seni dan budaya Melayu. Dalam konteks zapin Melayu, istilah-istilah yang lain turut mempunyai
falsafahnya yang tersendiri. Sebagai contoh :

Istilah Falsafah dan penggunaan


Takzim Mengungkapkan emosi karya. Lazimnya digunakan pada tahap awal.
Les Pembuka tarian utama. Lazimnya memaparkan penari yang akan berdiri tegak bagi
menggambarkan huruf alif untuk mengisyaratkan permulaan tari.
Ragam Gerakan utama yang mengungkapkan emosi dan falsafah sesebuah karya.
Kopak Paluan gendang yang lazimnya dimainkan selepas ucapan pantun akhir.
Wainab Penutup tarian.

Daripada contoh yang diberikan, dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa
yang ideal dalam menyampaikan gagasan seniman dalam sesebuah karya. Sekiranya bahasa lain
digunakan bagi menggantikan istilah-istilah tersebut, selain daripada memastikan istilah yang digunakan
dapat menggantikan perkataan asal dari sudut linguistik, latar budaya yang terdapat pada sesuatu istilah
turut harus diperhatikan.

Pada tahap kedua, iaitu pada tahap pasca-karya ataupun penilaian, bahasa Melayu menjadi bahasa
pilihan bagi menilai ataupun mengkritik sesebuah karya. Hal ini walau bagaimanapun amat subjektif dan
bergantung pada kemahiran pengkritik menggunakan bahasa Melayu. Dalam hal ini walau bagaimanapun,
pengkritik karya seni Melayu lazimnya merupakan golongan yang lebih cenderung dalam penggunaan
bahasa Melayu. Apatah lagi, istilah-istilah yang hadir dalam sesebuah bidang karya menggunakan bahasa

2
Rujuk karya Zapin Gemersik Ombak daripada Azmi Juhari. Dipersembahkan pada 2-3 Ogos
2008 di Stadium tertutup Johor Bahru dalam acara Festival Zapin Nusantara 2.
3
Rujuk karya Zapin Kampung Manggis daripada Pak Tom Ibnur. Dipersembahkan pada 2-3
Ogos 2008 di Stadium tertutup Johor Bahru dalam acara Festival Zapin Nusantara 2.
Melayu. Bertolak daripada hipotesis tersebut, dapat diperhatikan bahawa bahasa Melayu menjadi
komponen yang penting dalam mendekati sesebuah karya seni.

Hubungan dwihala antara seni dan bahasa walau bagaimanapun tidak terhad pada penggunaan
bahasa Melayu sebagai wahana mendekati hasil karya seni semata. Hubungan yang serba kompleks
tersebut turut dapat dilihat daripada aspek sumbangan seni Melayu terhadap leksikon perbendaharaan
kata Melayu. Dalam contoh yang telah diberikan, dapat diperhatikan bahawa seni Zapin telah
menyumbang sekurang-kurangnya 5 patah perkataan kepada korpus leksikon bahasa Melayu. Sumbangan
yang serupa turut dapat diperhatikan dalam bidang ataupun genre seni yang lain. Dalam seni tari Joget
misalnya, istilah tandak dan ronggeng turut digunakan. Tandak merujuk kepada sejenis ragam yang
terdapat pada sistem joget manakala ronggeng digunakan secara arbitrari untuk menggantikan istilah
joget.

Perkembangan sesebuah sub-bidang seni turut memberi kesan terhadap leksikon bahasa Melayu.
Dalam contoh yang lain, dalam bidang seni lakonan, terdapat beberapa istilah yang telah menyumbang
terhadap perkembangan bahasa Melayu. Antara istilah-istilah tersebut adalah purbawara, teater, monolog,
melodrama dan seumpamanya. Dalam bidang seni catan, istilah teknikal seperti kromalitografi, kubisme,
grattage dan seumpamanya turut menyumbang terhadap perkembangan bahasa Melayu.

Selain daripada itu, korpus bahasa yang terdapat pada sesebuah karya turut dapat digunakan bagi
memahami bidang seni tersebut dengan lebih mendalam. Misalnya, dalam bidang seni catan, istilah-
istilah yang digunakan kebanyakannya berasal daripada perkataan-perkataan yang dialih bahasa daripada
bahasa Inggeris ataupun Latin. Dalam hal ini, dapatlah difahami bahawa seni catan bukan merupakan seni
yang berasal daripada kalangan masyarakat dan budaya Melayu. Hal yang sebaliknya dapat diperhatikan
dalam konteks seni anyaman Melayu. Dalam bidang tersebut, istilah-istilah seperti kelerai, bubu, bakul
dan lekar merupakan antara karya seni yang dihasilkan daripada proses anyaman bilah bemban, buluh
atau lidi. Kajian ataupun analisis terhadap perbendaharaan kata sesebuah bidang seni dapat memberikan
gambaran akan asal usul seni tersebut.

Selain daripada itu, bahasa Melayu turut memainkan peranan yang penting pada peringkat
pengetahuan. Menurut pandangan Soedarso (1987), tiga jenis pendekatan utama digunakan oleh para
pengkritik dan penilai seni, iaitu pendekatan aplikatif, pendekatan permasalahan dan pendekatan sejarah.
Dalam pendekatan sejarah dan permasalahan khususnya, penilai perlu membuat kajian tentang sejarah
dan asal-usul gaya serta jenis sesebuah karya manakala pendekatan permasalahan memerlukan penilai
untuk membuat kajian dan penyelidikan tentang masalah, isu dan falsafah yang ditampilkan dalam karya
tersebut. Dalam hal ini, bahasa Melayu menjadi komponen yang penting dalam kajian-kajian tersebut.
Apatah lagi kerana kertas-kertas kajian tentang seni Melayu lazimnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Daripada penjelasan-penjelasan yang diberikan di atas, dapat dirumuskan bahawa perkembangan


bahasa dan seni Melayu tidak dapat dipisahkan. Hubungan akrab antara kedua-dua bidang tersebut
menyumbang terhadap perkembangan satu sama lain. Dalam erti kata yang lain, sekiranya salah satu
daripada bidang tersebut hilang dari muka bumi, nescaya bidang yang lain turut akan terjejas ekoran
kehilangan tersebut.

Seni sebagai alat pemangkin penggunaan bahasa Melayu

Hubungan seni dan bahasa merupakan sebuah hubungan yang dinamik. Dalam sebuah kajian yang
dijalankan muzium Solomon R. Guggenheim pada tahun 2006, ratusan pelajar darjah tiga telah
mengambil bahagian dalam sebuah kajian yang menghuraikan kesan seni terhadap keupayaan
pembelajaran bahasa. Pelajar telah dikategorikan kepada dua golongan utama, iaitu golongan yang
mengambil bahagian dalam program Learning Through Art (LTA) yang dikendalikan muzium tersebut
dan yang tidak.4

Kajian tersebut telah dijalankan selama tiga tahun ke atas para pelajar darjah tiga dari sekolah
awam di New York, Amerika Syarikat. Para pelajar telah diuji melalui keupayaan mereka untuk
berbincang tentang karya Kira-Kira daripada Cynthia Kadohata dan The Artist and His Mother daripada
Arshile Gorky. Dapatan daripada kajian yang dijalankan, para pelajar yang mengambil bahagian dalam
program LTA dapat menguasai bahasa dengan lebih baik daripada para pelajar yang tidak.

Model yang digunakan muzium Solomon R. Guggenheim sebenarnya turut dapat diaplikasikan
dalam sistem pembelajaran bahasa Melayu demi memangkin penggunaan bahasa Melayu di kalangan
masyarakat Melayu di Singapur, khususnya di kalangan para pelajar. Dalam iklim bahasa yang
memberikan penekanan terhadap bahasa Inggeris, penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu di
Singapura dapat diperbaiki melalui usaha badan-badan seni Melayu di Singapura untuk menyemarakkan
usaha kritikan karya melalui tiga proses utama dalam menghayati sesebuah karya, iaitu proses
pengkonseptualisasi karya, penghayatan karya dan kritikan karya. Dalam hal ini, karya-karya seni
memainkan peranan sebagai pemangkin penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu, khususnya di
kalangan para pencinta, pelajar dan aktivis seni Melayu.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengamatan pengkaji, penggunaan bahasa Melayu bagi tujuan
tersebut jelas lebih digunakan pada bidang kritikan sastera sahaja. Bagi mengulas hipotesis tersebut,
pengkaji telah menjalankan pencarian rawak di jentera pencarian google.com5 bagi kata kunci ‘kritikan
tari’, ‘kritikan sastera’ dan ‘kritikan sastra’. Kata kunci ‘kritikan tari’ telah membuahkan 18,700 hasil
pencarian berbanding dengan 33,100 hasil pencarian bagi ‘kritikan sastera’ dan 31,500 hasil pencarian
bagi ‘kritikan sastra’.

Kajian yang dilakukan pihak muzium Solomon R. Guggenheim mendapati bahawa para pelajar
yang terdedah pada seni secara umumnya dapat menguasai bahasa dengan lebih baik. Secara tidak
langsung, perihal tersebut turut memberikan kesedaran bahawa proses pengajaran dan kritikan seni turut
dapat menambahnilaikan kadar penguasaan bahasa Melayu. Dalam konteks masyarakat Melayu, seni
Melayu wajar diberikan pendedahan kepada para pelajar. Kritikan karya-karya seni dalam bahasa Melayu
harus digalakkan. Kendatipun begitu, perkara tersebut tidak bererti bahawa seni Melayu tidak dapat
diajarkan kepada individu yang tidak berupaya untuk berbahasa Melayu. Dalam hal ini, seni Melayu
dapat mengambil tunjuk ajar daripada para seniman Jawa. Dalam tarian Jawa misalnya, biarpun seni
tersebut diajarkan pada individu yang berbangsa lain, istilah-istilah Jawa tetap digunakan bagi merujuk
kepada ragam-ragam tertentu. Misalnya, dalam tari tradisional Jawa, istilah ngiting6 masih tetap
digunakan biarpun tari tersebut diajarkan pada individu yang tidak berupaya untuk berbahasa Jawa.
Melalui penghayatan konsep yang digunakan dalam sistem pembelajaran tari Jawa, bahasa dan seni
Melayu turut dapat berkembang.

4
Rujuk laporan kajian Teaching Literacy Through Art daripada Solomon R. Guggenheim
Museum
5
Kajian rawak dilakukan pada 09 Mei, 2009 pada 6.00 pagi dengan menggunakan jentera
pencarian maya http://www.google.com.sg/.
6
Olahan gerak tangan dalam tari yang terdapat dalam istilah tari Jawa. Ngiting bererti
ketam dalam bahasa Jawa. Dalam konteks tari, pergerakan tersebut merujuk kepada ragam
menggenggam tangan penari dengan hanya meluruskan jari kelingking dan ibu jari.
Dalam hal ini, lelaman maya Joglosemar7, dalam sebuah artikel tentang tarian tradisional jawa,
ditulis dengan menggunakan sebanyak 657 perkataan yang berbahasa Inggeris. Namun begitu, sebanyak
62 patah perkataan daripada jumlah keseluruhan tersebut tetap mengekalkan istilah asalnya dalam bahasa
Jawa. Dalam erti kata yang lain, sebanyak 9.4% daripada artikel tersebut mengekalkan istilah asalnya
untuk mengelak daripada pencemaran makna. Misalnya, istilah pendopo digunakan sebanyak dua kali
bagi merujuk kepada ruang latihan yang luas. Biarpun istilah tersebut boleh boleh digantikan dengan
istilah multi-purpose hall, penulis artikel tersebut tetap memilih untuk mengekalkan istilah asal. Atas
dasar itu, pembaca yang berbangsa asing, terpaksa menyelami budaya dan falsafah seni tersebut dengan
lebih mendalam lagi untuk mengenali hati dan budi seni tari bedoyo, srimpi dan petilan.

Sebaliknya, dalam sebuah lelaman tentang tari Melayu di Malaysia 8, sebuah artikel mengenai tari
Melayu ditulis dalam bahasa Inggeris tanpa satu pun istilah Melayu yang digunakan. Secara tidak
langsung, roh dan falsafah tari Melayu turut menjadi korban dalam artikel tersebut.

Bagi mendapatkan maklum balas tentang kesan yang diberikan kedua-dua artikel dalam lelaman
yang diberikan, pengkaji telah mendapatkan maklum balas daripada 10 responden. Menariknya, kesemua
10 responden berpendapat bahawa lelaman maya Joglosemar lebih berkesan dalam menarik perhatian dan
minat mereka terhadap seni tari Jawa.

Kekuatan lelaman maya Joglosemar terletak pada keupayaannya untuk mengekalkan falsafah dan
ciri-ciri budaya Jawa. Berbanding dengan lelaman web Dancemalaysia, lelaman tersebut ditulis secara
keseluruhannya dalam bahasa Inggeris. Bagi menggantikan istilah tarian rakyat dan tarian istana, istilah
folkdance dan court dance digunakan. Walhal, istilah tersebut, biarpun tepat di suatu sisi, kurang menepati
falsafah dan ciri-ciri asli kedua-dua jenis tarian tersebut.

Keupayaan seniman, aktivis seni dan pengkritik seni untuk menggunakan istilah-istilah seni
dalam bahasa asalnya harus dipuji dan diberikan galakan. Hakikatnya, bahasa Melayu merupakan bahasa
yang paling sesuai untuk membincangkan tentang seni Melayu. Atas dasar itu, sebarang rujukan kepada
konsep dan ragam asas dalam seni Melayu harus dilakukan dalam bahasa Melayu. Biarpun objektif
kedua-dua lelaman tersebut adalah sama, lelaman dancemalaysia.com gagal dalam usahanya untuk
menarik minat masyarakat terhadap seni tari Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai rujukan
terhadap ragam dan konsep tari Melayu tidak wajar. Kegagalannya untuk menyedari kekuatan bahasa
Melayu bagi menyelami seni tari bangsa tersebut akhirnya menyebabkan artikel tulisan tersebut tampak
‘kosong’ dari segi penjiwaan seni.

Perihal di atas memberikan gambaran akan kepentingan bahasa Melayu dalam memperjuangkan
seni. Biarpun artikel ataupun kritikan seni dibuat dalam bahasa asing, seniman dan aktivis seni tidak dapat
mengasingkan diri daripada penggunaan bahasa Melayu. Dalam erti kata yang lain, sekiranya badan-
badan seni Melayu giat mempromosikan seni bangsanya, nescaya bahasa Melayu turut akan meraih
keuntungan bersama.

Cabaran multikulturalisme terhadap penakatan seni dan bahasa Melayu

7
Rujuk lelaman maya http://www.joglosemar.co.id/trad_dance.html
8
Rujuk lelaman maya http://www.dancemalaysia.com/Dance/dance.htm
Proses modenisasi telah membawa beberapa perubahan yang ketara terhadap budaya dan seni Melayu
secara umumnya. Di samping beberapa perubahan positif, perubahan-perubahan tersebut adakalanya
bersifat negatif. Natijahnya, setiap ilmu mahupun fenomena yang berlaku sebenarnya dapat disifatkan
sebagai serampang yang bermata dua. Antara fenomena yang telah mengambil tempat melalui proses
modenisasi adalah sebuah proses yang dapat digelarkan sebagai multikulturalisme. Multikulturalisme
merujuk kepada teori kepelbagaian budaya, adat dan tradisi dalam sesebuah masyarakat.

Paradoks multikulturalisme ialah biarpun di suatu sudut ia berupaya untuk memperkembangkan


budaya Melayu, perkara tersebut turut berupaya untuk memberikan kesan-kesan yang negatif terhadap
budaya sesebuah masyarakat. Kesan-kesan negatif tersebut berpangkalan daripada kegagalan beberapa
buah pihak untuk memahami konsep multikulturalisme dengan sempurna. Multikulturalisme sering
menjadi alsan sebagai penegak ideologi yang salah. Bagi golongan tersebut, multikulturalisme turut
bererti bahawa dua ataupun lebih budaya yang berbeza dapat dimajmukkan untuk menghasilkan sebuah
budaya yang baru. Dalam hal ini, acapkali, seni menjadi mangsa utama.

Seperti mana yang telah diterangkan di atas, antara fenomena budaya yang dapat diperhatikan
pada masa kini adalah dalam bentuk usaha beberapa pihak untuk memajmukkan dua atau lebih budaya
yang berasingan. Perkara tersebut walau bagaimanapun tidak bererti bahawa budaya yang dimajmukkan
dengan budaya asal yang menjadi baka budaya baharu, sebuah budaya yang kurang baik. Setiap bangsa
dan budaya mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Masalahnya timbul apabila proses pemajmukan
tersebut dijalankan tanpa usaha mengenali budi dan akal fikiran budaya asal. Hakikatnya, lahirnya
manusia ke muka bumi dalam serba kepelbagaian. Tanggungjawab manusia Melayu adalah untuk
menyedari akan kepelbagaian tersebut dan berusaha untuk mengenali budaya dan budi pekerti bangsa
asing. Di samping itu, masyarakat Melayu turut harus berusaha untuk mengenali adat dan budaya
bangsanya dengan lebih mendalam. Dalam hal ini,pengkaji berpendapat bahawa bahasa Melayu
merupakan bahasa yang paling sesuai digunakan untuk mendekati seni Melayu demi mengenali adat dan
budaya bangsanya sendiri.

Era multikulturalisme membawa pelbagai cabaran yang baru terhadap bahasa Melayu. Dalam
iklim serba kepelbagaian itu, masyarakat lebih cenderung untuk menggunakan bahasa yang fasih
digunakan oleh pelbagai golongan dalam masyarakat. Daripada itu, bahasa Inggeris menjadi bahasa
pilihan masyarakat. Dalam konteks semasa, bahasa Inggeris menjadi pencabar utama kepada bahasa
Melayu. Bahkan, bahasa Inggeris dianggap sebagai pencabar pelbagai bahasa-bahasa kecil di dunia ini.
Wimal Wickramasinghe (2004) berpendapat bahawa “bahasa Inggeris mempunyai ciri-ciri yang terdekat
pada sebuah bahasa antarabangsa yang belum pernah dunia ini miliki.” Daripada itu, apakah yang dapat
dilakukan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu ke taraf yang lebih tinggi lagi? Usaha
memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya turut dapat dilakukan dengan memperbanyakkan lagi
penulisan tentang seni Melayu.

Para aktivis seni Melayu harus diberikan galakan untuk menulis tentang karya-karya seni Melayu.
Tidak kira jenis wadah yang digunakan, secara tidak langsung, selain memupuk minat para pembaca akan
bidang seni Melayu, para aktivis tersebut turut memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa
Melayu. Apatah lagi, proses modenisasi kini membolehkan para penulis untuk menerbitkan karya-karya
mereka dalam bentuk blog. Selain daripada itu, sekiranya para aktivis seni merasakan keperluan untuk
menulis dalam bahasa Inggeris, istilah-istilah Melayu yang digunakan tidak harus diubah demi
memelihara kewibawaan seni tersebut. Mengambil contoh daripada seni mengikat destar dan tanjak,
istilah Dendam Tak Sudah atau Lang’ Menyongsong Angin tidak seharusnya diubah kepada Neverending
Revenge atau Eagle Soars Through The Sky secara sewenang-wenangnya.

Era multikulturalisme sebenarnya turut mengetengahkan satu lagi masalah dalam masyarakat
kontemporari. Dewasa ini, masyarakat Melayu kian dibelenggu kebimbangan keruntuhan identiti budaya
(cultural identity) di kalangan anggotanya. Bagaimanapun, perkara tersebut dapat dielakkan sekiranya
karya-karya tentang budaya dan seni Melayu diperbanyakkan. Bahan-bahan yang berkualiti tinggi dapat
memastikan agar budaya dan seni Melayu yang tulus dan murni terpelihara. Hakikatnya, pada masa ini,
biarpun masyarakat Melayu Singapura dapat dianggap beruntung dengan adanya golongan muda yang
bergiat aktif dalam pergerakan-pergerakan seni Melayu, tidak semua daripada individu tersebut yang
benar-benar memahami akan realiti seni Melayu yang sebenar. Sebagai contoh, tidak semua penari Zapin
Melayu yang faham akan lima pecahan yang terdapat dalam muzik dan tari Zapin sebagaimana yang telah
diterangkan di atas. Pengkaji berpendapat bahawa ketidakprihatinan golongan tersebut akan konsep seni
yang sebenar mungkin berpunca daripada kekurangan bahan tentang seni yang dapat dibaca.

Usaha memartabatkan seni dengan bahasa Melayu sekali gus dapat membantu dalam proses
perkembangan warisan bahasa Melayu ke arah 3000 tahun. Melalui usaha pendokumentasian karya-karya
seni, karya-karya warisan budaya Melayu dapat diabadikan dalam bentuk teks yang menggunakan bahasa
Melayu.

Sumbangsih Seni kepada Bahasa dan Kajian Tentang Orang Melayu

Sumbangan seni kepada bahasa Melayu merupakan sebuah proses yang dinamik dan berterusan. Antara
sumbangsih seni Melayu dalam bahasa jelas diperhatikan dalam rangkaian istilah yang hadir dalam
bidang kesenian. Sebagai contoh :

Bidang Khusus Pecahan 1 Pecahan 2 Pecahan 3


Seni Silat Seligi Tunggal Jurus Bismillah Lian
Sendeng Sekilas Jurus Wajib Tumbuk Belalai
Tapak Suci Jurus Awal Muharram Keris Hidup
Gayong Jurus Gempur Seligi
dll. Gerak 17 Kun
Gerak 21 Sentung
dll Pisau
Sapuan
Guntingan
dll.
Seni Tenunan Songket Songket Rapat Kepala Pucuk Rebung
Songket Tabur Badan Bungan Cengkih
Kaki Kain Tapak Catur
Siku Keluang
Tampuk Manggis
Tampuk Buah
Kesemak
Bunga Tiga Dara
Bunga Mahkota Raja
dll.
Seni Zapin Zapin Tradisional Zapin Tenglu Ragam Titi Batang
Zapin Kontemporari Zapin Hanuman Ragam Pusau Belanak
Zapin Hip Hop Ragam Ekor Patin
Zapin Telok Blangah Ragam Siku Keluang
Zapin Lenga Ragam Tukar Kaki
Zapin Laila Sembah Ragam Bunga Depan
dll Ragam Pusing Tak
Jadi
Ragam Loncat Belana
Ragam Belah
Mumbang
dll.
Seni Ikatan Destar Destar Tradisional Destar Terengganu Tanjak Sekelongsong
Destar Kontemporari Destar Kelantan Bunga
Destar Johor Tanjak Ketam Budu
Destar Selangor Destar Setangan Tsih
dll. Destar Tebing Runtuh
Destar Tubang Layar
Destar Lang Sioh
dll.
Seni Graftera Graftera Kubisme
Catan/Lukisan/Foto/Sastera Tektra Abstrak
Fototra Surrealisme
dll. Absurd
Kolaj
Monokrom
dll.

Sumbangsih seni terhadap bahasa Melayu jelas terlihat pada kosa kata yang diperkenalkan
melalui usaha memperkembangkan khazanah budaya dan seni Melayu. Namun begitu, selain daripada
contoh yang diberikan, antara keupayaan seni adalah dalam kebolehannya untuk menghidupkan semula
istilah-istilah yang sudah hampir pupus dan tidak dikenali lagi. Dalam hal ini, pengkaji merujuk kepada
karya-karya kesusasteraan. Sebagai contoh, melalui kecenderungan Mohamed Latiff Mohamed (2007)
untuk menggunakan istilah-istilah klasik dalam karya-karya puisinya, beliau telah berjaya untuk
menghidupkan semula istilah-istilah lama atau jarang digunakan. Antara istilah-istilah yang digunakan
beliau adalah bianglala, jelaga dan sebagainya.

Penggubalan istilah-istilah baharu dalam seni memastikan agar ia sentiasa segar dan menarik.
Seniman bebas untuk mencipta kata atau frasa nama secara arbitrari. Lewat kata dan frasa nama yang
diberikan, para seniman merakamkan situasi ataupun suasana sesuatu zaman. Kata dan frasa nama yang
menjadi pilihan para seniman dapat dilihat sebagai transkrip yang tersirat akan dunia sekeliling zaman
tersebut atau peristiwa yang mengilhamkan sesuatu karya. Jelas sekali, kata nama yang dipilih tidak
pernah muncul dalam ruang kekosongan dan sarat dengan jiwa yang seni sifatnya. Sebagai contoh,
songket Melayu menggunakan istilah-istilah yang menggambarkan suasana alam. Jelas bahawa elemen-
elemen yang dipilih sebagai motif utama dalam songket memainkan peranan yang besar dalam kehidupan
orang Melayu. Kata dan frasa nama yang dipilih menjelaskan kefahaman budaya masyarakat Melayu
pada sesuatu zaman.
Lazimnya, penenun-penenun tradisional tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi pelbagai
jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh. Local
genius tersebut bersifat kreatif dan mempunyai pemerhatian yang tajam serta daya imaginasi yang kuat.
Hasilnya, kebanyakan motif songket terdiri daripada pokok, bunga, burung dan sebagainya. Hal yang
sama turut dapat diperhatikan dalam pemilihan kata nama bagi destar. Misalnya, destar Lang
Menyongsong Angin merakamkan kemegahan burung helang dalam penerbangannya. Kemegahan
tersebut seterusnya dikeramatkan dalam bentuk frasa nama yang menjadi simbol terhadap ikatan Lang
Menyongsong Angin.

Sumbangan seni terhadap bahasa dan pengajian orang Melayu secara amnya tidak dapat
dipisahkan. Pengkaji percaya, tanpa kehadiran seni yang serba indah, para pengkaji alam Melayu pasti
berhadapan dengan kerumitan dalam mengkaji budaya dan kosmologi orang Melayu.

Penutup

Hubungan akrab antara seni dan bahasa Melayu telah dihuraikan dalam kertas kerja ini. Lewat
perbincangan tentang hubungan dwihala antara seni dan bahasa Melayu, seni sebagai alat pemangkin
penggunaan bahasa Melayu, cabaran multikulturalisme terhadap penakatan seni dan bahasa Melayu, dan
sumbangsih seni kepada bahasa dan kajian tentang orang Melayu, pengkaji telah menghuraikan kesan dan
impak yang dimainkan seni Melayu dalam usaha memartabatkan bahasa. Bahasa dan seni Melayu tidak
harus dilihat daripada perspektif yang berbeza. Apatah lagi, bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa
yang indah dan berseni. Kefahaman hubungan akrab antara kedua-dua entiti tersebut memberi keyakinan
akan peranan yang dapat dimainkan oleh para aktivis seni dan seniman.

Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa bahasa menjadi sebuah
komponen penting dalam seni pada dua peringkat utama. Pada peringkat pertama, iaitu peringkat
prakarya sementara di peringkat kedua, bahasa memainkan peranan dalam proses yang terdapat pada
peringkat pascakarya. Di peringkat pertama, bahasa Melayu digunakan bagi tujuan penulisan sinopsis.
Walau bagaimanapun, di suatu sudut yang lain bahasa Melayu digunakan dalam proses peristilahan dan
pemberian tajuk kepada karya.

Proses tersebut sekali gus turut merupakan sumbangan utama seni ke dalam bahasa Melayu, iaitu
dalam bentuk kata dan frasa nama yang digunakan bagi peristilahan konsep dan idea. Meskipun terdapat
beberapa istilah yang turut digunakan sebagai kata kerja seperti menganyam, menari dan sebagainya,
jumlah istilah-istilah tersebut kecil berbanding dengan kata dan frasa nama. Seperti yang dapat
diperhatikan dalam bahagian terakhir kertas kerja ini, sumbangsih seni kepada bahasa Melayu amat besar.
Sumbangan seni terhadap bahasa merupakan sebuah proses yang berpanjangan. Perkembangan seni
melalui usaha-usaha baharu seperti graftera turut menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu.
Sikap kreatif seniman Melayu dalam usaha seni mereka telah menyumbang kepada perkembangan
bahasa, budaya dan bangsa Melayu. Dalam memastikan penakatan bahasa Melayu ke arah 3000 tahun,
seniman turut memainkan peranan yang penting dalam usaha kreatif mereka. Dengan cara itu, seni dan
bahasa Melayu dapat memastikan pengekalannya pada hari muka.
Bibliografi

Abdul Ghani Hamid. (2001). Reaksi : Antologi Esei & Puisi. Singapura: Angkatan Pelukis Aneka Daya.

Aliman Hassan. (2007). Sanggan Budaya. Singapura: Angkatan Sasterawan '50.

Arbak Othman. (1981). Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.

Asmah Haji Omar. (1992). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

__________. (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________. (1993). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________. (1993). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bloch, Bernard & George L. Trager. (1942). Outline of Linguistic Analysis. Amerika Syarikat: Linguistic
Society of America.

Farish A. Noor dan Eddin Khoo. (2003). Spirit of Wood : The Art of Malay Woodcarving. Singapura:
Periplus Editions (HK) Ltd.

Grenoble, L. A., & Whaley, L. J. (2006). Saving Languages : An Introduction To Language Revitalization.
United Kingdom: Cambridge University Press.

Hairidin Harun. (2001). Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hutcheon, P. D. (1994). Is There A Dark Side To Multiculturalism? Humanist dlm. Canada , 26-29.

Jacobs, M. (1964). Pattern in Cultural Anthropology. Illinois: The Dorsey Press.

Lee Lai Foon & Raja Masittah Raja Ariffin. (2005). Petunjuk Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (2007). Evolusi Bahasa Melayu : 2000 Tahun dari
Zaman Purba ke Budaya Elektronik. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Anis Md Nor. (2000). Zapin Melayu di Nusantara. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor.
Muhammad Jailani Bin Abu Talib. (2009). Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. dlm. A. G. Abdullah,
Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mukhlis Abu Bakar. (2002). Pengantar Sintaksis dan Semantik Bahasa Melayu. Singapura: Pustaka
Nasional Pte. Ltd.

Mohamed Latiff Mohamed. (2007). Bila Rama-Rama Patah Sayapnya. Singapura : Angkatan Sasterawan
‘50

Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Norazit Selat. (2000). Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. Dlm Abdul Latiff Abu Bakar, Adat
Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka.

Noresah Baharom et. al. (2007). Kamus Dewan Edsi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Rahmah Bujang. (2008). Reka Bentuk Seni 2008. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya.

____________. (2008). Glosari Kesenian Melayu : Seni Visual & Seni Persembahan. Kuala Lumpur :
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Saidatul Nornis Hj Mahali. (2007). Unsur Bahasa dalam Budaya. Sabah: Penerbit UMS.

Soedarsono. 1998. Seni Pertunjukan Indonesia di Era Globalisasi. Jakarta : Direktorat Jendral Pendidikan
Tinggi Departemen Pendidikan Nasional.

Soedarso SP. 1987. Tinjauan Seni : Sebuah Pengantar Untuk Apresiasi Seni. Yogyakarta; Suku Dayak
Sana.

Sri Hermawati Dwi Arini. (2008). Seni Budaya Jilid 1. Jakarta : Departemen Pendidikan Nasional

Wickramasinghe, W. (2004, February 16). Is English a Killer Language? Daily News . Ceylon, Sri Lanka,
Sri Lanka: The Associated Newspapers of Ceylon Ltd.

(Julai 27, 2006). Guggenheim Study Suggests Arts Education Benefits Literacy Skills. dlm R. Kennedy,
The New York Times.

Azmi Juhari. (2008, August 2-3). Zapin Gemersik Ombak. (Kumpulan Azpirasi, Tari) Stadium Tertutup
Johor Bahru, Johor Bahru, Johor Bahru, Malaysia.

Tom Ibnur. (2008, August 2-3). Zapin Kampung Manggis. (Kumpulan Jambi, Tari) Stadium Tertutup
Johor Bahru, Johor Bahru, Johor Bahru, Malaysia.

Dance. (t.t.). Diperolehi Mei 11, 2009, daripada Dancemalaysia:


http://www.dancemalaysia.com/Dance/dance.htm

Suryo S. Negoro. (1998). Javanese Traditional Dance. Diperolehi Mei 11, 2009, daripada Joglosemar:
http://www.joglosemar.co.id/trad_dance.html
Muhammad Jailani bin Abu Talib. (November, 2007). What is Art?. Diperolehi Mei 28, 2009, daripada
Scribd : http://www.scribd.com/doc/15775699/what-is-art

You might also like