You are on page 1of 11

LAPORAN BENGKEL TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR TAHUN 6

Tarikh Hari Tempat

: 31 Julai 2013 1 Ogos 2013 : Rabu & Sabtu : SEKOLAH KEBANGSAAN CONVENT SENTUL 1

Objektif

Antara objektif yang ingin dicapai melalui program yang dijalankan ialah : 1. Mengetahui cara dan teknik yang betul untuk menjawab soalan UPSR. 2. Mengetahui topik-topik penting yang perlu diberikan tumpuan. 3. Meningkatkan pemahaman dan memperkasakan keazaman untuk kecemerlangan diri.

Sasaran Senarai

: Semua murid Tahun 6 Sek. Keb. Convent Sentul 1 : Nama peserta (Rujuk Lampiran 1) Nama Guru yang terlibat (Rujuk Lampiran 2)

Strategi Perlaksanaan i ii iii Motivasi Kemahiran Belajar Berkesan Kemahiran Teknik Menjawab Soalan UPSR

a) Sebelum pelaksanaan Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6 merupakan salah satu program hasil perancangan guru baharu dengan Unit Peperiksaan. Sebelum melaksanakan program ini, kami telah berbincang bersama-sama dan juga berkolaborasi bersama guru mentor dan guru kaunselor sekolah. Hasil perbincangan kami, guru kaunselor sekolah telah memanjangkan cadangan kami kepada pihak pentadbiran sekolah dan juga guru besar sekolah. Hasil daripada itu satu perjumpaan dengan semua guru Tahun Enam telah dilaksanakan di mana dalam perjumpaan tersebut, penerangan ringkas mengenai perjalanan program dari segi jumlah kewangan, tentatif program dan juga pengisian program telah diberikan. Cadangan yang diberikan diterima oleh semua guru yang terlibat dan mereka memberi sokongan yang baik terhadap program tersebut. Oleh itu, kami berkolaborasi bersama guru mentor, guru kaunselor sekolah dan beberapa orang guru bagi mengagihkan tugas mengikut tugasan masing-masing. b) Semasa pelaksanaan

Sesi Pendaftaran

Pada 31 Julai dan 1 Ogos 2013 yang lalu iaitu hari rabu dan khamis, Unit Peperiksaan telah mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6 dengan kerjasama guru baharu dan guru-guru Tahun 6. Para peserta telah berkumpul dan mendaftar pada jam 7.30 pagi. Setelah mendaftar semua peserta dan guru pengiring perlu berada di dalam dewan dan seterusnya mengadakan bacaan doa. Program ini bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 1 petang. Aktiviti yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan 4 orang penceramah iaitu Pn. Aidah bt Md Nor (Bahasa Melayu), Cik Norhazelinawati bt Mohamed (Bahasa Inggeris), Cik Wan Nur Saadah bt Hasbullah (Matematik), dan Pn. Hindun bt Iddress (Sains). Mereka merupakan guru yang

berpengalaman dalam subjek masing-masing.

Sesi Teknik Menjawab Soalan UPSR: Matematik Sesi teknik menjawab soalan UPSR bagi subjek Matematik telah dimulakan dengan aktiviti menyanyikan lagu motivasi. Aktiviti ini diadakan bagi memberi kesedaran dan meningkatkan semangat peserta untuk memantapkan persediaan mereka bagi menghadapi peperiksaan UPSR yang bakal tiba.

Murid-murid telah dibekalkan dengan bahan edaran agar mereka dapat memberi tumpuan yang lebih kepada isi kandungan yang akan disampaikan oleh penceramah. Sesi ini berjalan dengan lancar. Penceramah telah

memberikan banyak panduan sebagai teknik menjawab soalan Matematik. Murid-murid juga diminta untuk tampil kehadapan bagi menyelesaikan soalan yang diberikan berpandukan teknik menjawab soalan yang telah dipelajari. Semua murid tahun enam memberikan tumpuan yang baik dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi.

Sesi Teknik Menjawab Soalan UPSR: Bahasa Inggeris Sesi teknik menjawab soalan UPSR bagi subjek Bahasa Inggeris juga berjalan dengan lancar. Penceramah begitu bersemangat memberikan panduan dan tips dalam menjawab soalan bagi subjek Bahasa Inggeris. Penceramah telah memberikan tumpuan serta bimbingan yang lebih terhadap murid yang lemah dalam menguasai subjek ini. Aktiviti perbincangan dan soal jawab juga telah diadakan bagi memberi ruang kepada murid-murid untuk menyatakan masalah mereka dalam menjawab soalan. Semua peserta memberikan sepenuh perhatian terhadap penerangan yang telah diberikan.

Sesi Teknik Menjawab Soalan UPSR: Bahasa Melayu Pada hari yang berikutnya, sesi teknik menjawab soalan UPSR bagi subjek Bahasa Melayu telah dijalankan. Penceramah telah menerangkan cara dan teknik yang betul bagi menjawab soalan Bahasa Melayu. Semua murid memberikan tumpuan yang baik terhadap penerangan tersebut. Murid diberi peluang untuk menyalurkan idea mereka menerusi aktiviti sumbang saran dan perbincangan. Mereka digalakkan untuk berkongsi idea berdasarkan

pengalaman dan juga pengetahuan sedia ada

yang mereka peroleh. Murid-

murid menunjukkan kesungguhan mereka dalam melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan oleh penceramah.

Sesi Teknik Menjawab Soalan UPSR: Sains

Sesi yang terakhir adalah teknik menjawab soalan UPSR bagi subjek Sains. Penceramah telah menekankan soalan yang sukar dikuasai murid untuk dibincangkan secara lebih mendalam disamping menerangkan teknik yang betul untuk menjawab soalan. Murid-murid digalakkan untuk berani mencuba menyelesaikan soalan yang diberikan. Aktiviti perbincangan juga dijalankan bagi mewujudkan interaksi yang aktif antara murid-murid. Seterusnya pada hari terakhir majlis penutup berjaya dilaksanakan dengan baik dan dihadiri oleh guru-guru Tahun 6 yang terlibat. Majlis bersurai tepat jam 1.00 petang.

c) Selepas pelaksanaan Selepas terlaksananya program ini, guru baharu dengan Unit

Peperiksaan telah membuat refleksi terhadap program yang telah dijalankan. Refleksi ini bertujuan untuk menilai sejauh mana keberkesanan program ini terhadap pengalaman langsung yang telah dilalui oleh kami.

Refleksi a) Kekuatan Program Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6 telah direncanakan bagi memberi pendedahan kepada teknik dan kemahiran menjawab soalan yang boleh membantu kepada kecemerlangan UPSR. Program ini merupakan satu program yang penting dan memerlukan persediaan yang rapi dan sistematik bagi memastikan program ini berjaya. Program ini telah berlangsung dengan jayanya hasil daripada kolaborasi pelbagai pihak. Program ini telah melibatkan semua guru Tahun 6 yang diketuai oleh Unit Peperiksaan, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sokongan padu daripada pihak pentadbir sekolah. Program ini merupakan satu medium di mana sekolah dapat melahirkan lebih ramai murid yang mendapat keputusan cemerlang atau 5A dalam UPSR tahun 2013. Kesatuan yang utuh juga dapat dieratkan antara pihak sekolah, PIBG, dan juga murid-murid. Tambahan pula program ini merupakan program tahunan sekolah. Melalui program ini juga, jalinan silaturrahim antara pihak sekolah dan murid-murid juga dapat dieratkan bagi masa ini dan masa akan datang. b) Kelemahan Program Program ini juga tidak terkecuali daripada beberapa kelemahan. Antaranya ialah sebelum melaksanakan program ini masalah kewangan membelenggu pihak sekolah. Namun begitu tindakan guru besar dan guru-guru yang sanggup memberikan sedikit sumbangan berupa wang telah menyelesaikan masalah ini.

Sepanjang program berlangsung terdapat juga sedikit kelemahan dari segi disiplin murid. Semasa program ini dijalankan saya dapat melihat beberapa orang murid yang tidak bersemangat semasa melaksanakan aktiviti yang dirancang. Kami terpaksa memantau murid dari semasa ke semasa bagi memastikan murid melibatkan diri terutamanya murid yang lemah menguasai sesuatu subjek. Murid-murid yang lemah ini tidak mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu perkara yang baharu. Mereka lebih cenderung untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan kerana bersikap kurang keyakinan terhadap keupayaan dan bakat diri sendiri. Namun begitu, murid berkenaan telah ditegur dan diberikan nasihat oleh penceramah bertugas bagi memberikan kesedaran dan mendisiplinkan diri mereka.

Cadangan Penambahbaikkan Sepanjang Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6 ini, terdapat beberapa perkara sebagai saranan dan cadangan untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Dari segi masalah murid yang tidak bersemangat, penambahbaikan boleh dibuat dengan menggalakkan murid-murid untuk mencuba serta memberikan pujian kepada mereka jika mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang. Pengiktirafan seperti hadiah dan sijil penyertaan juga boleh diberikan untuk menggalakkan murid berusaha gigih dan

bersemangat untuk menyertai aktiviti yang dijalankan. Murid-murid haruslah

diterapkan dengan nilai murni supaya mereka dapat berusaha bersungguhsungguh dan tidak mudah mengalah untuk mencuba pengalaman yang baharu. Setiap sesi atau aktiviti semasa program ini berlangsung boleh juga melibatkan guru sekolah. Hal ini kerana dapat mengakrabkan hubungan antara guru dan juga murid. Selain itu juga, guru-guru matapelajaran juga seharusnya tidak melepaskan peluang untuk sama-sama belajar bagi meningkatkan lagi kemahiran serta pengetahuan dalam subjek masing-masing. Kesimpulan Setelah berlangsungnya program ini, banyak ilmu dan juga kemahiran dapat diperolehi. Hal ini kerana program ini menuntut seseorang itu itu berfikir jauh ke hadapan dan menuntut seseorang itu bertindak bijak dalam mengawal murid yang berada dalam bilangan yang besar. Berdasarkan perkara tersebut dapatlah saya merumuskan bahawa program ini dapat membantu murid-murid Tahun 6 untuk mengetahui cara dan teknik yang betul untuk menjawab soalan UPSR serta mengetahui topik-topik penting yang perlu diberikan tumpuan seterusnya dapat meningkatkan pemahaman dan memperkasakan keazaman untuk kecemerlangan diri mereka. Selain itu, program ini juga dapat menghubungkan kerjasama yang baik serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama rakan-rakan guru dan pihak pentadbir sekolah. Akhir sekali, program ini berjaya dilaksanakan berlandaskan kepada objektif yang telah ditetapkan. Oleh itu, kewujudan program seumpama ini di setiap sekolah adalah sangat digalakkan.

Disediakan Oleh, .......................................... (CIK NURUL IZYANTI BT IDERIS) Setiausaha, Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1, Kuala Lumpur.

Disemak oleh, . (PN. AIDAH BT MD NOR) Penasihat, Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1, Kuala Lumpur.

Disahkan oleh, (PN. HJH AUZARIAH BT HJ. ABDULLAH) Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1, Kuala Lumpur.

You might also like