You are on page 1of 5

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Latar belakang

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam


proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk
dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi
dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua
lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia,
proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi
supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan. Perancangan
kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan
bangsa dan ketahanan negara.

Rasional

Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara


membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini
nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan
identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.

Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan


sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun
dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat
pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan
pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-
unsur kebudayaan dunia.

Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, pewujudan Kebudayaan
Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang
ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini

Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia,Filipina, Singapura, Brunei,


Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan
Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun
atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan
warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan
dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa
Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau
ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga
bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam,
kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara
hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat
manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian,
kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan
Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima

Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses


penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi
penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur
budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan
dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan
dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan
Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-
asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi
negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses
pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan
usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi
unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan
kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan
nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres


Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Objektif

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah


penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatu padu. Dengan yang
demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan
untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;

(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada


Kebudayaan Kebangsaan; dan

(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan


kerohanian yangseimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-
asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan,
pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;

(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing


dan melatih peminat, mendukung dan mengerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai
jentera pembangunan yang berkesan;

(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan


dan nasionalisme Malaysia;

(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan

(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, penglibatan pihak lain juga
adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-
kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan
berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.

Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dalam pelaksanaan matlamat


dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan
penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian
dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai
melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara
sebagai pengelola dan urus setia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis
Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan
kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.

Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang


lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan
harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-
pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan
peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi
masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek
kebudayaan.

Penutup

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara
Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang
mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam
membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti
negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit
dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas
akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana
dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan
kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan
mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan
memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara
yang merdeka dan bermaruah.

Pengenalan Kebudayaan

Kebudayaan adalah keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan
pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalam untuk
kesejahteraan hidup.

MEMAHAMI KEBUDAYAAN SECARA UMUM

Dalam pengertian yang paling umum, kebudayaan merupakan seluruh cara hidup sesuatu
masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari
satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran.

Tetapi dalam pertuturan sehari-hari, kebanyakan daripada kita membuat pengertian


kebudayaan atau mengaitkan dengan fenomena-fenomena seperti bentuk tarian dan
muzik, makanan, fesyen pakaian sahaja. Jadi pengertian di sini adalah terlalu sempit dan
terhad. Tetapi bagi ahli sains sosial, pengertian kepada konsep kebudayaan ini lebih luas.

Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang
dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala
kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-undang, moral, institusi sosial, seni
lukis, bahasa dan bahan-bahan material.

Edward B.Taylor telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan.

"..kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu


pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-
lain kebolehan serta kebiasan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat."

(Rujukan sumber dari buku Seminar Kefahaman Budaya, terbitan kementerian


Kebudayaan, kesenian dan pelancongan Malaysia - Disember 1999)

BIDANG KEBUDAYAAN
(Petikan dari Kebudayaan Kebangsaaan oleh A.Aziz Deraman)

Bidang kebudayaan itu bolehlah dilihat diantaranya melalui :

1
Fikiran / idea Seperti ilmu pengetahuan, bahasa, falsafah, persuratan, metos, lagenda,
kesusasteraan, kepercayaan dan cerita-cerita lisan.
2
Kebendaaan Seperti seni bina, bangunan, alat-alat-alat mesin, object de art, pakaian,
makanan, ubat-ubatan dan perabot.
3
KesenianDilihat dari dua bidang kemahiran iaitu seni lakon ( teater, tarian, muzik,
nyanyian ) dan seni tampak ( ukiran, lukisan, seni pahat, tenunan, takat dan anyaman )
4
Nilai dan NormaSeperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, ‘folk-ways &
‘mores’, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan
bersopan santun.

Keempat-empat bidang tersebut akan memperlihatkan bukan sahaja hasil-hasil yang


berasaskan sesuatu yang abstrak atau tidak kelihatan (intangible), tetapi juga bercorak
kebendaan (tangible). Hasil-hasil ini lahir sebagai bentuk-bentuk yang menunjukkan
kebudayaan sesuatu masyarakat secara fizikal, (jasmaniah) atau non-fizikal (rohaniah).

Misalnya pertalian diantara pemikiran dengan perlakuan dan pemilikan dapat


digambarkan melalui ketinggian mutu seni ukir yang lahir daripada pemikiran dan
falsafah yang tinggi, dijelmakan dari perbuatan mengukir dan akhirnya ukiran itu menjadi
suatu hasil warisan budaya.

You might also like