Professional Documents
Culture Documents
Dalam dunia kepengakapan, sesebuah laporan kemajuan, pencapaian dan aktiviti bertulis
atau dicatatkan oleh seseorang Pengakap yang mengambil sesuatu ujian lencana atau
anugerah adalah dipanggil sebagai ‘Buku Log’.
Buku Log seharusnya mengandungi catatan rekod yang diharapkan boleh dijadikan
panduan, laporan dan juga pengesahan terhadap penglibatan seseorang Pengakap itu.
Ianya juga boleh merupakan rakaman peristiwa yang berlaku dan catatan harian bagi
sesuatu aktiviti Pengakap.
Sehubungan itu, seseorang pencatat buku log haruslah mengasah kemahiran meneliti dan
menghalusi pemahaman terhadap persekitarannya serta mampu pula menzahirkannya
dalam bentuk penulisan, lakaran mahupun bantuan visual ataupun grafik.
Di dalam buku log ahli Pengakap, Pemimpin juga boleh mencatat komen terhadap
penulisan serta memberikan pengesahan terhadap ujian yang diambil oleh ahli Pengakap
tersebut.
NOTA:
Semasa Ujian Pentarafan Pengakap Raja, buku log peserta akan diperiksa oleh
Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Negeri untuk melihat sejarah serta penglibatan
peserta dalam Kepengakapan secara keseluruhan. Jadi, pemeriksa akan mengharapkan
yang peserta akan melampirkan atau melekatkan salinan sijil-sijil kelulusan bagi
lencana dan ujian terbabit di dalam buku log mereka.
Setakat ini, tiada had piawai bagi jumlah mukasurat sesebuah buku log. Namun
berdasarkan pengalaman, buku log yang baik hendaklah mempunyai sekitar 200 – 300
helaian dan sebaiknya yang berkulit tebal agar ianya boleh disimpan dengan baik pada
satu jangka masa yang lama.
Satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh Pemimpin Pengakap kepada saya ialah
‘Berapa banyak Buku Log harus disediakan oleh setiap Pengakap yang ingin mengambil
ujian tertentu?’
Saya masih ingat sewaktu saya menjadi ahli Pengakap Kanak-kanak dahulu, saya
menyimpan semua rekod dan nota Pengakap saya di dalam SATU buku log bersaiz 21 cm
X 17 cm dengan ketebalan 600 mukasurat. Dan buku tersebut juga saya gunakan
sepanjang tempoh saya menyertai Pengakap Kanak-kanak sehingga saya menamatkan
persekolahan rendah saya. Maksudnya, kesemua catatan, nota dan pengesahan Pemimpin
kami terhadap Ujian Lencana Keahlian hingga Lencana Keris Emas saya catatkan dalam
satu buku. Itu merupakan kelaziman di kalangan Pengakap pada masa tersebut.
Namun begitu, bukan senang untuk menjaga sebuah buku untuk satu tempoh yang lama.
Malah ianya berkemungkinan hilang dalam sesuatu program atau aktiviti yang disertai
oleh seseorang Pengakap. Kesannya, seseorang Pengakap yang kehilangan buku lognya
harus memulakan semula catatan buku lognya dari awal. Nota tersebut mungkin boleh
ditulis semula, tetapi bagaimana pula dengan pengesahan Pemimpin yang telah
diterimanya?
Berikut merupakan cadangan bagaimana pembahagian catatan Buku Log bagi tajuk-tajuk
asas yang sesuai dan mudah dijaga oleh seseorang Pengakap.
* Bagi semua unit-unit Pengakap di atas, program atau aktiviti tambahan yang disertai
seperti perkhemahan, kursus, jambori dan sebagainya boleh dimuatkan dalam 1 buku
berasingan.
Kegunaan Buku Log sebenarnya bukan hanya terhad kepada ahli Pengakap yang ingin
mengambil ujian. Pemimpin serta Pesuruhjaya Pengakap juga masih boleh menggunakan
kaedah buku log untuk merekodkan benda-benda seperti berikut :
Nota : Hingga kini, saya masih membuat catatan Buku Log Setiausaha Latihan Negeri
yang mencatatkan maklumat berkaitan perjalanan serta Kursus-kursus Kepimpinan
Manikayu dan Vigil Pengakap Kelana yang saya hadiri dan bantu di serata negeri.
MAKLUMAN:
Untuk kegunaan Pentarafan Pengakap Raja, pihak Lembaga Pentaraf Negeri telah
menetapkan bahawa setiap calon harus menghantar atau membawa bersama buku-buku
log berikut untuk diperiksa serta bagi kegunaan ujian semasa pentarafan.
* Buku-buku Log tersebut di atas haruslah telah disahkan oleh Pesuruhjaya Daerah atau
sekurang-kurangnya Pemimpin Kumpulan.
Kulit luar buku amat penting dijaga agar ianya tahan lama dan tidak mudah rosak.
Sebaiknya kulit buku tersebut dibalut dengan plastic (pvc book wrapper) agar tidak
mudah binasa akibat basah.
Logo bagi ujian atau lencana berkaitan boleh dilekatkan bagi memudahkan penulis serta
pemeriksa membezakan buku-buku log yang ada mengikut isi kandungannya.
Contoh bagi lapisan luar buku yang telah saya keluarkan bagi pihak Majlis Pengakap
Daerah Penampang.
Halaman pertama
Halaman pertama merupakan halaman yang paling penting kerana di sinilah selalunya
para pemeriksa dapat membuat pemerhatian umum dan mengagak kesungguhan penulis
dalam menyediakan buku tersebut (First impression evaluation).
Maklumat Asas
Nama Penuh
No. Sijil Lahir / Kad Pengenalan
Tarikh dan Tempat Lahir
No. telefon / Telefon bimbit
Alamat e-mail / url
Alamat surat menyurat
Maklumat Kepengakapan
Tarikh Mula Berpengakap
Nama Sekawan / Patrol (terkini)
No. Kumpulan / Troop / Krew (terkini)
Nama dan alamat Sekolah (terkini)
Daerah (terkini)
Contoh halaman pertama buku log yang mengandungi maklumat peribadi penulis bagi
buku log tersebut
Halaman kedua
Halaman kedua selalunya adalah lebih baik dimuatkan kandungan atau sukatan bagi ujian
lencana (bagi buku log lencana). Ruangan untuk tandatangan pengesahan pemimpin
beserta tarikhnya juga harus disediakan di tepi kanan setiap tajuk ujian yang
disenaraikan.
Nota :
Di masa lepas, setiap Pengakap dibekalkan dengan 'Kad Ujian' (Laporan Kemajuan)
mengandungi sukatan ujian serta ruangan tandatangan Pemimpin. Dan kad ini dilekatkan
pada buku log.
Pada hari ini, Buku Log berfungsi sebagai 'Kad Ujian' bagi setiap ahli Pengakap.
Adalah dicadangkan agar ruangan selebar 1 – 2 inci disediakan di sebelah kanan setiap
muka surat di dalam buku log. Ini adalah untuk memudahkan perkara-perkara berikut :
Penulis bebas untuk menggunakan foto, lakaran, lukisan mahupun sebarang bentuk
ilustrasi untuk menyokong laporan ataupun nota di dalam buku log mereka. Namun,
ianya haruslah tulen dan menggambarkan perkara sebenar mengikut skim ataupun
berdasarkan pengalaman ataupun apa yang telah dilakukan oleh penulis.
Contoh laporan bergambar di dalam Buku Log
Lakaran ataupun lukisan sebaik-baiknya dilukis sendiri oleh penulis. Pemeriksa buku log
tidak menilai atas cantik atau tidaknya sesebuah lukisan yang dibuat di dalam buku
log,Apa yang lebih penting ialah penulis berupaya menyampaikan laporan serta nota
dengan jelas hasil dari kerja tangan mereka sendiri.
Contoh lukisan di dalam Buku Log
Penulisan di dalam Buku Log haruslah benar, asli dan jelas. Penulis haruslah
menggunakan ayat yang ringkas tetapi padat, tepat dan jelas. Elakkan penggunaan ayat
yang panjang berjela-jela.
Contoh bentuk penulisan laporan
Apa yang dicatatkan di dalam Buku Log haruslah berbentuk laporan terhadap apa yang
telah dilakukan oleh penulis dan bukannya SALINAN nota dari bahan rujukan lain.
(Kecuali sesetengah nota yang berbentuk fakta seperti lagu kebangsaan, tugas dan fungsi
jawatan-jawatan tertenu dan sebagainya).
Buku Log adalah merupakan nadi kepengakapan seseorang ahli Pengakap. Ianya
merupakan bukti kepada kesungguhan, komitmen serta penglibatan ahli dalam aktiviti,
program dan ujian sepanjang mereka berpengakap.