You are on page 1of 2

Topik 4:

Teori-teori pendidikan seni


Oleh: Hassan Mohd Ghazali
Fakulti Seni dan Muzik

Seni sebagai Peniruan Alam


(Teori seni Aristotle)

Aristotle merupakan pelajar kepada Plato (384-322 SM) dilahirkan di


Stagyra, Macedonia, putera Nichomachus iaitu doktor kepada raja
Macedonia. Beliau adalah seorang pelajar yang sangat tekun dan mula
menuntut dengan Plato ketika berusia 20 tahun.
Seperti gurunya Plato, Aristotle menumpukan perhatian kepada
persoalan seni dengan melihat bahawa unsur peniruan atau mimesis
sebagai yang lebih positif. Aristotle mengatakan bahawa karya seni harus
mempunyai nilai peniruan, iaitu meniru kejadian aktiviti di dunia. Beliau
tidak bersetuju pendapat Plato yang mengatakan bahawa peniruan adalah
kategori ketiga dan karya peniruan itu adalah tidak benar. Sebaliknya
Aristotle menekankan bahawa mimesis itu adalah sebagai representasi aksi
dan kehidupan manusia melalui sesuatu rangka cerita atau struktur yang
sesuai.
Aristotle telah menerangkan bahawa proses mimesis adalah
merujuk kepada proses meniru atau menghasilkan semula kata-kata dan
gerak-geri orang lain dan ini adalah sebagai imitasi. Beliau banyak
menunjukkan contoh dalam seni kesusasteraan dan drama. Dalam
karyanya bertajuk Poetics, beliau menyatakan, imitasi ialah sesuatu yang
dilakukan oleh seorang manusia semasa dia masih kanak-kanak, dan salah
satu keuntungan manusia jika dibandingkan dengan binatang ialah
seseorang manusia itu merupakan makhluk hidup yang mengimitasikan
(kata-kata dan gerak-geri manusia lain), dan dia juga mula mempelajari
sesuatu itu daripada proses imitasi (Lok, 1997).
Aristotle merujuk kepada karya drama tragedi yang mewakili aksi
dan kehidupan manusia. Itu lah yang dikatakan mimesis. Ia mewakili
manusia bukan dengan menceritakan kehidupan seseorang yang wujud
dan hidup di dalam dunia ini, tetapi melalui cerita yang direka oleh penulis
dan pengarah. Menurut Lok (1997), mimesis berlaku apabila ahli drama
itu menyusun peristiwa dalam dramanya supaya ia mempunyai ciri-ciri
rangka cerita bahagian permulaan, pertengahan dan akhir dan mempunyai
pertalian demi pertalian antara peristiwa dalam sesebuah drama tragedi.
Bagi Aristotle, watak individu dan peristiwa dalam sesebuah
drama itu hanya merupakan alat yang digunakan oleh ahli drama untuk
Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 1
@ Hassan Mohd Ghazali
menyampaikan pengetahuan dan pengajaran yang lebih umum. Beliau
mengatakan fungsi drama ialah menceritakan sesesuatu peristiwa melalui
mesej tertentu. Pendapat ini bertentangan dengan Plato yang mengatakan
drama adalah cerita palsu.
Bagi Aristotle seni bukanlah meniru hasil buatan orang atau
meniru alam sekitar, tetapi seni meniru aktiviti semula jadi. Menurutnya
lagi alam semula jadi menghasilkan sesuatu dengan menyatukan bahan
yang sesuai dengan sesuatu bentuk. Seseorang seniman meniru proses
kreatif dalam alam semula jadi dengan menyatukan bahan tertentu dalam
bentuk atau struktur yang sesuai. Seniman menggunakan sumber alam
untuk membentuk melalui idea menjadi sesuatu bahan kreatif. Dalam
karyanya bertajuk Poetics, bab 1, beliau menunjukkan bahan yang
digunakan oleh bentuk-bentuk seni yang berlainan dalam proses imitasi.
Ahli seni catan dan ahli seni pahat menggunakan warna dan bentuk untuk
menghasilkan sebuah karya imitasi. Dalam konteks ini, mimesis tidak
boleh dirujuk kepada mengeluarkan semula objek asal tetapi bahan yang
digunakan untuk menghasilkan karya adalah tidak sama dengan objek
asal. Ini bermakna seseorang seniman itu menghasilkan suatu bentuk yang
baru melalui kreativiti pengkarya.
Aristotle mempunyai pandangan bahawa karya seni harus dinilai
sebagai suatu peniruan. Peniruan yang dimaksudkan ialah tiruan dunia
alamiah dan dunia manusia sendiri. Menurut beliau pembuat karya seni
berbeza dari tugas pensejarahan yang menceritakan hal-hal kejadian yang
lepas. Karya seni harus lebih dari itu iaitu memiliki keunggulan idea dan
falsafah yang bersifat universal.

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 2


@ Hassan Mohd Ghazali

You might also like