You are on page 1of 17

ABADI SEBUAH CINTA

Helaian demi helaian album biru muda diselak oleh Fatin Yusrina. Ditatapnya satu demi
satu wajah insan-insan yang disayanginya. Mama, abah dan adik-adik. Matanya beralih
pula pada wajah teman-teman seperjuangan yang sentiasa di sisi menemani. Lyn, Ayu,
Nadia dan Alia. Dia menyelak lagi helaian setebal dua inci tersebut. Kenangan bersama
mereka di bangku sekolah masih mekar hingga ke hari ini. Semangat setiakawan yang
tersemai sejak bertahun dulu masih kukuh. Nita, Sham dan Shah antara teman-teman
yang paling setia walaupun hari ini masing-masing terpisah oleh kesibukan demi
mengejar sebuah cita-cita dan merealisasikan sebuah impian.

Air muka Fatin tiba-tiba berubah apabila matanya terpandang pada seraut wajah yang
sering menghantui hidupnya. Seraut wajah milik insan yang dicintai sepenuh hati dan
paling istimewa di dalam hidupnya. Album itu ditutup dan disimpan kembali ke tempat
asalnya.

Fatin bangun dan melihat ke luar. Pandangannya dilempar jauh ke awan biru
menyaksikan burung-burung yang bebas berterbangan. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu
mengenangkan perubahan yang berlaku dalam diri Amirul. Fatin mengeluh perlahan.
Entah mengapa dirasakan Amirul semakin jauh dari dirinya. Kasih Amirul seakan
berubah. Tiada lagi warna-warna cinta di dalam hidupnya. Walaupun Amirul cuba
berlagak seperti biasa namun jauh di sudut hati Fatin terasa kepincangannya. Tika ini
Fatin rasakan dialah di antara pelakon terhebat. Lamunannya tiba-tiba terhenti apabila
bahunya ditepuk lembut. Fatin menoleh. Kelihatan Alia tersenyum di depannya.

"Fatin, kau menangis lagi?" soal Alia yang seakan mengerti apa yang Fatin rasakan.
Fatin hanya tersenyum pahit.

"Sudahlah tu, usah dikenangkan sangat masalah tu. Pasti ada penyelesaiannya nanti.
Bersabarlah.." pujuk Alia.
Perbualan mereka terganggu apabila Ayu yang baru pulang dari berjogging tercungap-
cungap berlari ke arah mereka.

"Haa..kenapa pulak ni Ayu?" soal Fatin hairan.

"Aku...aku..." Ayu tergagap-gagap.

"Eh..apasal nie?" soal Alia cemas.

"Tak ada apa-apa.. saja jer.. aku laparlah.." balas Ayu sambil ketawa kecil.

"Laa..ingatkan kot kena kejar anjing," balas Alia. Nadia dan Lyn yang mengekori di
belakang Ayu pun turut meyampuk.

"Bukan apa, aku rasa Ayu tu dah tak sabar nak jumpa mamak perut buncit kat gerai tu.."
usik Lyn.

"Hm..patutlah lari macam lipas kudung..rindu kat mamak tu rupanya.." usik Fatin pula.
Mereka akhirnya tertawa melihat muka Ayu yang macam susu basi bila disakat teman-
teman. Terlupa sebentar pada masalah yang ditanggung Fatin. Mereka kemudiannya
bersiap untuk keluar makan.

****

Jari jemari Fatin masih lagi ligat menulis di diari kesayangan yang banyak menyimpan
rahsia perjalanan hidupnya. Selain teman-teman, diari biru berbunga putih itu jugalah
tempatnya meluahkan perasaan dan mengadu. Patah demi patah ditulis menjadi barisan
ayat dan satu demi satu helaian dicoret bagi meluahkan segala yang tersimpan kemas di
sudut hatinya. Walaupun dia sedar tak mungkin Amirul dapat membaca luahan perasaan
dan coretan yang ditulis khas buatnya tapi dia tidak pernah jemu menulis. Untuk
diluahkan tidak mungkin kerana dia tak sanggup mengguris hati insan yang disayanginya.
Biarlah ditanggung segalanya dan dipendam segala kedukaan dengan harapan semuanya
akan berakhir dengan episod bahagia.

Walaupun empat tahun lalu Amirul pernah melukakan hatinya dengan mendampingi
insan lain namun di sudut hatinya tidak pernah berdendam apatah lagi membenci.
Mungkin takdirnya ketika itu bukan untuk bersama Amirul, tetapi pertemuan yang tidak
dirancang setahun lalu membibitkan kembali perasaan sayang yang tidak pernah padam
buat lelaki itu. Fatin akui dia terluka dengan perbuatan Amirul namun yang dah berlalu
tetapkan berlalu. Dia yakin kebahagiaan yang dicari akan dikecapi bersama Amirul.
Namun sikap Amirul sejak akhir-akhir ini benar-benar mengguris perasaannya. Kesan
parut luka semalam terasa pedih kembali. Mungkinkah berdarah kembali. Fatin
termenung sendiri.

*****

Kesibukan disebabkan tugasan yang bertimbun membuatkan Fatin terlupa sebentar pada
masalah yang ditanggung. Teman-teman di sisi sentiasa memberi perangsang dan
semangat menjadikan dia tabah melalui hari demi hari. Fatin juga semakin kurang
bercakap dan bersama teman-teman. Dia lebih gemar menghabiskan masanya di dalam
bilik. Teman-teman yang lain semakin risau melihat perubahan diri Fatin. Kalau dulu
dialah penyeri suasana, bercerita itu dan ini namun kini dirasakan Fatin semakin jauh dari
mereka semua. Puas sudah ditanya mengapa dirinya semakin berubah tetapi jawapan
yang sering diterima oleh mereka adalah dia terlalu sibuk dengan tugasan. Situasi ini
meresahkan teman-teman kerana sesibuk manapun dulu Fatin masih lagi sempat bersama
teman-teman untuk menghabiskan hujung minggu. Namun mereka semua tidak mahu
mendesak Fatin. Mereka yakin masalah utama Fatin adalah Amirul dan Fatin cuma
perlukan masa untuk membiasakan diri dengan sikap Amirul yang semakin hari semakin
memeningkan kepala.

Suatu malam yang hening, Fatin mengadu sakit kepala.


"Nadia, kau ada Panadol tak?" soal Fatin.

"Kau tak sihat ke Fatin?" soal Ayu.

"Ala..pening sikit jer.. ada panadol tak ni?" soal Fatin lagi.

"Ada tu ada.. tapi aku rasa elok kita pergi klinik. Aku tengok kau pucat semacam jer.."
usul Nadia.

"Tak payahlah Nadia.. pening biasa jer ni.. penat studi.. lepas tidur nanti eloklah tu.."
balasFatin.

"Kau jangan macam ni Fatin, sejak akhir-akhir ni aku tengok kau memang lesu dan tak
bermaya..jomlah kita pergi klinik." Pujuk Alia.

"Ish..tak payahlah.. haa..panadol kau tu kat mana Nadia?..Aku pergi ambik yer.." balas
Fatin.

"Ada dalam laci tu" balas Nadia. Fatin berlari-lari anak menuju ke bilik Nadia.

Tiba-tiba dirasakan pandangan menjadi kelam. Dia tidak dapat mengimbangi badannya
dan terjatuh berhampiran meja studi Nadia menyebabkan barang-barang di atas meja
bertaburan dan berserakan. Teman-teman yang berada di ruang tamu bergegas naik ke
atas untuk melihat. Terkejut mereka tatkala terlihat Fatin yang rebah di sisi katil dalam
keadaan pucat lesi. Ayu memangku Fatin.

"Jom kita pergi hospital.. Lyn, kau pergi cari 'purse' Fatin dan ambik tudung dia sekali."
Usul Nadia sambil mencapai tudung dan kunci kereta sementara teman-teman yang lain
bersiap untuk ke hospital. Mereka mengangkat Fatin masuk ke dalam kereta sementara
rakan-rakan lain yang tinggal akan memberitahu 'fellow' bertugas tentang apa yang
berlaku.
Nadia memandu laju meninggalkan perkarangan kolej menuju ke hospital berdekatan.
Ayu, Lyn dan Alia masih lagi diam membisu ekoran terkejut dengan apa yang terjadi.

*****

Sudah dua hari Fatin terlantar di hospital tidak sedarkan diri. Seluruh ahli keluarga setia
menanti sehingga Fatin sedar. Lyn memandang wajah Pn. Marini mama Fatin. Terpancar
kasih sayang seorang ibu yang sabar menanti dan beralih pula kepada seraut wajah bapa
yang nampak lebih tenang milik En. Fazlie walaupun hakikatnya tiada siapa yang
mengerti. Seluruh keluarga dan teman-teman sentiasa berdoa agar Fatin cepat sedar dan
sembuh seperti sediakala.

Lyn, Ayu dan Nadia yang baru pulang dari kelas singgah sebentar untuk melihat
perkembangan teman yang disayangi. Sham dan Nita yang baru tiba kelihatan sedang
berbincang sesuatu. Nita kemudian menghampiri Ayu.

"Ayu, kau dah contact Amirul?" soal Nita.

"Dah banyak kali aku cuba..tapi tak dapat jugak." Balas Ayu. Sham berjalan
menghampiri mereka.

"Mana pulak perginya budak Amirul ni?" soal Sham geram.

"Entahlah Sham, dah jadi macam ni pun Amirul tu tak muncul-muncul jugak." balas Lyn.

"Amirul ni pun satu, kalau nak ke mana-mana tu bagitaulah..ini tak..mak abah dia pun
tak tau mana pergi anak bongsu diaorang tu." Balas Nadia.

"Kesian aku tengok Fatin tu sejak akhir-akhir ni. Selalu jer murung, tak bermaya, tak
ceria...memang lah dia ada mengadu yang Amirul tu dah lain macam tapi tak sangkalah
sampai dah jadi macam ni kelibat si Amirul tu pun tak nampak." Balas Lyn.
"Aku ada jugak tanyakan kat Amirul tu pasal ni, tapi dia tu macam nak mengelak jer..
macam-macam alasan tak logik dia bagi. Malas aku nak dengar temberang dia tu." balas
Sham kesal.

"Yelah..Orang lain pun sibuk jugak kan..tapi takkan sampai nak luangkan lima minit
sehari tanya khabar kat telefon pun tak boleh..kalau dulu tu berjam-jam boleh pulak.."
balas Ayu.

"Kalau aku tahu dia nak buat perangai macam ni, jangan harap aku nak sokong masa dia
nak berbaik balik dengan Fatin hari tu. Dia ni tak serik-serik kot," balas Nita yang dari
tadi mendiamkan diri. Mereka akhirnya diam membisu melayan perasaan masing-
masing.

Tiba-tiba lamunan mereka dikejutkan dengan berita Fatin telah sedar. Mereka menadah
tangan tanda bersyukur atas anugerah ilahi. Kedua ibu-bapa Fatin masuk bertemu Fatin
dan mereka yang lain hanya menanti di luar. Mama Fatin keluar dari bilik tersebut dan
menghampiri sekumpulan teman-teman Fatin yang setia menanti.

"Makcik macam mana dengan Fatin?" soal Sham.

"Alhamdulillah..dia dah sedar tapi doktor kata dia masih lemah dan perlu banyak
berehat.." balas Puan Marini.

"Alhamdulillah..Fatin dah selamat..berapa lama lagi dia kena tinggal kat hospital ni?"
soal Nita.

"Dalam 3-4 hari..mungkin jugak lebih.." balas Pn.Marini lagi.

"Kalau macam tu tak apalah makcik, kami mintak diri dulu.. lagipun kami ada kuliah
malam ni." Usul Nadia.
"Terima kasih banyak sebab dah banyak tolong Fatin... entah macam mana makcik nak
balas jasa kamu semua.." Pn. Marini bersuara sayu.

"Ish..jangan cakap macam tu makcik.. kami ni dah macam adik beradik..bukan baru
sehari dua kami kenal dia.." balas Ayu.

"Nita..Sham.. terima kasih sebab ambik berat pasal Fatin.." kata Pn. Marini sambil
menoleh kepada Sham dan Nita.

"Makcik, tak ada apa yang mampu kami berikan selain kasih sayang seorang sahabat.
Kalau tak, apa gunanya persahabatan yang kami dah semai sejak bangku sekolah lagi,"
balas Nita sayu. Pn. Marini benar-benar terharu melihat keikhlasan teman-teman Fatin.
Fatin, kaulah antara insan bertuah di dunia ini sebab punyai teman-teman seperti mereka.
Desis hati kecil Pn. Marini. Mereka kemudiannya meminta diri untuk pulang dan
bersalaman dengan seluruh ahli keluarga Fatin.

"Sampaikan salam kami pada Fatin ye makcik.." usul Lyn.

"Baiklah.. tapi sebelum makcik terlupa.. Fatin mintak tolong Ayu ambilkan diari biru dia
dalam laci meja studI.." pesan Pn. Marini. Ayu angguk. Mereka kemudiannya berlalu.

*****

Suatu pagi Sham terserempak dengan Amirul di sebuah gerai makan.

"Hey Mirul.. Kau pergi mana 4-5 hari ni ha?" soal Sham.

"Apasal marah-marah ni Sham..Aku 'outstation'lah.." balas Amirul

"Kalau ye pun, takkanlah sampai 'off'kan 'handset' 24 jam. Orang nak 'contact' pun seksa
dibuatnya.."balas Sham lagi.
"Laa..apa hal yang penting sangat sampai kau ribut pagi-pagi buta ni Sham?" soal Amirul
selamba.

"Ha..macam mana aku tak ribut Mirul.. kalau si Fatin tu jadi arwah pun kelmarin, kau
mana nak sedar..ntah ke mana asyik menghilang.." getus Sham geram.

"Apa maksud kau ni Sham.. kenapa ngan Fatin?" soal Amirul cemas.

"Dia kat hospital, dah 3 hari terlantar kat sana.. semalam baru sedar " jawab Sham acuh
tak acuh.

"Aku...aku...aku pergi tengok Fatin dululah Sham..." balas Amirul sambil berlalu.

Sham hanya menggelengkan kepala dan mendengus kecil. Ternyata Amirul telah
berubah.

Amirul memandu laju menuju ke hospital di mana Fatin ditempatkan. Amirul membawa
sejambak bunga dan buah-buahan. Dia menghampiri Fatin yang sedang leka menulis
sesuatu.

"Sayang dah lama bangun?" sapa Amirul perlahan.

"Eh..abang rupanya.. Fatin tak tidur dari subuh tadi.." balas Fatin lembut sambil
menyelitkan diari biru tersebut ke bawah bantal.

"Iye ke nie?.. Boleh percaya ke sayang abang ni?" usik Amirul. Fatin tersenyum.

"Fatin tulis apa tadi sampai abang sampai pun Fatin tak sedar..cerpen terbaru ke?"soal
Amirul.

"Haah..dah lama dah Fatin tulis tapi entahkan bila boleh habis.." balas Fatin.
"Kenapa?..Fatin tak ada idea ker..selalunya buah hati abang ni cepat dapat idea.." balas
Amirul yang sememangnya tahu Fatin memang gemar menulis.

"Bukan tak ada idea, tapi tak tahu bila nak jumpa penghujungnya.." balas Fatin sambil
tersenyum penuh erti.

"Em..tak perlah..Fatin tulis perlahan-lahan o.k.. nanti bila dah siap, boleh bagi abang
baca.. macam biasalah kan.." balas Amirul sambil tersenyum dan mencuit hidung Fatin
yang disayanginya. Bukan dia tak cinta pada Fatin Yusrina. Bukan dia tak sayang pada
gadis yang telah mencuri hatinya sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi setiap kali
kebahagiaan sedang mekar pasti ada sahaja dugaannya. Entah mengapa terasa sukar
untuk memiliki gadis istimewa ini. Gadis yang telah banyak bersabar dan berkorban demi
kebahagiaannya dan memberinya peluang untuk menebus kesilapan lalu. Kalau dia
berada di tempat Fatin, mana mungkin dia mampu menerima kembali insan yang pernah
melukai hatinya dengan mengalihkan cintanya pada orang lain. Amirul akui itulah
kesilapan paling besar yang dia telah lakukan. Memilih Julia yang baru dikenali dan
membelakangi Fatin yang telah lama berada di hatinya. Entah mengapa tika itu dia benar-
benar terlupa pada kesetiaan, kujujuran, keikhlasan dan keteguhan cinta Fatin walhal
teman-teman di sisi telah menasihati agar tidak tersilap langkah. Amirul benar-benar
kesal atas apa yang terjadi dan dia bersyukur kerana Fatin masih memaafkannya dan
menerimanya kembali dalam hidupnya.

Dia sedar sejak kebelakangan ini Fatin kecewa dengan sikapnya. Namun apakan daya,
dia tak mampu untuk lakukan apa-apa. Hanya membisu seribu bahasa dan mendiamkan
diri bila perkara ini dibangkitkan. Dia takut tindakan yang terburu-buru akan lebih
mengeruhkan suasana. Amirul benar-benar tertekan dengan apa yang berlaku. Masalah di
tempat kerja masih belum selesai, Julia pula muncul kembali merayu dan menagih
kasihnya. Sudah puas diterangkan pada Julia bahawa cintanya hanya milik Fatin tetapi
Julia mengugutnya untuk menceritakan tentang keburukannya pada Fatin terutama kisah
di mana mereka hampir-hampir terlanjur suatu masa dulu. Amirul benar-benar buntu.
Menerima Julia bererti dia sengaja menempah sengsara kerana dia sudah serik dengan
sikap Julia yang benar-benar menyesakkan hidupnya. Menolak Julia bermakna Fatin akan
mengetahui kisah silamnya sekaligus melukakan hati Fatin buat sekian kali. Dia benar-
benar tak ingin melihat Fatin kecewa lagi. Cukuplah atas apa yang telah Fatin lalui
disebabkan kesilapannya dulu. Dia perlukan masa untuk menyelesaikan segalanya. Dia
yakin gadis pujaan hatinya ini mampu bertahan dan cukup kuat untuk menempuh
segalanya buat masa ini.

Dia benar-benar menghargai pengorbanan Fatin dan tiada insan lain yang mampu
menandingi Fatin Yusrina. Dia rasa bersalah kerana mengabaikan Fatin selama ini hanya
kerana kehadiran Julia yang tidak diundang. Dia berjanji akan melayan Fatin dengan baik
dan akan menebus kesilapannya selama ini. Dia sendiri akan berterus-terang dengan Fatin
bila tiba saatnya dan kala itu dia redha dengan segala keputusan Fatin. Walaupun Fatin
membencinya dia tetap akan terima kerana memang itulah hukuman yang patut
diterimanya sejak dulu. Dia akur pada ketentuan Ilahi.

*****

Fatin sudah sihat dan kembali ke bumi ilmuan seperti sediakala. Tiada lagi kemurungan
di raut wajahnya dan Fatin telah kembali ceria seperti dulu. Teman-teman yang lain
benar-benar gembira melihat perkembangan yang positif pada diri Fatin.

Pada hujung minggu ini, semua teman-teman ingin pulang ke kampung halaman. Fatin
juga mengambil keputusan yang sama setelah terfikir yang dia juga telah lama tidak
bertemu keluarga yang tersayang. Kebiasaannya Amirul akan menghantarnya pulang, tapi
hujung minggu ini Amirul terpaksa menghadiri seminar di Perak. Jadi dia cuma
menghantar Fatin ke stesen komuter setelah mereka makan tengah hari bersama-sama.
Mula-mula Amirul agak keberatan untuk mengizinkan Fatin pulang sendirian kerana
takut Fatin akan diserang sakit kepala secara tiba-tiba dan meminta Fatin menangguh
hasratnya untuk pulang ke kampung dan pulang bersama-samanya pada minggu
berikutnya. Namun setelah didesak oleh Fatin akhirnya Amirul mengalah.

"Sayang jaga diri baik-baik tau.."pesan Amirul.

"O.k..Fatin janji.."balas Fatin sambil tersenyum.

"Kirim salam pada keluarga..nanti bila dah sampai, Fatin call ye.."pesan Amirul lagi.

Fatin tersenyum lagi. Dah biasa benar dengar kata-kata Amirul yang sedemikian rupa.
Fatin menghulurkan tangan untuk bersalaman. Amirul menyambut huluran tangan Fatin.

"Abang, maafkan Fatin kalau Fatin ada buat salah dan silap..halalkan makan minum Fatin
yer.."kata Fatin sambil mencium tangan Amirul.

Amirul angguk dan tersenyum. Dah tahu benar dengan kebiasaan Fatin yang akan
mengucapkan kata-kata sedemikan rupa di akhir pertemuan. Mula-mula dulu memang
rasa janggal dan pelik bila kalimah itu dituturkan oleh Fatin, tapi sekarang ni dah biasa
sangat.

"Yelah..apa salahnya Fatin minta ampun minta maaf..manalah tahu umur Fatin tak
panjang.. mudah-mudahan atas kemaafan tu, tenang Fatin kat sana nanti.."dia masih ingat
itulah jawapan yang Fatin berikan apabila perlakuan itu dipersoalkan.

Fatin meminta diri apabila komuter telah tiba. Amirul melepaskan genggaman tangan
Fatin dengan berat hati. Entah kenapa tiba-tiba terasa sebak untuk berpisah dengan Fatin
kali ini walaupun dia tahu Fatin cuma hendak pulang ke kampung. Setelah Fatin berlalu
dan hilang dari pandangan barulah Amirul melangkah ke kereta dan kembali semula ke
pejabatnya kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri.

*****
Selepas mesyuarat Amirul memeriksa telefon bimbitnya. Dilihat ada 'missed calls'.

Dia terseyum apabila melihat nombor Fatin tertera di situ.

"Em.dah sampai agaknya di rumah" desis hati kecil Amirul sambil mendail semula
nombor Fatin.

"Hello..Assalamualaikum.." Amirul membuka bicara.

"Waalaikumsalam.." balas suara dari sebelah sana. Amirul hairan kenapa bapa Fatin yang
menjawab panggilan tersebut.

"Apa khabar pakcik?" soal Amirul.

"Khabar baik nak.. Tadi Amirul pergi mana?" soal En. Fazlie tenang.

"Ada mesyuarat tadi.. pakcik, Fatin dah sampai ?..boleh Mirul cakap dengan dia?.." soal
Amirul lagi.

"Amirul..pakcik bukan tak nak bagi Mirul nak cakap dengan dia..." balas En. Fazlie
lemah.

"Apa maksud pakcik..?" soal Amirul hairan.

"Bersabarlah nak..sebenarnya Fatin di timpa nahas jalanraya.. Dia dah tak ada nak..Fatin
dah kembali kepada Tuhan penciptanya.." balas En. Fazlie sebak.

Amirul terduduk mendengar kata-kata En. Fazlie. Terasa gelap seluruh dunianya.
Bermimpi ngerikah dia. Baru sebentar tadi Fatin tersenyum manja didepannya. Kenapa
ini yang harus terjadi. Air mata seorang lelaki mengalir deras.

"Arwah di hospital mana sekarang pakcik?" soal Amirul tersedu-sedu.


"Seremban nak.."balas En. Fazlie lagi. Amirul mengucapkan terima kasih dan
kemudiannya menghubungi keluarganya serta teman-teman lain bagi mengkhabarkan
berita duka ini. Keluarganya menasihatinya agar banyak bersabar dan mereka sendiri
akan menyusul ke kampung Fatin. Ayu, Lyn, Alia dan teman-teman yang lain menangis
tersedu-sedu. Nita yang pada awalnya tak percaya akhirnya meratap pilu dan dipujuk
oleh Sham walaupun Sham sendiri bagai tak percaya apa yang berlaku. Pada Shah yang
berada jauh di utara juga dikhabarkan berita duka ini. Amirul menuju ke surau
berhampiran dan mengangkat wuduk serta menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia
memohon ketenangan dan berdoa agar Fatin akan ditempatkan dalam golongan orang-
orang yang beriman. Amirul kemudian memandu laju meninggalkan Kuala Lumpur
menuju ke Seremban. Segala urusan ditangguhkan. Sepanjang perjalanan hatinya meratap
pilu dan air mata pun berguguran. Segala kenangan bersama-sama Fatin muncul satu
persatu. Amirul meratap hiba mengenangkan apa yang terjadi.

*****

Diari biru peninggalan Fatin diselak lagi. Diari biru itu diserahkan oleh mama Fatin
selepas jenazah Fatin telah selamat dikembumikan. Coretan demi coretan dan luahan rasa
seorang insan bernama Fatin Yusrina ditatap. Agaknya inilah yang dikatakan oleh Fatin
cerpen yang masih tiada penghujungnya suatu masa dulu. Dan kini yang tinggal hanyalah
penghujung yang hanya memberi seribu kedukaan. Penghujung yang menyaksikan dia
telah kehilangan Fatin buat selama-lamanya. Penghujung yang meninggalkan kesan
abadi. Air mata Amirul tumpah lagi apabila bait-bait kata itu dibacanya.

Abang,

Bagaimana keadaan abang hari ini?..Fatin harap abang sihat..Fatin di sini macam biasa..
Abang nak tahu tak, Fatin benar-benar rasa bahagia kerana dipertemukan dengan abang.
Fatin bahagia di atas limpahan kasih sayang abang buat diri Fatin. Kalau empat tahun
dulu kita pernah terpisah, tak bemakna cinta Fatin telah padam buat abang cuma tika itu
Fatin terpaksa menerima kenyataan yang abang bukan milik Fatin. Fatin harus tabah
menerima kenyataan walaupun hati Fatin benar-benar terluka. Namun dendam tidak
pernah wujud di hati Fatin. Dan kini dengan izin Tuhan kita bersama kembali menjalin
ikatan. Semoga kali ini kebahagiaan abadi kan jadi milik Fatin.

Amirul menyelak lagi helaian diari berwarna biru tersebut.

Abang,

Terima kasih atas segalanya. Walaupun Fatin tahu mana mungkin abang membaca luahan
hati Fatin di dalam diari bisu ini selagi hayat Fatin di kandung badan tapi Fatin cuma nak
abang tahu yang Fatin benar-benar cintakan abang. Fatin berjanji akan menjadi seorang
teman, sahabat dan isteri yang baik suatu masa nanti. Fatin akan sentiasa di sisi abang
walau susah dan senang. Fatin nak kongsi segalanya dengan abang. Percayalah pada
Fatin.

Air mata Amirul mengalir lagi. Tak dapat dibendung kesedihannya. Ingin sekali waktu ini
dia melutut memohon keampunan atas segala kekecewaan dan kelukaan yang telah
diberikan buat Fatin Yusrina. Sungguh tulus cintamu Fatin. Matanya terhenti pada coretan
bertarikh 4 Februari 2000.

Abang,

Genap setahun kita sambung ikatan yang pernah terlerai suatu masa dulu. Dan sudah
hampir dua bulan abang seolah-olah menjauhkan diri dari Fatin. Kenapa sejak akhir-akhir
ini kasih abang semakin berubah?.. Tiada lagi gurau senda dan tawa mesra. Mana
perginya nur kasih yang menyuluh jiwa Fatin selama ini?.. Mana perginya abang?..

Abang,

Fatinkah yang bersalah dalam hal ini?.. kalau benar Fatin yang bersalah mengapa abang
takberterus- terang? Kenapa dera perasaan Fatin atau sudah berubahkah kasih abang buat
Fatin. Berterus-teranglah abang..tak sanggup lagi Fatin bermain di dalam teka-teki. Puas
sudah Fatin merayu pada abang tapi jawapan abang benar-benar mengecewakan Fatin.
Abang kata Fatin dah mula pandai mendesak. Salahkah Fatin mengambil berat pada insan
yang Fatin cintai sepenuh hati..dan salahkan Fatin untuk mengetahui kedudukan
sebenarnya. Kita pernah berjanji untuk susah dan senang bersama. Mana janji-janji
abang? Katakanlah abang..mengapa abang terus membisu.

Abang,

Sejak akhir-akhir ini abang banyak berubah. Kadangkala terdetik di hati Fatin, benarkah
abang menyintai Fatin ataupun sekadar ingin menebus kesilapan lalu dan mungkinkah
diri Fatin ini cuma persinggahan buat abang. Bertahun lamanya Fatin cuba balut luka di
hati Fatin tanpa kehadiran abang. Kehadiran abang buat kali kedua tatkala luka di hati
hanya tinggal parut. Tegakah abang lukakan kembali parut yang telah Fatin rawat untuk
sekian lama. Abang, bukan wang ringgit yang Fatin impikan dari abang cuma limpahan
kasihsayang buat Fatin bagi memberi kekuatan untuk Fatin tempuhi hari mendatang dan
meneruskan perjalanan hidup ini.

Sham, Nita, Shah,

Akukah yang tersilap kerana memberinya peluang kedua sehinggakan luka lama yang
kini cuma tinggal parut terasa pedih kembali. Mungkinkah luka lama yang kalian rawat
dengan kasih sayang yang mengambil masa bertahun lamanya untuk sembuh akan
berdarah kembali..Aku sendiri kurang pasti. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dia
akan kembali merawat kepedihan yang makin terasa di hati ini. Bodohkah aku kerana
masih menaruh harapan yang terlalu tinggi setelah apa yang telah terjadi.. tapi apa yang
aku pasti, aku benar-benar menyintainya..

Abang,
Apa lagi yang perlu Fatin lakukan agar keadaan kembali seperti sediakala. Fatin benar-
benar buntu. Ingin rasanya Fatin lari jauh dari kemelut ini. Sudah penat rasanya
memikirkan persoalan hati dan perasaan yang tiada kesudahannya. Entah bilakah kan
Fatin menemui kebahagiaan abadi. Sampai bila Fatin mampu bertahan dan berpura-pura
seperti tiada apa-apa yang berlaku sedangkan hati Fatin ini sudah cukup pedih atas apa
yang terjadi. Maafkan Fatin abang. Izinkan Fatin undur diri kiranya Fatin tak diperlukan
lagi dalam hidup abang. Sebelum pedih di hati melarat menjadi luka parah, izinkan Fatin
mencari sebuah kebahagiaan yang abadi. Biarlah masa yang menentukan penghujung
cerita cinta kita. Usahlah dikesali perpisahan ini sekiranya ia adalah penghujung cerita
cinta kita seperti mana penghujungnya coretan Fatin ini. Cukup sudah hati ini terluka..
Fatin tak sanggup lagi terluka kerana Fatin tak berdaya merawatnya lagi sekiranya ia
terjadi buat kali kedua.. Perginya Fatin bukan kerana membenci tapi demi mencari
sebuah cinta abadi.. Maafkan Fatin..Namun percayalah..jiwa dan cinta Fatin hanya milik
abang..Nama abang telah Fatin ukir indah di sudut hati ..dan ia tak akan terpadam sampai
bila-bila..You'll always be in my heart

Salam sayang,

FatinYusrina

4/2/2000

Air mata Amirul mengalir deras. Sungguh tak disangka perbuatannya selama ini benar-
benar melukakan hati Fatin. Dia terlalu mementingkan dirinya sendiri sehinggakan dia
terlupa walaupun Fatin Yusrina yang pada zahirnya kelihatan cekal dan tabah hanyalah
perempuan biasa yang punya hati dan perasaan. Insan biasa yang memerlukan perhatian
dan belaian kasih sayang dari insan yang amat dicintainya. Dan atas kealpaan itu dia telah
mengabaikan tanggungjawabnya pada Fatin dan membiarkan Fatin menempuhnya
keseorangan. Walaupun segunung kesalan yang bermain di benaknya tak mungkin dia
dapat menebus kembali segala kekecewaan Fatin. Amirul benar-benar terkilan.
Walaupun sudah enam bulan Fatin meninggalkan dirinya, setiap kali menatap diari biru
berbunga putih ini hatinya pasti terusik kerana cintanya pada Fatin juga tak pernah
padam. Insan seistimewa Fatin tak mungkin ditemuinya lagi. Pintu hatinya juga telah
ditutup rapat. Tiada lagi ruang untuk insan lain bertakhta walaupun sudah puas dipujuk
oleh keluarga dan teman-teman. Biarlah masa menentukan segalanya. Dan sehingga hari
ini Amirul masih lagi menjadi pengunjung setia Fatin walaupun dia sedar yang tinggal
kini hanyalah nisan dan jasad yang telah dimakan usia. Hasil laporan kesihatan yang baru
diterimanya minggu lepas telah mengukuhkan lagi keyakinan bahawa dia tidak perlu lagi
berulang-alik untuk mengunjungi Fatin kerana dia akan menjadi peneman setia Fatin
tidak lama lagi. Digulung kembali tikar yang telah digunakan tadi dan jug jernih itu
dicapai. Dia melihat jam di tangan, nampaknya sudah lama dia berteleku di situ dan
akhirnya dia melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan itu.

Fatin Yusrina. Maafkan abang, abang perlu pergi dulu buat masa ini.. percayalah, abang
akan datang kembali.. Dan tika itu abang tak perlu lagi melangkah pergi meninggalkan
Fatin sendirian. Abang akan sentiasa berada di sisi Fatin sampai bila-bila. Abang juga nak
Fatin tahu yang abang juga menyintai Fatin sehingga akhir hayat abang..

You might also like