You are on page 1of 5

LAPORAN JAWATANKUASA DI ATAS KAJIAN PENDAPAT MENGENAI

PELAJARAN DAN MASYARAKAT (LAPORAN KECICIRAN MURAD)

Laporan Murad dibentangkan pada tahun 1972 merupakan laporan yang diketuai oleh

Encik Murad bin Mohd Noor ketika beliau menjadi Pengarah Perancangan dan

Penyelidikan Pelajaran di Kementerian Pelajaran. Fenomena keciciran yang wujud sejak

dari awal penubuhan sistem pendidikan Malaysia menjadi semakin serius sekitar tahun

1960-an telah membawa kepada pembentangan laporan ini. Laporan ini adalah hasil

daripada kajian beliau dalam “Operasi Sedar” yang dilancarkan bagi mengatasi masalah

keciciran pelajar di luar bandar akibat kemiskinan tegar dalam tahun 1969. Jawatankuasa

bagi kajian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Jawatankuasa Polisi dan

Jawatankuasa Teknikal. Jawatankuasa Polisi dianggotai seramai 10 ahli dan diketuai oleh

Encik Murad bin Mohd Noor manakala Jawatankuasa Teknikal pula dianggotai seramai

14 ahli dan diketuai oleh Encik Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin. Selain itu,

jawatankuasa laporan ini turut dibantu oleh Profesor Dr. Alan B. Wilson dari Universiti

California. Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk mengkaji punca-punca masalah

keciciran dan mencadangkan polisi-polisi dan pelan yang boleh dilaksanakan untuk

memperbaiki perkhidmatan sistem persekolahan di samping membantu meningkatkan

taraf hidup masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar. Laporan keciciran ini

merupakan sebuah laporan yang lengkap dan komprehensif kerana dilengkapi dengan

hipotesis, statistik sebagai bukti dan menyatakan perkaitan setiap faktor dengan faktor

yang lain dalam mempengaruhi masalah keciciran ini. Selain itu, kajian mengenai

keciciran ini dilaksanakan di semua negeri yang melibatkan semua jenis kawasan tempat

tinggal iaitu bandaraya, kota-kota besar, pekan dan luar bandar, para pelajar pula terdiri

daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.


Dalam laporan ini, dua aspek penting yang dikemukakan ialah mengenai faktor

masalah keciciran dan cadangan bagi mengatasi masalah keciciran ini. Laporan ini

mengemukakan tujuh faktor yang menyebabkan keciciran dan enam cadangan bagi

mengatasi masalah tersebut. Faktor-faktor yang dikenalpasti menyebabkan masalah

keciciran ini meliputi aspek ekonomi, budaya, psikologi, sosial dan pendidikan. Faktor

pertama ialah taraf sosio-ekonomi yang meliputi tiga aspek iaitu taraf pekerjaan ibu bapa

atau ketua keluarga, taraf kelulusan ibu bapa atau ketua keluarga dan barangan yang

dimiliki di rumah. Laporan ini menyimpulkan bahawa anak-anak yang berasal daripada

keluarga yang berpendapatan rendah sering tercicir dalam pelajaran kerana ibu bapa tidak

mampu untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Taraf kelulusan ibu bapa yang rendah

pula bukan sahaja menyebabkan taraf ekonomi adalah tetapi tetapi turut mempengaruhi

kesedaran mereka mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan anak-anak.

Manakala kajian terhadap barangan yang dimiliki di rumah seperti televisyen, radio dan

mesin basuh dapat memberikan gambaran jelas mengenai taraf ekonomi sesebuah

keluarga tersebut.

Faktor seterusnya ialah keberuntungan seseorang iaitu bermaksud kelebihan yang

dimiliki oleh seseorang berbanding orang lain dari segi pendidikan, pendapatan mahupun

kelulusan. Faktor ini merangkumi dua aspek iaitu bahan bacaan di rumah dan taraf

makanan dan pemakanan. Bahan bacaan yang disediakan oleh ibu bapa untuk anak-anak

turut mempengaruhi masalah keciciran ini iaitu anak-anak yang tidak didedahkan kepada

aktiviti pembacaan akan menjadi hilang minat untuk meneruskan persekolahan mereka.

Selain itu, taraf makanan dan pemakanan turut dititikberatkan oleh Laporan Murad dalam

mengenal pasti masalah keciciran ini. Taraf makanan dan pemakanan ini adalah saling
berkaitan dengan taraf sosio-ekonomi keluarga tersebut iaitu keluarga yang mempunyai

taraf ekonomi yang rendah dan bilangan anak yang ramai tidak mampu untuk

menyediakan makanan yang berkhasiat dan kaya vitamin secara berterusan. Manakala

bagi faktor pendidikan dan pekerjaan, Laporan Murad membuat kesimpulan bahawa

semakin tinggi tahap kelulusan pendidikan seseorang maka semakin tinggi peluangnya

untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Masalah keciciran ini turut berlaku disebabkan faktor guru-guru yang merupakan

menjadi sumber ilmu pengetahuan dan punca motivasi para pelajar. Menurut Laporan

Murad, terdapat segelintir guru yang memberikan jangkaan atau pengharapan yang

rendah dan memberikan pandangan yang negatif terhadap pelajar terutamanya yang

berasal daripada keluarga yang bertaraf sosio-ekonomi yang rendah. Laporan Murad juga

mengklasfikasikan sikap pelajar terhadap pendidikan sains sebagai salah satu punca

masalah keciciran. Dua penyataan Laporan Murad mengenai sikap terhadap pendidikan

sains ialah lebih tinggi tahap pendidikan ibu bapa, lebih tinggi tumpuan terhadap mata

pelajran sains dan lebih tinggi tahap sosioekonomi, lebih tinggi tumpuan terhadap mata

pelajaran sains. Kedua-dua penyataan ini adalah saling berkaitan iaitu pemikiran anak-

anak yang tinggal di luar bandar dan berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah

terhadap kepentingan mata pelajaran sains dan teknologi adalah agak negatif dan

seterusnya membawa kepada masalah keciciran. Masa perjalanan ke sekolah juga

dititikberatkan dalam kajian ini iaitu didapati kebanyakan pelajar luar bandar yang

terpaksa berjalan kaki ke sekolah mengalami keletihan yang seterusnya membawa kepada

sukar memberi tumpuan dan kurang minat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah.

Faktor lain yang membawa kepada wujudnya masalah keciciran ini ialah faktor
perbezaan komuniti iaitu kajian bahagian ini melibatkan pelajar pelbagai bangsa iaitu

Melayu, Cina dan India.

Selain mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan masalah keciciran,

Laporan Murad turut membincangkan mengenai cadangan-cadangan yang perlu

dilaksanakan bagi mengatasi masalah keciciran ini. Antara cadangan tersebut ialah

mewujudkan pengecualian membayar yuran bagi pelajar-pelajar tertentu yang telah

dikenal pasti. Hal ini demikian kerana tindakan kerajaan mengadakan pengecualian yuran

ini akan dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dan seterusnya mengurangkan

berlakunya masalah keciciran. Cadangan seterusnya ialah pemberian biasiswa dan

bantuan kewangan kepada pelajar yang layak terutamanya pelajar yang mempunyai ibu

bapa yang kurang berkemampuan dan bilangan tanggungan yang ramai. Pemberian

bantuan dan biasiswa ini adalah sebagai galakan kepada pelajar untuk meneruskan

pelajaran mereka. Laporan Murad turut mencadangkan kerajaan mewujudkan sekolah

berasrama untuk menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal di kawansan

pedalaman dan jauh dari sekolah.

Suatu rancangan khas dan skim pinjaman buku teks turut dicadangkan oleh

laporan ini bagi mengatasi masalah keciciran ini. Rancangan khas adalah seperti

Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala skim pinjaman buku teks pula

dicadangkan agar bebanan ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang bersekolah dapat

dikurangkan. Laporan Murad juga mencadangkan diwujudkan rancangan kesihatan di

sekolah iaitu kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Pelajar akan diberikan perkhidmatan kesihatan secara percuma di sekolah seperti

mendapat suntikan yang diperlukan dan pemeriksaan gigi percuma. Manakala cadangan
lain laporan ini ialah membentuk suatu sistem sekolah yang disatukan iaitu sekolah-

sekolah kecil dan terpencil disatukan membentuk satu sekolah yang memberi kemudahan

pelajaran yang lebih baik di samping dapat mengurangkan kos pentadbiran pendidikan.

Laporan Murad mempunyai kepentingan-kepentingannya yang tersendiri iaitu

melalui laporan ini punca-punca masalah keciciran dapat dikenal pasti dan mengurangkan

bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa. Laporan ini juga menyebabkan lebih banyak

sekolah dibina di kawasan luar bandar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan yang dan

memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk meneruskan

pelajaran mereka. Kajian daripada Laporan Murad ini disifatkan sebagai pembuka mata

pelbagai pihak kerana berdasarkan kepada laporan ini punca serta langkah menangani

masalah keciciran pelajar terutama di luar bandar dapat dikenal pasti. Malah, hasil

daripada laporan ini telah membawa kepada pelaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks

mulai 1975 serta projek Amalan Makanan dan Pemakanan (1976), pemberian biasiswa

atau dermasiswa dan juga Rancangan Sekolah Bercantum.

Rujukan:

Murad bin Mohd Noor. 1973. Laporan Jawatankuasa di atas Kajian Pendapat Mengenai
Pelajaran dan Masyarakat (Laporan Keciciran). Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran
dan Jabatan Perangkaan

Najeemah Md Yusof. 2006. Konsep Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional.

Disediakan oleh:

Nurul Izza binti Jimat


D20061027107

You might also like