You are on page 1of 1

Antara kebaikan dan keburukan Internet

ORANG ramai berbelah bahagi mengenai cadangan menguatkuasakan undang-undang mengawal salah guna
Internet. Perdebatan mengenainya di kalangan tokoh akademik dan pemimpin masyarakat masih berlaku. Mereka yang
menyokong khuatir terhadap kemungkinan kanak-kanak terdedah kepada gejala negatif seperti pornografi, di samping
penyebaran berleluasa makalah dan berita berunsur fitnah atau menghasut. Sementara mereka yang menentang
mempertahankan prinsip penyaluran maklumat secara bebas sejajar dengan dasar langit terbuka yang dipertahankan
pengusaha Internet. Prof Madya Mohd Safar Hashim dari Jabatan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata
bahan pornografi boleh ditapis dan disekat daripada kanak-kanak manakala mereka yang menyebar bahan berunsur
fitnah dan khabar angin yang menjejas ketenteraman awam boleh dikesan dan dikenakan tindakan undang-
undang."Cuma, untuk membuktikan kesahihan sesuatu berita atau mengesan sumber berita di Internet agak sukar
berbanding yang disiarkan akhbar.Namun, sudah ada orang yang dihadapkan ke mahkamah kerana menyebarkan berita
angin, yang menjejas ketenteraman negara di Internet," kata Safar.
Menurutnya, siapa saja boleh mendapatkan maklumat di Internet. Tetapi masalah perundangan akan timbul bila
maklumat itu dipindah turun, dicetak dan disebarkan kepada ramai, walaupun hakcipta kebanyakan bahan dalam Internet
adalah terpelihara. Safar berkata, undang-undang di negara ini adalah cukup untuk mengatasi pelbagai perbuatan
jenayah dan hasutan menerusi penyebaran berita negatif. Pengerusi Persatuan Industri Komputer Malaysia (Pikom),
Shaifubahrim Saleh, pula mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu kumpulan pengawas dikenali sebagai
'Cybercop' untuk membendung kegiatan negatif melaluiInternet termasuk penyebaran khabar angin. Beliau berkata,
kumpulan itu boleh dianggotai oleh beberapa pakar teknologi komputer. Dengan adanya badan seumpama itu, katanya,
pendaftaran pengguna yang mahu menggunakan Internet di siber kafe dapat dijalankan lebih berkesan. Ini kerana
mereka akan lebih berhati-hati menggunakan Internet. Ada pihak pula mencadangkan pendaftaran kafe siber diletakkan
di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menentukan pengawalan lebih berkesan. Bagaimanapun, Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Bandar Majlis Belia Melaysia (MBM), Norizan Sharif menentang kerana menganggap
tindakan seumpama itu akan mewujudkan tanggapan salah di kalangan organisasi korporat luar, malah bertentangan
dengan piagam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjamin penyaluran maklumat secara bebas, tanpa ditapis Beliau
berkata, langkah sedemikian secara langsung membantut perkembangan dunia teknologi maklumat khususnya Internet
yang memang memanfaatkan masyarakat termasuk generasi muda jika digunakan sebaik-baiknya. "Pemimpin
masyarakat dan ibu bapa harus melihat Internet secara positif dan akur kepada fungsinya sebagai wadah pendidikan
yang cukup berkuasa," kata Norizan. Berhubung langkah mengelak kanak-kanak daripada mendekati halaman yang
dianggap tidak sihat seperti pornografi, beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan menggunakan perisian tapisan seperti
Cyberpatrol, Cybersitter, Surfwatch dan Net-Nanny pada komputer. Dalam pada itu, kafe siber yang menjadi tempat
tumpuan belia atau kanak-kanak tanpa mengira had umur berupa fenomena baru dalam masyarakat hari ini. Kebanyakan
kafe siber yang mengenakan bayaran antara RM4 hingga RM10 sejam biasanya dibuka sepanjang 24 jam. Sebaik saja
berdepan dengan komputer,pengunjung siber kafe bebas menonton apa saja termasuk video lucah atau "melayari"
pelbagai bahan yang mereka gemari melalui Internet tanpa sekatan. Malah sesetengah kafe siber dipasang pula dengan
lampu malap yang kadangkala boleh menimbulkan keraguan ibu bapa mengenai apa yang berlaku di dalamnya. Timbalan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Peter Chin, baru-baru ini berkata kementerian sedang merangka satu
undang-undang baru hiburan bagi mengawal kegiatan di pusat-pusat Internet kafe siber. Katanya, undang-undang yang
sedang digubal itu akan diguna pakai oleh semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Presiden Gabungan
Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Prof Hamdan Adnan, berkata, kafe siber biasanya tertakluk
kepada Undang-undang Kecil Pelesenan, Perdagangan dan Perindustrian, Undang kecil Pengendalian Makanan, dan
Enakmen Hiburan dan Premis Hiburan oleh majlis daerah atau majlis perbandaran di negeri-negeri dan ia tidak
menyentuh secara langsung mengenai penyalahgunaan Internet.Beliau berkata, kebanyakan undang-undang itu terhad
kepada soal-soal mengawal premis terbabit daripada kegiatan perjudian dan kebersihan di persekitarannya. Bagi
mengelak pembabitan kanak-kanak terlalu muda, beliau mencadangkan larangan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun
ke bawah dari memasuki kafe siber. Kini tiada had umur dikenakan kepada pelanggan kafe siber. Katanya, langkah
memendekkan waktu operasi kafe siber juga perlu dipertimbangkan memandangkan tempoh operasinya adalah 24 jam
kerana masih didaftar sebagai restoran.Safar pula berkata, bagi mengatasi gejala kurang sihat yang mungkin berlaku di
kafe siber yang banyak muncul sekarang, kafe ini harus diletakkan di tempat terbuka. Sementara itu, Menteri Besar
Selangor Datuk Abu Hassan Omar baru-baru ini berkata, kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh masalah
yang timbul berikutan kewujudan siber kafe yang beroperasi 24 jam. Beliau berkata, ia boleh menimbulkan masalah
sosial di kalangan pengguna terutamanya golongan remaja. Bagaimanapun, sesetengah pekerja sebelah malam seperti
wartawan, pekerja hospital, serta petugas radio dan tv berpendapat kafe siber wajar beroperasi 24 jam bagi
membolehkan mereka mendapatkan kemudahan itu selepas habis bertugas pada awal pagi. Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Datuk Dr Ting Chew Peh baru-baru ini berkata kawal selia terhadap kafe siber akan diperketatkan
untuk mengelak penyalahgunaan premis terbabit.Seorang pengusaha kafe siber di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur
berkata, pelanggan kafe siber kebanyakannya belia yang menyukai suasana luar rumah. Beliau berkata, bagi sesetengah
remaja, setakat untuk bermain komputer dan memasuki Internet boleh dilakukan di rumah, tetapi mereka lebih suka
melakukannya di luar untuk bertemu dan berinterksi dengan kawan-kawan. Sehingga kini tidak ada undang-undang
khusus mengenai kafe siber dan sesiapa saja boleh memohon membukanya semudah membuka restoran. Semoga
penggubalan undang-undang baru hiburan bagi mengawal kegiatan di pusat Internet kafe siber dapat mengawal salah
guna Internet seperti menyebarkan khabar angin, maklumat palsu atau mengembar-gemburkan keadaan. -
Bernama

You might also like