You are on page 1of 13

Keruntuhan Akhlak – Krisis yang mencemaskan.

Oleh Mohamad Noor Shafie

BERSIRI

Bahagian 1 Fokus dalam keluarga.


Cakap ajuk yang kita bualkan lantaran mengeluh akibat akhlak para remaja dan umat
Islam hari ini yang sudah runtuh moralnya sering terdengar seperti ini, “kau tengoklah
akhlak mereka, dah rosak betul. Apa nak jadi kalau sepuluh tahun akan datang....?”.

Di negara kita hari ini, di mana-mana sahaja kita pergi kita akan melihat gelagat
remaja/orang Melayu yang majoritinya Islam cukup keterlaluan dalam mempamerkan
akhlak mereka. Di mana sahaja, kampung, desa pendalaman, pekan, pekan-pekan
kecil, maupun bandar apatah lagi bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Johor
Baharu, Ipoh, Penang dan merata lagi, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat
Islam amat ketara sekali. Ini hanya kita bicarakan di negara kita sendiri. Bagaimana
kalau kita perluaskan skop ke negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, maka
keruntuhan akhlak para remaja/orang Islam tidak berkesudahan malah mungkin lebih
dahsyat lagi. Bagaimanakah lagi dengan remaja di negara-negara Islam yang lain dan
di seluruh pelusuk alam ini. Jawapannya sama iaitu “keruntuhan akhlak” para
masyarakat Islam ini cukup kritikal dan gawat sekali. Persoalannya bagaimana
kesudahannya?

Masalah akhlak umat Islam hari ini.

Sebelum kita membicarakan masalah keruntuhan akhlak umat Islam dengan lebih jauh
maka mari kita renungkan antara keruntuhan akhlak yang dimaksudkan itu.

1. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak terbatas tanpa memiliki
lagi sebarang perasaan malu.
2. Terlalu berani mengadakan perhubungan jenis secara haram dan seks bebas
sehingga tidak pernah rasa berdosa dan takut pada pembalasan selepas mati.
3. Berkelakuan tidak senonoh antara lelaki dengan perempuan di kalayak ramai
ataupun di tempat tersembunyi.
4. Bersekedudukan lelaki dengan perempuan seumpama suami isteri tanpa melalui
akad nikah yang sah.
5. Sudah terlalu ramai orang Islam hari ini teramat berani dan tanpa ada perasaan
ragu sanggup melahirkan anak luar nikah atau “anak haram”.
6. Kaum wanita Islam yang berpakaian singkat dan mendedahkan bahagian tubuh
badan dengan megah dan bangga tanpa segan silu.
7. Kaum lelaki yang sudah terlalu gemar dan menjadikan cara hidup
mempergunakan wanita untuk melepaskan nafsu haiwaniah nya.
8. Budaya meminum alkohol atau arak sudah menjadi cara hidup sebahagian orang
Islam yang tertentu di masa ini. Tidak ada perasaan takut malah merasa megah
kerana berani minum apabila orang Islam lain melihatnya.
9. Budaya ketagihan dadah dikalangan lelaki dan wanita Islam hari ini yang telah
menjadikan dadah sebagai dunia baru mereka.
10. Ketagihan kepada muzik yang mengkhayalkan secara berlebihan dan sanggup
terkinja-kinja menari-nari sehingga hampir lupa kepada dunia nyata.
11. Golongan remaja Islam yang melibatkan diri dalam kegiatan sumbang,
menyalahi undang-undang, lumba haram, gengstar, perasugut, menjual maruah
diri dan banyak lagi yang seiring dengannya.
12. Anak-anak yang sudah tidak menghormati lagi kepada ibu-bapa, guru-guru,
orang tua dan masyarakat marhaen.
13. Golongan yang sudah tidak menghormati lagi terhadap budaya Melayu dan
tradisi Islam yang diamalkan sejak dahulu.
14. Terlalu sedikit umat Islam hari ini yang boleh membaca Al-Quran dan menghayati
Islam sebaliknya sebahagian besar kita samada dewasa atau remaja atau
kanak-kanak sudah tidak mengerti bacaan AlQuran dan melaksanakan perintah
Allah.
15. Berpuluh-puluh lagi senarai keruntuhan akhlak yang dapat saya senaraikan
tetapi memadai yang di atas sahaja. Selebihnya saya harapkan para pembaca
tambahkan sendiri.

Persoalan yang berligar apakah faktor yang menjadikan keruntuhan akhlak begitu
serius hari ini? Bagaimana mengatasi masalah ini? Bagaimana supaya dapat
mengembalikan masyarakat yang hanyut ini kepada jalan yang benar? Berjayakah kita
dalam usaha mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam
sepenuhnya?

Tidak ambil berat soal agama.

Jawapan yang paling utama dan yang paling baik kepada persoalan dan permasahan
yang dibentangkan di atas tadi ialah kerana kita umat Islam hari ini sudah tidak
mengambil berat lagi terhadap soal-soal agama.Kita leka dengan masa yang
dihabiskan untuk duniawi, mencari harta sebanyak mungkin, mencari wang untuk
memenuhi poket, mengejar rezki secara berlebihan dan semua ini menjadikan kita
mengabaikan tugas kita untuk agama bagi diri sendiri, agama untuk isteri, suami dan
lebih-lebih lagi agama buat anak-anak yang menjadi amanah sebagai melahirkan
mereka umat Islam sejati atau mukmin syadiqan.
Mari lihat dalam keluarga kita sendiri. Apakah anak-anak kita telah memahami Islam
dengan sebaiknya? Apakah keluarga kita termasuk dalam golongan orang yang
menunaikan tuntutan agama yang paling basic iaitu menunaikan sembahyang lima
waktu? Anak-anak kita sudah dilatih berpuasa? Anak-anak kita boleh bersyahadah
tauhid dan syahadah Rasul dengan lancar? Anak-anak kita sudah boleh membaca Al-
Quran? Khatam Quran? Kalau jawabannya YA. Ada pertanyaannya lagi adakah kita ini
adalah anak yang taat kepada kedua ibubapa? Kita tidak pernah melukai atau
mengecilkan hati ibubapa kita? Begitu juga dengan anak-anak kita, adakah mereka
anak yang taat, hormat dan kasih kepada kita atau anak-anak kita selalu sahaja engkar
kepada nasihat arahan dari kita? Semuanya ini asas dan perdu segala pokok didikan
yang akan menentukan arah tuju anak-anak dimasa hadapan.

Secara peribadi saya amat sedih dan menitiskan airmata apabila ada anak-anak remaja
yang datang kepada saya yang mengakui dia tidak mengerti apa-apa berkenaan
agama. Umur sudah belasan tahun tidak kira lelaki atau perempuan, apabila disuruh
mencuba kalimah syahadah, langsung lafaz kalimah yang diucapkan itu tidak tepat
segala sebutannya. Ditanya lagi kaedah bersuci, niat puasa, niat junub hanya
dilafazkan dalam bahasa Melayu sahaja. Kenapa? Kerana katanya tak tahu dalam
bahasa Arab sebab tak boleh membaca. Jadi apabila inilah jawaban yang diberikan
maka tidak usah saya bertanya lagi soal-soal sembahyang kerana sudah pasti dia tidak
dapat menghafal ayat-ayat sembahyang kerana tidak boleh membaca. Inilah sebabnya
asuhan sehingga boleh membaca Quran itu adalah peringkat awal sebelum melangkah
jauh mengenali dan mendalami agama dengan lebih mendalam. Bukan seorang remaja
yang sedang membesar hari ini bernasib sepertinya malah jutaan remaja lagi yang
menghadapi fenomena yang sama. Apakah nasib mereka di masa depan?

Yang paling kita khuatiri dan bimbangkan sekali ialah remaja-remaja ini apabila
membesar tanpa ada asas Al-Quran, tanpa asas agama mudah hanyut terjebak dalam
segala kemungkaran. Ini tidak termasuk apabila kita perhatikan betapa budaya
memurtadkan umat Islam seperti menghasut menjadi kristian begitu rancak
bergiat cergas. Cuba kita renungkan sejenak. Jika remaja yang ada asas agama pun
masih boleh dipesongkan hidup mereka apatah lagi remaja yang membesar tanpa ada
asas agama langsung. Asas seperti fardu ain, fardu kifayah, rukun iman, rukun Islam
belum cukup bentengnya bagi menahan serangan godaan nafsu dan bisikan syaitan
yang melakukan serangan bertubi-tubi. Hanya keimanan yang tinggi, taat sepenuhnya
kepada ajaran agama, memahami Islam secara syumul dapat memperkukuhkan iman
menjadi ketahanan kepada segala serangan.

Maka dapat saya katakan didikan agama yang kukuh adalah tunjang kepada
membentuk akhlak seseorang Islam itu. Dalam apahal sekalipun didikan agama yang
sempurna, menanamkan keimanan yang hakiki, semangat dan roh Islam tulin dalam
jiwa raga adalah benteng yang paling kukuh untuk pertahankan roh dan jasad dari
serangan luar yang cuba merosakan seseorang individu Islam. Maka kita sebagai
ibubapa mari renungkan sejenak apakah anak-anak yang di dalam didikan kita sudah
kita berikan segala asas dan keperluan agama. Jika belum atau anak-anak kita tidak
memahami agama Islam yang dianuti ayah ibunya maka apakah jawaban kita kepada
Allah swt apabila kita mengadapnya nanti.

Mengabaikan tanggung jawab.

Sebok, masa yang tidak mencukupi, kegiatan sosial yang berlebihan, kerja mencari
rezki tanpa batasan selalunya menjadi alasan apabila ditanya hal masa yang
diluangkan kepada anak-anak atau keluarga. Kalaulah ini alasan yang diberikan maka
apakah bermakna sehari semalam 24 jam yang Allah swt peruntukan masih tidak
mencukupi. Apakah Tuhan memberikan masa tidak seimbang untuk dunia ini atau kita
sendiri yang mengabaikan masa? Jangan berikan alasan yang boleh menjuruskan kita
meletakkan kesalahan kepada yang Maha Pencipta alam ini kerana setiap yang Dia
anugerahkan di dunia ini adalah yang terbaik untuk makhlukNya. Kita yang sebenarnya
insan yang leka dan lalai dalam segala hal seperti firmanNya, “Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.”

Dalam mengejar kehidupan dunia, kita hingga terlupa tanggung jawab terhadap diri
sendiri, anak, isteri untuk Allah swt. Ketika mengejar keduniaan secara berleluasa maka
cuba kita fikirkan, apakah sebenarnya yang kita kejar? Harta? Wang ringgit?
Kemewahan? Pangkat? Tapi kemana pula khazanah-khazanah ini kita belanjakan? Kita
tidak mampu membawa khazanah ini ke lubang kubur apabila kita mati esok. Hadis
Nabi saw menyatakan, “apabila seseorang mukmin itu mati, yang dia tinggalkan adalah
tiga perkara sahaja, ilmu yang munafaat yang dia ajarkan kepada mukmin lain, amal
jariah yang dilakukan semasa hidup dan anak yang soleh yang mendoakan
kebahagiannya di akhirat.” Lalu yang tersirat dalam hadis ini adalah pendidikan yang
sempurna yang kita berikan maka barulah maksud hadis ini akan tercapai terhadap diri
kita.

Oleh itu jangan kita mengabaikan tanggung jawab dalam memberikan pendidikan yang
sempurna. Sekiranya kita adalah orang yang terlalu sebok tetapi kita seorang yang
berharta maka gunakan harta itu sebagai perbelanjaan agar dapat memberikan didikan
agama bukan hanya kepada anak-anak sendiri malah orang Islam yang lain. Kalau kita
miskin maka kita carilah orang yang ikhlas serta bersedia memberikan didikan kepada
anak-anak kita. Jangan beri alasan tidak ada orang yang sanggup kerana dunia ini luas
dan masih ada manusia yang rela berkhidmat secara ikhlas semata-mata hanya untuk
mengadap Allah swt dengan sempurna apabila dia mati kelak. Miskin atau kaya bukan
faktor penghalang.

Membicarakan akhlak anak-anak sendiri, nasihat siapa yang mesti kita ambil
pedoman? Cukup sedih apabila seorang bapa sanggup menyerang guru apabila
diketahui anaknya didenda di sekolah. Seorang ibu sanggup menyerang jiran atau
memukul anak orang lain sebaliknya mempertahankan anaknya. Kenapa kita sanggup
berbuat demikian? Semuanya adalah kerana kita mengambil nasihat anak kita yang
belum tentu benar sebagai pedoman. Ingatlah kasih sayang kita kepada anak-anak
jangan sampai kita terpedaya dan terpengaruh dengan cakap bohong yang anak kita
berikan.

Memberikan kemewahan kepada anak-anak berlebihan seperti menunaikan semua


kemahuannya dan memanjakan anak-anak tanpa ada peraturan sebenarnya bukan
bermakna mendidik mereka sebaliknya kita telah mengabaikan satu tanggung jawab
yang lain yang lebih benar. Memewahkan anak-anak dan memanjakan mereka tidak
dapat membawa makna apa-apa malainkan memperkukuhkan lagi nafsu serakah yang
sering bergelora. Sikap sambil lewa dan tidak pernah menegur kesalahan anak-anak
secara tidak langsung kita telah menanamkan benih-benih kesombongan dan angkuh
dalam jiwa anak sendiri. Tingkah laku anak-anak yang semakin membesar dan mula
mengenali kawan rakan jauh dekat dan entah dari mana datangnya rakan itu tidak
pernah kita ambil peduli bermulanya kita semaikan benih-benih liar kepada anak
sendiri. Anak yang sering keluar dan balik jauh malam, pernahkah kita menyiasat
kemana dia pergi. Jika bertanya langsung sianak memberikan jawapannya, apakah
jawapan itu sesuatu yang benar atau mereka sekadar berbohong. Jika kita telah
berjaya dibohongi oleh anak-anak sendiri maka bermakna juga kita telah menanamkan
benih seorang pembohong kepada mereka.

Semuanya ini adalah benih-benih kepada keruntuhan akhlak yang ianya bermula dalam
keluarga tetapi akhirnya akan menjurus kepada masyarakat dan negara. Semua orang
ada tanggung jawab masing-masing. Kita ada tanggung jawab terhadap majikan,
kerjaya, masyarakat namun tanggung jawab terhadap membentuk moral dan akhlak
anak dan keluarga sendiri tidak boleh diletakkan ke tepi begitu sahaja. Ketika
memberikan pendidikan kepada anak-anak, sejauh mana kita menanamkan sifat siddiq
(bercakap benar) dan amanah (jujur dipecayai) kepada mereka. Bagaimana dengan diri
kita sendiri? Apakah kita seorang manusia yang bercakap benar (siddiq) dan amanah?
Peribahasa Melayu mengatakan bapa borek anak rintik. Bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Kemana lagi kalau kuah tidak tumpah ke nasi. Semua ini telah memberikan
gambaran betapa tingkah laku kita ada memainkan peranan secara langsung dalam
melahirkan tingkah laku keturunan dan zuriat kita di masa depan.

Kita tidak boleh lari dari menunaikan tanggung jawab yang telah diamanahkan dalam
memberi pendidikan kepada anak-anak supaya mereka mempunyai akhlak yang mulia.
Bijak, cerdik atau pintar seseorang anak itu bergantung kepada keupayaan akal mereka
menerima ilmu pelajaran yang diberikan tetapi mempunyai moral dan akhlak yang mulia
bermula dari didikan, keimanan dan contoh teladan baik yang kita pamerkan. Terdapat
di kalangan ibubapa yang terlalu kecewa jika anaknya tidak mendapat keputusan
cemerlang dalam pelajarannya sebaliknya tidak merasa risau atau gundah gulana jika
anaknya tidak tahu membaca Quran dan buta dalam agama. Kita cukup gembira jika
anak berjaya mendapat pelajaran yang tinggi sehingga ke luar negeri tapi tidak akan
risau walaupun anak yang berjaya itu buta dalam agama.
Kebebasan tidak terbatas

Pergaulan memainkan peranan yang sama ke arah membentuk kepribadian seseorang


itu. Orang tua-tua pernah berkata walaupun kita baik tetapi kalau berkawan dengan
pencuri akhirnya kita akan menjadi pencuri sama. Hari ini kekadang kita terperanjat jika
sianu itu terlibat dalam penagihan dadah sedangkan satu waktu dulu sianu itu cukup
baik orangnya. Tak sangka! Itulah keluhan kita. Kenapa? Pergaulan dan kebebasan
yang tidak terbatas menjadi puncanya. Seorang anak yang kita belikan motosikal untuk
tujuan yang baik sebaliknya dia menjadi jaguh lumba haram. Sebabnya ialah dia
mempunyai rakan sekeliling yang merupakan ahli lumba haram.

Kebebasan tanpa batasan yang diberikan kepada generasi hari ini menjadi punca
utama kemurnian akhlak mereka yang dibentuk sejak kecil terhakis sedikit demi sedikit.
Walaupun berada di rumah dan tinggal bersama keluarga serta ibubapa tetapi jika anak
diberi kebebasan melulu mampu menjadikan anak itu liar dan buas. Anak gadis yang
tinggal bersama ibubapa yang tidak ambil peduli kemana dan apakah yang
dilakukannya masih berupaya mengandung dan melahirkan anak luar nikah, apatah lagi
yang tinggal jauh bebas berleluasa. Apa yang dicakapkan ini bukan omong kosong
tetapi hakikat yang sering terjadi dimana-mana dinegara ini. Tidak sedikit anak gadis
yang “termengandung” anak luar nikah ketika masih tinggal bersama ibubapanya.?
Mengapa ini boleh terjadi? Kemana ibu dan bapanya pergi sedangkan mereka tinggal
serumah. Persoalan ini mempunyai jawapan hanya kerana ibubapa tidak mengambil
peduli langsung akan anak gadisnya walaupun sedetik sedangkan mereka serumah.
Ibubapa tidak pernah mencurigai segala gerak geri anaknya kerana mereka memberi
kebebasan sepuasnya kepada anak mereka itu. Andaian kononnya “anak mereka
sudah besar” sudah tahu mana baik mana yang buruk apakah cukup untuk
mempertahankan sianak dari godaan nafsu yang bergelojak. Silaplah bagi ibubapa
yang berfikiran secetek itu.

Berapa kerat ibubapa yang apabila anaknya mengatakan mahu keluar menuju ke satu
tempat keramaian atau pertunjukan hiburan kemudian ibubapa mengambil inisiatif
menghantar sendiri anaknya ke tempat tersebut disamping mengamanahkan seorang
yang dipercayai mampu menemani anaknya jika ibubapa sendiri tidak berkesempatan.
Kekadang pula anak memberi protes tidak mahu ditemani kerana mengganggu privacy.
Keberanian si anak memprotes kerana si anak telah didik dari awal corak kehidupan
sebegitu.

Sering terjadi jika si ibubapa tidak memberi izin, maka si anak akan tetap keluar melalui
pintu belakang. Kebiadapan tingkah laku begini bukan jarang berlaku. Antara kawan
dan ibubapa si anak lebih mempercayai dan memilih kawan sebagai idola dan
penasihatnya. Dalam kejadian lain ibu dan bapa berbalah keputusan, seorang memberi
izin manakala seorang lagi membantah. Keputusan yang tidak sepakat antara ibu dan
bapa memberi ruang yang lebih luas untuk anak membuat sesuka hatinya kerana
mereka akan terfikir pro dan kontra itu memberi makna mereka bukan dipihak yang
salah.
Ingatlah! Anak-anak remaja memang bijak berpura-pura dan berlakon. Di depan
ibubapa lain tingkah lakunya manakala bersama kawan rakan lain pula perangainya.
Pernah terjadi seorang anak gadis yang bekerja dan tinggal di kota Kuala Lumpur
begitu bebas dan tidak terkawal tingkah lakunya sebaliknya apabila pulang ke kampung
kelihatan begitu tertib, menutup aurat dan baik sedangkan hakikatnya dibandar
bertentangan sekali. Akan sebab itu anak-anak mesti dipantau setiap masa
pergerakkan mereka walau di mana berada. Pemantauan atau sportcheck tidak
menentu masa ketikanya.

Kebebasan kepada anak-anak dan generasi muda perlu diberikan tetapi ada batas dan
lunas-lunasnya. Kebebasan kepada mereka seumpama seorang gembala kambing
yang membiarkan kambing bebas lepas meragut rumput tetapi dia memantau kemana
kambingnya pergi. Jika kambingnya merayau jauh hingga terdedah kepada bahaya
maka dihalau kembali kepada kelompok asal yang berada di kawasan selamat. Jangan
memberi kebebasan kepada anak-anak ibarat seorang yang membela sekawan
merpati. Makanan kadang diberi kadang tidak. Kalaupun diberi dipedulikan tidak. Ke
mana merpati pergi tidak diketahui langsung. Apabila petang samada merpatinya
pulang ataupun tidak dia tidak tahu. Akibatnya merpati itu kelihatan jinak hakikatnya
LIAR. Dipanggil ia mari didekati ia lari.

Sikap liberal yang tiada bertempat.

“Mak bapa saya tak kisah!!!” itulah kata-kata yang kita dengar dari anak-anak muda kini.
Jawaban yang begini mempunyai dua maksud yang tersirat iaitu: pertama, memang
betul kehidupan anak muda itu tidak diambil pusing oleh kedua ibubapanya. Apa yang
dia nak buat... buatlah... Jawaban kedua, anak itu mempunyai masalah berhubungan
dengan ibubapanya. Dia tidak berterus terang dengan mereka. Setiap perkara dia
membuat keputusan sendiri. Dia tidak menghormati lagi akan kedua ibubapa yang
melahirkannya.

Setiap ibubapa mesti bersikap liberal dengan anak-anak tetapi liberal biarlah bertempat.
Ibubapa yang bersikap liberal secara berhikmah sentiasa dihormati malah disegani oleh
anaknya sendiri. Sebaliknya mereka yang berliberal membabi buta menjadikan ibubapa
dari sudut pandangan anak itu sebagai orang yang tidak boleh dibawa bicara, hilang
rasa hormat dan melupuskan rasa kagum kepada ibubapa.

Peringkat pergaulan kita dengan anak-anak tidak sama bagi semua antara anak kita.
Peringkat umur di bawah tujuh tahun umpamanya, idola dalam hidup mereka adalah
ibubapa sendiri kerana mereka tidak mengenal dunia luar lagi. Sepenuh masa bagi
anak-anak ini hanya bersama ibubapa dan hanya mengenali ibubapa sahaja. Jadi
pergaulan kita dan kasih sayang yang kita tunjukkan adalah kemanjaan ibubapa
kepada anak-anak. Apabila mereka melakukan kesalahan maka kita tegahkan mereka
secara keanakan, marah, denda. Mereka tidak berkecil hati dan tidak tersinggung
bukan kerana mereka masih belum cerdik lagi tetapi kerana dalam dunia hidup mereka,
kita adalah idola mereka. Dengan itu mereka tidak tersinggung kerana yang menegur
mereka adalah idola mereka.

Namun apabila anak telah bersekolah dari darjah 1 hingga sekolah menengah mereka
telah mulai mengenali dunia luar tetapi dalam skop yang masih sempit iaitu alam
sekolah. Waktu mereka bersama kita telah berkurang sebaliknya bersama guru dan
kawan-kawan lebih banyak. Ketika ini jika ibubapa terlalu sebok dengan urusan lain
atau kurang bergaul dengan anaknya sendiri menjadikan dirinya yang satu waktu dulu
idola anaknya akan hilang bertukar tempat. Anak akan memilih orang lain sebagai idola
bagi menggantikan ibubapanya. Inilah yang selalunya terjadi. Anak akan menjadikan
guru sebagai idolanya. Ibubapa akan dipinggirkan dari idola mereka. Kita dapat melihat
perkara ini secara cukup jelas dimana si anak menjadi lebih selesa mendengar cakap
kawan atau gurunya dari mendengar nasihat ibubapa. Bagaimana jika ibubapa mahu
terus mengekalkan dirinya supaya terus menjadi idola anaknya? Apakah sukar sangat
untuk mengekalkan kita sebagai idola? Jawabanya bukannya sukar sangat tetapi untuk
melaksanakannya tidak sesuatu yang mudah. Masa bersama anak-anak mesti
dikekalkan. Ini senangkan! Tetapi tingkah laku kita dan cara kita bergaul dengan anak-
anak mesti ditukar corak dan bentuk. Kalau kita merawat mereka sama seperti kita
merawat di waktu kecilnya dulu alamatnya... salah... dan kita akan menerima
tentangan. Idola bertukar. Jadinya hendaklah kita bergaul dengan mereka sama
sepertimana guru-guru bergaul dengan anak kita di sekolah. Kita tukarkan corak dan
jadikan diri kita juga seumpama guru dengan mereka dan apabila didapati diri ibubapa
oleh anak ini seperti mana hubungan anak dengan guru maka mereka menjadi semakin
hormat kepada ibubapa. Tidak ada bezanya bagi mereka, bagaimana mereka bergaul
dengan guru di sekolah bagitu sama mereka bergaul dengan ibubapa di rumah. Maka
sudah semestinya idola hidup mereka tetap kekal kepada ibubapa. Mereka akan
mengatakan “ibubapa saya yang terbaik”.

Idola anak akan terus berubah apabila meningkat remaja. Kalau di alam sekolah guru
sebagai idola tetapi setelah lepas persekolahan mereka meninggalkan guru. Yang akan
mereka temui dua pihak sahaja iaitu ibubapa di rumah dan kawan-kawan yang dikenal
semasa sekolah atau kawan yang dikenal di tempat bekerja. Siapa lebih rapat maka
itulah idola baru mereka. Kalau ibubapa gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini
anak-anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan untuk menjadi sebagai idola. Di
waktu ini sebagai ibubapa kita mestilah sekali lagi merubah corak supaya penyesuaian
kita dengan anak terus berkekalan. Kemesraan kita dengan anak tidak sesuai lagi
sebagaimana kemesraan guru dengan murid. Kita perlulah berubah ke arah menjadi
kawan kepada anak kita sendiri. Ringkasnya ketika inilah kita berkawan dengan anak
kita sendiri. Bukan senang untuk menjadi kawan, hanya dengan kesabaran dan kajian
bagi mengetahui apa kemahuan anak kita barulah dapat menyelami hati mereka
sebagai kawan. Semasa memasuki alam remaja minat mereka sudah berubah,
muzik/hiburan menjadi kegemaran, artis menjadi pujaan, fesyen pakaian menjadi
ikutan, bahasa pertuturan beralih, sudah pandai bergaya, bersolek dan bermacam lagi
kerenah remaja. Semua perubahan kepada anak-anak ini kita mesti diambil tahu.
Kekadang perubahan pada diri mereka menuju kepada yang bercanggah dengan
kehendak agama Islam dan kita mahu melarang. Maka ketika ini kita bertukar diri
menjadi seorang kawan yang berkawan dengan anak kita sendiri. Apabila mereka mula
berkawan dengan kita barulah mudah ke arah mana kita mahu membawa arah tuju
mereka. Jangan sekali-kali merawat mereka yang di alam remaja mengikut cara
kebudakan atau keanakan kerana mereka akan memberontak. Mulalah berkawan
dengan anak sendiri.

Inilah yang kurang dipraktikan dalam masyarakat kita. Cubalah kita lihat dalam
masyarakat kita yang sudah-sudah. Ibubapa merawat anak terus menerus sebagai
keanakan dan kebudakan walaupun anaknya telah besar panjang. Ibubapa kita tidak
pernah memberi muka kepada dan pendapat kita tidak dipedulikan. Tetapi anihnya
apabila kita sudah berkahwin mahu pula mereka (ibubapa) tadi bergaul dengan kita
bukan seperti keanakan lagi sebaliknya sebagai orang dewasa. Mengapa? Ertinya
pandai pula ibubapa kita mengubah dirinya menyesuaikan diri kita dengannya sebagai
orang yang telah dewasa.

Oleh yang demikian antara kita dan anak-anak mestilah ada penyesuaian diri. Kita
mesti juga melakukan perubahan yang seiring dengan perubahan anak kita yang kian
membesar. Perubahan ini tidak lain hanya semata-mata demi perhubungan erat, kasih
sayang yang terjalin dengan anak-anak sejak dia dilahirkan tidak terputus di separuh
jalan.

Keluarga yang tidak sempurna.

Hanya keluarga yang sempurna, kasih sayang yang terjalin, percaya mempercayai dan
saling hormat menghormati antara ahli dalam keluarga dapat membentuk moral anak
ke tahap yang cemerlang. Jarang perkara yang buruk berlaku terhadap keluarga yang
harmoni, beriman dan penuh mesra kerana setiap masalah yang melanda telah
diselasaikan dengan baik supaya tidak menjadi bisul yang boleh bertukar kepada
barah.

Kebanyakan masalah moral dan keruntuhan akhlak remaja yang berlaku sering
disejarahkan dengan latar belakang keluarga yang kucar kacir. Tidak menjadi pilihan
samada keluarga golongan orang kaya, pertengahan atau keluarga miskin. Semuanya
sama saja. Keluarga yang bermasalah berlaku di kalangan orang kaya kerana
kemewahan yang dimiliki manakala di kalangan yang miskin pula hanya kerana
kemiskinan yang dihadapi itu jugalah penyebab utama masalah dalam keluarga ini.
Bagaimana yang di pertengahan? Pun begitu juga, kerana mahu mengejar hidup yang
lebih mewah jugalah keluarga menjadi bermasalah dan kacau bilau. Oleh itu masalah
dalam keluarga akan berlaku kepada sesiapa sahaja hatta anak keluarga raja sekali
pun.
Masalah yang timbul dalam keluarga jangan dibiar berlarutan kerana mesti diselesaikan
dengan segera. Sekiranya tidak berjaya diselesaikan sendiri maka mintalah pandangan
dan nasihat dari mereka yang arif dan berwibawa. Apabila sesebuah keluarga
mempunyai masalah serius bukan ibubapa yang menjadi mangsa tetapi yang pasti
anak-anak yang menerima kesan yang teruk. Anak-anak akan mencari pilihan lain
untuk melupakan masalah dalam keluarga ibubapanya. Bayangkanlah bukan seorang
anak menjadi mangsa. Bagaimana kalau mempunyai anak yang ramai tidakkah
kesemua anak-anak itu terdedah untuk mencari alternatif lain sekiranya telah bosan
melihat masalah kedua ibubapanya.

Hilang pedoman hidup.

Jika inilah yang berlaku kepada sesebuah institusi keluarga “hilang pedoman hidup”
yang dapat dikatakan seratus peratus hancurlah sepenuhnya akhlaq keluarga itu.
Renungkanlah apa akan jadi jika dalam sebuah keluarga orang Islam telah hilang
pedoman sehingga ke peringkat melakukan semua perkara seperti di bawah ini:-

a. Tidak ada langsung amalan-amalan agama dalam keluarga itu seperti


sembahyang, puasa, zakat, menutup aurat, membaca Al-Quran dan semua
tuntutan agama.
b. Ibu atau bapa hidup sebagai seorang yang ketagihan dadah, arak dan judi yang
sudah tidak boleh diubati lagi.
c. Mempunyai bapa sebagai kepala keluarga tetapi seorang yang berfoya-foya,
kaki perempuan dan suka segala maksiat.
d. Mempunyai ibu yang suka kepada lelaki lain, berfoya-foya, mendedahkan tubuh
badan dan suka segala maksiat.
e. Keluarga yang tidak pernah ambil tahu dan bebas melakukan apa saja tanpa ada
sesiapa yang melarangnya.
f. Keluarga yang matlamat hidup hanyalah keseronokan kepada harta, hiburan dan
kepuasan nafsu serakah.

Apa yang boleh dibuat lagi kepada keluarga ini? Siapa yang boleh mengembalikan
mereka kepada jalan yang benar? Siapa yang sanggup berhadapan dengan keluarga
ini bagi tujuan menyampaikan dakwah kesedaran? Terlalu sukar rasanya bagi
mendapat orang yang sanggup bersedia berhadapan dengan keluarga seperti ini.
Hanya satu sahaja yang dirasakan yang dapat membenteras gejala keluarga yang
hilang pedoman seperti ini iaitu penguatkuasaan undang-undang yang berteraskan
kepada kehendak agama.
Apabila jiwa seseorang itu tidak dapat dikembalikan ke jalan yang benar melalui
nasihat, pedoman dan bimbingan maka hanya undang-undang yang dikuatkuasakan
sahaja yang mampu memulihkan mereka. Ertinya secara am dapatlah kita fahamkan
bahawa dalam suasana dahsyat setahap mana pun manusia itu masih boleh diubahkan
menuju jalan yang benar.

Bersambung siri ke2

Pengaruh luar yang tidak seimbang.


Pengaruh luar yang berleluasa hari ini cukup membimbangkan terhadap
budaya dan nilai-nilai murni Islam yang dipupuk sejak berzaman.
Pengaruh budaya seperti muzik liar dari barat amat mudah meresapi
pemikiran dan minda umat Islam. Pengaruh media amat berkesan dalam
penukaran minda dan etika umat Islam. Tarian-tarian barat yang liar dan
berpakaian yang tidak senonoh jika disajikan kepada kita secara
berterusan akan berjaya mempengaruhi hidup kita. Ini ditambahkan lagi
dari pengaruh yang diserapkan melalui filem dan cereka serta majalah
yang begitu mudah kita perolehi. Perkembangan dunia tanpa sempadan
melalui IT dimana laman-laman web yang tidak bermoral terlalu mudah
diakses tanpa batas tapisan serta pemantauan menjadikan proses
penukaran minda kearah kejatuhan moral dan akhlak menjadi semakin
pantas secepat kilat. Pengaruh-pengaruh negatif ini terlalu sukar
dibendung apatah lagi disekat dari cuba meresap dalam masyarakat kita.
Tidak keterlaluan jika kita katakan bahwa keruntuhan akhlak di kalangan
kita hari berpunca daripada pengaruh ini.

Budaya barat yang tiada beretika.


Penerimaan segala unsur budaya dari barat tanpa pertimbangan secara
melulu menjadikan identiti dan jatidiri seseorang muslim akan luntur dan
hilang pedoman. Budaya “happies” atau kutu menjadi ikutan remaja Islam
satu waktu dulu. Trend rambut panjang yang kusut masai, selekeh
berpakaian dan diri yang tidak dijaga rapi adalah sesuatu yang menjijikan
namun budaya sebegini buruk pun masih ada umat Islam mengikutinya.
Kita umat Islam terlalu mudah dipengaruhi kerana kita gagal
mempamerkan identiti sendiri. Kita seolah-olah mencari-cari sesuatu.
Maka tidak hairanlah jika ada sahaja sesuatu budaya baru disogokkan
kepada kita lantas saja kita menerimanya. Cuba fikirkan, kita cukup
mudah dipengaruhi. Selain budaya happies, terdapat budaya lain seperti
woodenstock, budaya rock, blues, black metal semuanya ada pengikutnya
dikalangan umat Islam. Mengapa kita jadi begini? Mengapa kita mudah
terpengaruh kepada segala bentuk yang tidak sihat? Begitu juga
pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batasan yang terang-terang
dicegah oleh agama Islam tetap tidak diperduli oleh umat Islam hari ini.

Lihat sahaja corak dan fesyen pakaian barat yang terlalu menonjol dari
segi pendedahan bentuk tubuh badan menjadi ikutan serta pilihan utama
umat Islam. Di bandar-bandar kita dapat saksikan bagaimana corak dan
cara berbudaya dari barat ini yang keterlaluan telah diterima sebagai
sebahagian dari cara hidup kita. Walaupun ianya kekadang bercanggah
dengan ajaran Islam namun masyarakat kita tidak memperdulikannya.
Kita tidak mampu menghalang.

Trend masyarakat barat menjadi cara hidup kita.


Pengaruh barat bukan sahaja mempengaruhi umat Islam di negara ini
malah sebahagian besar umat Islam di dunia. Di negara-negara Arab pun
tidak ketinggalan malah kadangkala mereka jauh lebih hebat lagi
terpengaruh. Terdapat dikalangan masyarakat kita hari ini mengambil cara
hidup masyarakat barat menjadi cara hidup kita sendiri. Sepatutnya
sebuah rumah orang Islam tidak mempunyai minuman keras namun
sudah ada dikalangan umat Islam yang mendirikan “bar corner” dalam
rumah sendiri sebagai keperluannya dan tetamunya dikalangan orang
yang kaki botol. Begitu juga ada orang Islam yang menjadikan anjing
sebagai binatang peliharaan kesayangannya. Di zaman ini perkara
sebegini tidak pelik lagi kerana trend hidup masyarakat barat telah
menjadi sebahagian dari trend masyarakat kita.

Peraturan dan undang-undang yang diabaikan.


Semuanya ini disebabkan kita umat Islam telah mengabaikan segala
peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Kita dengan
sewenangnya melanggari peraturan dan undang-undang yang telah
ditetapkan. Dalam sebuah negara yang berdaulat sudah sedia ada segala
bentuk peraturan yang ditetapkan sebagai menjaga dan menjamin
kesejahteraan kita namun kita telah mengabaikan peraturan-peraturan ini.
Begitu juga dalam agama Islam sendiri terdapat peraturan dan undang-
undang yang ditetapkan oleh Allah swt namun kita telah mengabaikannya.
Kita terlalu lupa hingga kita dilalaikan oleh bisikan syaitan yang sentiasa
berusaha mahu menyesatkan kita. Kita menjadikan hadis Rasulullah saw
sebagai hadis sahaja tetapi kita tidak pernah mahu mempraktikkan segala
pesanan dari Nabi saw. Sabda Rasulullah saw, “Aku tinggal kepada kamu
DUA perkara yang jika kamu mengamalkannya kamu tidak akan sesat
selama-lamanya. Dua perkara itu ialah Al-Quran dan Sunnahku.” Inilah
pesanan terakhir Nabi saw kepada kita namun kita tidak mengambil berat
akan pesanan ini sehingga menjadikan kita sebagai seorang muslim yang
terumbang ambing seperti buih. Jika kita bersungguh-sungguh beramal
dengan segala pesanan Rasulullah saw nescaya kita umat Islam hari ini
tidak akan jadi begini tercabar dan terjatuh akhlaknya.

Golongan berilmu tidak memainkan peranan.


“Ulamak adalah pewaris nabi” begitulah sabda junjungan besar Nabi
Muhammad saw. Ini bermakna ulamak mempunyai peranan dan
tanggungjawab yang amat besar dalam mempertahankan akidah umat
Islam dalam sesebuah negara. Peranan ulamak perlu diberikan ruang
yang luas dalam membentuk kepribadian dan identiti seseorang umat
Islam. Ulamak mestilah diberikan kebebasan dalam mendidik umat Islam
memahami jatidiri kita sendiri. Peranan besar dari kalangan ulamak dalam
hal memahami kesucian Islam yang sebenar kepada semua umat Islam
akan dapat mempertingkatkan keimanan dan ketahanan minda dari
mudah terjebak dalam perangkap kuruntuhan akhlak yang dipasang oleh
musuh-musuh Islam. Ulamak perlu mengambil tempat dalam masyarakat
dalam segala aspek kehidupan, ulamak umpama penasihat dan
demonstrator dalam mengenali ajaran Islam yang suci supaya kita
memahami agama Islam sedalam-dalamnya tanpa terdapat syak atau
wasangka. Para ulamak yang mempunyai kefahaman Islam yang tinggi
perlu diberi tempat dalam masyarakat dan bergaul mesra dengan umat
Islam supaya mereka tidak disalah anggap dan ilmu serta ajaran murni
Islam dapat sampai kepada kita dengan jelas dan terang.

Sudah sampai masanya para cendikiawan Islam dan para ulamak


berganding bahu bersama-sama terjun mendekati masyarakat dengan
lebih dekat secara mutlak. Mereka mestilah bersama dalam masyarakat di
bandar, kampung dan desa. Mereka jangan hanya sekadar berada di
dalam pejabat sahaja tetapi bersama-sama dalam segenap aktiviti umat
Islam. Ulamak dan cendekiawan Islam bukan hanya sekedar
membentangkan kertas-kertas kerja tetapi turut sama mempastikan kertas
kerja yang membawa manfaat kepada umat Islam menjadi kenyataan dan
dipraktikan dalam kehidupan kita seharian. Sebenarnya peranan ulamak
dan cendekiawan Islam amat besar dalam pembangunan ummah dan
umat Islam. Ketinggian ilmu agama dan kefahaman Islam yang tinggi
yang mereka miliki mestilah disalurkan kepada seluruh umat Islam sejagat
dan kita pula sebagai umat Islam yang kurang pemahaman dan asas
Islam hendaklah mendekati mereka dan menimba sebanyaknya ilmu dari
mereka. Dengan adanya hubungan yang rapat antara ulamak dan umat
Islam nescaya segala bentuk ancaman dan pengaruh yang tidak sihat
yang cuba memesongkan akidah kita dapat ditentang dan dibenteras
dengan jayanya.

You might also like