You are on page 1of 32

Tajuk: Adat Resam Masyarakat Majmuk di Malaysia

Konsep asas mengenai setiap disiplin dalam pengetahuan sains sosial perlu
difahami oleh setipa lapisan masyarakat. Bagi memahami fenomena hubungan etnik,
sama ada pada peringkat Malaysia ataupun global. Hal ini penting dalam masyarakat
Malaysia kerana negara kita adalah negara yang majmuk. Kehidupan di Malaysia
sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Namun begitu masyarakat di
Negara kita masih boleh hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Kepentingan adat
resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan.
Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah
kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan
kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat
menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Adat resam masyarakat di Malaysia
boleh dilihat berasaskan ras-ras seperti adar resam masyarakat Melayu, adat resam
masyarakat Cina, adapt resam masyarakat India, adat resam masyarakat etnik Sabah, adat
resam masyarakat etnik Sarawak dan adat resam masyarakat orang Asli.

Sebelum mengupas lebih lanjut mengenai adat resam masyarakat Malaysia ini,
saya akan mendefinisikan dahulu maksud masyarakat. Masyarakat ialah satu konsep yang
penting yang perlu difahami dalam hubungan etnik. Secara umumnya, masyarakat
merujuk kepada sekumpulan manusia yang berkongsi budaya yang sama, menduduki satu
kawasan yang khas dan merasai kewujudan mereka sebagai satu entity yang bersatu padu
dan berbeza dengan yang lain. Cara yang paling baik dalam memahami konsep
masyarakat adalah dengan menganalisis aspek-aspek penting di dalamnya.

Masyarakat ialah satu masyarakat yang kompleks yang merupakan praktis yang
mantap untuk mengawal pelbagai aktiviti sosial dan membentuk kehidupan sosial.
Apabila masyarakat dilihat sebagai satu institusi yang kompleks , ini bermakna institusi
dalam masyarakat adalah saling berkait dan saling bergantung antara satu sama lain.
Contoh institusi ialah perkahwinan, kurikulum pendidikan, ritual keagamaan dan
kerajaan. Setiap masyarakat di Malaysia mempunyai adat resam yang tersendiri yang
diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat tersebut.
Pentingnya adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi
Biar mati anak, jangan mati adat. Tata perlakuan dalam adat resam masyarakat Melayu
banyak dipengaruhi oleh adat yang diwarisi dari budaya Hindu yang disesuaikan
mengikut unsur-unsur Islam. Adat ini dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu adat
resam perkahwinan, kelahiran dan kematian.

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap
pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam,
adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing,
justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat
Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia
merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Ketika mengandung tedapat adat melenggang perut. Adat ini juga dipanggil Kirim
Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di
sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita
yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau
lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan
yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan
kedudukan bayi di dalam perut.

Selepas bersalin, terdapat pula adapt memotong tali pusat. bidan akan
menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas
bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan
dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong
menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur
lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali
pusat itu tanggal sendiri.

Selain itu. Terdapat adat pantang selepas melahirkan anak. Mereka akan terkena
bentan atau perkara sampingan jika melanggar pantang. Tempoh berpantang lazimnya
berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga
yang berpantang selama seratus hari. Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat
tradisi dan bertungku. Selepas bertungku terdapat amalan berbengkung. Amalan
berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas
bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Apabila bayi sudah melepasi hari ketujuh adat cukur rambut atau potong jambul
akan dilakukan. Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di
atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi
seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat.
Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa
tersebut di tanam di sekitar halaman.

Dalam adat masyarakat Melayu, adapt bersunat juga dilakukan. Adat bersunat
bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari
selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan
menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Bagi
kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan
ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan
dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib
kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari
segi kesihatan.

Dalam masyarakat Cina, mereka mempunyai adat resam atau pantang larang yang
agak unik. Kehidupan mereka bnayak dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling.
Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk
dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini
diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina,
namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina
secara keseluruhannya.
Sewaktu mengandung, wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa
diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka.
Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan
bukannya suami. Mereka juga mementingkan anak lelaki. Wanita mengandung juga tidak
dibenarkan melakukan kerja terutamanya memaku khuatiri bayi yang dikandung kam
mengalami kecacatan. . Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya
kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum
lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini
adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai.

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama


empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk
angin. . Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak
tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala
pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Dari segi pemakanan,
masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam
dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada,
kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan
angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu
apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah
dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah
kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih
dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati
ayam untuk ibu-ibu. Masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut kerana
beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara.

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga.
Pangkal nama tersebut ialah nama bagi keturunan mereka. nama seseorang bayi harus
disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan
nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan
ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan. Kerumitan orang Cina memilih nama
yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa
yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa
merujuk kepada kitab-kitab tertentu.

Dalam perkahwinan masyarakat Cina, perkahwinan penting untuk mengekalkan


institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu
generasi kepada generasi yang lain. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang
berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Pada asasnya adat resam
perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan
majlis perkahwinan.

Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati.
Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan
tingkah laku si gadis. Adat ini penting bagi mengenali wanita yang hendak dikahwini dan
perkahwinan yang akan berlangsung berkekalan sepanjang hayat mereka. . Perbincangan
ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang
keluarga dan asal keturunan. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan
perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi
makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan
perhubungan di antara kedua belah keluarga.

Selepas kedua-dua belah phak bersetuju ketika amalan merisik dijalankan. Majlis
pertunangan kan dilakukan. Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan
ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat
tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku
iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai
dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Upacara
bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis
kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan
persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang
yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik.
Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang
kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang
sama tentang dirinya.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di
Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas,
sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan
barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai
akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan
diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan.
Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi
martabat dan kedudukan pihak lelaki.

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut


tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan
sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu
mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Hal ini bagi
menghormati si mati. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning.
Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna
tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan


pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama.
Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga
masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya
kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan
meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing.
Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih
diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang
tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri
dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan
kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara
minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu
jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah,
dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai
hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba
mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali,
sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat
perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi. Pada hari ini
masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya
menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja,
terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.

Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu
kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di
negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri
kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat
resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan
kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan
perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada pelbagai
suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India
secara umum

Bagi masyarakat India, Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika
kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita
hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai
Suulkaappu.ndia, sewaktu wanita India mengandung Adat Valaikaappu dilakukan. Adat
Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India. Upacara ini
akan diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita yang telah
bersuami dan mempunyai anak yang dipanggil cumanggali.

Pada hari upacara dilakukan, hadiah kepada wanita hamil tersebut yang dikenali
sebagai ciir diatur ke dalam dulang yang mempunyai bilangan ganjil. Hadiah ini
termasuk barang kemas, sari, gelang tangan, serbuk kumkum, kunyit, buah-buahan, sirih
pinang, sikat dan cermin serta pelbagai manisan. Wanita hamil tersebut didudukkan di
bilik mandi dan dimandikan dengan air seperti air susu, air kunyit, air kelapa muda, air
mawar dan bunga-bungaan. Setelah mandi, wanita hamil tersebut akan dihias seperti
pengantin dan seterusnya akan dikalungkan dengan kalungan bunga oleh suaminya.

Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat
dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini
akan menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa. Sebaik sahaja bayi
dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu
akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum
tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan dengan hanya membisikkannya
sebaik sahaja melihat bayi tersebut kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa
memasuki bilik bersalin.

Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar
kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini
dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan
oleh ahli sihir. Bayi yang baru dilahirkan juga akan di sapu madu pada lidah bayi yang
baru dilahirkan. Air gula juga boleh digunakan. Madu digunakan untuk melebutkan lidah
untuk memudahkan pertuturan bayi.

Bayi juga akan dibawa pulang pada hari ganjil seperti hari pertama, hari kedua
dan hari ketiga. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan. Ia
bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku. Apabila
bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah
bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar
dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.

Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang
berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan
menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia
bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai
bahan utama untuk melembutkan kulit bayi. Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan
dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan
kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan seperti serbuk
kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk digunakan sebagai
pembersih badan bayi bertujuan untuk mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit
bayi.

Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan.
Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli
keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-
dewa. Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh
kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan
agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan
mempengaruhi perwatakannya kelak.

Dalam adat perkahwinan masyarakat India, terdapat juga amalan merisik.


Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub
etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status
sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan
moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Dalam adat
kunjungan ke rumah, bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin
perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini
dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal
isteri.
Selepas itu, Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan
kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam
jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih
pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada
wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa
kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa
salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan
dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka
akan mengikat janji.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan


memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit
dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara
Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit
tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan
keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh
Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan
menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin.

Selepas majlis perkahwinan, pengantin perempuan akan menziarahi rumah


pengantin lelaki sebagai tanda menghormati keluarga pengantin lelaki. Kemudian
pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari.
Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan
dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan
kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-
sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu.
Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.

Dalam masyarakat India, mereka mempercayai kelahiran semula selepas


kematian. Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk
melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan. Sekiranya seseorang itu
telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan
ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang
dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran
si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati.
Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang.

Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan


pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada
penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan beberapa
kali sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah
bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti pergerakan
bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut
Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang
dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke
dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur
sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan.

Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga
kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic
catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan
ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak
menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke
tanah satu persatu. Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si
mati.

Selepas upacara pengebumian berlangsung, masyarakat India kan melakukan adat


membersihkan rumah, mengumpulkan abu mayat dan berkabung. Rumah perlu
dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. lampu minyak dinyalakan dibekas
tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk
membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Pembawa kollic catti
hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini
adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.
Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan keesokan harinya. Susu
terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu
bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain
dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam
periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan
abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau
dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.

Masyarakat India seperti juga masyarakat lain akan berkabung selepas berlakunya
sesebuah kematian. Tempoh mula berkabung samada lapan atau enam belas hari selepas
kematian. . Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan
kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula
dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan
dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-
lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para tetamu. Berkabung
pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari bersembahyang.
Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik
dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Selesai upacara
bersembahyang, pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-
sayuran dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.

Sabah yang dikenali dengan nama Negeri Di Bawah Bayu merupakan sebuah
negara yang unik dan terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan suku kaumnya. Terdapat
kira-kira 2.5 juta penduduk Sabah merangkumi lebih daripada 30 suku kaum dan kira-
kira 80 dialek bahasa. Penduduknya terdiri daripada kaum Kadazan atau Dusun, Bajau,
Murut, Kelabit, Rungus dan lain-lain. Ciri-ciri kebudayaan negeri Sabah amat unik
kerana kepelbagaian suku kaum di sini. Berikut hanya dipaparkan maklumat berkaitan
amalan dan adat resam dua suku kaum utama di Sabah iaitu masyarakat Kadazan dan
Bajau.

Masyarakat Kadazan merupakan penduduk majoriti negeri Sabah yang juga


dikenali sebagai 'negeri di bawah bayu'. Masyarakat Kadazan dahulunya dikenali sebagai
Orang Dusun dan mereka begitu berpegang teguh terhadap adat resam warisan nenek
moyang mereka. Keunikan masyarakat ini terserlah melalui kebudayaan dan adat resam
yang diamalkan. Kebanyakan daripada amalan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual
dan animisme. Ini jelas terlihat melalui adat resam dan kepercayaan yang diamalkan
dalam aspek kelahiran dan perkahwinan.

Bidan merupakan orang yang bertanggungjawab tentang kelahiran seorang anak.


Tugas bidan meluas iaitu sejak bayi di dalam kandungan sehinggalah selamat dilahirkan.
Biasanya ibu yang bersalin dikenakan pantang. Bagaimanapun bilangan hari berpantang
bergantung kepada unsur kasta. Bagi orang kebanyakan tempoh berpantang ialah tujuh
hari. Bagi orang yang berdarjat, tempoh pantangnya ialah 21 hari. Manakala bagi yang
berdarjat lebih tinggi, tempohnya ialah 44 hari.

Sepanjang tempoh berpantang, si suami tidak dibenarkan berada jauh dari rumah.
Sejak hari kelahiran hingga tamat tempoh berpantang, ibu dan anak yang baru lahir diberi
kawalan secara mistik oleh bidan agar tidak diganggu oleh makhluk halus. Biasanya
jampi mantera digunakan untuk mengusir makhluk halus di sekitar tanah. Tempat darah
yang mengalir ketika ibu itu bersalin, digantung dengan daun-daun limau.

Antara pantang yang mesti diikuti oleh ibu yang bersalin ialah dia tidak boleh makan ikan
yang bertulang keras, ikan yang berduri, nasi sejuk dan nasi bercampur air seperti bubur.
Manakala bagi bayi yang baru lahir terutamanya dari hari pertama hingga hari ke tujuh,
bayi tidak boleh dibawa ke ruang yang terdedah, umpamanya ke halaman rumah. Ini
untuk mengelakkan bayi itu daripada diganggu oleh roh jahat yang dinamakan Rogon
Gaiya.

Dalam perkahwinan pula kebanyakan orang Kadazan lazimnya berkahwin ketika


umur mereka meningkat 16 tahun atau selepas 21 tahun. Ada juga yang berkahwin
melalui perjanjian yang dipersetujui oleh ibu bapa kedua-dua pihak semasa mereka masih
kecil lagi. Sebelum sesuatu upacara perkahwinan dilangsungkan, keluarga kedua-dua
pihak akan mengatur segala persiapan yang diperlukan. Dalam hal ini perkara yang
diutamakan adalah tentang pemberian sebentuk cincin. Cincin ini menjadi tanda
peminangan daripada pihak lelaki.

Sebelum peminangan dibuat, pihak lelaki melantik seorang tua yang bukan terdiri
daripada keluarga terdekat lelaki berkenaan. Segala urusan merisik dan juga pinang-
meminang ini mesti dibuat pada waktu pagi. Waktu petang dan malam tidak dibenarkan
sama sekali. Wakil pihak lelaki pergi merisik kepada ibu bapa perempuan yang hendak
dipinang itu atau pengganti ibu bapa jika ibu bapa perempuan itu sudah tidak ada.

Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk
adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Barang hantaran untuk
memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang
diperbuat daripada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari
perkahwinan. Alat untuk adat istiadat pula dinamakan 'tinokol' iaitu terdiri daripada
canang, gong dan tajau (tempayan). Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu.
Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan.

Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada
kemampuan keluarga tersebut. Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua
atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan
disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti.
Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari
perkahwinan. Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak. Lihing diminum beramai-
ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan.

Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan, terdapat
beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan
majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga
berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak. Serendah-rendah darjat perkahwinan itu
mesti dibuat dengan upacara adat, pemujaan agama, pesta bersukaria dan makan minum.
Sesingkat-singkat pesta pula adalah antara dua atau tiga hari di rumah pengantin
perempuan. Bagi mereka yang berkemampuan, majlis dibuat selama tujuh hingga empat
belas hari.

Walaupun perkahwinan pasangan suami isteri itu sudah sah di sisi agama dan
kepercayaan, mereka masih belum boleh bersatu pada hari dan malam pertama. Paling
cepat mereka hanya boleh bersatu pada malam kedua, malah ada yang mengambil masa
selama seminggu atau dua minggu berikutnya. Kesemuanya ini bergantung kepada besar
atau lamanya majlis perkahwinan itu diadakan.

Untuk membolehkan pengantin ni bersatu, satu upacara khas dibuat. Pasangan


pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama.
Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh
sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu.

Azmah Abdul Manaf (2001) berpendapat bahawa majlis perkahwinan orang


Kadazan memakan masa selama tiga hari. Perkara yang paling penting dalam
upacara perkahwinan ialah miohon pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi.
Untuk memulakan upacara ini, pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan
di tengah-tengah bulatan gadis-gadis yang berpakaian tradisional berwarna hitam.

Masyarakat Bajau merupakan masyarakat pribumi Sabah dan dari segi


populasinya adalah kedua terbesar selepas kaum Kadazan. Terdapat pelbagai suku kaum
di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan
masyarakat Bajau mendiami kawasan Samporna dan Kota Belud. Dari segi sejarahnya,
kaum lelaki di kalangan masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.
Seperti masyarakat etnik Sabah yang lain, masyarakat Bajau juga terkenal dengan adat
resam mereka yang pelbagai dan unik. Dalam kehidupan mereka, adat resam berkaitan
kelahiran, perkahwinan dan kematian begitu dititikberatkan.

Dalam masyarakat Bajau, kehamilan dan kelahiran dilihat sebagi krisis hidup
yang paling penting dalam edaran hidup seseorang dan dengan itu harus diberi perhatian
yang sepenuhnya. Terdapat persamaan ketara dalam adat resam kelahiran antara
masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung. Ini kerana rata-rata
masyarakat Bajau di Sabah beragama Islam.

Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat Bajau ketika seseorang
wanita itu mengandung, antaranya ialah berpantang, menempah bidan, menyediakan
kelapa tua sebagai tanda kelahiran dan melenggang perut. Untuk mengelakkan bahaya
sewaktu mengandung, wanita tersebut perlu menjalani beberapa pantang larang tertentu.
Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta kandungan, di samping
memudahkan proses kelahiran kelak.

Apabila sudah tiba masanya, bidan akan segera dipanggil dan beberapa peralatan
tertentu disediakan. Adakalanya di bawah rumah tersebut, duri dan benda-benda tajam
seperti besi atau parang diletakkan untuk mengelakkan atau menjauhkan gangguan
makhluk halus terhadap si ibu dan bayi. Di samping itu terdapat beberapa adat lain yang
dilakukan semasa menyambut kelahiran bayi tersebut iaitu adat potong tali pusat, azan,
dan menanam tembuni.

Dalam perkahwinan adatnya tidak banyak bezanya daripada adat masyarakat


Melayu. Sebelum perkahwinan berlangsung, upacara merisik terlebih dahulu dilakukan
terhadap gadis yang menjadi calon. Caranya hampir sama dengan cara yang diamalkan
oleh suku kaum yang lain iaitu dengan melantik wakil bagi menemui keluarga gadis.
Setelah mendapat kepastian bahawa gadis itu belum ada ikatan apa-apa dan secocok
dengan keinginan pihak lelaki tentang rupa paras, budi bahasa serta martabat
keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruan yakni menyimpul tali pertunangan.

Upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan seruan. Dalam
majlis itu, pihak lelaki membawa sebentuk cincin, sepersalinan pakaian dan wang tunai
sebanyak RM100.00 sebagai pengikat tali pertunangan. Masa pertunangan biasanya
berlangsung selama setahun untuk membolehkan pihak lelaki membuat persediaan.
Apabila tempoh yang ditentukan tiba, pihak lelaki menghantar semua barang yang
dijanjikan dalam majlis seruan itu kepada pihak perempuan. Dalam majlis penyerahan
barang-barang tersebut, tarikh perkahwinan ditentukan. Pihak keluarga perempuan
menentukan jumlah kerbau yang akan dihadiahkan untuk majlis perkahwinan. Tujuh ekor
bagi keluarga yang berada, tiga ekor bagi keluarga yang sederhana dan seekor bagi
keluarga biasa. Mas kahwin dan hadiah lain seperti sepersalinan pakaian yang lengkap,
sirih pinang, alat persolekan dan sebagainya akan diberikan dalam majlis perkahwinan
nanti.

Majlis perkahwinan dibuat sebelum hari perkahwinan. Keluarga yang berada


mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya, tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari
bagi keluarga miskin. Sepanjang hari tersebut, pada sebelah malamnya majlis titik
diadakan yakni memainkan alat muzik yang terdiri daripada kulintangan, gong, bebandil
dan gendang di tempat kediaman kedua-dua belah pihak. Kumpulan muzik ini
mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan
kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain
bebandil. Majlis ini mungkin berlangsung hingga larut malam, kemudian diikuti dengan
tarian tradisional yang dikenal sebagai runsai. Tarian ini memerlukan antara enam hingga
lapan onang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah
apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari
lelaki dan perempuan.

Sehari sebelum hari perkahwinan, bakal pengantin lelaki dan perempuan akan
didandan oleh beberapa orang mak andam. Dandanan ini termasuklah mandi bedak
dengan ramuan bedak tepung beras yang bercampur bunga-bungaan pada sebelah malam.
Pada hari perkahwinan, pengantin dihias dengan pakaian yang baru, selalunya berwarna
kuning dan hijau yang diperbuat daripada sutera. Rambut pengantin perempuan dihiasi
dengan 'serempak' iaitu sejenis mahkota.

Pengantin lelaki yang berpakaian serba kuning lengkap dengan tanjak dan
bersenjatakan sebilah keris diusung dengan tandu oleh beberapa orang ahli
keluarganya, atau menunggang kuda ketika menuju ke ke diaman pengantin
perempuan dengan diiringi pukulan gong berirama tigad-tigad semasa melalui
jalan yang dihias dengan bendera yang berwarna-warni (Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, 2005:1).
Beberapa das tembakan dilepaskan sebagai tanda hormat dan alu-aluan akan
ketibaan rombongan pengantin lelaki di halaman rumah pengantin perempuan. Pengantin
lelaki yang turun dari tandu atau kudanya dijulang di atas bahu anggota rombongan atau
didukung masuk ke rumah pengantin perempuan. Dia kemudiannya dipersilakan duduk
di tempat yang dikhaskan untuknya dan bunyi gong pun diberhentikan. Di situ, pengantin
lelaki menunggu majlis akad nikah.

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang


mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan
etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti
oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Bagi
masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu
dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Maklumat berkaitan
adat resam masyarakat Sarawak akan difokuskan kepada kaum Iban, Melanau dan
Bidayuh.

Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat


pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain.
Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping
mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Kaum Iban banyak mengamalkan
pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat
penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin.
Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas
lahir.

Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak.
Dalam tempoh berpantang itu, ibu akan diberi makan nasi dan ikan salai atau ikan kering
yang kadang-kadang dicampur dengan pucuk paku dan buah pulur. Semua makanan
tersebut pula perlu dicampurkan dengan halia atau air rebusan halia supaya dapat
memanaskan badan.
Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa
peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam
masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Bagi pihak si
gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi
masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang
melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk
mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan
bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka
lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak
mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu
keluarga membuat kerja-kerja tertentu.

Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi
pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus
diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai
persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Pada
hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin
perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin
melalui jalan sungai. Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat.
Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di
rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami
isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu.
Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai
maksud yang tersendiri samada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa
dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.

Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian,
semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya. Perkara pertama yang dilakukan
sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan
oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang
sebaik-baiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang
alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa
pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengah-tengah rumah panjang dan
dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat.

Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barang-


barang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya. Mayat itu juga tidak
boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan
membaca doa. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari
rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang tua-tua akan
berbincang tentang jangkamasa berkabung dan berpantang. Apabila mayat itu
dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan.
Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. Mayat itu
kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyiksa mayat itu.

Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat


Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat
ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat
Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam yang tersendiri.

Tiada sebarang adat khusus yang diamalkan oleh wanita hamil di kalangan
masyarakat Melanau, namun begitu mereka juga terikat daripada mengamalkan pantang
larang. Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor
pemakanan seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian
atau ulam seperti petai kerana badan akan menjadi busuk. Wanita hamil tersebut juga
tidak boleh makan pucuk-pucuk paku kerana susu badan akan menjadi masam. Haiwan
buruan yang dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana
diyakini anak dalam kandungan akan melecur seluruh badan.

Bagi pandangan Chater W.A (1994), si suami tidak boleh memotong kayu yang
bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi
sumbing. Si suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam
kandungan akan diiringi minyak. Sekiranya terdapat sebarang kematian, si suami
tidak boleh melihat kerana anak di dalam kandungan akan mendapat penyakit.
Suami juga tidak boleh memotong akar temalet kerana anak akan meninggal
dunia tanpa sebab. Semasa mengandung juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-
takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam kandungan cacat
ataupun gugur.

Setelah si ibu melahirkan anak, orang kampung dan saudara mara akan datang
melawat. Mereka lazimnya akan membawa hadiah bersama. Masyarakat Melanau juga
dilarang daripada memuji bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya mereka lebih senang jika
bayi itu dikatakan hodoh dan sebagainya. Selepas bersalin, ibu tersebut dikehendaki
mengeringkan badannya di puyan dan tidak boleh makan sembarangan. Sesiapa yang
ingin bermalam di dalam rumah tersebut hendaklah bermalam selama tiga hari. makanan
dan barang-barang di dalam rumah tidak boleh dipinjam atau dibawa keluar, jika tidak
anak akan jatuh sakit atau meninggal.

Dalam tempoh berpantang juga, si ayah tidak dibenarkan memegang anak itu
selepas balik dari hutan atau balik dari laut kerana bau laut dan hutan masih melekat di
badannya sehingga boleh menjejaskan kesihatan anak tersebut.

Bagi bayi perempuan, semasa kecilnya dahinya dipipihkan dengan sejenis alat
iaitu jak. Ini bertujuan untuk mencantikkan dahinya. Proses ini sudah menjadi identiti
khas di kalangan masyarakat Melanau.

Masyarakat Bidayuh merupakan masyarakat etnik Sarawak yang rata-ratanya


mendiami kawasan bukit di luar bandar Kuching. Terdapat pelbagai suku kaum di
kalangan masyarakat Bidayuh dan masing-masing mengamalkan pegangan serta adat
resam yang tersendiri. Kebudayaan dan adat resam ini banyak dipengaruhi oleh unsur-
unsur ritual dan kepercayaan yang mereka anuti.

Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota
dan menikmati hak sebagai anggota biik atau ramin itu. Masyarakat Bidayuh
mengamalkan monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas
penceraian ialah satu perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses,
perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat
tersebut. Masyarakat Bidayuh juga melarang perkahwinan antara sepupu.

Datu Nillie Tangai (2004), mendapati bahawa kumpulan seperti Dayak Selako
melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota kaum yang pernah menjadi
musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan sumpah namun kerana sudah
berlaku perkahwinan yang pertama antara nenek datuk rnereka dengan keturunan
bekas musuh rnereka, maka larangan tersebut mansuh. Di kalangan kumpulan
Dayak Bukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar. Lelaki dan
perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain sebelum
mereka berkahwin.

Dalam masyarakat ini, tidak ada upacara merisik. Perkahwinan biasa berlaku
apabila seseorang sudah cukup dewasa dan memilih pasangan hidup. Sebagai petani,
bakal mentua inginkan calon suami yang boleh bekerja di kebun lada mahupun bertanam
padi. Mereka juga mengharapkan calon menantu lelakinya berpekerjaan tetap dengan
kerajaan atau swasta supaya kehidupan anak dan keturunannya terjamin. Kecuali
perkahwinan yang terlarang, masyarakat Bidayuh bersikap terbuka terhadap pilihan anak-
anak mereka. Dalam kumpulan Bukar-Sadong dan kumpulan Selako, mereka dibenarkan
untuk memilih pasangan yang disukainya tanpa mengira asal kaum.

Terdapat perhubungan antara menuai padi dan peristiwa perkahwinan. Lebih baik
hasil yang diperolehi, lebih banyak perkahwinan dapat dilangsungkan. Ini adalah kerana
majlis pertunangan dan perkahwinan melibatkan majlis kenduri yang besar dan mewah
terutama bagi anak sulung lelaki atau anak tunggal. Sekiranya mereka gagal mengadakan
kenduri pertunangan dan perkahwinan, orang ramai akan mencemuh pengantin lelaki.
Kerana itulah apabila hasil padi berkurangan, pertunangan atau pertunangan juga akan
berkurangan.

Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi


keluarga pengantin. Dalam masyarakat Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas
berkahwin bergantung pada banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi
pasangan yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh
mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama keluarganya (amalan virilokal)
dan begitulah sebaliknya (uksorilokal). Dalam keadaan perkahwinan suami isteri sudah
stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri (amalan neolokal).

Kumpulan Dayak Selako melarang pengaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa' melalui amalan yang dikenal sebagai
'batangkap'. Ini merupakan amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap
dilihat berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung supaya tindakan
dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju untuk berkahwin setelah dibicarakan
oleh pemimpin serta penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai suami isteri
boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda atas kesalahan rnereka
telah dijelaskan. Amalan batangkap dilakukan atas pasangan yang menghadapi tentangan
daripada ibu bapa.

Menurut Datu Nillie Tangai (2004), satu lagi cara melangsungkan perkahwinan
adalah melalui amalan 'nyagam', apabila bakal suami dihantar bersama-sama
segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan
daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih untuk berkahwin cara
demikian ialah seorang duda atau balu.

Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako, Jagoi dan Lara
ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa
kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang
perantaraan atau dikenal sebagai picara di kalangan masyarakat Selako untuk mewakili
pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.

Bagi kematian pula, apabila berlaku kematian, ahli keluarga dan sahabat si mati
akan segera menziarahinya. Kaum wanita segera menyanyikan lagu sedih yang disebut
mpesan iaitu kata-kata terakhir kepada si mati. Mayat dimandikan dan disapukan minyak
serta dipakaikan pakaian yang indah dan dibalut dengan kain putih yang baru. Mayat
seterusnya diletakkan di atas tikar pandan. Ketika ini seorang lelaki diarahkan menggali
kubur dan ditugaskan mengusung mayat ke kubur. Pengebumian akan dijalankan apabila
semua ahli keluarga dan saudara-mara si mati sudah berkumpul.

Pengebumian atau pembakaran mayat dilakukan oleh seorang penduduk kampung


yang memang ditugaskan itu menjalankan kerja-kerja tersebut. Segala makanan yang
diletakkan berdekatan mayat tersebut akan dibuang, ini dilakukan semasa mayat dibawa
ke tanah perkuburan. Tikar tempat mayat dibaringkan akan dikemas serta lantainya dicuci
untuk menghilangkan bau mayat. Ia juga bertujuan untuk mengelak semangat si mati
masuk ke dalam bilik tersebut. Mayat masyarakat Bidayuh akan dibakar atau ditanam
dengan menjalankan beberapa adat-adat tertentu.

Selepas pengebumian, ahli keluarga si mati tidak dibenarkan meninggalkan rumah


si mati selama empat hari. Sementara penduduk kampungnya pula tidak dibenarkan turun
ke sawah selama dua hari. Ini adalah sebagai upacara berkabung untuk si mati.

Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti terkecil di Malaysia dan adalah


penduduk pri bumi di negara ini. Orang Asli merupakan masyarakat yang mempunyai
beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Secara rasminya masyarakat Orang asli
terbahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku
Senoi dan Negrito pula diklasifikasikan kepada enam suku kecil. Suku Melayu Asli
dipecahkan kepada tujuh suku kecil. Oleh kerana terdapat pelbagai suku kaum di
kalangan masyarakat Orang Asli, maka terdapat banyak perbezaan dari segi cara hidup
dan pertuturan bahasa yang digunakan. Kebudayaan dan adat resam mereka juga berbeza-
beza dan mempunyai keunikan yang tersendiri.

Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil amat dititikberatkan,
seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan
dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran
tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut
dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara
ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas
lahir secara ringkas.
Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli,
wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita
berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu
perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan
yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang
semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping
itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul
agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan
sedikit jamuan makan.

Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita
mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh
masyarakat Orang Asli:-

♦ Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet


kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan.
♦ Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri
berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi.
♦ Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib
kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana
semangatnya telah terganggu.
♦ Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana
dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati.

Semasa bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan serpih
buluh yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Seterusnya uri bayi ditanam
berdekatan rumahnya. Uri tersebut akan dicuci, digaul dengan serbuk kunyit, garam, lada
putih, lengkuas, kemenyan dan arang sebelum ditanam ke dalam lubang setinggi satu
kaki. Selama tujuh hari lampu akan dipasang di tempat uri tersebut ditanam. Bagi
masyarakat Orang Asli, mereka menganggap uri tersebut sebagai abang atau kakak
kepada bayi itu dan justeru ia hendaklah ditanam dengan sempurna.

Bayi akan diberi nama dengan kebenaran dari ibu bapanya selepas selamat
dilahirkan. Biasanya nama bayi diberi berdasarkan nama pokok, tumbuh-tumbuhan, ikan
atau tempat yang dekat dengan bayi ketika lahir atau juga menurut nama peristiwa yang
berlaku ketika bayi dilahirkan. Adakalanya nama yang diberi tidak sesuai dan bayi akan
jatuh sakit. Jika ini berlaku, ibu bapa tadi akan 'menjualkan' bayinya kepada orang lain,
iaitu ibu bapa barunya. Dipercayai penyakit bayi adalah disebabkan ketidaksesuaian
antara bayi dan ibunya. Setelah bayaran dibuat kepada ibu bapa baru, ibu kandung akan
pulang ke rumah. Tetapi tidak lama selepas itu ibu bapa baru akan menyerahkan kembali
bayi tersebut kepada ibu bapa kandungnya. Adakalanya nama bayi perlu diubah kerana
tidak sesuai. Jamuan kecil-kecilan akan dibuat sempena pertukaran nama bayi tersebut.
Kadang kala pulut kuning akan diberi kepada jiran-jiran. Bidan pula akan menjalankan
upacara pembersihan yang menyerupai adat menepung tawar di kalangan masyarakat
Melayu supaya bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Biasanya tali pusat akan tanggal dalam tempoh seminggu selepas bayi dilahirkan.
Sama seperti adat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, masyarakat Orang Asli juga
akan menguruskan tali pusat tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini dengan cara
membungkusnya dengan kain putih bersama-sama sebiji atau tiga biji lada hitam.
Kemudian tali pusat itu digantung di atas api bertujuan untuk memelihara kesihatan bayi.
Jika bayi itu sakit, tali pusat tadi akan direndam di dalam air dan diberi minum kepada
bayi supaya sembuh. Apabila bayi sudah pandai merangkak, tali pusat tadi akan diberikan
kepadanya untuk dijadikan permainan. Sekiranya tali pusat tadi hilang, ini bermakna bayi
akan bekerja di tempat yang jauh apabila dewasa nanti kerana kononnya tali pusat
tersebut merupakan sebahagian daripada 'adik beradiknya'.

Kebanyakan masyarakat Orang Asli berkahwin ketika usia masih muda. Bagi
kaum lelaki, usia 18 tahun merupakan usia yang paling sesuai untuk mendirikan
rumahtangga. Kaum perempuan pula ketika berusia 16 tahun dan hendaklah tidak lebih
daripada usia kaum lelaki. Perkahwinan dilakukan oleh ibu bapa bakal pengantin,
bermula daripada upacara merisik sehinggalah seseorang telah menjadi pasangan suami
isteri secara sah. Oleh itu jodoh ditentukan oleh ibu bapa.

Ada juga di kalangan masyarakat Orang Asli yang telah bertunang sejak kecil
lagi. Kebiasaannya pengantin lelaki dan perempuan mempunyai hubungan saudara
seperti sepupu atau dua pupu atau mempunyai suku kaum yang sama. Adalah tidak
menjadi kesalahan sekiranya bakal pengantin lelaki berkahwin dengan perempuan
daripada suku lain. Namun apa yang pasti bakal pengantin perempuan perlu mengikut
suami, dengan kata lain bakal isteri perlu memasuki suku kaum suami.

Hari menghantar tanda atau menghantar cincin diketuai oleh seorang wakil ketua
kampung untuk menetapkan hari meminang. Sebelum itu kedua-dua belah pihak telah
bertemu untuk mendapat persetujuan tentang hari penghantaran cincin tanda. Setelah itu
barulah penghantaran cincin tanda dilakukan. Biasanya menghantar cincin tanda ini
dilakukan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua.

Menurut Azmah Abdul Manaf (2001), upacara meminang dijalankan oleh kedua-
dua belah pihak yang akan diwakili oleh Tok Batin / Jenang / Penghuhu /
Jungkerah dan Penggawa sekiranya berlainan suku kaum. Mereka mengadakan
perbincangan di sebuah rumah besar atau kini balai raya. Apabila selesai upacara
meminang satu tarikh untuk hari melangsungkan perkahwinan ditetapkan iaitu
kira-kira tujuh bulan, lapan bulan atau setahun dari upacara meminang.

Upacara ini dimulakan dengan mengasah gigi kedua-dua mempelai yang


bertujuan membuang sial. Ini adalah penting supaya segala masalah yang dihadapi oheh
bakal pengantin ketika bujang tidak dibawa selepas berkahwin. Ada juga yang
menyatakan asah gigi ini adalah untuk membuktikan bakal pengantin telah benar-benar
dewasa dan boleh memikul tanggungjawab masing-masing.

Sehari sebelum upacara persandingan dilakukan, pasangan pengantin dikehendaki


melakukan upacara berinai. Jari kedua-dua pengantin akan dimerahkan dengan daun inai
yang ditumbuh lumat. Upacara berinai ini dijalankan hingga ke pagi. Pada masa yang
sama, majlis tari menari hingga ke pagi akan diadakan.
Pelamin pula diperbuat daripada anyaman daun kelapa atau rumbia, manakala
tiangnya diperbuat daripada anak-anak kayu yang direka bentuk seperti rumah yang kecil.
Pelamin ini dibuat di hadapan rumah pengantin. Sekiranya suku kaum yang mendiami
rumah panjang, mereka akan bersanding di tengah-tengah ruang untuk dilihat oleh ahli
keluarga yang lain.

Semasa upacara persandingan dilakukan, semua ahli keluarga akan menepung


tawar pengantin dengan merenjis air mawar dan pulut sebagai merestui perkahwinan
tersebut. Pakaian pengantin adalah sederhana. Kebanyakan pakaian pengantin mengikut
pakaian tradisional masing-masing. Pengantin akan dihias dengan pelbagai aksesori yang
dibuat sendiri. Aksesori yang dipakai oleh pengantin perempuan ialah gelang, kalung
yang diperbuat daripada manik-manik yang beraneka warna. Kemudian lilitan kepala
pula diperbuat daripada daun-daun untuk mencantikkan lagi pasangan tersebut.

Pada hari persandingan, pelbagai juadah yang lazat disediakan oleh kedua-dua
belah wakil. Makanan yang lazat itu kemudian diagih-agihkan kepada para tetamu untuk
disantap bersama-sama wakil kedua-dua belah pihak. Selepas itu upacara persandingan
dijalankan dan diakhiri dengan upacara memandikan kedua-dua mempelai sebagai tanda
mereka selamat dikahwinkan. Setelah itu barulah pasangan itu layak digelar suami isteri.

“... pengantin perempuan akan mendiami rumah pengantin lelaki beberapa hari
sebelum pulang ke rumah pengantin perempuan. Kunjungan dari rumah pengantin
lelaki dan perempuan adalah sebagai mendekatkan lagi tali kekeluargaan antara
saudara terdekat dan sahabat-handai pasangan tersebut. Ini adalah penting supaya
pasangan pengantin akan cepat mesra dengan keluarga kedua-dua belah pihak”
(Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, 2005:3).

Masyarakat Orang Asli terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu adat serta
kebudayaan antara suku kaum mereka juga berlainan. Dalam menguruskan hal kematian,
terdapat beberapa adat yang dilakukan. Bagi suku Negrito dan Senoi, kematian yang
dilakukan berlainan mengikut suku kaum sendiri. Lazimnya masyararakat orang asli akan
membersihkan si mati terlebih dahulu. Kemudian si mati akan diletakkan di tengah-
tengah rumah untuk dilihat oleh ahli saudara-mara. Sekiranya semasa hidupnya si mati
menghisap rokok, bibir si mati akan dikepilkan dengan rokok sebagai tanda menghormati
si mati. Begitu juga dengan mereka yang suka memakan sirih, akan diletakkan di bibir
mereka sebagai syarat.

Kemudian ahli keluarga yang paling rapat akan menangis, tetapi tangisan tersebut
haruslah perlahan supaya tidak mengganggu si mati. Pada masa yang sama ahli keluarga
membaca beberapa mantera untuk dijadikan bekalan si mati. Ahli-ahli keluarga dilarang
mengungkit keburukan si mati semasa hidup. Oleh itu mereka dikehendaki menceritakan
kebaikan si mati sahaja. Dengan ini roh si mati akan lebih tenteram di dunia akhirat
kelak. Ada juga di kalangan mereka yang mengenakan si mati dengan pakaian yang
cantik terutama pakaian ketika perkahwinan. Bahkan ada pula yang mengenakan pakaian
biasa kepada si mati. Pemakaian baju yang menarik adalah sebagai penghormatan
terakhir kepada si mati.

Setelah itu si mati akan dibawa ke kawasan perkuburan. Kebanyakan mayat akan
dikebumikan di kawasan yang khas. Bagi kebanyakan suku kaum yang mengamalkan
kehidupan secara berpindah-randah, mayat mereka akan dikebumikan di kawasan
petempatan mereka. Oleh itu mereka akan berpindah ke kawasan lain kerana dipercayai
si mati akan menjadi hantu dan akan mengacau ahli keluarga yang lain.

Suatu ketika dahulu suku Negrito mengebumikan mayat di kawasan tertentu


seperti di bawah pokok besar, gua, batu besar atau diletakkan sebelah busut. Namun
amalan tersebut semakin berkurangan.

Berasaskan dari perbincangan yang telah kami kemukakan, terdapat


beberapa rumusan yang dapat disimpulkan. Secara keseluruhan setiap bangsa yang
terdapat di Malaysia ini mempunyai adat resam yang tersendiri dan masih diamalkan.
Kita sebagai pendudukan yang berbilang kaum di Malaysia perlulah menghormati serta
memahami segala kepercayaan yang diamali oleh setiap kaum. Setiap kaum mempunyai
amalan adat resam yang berbeza. Upacara majlis seperti kelahiran, perkahwinan dan
pengebumian yang diadakan oleh setiap kaum secara tidak langsung dapat
menyatupadukan kesemua kaum di Malaysia jika kita mempunyai sifat kunjung
mengunjung, tolong menolong dan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Upacara
perkahwinan terutamanya, selalu mendapat perhatian penuh dari semua golongan di
Malaysia. Di sebalik keramaian yang penuh warna warni, upacara ini melambangkan
perpaduan kaum yang mempunyai latarbelakang budaya dan adat resam yang berbeza.

Masyarakat yang mempunyai sifat semula jadi yang pelbagai yang memiliki
pelbagai kelainan dan perbezaan sama ada dari segi cara hidup mahupun penghayatan
budaya dan sistem nilai. Kepelbagaian yang wujud tidak seharusnya menjadi kekangan
bagi masyarakat negara ini berinteraksi dan memahami antara satu sama lain. Terdapat
banyak persamaan yang boleh dijadikan landasan bagi memungkinkan masyarakat
berkongsi bukan sahaja dari segi nilai, malahan dari segi amalan dan tatacara kehidupan.
Seseungguhnya, terdapat banyak persamaan dalam kehidupan manusia, khususnya nilai-
nilai baik yang boleh dikongsi oleh anggota masyarakat berbilang kaum di Malaysia bagi
mewujudkan suasana masyarakat yang damai, harmoni dan sejahtera.

Dalam usaha membina personaliti unggul seperti yang dihasratkan, rakyat


Malaysia dengan latar belakang pluraliti sedemikian rupa perlu mempunyai kekuatan
budaya dan sistem nilai. Kekuatan budaya dan sistem nilai dalam kalangan rakyat yang
berbilang kaum dalam negara ini berupaya membina satu jalinan sosial yang kukuh dan
utuh. Oleh demikian, semua rakyat Malaysia seharusnya dapat memhami dan menghayati
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah digubal berteraskan semangat kerjasama,
persefahaman dan kesalingan antara kaum di Malaysia. Cabaran dalam menerap budaya
dan sistem nilai yang dapat dihayati dalam kehidupan masyrakat dan juga bukan sesuatu
yang mudah.

Ting Chew Peh (1987), menjelaskan bahawa hubungan etnik mencerminkan


keadaan sosial dan ikatan sosial dalam keseluruhan masyarakat. Ia memberi
pemahaman tentang darjah pluralisme sosial dan kebudayaan, punca konflik dan
lebih penting sejauh mana stuktur masyarakat bersifat kolonial. Di samping itu
juga, kita dapat menggambarkan faktor personaliti dalam menentukan tingkah
laku ahli masyarakat.

Hubungan etnik di Malaysia wajar dimantapkan dari semasa ke semasa untuk


mencapai satu tahap intergasi sosial yang lebih bersepadu. Perpaduan antara kaum tidak
mungkin akan tercapai dari perspektif dan kepentingan satu kaum tertentu kerana setiap
kaum sememangnya mempunyai peranan masing-masing dalam usaha membentuk
bangsa Malaysia yang bersatu. Oleh itu setiap kaum perlu saling melengkapi dan saling
membantu antara satu sama lain. Harapan kita ialah segala perubahan dan perkembangan
yang berlaku dalam masyarakat berinteraksi yang bersepadu dengan memberi penekanan
terhadap aspek modal insan secara menyeluruh.

Malaysia sebagai sebuah negara majmuk masih perlu melakukan pelbagai usaha
bagi menggalakkan intergraksi antara kaum memandangkan masih terdapat banyak
cabaran yang perlu dihadapi dalam menangani dan menguruskan masalah perpaduan
kaum. Masyarakat negara ini perlu belajar daripada sejarah peristiwa ketegangan antara
kaum yang berlaku sebelum ini. Banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil
daripada peristiwa ketegangan kaum yang pernah berlaku di negara ini dan juga di tempat
lain. Selain itu, penganjaran daripada sejarah dan pandangan para sarjana serta ilmuan
harus dijadikan panduan dan landasan dalam menguruskan perpaduankaum di negara ini.
Pada ketika ini, isu perhubungan kaum masih merupakan satu isu yang sensitif dan boleh
menimbulkan keadaan yang tidak harmoni sekiranya tidak ditangani secara bijaksana.
Oleh demikian, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mewujudkan
intergrasi antara kaum yang lebih erat.
BIBLIOGRAFI

Ahmad Sunawari Long, Siti Saudah Hassan dan Ismail Ab. Rahman (eds.) (2003),
Perpaduan Ummah: Realiti dan Cabaran, Bangi : Fakulti Pengajian Islam ,UKM.

Azmah Abdul Manaf (2001), Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lmpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ting Chew Peh (1987), Hubungan Ras dan Etnik: Satu Pengantar, Kuala Lumpur:
Pustaka Dimensi.

Azharuddin Mohamed Dali (2003), Sejarah Masyarakat India sebelum dan selepas
Merdeka: Satu Penelitian Umum,Malaysia dari segi Sejarah, bil.31, hlm. 227-244.

Chater W.A (1994), Sarawak Zaman Dahulu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Ting Chew Peh (1976), ‘Struktur Masyarakat Malaya dalam Zaman Penjajahan’, Jurnal
Antropologi dan Sosiologi, 4: 12-30.

Perpustakaan Negara Malaysia (2000). Adat Resam. Diperoleh pada Mac 2, 2007
daripada http://malaysiana.pnm.my/01/01pgenln_adatresam.htm

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (2005). Adat Perkahwinan Masyarakat


Malaysia. Diperoleh pada Mac 3,2007 daripada
http://www.heritage.gov.my/kekkwa/index.php?bahan=viewbudaya.php?id=720&
PHPSESSID=ad5d3fceb02eeeaae98e58d2aa06d8e1

Datu Nillie Tangai (2004). Malis Adat Istiadat Sarawak. Diperoleh pada Mac 4, 2007
daripada http://www.nativecustoms.sarawak.gov.my/web/ketua.html

You might also like