You are on page 1of 7

Kajian pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa

Inggeris di sekolah rendah dan menengah

Pengenalan
Mulai tahun 2003 mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris di tahun satu,
tingkatan satu dan enam rendah pada semua sekolah kebangsaan sebelum dilaksanakan
sepenuhnya pada semua peringkat sekolah menjelang tahun 2008. Mengikut perancangan,
penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran itu di kolej matrikulasi dijangka
bermula pada 2004 manakala di politeknik pula pada tahun 2008. Pelaksanaan pengajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris dilihat sebagai satu kepentingan utama negara ke arah
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Sejajar dengan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, murid tahun
satu sekarang akan mengambil dua subjek berkenaan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris pada
peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 nanti. Pelajar tingkatan satu akan
mengambil dua subjek itu dalam bahasa Inggeris pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) pada 2005 dan seterusnya kumpulan ini mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada
2007. Walaupun kelas atau tingkatan lain tidak terbabit, namun sekolah-sekolah digalakkan
untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran tajuk-tajuk tertentu kedua-dua mata
pelajaran. Pelaksanaan secara separa ini bergantung kepada kemampuan guru dan kebolehan
murid-murid di sekolah masing-masing.

Di samping menjadi bahasa komunikasi antarabangsa, bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dalam
bidang Sains dan Matematik, sama ada dari segi buku atau bahan berkaitan seperti komputer serta
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Sebahagian besar bahan rujukan dan pembelajaran
kedua-dua bidang berkenaan adalah dalam bahasa Inggeris. Justeru, matlamat utama pelaksanaan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ialah bagi membolehkan pelajar
menguasainya sebagai bahasa ilmu dua bidang pengetahuan berkenaan sejak di peringkat awal.
Mengikut PPK, tujuan utama langkah pembaharuan itu bukanlah untuk mempertingkatkan
kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan pelajar, sebaliknya bagi mempersiapkan mereka ke
arah menguasai ilmu Sains dan Matematik dengan lebih berkesan dan mudah. Pendedahan awal
sebegini memang penting bagi memperkukuhkan persediaan asas pelajar.

Bagi memantapkan dan membolehkan pengajaran ini dibuat dengan lebih berkesan pihak
kementerian telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk membekalkan infrastruktur teknologi
komunikasi maklumat (ICT) seperti komputer bimbit, projektor LCD, skrin dan bahan interaktif
kepada sekolah. Disamping itu, sekolah juga turut dibekalkan dengan bahan rujukan bercorak
sains termasuk buku teks dalam bahasa Inggeris, glosari dan skrip pelajaran serta rancangan TV
pendidikan dalam bahasa Inggeris. Guru-guru turut diberi latihan intensif bahasa Inggeris dan
latihan berterusan sama ada dengan mengikuti modul atau latihan secara maya melalui internet.

Namun demikian, masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dihuraikan. Pendekatan
mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dikatakan akan menjejas penguasaan
murid-murid di aliran kebangsaan dan Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil
dan Cina terhadap matapelajaran Sains dan Matematik. Penukaran bahasa pengantar untuk
matapelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa ibunda kepada Bahasa Ingerís akan turut
menjejaskan keberkesanan pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik di SRJK Tamil dan
Cina. Kajian Colllison (1974) menunjukkan bahawa pembelajaran konsep sains lebih baik dan
mudah difahami dalam bahasa ibunda walaupun terjemahan istilah sains agak sukar dan terhad.
Ada juga yang berpendapat bahawa cadangan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris tidak akan memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat. Langkah
memerlukan murid-murid mempelajari sebahagian mata pelajaran dalam satu bahasa dan mata
pelajaran lain dalam bahasa yang lain hanya akan mengelirukan murid-murid dan akan menjejas
penguasaan mereka terhadap kedua-dua bahasa tersebut. Kajian Bambbose (1984) menunjukkan
bahwa murid-murid yang diajar menggunakan bahasa ibunda sepanjang pendidikan rendah dalam
semua subjek menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang berbanding kumpulan kawalan.

Bilangan guru yang mahir serta fasih dalam mata pelajaran sains dan matematik masih
tidak mencukupi. Apatah lagi kini untuk mencari guru yang turut berkemampuan mengajar
subjek-subjek tersebut serta memiliki kefasihan berbahasa Inggeris. Ketika guru-guru tersebut
dididik di maktab serta di universiti, kelulusan Bahasa Inggeris mereka adalah pada tahap
minimal. Bagaimana mungkin secara tiba-tiba mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa
dalam bahasa perantaraan yang mereka sendiri tidak memiliki kefasihan serta pasti
penggunaannya? Kajian awal yang melibatkan sekumpulan guru-guru pelatih mendapati bahawa
mereka tidak yakin akan kemampuan mereka untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris
(Zurida & Mohd Ali, 2002/2003). Guru-guru pelatih juga didapati kurang memahami beberapa
istilah bukan teknikal yang sering digunakan dalam pembelajaran sains. Kepincangan sebegini
akan memberikan tekanan baru kepada para guru untuk menyampaikan bahan mereka dengan
baik dan yang akan menjadi mangsa, akhirnya adalah anak-anak murid yang mereka didik atau
abaikan. Keadaan ini akan menambah lagi kekeliruan serta kekusutan dalam pendidikan sains,
teknologi dan matematik di negara ini

Mata pelajaran sains, khususnya matematik bukanlah mata pelajaran yang mudah dipelajari,
diajar serta dihayati oleh guru dan murid. Ramai bersetuju bahawa pelajar miskin dan pelajar luar
bandar amat lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka kerana tahap penggunaannya amatlah
sedikit, hanyalah di bilik darjah ketika mata pelajaran tersebut diajar. Pendekatan mengajar Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diduga akan menimbulkan masalah besar kepada para
pelajar kawasan desa dan mundur. Guru-guru di kawasan luar bandar tidak diperlukan menguasai
bahasa Inggeris kerana faktor persekitaran dan tahap pencapaian murid yang mereka ajar. Kajian
Naimah (2002) mendapati guru-guru menghadapi pelbagai masalah dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bahasa Inggeris di bilik darjah. Justeru, adalah dijangkakan jurang
pencapaian dalam mata pelajaran matematik di semua peperiksaan peringkat UPSR/PMR/SPM di
antara pelajar miskin atau di luar bandar dengan yang berpendapatan sederhana/tinggi dan tinggal
di bandar akan menjadi bertambah luas. Anak-anak mereka akan terus menghadapi masalah
penguasaan dan kefahaman Bahasa Inggeris ditambah pula kesukaran mereka memahami konsep
atau istilah matematik dan sains.

Pengajaran matematik diperuntukkan 10 waktu di SJKC dan SJKT dengan enam waktu
daripadanya diajar dalam bahasa ibunda manakala pengajaran di SK adalah dalam bahasa
Inggeris sepenuhnya selama tujuh waktu seminggu. Manakala pengajaran sains pula
diperuntukkan enam waktu seminggu di kedua-dua jenis sekolah SJK dengan tiga waktu
daripadanya diajar dalam bahasa ibunda. Pelaksanaan pengajaran mata pelajaran sains dan
matematik di SJKC dan SJKT dilakukan secara dwibahasa tentunya berbeza dengan pengajaran
sains dan matematik di sekolah-sekolah kebangsaan yang hanya dijalankan dalam bahasa
Inggeris. Perbezaan pelaksanaan ini mungkin memberi kesan yang berbeza dari segi pencapaian
murid dalam mata pelajaran sains dan matematik dan penguasaan bahasa Inggeris.

Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik


Seseorang pelajar menghadapi pelbagai cabaran dalam pembelajaran sains. Dalam konteks ESL
berasaskan isi kandungan, pelajar perlu mempelajari satu bahasan baru dan pada masa yang sama
menguasai isi kandungan mata pelajaran yang juga agak mencabar. Untuk berjaya, pelajar bukan
sahaja perlu menguasai kosa kata dan tatabahasa, tetapi juga cara bahasa Inggeris itu digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Bahasa pengantara ini yang
dikenali sebagai academic English atau school English merangkumi pengetahuan semantic dan
syntactic dan juga kegunaan/kefungsian bahasa. Pelajar perlu menggabungkan pengetahuan
bahasa Inggeris dengan pengetahuan isi kandungan sains dan matematik bagi membolehkan
mereka menyempurnakan tugas akademik berkaitan dengan subjek yang dipelajari. Kombinasi
tiga pengetahuan ini - pengetahuan bahasa Inggeris, pengetahuan isi kandungan dan
pengetahuan tentang bagaimana cara melakukan tugasan – mengikut Short (1998) adalah
komponen utama literasi akademik. Kajian menunjukkan terdapat hubungan yang positif antara
kefasihan bahasa dengan prestasi akademik.

Penggunaan istilah bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik adalah terlalu
khusus dan seringkali membawa maksud yang berbeza dengan kegunaannya dalam pertuturan
dan penulisan harian. Johnstone dan Selepeng (2001) mendapati pelajar amat sukar mempelajari
sains dalam bahasa kedua dan hilang 20% kemampuan untuk menaakul dan memahami isi
kandungan yang dipelajari. Kajian juga menunjukkan pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua kerap menghadapi kesukaran menterjemah dan memahami maksud kata
penghubung dalam sains seperti jika, bagaimana, kerana dan akibatnya (AAAS, 1998). Menurut
Cassels dan Johnstone (1983), Kyllonen (1990) dan Pollnick dan Rutherford (1996), bahasa
kedua amat berpotensi untuk menjadi faktor yang menjejaskan pengajaran dan pembelajaran
kerana ketidakbiasaan dalam sesuatu perkataan akan merendahkan keupayaan belajar pelajar.
Justeru, penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik bukanlah cara
terbaik untuk mempertingkatkan keupayaan serta penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para
pelajar.

Kajian Duran, Dugan dan Weffer (1998) mengenalpasti dua masalah yang pelajar hadapi dalam
pembelajaran sains:
 Pelajar lemah dalam pengetahuan sains
 Pelajar kurang mempunyai laras bahasa yang sesuai untuk membina konsep sains
Menurut Duran dan rakan-rakan, tahap berbahasa yang rendah akan memberi kesan yang serupa
seolah-olah tiada mempunyai kemahiran asas. Justeru, kita sebagai pendidik tidak boleh
memandang remeh akan peranan bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains.
Pollnick dan Rutherford (1996) berpendapat keupayaan membaca, menulis dan bertutur dengan
jelas berperanan dalam pendidikan sains. Jika pelajar mahu mempelajari sains, mereka perlu
menguasai bahasa dengan baik. Kajian Buriel dan Cardoza (1988) mendapati pelajar bahawa
pelajar Mexican American jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar yang bahasa
Inggeris adalah bahasa ibunda. Dapatan ini disokong oleh Duran, Dugan dan Weffer (1998) yang
menyatakan walaupun pencapaian pelajar (bahasa Inggeris adalah bahasa kedua) tersebut baik
dalam matematik namun rendah dalam mata pelajaran sains.

Kepentingan bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik dapat dilihat dari hasil
kajian Adetula (1989). Beliau merumuskan bahwa bahasa memainkan peranan penting dalam
matematik khususnya dalam penyelesaian masalah matematik berayat. Pelajar seharusnya
berupaya menterjemahkan masalah ke dalam struktur pemahaman kendiri. Pemahaman masalah
berayat merupakan satu prasyarat dalam penyelesaian masalah (Marinas & Clements, 1990).
Kebolehan membaca disamping mempunyai kekayaan perbendaharaan kata mampu
mempengaruhi keupayaan pelajar dalam menyelesaikan masalah matematik (Noraini, 1994).

Menurut Krashen dan Cummins (1980), pelajar boleh dilatih untuk berkomunikasi dalam bahasa
Inggeris (bahasa kedua), namun keupayaan untuk menggunakan bahasa pada laras tinggi adalah
sukar untuk dilatih. Ini adalah kerana pelajar tidak mempunyai cognitive academic language
proficiency (CALP) yang merupakan kemahiran bahasa yang diperlukan untuk membaca teks,
berdialog, berbahas dan mengambil ujian bertulis. CALP diperlukan dalam pembelajaran sains
terutama di peringkat menengah kerana pada tahap ini penerangan sesuatu idea abstrak kerapkali
dilakukan secara lisan atau bertulis. Penguasaan bahasa ibunda yang baik membantu pelajar
untuk menguasai CALP. Justeru, bahasa pengantar atau kurikulum yang menggunakan bahasa
ibunda akan memberi kelebihan kepada pelajar. CALP ini, menurut Cummins (1981) berbeza
daripada BICS (basic interpersonal communication skills), iaitu kemahiran bahasa yang
digunakan dalam hubungan atau komunikasi interpersonal atau dalam keadaan informal.

Penilaian pelaksanaan
Dengan kelemahan yang amat ketara berhubung kefasihan dan penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan guru dan pelajar sekolah ketika ini, amat sukar untuk memungkinkan dasar
pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menemui kejayaan.
Justeru, adalah penting untuk mengadakan penelitian yang rapi supaya langkah pembaikan yang
tepat dan menghasilkan kejayaan dapat diambil. Kejayaan pelaksanaan sesuatu program biasanya
diukur melalui prestasi pelajar yang bergantung kepada kualiti input termasuk persediaan guru,
kurikulum, bahan serta proses pengajaran dan pembelajaran dan juga penilaian. Kerangka berikut
dicadangkan bagi mentakrifkan kejayaan dalam pelaksanaan (Rajah 1)

Rajah 1: Kerangka bagi mentakrifkan kejayaan pelaksanaan (Brisk, 2000)


Bergantung kepada Diukur melalui Dipengaruhi
Ciri-ciri program: Prestasi pelajar: Faktor-faktor kontekstual:
 Persediaan guru  Perkembangan bahasa  Ciri-ciri pelajar
 Kurikulum dan literasi  Tekanan sebaya
 Bahan  Pencapaian akademik  Peranan keluarga
 Pengajaran  Integrasi sosiobudaya  Ciri-ciri sekolah
 Taksiran  Factor-faktor situasi
(perpektif sejarah)
INPUT HASILAN (OUTCOME) SOKONGAN
KUALITI KEJAYAAN CABARAN

Objektif kajian
Tujuan utama kajian ini adalah untuk meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains
dan matematik di sekolah rendah. Secara khusus, objektif kajian adalah untuk:
1. Mengenalpasti profil guru sains dan matematik peringkat sekolah rendah dan menengah
2. Menilai tahap kefahahaman guru terhadap kurikulum dan matlamat pengajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris.
3. Menilai tahap pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
4. Menilai tahap khidmat sokongan yang diterima bagi melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris
5. Mengenalpasti masalah-masalah yang guru-guru hadapi semasa melaksanakan
pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris
6. Menjana cadangan-cadangan daripada guru-guru sains dan matematik tentang pengajaran
dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
7. Menilai pencapaian murid-murid dalam sains, matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa
Melayu.
8. Menentukan sama ada terdapat perbezaan pencapaian dalam sains, matematik, Bahasa
Inggeris dan Bahasa Melayu dikalangan murid-murid SK dan SJK oleh kerana
pendekatan pelaksanaa adalah berbeza antara SK dan SJK.
9. Menentukan sama ada terdapat perhubungan antara pencapaian dalam mata pelajaran
sains dan matematik dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu?

Metodologi
Kaedah kajian survey atau tinjauan akan dilakukan bagi mendapatkan data berkaitan dengan
perkara-perkara berikut:
 Profil guru
 Kefahahaman guru terhadap kurikulum dan matlamat pengajaran sains dan matematik
dalam bahasa Inggeris.
 Khidmat sokongan yang diterima bagi melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris
 Masalah-masalah yang guru-guru hadapi semasa melaksanakan pengajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris
 Menjana cadangan-cadangan daripada guru-guru sains dan matematik tentang pengajaran
dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahada Inggeris.
Responden akan terdiri daripada 300 orang guru yang mengajar sains dan matematik di peringkat
SK, SRJKC dan SRJKT serta sekolah menengah. Pengumpulan data secara kualitatif akan dibuat
melalui temubual dengan beberapa responden terpilih bagi mendapatkan maklumat yang lebih
terperinci mengenai perkara-perkara di atas.

Pemerhatian proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan dilakukan bagi
mendapatkan gambaran tentang pendekatan yang digunakan dalam memperkenalkan konsep-
konsep sains dan matematik kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Selain itu,
pemerhatian bilik darjah juga membolehkan episod-episod pengajaran dirakamkan untuk
dijadikan bahan latihan atau perbincangan. Antara maklumat yang boleh didapati adalah seperti
corak atau jenis interaksi yang berlaku antara guru-murid dan murid-murid, penggunaan bahasa
dalam pengajaran serta pengintegrasian alat bantu mengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Bagi tujuan ini, seramai 12 orang guru yang mengajar sains dan matematik tahun
1 dan 2 di sekolah rendah serta 9 orang guru sains dan matematik tingkatan 1 dan 2 serta
tingkatan enam rendah akan dipilih. Pemilihan adalah berdasarkan persetujuan guru-guru untuk
membenarkan pengajaran mereka dirakamkan sama ada secara audio atau video. Rakaman akan
dibuat bagi mendapatkan gambaran yang lengkap tentang pengajaran sesuatu topik. Justeru,
setiap guru dijangka akan dicerap sekurang-kurangnya 8-10 waktu atau sehingga topik berkenaan
selesai diajar.

Ujian-ujian prestasi akademik dalam sains, matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu akan
ditadbirkan kepada 120 orang murid masing dari tahun 1 dan 2 serta 120 orang murid masing dari
tingkatan 1, 2 dan enam rendah. Soalan-soalan ujian sains dan matematik akan menggunakan
format dwibahasa seperti yang dicadangkan oleh pihak kementerian. Ujian prestasi dicadangkan
ditadbirkan pada penggal kedua sebelum cuti akhir tahun bagi memberi kesempatan kepada
murid-murid mengikuti pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Kaedah penyelidikan yang akan digunakan dirumuskan seperti dalam jadual 2.

Jadual 2: Objektif, kaedah dan sampel penyelidikan


Objektif Kaedah Sampel
Objektif 1 hingga 6
Item-item bagi mengumpul Survey (soal selidik) 300 orang guru
data tentang profil, sokongan, Temubual untuk 30 orang guru
masalah dan cadangan mendapatkan penjelasan
atau huraian lanjut.
Amalan pengajaran sebenar: Pencerapan pengajaran 12 orang guru sekolah rendah
Interaksi guru-murid, (rakaman audio & video) 8 orang guru sekolah menengah
pengintegrasian alat bantu bagi membolehkan antara 8-10 waktu pengajaran atau
mengajar, contoh-contoh serta transaction analysis sehingga selesai pengajaran satu
bahasa dalam pengajaran dilakukan. topik yang lengkap.

Objektif 7 hingga 9
Pencapaian dalam sains, Ujian prestasi dalam Tahun 1: 120 (SK dan SJK)
matematik, Bahasa Inggeris sains, matematik, Bahasa Tahun 2: 120 (SK dan SJK)
dan Bahasa Melayu Inggeris dan Bahasa Tingkatan 1: 120 orang
(soalan bagi murid sekolah Melayu (bertulis) Tingkatan 2: 120 orang
menengah disediakan dalam Tingkatan 6 Rendah: 120 orang
dwibahasa, yakni amalan yang
dicadangkan oleh pihak
kementerian

Analisis data
Data yang diperolehi melalui soal selidik akan dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan
pakej SPSS. Analisis varians sehara (one-way ANOVA) dan ujian t (t-test) akan digunakan bagi
menentukan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan dalam kumpulan responden mengikut
sesuatu pembolehubah.

Data kualitatif yang diperolehi melalui temubual dan pencerapan bilik darjah akan dianalisis
dengan mengkategorikan berdasarkan tema utama atau objektif kajian berkaitan.

Rujukan
AAAS (1989). American Association for the Advancement of Science (1989) Science for all
Americans: a Project 2061 reports on literacy goals in science, mathematics, and technology.
Washington, D.C., American Association for the Advancement of Science.

Adetula, L. 0. (1989). Solutions of simple word problems by Nigerian children: Language and
schooling factors. Journal for Research in Mathematics Education, 20, 489-497.

Bamgbose, A. (1984). Mother tongue medium and scholastic attainment in Nigeria. Prospects,
XIV(91), 87-93.

Brisk, M.E. (2000). Defining success: Quality bilingual education. Publisher: LAB at Brown
University (On-line)
http://www.lab.brown.edu/public/pubs/Defining_Success.pdf

Cassels, J. & Johnstone, A.H. (1983). Meanings of words and the teaching of chemistry.
Education in Chemistry, 20(1), 10-11.
Colllison, G.O. (1974).. Concept formation in a second language: A study of Ghanaian school
children. Harvard Educational Review, 44(3), 441-457.

Cummins, J. (1980). Teaching English through content area activities. Dalam P. Rigg dan V.
Allen (Eds.), When they don’t speak English (pp. 139-151). Urbana, IL: National Council of
Teachers of English.

Duran, B.J., Dugan, T. & Weffer, R. (1998). Language minority students in high school: The
role of language in learning biology concepts. New York: John Wiley & Sons, Inc.

Johnstone, A.H. & Selepeng, D. (2001). A language problem revisited. Chemistry Education:
Research and Practice in Europe, 2(1), 19-29.

Naimah Ishak (2002). Kajian penilaian pelaksanaan mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah
rendah luar bandar. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan
Kebangsaan ke-IX, Hotel Cititel, Pulau Pinang.

Noraini Idris (1994). Penyelesaian masalah: Daya penggerak dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik. Kertas kerja untuk Persidangan Kebangsaan Pendidikan Matematik ke-
3 Institut/Maktab Perguruan Malaysia.

Pollnick, M. & Rutherford, M. (1996). The use of mother tongue and English in the learning and
expression of science concepts: A classroom based study. International Journal of Science
Education, 18(1), 91-103.

Short, D. (1998). Social studies and assessment: Meeting the needs of students learning English.
In S. Fradd & O. Lee (Eds.), Creating Florida's multilingual global work force, (pp. VI 1-12).
Tallahassee, FL: Florida Department of Education.

Zurida Ismail & Mohd. Ali Samsuddin (2002/2003). Mole: Furry animals, in-house spies or
amount of substance? Vocabulary problems in teaching science. Jurnal Pendidik dan
Pendidikan, 18, 76-84.

You might also like