You are on page 1of 7

KEMAHIRAN VARIASI RANSANGAN

1.0 Pengenalan

Reka bentuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Walau bagaimanapun, apa pun bentuk yang akan diketengahkan oleh guru ia mesti

terlebih dahulu dilakukan melalui satu perancangan yang teliti. Tanpa perancangan yang

teliti dan berhati-hati P&P tidak akan memberi kesan yang sempurna. Guru-guru pula

tidak akan dapat mencapai matlamat dan objektif pengajaran mereka, apatah lagi untuk

menciptakan kejayaan dan mencapai satu tahap keupayaan mengajar yang tinggi.

Kamaruddin & Siti Hajar (2004),

Dalam memberi perkhidmatan pendidikan kepada anak bangsa, antara aspek yang

perlu difikirkan adalah kemahiran-kemahiran yang digerakkan dalam proses P&P

tersebut. Terdapat beberapa kemahiran yang telah digariskan termasuk kemahiran set

induksi, kemahiran penerangan, kemahiran penyoalan, kemahiran pengukuhan,

kemahiran alat bantu mengajar, kemahiran variasi ransangan dan kemahiran penutup.

Salah satu kemahiran yang tidak kurang pentingnya daripada kemahiran-

kemahiran lain adalah kemahiran variasi ransangan. Secara umumnya kemahiran variasi

ransangan merupakan kemahiran mempelbagaikan kaedah penyampaian pengajaran

pembelajaran supaya pengajaran menjadi lebih menarik dan mendapat sambutan daripada

murid-muird di sekolah.
2.0 Konsep

Menurut kamus dewan (2007) edisi keempat, kemahiran merujuk kepada kecekapan atau

kepandaian. Variasi pula merujuk kepada bentuk yang tidak seragam atau berbeza-beza,

kelainan atau pelbagai manakala ransangan merujuk kepada sesuatu yang meransang iaitu

faktor yang menimbulkan sesuatu perasaan atau reaksi. Kemahiran variasi ransangan

dalam kontek pendidikan pula bermaksud kecekapan seseorang guru dalam

mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui ransangan dalam bilik

darjah seperti ransangan lisan atau pun fizikal.

Menurut Kamaruddin & Siti Hajar (2004), kemahiran merujuk kepada kebolehan-

kebolehan tertentu yang hanya boleh diperolehi melalui banyak latihan. Apabila

seseorang itu dikatakan mempunyai kemahiran tertentu, ia bermaksud orang itu telah

benar-benar terlatih dan mempunyai pengalaman yang tinggi serta mendalam. Kemahiran

variasi ransangan pula merujuk kepada kebolehan seseorang (guru) meransang pelajar

untuk minat terhadap pembelajaran yang dijalankan dengan cara tersendiri seperti melalui

pergerakan guru, suara, fokus deria, penglibatan lisan dan fizikal serta motivasi.

Murid hanya dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru dalam

tempoh masa yang singkat. Omardin, (1997). Oleh itu, guru perlu menggunakan

berbagai-bagai kaedah untuk mempercepat proses pembelajaran dalam kalangan murid-

murid. Dengan itu, guru akan dapat mewujudkan dan mengekalkan minat pelajar. Variasi
ransangan meliputi semua kegiatan yang dilaksanakan oleh guru sebagai usaha untuk

mempelbagaikan teknik pengajaran dalam bilik darjah.

3.0 Perlaksanaan Menggunakan Kemahiran Variasi Ransangan

Kemahiran dalam melaksanakan variasi ransangan, guru tidak boleh mengaplikasikan

kemahiran dengan mengikut kehendak sendiri. Dalam melaksanakan kemahiran ini,

setiap guru perlu tahu bagaimana untuk menggunakan kemahiran ini secara berkesan dan

memberi impak positif kepada setiap pelajar dalam bilik darjah. Aspek yang perlu dititik

beratkan dalam melaksanakan kemahiran ini adalah pergerakan guru, pertuturan, deria

dan penglibatan pelajar. Omardin (1997).

3.1 Pergerakan

Semasa mengajar, guru perlu bergerak ke bahagian kiri, kanan, ke belakang dan

ke hadapan bilik darjah. Pergerakan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan

tidak berlebihan dari masa ke semasa untuk mengelakkan kebosanan pelajar.

Pergerakan dilakukan secara berlebih-lebihan akan mengganggu tumpuan dan

perhatian pelajar. Di samping itu, guru juga boleh menggunakan bahagian

anggotanya contohnya tangan untuk menegaskan penerangan dan

penyampaiannya. Bagaimana pun, guru seharusnya mengelakkan diri daripada

melakukan pergerakan badan yang akan mengganggu tumpuan pelajar terhadap

pelajaran mereka.
3.2 Pertuturan

Guru sepatutnya tidak menggunakan suara yang mendatar kerana ini akan

membosankan murid malah akan mengurangkan sambutan daripada murid.

Omardin (1997). Oleh itu, guru harus mengubah nada suara mereka mengikut

kepentingan bahan pengajaran. Pertuturan yang pelbagai akan membantu murid

untuk lebih memahami dan murid tidak berasa bosan apabila belajar dalam bilik

darjah. Pertuturan guru juga memberi kesan kepada penumpuan murid semasa

proses P&P.

3.3 Deria

Perhatian murid akan berubah apabila guru mengubah cara mengajar dengan alat

bantu mengajar. Omardin (1997). Dalam aktiviti P&P juga deria dapat membantu

sebagai alat bantu mengajar. Contohnya dengan melakukan aktiviti bercerita atau

pembentangan dalam bilik darjah memerlukan murid menggunakan kemahiran

berkomunikasi dengan rakan-rakannya.

3.4 Penglibatan pelajar

Pelajar boleh dilibatkan secara lisan atau kegiatan yang berbentuk fizikal seperti

lakonan, melukis dan menggunakan simulasi. Omardin (1997). P&P yang cukup

berkesan adalah dengan penglibatan murid sama ada secara lisan atau fizikal.

Secara tidak langsung murid mempelajari teori disamping adanya pembelajaran

yang menunjukkan praktikalnya.


4.0 Tujuan Kemahiran Variasi Ransangan

Secara umumnya, kemahiran variasi ransangan bertujuan untuk mengekalkan minat

pelajar terhadap pelajaran yang dijalankan secara berterusan. Menurut Kamaruddin & Siti

Hajar (2004), ia bertujuan untuk meransang minat pelajar ke arah bahan, isi pelajaran,

dan pengajaran guru. Guru harus dapat menyedari bahawa fokus atau tumpuan

pelajarkepada bahan-bahan yang ditunjukkan tidak lama, dan pelajar terasa cepat bosan.

Hal ini akan menjadi lebih teruk apabila bentuk pengajaran yang stereotype dilakukan

pada setiap hari. Tambahan pula dengan aktiviti yang kurang menarik dan disajikan

dengan bahan yang telah basi.

Oleh yang demikian, guru perlu berusaha kuat untuk menggunakan elimen-elimen

ransangan yang boleh meransang minda, minat, dan emosi pelajar melalui kemahiran

pelbagai ransangan seperti pergerakan guru, suara, fokus deria, penglibatan lisan dan

fizikal dan sebagainya. Guru harus memastikan pelajar dapat mengekalkan perhatian

mereka di sepanjang masa sehingga pengajaran berakhir.

Memusatkan perhatian murid juga adalah antara tujuan kemahiran ini dijalankan.

Omardin (1997). Melalui kompenen kemahiran yang ada, murid khususnya di dalam

kelas akan lebih memberi perhatian terhadap P&P yang berlangsung. Hal ini penting

memandangkan murid akan mendapat input pelajaran apabila mereka menumpukan

perhatian lebih di dalam kelas. Kelangsungan aktiviti yang dalam kelas menjadikan

pengalaman pembelajaran yang menarik bagi murid-murid sekolah.


Selain itu, tujuan variasi ransangan ini juga adalah untuk melibatkan murid

secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Omardin (1997). Berlandaskan kepada

penglibatan lisan dan fizikal, guru boleh menggunakan teknik soal jawab, bercerita,

berlakon atau pun simulasi untuk melibatkan murid secara spontan tanpa perlu paksaan.

Penggunaan kemahiran ini dengan betul dan teratur akan membantu guru untuk

melibatkan murid dalam aktiviti pembelajaran dan mengelakkan wujudnya murid yang

pasif.

Kemahiran kepelbagaian ransangan yang dijalankan ini tidak terhad kepada

aktiviti guru semata-mata. Sebagai seorang guru yang mahir maka amat penting untuk

guru tersebut membuka peluang murid menikmati kepelbagaian aktiviti. Pembelajaran

berpusatkan pelajar juga boleh diaplikasikan dalam kemahiran variasi ransangan ini.

Minda murid-murid akan lebih terbuka apabila menggunakan pendekatan aktiviti dalam

pembelajaran kerana minat mereka cenderung dalam penglibatan fizikal berbanding

akademik semata-mata.

Menurut Omardin (1997) lagi, murid dapat menggunakan sebahagian daripada

deria mereka untuk memudahkan proses pembelajaran jika guru menggunakan variasi

ransangan. Ramai dalam kalangan murid-murid di sekolah tidak sama tahap penerimaan

dan cara pembelajaran. Oleh yang demikian, melalui ransangan yang pelbagai daripada

guru murid berpeluang menggunakan deria untuk mengikuti aktiviti pembelajaran. Guru

akan mempelbagaikan pembelajaran menggunakan deria murid-murid seperti mata


(melihat), mulut (bercakap), telinga (mendengar), hidung (menghidu), tangan (merasa)

dan sebagainya. Fokus pada deria murid ini akan memberikan murid satu inspirasi untuk

lebih memahami isi pembelajaran.

Suasana pembelajaran yang menarik dan seronok adalah aspek yang perlu bagi

pelajar dan kenyataan ini tidak dapat disangkal lagi kerana persekitaran yang menarik

membari keselesaan untuk murid-murid belajar dan mudah untuk mereka menangkap isi

pembalajaran yang disampaikan oleh guru. Hal ini yang ingin diketengahkan dalam

tujuan melaksanakan variasi ransangan agar dapat mewujudkan suasana P&P yang

menyeronokkan dan pada akhirnya memberi kesan yang positif terhadap murid tersebut.

Bibliografi

Kamaruddin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz (2004). Asas Pedagogi Pendidikan. Tanjung
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris

Kamus Dewan (2007). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Omardin Ashaari (1997). Prinsip Pengajaran Mikro. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

You might also like