You are on page 1of 3

Bahasa Melayu perlu dimantapkan martabatnya

Oleh ANI AWANG

RAIS Yatim merasmikan Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa


Melayu Ke-2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAHASA Melayu telah mempunyai korpus yang setanding dengan bahasa antarabangsa dan
mampu untuk membicarakan apa sahaja bidang ilmu. Justeru, usaha harus dilakukan bagi
memartabatkan bahasa itu.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika
merasmikan Seminar Linguistik dan Bahasa Melayu Ke-2 yang berlangsung di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, KeKKWa dan
Kementerian Pelajaran telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet agar memperbaiki
dan memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini.
Cadangan itu antara lain cuba menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa
pengantar.
Untuk itu, kata Rais, kempen bahasa perlu melibatkan orang bukan Melayu dan Melayu.
Penggunaan Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa perisian terutama dalam teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).
Rais menegaskan, cadangan itu juga akan meminta para pendidik mewujudkan istilah Sains
dan Matematik dalam Bahasa Melayu supaya Bahasa Melayu tidak terpinggir.
“Seni pertuturan Bahasa Melayu di universiti juga perlu diperbaiki. Mewujudkan kerusi
Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti di luar negara serta Unit Pembentukan
Bahasa Salah di DBP juga perlu diperkenalkan,” kata Rais.
Rais menambah, langkah tersebut perlu dilakukan berikutan terdapat pelbagai pencemaran
bahasa berlaku termasuk penggunaan bahasa rojak yang begitu ketara di negara ini.
“Keadaan itu menyebabkan Bahasa Melayu menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat
dalam sistem pentadbiran sekarang.
“Penggunaan Bahasa Kebangsaan sejak kebelakangan ini didapati masih diabaikan terutama
oleh sektor swasta, dan ini menjadikan jati diri bangsa semakin terhakis.
“Kerajaan perlu memantapkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sejajar dengan Fasal 152
Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996,” kata
Rais.
Menurut Rais lagi, usaha mendaulatkan penggunaan dan pembudayaan Bahasa Melayu
sewajarnya perlu dipertingkatkan kerana Bahasa Melayu semakin jauh ketinggalan
berbanding bahasa-bahasa lain.
“Kita tidak malu untuk mengaku beberapa kelemahan yang berlaku di kalangan masyarakat
yang tidak serius dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan.
“Mana-mana bangsa yang tidak berlandaskan kepada bahasanya sendiri untuk maju,
tamadun bangsa itu tidak boleh melonjak kerana budaya pak turut boleh mengongkong
sesuatu bangsa.
“Bangsa yang maju di dunia seperti Jepun, United Kingdom, China, Perancis, Rusia,
Jerman, Israel dan Korea Selatan maju kerana mereka memupuk kekentalan budaya dan
tamadun mereka.
“Seharusnya Bahasa Melayu di negara ini sudah menjadi matang dan membentuk tamadun
kerana Bahasa Melayu telah memainkan peranan dalam pentadbiran, persuratan,
komunikasi, perdagangan, pendidikan, hubungan diplomasi, ilmu batin dan agama, undang-
undang dan banyak lagi,’’ katanya.
Rais berharap setiap kementerian yang berkaitan dengan pembudayaan bahasa akan
membantu DBP dalam menguat kuasa dan menyemarakkan kempen penggunaan Bahasa
Kebangsaan.
Apa kata ahli bahasa?
Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim, Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM):
“Demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara, Bahasa Kebangsaan perlu
dibudayakan di kalangan semua rakyat negara ini.
“Kementerian Pelajaran perlu memupuk penggunaan Bahasa Melayu dengan menjadikan ia
sebahagian daripada kokurikulum sekolah seperti menyanyikan lagu-lagu patriotik dan
menyusun kegiatan yang akan memupuk perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan di kalangan
anak-anak.
“Usaha mempertingkatkan kempen Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) anjuran DBP
perlu ditingkatkan kerana sambutannya tidak begitu hebat.
“Kita kena mengikis perspektif yang salah terhadap Bahasa Kebangsaan dan Bahasa
Inggeris. Penghormatan harus diberikan kepada Bahasa Kebangsaan dalam konteks situasi
rasmi dan bersifat kebangsaan.
“Rakyat Malaysia tidak dilarang menguasai dan menggunakan Bahasa Inggeris seperti
dalam persidangan dan mesyuarat, perniagaan dan situasi yang melibatkan dunia
antarabangsa.’’
Profesor Dr. Awang Sariyan, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM):
“Sebilangan anggota masyarakat kita sudah melupakan peranan bahasa dalam pembentukan
keperibadian atau rupa bangsa negara yang merdeka berdaulat sebagaimana yang dicita-
citakan oleh para pejuang kemerdekaan dan pendukung semangat kebangsaan.
“Sebagai contoh penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang,
penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas tetapi kian mengecil.
“Apabila subjek-subjek yang berteraskan Sains dan Matematik diajarkan dalam Bahasa
Inggeris (sehingga mencapai 80 peratus dalam sistem pendidikan negara) ia tidak dapat
memenuhi aspirasi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem
pendidikan.
“Cita-cita untuk mendwibahasakan generasi baru negara telah dilaksanakan dengan
pendekatan yang merencatkan taraf dan peranan Bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun
walaupun peningkatan pengajaran bahasa asing tidak mengganggu pelaksanaan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
“Malangnya, situasi yang wujud sekarang memperlihatkan betapa rendahnya penghormatan
sejumlah anggota masyarakat terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa negara.”
(Sumber : Utusan Malaysia (21/09/2006) )
Dikemaskini pada 14 Jan 2009

You might also like