You are on page 1of 11

Keyakinan guru-guru sains mengajar sains dalam bahasa Inggeris

Mohd Zaaba Haji Ismail


Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Mergong
Prof. Madya Zurida Haji Ismail
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia

ABSTRAK
Mata pelajaran sains dan matematik mula diajar daham bahasa Inggeris mulai 2003
diperingkat tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah. Perubahan ini
menimbulkan pelbagai persoalan termasuklah kesediaan dan kemampuan guru-guru sains
sekolah rendah dan menengah untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Hal ini
timbul kerana kebanyakan daripada guru sekolah telah mengikuti sistem pendidikan
rendah hingga peringkat tertiari dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris.
Bahasa Inggeris dipelajari sebagai bahasa kedua dan guru-guru tidak biasa mengikuti
atau mengajar dalam bahasa Inggeris. Kertas kerja ini membentangkan dapatan dari
suatu kajian yang dijalankan dengan tujuan untuk meninjau keyakinan guru-guru sains
mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Data diperolehi melalui soalselidik yang
diedarkan kepada seramai 150 orang guru-guru sains sekolah rendah dan menengah.
Temubual secara tidak formal juga turut dilakukan dengan mengajukan soalan-soalan
jenis terbuka. Dapatan menunjukkan guru-guru mempunyai sikap yang positif terhadap
bahasa dan pengajaran sains dalam bahasa Inggeris. Sikap yang positif ini turut memberi
keyakinan kepada guru untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris.

Pengenalan
Mata pelajaran sains dan matematik mula diajar daham bahasa Inggeris mulai 2003
diperingkat tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah. Matlamat utama
pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ialah untuk
membolehkan pelajar menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dari peringkat
awal. Pendedahan awal sebegini memang penting bagi memperkukuhkan persediaan
asas pelajar sebelum memasuki institusi pengajian tinggi. Di peringkat ini sebahagian
besar bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

Bagi memantapkan dan membolehkan pengajaran untuk kedua-dua subjek berkenaan


dilakukan dengan berkesan pihak kementerian telah menyediakan sejumlah peruntukan
untuk membekalkan infrastruktur teknologi komunikasi maklumat (ICT). Bagi
melengkapkan guru dengan kemahiran asas bahasa Inggeris, program peningkatan

Kertas Kerja ini telah dibentangkan dalam International Seminar on Learning and Motivation anjuran
Institut Kemajuan Remaja Awal Kanak-Kanak (IKRAK) dan Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan
(FSKP), Universiti Utara Malaysia pada 10 – 12 hb. September 2005 di City Bayview Hotel, Langkawi.
penguasaan bahasa Inggeris, ETeMS, dilaksanakan. Matlamat ETeMS secara
keseluruhannya ialah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris guru-guru sains
dan matematik bagi membolehkan pengajaran dilaksanakan secara berkesan dalam
bahasa Inggeris.

Guru-guru sains dan matematik yang mengikuti kursus ETeMS diandaikan telah pun
menguasai ilmu pengetahuan dan memiliki kemahiran pedagogi yang berkaitan dengan
mata pelajaran masing-masing. ETeMS diharapkan dapat merangsang dan menggalakkan
perkembangan bahasa Inggeris guru-guru matematik dan sains dalam tiga bidang yang
luas iaitu bahasa untuk mengakses maklumat, bahasa untuk pengajaran sains dan
matematik dan bahasa untuk keperluan professional. Keperluan professional bermaksud
guru-guru boleh berinteraksis, berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat dengan rakan
sekerja serta pihak-pihak lain.

Bahasa dalam pembelajaran sains


Pelajaran sains memang dianggap rumit oleh kebanyakan pelajar. Kerumitan ini bukan
sahaja disebabkan oleh penggunaan symbol bagi mewakili konsep, tetapi juga bahasa
yang perlu dikuasai, terutama istilah teknikal dan bukan teknikal (Cassels & Johnstone,
1985). Kajian-kajian oleh Cassels dan Johnstone (193, 1985) mendapati bahasa teknikal
menjadi rumit sebab pelajar kurang biasa, namun masih mampu pelajar tangani. Masalah
yang lebih rumit ialah berkaitan penggunaan bahas harian dalam konteks sains.
Perkataan biasa bukan saintifik merujuk kepada istilah yang mempunyai satu atau lebih
makna dalam bahasa harian tetapi mempunyai makna yang khusus dalam konteks
saintifik. Makna perkataan biasa bukan saintifik ini mungkin berbeza sama sekali
daripada makna dalam perkataan harian biasa.

Menurut Aziz Deraman (1998), keberkesanan bahasa sebagai bahasa pengantar ilmu
dalam pendidikan jarang dibincang, dinilai atau dibahaskan khususnya bahasa pendidik
dan bahasa dalam buku. Bahasa yang digunakan oleh pendidik dan juga buku memberi
pengaruh yang besar kepada pelajar. Justeru, para pendidik, penulis dan penggubal
kurikulum perlu memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa dalam pengajaran agar
dapat meningkatkan minat dan pencapaian pembelajaran para pelajar terutama dalam
sains. Bahasa Inggeris dalam pembelajaran sains merupakan bahasa berasaskan
kandungan isi pengetahuan dan alat pembelajaran dalam sains. Penguasaan bahasa
diperolehi semasa sesuatu konteks diperkenalkan bagi membolehkan pelajar menguasai
kedua-dua bahasa dan isi kandungan.

Lightbrown dan Spada (1993) menyatakan pemerolehan bahasa kedua iaitu bahasa
Inggeris akan meningkat semasa pengajaran menggunakan bahasa berasaskan konteks.
Hal ini adalah kerana pendekatan pembelajaran bahasa adalah paling baik melalui
penekanan yang relevan dan isi kandungan yang bermakna daripada belajar bahasa asing
secara berasingan. Manusia tidak belajar bahasa dan menggunakannya selepas itu, malah
mereka belajar bahasa semasa menggunakannya.

Kekeliruan antara bahasa harian dengan bahasa saintifik juga membentukhalangan


kognitif yang utama dalam pembelajaran sains. Leavit (1995), membincangkan terdapat
perbezaan antara bahasa Maliceet (kaum asli Amerika Utara) dengan bahasa Inggeris. Di
dalam bahasa Inggeris terdapat perkataan angin, yang menerangkan sesuatu objek secara
khusus. Bahasa Maliceet tidak terdapat perkataan angin tetapi hanya mempunyai kata
kerja yang membawa maksud hembusan atau berangin. Perbezaan dalam sebutan
linguistik juga memberikan kesukaran kerana memberikan makna yang berbeza. Mori, Y
(1976) telah menjalankan kajian yang membandingkan perbezaan sebutan linguistik
mendapati pelajar berbahasa Jepun keliru dengan konsep speed berbanding dengan
pelajar berbahasa Thai. Ini kerana di dalam bahasa Jepun speed diterjemahkan sama
makna dengan perkataan fast dan early.

Pollnick dan Rutherford (1996) berpendapat keupayaan membaca, menulis dan bertutur
dengan jelas berperanan dalam pendidikan sains. Jika pelajar mahu mempelajari sains,
mereka perlu menguasai bahasa dengan baik. Kajian Buriel dan Cardoza (1988)
mendapati bahawa pelajar Mexican American jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan
pelajar yang bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda. Kemungkinan ini amat
membimbangkan kerana fenomena ini akan menyebabkan pelajar semakin menjauhi
sains yang selama ini dianggap sebagai mata pelajaran yang sukar dan akan
membantutkan matlamat kerajaan untuk meramaikan lagi saintis di masa akan datang.
Perubahan polisi berkaitan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris
merupakan suatu cabaran bukan sahaja kepada guru yang melalui sistem pendidikan
kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa Melayu malah juga kepada guru yang
berlatar belakangkan pendidikan dalam bahasa Inggeris. Pastinya perubahan ini
menimbulkan banyak masalah kepada guru-guru sains dan matematik. Kajian awal
Zurida dan Mohd Ali (2002) mendapati guru-guru sains yang sedang mengikuti program
pendidikan perguruan praperkhidmatan masih belum bersedia dan kurang yakin akan
keupayaan mereka untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, program
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang efektif serta perancangan yang teliti
diharap mampu merealisasikan pencapaian dalam kedua-dua bidang iaitu bahasa Inggeris
dan sains. Justeru, suatu tinjauan yang melibatkan guru-guru terlatih dijalankan bagi
menentukan keyakinan mereka untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris.

Metodologi
Tinjauan ini melibatkan seramai 150 orang guru-guru sains sekolah rendah dan menengah
dengan bilangan responden perempuan (78.7%) melebihi responden lelaki (21.3%). Ciri-
ciri responden dirumuskan dalam Jadual 1. Data dikumpul melalui soal selidik dan temu
bual secara tidak formal dengan guru-guru sains yang terlibat. Data dari soal selidik
dikod dan dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 11.5 bagi mendapatkan kekerapan
respon bagi setiap item. Data dari respons soalan terbuka dan temubual dianalisis bagi
mendapatkan pola dan dikumpul mengikut kategori yang dikenalpasti.

Dapatan dan perbincangan


Dapatan dan perbincangan dibentangkan mengikut dua tajuk utama:
• Sikap dan keyakinan guru terhadap pembelajaran bahasa Inggeris
• Sikap dan keyakinan guru mengajar sains dalam bahasa Inggeris
Jadual 1: Ciri-ciri responden
Bilangan (%)
Sekolah SK 55 (36.7)
SJKC 34 (22.7)
SJKT 2(1.3)
SMJ 47 (31.3)
SMJK 12 (8)
Jantina Lelaki 32 (21.3)
Perempuan 118 (78.7)
Etnik Melayu 100 (66.7)
Cina 48 (32.0)
India 2 (1.3)
Kelulusan SPM 56 (37.3)
akademik STPM 34 (22.7)
Diploma 20 (13.30
Sarjana Muda 38 (25.3)
Sarjana 1 (0.7)
Pengalaman < 5 tahun 18 (12.0)
mengajar 6-10 tahun 34 (22.7)
11-15 tahun 35 (23.3)
16-20 tahun 59 (39.3)
> 20 tahun 4 (2.7)
Kursus ETeMS Peringkat 1 65 (43.3)
yang dihadiri Peringkat 2 61 (40.7)
Belum 24 (16.0)

Sikap dan keyakinan guru terhadap pembelajaran bahasa Inggeris


Respons bagi item-item berkaitan dengan sikap terhadap pembelajaran dalam bahasa
Inggeris adalah positif. Guru-guru berpendapat bahasa Inggeris merupakan bahasa yang
mudah dikuasai berbanding bahasa lain. Mereka juga berpendapat bahasa Inggeris perlu
dipelajari dan dikuasai bagi membolehkan individu terlibat dalam bidang sains dan
teknologi. Minat yang positif turut tidak menjamin keyakinan dalam diri guru untuk
berbahasa Inggeris. Dapatan kajian menunjukkan keyakinan guru terhadap penggunaan
bahasa Inggeris amat lemah. Cuma 33 % responden sahaja yang berasa yakin dapat
bercakap dalam bahasa Inggeris di khalayak ramai. Pun begitu, 94 % daripada responden
percaya sebarang kelemahan dalam menggunakan bahasa Inggeris boleh diperbaiki jika
mereka selalu menggunakan bahasa tersebut. Justeru, 62 % daripada responden yakin
mereka dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris.
Sikap dan keyakinan pengajaran sains dalam bahasa Inggeris
Jadual 2 menunjukkan taburan respons kepada item-item berkaitan pandangan responden
terhadap pembelajaran sains dalam bahasa Inggeris. Sebahagian daripada responden
masih kurang pasti sama ada sains perlu diajar dalam bahasa Inggeris (41.3%). Namun
demikian, sebahagian besar (66.0%) berpendapat kandungan sukatan pelajaran sains
dalam bahasa Inggeris sesuai dengan tahap pembelajaran pelajar. Mereka juga
berpendapat bahan-bahan sokongan yang disediakan membantu dalam pengajaran sains
dalam bahasa Inggeris (88.0%).

Daripada jumlah responden yang terlibat cuma 56% daripada responden menyatakan
mereka selesa dengan penguasaan mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Justeru,
responden berpendapat mengajar sains dalam bahasa Inggeris adalah suatu cabaran bagi
mereka (80%) dan pengajaran sains dalam bahasa Inggeris akan mengambil masa yang
panjang (70.0%). Pun begitu, 86.0% menyatakan mereka bermotivasi untuk bekerja kuat
bagi mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Masih ramai daripada responden (56.7%)
berpendapat mengajar sains dalam bahasa Inggeris membuatkan mereka berasa tidak
selesa dan 42% berasa tidak seronok mengendalikan kelas amali sains dalam bahasa
Inggeris. Justeru, ramai (92.0%) yang berminat untuk mempertingkatkan pengetahuan
mengajar sains dalam bahasa Inggeris, berusaha keras supaya boleh mengajar sains dalam
bahasa Inggeris sebaik mana mengajar sains dalam bahasa Melayu (93.3%) dan
berterusan mencari kaedah mengajar sains dengan berkesan dalam bahasa Inggeris
(86.6%).

Responden pada umumnya didapati mempunyai sikap yang positif terhadap pengajaran
sains. Antara item yang mendapat respons yang tinggi bagi menunjukkan sikap yang
positif adalah seperti:
• Saya berasa gembira mengajar sains dalam bahasa Inggeris (77.3%).
• Pengajaran dan pembelajaran sains dalam bahasa Inggeris begitu menarik
(64.6%).
• Saya dapat mengendalikan kelas sains dalam bahasa Inggeris (77.3%).
• Saya (93.3%).
Jadual 2: Sikap terhadap pengajaran sains dalam bahasa Inggeris

Pernyataan Setuju Tidak pasti Tidak setuju

Saya berasa gembira mengajar sains dalam BI 116 (77.3%) 18 (12.0%) 15 (10.0%)

Mengajar sains adalah suatu cabaran bagi 120 (80.0%) 20 (13.3%) 10 (6.7%)
saya
Pengajaran dan pembelajaran sains dalam BI 97 (64.6%) 41 (27.3%) 11 (7.4%)
menarik
Mengajar sains dalam BI membuat saya 64(42.6%) 49 (32.7%) 36 (24.0%)
berasa selesa
Kandungan sukatan pelajaran sains dalam BI 99 (66.0%) 31 (20.6%) 17 (11.4%)
sesuai dengan tahap pelajar
Pengajaran sains dalam BI mengambil masa 105 (70.0%) 24 (16.0%) 20 (13.3%)
yang panjang
Saya mudah memahami sains dalam bahasa 92 (61.4% 32 (21.3%) 21 (4.0%)
Inggeris
Saya berminat untuk mempertingkatkan 138 (92.0%) 7 (4.7%) 2 (1.3%)
pengetahuan mengajar sains dalam BI
Saya bermotivasi untuk bekerja kuat mengajar 129 (86.0%) 14 (9.3%) 5 (3.3%)
sains dalam BI
Saya berasa seronok mengendalikan kelas 87 (58.0%) 39 (26.0%) 24 (16.0%)
amali sains dalam BI
Saya berasa selesa dengan penguasaan saya 84 (56.0%) 41 (27.3%) 24 (16.0%)
mengajar sains dalam BI
Bahan-bahan sokongan yang disediakan 132 (88.0%) 10 (6.6%) 6 (4.0%)
membantu dalam pengajaran sains dalam BI
Saya dapat mengendalikan kelas sains dalam 116 (77.3%) 24 (16.0%) 8 (5.3%)
bahasa Inggeris
Memang sepatutnya sains diajar dalam bahasa 84 (56.0%) 42 (28.0%) 20 (13.3%)
Inggeris di sekolah
Saya berterusan mencari kaedah mengajar 130 (86.6%) 13 (8.7%) 3 (2.0%)
sains dalam BI
Saya berusaha keras supaya boleh mengajar 140 (93.3%) 8 (5.3%) 1 (0.7%)
sains dalam BI sebaik mana mengajar sains
dalam BM
Saya tahu bagaimana untuk menanam minat 84 (56.0%) 57 (38.0%) 8 (5.3%)
pelajar terhadap sains

Jadual 3 menunjukkan taburan respons kepada item-item yang berkaitan dengan


keyakinan guru untuk mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Guru-guru pada umumnya
mempunyai pengetahuan untuk mengajar sains (67.3%) dan mengendalikan pengajaran
dan pembelajaran sains dengan berkesan dalam bahasa Inggeris (67.3 %). Mereka
berpendapat mereka mempunyai kemahiran asas untuk mengajar sains dalam bahasa
Inggeris (78.6%). Justeru, mereka mampu menjawab soalan-soalan pelajar dalam bahasa
Inggeris (68.6%) dan berbincang keputusan amali dalam bahasa Inggeris (58.6%). Pun
begitu, cuma 50.7% sahaja yang yakin mereka dapat mengguna bahasa Inggeris
sepenuhnya dalam kelas sains.

Jadual 3: Keyakinan mengajar sains dalam bahasa Inggeris

Pernyataan Setuju Tidak pasti Tidak setuju

Saya yakin akan kemampuan saya untuk 101 (67.3%) 37 (24.7%) 9 (6.0%)
mengajar sains dalam BI dengan baik
Saya yakin dapat mengguna BI sepenuhnya 76 (50.7%) 54 (36.0%) 25 (16.7%)
dalam kelas sains
Saya yakin dengan pengetahuan saya untuk 101 (67.3%) 30 (20.0%) 16 (10.7%)
mengajar sains dalam BI
Saya yakin dapat mengajar sains dengan 95 (63.4%) 35 (23.3%) 15 (10.0%)
berkesan dalam BI
Saya mengetahui cara/kaedah untuk mengajar 73 (48.7%) 56 (37.3%) 18 (12.0%)
konsep sains dengan berkesan dalam BI
Saya yakin mempunyai kemahiran asas untuk 118 (78.6%) 24 (16.0%) 7 (4.7%)
mengajar sains dalam BI
Saya yakin dapat mengendalikan aktiviti 98 (65.3%) 36 (24.0%) 15 (10.0%)
amali sains dalam bahasa Inggeris
Saya dapat mengendalikan aktiviti sains 76 (50.7%) 52 (34.6%) 18 (12.0%)
dengan berkesan dalam BI
Saya dapat menjawab soalan-soalan pelajar 103 (68.6%) 30 (20.0%) 14 (9.4%)
dalam BI
Saya yakin dapat berbincang keputusan amali 88 (58.6%) 51 (34.0%) 10 (6.7%)
dalam BI

Jadual 3 juga menunjukkan respons ‘tidak pasti’ dan ‘tidak setuju’ hampir menyamai
respons ‘setuju’ bagi kebanyakan item. Respons guru menunjukkan hampir separuh
daripada responden masih tidak pasti akan keupayaan mereka untuk mengajar sains
dalam bahasa Inggeris. Walaupun responden berpengalaman mengajar subjek sains
namun pengalaman mengajar adalah dalam bahasa Melayu. Keupayaan mengajar dalam
bahasa Inggeris masih belum teruji sepenuhnya. Justeru, usaha perlu dipertingkatkan
bagi memenuhi keperluan guru untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran
pedagogi bagi menyampaikan isi kandungan sains dalam bahasa Inggeris.
Pengajaran sains dalam bahasa Inggeris memerlukan guru menguasai bukan sahaja
bahasa teknikal dalam sains malah juga istilah-istilah bukan teknikal. Istilah-istilah
bukan teknikal, mengikut Cassels dan Johnstone (1985), adalah lebih sukar berbanding
istilah teknikal dalam sains. Justeru, guru-guru perlu juga diberi latihan untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terutamanya bahasa akademik kognitif
(cognitive academic language) bagi membolehkan mereka menyampaikan isi pelajaran
dengan baik dan dalam bahasa yang betul. Kursus-kursus yang dirancang seharusnya
memberi sebanyak mungkin peluang kepada guru untuk berlatih dalam usaha
memperolehi kemahiran yang diperlukan. Fokus kursus bukan sahaja terhadap
penguasaan bahasa Inggeris malah merangkumi cara-cara menyampaikan isi pelajaran
dan arahan dalam bahasa Inggeris.

Masalah komunikasi boleh menjadi suatu masalah yang besar bukan sahaja kepada
pelajar bahkan kepada guru-guru yang mengajar dalam bahasa Inggeris. Masalah ini
menyebabkan guru terpaksa mengajar dalam dwi bahasa bagi memudahkan pelajar
memahami pengajaran dan pembelajaran. Namun jika guru menghadapi masalah dalam
membina ayat dan membuat soalan dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana kurang
atau lemah kosa kata maka ini akan menjejaskan kualiti pengajaran. Pelajar akan
menjadi lebih keliru dan menjadi pasif dan tidak berminat untuk belajar sains dalam
bahasa Inggeris. Justeru, kursus komunikasi yang bersesuaian dengan keperluan guru
perlu diadakan bagi meningkatkan kosa kata guru dan seterusnya kefasihan
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Penutup
Keyakinan dan kepercayaan terhadap kebolehan kendiri (efikasi kendiri) untuk mengajar
sains dalam bahasa Inggeris penting dipupuk. Tahap kelulusan akademik dan
pengalaman sedia ada yang dimiliki tidak menjamin keyakinan untuk mengajar sains
dalam bahasa Inggeris dan tidak mencukupi untuk membolehkan pelaksanaan pengajaran
sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Dapatan kajian ini menunjukkan walaupun
responden mempunyai pengalaman yang luas dalam mengajar sains namun hampir
sebahagaian daripada mereka kurang yakin akan kemampuan untuk mengendalikan kelas
sains dalam bahasa Inggeris. Dapatan juga menunjukkan responden pada umumnya
mempunyai sikap yang positif terhadap pembelajaran dan pengajaran sains dalam bahasa
Inggeris. Keyakinan guru dalam menyampaikan isi pelajaran dalam bahasa Inggeris
dapat ditingkatkan melalui latihan-latihan berterusan beserta maklumbalas akan
kemajuan yang dicapai.

Rujukan
Aziz Deraman (1998). Bahasa berkesan untuk Pendidikan berkesan. Dalam Mahoraini
Yusoff (Ed.). Prosiding Seminar JPPG, Pendidikan Guru untuk Sekolah Berkesan
(m.s 29-36).

Cassells, J. & Johnstone, A.H. (1983). Meaning of words and the teaching of chemistry.
Education in Chemistry, 20(1), 10-11.

Cassells, J. & Johnstone, A.H. (1983). Words that matter in science. London: Royal
Society of Chemistry.

Duran, B.J., Dugan, T. & Weffer, R. (1998). Language minority students in high school:
The role of language in learning biology concepts. New York: John Wiley & Sons,
Inc.

Fullan, M. (1982). The meaning of educational change. New York: Teachers College
Press.

Gibbons, B. A. (2003). Supporting Elementary Science Education for English Leaner: A


Constructivist Evaluation Instrument. The Journal of Educational Research, 96(6),
371-380.

Johnstone, A.H. & Selepeng, D. (2001). A language problem revisited. Chemistry


Education: Research and Practice in Europe, 2(1), 19-29.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Kajian Antarabangsa Ketiga Matematik dan


Sains – Ulangan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

Krashen, S. (1981). Second Language Acquisition and Second Language Learning.


Oxford, England: Pergamon Press.

Lightbrown, P.M. & Spada, N. (1993). How language are learned. NY: Oxford
University Press.
Mori,Y (1999). Epistemological beliefs and language learning beliefs: What do language
learners beliefs about their learning? Language Learning, 49(3), 377-415.

Naimah Ishak (2002). Kajian penilaian pelaksanaan mata pelajaran bahasa Inggeris di
sekolah rendah luar bandar. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar
Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan ke-IX, Hotel Cititel, Pulau Pinang.

Pollnick, M. & Rutherford, M. (1996). The use of mother tongue and English in the
learning and expression of science concepts: A classroom based study. International
Journal of Science Education, 18(1), 91-103.

Rutherford, Margaret and Nkopodi, N (1990). A Comparison of the recognition of some


science concept definitions in English and North Sotho for second language English
speakers. International Journal of Science Education, 12(4), 443-456, University of
the Witwatersrand, Republic of South Africa.

Saidi Samsudin. (2004). Kefahaman Perkataan biasa bukan saintifik dalam mata
pelajaran sains di kalangan pelajar tingkatan duat. Laporan Praktikum sebagai
syarat separa untuk keperluan Ijazah Sarjana pendidikan. Pusat Pengajian Ilmu
Pendidikan, USM.

Short, D. (1998). Social studies and assessment: Meeting the needs of students learning
English. In S. Fradd & O. Lee (Eds.), Creating Florida's multilingual global work
force, (pp. VI 1-12). Tallahassee, FL: Florida Department of Education.

Spurlin, Q. (1995). Making science comprehensible for language minority students,


Journal of Science Teacher Education, 6(2), 71-78.

Torres, H.N. & Zeidler, D.N (2002). The Effects of English Language Proficiency and
Scientific Reasoning Skills on the Acquisition of Science Content Knowledge by
Hispanic English Language Learners and Native English Language Speaking
Students. Electronic Journal of Science Education, ISSN 1087-3430 Vol. 6 - No. 3 -
March 2002 http://unr.edu/homepage/crowther/ejse/torreszeidler.pdf

Trowbridge, L .W. & Bybee, R. W. (1990). Becoming a secondary school science teacher
( 5th edition ). Columbus OH: Merrill Publishing Company.

Zurida Ismail & Mohd. Ali Samsuddin (2002/2003). Mole: Furry animals, in-house
spies or amount of substance? Vocabulary problems in teaching science. Jurnal
Pendidik dan Pendidikan, 18, 76-84.

Zurida Ismail, et. al. (1997). Tanggapan Terhadap Pendidikan Sains dan Teknologi serta
Sikap dan Kepercayaan Guru Besar dan Guru Sains Sekolah Rendah Terhadap Sains
dan Pengajaran Sains. Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia.

You might also like