You are on page 1of 4

Terima kasih tuan Pengerusi Majlis.

Yang Berbahagia Datin Hajah Rokaiyah binti


Bujang, selaku pengarah Pelajaran negeri Sarawak. Yang Berusaha Dato’ Jessie
Limbang, Yang dihormati, Cikgu Barbara, guru besar SK Methodis, serta hadirin yang
dihormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya Datin Hajah Nuur Aisyah bt. Haji Jas wakil dari Bahagian Pendidikan Guru
akan menyampaikan sebuah taklimat yang bertajuk “Penerapan Nilai Murni di Sekolah”.
Baiklah saudara dan saudari sekalian. Matlamat dan tindakan tertentu yang
dilaksanakan oleh seseorang ditentukan oleh nilai. Ini kerana nilai merupakan satu
prinsip atau garis panduan yang menyediakan anggota masyarakat untuk menjalani
kehidupan. Menurut Clyde Kluckhohn, nilai adalah suatu standard yang agak
berkekalan dari segi masa, atau dalam pengertian yang luas, suatu standard yang
mengaturkan satu sistem perlakuan. Beliau juga menakrifkan nilai sebagai sesuatu
yang lebih disukai, baik mengenai hubungan sosial, mahupun mengenai matlamat-
matlamat serta ikhtiar untuk mencapainya. Nilai murni masih belum dapat diterapkan
dengan memuaskan di kalangan pelajar di sekolah berasaskan masalah disiplin yang
dilaporkan oleh para penyelidik dan akhbar tempatan. Penyelidikan ini dijalankan
terhadap kesedaran pentingnya membina insan yang berakhlak, dan pentingnya
peranan guru di sekolah dalam membentuk sahsiah murid. Persoalannya ialah
bagaimanakah nilai murni dapat diterapkan dengan berkesan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran? Guru harus mempersiapkan diri dengan strategi-strategi yang
berkesan untuk menangani masalah disiplin dan akhlak bagi menghadapi cabaran
remaja yang sedemikian rupa. Sekiranya masalah remaja dibiarkan maka masa depan
negara amat membimbangkan kerana bertambahnya kelak bilangan remaja
bermasalah yang bakal menjadi pemimpin Malaysia. Pasti keamanan negara akan
terancam. Sebagai usaha untuk memperbaiki keadaan, penyelidik memberi fokus
kepada aspek pedagogi. Bagaimanakah nilai murni dapat diterapkan kepada pelajar di
dalam bilik darjah dengan berkesan?
Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah
meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara
kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada
pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh
wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada
semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh
dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.Tujuan pendidikan nilai murni ialah
untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat
keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Kerajaan kita telah menjalankan strategi-strategi penerapan nilai murni melalui
tiga cara iaitu: nilai merentasi kurikulum, ko-kurikulum serta melalui budaya sekolah.
Secara umumnya, nilai-nilai murni dalam kurikulum merupakan kesepaduan antara nilai
moral, nilai budaya, nilai agama dan nilai estetik. Pendidikan nilai menjadi salah satu
unsur yang penting setelah Kementerian Pendidikan melaksanakan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan ke dalam kurikulum. FPK menegaskan penerapan 16 nilai
murni masyarakat Malaysia dalam sistem pendidikan Malaysia. Kementerian
Pendidikan memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu di peringkat rendah
(KBSR) dan menengah (KBSM). Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa
semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah
berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk
mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai.
Dalam pendidikan, penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak
langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai
tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu
penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau
penghafalan. Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran,
pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Contohnya, fakta-
fakta sejarah dan cerita-cerita dalam matapelajaran sastera umpamanya akan dapat
dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang
dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Pelajar membuat penilaian
berdasarkan kepada nilai mereka sendiri manakala guru hanya bertindak sebagai
pembimbing kepada pelajar dalam memuhasabah nilai sendiri. Nilai yang diterapkan
boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan
misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat
pertimbangan yang baik dalam menghadapi dan menyelesaikan sesuatu masalah.
Sikap perihatin guru dan kesedaran pelajar dalam memupuk nilai murni baik secara
formal ataupun spontan menyebabkan nilai murni akan sentiasa dapat dipupuk dari
semasa ke semasa. Di sini kita dapat melihat betapa besarnya peranan guru sebagai
ibubapa pelajar-pelajar di sekolah dalam membentuk peribadi pelajar selaras dengan
penerapan yang dimasukkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi,
Aktiviti ko-kurikulum merupakan aktiviti terancang dan berstruktur di luar bidang
akademik. Ia merupakan kegiatan luar bilik darjah seperti sukan, aktiviti badan
beruniform aktiviti kelab dan persatuan yang dilakukan di luar jadual persekolahan atau
kurikulum. Kegiatan kurikulum di sekolah diharap dapat melahirkan murid yang
seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan FPN. Ini
juga kerana pendidikan bagi menghasilkan insan harmonis dan seimbang tidak akan
berkesan jika kurikulum semata-mata digunakan sebagai media penerapan nilai-nilia
murni sejagat. Justeru, pendidikan yang mantap dan kukuh dapat menyalurkan aspek
kurikulum ke dalam kokurikulum bagi meningkatkan keupayaan pendidikan
menghidupkan falsafah tersebut. Oleh yang demikian, pengetahuan yang diperolehi
dari kurikulum akademik dapat diintegrasikan secara praktis semasa menjalankan
aktiviti kokurikulum. Aktiviti ko-kurikulum yang dirancang juga diharapkan dapat
mengembangkan potensi, bakat dan kebolehan murid dalam pelbagai aktiviti
beruniform, kelab, persatuan dan sukan. Kokurikulum perlu untuk menerapkan nilai-nilai
murni melalui perkembangan diri inidividu ke dalam diri murid-murid. Nilai-nilai murni
yang disisipkan melalui penerapan nilai semua mata pelajaran melalui pengajaran dan
pembelajaran dapat dikukuhkan lagi melalui kegiatan kokurikulum. Pengalaman
menjalankan aktiviti kokurikulum akan meluaskan daya fikir dan pengetahuan murid
serta melahirkan kematangan fizikal, intelek, emosi, sosial dan nilai-nilai murni. Melalui
kefahaman yang jelas terhadap konsep kokurikulum, adalah diharapkan nilai-nilai murni
dapat diterapkan ke dalam kegiatan kokurikulum.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Negara Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum
seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Sikh. Kepelbagaian kaum ini juga
mengundang kepada kepelbagaian dan keunikan budaya yang terdapat di negara kita.
Kurikulum sekolah yang dibentuk dalam sistem pendidikan di negara kita adalah
berorientasikan Malaysia bagi tujuan memupuk nilai-nilai kemalaysian. Namun ini
bukanlah bermaksud untuk menolak atau menidakkan budaya sesuatu kaum dengan
wujudnya nilai kemalaysiaan ini. Kurikulum ini dibentuk sebagai alat untuk
menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Kurikulum yang terdapat dalam sistem
pendidikan juga menerapkan dan mengintergrasikan nilai-nilai murni yang telah diterima
oleh masyarakat di Malaysia. Malahan nilai-nilai murni yang dipilih secara khusus
adalah mengikut pelbagai budaya kaum dan bangsa di Malaysia ini. Maka dengan
adanya keseragamanan nilai bagi semua murid di sekolah yang berorientasikan budaya
Malaysia, maka dijangka akan dapat atau struktur yang sama bagi kefahaman budaya
masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga fahaman. Pendidikan
sebagai asas intergrasi juga bergantung kepada pemupukan nilai-nilai dan langkah-
langkah penyebaran dan pembudayaan yang dilakukan oleh guru semasa pengajaran
dan pembelajaran di sekolah. Malah dengan adanya penerapan nilai maka akan
terbentuklah generasi yang mempunyai nilai-nilai yang sama melalui satu bahasa dan
satu pembudayaan. Justeru, sekolah sebagai sebuah institusi memainkan peranan
yang penting dalam menerapkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
Hadirin sekalian,
Sudah tentu saudara dan saudari tertanya-tanya apakah rasionalnya penerapan
nilai-nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada bulan Mei 1969,
rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan semangat
kebangsaan kita. Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan
setiap kaum. Selain daripada itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak
Persidangan Sedunia tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta
penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dalam kalangan pelbagai
lapisan masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih
kepada isu nilai dalam pendidikan. Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar
pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin,
berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan terlatih. Maka
apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang harus didedahkan kepada
pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal dan wariskan?. Untuk melihat
hasil dan produk positif yang dijelmakan oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai
murni serta penekanan yang lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras
dengan penyataan FPK ini. Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen
pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang
penting sekali adalah kesepaduan lima sifat utama iaitu JERIS (Jasmani, Emosi,
Rohani, Intelektual dan Sahsiah) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam
melahirkan individu yang berakhlak. Masyarakat adalah agen ketiga dalam membentuk
nilai murni. Melalui FPK yang dipelajari di sekolah-sekolah baik untuk ahli masyarakat
yang sedang atau telah tamat bersekolah, mereka telah diterapkan dan diajar dengan
nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh jelaskan kepada orang
lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan, teladan ataupun perubahan
perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah bersahaja dan tidak langsung dan
sentiasa berterusan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,


Sebagai penutup, marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan kata-
kata mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdullah sempena Majlis Pelancaran Kempen
Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan yang berbunyi:
"Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa
depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan,
kepakaran, tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan
mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan"
"Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang
mengamalkan budaya murni."
Sekian sahaja, yang baik datangnya daripada Allah, dan segala kelemahan
datang daripada diri saya sendiri, harap dimaafkan. Wabillahi taufik walhidayah,
assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih.

You might also like