You are on page 1of 2

Kepentingan Perpaduan

Kita percaya rakyat negara ini sudah faham dan terima kepentingan perpaduan
kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara.
Namun begitu, kadangkala kita menganggap perpaduan kaum merupakan suatu
keadaan yang wujud dengan sendiri tanpa usaha hingga lupa adanya ancaman
terhadapnya.
Sebab itu kita perlu mengambil perhatian terhadap isu-isu yang boleh
membangkitkan sentimen perkauman dan seterusnya mampu menjadi ancaman
kepada semangat muhibah serta keharmonian di negara ini.
Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh mengutarakan isu-isu penting
yang memerlukan pembetulan dan langkah-langkah bagi mengatasinya. Tetapi apa
yang penting adalah cara dan sikap dalam menangani sesuatu isu supaya ia tidak
berbau perkauman.
Dalam hal ini, kerjasama semua pihak dari pelbagai kaum perlu menjurus kepada
memelihara perpaduan dan mengelak diri daripada memburukkan lagi hubungan
antara kaum.
Umpamanya dalam isu pengasingan pelajar mengikut kaum baru-baru ini.
Sememangnya kita kesal sekiranya perkara ini benar-benar berlaku. Tetapi kita lebih
kesal jika pendekatan yang dibuat dalam menangani masalah ini adalah cara
mengeksploit sentimen perkauman.
Ia harus dilihat dari sudut pendidikan dan bukannya perkauman. Elemen
kebetulan juga harus diambil kira. Tetapi di atas segalanya ialah sikap jujur kita
dalam memelihara perpaduan kaum. Janganlah hendaknya kita mempunyai sikap
buruk sangka yang begitu menebal hingga apa yang kebetulan dilihat pula sebagai
tindakan perkauman.
Begitu juga dengan isu pengubahan nama jalan di Ipoh tidak lama dahulu. Jika
perkara itu tidak ditangani dengan jujur, ia boleh menjadi satu lagi sentuhan emosi
perkauman. Apa yang kebetulan juga menjadi isu perkauman.
Justeru, kita dapat lihat bahawa perpaduan kaum tidak boleh dipandang sebagai
keadaan semula jadi. Kita, seluruh rakyat Malaysia harus bersama memelihara dan
memupuk perpaduan kaum.
Maka dalam hal ini, acara seperti Rumah Terbuka Malaysia sempena Hari Raya
Aidilfitri merupakan peristiwa positif yang dapat turut memupuk perpaduan kaum.
Melihat 100,000 orang pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Malaysia, kita
merasa optimis bahawa masa depan perpaduan kaum di negara ini adalah cerah
dan memberangsangkan.
Maka adalah wajar bagi kerajaan untuk meneruskan tradisi rumah terbuka
kebangsaan ini bukan saja untuk Hari Raya tetapi juga untuk lima perayaan utama
lain iaitu Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
Tradisi ini akan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia hidup dalam
penuh muhibah dan harmoni dengan semangat toleran dan saling hormat-
menghormati di antara kaum-kaum yang berbeza.
Namun begitu, acara ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk
memelihara dan memupuk perpaduan kaum secara menyeluruh.
Di peringkat masyarakat, ia harus diperluaskan melalui acara-acara peringkat
setempat supaya perpaduan kaum benar-benar wujud dan bukan semata-mata
dalam acara-acara formal saja.
Tetapi di atas segalanya ialah kesedaran dan sikap setiap individu warganegara
Malaysia yang insaf bahawa kemakmuran negara amat bergantung kepada
keutuhan hubungan antara kaum.
Dalam tindakan seharian, semangat perpaduan ini hendaklah diambil kira kerana
ia menentukan survival negara.
Utusan Malaysia, 21 Januari 20

You might also like