You are on page 1of 18

PEMIKIRAN MELAYU MENGENAI ILMU

Oleh:
Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
1. a) Tradisi ilmu dan pengilmuan China sudah amat mantap lantaran
ketamadunan China adalah tamadun yang wujud lama, maka oleh sebab
itu terdapat hadis Nabi Muhammad s.a.w, bahawa tuntutlah ilmu
sehingga ke China.
b) Berpusat di tapak teras lagi utama di Sungai Huang Ho (Yellow River),
dan Maharaja China yang terkenal Qin Huangdi yang wujud 200 sebelum
Masehi yang berperanan menyatukan kebudayaan China.
c) Negara China sekarang ini telah menjadi salah satu kuasa besar
ekonomi, politik dan ketenteraan bermula dengan pembaharuan yang
digerakkan oleh Deng Xiaoping.
d) Siapa yang tak kenal konsep Ying-Yang, Seni peperangan Tsun Tzu,
ilmu perubatan China dan sebagainya, yang di antara keagungan ilmu
dan pengilmuan China.
e) Tulisan ini cuba secara etimologis menelusuri konsep ilmu, dan
menghurai sumber ilmu Melayu, bagaimana pula pemikiran Melayu
mengenai ilmu, dan perubahan yang berlaku.
2. a) “Penakik pisau diraut
Ambil galah batang lintabung
Seludang jadikan nyiru
Setitik jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru”

b) Kata alam cukup penting untuk orang Melayu sehingga melahirkan


konsep peng + alam + an (pengalaman), suatu konsep yang cukup
mendalam maknanya. Perbilangan “alam terkembang jadikan guru” adalah
suatu falsafah praktis (amali) untuk orang Melayu menata dan mengatur
kehidupan

“rosak kelapa kerana salah kukur, rosak manusia kerana salah


atur”

c) Manusia Melayu amat menghargai orang yang berpengalaman,


orang yang tahu segala selok-belok alam, ibarat melayari lancang kuning
berlayar malam, dan seandainya nakhoda tidak pandai perahu akan
tenggelam.
d) Dikatakan lebih dahulu makan garam. Seorang yang tahu
lagi berpengalaman adalah seorang yang memahami seluruh
khazanah alam, sama ada yang manusiawi, bendawi hatta yang
ghaibi.

e) Menata kehidupan manusia khasnya interaksi sesama


manusia, orang Melayu mengaturnya dengan adat- Ilmu adat
disusun dan dikategorikan dengan adat yang sebenar adat, adat
yang teradat, adat istiadat dan adat resam

f) Dilengkapi pula dengan struktur budi yang mengawal tingkah


laku (budi-pekerti), tutur-kata (budi-bahasa), pertimbangan (budi-
bicara), perasaan (hati-budi) dan pemikiran (akal-budi) -
diperkukuhkan pula dengan aspek kepercayaan dan keagamaan
yang berperanan untuk berinteraksi dengan alam ghaib atau
dengan ruang spirituality atau ruang metafizikal.

g) Dari alamiah dan bendawi ke adat dan budi hingga ke yang


metafizikal.
3. a) Proses tahu dan kenal, dan sehingga dapat memahami kejadian
setiap objek, usaha ini jelas sekali digambarkan di dalam ungkapan
“… aku tahu asal-usul mu”,seperti yang terdapat di dalam
mantera Melayu - asal-usul ini bukan sekadar tahu mengenai
sesuatu objek tetapi juga mengenali dan memahami asal-usul dan
susunan setiap sesuatu kejadian, termasuk bagaimana sesuatu
objek itu terjadi, bermula dan berakhir seperti kata asal-usul ini:

Membaca dari alif,


Membilang dari sa;
Mengkaji dari asal,
Asal-usul jangan dilupa.

b) Merupakan kaedah Melayu membuat penjenisan, klasifikasi,


pengkategorian (taxanomy) setiap benda atau objek yang terdapat
di dalam alam lahiriah sahaja.
c) Usaha penjenisan atau pengklasifikasian terhadap pelbagai
jenis tumbuhan dedaun, buah-buahan, air, tanah, galian, batu-
batan, awan-awanan, dan lain-lain sudah mengandung maksud
saintifik dan tidak berbeza dengan sains moden kini.

d) Usaha untuk mengenali alam lahiriah – pancaindera


digunakan untuk mengenali setiap benda secara empirikal.

e) Indera batin untuk memahami alam ghaib atau alam


batiniah. Dalam usaha untuk mendapat ilmu pengetahuan yang
sempurna (holistik) orang Melayu menggabungkan kedua-dua
unsur lahiriah dan batiniah.

f) Di dalam masyarakat Melayu tradisi, orang yang tahu, orang


yang kenal ialah orang yang pandai. Siapakah orang yang pandai,
iaitu orang yang mengkhusus di dalam bidang tertentu seperti
tukang kayu, pandai besi, pandai emas, yang disebut juga
sebagai tukang atau juru (experts) atau orang yang mahir
g) Jika ia pandai berniaga dipanggil saudagar, pandai ke laut
– juragan, nakhoda, malim; pandai bersilat dan memiliki ilmu
persilatan dipanggil pendekar, panglima; pandai ilmu agama
dipanggil Tok Guru, Tok ‘Alim, Tok Lebai.

h) Alam itu sendiri memberi pengetahuan kepada manusia,


untuk mengenal siang dan malam; bulan dan matahari; mengenal
peredaran dan pergerakan masa; mengenal ruang alam; mengenal
sempadan, wilayah negeri, mengenal penjuru alam (kosmologikal).

i) Alam memberi manusia pengetahuan tentang alamnya,


pengetahuan tentang budayanya apabila berinteraksi dengan
manusia; manusia mengenali sumber air, jenis air, jenis tanah dan
sebagainya.
j) Seperti kata perbilangan; yang pandai teman berunding,
yang alim minta doanya, yang kaya minta emasnya, yang
cerdik teman berunding.

Kalau nak tahu dalamnya paya


Tanyalah kepada puyuh
Kalau nak tahu lebarnya rimba
Tanyalah kepada denak
Kalau nak tahu luasnya padang
Tanyalah kepada belalang
Kalau nak tahu panjangnya tanjung
Tanyalah kepada bebarau

k) Tidak menghairankan di dalam masyarakat yang pre-literate


terdapat perhatian kepada Tukang Cerita, seperti Tok Selampit,
Awang Batil, Tok Dalang, Tukang Syair dan melalui cerita-cerita
rakyat inilah digunakan untuk mendidik, mengajar orang ramai serta
diberi maklumat sesuai dengan konteks zaman.
Di dalam Syair Martabat Ilmu,
Martabat ilmu amat tingginya
Emas dan intan bukan sandingan
Barang siapa mendapat dianya
Nikmat sejahtera jua kiranya
Berkatalah ilmu “akulah sultan”
Kuasa perintahku darat dan lautan
Jahil berseru “akulah syaitan”
Ikutlah aku merata hutan.
L) Begitulah pula dengan pegawai adat yang pandai berthamthil
ibarat, bergurindam, berpetatah-petitih - Peribahasa pepatah,
petitih, perbilangan adat adalah sumber tradisi yang sudah wujud
sebelum manusia mengenal tulisan. Ia lahir dari kebijaksanaan
orang dahulu dalam menyusun kata-kata; seperti dari alam ikan;
siakap senohong, gelama ikan duri, cakap bohong, lama-lama
mencuri .
m) Peribahasa, empat sudah bersimpul satu, bermaksud,
sesuatu kesempurnaan yang telah diperlakukan oleh empat orang
iaitu yang berilmu, berakal, mahir dan berusaha - Peribahasa, isi
dada bekal berjalan, membawa maksud, dengan ilmu, ke mana
sahaja boleh mendapat kehidupan.

n) orang yang berilmu hendaklah menyampai atau mengajar


ilmunya, seperti kata peribahasa, Alim yang kikir akan ilmunya itu
seumpama senjata yang berkarat di dalam sarungnya; dan si jahil
yang enggan belajar seumpama si buta malu bertongkat.
Kadangkala orang yang berilmu tidak suka menzahirkan
kemuliaannya; kata peribahasa Melayu, Tempayan yang penuh itu
tidak berkocak airnya; bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Dari alam juga mereka mengetahui asal-usul alam seperti
tergambar dalam mantera asal-usul dunia (alam):
Allah belum bernama Allah
Muhammad belum bernama Nabi
Bumi belum bernama bumi
Bumi bernama pusat negeri
Langit bernama payung negeri
Bumi itu segedang talam
Langit itu segedang payung

o) Apabila menguasai ilmu asal-usul, seorang yang pandai


seperti pawang, bomoh, dukun; mampu melembutkan atau
mencairkan yang keras, melemahkan yang kuat, menghilang benci
jadi sayang, racun jadi penawar dan sebagainya - Mereka inilah
manusia khas lagi istimewa yang mampu membaca melalui indera
batinnya, melihat melalui mata hati, dan berbicara melalui kata hati
4. Dengan kedatangan Islam di Alam Melayu, Islam
memperkukuhkan ilmu dan pengetahuan Melayu. Di peringkat
awal berlaku penyesuaian (sinkretisme), dan kemudian secara
perlahan perubahan berlaku sesuai dengan keyakinan baru
(Islam).

a) Dimensi ufuk (horizon) ilmu pengetahuan semakin meluas;


ilmu tidak dilihat sebagai milik peribadi. Manusia Melayu telah
mampu membezakan antara yang benar dengan yang tidak
(yang haqq dengan yang bathil); di dalam waktu yang sama, adat
tetap dihormati dan agama dijunjung.

b) Pelbagai ilmu baru diketahui oleh orang Melayu seperti Fiqh,


Tauhid, Ilmu Kalam, Tasawuf, akhlak, ilmu membaca al-Quran
(sains al-Quran) dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini didokumentasi
melalui kitab-kitab agama, ditulis, dikarang, disalin-semula oleh
para ulama-Melayu di Alam Melayu.
Dikatakan Abdullah Arif pada abad ke-12 telah menulis Bahr-ul-
laht, satu kitab fiqh syariah dan tasawuf, manakala Syed Naguib al-
Attas (1988), telah menemui pula kitab Aqaid al-Nasafi, yang
dianggap beliau sebagai kitab tertua Melayu pada abad ke-15.

c) Kitab-kitab agama ditulis di dalam pelbagai bidang yang


banyak ditulis pada abad ke-17 yang digunakan di pondok atau
pesantren di Alam Melayu. Kitab-kitab tersebut terdiri dari kitab
agama, perubatan, syair-syair, cerita-cerita Nabi dan sebagainya.

Kitab-kitab tersebut dikembangkan oleh para ulama di seluruh


pelosok Alam Melayu. Pengilmuan Islam meresap ke dalam jiwa
orang Melayu – melalui proses pembudayaan bukannya melalui
paksaan dan peperangan

d) Konsep ilmu Melayu turut berubah, sudah ada konsep atau


kategori Aqli dan Naqli.
d) Kepada orang Melayu, al-Quran adalah sumber ilmu,
bukan sahaja ilmu ketuhanan (teologi),keimanan, tetapi juga ilmu-
ilmu lain yang dapat digunakan untuk kepentingan manusia seperti
hukum-hakam; hubungan antara manusia; kejadian langit dan
bumi; perjalanan matahari, siang dan malam; apatah lagi al-
Quranadalah doa dan penawar untuk manusia; bukan sekadar
ilmu agama sahaja. Setiap orang Islam sering berdoa agar
ditambahkan ilmu mereka.

Sesungguhnya Allah ditaati dan disembah dengan ilmu. Begitu


juga kebaikan dunia dan akhirat bersama ilmu, sebagaimana
kejahatan dunia akhirat kerana kebodohan.
5. a) Kemasukan tradisi sains Barat ke Alam Melayu, ke dalam akal-
budi atau benak akal Melayu, telah secara halus menghakis
seluruh ilmu Melayu dan mengecil lagi menyempitkan peranan ilmu
agama Islam.

b) R.O. Winstedt telah memperkecilkan seluruh ilmu budaya


Melayu seperti sastera, seni dan pustaka ilmunya sebagai satu
warisan yang penuh mitos, tidak ilmiah, dan tidak rasional. R.O.
Winstedt (1961) telah memperkecilkan tamadun Melayu dengan
berpendapat bahawa tamadun Melayu penuh dengan unsur luar
atau asing, unsur peribumi (indigenous) tidak kelihatan.

c) Secara jelas di dalam korpus kesusasteraan Melayu,


Winstedt telah mengelompok perundangan Melayu dan
ketatanegaraan Melayu seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-
Undang Johor sebagai sastera undang-undang. Begitu juga
dengan sebahagian kitab keagamaan dikelompokkan pula sebagai
sastera kitab atau ada yang menyebutnya sebagai kitab kuning.
d) Secara halus Winstedt dan mereka sepertinya sudah
memainkan peranan sebagai reductionist,memperkecilkan ilmu
Melayu kepada tahap ilmu tradisional.
Apakah mungkin pintu akal-budi kita akan tertutup dengan
kemunculan dan usaha pengukuhan tradisi berbahasa Inggeris di
semua peringkat pendidikan dan pengajian.

e) Kita perlu mengkaji apakah tradisi tulis Melayu di dalam


konteks zamannya. Bahawa Sulalatus Salatin, Misa Melayu,
Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani, Hikayat Aceh dan
seumpamanya bukan sahaja suatu refleksi terhadap tradisi tulis dan
mengarang Melayu tetapi juga sebagai satu dokumen sejarah
dalam konteks zamannya.
f) Barangkali sewajarnya seluruh ilmuan Melayu berusaha
semoga yang herot dapat diluruskan, yang tenggelam ditimbulkan
dan digali, agar, disingkap tabir akalnya, dibuka pintu ilmunya,
dibentangkan alam seluasnya.
Apa tanda batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Apa tanda orang berilmu
Orang berilmu halus sifatnya
Sekian, terima kasih.

You might also like