You are on page 1of 6

Pengenalan

Pelbagai jenis kelompok telah dikemukakan sebagai satu pendekatan spesifik bagi
menangani masalah yang boleh dirawat melalui kaunseling kelompok. Antaranya ialah
Terapi Kelompok Alderian yang telah digunakan oleh Rudolf Dreikus bagi menangani
masalah kanak-kanak. Carl Rogers pula telah mengenengahkan Kaunseling Kelompok
yang mengguna pendekatan terapi Pemusatan Perorangan. Albert Ellis dengan
kelompok terapinya telah menerapkan Terapi Rasional Emotif Perlakuan. Robert
Carkhuff pula giaenjalankan Latihan Perkembangan Sumber Insan dan Arnold
Lazarus menerapkan Teknik Terapi Pelbagai Modal dalam Kelompok Terapi Perlakuan

Asas Pengendalian Kelompok

Seorang kaunselor mesti sedar tentang elemen yang mempengaruhi personaliti dalam
pengendalian kelompok. Kaunselor mestilah menunjukkan sikap yang bersungguh-
sungguh semasa menjalankan tugasnya. Sikap penyayang juga dikehendaki agar boleh
dicontohi oleh ahli. Kaunselor juga perlu tabah dengan cabaran yang dihadapi semasa
mengendalikan kelompok. Ianya berkait dengan pengendalian yang bersifat terbuka
dan telus tanpa emosi, pemikiran dan perlakuan yang terselindung.

Pembentukan kelompok perlu disediakan secara rasional dan rapi serta perlu selari
dengan jenis kelompok yang akan diselenggarakan. Perkara ini mesti difikirkan
secara mendalam oleh kaunselor yang mengetuai perjalanan kelompok yang dibentuk
itu. Sehubungan itu kejayaan penyelenggaraan kelompok juga akan bergantung
kepada keperluan yang dikehendaki oleh bakal ahli yang akan menganggotai kelompok
tersebut.

Sebagai seorang yang mengetuai kelompok kaunselor mesti dapat menjalinkan


kepercayaan dengan semua ahli dalam kelompok tersebut. Cara pengendalian setiap
kaunselor atau fasilitator adalah berbeza tetapi perkara yang penting ialah mesti
mendapat kerjasama yang erat dan keyakinan daripada semua ahli kelompok ke arah
pencapaian matlamat.
Kemungkinan juga wujud ahli yang akan menguji kecekapan kaunselor sebagai
fasilitator dan mengajukan pelbagai kerenah yang rumit. Dalam keadaan demikian
ketabahan kaunselor akan tercabar dan dia wajar menerapkan segala kemahirannya
dengan mengguna pelbagai teknik kaunseling dan perhubungan antara insan.

Kemahiran Dalam Mengendalikan Kaunseling Kelompok


Untuk memimpin sesuatu kumpulan Kaunseling Kelompok memerlukan beberapa
kemahiran tertentu supaya matlamat dan tujuan kumpulan itu tercapai. Kaunselor
atau fasilitator menjadi penggerak utama dalam perkembangan tiap-tiap ahli dalam
kumpulan. Memimpin Kaunseling Kelompok adalah lebih sukar daripada menjadi
kaunselor dalam Kaunseling Individu. Kaunselor memerlukan persediaan yang lebih
rapi kerana interaksi dalam kumpulan lebih luas dengan bilangan ahli yang ramai dan
personaliti yang berbeza-beza. Dengan lain perkataan kaunselor perlu menguasai
beberapa kemahiran tertentu.

Kemahiran Mengenalpasti, Melabel dan Menjelas

Mengenalpasti, melabel, menjelas dan menerangkan kembali maklumat yang telah


diberi oleh ahli. Kaunselor perlu memahami maksud yang dinyatakan secara terus
atau tidak langsung oleh ahli. Ada tiga jenis maksud yang akan dikeluarkan oleh ahli
kelompok iaitu berkenaan dengan perasaan dan emosi, perlakuan dan kognitif.
Kaunselor perlu sedar tentang maklumat-maklumat yang kurang jelas pada dirinya
dan ahli-ahlinya atau reaksi ahli untuk mengelak dari berbincang tentang hal-hal
sensitif berkenaan emosi. Kaunselor akan menggalakkan proses mengenalpasti,
menjelas dan menggambarkan kembali perasaan supaya ahli faham dan sedar apa
yang sedang berlaku di antara mereka. Jika ahli-ahli dapat melihat dengan jelas
peranan kaunselor dalam aspek ini, mereka akan lebih yakin dan percaya kepada
proses terapi kumpulannya.

Namun kaunselor juga perlu prihatin untuk mempertimbangkan perkara yang perlu
dihormati dan tidak wajar diluahkan oleh ahli sebagai klien dalam kelompok bagi
menjaga martabat dan kehormatannya, melainkan ahli yang terlibat benar-benar
bersetuju dan berani mengambil risiko kesan pada dirinya

Corey dan Corey (1977) mengatakan, seseorang ketua harus dapat bertindak balas
secara sensitif dan simpati terhadap setiap individu dalam kelompoknya serta
berkomunikasi dengan reaksi ahli-ahlinya. Mereka juga seharusnya menyaksikan
kelompok dinamik melalui kemahiran-kemahirannya memproses interaksi yang
kompleks dalam kelompoknya. Seorang ketua kelompok yng berkesan adalah benar-
benar diasuh dan dilenturkan mengikut mesej kliennya dan bertindak balas cepat
daripada cuma berkata-kata tentang dunia luas sahaja atau tidak fokus.

Dalam menguasai kemahiran ini kaunselor harus mempunyai daya memerhati yang
kuat serta nampak apa yang sedang berlaku dalam kumpulannya. Pemerhatian yang
dibuat haruslah diterangkan kepada ahli-ahli supaya mereka sedar tentang perlakuan
dan reaksi mereka dalam kumpulan. Kaunselor tidak dapat menolong ahli mengubah
perlakuan jika kaunselor sendiri tidak sedar apa yang berlaku dalam kumpulannya.
Kaunselor juga mesti faham tentang budaya berinteraksi antara berlainan jantina
dan umur.

Kemahiran mendengar

Kaunselor memerlukan kemahiran mendengar yang tinggi kerana ini adalah kemahiran
yang paling asas dan penting. Mendengar bukan satu kemahiran mudah tetapi perlu
mendengar dengan berkesan terutama untuk mendengar maklumat yang dikeluarkan
oleh beberapa orang. Dari proses mendengar kaunselor menunjukkan kepada ahli
kualiti kaunselor yang berkesan iaitu dengan mendengar dengan teliti apa yang
disebutkan oleh ahli dan tidak membuat prejudgemental . Kaunselor seterusnya
memberi peluang kepada ahli menceritakan pandangan mereka tanpa mengecil atau
mempermainkan mereka.

Kaunselor menyatakan semula perasaan ahli dan menunjukkan tanda empati serta
menunjukkan minat terhadap pendapat dan pandangan ahli. Menurut Mahler (1969)
dan Dinkmeyer (1971) ketua kelompok berinteraksi sesama ahlinya dengan berkongsi
pengalaman, perasaan dan pengetahuan. Ia juga membantu penyertaan menjadi lebih
rancak, bermoral dan perasaan yang positif, di mana penyertaan ahli-ahli akan
mewujudkan penerimaan perasaan ahli oleh ketua itu.

Mewujudkan Suasana Teraputik

Kemahiran ini penting terutama dalam masa perbincangan berlaku percanggahan


pendapat yang dikeluarkan secara agresif. Akhirnya perselisehan faham atau
pergaduhan akan berlaku di antara ahli. Kaunselor harus berhati-hati supaya keadaan
yang tidak menyenangkan tidak berlaku. Namun kaunselor tidak seharusnya
menyekat dan mengenepikan keinginan ahli untuk mengeluarkan pendapat. Suasana
tegang tidak dibiarkan dan kaunselor harus masuk campur terutama apabila ahli mula
berbelah pihak dan menjadi agresif semasa berinteraksi. Perhatikan sekiranya ada
ahli yang menjadi sasaran kumpulan atau tedapat ahli yang menjadi tertekan atau
tegang dan kaunselor perlu mewujudkan suasana teraputik dengan mengawal situasi
atau mengunakan strategi masuk campur. Strategi ini harus diibuat dengan diplomasi
supaya ahli-ahli tidak menjadi ragu-ragu terhadap keberkesanan kaunselor dalam
sesi itu.

Walau bagaimanapun kaunselor jangan keterlaluan sehingga terlihat terlalu memuji


atau mengkritik ahli atau menasihat ahli. Walaupun usaha ini mungkin untuk
mententeramkan suasana tetapi ahli-ahli akan menjadi tidak puas hati. Kaunselor
harus menjadi penghubung kepada perbincangan supaya setiap ahli dapat
mengeluarkan pendapat dan interaksi mereka bertambah meluas.

Kemahiran Menghadapi Kesenyapan


Kesenyapan mungkin berlaku semasa sesi Kaunseling Kelompok dijalankan dan
kaunselor perlu memahami dan bersedia menghadapi keadaan tersebut. Kesenyapan
lebih baik daripada ahli berbual kosong dalam kumpulan. Memahami mengapa
kesenyapan berlaku dalam kumpulan adalah penting. Ahli-ahli dalam kumpulan tidak
biasa bercakap tentang diri mereka. Mereka memerlukan masa untuk berfikir
samada mereka telah sedia untuk menghadapi pendedahan diri. Kaunselor harus
membebaskan diri dari rasa terdesak dan panik apabila kumpulan menjadi senyap.

Strategi yang boleh digunakan ialah mengelakkan diri dari menjadi orang yang mula-
mula memecahkan suasana kesenyapan setiap kali dengan bertanya, mengeluarkan
komen dan pendapat. Gunakan masa kesenyapan untuk memerhati gerak laku ahli-ahli
seperti rasa bosan, gelisah , cemas, ingin bercakap tetapi takut dan reaksi-reaksi
lain lagi. Masa itu digunakan untuk memerhati dan dan mengumpul data tanpa bahasa
dari ahli. Sekiranya kaunselor tidak yakin menghadapi kesenyapan mungkin
menyebabkan kaunselor mengeluarkan komen yang menjejaskan penerimaan ahli.

Kemahiran Berkomunikasi Dengan Jelas

Kemahiran berkomunikasi dalam kumpulan sangat penting. Kaunselor perlu memahami


tahap pemikiran atau kematangan ahli-ahlinya dan menggunakan bahasa-bahasa yang
difahami oleh orang biasa. Menunjukkan diri sebagai seorang yang terlalu intelektual
akan menakutkan ahli. Tanda-tanda ahli tidak memahami atau kaunselor mempunyai
kemahiran komuikasi yang kurang baik ialah apabila terdapat ahli yang bertanya
maksud kata-kata kaunselor berulang-ulang. Jika ini berlaku ahli mungkin enggan
bertanya lagi kerana malu, takut atau mungkin bosan dan akhirnya ahli menjadi
pengikut tanpa soal jawab.

Satu cara yang baik untuk mengatasi keadaan ini ialah dengan mengetahui sedikit
bahasa sehari-hari ahli supaya perbincangan tidak menjadi terlalu formal. Elakkan
dari bercakap terlalu panjang dan berbelit-belit. Tentangan mata juga adalah
sebahagian daripada komunikasi yang menunjukkan anda memberi perhatian dan
berminat

Kemahiran Konfrantasi

Kemahiran yang memerlukan ahli-ahli menghadapi persoalan diri sendiri yang mereka
secara sedar mengelakkan diri dari menerimanya. Menggunakan teknik ini harus
berhati-hati kerana ahli boleh merasa terancam apabila belum bersdia untuk
menerima hakikat diri mereka. Kemahiran ini berguna untuk memperbetulkan dalih
atau ketidakseimbangan kenyataan atau maklumat yang diberi oleh ahli. Dengan cara
ini ahli akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap peranan dan tindakan mereka.

Teknik ini berkesan digunakan dalam kumpulan yang telah mencapai kepercayaan dan
keyakinan di antara ahli. Masalah timbul kepada kaunselor untuk menggunakan teknik
ini kerana budaya dan cara hidup masyarakat khususnya Melayu mengajar bahawa
bersemuka dan berterang-terangan adalah tidak sopan dan tidak bertimbang rasa.
Kaunselor dalam masa yang sama harus mengekalkan rasa penerimaan dan rasa
hormat daripada ahli. Untuk itu kaunselor perlu mengenal pasti perlakuan-perlakuan
yang bercanggah samada dari segi tingkah laku, perasaan dan pemikiran.
Percanggahan ini hendaklah dibentangkan supaya ahli nampak dan sedar tetapi tidak
sampai menunjukkan rasa menghukum, menyalah atau menuduh.

Kemahiran Intervensi

Kemahiran menggunakan teknik menghalang adalah penting kepada kaunselor untuk


mengendalikan sesi kelompok. Kaunselor mesti sentiasa sedar untuk perkembangan
proses Kaunseling Kelompok menuju matlamat kumpulan seluruhnya. Oleh itu jika
dalam proses perkembangan kelompok ahli-ahli memberi maklumat yang tidak
berfaedah bagi kumpulan untuk mencapai matlamat, kaunselor perlu menghalang dan
mengalihkan kembali perbincangan kepada tajuk yang berkaitan. Teknik ini jika
digunakan dari awal pada masa-masa yang sesuai dapat memberi contoh kepada ahli
bagaimana berbincang untuk faedah bersama

Kaunselor perlu mempunyai keyakinan untuk menghalang atau intervensi apabila


berlaku keadaan-keadaan tersebut. Apabila ini berlaku perkembangan kelompok akan
terbantut dan menjadi lembab. Kaunselor harus sentiasa sedar hala tuju
kelompoknya dan sentiasa menjalankan peranannya.

Kemahiran Meneroka

Kemahiran menggunakan teknik ini adalah untuk mengenalpasti dengan lebih


mendalam tentang masalah, peranan dan tindak tanduk mereka. Ahli sebenarnya
ragu-ragu untuk meneliti sendiri perlakuan mereka tanpa bimbingan aktif dari
kaunselor. Namun kaunselor jangan memaksa ahli memberi respon sebaliknya
memberi kebenaran kepada ahli mendiamkan diri jika dilihat ahli merasa terancam.
Teknik ini perlu digunakan dengan diplomasi supaya ahli tidak menganggap kaunselor
busy body . Kaunselor boleh mengemukakan soalan-soalan terbuka dan tertutup.
Sebutkan nama mereka ketika memberi respon

Rumusan
Kaunseling kelompok bukanlah sebuah pasukan bola sepak yang mahukan kemenangan.
Ia lebih menekankan kepada pencapaian matlamat, memenuhi kehendak dan
menyediakan pengalaman nilai terhadap individu-individu dalam kelompok. Kelompok
juga dapat menyediakan peluang mengenal diri dan dalamannya melalui perasaan
sendiridan tingkah lakunya semasa berbincang dalam kelompoknya secara terbuka
dan bebas. (Yalom, 1975).

Selain itu kaunseling kelompok dapat membentuk peluang yang berlanjutan kepada
klien bagi memperkembangkan hubungan biasa dan positif dengan orang lain
memandangkan bentuk kaunseling ini membenarkan ahli-ahlinya mengalami dan
belajar mengawal hubungan antara peribadi mereka sendiri. Kemahiran dan teknik
kaunseling yang berkesan akan membantu mengoptimumkan pencapaian objektif
Kaunseling Kelompok.
Bibliografi

Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pendidikan,
Federal Publications, Kuala Lumpur. 1995

Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Di Malaysia, Dewan
Bahasa dn Pustaka, Kuala Lumpur. 1992

Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pendidikan,
Federal Publications, Kuala Lumpur. 1995

Gerald Corey, Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy, Brooks/ Cole
Publishing Company, California. 1986

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Pelaksanaan Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah,


Cerdik Publication Sdn Bhd, Selangor.2003

Muhd Mansur Abdullah, Kaunseling Teori, Proses dan Kaedah, Fajar Bakti Sdn Bhd,
Kuala Lumpur. 1993

Othman Mohamad, Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan Dalam Kaunseling, Universiti


Putra Malaysia, Selangor. 2000

Robert D. Myrick, Bimbingan dan Kaunseling Perkembangan, Dewan Bahasa dan


Pustaka, Kuala Lumpur. 2001

Zuraidah Abdul Rahman, Pengenalan Kaunseling Kelompok IBS Buku Sdn Bhd,
Selangor. 1996

You might also like