You are on page 1of 25

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

BAB SATU: KAEDAH DAN SUMBER SEJARAH Bab ini berfokus kepada: 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. Makna dan Konsep Sejarah Lisan; Peranan Orang Sumber; Kepentingan Sumber Lisan; Sumber Lisan sebagai Sumber Sejarah; Sumber Lisan sebagai Warisan yang Harus Dipelihara; Perbezaan antara Sumber Lisan dan Sumber Bertulis; Perdebatan antara Aliran Ranke dan Aliran Thomson

1. MAKNA DAN KONSEP SEJARAH LISAN Definisi Sejarah Lisan Para sejarawan yang bersidang dalam Proceedings of the National Colloquium on Oral History pada tahun 1966 telah bersetuju bahawa tiada takrif sejarah lisan yang ekslusif. (Nadzan Haron, 2012: 74)

Hal ini bermakna, terdapat beberapa pandangan sejarawan mengenai konsep oral history atau sejarah lisan itu sendiri.

Menurut A.R. Fry dan W. Baum (1969) seperti yang dipetik oleh Mohd Amin Hassan (1974), pakar-pakar dalam bidang sejarah lisan yang bersidang pada tahun 1968 telah bersetuju untuk menerima definisi oral history (sejarah lisan) secara umum sebagai: suatu metode untuk mendapat dan mengumpulkan sekumpulan keterangan sejarah di dalam bentuk lisan, biasanya di atas pita rakaman.

Pendefinisian ini telah diberi bagi merujuk kepada usaha Allan Nevins iaitu seorang ahli sejarah dari Universiti Columbia, Amerika Syarikat yang dianggap sebagai individu yang mempelopori bidang sejarah lisan pada tahun 1948. (rujuk Mohd Amin Hassan, Akademika No. 4/1974)

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Dalam hal ini, Allan Nevins telah melaksanakan satu inisiatif untuk mengabadikan ingatan dan kenang-kenangan yang tidak direkodkan dalam bentuk tulisan sebelumnya. Antara inisiatif Allan Nevins dalam merintis sejarah lisan termasuklah: 1. Menemuramah secara sistematik orang-orang Amerika yang dipercayai mempunyai ingatan dan kenangan yang bernilai sejarah; 2. Menyalin semula temu ramah ke dalam bentuk tulisan dan disediakan untuk kegunaan para penyelidik.

Seterusnya, Judith Moyer (1993) mentakrifkan sejarah lisan seperti mana berikut:

Oral history is the systematic collection of living peoples testimony about their own experience.

Menurut Donald A. Ritchie (2003) pula, oral history (sejarah lisan) boleh didefinisikan sebagai satu kaedah mengumpul memori-memori dan pengalaman yang bernilai sejarah yang dirakamkan melalui wawancara.

Nadzan Haron (2012) pula mentakrifkan sejarah lisan sebagai: Suatu daripada kaedah penyelidikan sejarah, kaedah yang

digunakan oleh penyelidik dalam mengumpul sumber sejarah (saksi kepada sejarah) berbentuk lisan sebagai suatu cara melengkapkan rekod bertulis."

Pusat Sejarah Lisan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2007) pula mentakrifkan sejarah lisan sebagai satu kaedah di mana kenang-kenangan seseorang tokoh dirakamkan secara wawancara.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Konsep Sejarah Lisan Objektif sejarah lisan adalah untuk menghasilkan satu dokumen lisan dari keterangan proto, keterangan saksi mata, keterangan kata dengar atau tradisi lisan ke dalam bentuk rakaman atau transkrip.

Sejarah lisan juga bertujuan untuk mengumpulkan memori-memori dan pengalaman personal orang sumber yang mempunyai nilai yang signifikan dalam sesuatu isu sejarah tertentu.

Penggunaan sejarah lisan sebagai salah satu daripada cabang sejarah menjadi penting disebabkan kekurangan sumber bertulis dan sumber arkeologi dalam pengkajian sesebuah sejarah.

Oleh itu, sejarah lisan telah memainkan peranannya dalam melengkapkan sumbersumber sejarah dan menjadi sumber yang menyokong kepada sumber-sumber primer yang lainnya.

Sebagai contoh, Thucydides ketika menulis mengenai Sejarah Perang Peloponnesia telah mengambil kira keterangan-keterangan saksi mata (eye witnesses) yang telah menyaksikan sendiri peristiwa peperangan tersebut.

Sehingga kini, sejarah lisan terus menjadi popular dan berkembang terutamanya dalam mengkaji sejarah sosial dan sejarah rakyat yang jarang didokumenkan. Antaranya termasuklah Sejarah Perjuangan Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya dan Sejarah Memali.

Proses penghasilan sejarah lisan memerlukan satu kaedah yang sistematik bagi memastikan sebuah hasilan kajian yang bernilai sejarah dan objektif. Antara proses penting dalam sesebuah kajian sejarah lisan termasuklah: 1. Perancangan Awal Kajian; Menentukan tema kajian Gambaran dan maklumat awal mengenai kajian (pre-survey) Membina Kerangka atau Pemetaan Penyoalan

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

2. Mengenalpasti Orang Sumber; Menentukan orang sumber yang diyakini mempunyai maklumat berkenaan kajian Menyiasat latar belakang diri orang sumber Pernyataan hasrat kepada orang sumber (pre-interview)

3. Proses Pengumpulan Sumber; Wawancara Melakukan rakaman Bahan-bahan Bantu (berkait dengan topik)

4. Proses Transkripsi; Memindahkan butir-butir percakapan dalam rakaman kepada bentuk tulisan Mendapat persetujuan orang sumber mengenai proses

pentranskripsian

5. Pendokumentasian Sejarah; Kritikan Sumber Penulisan Hasil Kajian

6. Pengurusan Hasil Kajian; Rakaman disimpan secara softcopy dan hardcopy Penerbitan hasil kajian Penyimpanan hasil kajian di perpustakaan, galeri atau arkib

Konsep Proto, Saksi Mata dan Kata Dengar Konsep-konsep ini akan diterangkan pada bahagian 1.2 Peranan Orang Sumber.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Konsep Tradisi Lisan Menurut Mohd Amin Hassan (1974), tradisi lisan boleh ditakrifkan sebagai semua keterangan lisan mengenai masa lalu yang telah diperturunkan dari seorang ke seorang dengan cara pertuturan.

Nadzan Haron (2012) pula mentakrifkan tradisi lisan sebagai keterangan yang telah melalui proses transmisi (penyebaran) penuturan dari mulut ke mulut dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Nadzan Haron (2012) juga telah membahagikan tradisi lisan kepada tiga ciri iaitu: i. Peristiwa/fakta dilaporkan oleh generasi ketiga dan generasi kemudiannya; ii. iii. Testimoni lisan dengan penyebaran dari mulut ke mulut; Telah melalui suatu jaringan transmisi (yakni tersebar luas)

Antara contoh tradisi lisan yang berkait dengan peristiwa sejarah yang telah berlaku termasuklah kesengsaraan hidup di zaman Jepun, peristiwa Bah Merah iaitu banjir besar di Terengganu pada tahun 1926 serta kisah-kisah perjuangan rakyat menentang penjajah.

Selain itu, Mohd Amin Hassan (1974) turut mengkategorikan cerita rakyat, perbilangan adat, perumpamaan, peribahasa dan pantun sebagai tradisi lisan yang utama di Malaysia.

Perbilangan adat seperti Adat Perpatih misalnya diperturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi berikutnya dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi berkaitan sejarah feudal di Negeri Sembilan.

Nadzan Haron (2012) membahagikan tradisi lisan kepada dua jenis iaitu: 1. Tradisi Lisan Terkawal: Tradisi seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan pemegang tradisi seperti ketua-ketua adat, ketua-ketua suku atau puak. Mereka mewarisi suatu tradisi lisan yang lengkap dan sama dengan pemegang tradisi sebelumnya disebabkan keperluan adat dsb.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Sebagai contoh termasuklah ketua-ketua adat dalam sesebuah perbilangan adat seperti Adat Perpatih yang menghafal adat dan istiadat yang berkaitan dengan tugas dan bidang kuasa mereka.

Hal ini meliputi hukum-hukum dan perlembagaan adat.

2. Tradisi Lisan Tidak Terkawal: Penyebaran tradisi lisan secara terkawal terutamanya cerita-cerita rakyat dan peristiwa sejarah tertentu. Penyebaran yang tidak terkawal seperti ini menyebabkan berlakunya pelbagai versi akibat daripada tokok tambah oleh penurun tradisi.

Contoh Sejarah Lisan Terdapat pelbagai kajian berkaitan sejarah lisan yang telah dilakukan oleh para sejarawan di seluruh dunia. Antaranya termasuklah:

1. Tulisan Thucydides berkenaan dengan Perang Peloponnesia; 2. Sejarah perkembangan komputer di I.B.M, Amerika Syarikat; 3. Projek Memori Bekas Pegawai Tanah Jajahan British oleh Universiti Oxford (1969); 4. Projek Sejarah Gerakan Nasionalis Melayu Kiri dan Rejimen Ke-Sepuluh Parti Komunis Malaya oleh Universiti Kebangsaan Malaysia; 5. Projek Peristiwa Berdarah di Memali; 6. Projek Peristiwa di Zaman Jepun dan BMA

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

2. PERANAN ORANG SUMBER Sumber lisan adalah keterangan tidak bertulis mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlaku, mengenai sesuatu ciptaan masa lampau, dan juga naratif mengenai perkara atau pengalaman seseorang dalam peristiwa tertentu. (Nadzan Haron, 2012: 24) Sumber lisan juga lebih disebut sebagai keterangan lisan.

Keterangan lisan diperoleh melalui wawancara sama ada dengan pelaku, saksi mata, pendengar (keterangan kata dengar), atau seseorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa, perkara atau tokoh yang dikaji.

Individu-individu yang memberikan keterangan lisan dikenali juga sebagai orang sumber.

Terdapat TIGA kategori orang sumber yang utama iaitu: 1. Proto; 2. Saksi Mata (eye witnesses); 3. Kata Dengar (hearsay)

Kategori Orang Sumber dan Peranannya 1. Orang Sumber Proto: Orang sumber Proto merujuk kepada individu yang terlibat secara langsung dalam sesebuah peristiwa atau perkara sebagai pelaku.

Keterangan proto adalah sumber yang diperoleh daripada seseorang tentang peranannya dalam perkara yang dikaji.

Keterangan ini termasuklah keterangan tentang kenangan, pengalaman hidup dan peranan yang telah dimainkan olehnya dalam sesebuah peristiwa hidupnya.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Antara projek sejarah lisan yang sesuai dalam menggunakan keterangan proto termasuklah projek biografi tokoh (wawancara tokoh itu sendiri) atau projek kajian sesebuah peristiwa sejarah seperti mewawancara bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) bagi mendapatkan maklumat tentang peristiwa darurat dari sudut pandang golongan kiri.

Peranan sumber proto adalah penting sebagai sumber primer dalam mendapatkan first-hand view daripada pelaku sesuatu peristiwa itu sendiri.

Pengalaman dan keputusan yang diambil daripada setiap tindak-tanduk mereka sebagai pelaku (actor) dalam sesuatu peristiwa sejarah sudah pasti akan mampu memberikan lebih banyak maklumat penting kepada pengkaji berbanding orangorang sumber yang lainnya.

2. Saksi Mata (Eye-Witnesses) Saksi mata adalah merujuk kepada orang sumber yang tidak menjadi pelaku kepada sesuatu peristiwa atau perkara, akan tetapi sebaliknya menjadi pemerhati kepada sesuatu peristiwa sejarah.

Pemerhati di sini bermaksud orang sumber tersebut melihat dan menyaksikan sendiri dengan matanya tentang sesuatu peristiwa yang berlaku di hadapan matanya.

Orang sumber saksi mata ini tidak mempunyai peranan dalam peristiwa berkenaan selain menjadi pemerhati atau saksi mata kepada sesuatu kajian.

Segala maklumat yang disampaikan oleh saksi mata adalah berdasarkan sudut pandang dan apa yang dilihat olehnya.

Peranannya dalam sesebuah kajian sejarah adalah untuk memperincikan dan menceritakan semula peristiwa dan kejadian sesuatu peristiwa melalui apa yang telah dilihat olehnya.

Antara contoh saksi mata termasuklah orang ramai yang hadir dalam peristiwa Rundingan Baling atau orang yang dalam sesuatu majlis yang bersejarah.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

3. Orang Sumber Kata Dengar (Hearsay) Orang sumber kategori ini tidak terlibat langsung dengan sesebuah peristiwa sama ada sebagai pelaku mahupun sebagai saksi mata.

Kebiasaannya, orang sumber kategori ini memperolehi keterangan tentang sesuatu peristiwa daripada pelaku atau saksi mata atau orang sumber kata dengar yang lainnya.

Oleh itu, keterangan yang diberikan oleh orang sumber ini dianggap sebagai second hand source dan bersifat sekunder.

Kebiasaannya, pengkaji mendapatkan keterangan daripada orang sumber kata dengar ini apabila pelaku atau saksi mata telah meninggal dunia dan jarak masa di antara kajian yang dibuat dengan masa kajian adalah terlalu jauh.

Orang sumber kata dengar ini berperanan memberikan keterangan lisan berdasarkan apa yang telah diberitahu kepadanya tentang sesuatu peristiwa atau perkara sejarah.

Contohnya termasuklah keterangan waris-waris kepada tokoh-tokoh pejuang tempatan yang telah lama meninggal dunia seperti waris Mat Kilau, Tok Kenali dll.

Proses Evolusi Keterangan Lisan Proses transmisi (penyebaran) mengenai sesuatu peristiwa daripada mulut ke mulut dan turun daripada satu generasi kepada generasi yang lainnya telah mewujudkan evolusi terhadap sesebuah keterangan lisan.

Dalam hal ini, orang-orang sumber baik daripada kategori proto, saksi mata atau kata dengar telah memainkan peranan mereka dalam memperturunkan dan menyebarkan sesuatu peristiwa atau perkara yang bernilai sejarah sehingga akhirnya berubah menjadi satu tradisi lisan.

hazmanazhar_ipda 2013

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Proses Evolusi Keterangan Lisan kepada Tradisi Lisan Peristiwa atau perkara yang bersejarah yang melibatkan orang sumber / disaksikan oleh orang sumber Keterangan oleh orang sumber proto / saksi mata (First hand reviews)

Peristiwa atau perkara yang bersejarah yang diceritakan kepada orang kedua, ketiga

Keterangan kata dengar (oral hearsay)

Penuturan atau penyebaran dari generasi ke generasi sehingga membentuk jaringan transmisi dari mulut ke mulut

Keterangan tradisi lisan

Penuturan yang terkawal (versi penceritaan yang sama) Kebiasaannya disebarkan kepada pemegang tradisi seperti Ketua Adat

Tradisi Lisan Terkawal (controlled oral tradition)

Penuturan yang tidak terkawal (versi penceritaan yang berbeza)

Tradisi Lisan Tidak Terkawal (uncontrolled oral tradition)

(Nadzan Haron, 2012: 26)

hazmanazhar_ipda 2013

10

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

3. KEPENTINGAN SEJARAH LISAN Nadzan Haron (2012) menyenaraikan TUJUH kepentingan sejarah lisan kepada perkembangan ilmu sejarah. Antaranya termasuklah:

1. Mengisi kekosongan yang terdapat dalam sumber tertulis dan menjadi sumber tambahan untuk melengkapkan kajian yang mendalam dan mantap; 2. Menjadi penyelamat dan menyediakan maklumat sejarah yang mungkin tidak dapat diperolehi oleh pengkaji akan datang; 3. Memberi orang ramai peluang untuk mentafsirkan peranan mereka demi mencari kebenaran sejarah; 4. Menghasilkan sumber yang istimewa yang dapat menyelami emosi pelaku dalam peristiwa yang dialami; 5. Menjadi alternatif kepada memoir dan biografi; 6. Merakam dan menyelamatkan tradisi lisan yang semakin hilang; 7. Mempelbagaikan sumber dalam usaha memahami dan memelihara warisan negara

Mengisi kekosongan yang terdapat dalam sumber tertulis dan menjadi sumber tambahan untuk melengkapkan kajian yang mendalam dan mantap; Menurut Nadzan Haron (2012), dua masalah yang biasa dihadapi oleh seseorang pengkaji sejarah termasuklah: 1. Terlalu kurang sumber bertulis; 2. Sumber bertulis yang kurang lengkap dan menimbulkan banyak persoalan tentang kandungannya.

Selain itu, terdapat juga sumber bertulis yang ditulis tidak menyeluruh dan dicatatkan apa yang difikirkan perlu sahaja oleh pencatatnya sedangkan peristiwa sebenar sesuatu peristiwa adalah lebih daripada apa yang dicatatkan.

hazmanazhar_ipda 2013

11

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Sebagai contoh, laporan bertulis pada zaman British mengenai beberapa peristiwa seperti penentangan terhadap Malayan Union dan peristiwa rusuhan kaum di Batu Kikir, Batu Pahat dan Sungai Manik tidak dilaporkan secara menyeluruh dan tepat dan sebahagiannya bagi menyembunyikan fakta.

Malah, terdapat rekod bertulis yang dimusnahkan oleh tentera setelah kalah perang termasuklah rekod-rekod tentera British dan Jepun ketika mereka terpaksa menyerah kalah dalam peperangan.

Selain itu, terdapat rekod-rekod bertulis yang dianggap sebagai propaganda dan dikawal oleh pemerintah pada sesuatu masa. Dalam hal ini, laporan terhadap para penentang dan golongan kiri dibuat secara berat sebelah.

Justeru, penggunaan sumber lisan dalam kajian sejarah adalah penting bagi mendapatkan sudut pandang yang lebih adil bagi kedua-dua belah pihak dan mengatasi kekurangan yang terdapat dalam sumber bertulis.

Kebanyakan sumber bertulis negara yang bersifat rahsia, sulit dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) menyebabkan penggunaan sumber bertulis sebagai sumber sejarah menjadi terhad dan memerlukan penggunaan sumber lisan sebagai alternatifnya.

Dalam hal ini, sumber lisan tidak akan menggantikan sumber bertulis akan tetapi sebaliknya bertindak sebagai pelengkap kepada kekurangan sesebuah sumber bertulis. (Mohd Amin Hassan, 1974: 38)

Dalam hal ini, peranan sumber lisan ke atas sumber bertulis termasuklah: Tidak semua peristiwa penting dan bersejarah itu direkodkan secara bertulis, justeru sumber lisan digunakan dalam merakamkan peristiwa tersebut. Terdapat keraguan tertentu dalam sumber bertulis terutamanya yang dilihat berat sebelah, propagandik, dan dilihat menyembunyikan fakta. Tidak semua rekod bertulis mengandungi maklumat yang diperlukan sebagai bahan rujukan kajian disebabkan oleh tindakan pencatat rekod yang melakukan pencatatan terpilih (selective recording)

hazmanazhar_ipda 2013

12

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Menjadi penyelamat dan menyediakan maklumat sejarah yang mungkin tidak dapat diperolehi oleh pengkaji akan datang; Sumber-sumber sejarah kebanyakannya tidak direkodkan dan hal ini merupakan satu kerugian kepada sumber sejarah negara.

Antara masalah besar sumber sejarah dalam masa kini termasuklah: 1. Orang-orang sumber yang mempunyai maklumat sejarah tidak dilakukan pengumpulan maklumat ke atasnya sehinggalah orang sumber ini mati/hilang memori/nyanyuk; 2. Perkembangan komunikasi melalui telefon dan internet menyebabkan suratmenyurat, memo dan penulisan menjadi kurang mustahak. Hal ini membawa kepada kurangnya penulisan rekod secara bertulis; 3. Individu atau tokoh tidak mempunyai kesempatan menulis memoir hidup mereka. Kebanyakan maklumat bersejarah yang ada pada mereka akan hilang melalui kematian atau kehilangan memori.

Dalam hal ini, adalah penting kepada para pengkaji sejarah untuk mendekati tokohtokoh dan orang-orang sumber dalam memastikan keterangan lisan mereka dapat didokumentasikan sebagai sebuah sejarah lisan yang bertulis.

Memberi orang ramai peluang untuk mentafsirkan peranan mereka demi mencari kebenaran sejarah; Kebanyakan sumber bertulis dihasilkan oleh pemerintah dan golongan atasan. Oleh itu, kebanyakan peristiwa dilaporkan mengikut sudut pandang golongan atasan tanpa mengambil kira pandangan yang diberikan oleh masyarakat kebanyakan.

Selain itu, kebanyakan topik sejarah juga berlegar berkenaan pemerintah dan pentadbiran dan sangat sedikit topik sejarah sosial dan sejarah masyarakat yang diangkat oleh para pengkaji.

hazmanazhar_ipda 2013

13

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Oleh itu, sejarah lisan berperanan dalam mendapatkan keterangan sejarah melalui golongan masyarakat biasa seperti golongan pekerja, golongan minoriti ataupun Orang Asli yang sebenarnya lebih banyak yang terlibat sebagai pelaku (actor) kepada peristiwa sejarah.

Sebagai contoh, Peristiwa Berdarah di Memali banyak dilaporkan dan menerima pakai maklumat bertulis kerajaan dan sangat sedikit para pengkaji sejarah yang menemui sendiri masyarakat di Kampung Memali itu sendiri untuk mengetahui peristiwa tersebut.

Dalam hal ini, kebenaran sejarah akan dapat dicapai apabila pengkaji tidak hanya tertakluk dan bergantung kepada sumber bertulis semata-mata, akan tetapi turut mendapatkan sumber dan keterangan pelbagai hala daripada pelbagai sumber.

Penglibatan orang ramai dalam memberi keterangan lisan akan menyebabkan mereka berasa dihargai dan menganggap diri mereka sebahagian daripada sejarah.

Menghasilkan sumber yang istimewa yang dapat menyelami emosi pelaku dalam peristiwa yang dialami; Keterangan lisan daripada saksi proto atau saksi mata akan membolehkan pengkaji menyelami emosi mereka terhadap sesuatu peristiwa tersebut.

Menyelami emosi mereka adalah penting dalam menilai emosi mereka yang mencetus kepada peristiwa sejarah yang berlaku seterusnya melakukan pengadilan moral ke atas mereka.

hazmanazhar_ipda 2013

14

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Menjadi alternatif kepada memoir dan autobiografi; Memoir atau autobiografi tokoh adalah kenang-kenangan seseorang tokoh tentang pengalaman hidupnya dan kebiasaannya ditulis sendiri oleh tokoh atau penulis kepercayaan.

Kebiasaanya, penulisan memoir ini adalah mengikut cita rasa tokoh itu sendiri dengan menyembunyikan kelemahan dirinya dan sering pula menonjolkan keegoan diri tentang peranannya dalam sesuatu peristiwa.

Oleh itu, penggunaan sejarah lisan dalam mengkaji peranan seseorang tokoh adalah lebih adil dan bersifat telus berbanding penulisan memoir. Hal ini kerana, para pengkaji tidak menyembunyikan fakta dan melakukan kajian terperinci sebelum menerima sesuatu keterangan lisan sebagai fakta sejarah.

Merakam dan menyelamatkan tradisi lisan yang semakin hilang; Penulisan sejarah tidak semestinya hanya berlegar kepada tokoh ternama dan peristiwa sezaman yang menggunakan sumber bertulis dan sumber lisan sematamata.

Dalam hal ini, tradisi lisan (yang terkawal) perlu digunakan untuk dijadikan sumber penting dalam mengkaji sejarah politik, sosial, ekonomi dan perundangan tradisional dahulu kala seperti yang terkandung dalam perbilangan adat.

Antaranya termasuklah perbilangan adat yang dipegang secara tradisi oleh ketuaketua adat dalam Masyarakat Minangkabau dan ketua-ketua suku dan adat dalam pelbagai suku di Sabah dan Sarawak.

Disebabkan peredaran zaman dan arus kemodenan, kebanyakan tradisi lisan ini semakin hilang disebabkan tidak ramai ahli masyarakat yang berminat untuk mendalami dan meneruskan tradisi lisan yang diperturunkan sejak zaman berzaman ini.

Oleh itu, pendokumentasian tradisi lisan ini adalah penting dalam memastikan sejarah lisan ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

hazmanazhar_ipda 2013

15

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Mempelbagaikan sumber dalam usaha memahami dan memelihara warisan negara; Sejarah lisan memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menambahkan sumber sejarah sedia ada.

Oleh itu, menjadi tugas para pengkaji sejarah untuk menyelamatkan apa jua keterangan bertulis yang boleh dijadikan sebagai sumber kepada apa jua peristiwa sejarah.

Dalam hal ini, keterangan-keterangan lisan yang menjelaskan tentang sebab dan akibat kepada sesuatu peristiwa perlu dipelihara sebagai suatu warisan supaya generasi akan datang dapat mengetahui apa yang terjadi dan mengapa ia terjadi.

hazmanazhar_ipda 2013

16

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

4. SUMBER LISAN SEBAGAI SUMBER SEJARAH Herodotus ketika mengkelaskan kekuatan sesebuah sumber dalam sejarah meletakkan apa yang telah anda diberitahu selepas kedudukan apa yang ada lihat dan apa yang anda baca.

Dalam hal ini, kedudukan tingkat sumber sesebuah sumber lisan itu berada di bawah selepas penyaksian secara langsung dan sumber bertulis. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa sejarawan mengiktiraf sumber lisan sebagai salah satu sumber sejarah sejak dari dulu lagi.

Misalnya, Thucydides ketika mengkaji dan menulis mengenai Perang Peloponnesia antara Empayar Yunani menentang angkatan bersekutu Sparta telah menjadikan keterangan lisan sebagai salah satu sumber sejarah yang utama.

Beliau dalam pengembaraannya telah menemui para tentera yang pernah terlibat dalam perang tersebut dan mengambil keterangan-keterangan mereka bagi dimasukkan ke dalam hasil penulisannya.

Walaubagaimanapun, terdapat satu aliran dalam sejarah yang dipelopori oleh Leopold Von Ranke yang menggelarkan diri mereka sebagai Aliran Objektiviti menolak sumber lisan sebagai satu bentuk sumber sejarah. (akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bahagian 1.7)

Persoalannya, sejauh manakah kesaksian keterangan lisan itu mampu diterima sebagai satu sumber sejarah seperti sumber-sumber yang lainnya?

Dalam hal ini, keterangan lisan perlu melalui proses penilaian yang sama seperti juga proses penilaian sumber-sumber lain (kritikan sumber) sebelum mampu diterima sebagai sebuah sejarah yang objektif.

Keterangan lisan penting sebagai sumber bagi mengkaji pelbagai bidang tentang suatu masyarakat.

Misalnya, keterangan proto dan saksi mata merupakan dua keterangan lisan yang penting untuk mengkaji sesuatu peristiwa yang berlaku.

hazmanazhar_ipda 2013

17

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Kepentingan keterangan lisan sebagai sumber lisan dapat dilihat sebagai pelengkap kepada sumber bertulis, dan mengisi kekosongan dan kekurangan yang terdapat kepada sumber-sumber bertulis tersebut.

Menurut Mohd Amin Hassan (1974), walaubagaimanapun keterangan lisan sebagai sumber sejarah tidak boleh menggantikan kedudukan sumber bertulis dari segi tingkat sumbernya dan peranannya hanyalah untuk memperkukuh kekurangan yang ada pada sumber bertulis.

Selain itu, tradisi lisan terkawal berperanan besar sebagai sumber sejarah dalam mengkaji sejarah masyarakat dari segi struktur politik, sosial, ekonomi dan perundangan.

Sebagai contoh termasuklah perbilangan adat seperti Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan. Melalui tradisi penurunan adat kepada ketua-ketua adat ini, sejarawan mampu menjadikannya sebagai satu sumber sejarah dalam mengkaji sejarah dan struktur politik dalam masyarakat Perpatih semenjak zaman berzaman.

Walaubagaimanapun, penerimaan keterangan lisan sebagai sumber sejarah memerlukan kritikan ke atas keterangan yang telah diperoleh. Hal ini kerana, setiap keterangan tidak semestinya disampaikan secara jujur dan benar, penuh dengan bias dan prasangka, menyembunyikan kelemahan dan kesalahan diri serta terpengaruh dengan ego dan martabat harga diri.

Bagi memastikan kebenaran dan kesahihan keterangan orang sumber dalam keterangan lisan, proses kritikan sejarah dilakukan, sama seperti sumber-sumber sejarah yang lain.

hazmanazhar_ipda 2013

18

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

5. SEJARAH LISAN SEBAGAI WARISAN YANG PERLU DIPELIHARA Warisan merujuk kepada sesuatu yang berterusan secara turun temurun semenjak satu generasi ke generasi yang lainnya.

Sejarah lisan memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menambahkan sumber sejarah sedia ada.

Oleh itu, menjadi tugas para pengkaji sejarah untuk menyelamatkan apa jua keterangan bertulis yang boleh dijadikan sebagai sumber kepada apa jua peristiwa sejarah.

Dalam hal ini, keterangan-keterangan lisan yang menjelaskan tentang sebab dan akibat kepada sesuatu peristiwa perlu dipelihara sebagai suatu warisan supaya generasi akan datang dapat mengetahui apa yang terjadi dan mengapa ia terjadi.

Sebenarnya, sejarah lisan sebagai satu warisan telah lama berada dalam lingkungan masyarakat di negara ini.

Sebagai contoh, tradisi lisan dalam beberapa aspek seperti cerita rakyat, perbilangan adat, perumpamaan, peribahasa dan pantun telah menjadi satu warisan turun temurun sejak zaman berzaman di Malaysia. (Mohd Amin Hassan, 1974)

Sebahagiannya telah diperturunkan secara terkawal seperti perbilangan adat dalam masyarakat Perpatih sehinggalah perbilangan adat Perpatih ini dijadikan asas dalam Perlembagaan Negeri Sembilan yang bertulis pada hari ini.

Sebahagiannya pula telah diperturunkan secara tidak terkawal sehingga muncul pelbagai versi dan tokok tambah sehingga kebenaran peristiwa tersebut dipertikaikan dan hanya dianggap sebagai mitos, etos mahupun lagenda.

Memelihara tradisi lisan sebagai warisan pada zaman moden seperti ini memerlukan pendokumentasian tradisi-tradisi ini secara bertulis dan didokumentasikan sebagai salah satu sumber sejarah yang utama untuk rujukan generasi yang akan datang.

hazmanazhar_ipda 2013

19

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

6. PERBEZAAN ANTARA SUMBER LISAN DAN SUMBER BERTULIS SUMBER LISAN Keterangan sejarah yang diperolehi secara lisan biasanya dalam bentuk rakaman. Definisi SUMBER BERTULIS Sumber sejarah yang diperoleh melalui rekod-rekod bertulis yang mengandungi keterangan sejarah.

Sumber sejarah yang hanya menjadi penyokong kepada sumber bertulis serta mengisi kekosongan dan kekurangan yang ada pada sumber bertulis. Tingkat Sumber

Sumber sejarah yang utama. Herodotus meletakkan dalam hierarki paling tinggi. Para sejarawan moden menjadikannya sebagai tingkat sumber terpenting.

Terbahagi kepada dua iaitu sumber primer yang melibatkan keterangan proto dan saksi mata. Keterangan kata dengar pula adalah sumber sekunder. Kategori Sumber

Sumber bertulis adalah sumber primer meliputi manuskrip, surat, catatan harian, rekod kerajaan, surat perjanjian dll. Sumber sekunder bertulis jarang digunakan untuk kajian sejarah melainkan untuk tujuan perbandingan dan hujah.

Melalui prosese wawancara dengan orang sumber, kemudiannya ditranskripsi dan dikritik sebelum didokumentasikan. Proses Penyelidikan

Melalui proses kritikan sumber, tafsiran (verbal, etnolinguistik, teknikal, psikologikal dan fakta) sebelum boleh dijadikan sumber yang boleh digunakan.

Keterangan lisan kebiasaannya dipengaruhi emosi, bias, memori yang lemah serta penyembunyian fakta. Objektiviti

Lebih bersifat objektif kerana kebanyakan sumber bertulis bersifat fakta bertulis terutamanya rekod-rekod kerajaan.

hazmanazhar_ipda 2013

20

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Transmisi berlaku dari mulut ke mulut yang kemudiannya sebahagiannya diturunkan dari generasi ke generasi yang akhirnya membawa kepada tradisi lisan. Akses dan Transmisi (Penyebaran)

Bersifat statik. Akses kepada sumber bertulis sebahagiannya bersifat prosedural dan sulit kerana kerahsiaan dan keselamatan.

Singkat sekiranya tiada usaha pengkajian dan pendokumentasian. Penurunan dan transmisi secara turun temurun akan menjadikannya sebagai tradisi lisan tidak terkawal yang tidak lagi berguna sebagai sumber sejarah. Keterlangsungan (continuity)

Bersifat keterlangsungan (continuity) merentas masa melalui proses penyimpanan yang bersistematik pada arkib.

Hanya dianggap sepenuhnya tulen apabila keterangan lisan disampaikan oleh sumber proto dan saksi mata. Saksi-saksi ini agak sukar diperoleh dan hampir tiada untuk peristiwa lama yang merentasi zaman. Ketulenan (originality)

Bersifat tulen yang kebiasaannya adalah sumber primer dan sekunder.

Ditolak oleh sebahagian sejarawan terutamanya Aliran Objektif yang dipelopori Leopold Von Ranke. Pengkaji sejarah juga jarang menjadikan sumber lisan sebagai sumber kajian mereka. Keutamaan

Diterima oleh kesemua ahli sejarah sebagai tingkat sumber paling utama dan digunakan secara meluas sebagai sumber sejarah.

hazmanazhar_ipda 2013

21

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

7. PERDEBATAN ANTARA ALIRAN RANKE DAN ALIRAN THOMSON Aliran Ranke Terdapat satu aliran sejarah moden dalam ilmu sejarah yang melihat sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang sistematik dan saintifik.

Aliran ini telah dipelopori oleh Leopold Von Ranke dan menggelarkan mereka sebagai Aliran Objektivisme. (R.Suntharalingam,1982)

Aliran objektif ini menganggap sejarah sebagai mana yang berlaku dan mengetengahkan prinsip sejarah berasaskan fakta dan kenyataan sebenar tanpa penokokan dan penambahan.

Ahli-ahli objektivis memperjuangkan sejarah yang ditulis berdasarkan fakta sebenar serta bebas daripada dipengaruhi perasaan, bias, emosi dan prasangka.

Louis Gottschalk misalnya menganggap sejarah yang objektif sebagai sejarah yang bebas daripada memihak kepada sesiapa dan reaksi peribadi seseorang.

Menurut pandangan Leopold Von Ranke, sejarah yang objektif perlulah mengikuti garis panduan berikut iaitu: 1. Mengenepikan terus pengadilan moral yang dianggapnya membawa kepada kemasukan unsur berat sebelah dan prasangka sezaman; 2. Penggunaan sumber sejarah berdasarkan sumber dan dokumen yang benarbenar asli sahaja; 3. Menolak unsur penilaian peribadi, mitos dan lagenda; 4. Sumber-sumber yang penting adalah buku kenangan, catatan harian, suratsurat, laporan diplomatik serta gambaran asli saksi-saksi. 5. Menganggap rekod-rekod kerajaan sebagai tingkat sumber paling tinggi (R.Suntharalingam, 1982) 6. Sejarah tidak wujud tanpa dokumen (bukti)

Disebabkan objektiviti yang dipentingkan oleh ahli-ahli objektivis, penggunaan keterangan lisan sebagai sumber sejarah tidak begitu disokong dan sebahagiannya ditolak.

hazmanazhar_ipda 2013

22

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Walaubagaimanapun, Ranke misalnya masih menerima keterangan-keterangan pelaku sejarah (keterangan proto) dan keterangan saksi mata iaitu orang yang benar-benar mengalami dan melihat sesuatu peristiwa dan mampu

menggambarkannya semula. Golongan objektivis menolak sejarah lisan yang bersifat kata dengar (oral hearsay) yang dianggap tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Hal ini disebabkan orang sumber kata dengar tidak mempunyai keupayaan menceritakan gambaran yang sebenarnya berdasarkan yang terjadi serta keterangan yang bergantung kepada pendengarannya semata-mata sebelum ini. Tradisi lisan (oral history) dan folkfore ditolak sebagai sumber sejarah. Golongan objektivis menolak keterangan lisan yang dipengaruhi emosi,

berkecenderungan, bias serta memihak.

Aliran Thomson Pada tahun 1890-an, muncul golongan subjektivis yang mempertikaikan kemampuan ahli sejarah untuk menghasilkan penulisan sejarah yang benar-benar objektif disebabkan kecenderungan semula jadi manusia yang sesuatu yang dianggap penting dan mengenetepikan sesuatu yang dianggap tidak penting.

Selain itu, muncul pula satu lagi aliran baharu dalam sejarah yang mengangkat keterangan lisan sebagai satu sumber sejarah yang penting dan dipelopori oleh Allistair Thomson, seorang sejarawan British.

Aliran sejarah lisan dalam sejarah sebenarnya telah dimulakan oleh Allan Nevins, seorang ahli sejarah dari Universiti Columbia, Amerika Syarikat bermula tahun 1948.

Walaubagaimanapun, perkembangan aliran lisan ini berkembang pesat di London sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

hazmanazhar_ipda 2013

23

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Kemunculan aliran oralist di Britain telah menerima kritikan hebat daripada golongan objektivis dan menimbulkan perdebatan.

Misalnya, Harold Perkin pada tahun 1976 telah memperjuangkan sejarah dari bawah dengan mengangkat tema sejarah rakyat marhaen dan sejarah kaum buruh di United Kingdom.

Usaha ini adalah dilihat menyaingi golongan objektivis yang melihat sejarah dari ruang lingkup pemerintah dan negara dan kurang memberi penekanan terhadap sejarah kemasyarakatan dan sosial.

Usaha yang cuba diketengahkan oleh Aliran Lisan ini dianggap selari dengan Aliran Annales yang memperjuangkan sejarah merentasi kelas dan sejarah yang disembunyikan.

Antara perdebatan utama yang ditimbul oleh golongan objektivis terhadap golongan aliran oralist adalah berkait dengan isu memori dalam sejarah.

Golongan objektivis berpendapat, memori yang menjadi kunci utama kepada keterangan lisan adalah tidak boleh dipercayai disebabkan kekangan tempoh masa, kehilangan memori oleh orang sumber merentasi masa serta kecenderungan peribadi (personal bias) oleh interviewer dan interviewee.

Walaubagaimanapun, golongan oralist menolak kritikan golongan objektivis dengan mengemukakan The Handbook of Oral History yang memperincikan kaedah kajian sejarah lisan yang dianggap tidak terkeluar daripada penyelidikan sejarah yang saintifik.

Malah menurut golongan oralist, persoalan bias dan memihak serta kelemahan ingatan orang sumber boleh diatasi melalui kaedah penyelidikan sejarah sedia ada termasuk mengkritik sumber, banding silang dan merujuk sumber yang pelbagai.

Selain itu, golongan oralist berpandangan bahawa kebanyakan ruang sejarah masih berada di kotak pemikiran manusia yang tidak didokumenkan dan diselidiki. Akhirnya, banyak sumber-sumber sejarah yang boleh diusahakan lenyap ditelan zaman dan hal ini adalah sesuatu yang merugikan kepada ilmu sejarah itu sendiri.

hazmanazhar_ipda 2013

24

Nota SJH3104 Sejarah Lisan dan Pendokumentasian

Keperluan sejarah lisan juga diperjuangkan bagi menulis sejarah golongan bawah seperti golongan marhaen, golongan pekerja dan golongan minoriti dalam usaha mempelbagaikan lagi topik dan ruang lingkup sejarah.

Masalahnya, kebanyakan sejarah bawahan seperti ini tidak boleh didapati melalui rekod secara bertulis. Justeru, penggunaan keterangan lisan sebagai sumber sejarah menjadi semakin penting dan berkembang sehingga ke hari ini.

hazmanazhar_ipda 2013

25

You might also like