You are on page 1of 25

1

PENGENALAN

Politik mempunyai pengertian yang amat luas, secara mudahnya ia merujuk kepada cara
manusia memerintah dan diperintah. Ia dilihat merangkumi segala aspek kehidupan
manusia dan melibatkan konsep-konsep seperti kuasa, ‘siapa mendapat apa’ bila dan
bagaimana. Menurut Michael Laver ( 1984 ), politik merujuk kepada harapan, kerisauan,
matlamat serta aspirasi yang terdapat dalam sekelompok manusia1. Ia bakal melahirkan
dua hasil yang berbeza, konflik ataupun kerjasama. Ini kerana konflik tercetus apabila
keinginan manusia tidak tercapai manakala kerjasama pula didorong oleh faktor ketidak
upayaan seseorang individu itu untuk bertindak bersendirian2. Kamus Dewan pula
mendefinisikan politik sebagai ilmu berkaitan dengan cara pemerintahan atau hubungan
dengan negara lain3. Lantaran itu, politik dilihat merangkumi institusi, ideologi, pilihan
raya, parti, kekuasaan dan segala aspek yang bersangkut paut dengan pentadbiran
sesebuah negara.

Plato, Aristotle, Confucius, Ghandi, Ibn Khaldun, Machiavelli, Mill dan Rousseau
merupakan antara tokoh-tokoh falsafah politik yang pernah mewarnai dunia politik masa
silam. Pasa masa yang sama, peredaran zaman telah menyaksikan kelahiran pelbagai
falsafah serta sistem parti yang telah mempelbagaikan lagi rentak politik dunia. Antara
falsafah politik dunia yang masih diamalkan sehinggakan hari ini adalah seperti
konservatisme, liberalisme, demokrasi dan sosialisme.

Sementara itu, terdapat sekurang-kurangnya empat bentuk sistem parti yang


utama iaitu sistem satu parti, sistem dua parti, satu parti dominan dan pelbagai parti.
Negara yang mengamalkan sistem satu parti seperti China melambangkan bahawa
masyarakatnya dipengaruhi oleh satu ideologi iaitu ideologi komunis. Di mana Parti
Komunis China merupakan parti tunggal yang wujud dan bergerak aktif di negara Asia
Timur itu. Manakala negara-negara yang mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika
1
Michael Laver, Invitation to politics, Basil Blackwell, United Kingdom, 1984, hlm 1.
2
Ibid.
3
Hajah Noresah bt. Baharom (k.ed.), Kamus Dewan, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur,
1994, , hlm.1049.
2

Syarikat dan Britain pula terbentuk hasil daripada dua ideologi besar. Misalnya di
Britain, Parti Buruh dan Konservatif merupakan dua parti dominan dalam senario politik
negara itu. Manakala di Amerika Syarikat pula, Parti Demokrat dan Republikan
merupakan identiti kepada sistem demokrasi di negara itu. Di samping itu, terdapat juga
sistem satu parti dominan yang merujuk kepada penguasaan sesuatu parti utama ke atas
sesebuah negara. Corak pemerintahan seumpama ini jelas di Singapura, di mana People
Action Party( PAP ) yang ditubuhkan pada 1954 masih berkuasa sehingga ke hari ini.

Di negara kita pula, Malaysia dilihat sinomin dengan sistem pelbagai parti yang
menyaksikan kewujudan pelbagai parti politik seperti United Malays Nation Organization
( UMNO ), Malaysian Chinese Association ( MCA ), Malaysian Indian Congress ( MIC ),
Democratic Action Party ( DAP ), People’s Progressive Party ( PPP ), Gerakan Rakyat
Malaysia ( Gerakan ), Partai Islam Se-Malaysia ( PAS ), Parti Negara, Parti Buruh, Parti
Rakyat Malaysia ( PRM ), dan sebagainya.

Senario Politik di Malaysia

Di Malaysia, semua aktiviti parti-parti politik tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Di samping terdapat akta-akta lain seperti ISA, OSA dan Akta Polis yang telah
dikuatkuasakan untuk mengawal aktiviti parti-parti politik di Malaysia.4. Lantaran itu,
semua parti-parti politik di negara ini perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar
Pertubuhan. Kebanyakan parti politik induk didaftarkan di Wilayah Persekutuan yang
mencatatkan 14 pendaftaran pada tahun 1995 dan 19965. Menurut Laporan Tahunan
Jabatan Pendaftar Pertubuhan, pada tahun 1997 sahaja terdapat 41 buah pertubuhan
politik berdaftar di peringkat negeri dan melibatkan 43,387 cawangan di seluruh negara6.

4
Makmor Tumin, Parti-parti politik di Malaysia: Antara pertimbangan perkauman dan asas
ideologi, Dewan Masyarakat, Jilid 37, Bil 7, Julai, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 1999, hlm. 10.
5
Ibid.
6
Ibid.
3

Penubuhan parti-parti politik di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa pertimbangan


utama iaitu berasaskan perkauman, ideologi, multi-racial ( non-communal ) dan juga
agama. Penubuhan awal parti-parti politik di Malaysia banyak berdasarkan pertimbangan
perkauman yang rata-rata bertujuan untuk menjaga kepentingan ekonomi, sosial, dan
politik sesuatu komuniti. Parti UMNO, MIC dan MCA merupakan antara parti yang
ditubuhkan berdasarkan pertimbangan perkauman. UMNO misalnya telah ditubuhkan
pada tahun 1946 bertujuan untuk menyatukan orang Melayu untuk menentang penubuhan
Malayan Union di samping memelihara kepentingan serta memperbaiki keadaan orang
Melayu7.

Pada masa yang sama, pertimbangan ideologi turut membawa kepada


terbentuknya parti-parti politik seperti Parti Buruh, Parti Rakyat, Parti Kebangsaan
Melayu Malaya ( PKMM ) dan DAP. Parti Buruh mendakwa dirinya sebagai parti
sosialis tulin8. Di mana dari masa ke semasa, ia menyeru ke arah pemilik negarakan
aset-aset negara yang merangkumi perindustrian, perlombongan serta perladangan. DAP
pula dilihat berkiblatkan sosialisme demokratik yang menekankan kepada pembentukan
sebuah negara Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis berasaskan kepada prinsip
kesaksamaan kaum, keadilan sosial dan ekonomi9. Parti Rakyat Malaysia juga dilihat
berfahaman sosialis berdasarkan latarbelakang penubuhannya. Di mana, ia merupakan
bekas anggota Socialist Front yang menggabungkan Parti Buruh dan Parti Rakyat.
Manakala Parti Kebangsaan Melayu Malaya merupakan sebuah parti haluan kiri yang
dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya ( PKM )10. PKM berjaya menguasai PKMM dari
segi keanggotaan jawatankuasanya. Rashid Maidin dan Abdullah C.D merupakan anggota
PKM yang bergiat cergas di dalam PKMM manakala Musa Ahmad, Baharudin Latif dan
Shamsuddin Salleh pula dilihat berfahaman sosialis11.

7
Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Shah Alam, 2001, hlm.392.
8
Gordon P. Means, Malaysian politics, Hodder and Stoughton, London, 1976, hlm.238.
9
Lee Kam Hing and Tan Chee Beng (ed.), The chinese in Malaysia, Oxford University Press, New
York, 2000, hlm 206.
10
Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, hlm. 387.
11
Ibid, hlm. 387.
4

Pembentukan Parti Perikatan

Dalam sebuah negara majmuk, Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya
yang melibatkan kepentingan kaum yang berbeza. Di mana perbezaan latar belakang,
kebudayaan, agama, dan pendidikan menjadi penghalang ke arah kewujudan sebuah
negara bangsa Malaysia yang sejati. Setiap kaum dilihat berpegang teguh kepada amalan
serta tradisi moyang mereka dengan toleransi yang amat terhad. Lantaran itu,
pembentukan negara bangsa di Malaysia dilihat masih di awang-awangan sahaja.

Menyedari hakikat ini, United Malays National Organization ( UMNO ) dan


Malayan Chinese Association ( MCA ) telah mengorak langkah pertama dengan
membentuk pakatan UMNO-MCA menjelang pilihan raya Majlis Bandaran Kuala
Lumpur pada 16 Februari 1952. Di mana Pengerusi MCA Selangor, Kolonel H.S. Lee dan
Ketua Jawatankuasa Kecil pilihan raya UMNO telah sepakat untuk bekerjasama dalam
pilihan raya tersebut12. Pakatan sementara itu, ternyata membuahkan hasil apabila,
UMNO-MCA berjaya memenangi sembilan daripada dua belas kerusi yang
dipertandingkan. Keputusan yang memberangsangkan itu, mendorong pakatan UMNO-
MCA diteruskan di dalam pilihan raya tempatan di Johor, Melaka dan negeri-negeri lain
dan juga menyaksikan keputusannya memihak kepada UMNO dan MCA.

Kejayaan-kejayaan ini telah membawa kepada rundingan antara pemimpin-


pemimpin UMNO-MCA pada 3 Februari 195313. Rombongan UMNO diketuai oleh
Tunku Abdul Rahman dan MCA pula diwakili oleh Tan Cheng Lock dan Kolonel H.S
Lee. Akhirnya keputusan dicapai dan Parti Perikatan ditubuhkan dan menjelang pilihan
raya 1955, Parti Perikatan telah diperkukuhkan lagi dengan kemasukan Parti Malayan
Indian Congress ( MIC ) dan seterusnya melengkapkan keanggotaan asal Perikatan yang
mewakili tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.
Pilihan raya 1955 telah dilangsungkan pada 27 Julai 1955 dan melibatkan
beberapa parti utama seperti Parti Perikatan, Parti Islam Setanah Melayu ( PAS ), Parti
12
Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, hlm. 394.
13
Ibid, hlm. 394.
5

Negara, Parti Buruh dan Parti Progresif Rakyat ( PPP ). Dalam pilihan raya ini, Parti
Perikatan telah meletakkan 52 calon yang terdiri daripada 35 calon Melayu, 15 calon Cina
dan 2 calon India. Ia mencapai kejayaan di luar dugaan apabila memenangi 51 daripada
52 kerusi yang dipertandingkan dan bakinya sebuah kerusi dimenangi oleh calon PAS di
kawasan Kerian, Perak. Kemenangan sulung Perikatan ini telah memberikan ia mandat
untuk merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pakatan Parti Pembangkang Dalam Politik Malaysia ( 1959-1969 )

Pilihan raya umum 1959 merupakan yang pertama selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaannya. Ia menyaksikan kemunculan pakatan parti pembangkang yang pertama
bagi menyaingi pakatan Parti Perikatan. Parti Sosialis Front ( SF ) telah dilancarkan pada
31 Ogos 1957 dan ia menggabungkan Parti Buruh dan Parti Raayat14.

Kemunculan pakatan ini telah bertapak kukuh di Pulau Pinang dan ia mulai
menampakkan pengaruhnya dalam pilihan raya Majlis Bandaran George Town dalam
tahun 1957. Sosialis Front memenangi 8 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan dan
dalam pilihan raya Majlis Bandaran George Town yang seterusnya, pada tahun1961, parti
itu telah berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan15.

Solialis Front telah bertanding bagi 38 kerusi parlimen dengan mempertaruhkan


11 calon Melayu, 20 Cina dan 7 India dalam pilihan raya 195916. Hasilnya ia berjaya
memenangi 8 kerusi parlimen dengan lima kerusi diperolehi dari Selangor dan bakinya di
Pulau Pinang17. Di peringkat dewan undangan negeri (DUN ), ia berjaya menawan 16
kerusi dengan 7 di Pulau Pinang dan masing-masing 3 di Selangor, Negeri Sembilan dan

14
K.J. Ratnam, Political parties and pressure groups, di dalam Malaysia a survey, Wang Gungwu
(ed.), Donald Moone Book, United Kingdom, 1964, hlm.400.
15
Gordon P. Means, Malaysian politics, hlm.251.
16
K.J. Ratnam, Political parties and pressure groups, di dalam Malaysia a survey, Wang Gungwu
(ed.), hlm.400.
17
Gordon P. Means, Malaysian politics, hlm.252.
6

Johor. Secara keseluruhannya Sosialis Front mendapat 22.2% bagi kawasan parlimen
yang ditandinginya dan 14.9% pula bagi kerusi undangan negeri18.

Bagaimanapun, Sosialis Front hanya mampu bertahan sehingga pilihan raya 1964,
apabila ia hanya mampu memenangi 2 kerusi parlimen dan 7 kerusi negeri. Kemerosotan
pengaruh parti ini kemudiannya menyaksikan Parti Raayat keluar dari pakatan ini pada
tahun 196519. Parti Buruh telah memboikot pilihan raya umum 1969 manakala Parti
Raayat yang bertanding bersendirian hanya memenangi 3 kerusi undangan negeri di
Pahang dan Pulau Pinang.

Terdapat tiga faktor yang membawa kepada kemerosotan pengaruh Sosialis Front
yang akhirnya menyebabkan ia terkubur. Pertama, Sosialis Front dilihat sebagai sebuah
parti fahaman sosialis yang radikal dan didakwa dipengaruhi oleh anasir komunis. Kedua,
Parti Raayat gagal mendapat sokongan orang Melayu luar bandar yang menjadi
penyokong kuat UMNO. Ketiga pengaruh golongan radikal Cina di dalam Parti Buruh
yang semakin kuat mengakibatkan Parti Buruh menguasai pakatan di dalam Sosialis
Front dan seterusnya membawa kepada perselisihan antara Parti Buruh dan Parti Raayat
terutamanya dalam aspek bahasa, agama Islam, pemilihan calon dan dasar mengenai isu
perkauman20.

Namun begitu, pakatan pembangkang bak perpatah “ patah tumbuh hilang


berganti” apabila dua parti baru, Parti Tindakan Demokratik ( DAP ) dan Gerakan Rakyat
Malaysia ( GERAKAN ) muncul bagi mencabar kekuasaan Perikatan. Kedua-dua parti ini
telah membuat pakatan dengan PPP pada Februari 196921. Di mana ketiga-tiga parti ini
bersetuju dalam pembahagian kerusi yang bakal ditandingi dan ia dilihat bertujuan untuk
mengelakkan pepecahan undi bagi parti pembangkang. Pakatan pembangkang ini sekali

18
Ibid.
19
R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, Politik dan kerajaan Malaysia, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala
Lumpur, 1982, hlm. 190.
20
Ibid, hlm. 190.
21
R.K Vasil, Ethnic politics in Malaysia, Radiant Publishers, New Delhi, 1980, hlm.164.
7

lagi menampakkan kesannya apabila Gerakan berjaya menawan Pulau Pinang dengan
memperolehi 16 daripda 24 kerusi undangan negeri. Pada masa yang sama, Gerakan dan
DAP berjaya menafikan kemenangan 2/3 Perikatan di Selangor dan Perak. Di Selangor,
Perikatan hanya mendapat 14 kerusi manakala DAP pula mendapat 9 dan Gerakan pula 4
kerusi. Baki sebuah lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas22. Situasi di Perak pula lebih
genting, apabila Perikatan hanya mendapat 19 kerusi berbanding 21 oleh pembangkang.
PPP unggul dengan 12 kerusi, DAP 6, Gerakan 2 dan Pas 1. Namun begitu, hasrat PPP
dan DAP untuk menubuhkan kerajaan campuran di Perak berkecai apabila Gerakan dan
Pas enggan menyertai mereka. Ia jelas mengecewakan PPP dan DAP yang merasakan diri
mereka dikhianati oleh Gerakan kerana mendakwa kejayaan dua calon Gerakan di
Taiping dan Matang adalah hasil daripada keyakinan pengundi terhadap pakatan yang
terbentuk antara ketiga-tiga parti itu23. Pada 12 Mei, Gerakan telah memaklumkan kepada
UMNO bahawa dua wakil rakyatnya di Perak tidak akan menyertai kerajaan campuran
PPP- DAP dan mengambil pendirian berkecuali di dalam Dewan Undangan Negeri
Perak24.

Sejurus keputusan pilihanraya diumumkan, situasi di Semenanjung Malaysia


menjadi tegang. Kehilangan Pulau Pinang kepada Gerakan dan risiko kehilangan kuasa
Melayu di Perak dan Selangor jelas sukar diterima oleh orang Melayu. Ia diperburukkan
lagi dengan perarakan kemenangan DAP dan Gerakan di Kuala Lumpur. Pada keesokkan
harinya, MCA telah mengumumkan bahawa parti itu tidak lagi mewakili orang Cina di
dalam kerajaan setelah ia dikritik hebat kerana prestasinya yang begitu buruk dengan
hanya memenangi 13 daripada 33 kerusi yang ditandinginya25. Pada masa yang sama, satu
demonstrasi telah dianjurkan oleh UMNO Selangor dan penyebaran khabar angin bahawa

22
Ibid,hlm.174.
23
Lee Kam Hing, Politics In Perak 1969-1974: Some preliminary observations with particular
reference to the non-Malay political parties, hlm, 4.
24
Ibid.
25
Diane K. Mauzy, Barisan Nasional: Coalition government in Malaysia, Marican & Son, Kuala
Lumpur, 1983, hlm. 36.
8

orang Melayu telah diserang di sekitar Kuala Lumpur telah membawa kepada tercetusnya
tregedi 13 Mei yang mengorbankan 196 nyawa26.

Tragedi 13 Mei telah membawa kepada perisytiharan darurat di seluruh negara


dan demokrasi berparlimen dibekukan. Pentadbiran negara telah diambil alih oleh Majlis
Gerakan Negara ( MAGERAN ) pimpinan Tun Abdul Razak27. Lanjutan daripada tragedi
berdarah itu, demokrasi berparlimen turut digantung dan seterusnya membawa kepada
penundaan pilihan raya di Sabah dan Sarawak yang masih belum selesai. Dalam
memperkatakan isu ini, Tun Dr. Ismail, selaku Menteri Dalam Negeri menyatakan
bahawa amalan ‘demokrasi di negara ini telah mati’ dan penggantungan parlimen telah
berterusan sehingga Februari 1971.

Era 70an memperlihatkan perubahan drastik dalam senario politik negara. Ia


bermula dengan perubahan pucuk kepimpinan negara dari Tunku Abdul Rahman kepada
Tun Abdul Razak. Di samping itu, ia turut menyaksikan pengukuhan dominasi Perikatan
dalam politik Malaysia apabila keahlian bertambah kepada 9 parti yang terdiri daripada
UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PAS, PPP, SUPP, Perikatan Sarawak dan Perikatan
Sabah28. Gabungan parti-parti ini telah membawa kepada terdaftarnya Barisan Nasional
pada 1 Jun 1974, kira-kira 80 hari sebelum pilihan raya 1974 diadakan. Ia sekali lagi
membuktikan kemampuan Perikatan dalam berkompromi antara parti-parti yang
mewakili kaum yang berbeza di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Justeru itu,
apabila parlimen dibubarkan pada Julai 1974, Barisan Nasional unggul dengan 119 wakil
berbanding 25 wakil pembangkang29.

26
N.J. Funston, Malay politics in Malaysia: A study of the United Malays National Organisation
and Party Islam, Heinemann Educational Books LTD, Kuala Lumpur, 1980, hlm. 209.
27
Lee Kam Hing and Heng Pek Koon, The chinese in the Malaysian political system, di dalam The
Chinese in Malaysia, Lee Kam Hing and Tan Chee Beng (ed.), hlm. 208.
28
N.J. Funston, Malay politics in Malaysia: A study of the United Malays National Organisation
and Party Islam, hlm. 234.
29
Diane K. Mauzy, Barisan Nasional: Coalition government in Malaysia, hlm 94.
9

Penstrukturan semula Perikatan telah membolehkannya menang selesa dalam


pilihan raya 1974 dengan memanangi 135 daripda 154 kerusi parlimen dengan 47 kerusi
dimenangi tanpa bertanding. Dalam pilihan raya 1974, hampir semua parti pembangkang
telah terhapus. Selain DAP, hanya Parti Kebangsaan Sarawak ( SNAP ) yang mampu
memberi sedikit saingan kepada Barisan Nasional. SNAP berjaya memenangi 9 kerusi
parlimen.. Manakala PEKEMAS, parti serpihan Gerakan pula hanya berjaya memenangi
satu kerusi menerusi Pengerusinya Dr. Tan Chee Khoon.

Senario politik di Malaysia pada awal kemerdekaan jelas menampakkan kekuatan


pakatan dalam Perikatan dan membolehkan parti itu terus menerajui negara walaupun
cuba diberi saingan oleh pakatan pembangkang seperti Sosialis Front dan pakatan PPP-
DAP-Gerakan. Namun begitu, kelemahan pakatan pembangkang khususnya dari segi
penetapan matlamat pakatan, kesanggupan untuk mengorbankan prinsip perjuangan
masing-masing dan mengenepikan kepentingan peribadi mengagalkan pakatan-pakatan
yang wujud. Oleh yang demikian, selepas pilihan raya 1969, tidak wujud sebarang
pakatan antara parti pembangkang dan ia membolehkan Barisan Nasional memperolehi
kemenangan selesa dalam beberapa siri pilihan raya dalam tempoh 1974-1986. Di mana,
dalam pilihan raya 1974, Barisan meneruskan penguasaan dengan mengaut 60.7% undi
bagi parlimen dan 57.2% bagi tahun 1978, 60.5% dan 57.6% undi bagi pilihan raya 1982
dan 198630.

Kemunculan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah

Selepas menyepi selama 21 tahun, muncul satu lagi pakatan baru antara parti-parti
pembangkang dalam politik Malaysia. Pakatan ini dilihat mempunyai daya saing yang
lebih kental berbanding dengan pakatan awal sebelum ini. Ia melibatkan parti-parti bukan
30
The Star, 25 April, 1995.
10

Melayu, Melayu sekular dan parti Melayu yang berlandaskan agama. Malahan pakatan ini
turut melibatkan parti pembangkang dari Sabah, Parti Bersatu Sabah ( PBS ) yang telah
menarik diri daripada Perikatan Sabah pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya 1990.

Keunikan pakatan kali ini terserlah dengan kewujudan dua perikatan yang berbeza
tetapi saling melengkapi dan mempunyai matlamat yang sama iaitu menewaskan Barisan
Nasional dan mengambil alih pucuk kepimpinan negara. Di mana pemuafakatan parti
pembangkang kali ini telah membawa terbentuknya Gagasan Rakyat yang terdiri daripada
parti Semangat 46, DAP, PRM, PBS dan AMIPF31. Manakala Angkatan Perpaduan
Ummah ( APU ) pula merupakan gabungan parti Semangat 46, PAS, BERJASA dan
HANIM dan mendapat sokongan orang Melayu di pantai timur dan utara Semenanjung32.

Kejayaan pakatan antara dua perikatan ini banyak bergantung kepada usaha
Tengku Razaleigh Hamzah yang telah berundur dari UMNO. Beliau telah menubuhkan
parti Semangat 46 pada 5 Jun 1989 bagi mencabar kepimpinan UMNO baru33. Kumpulan
serpihan ini tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat rakan seperjuangannya
apabila PAS telah menghulurkan salam persahabatan dengan parti Semangat 46 dan
seterusnya membentuk APU yang turut dianggotai oleh dua parti agama, HANIM dan
BERJASA. Perikatan ini dilihat mempunyai peluang yang cerah bagi mengugat
kekuasaan Barisan Nasional di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Perlis,
Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor34.

Menyedari perlunya kerjasama bagi menjamin kemenangan pembangkang,


Semanagat 46 telah membina jambatan penghubung antara parti pembangkang bukan
Melayu dengan parti pembangkang Melayu. Justeru itu, Gagasan Rakyat dibentuk dan
mendapat sambutan baik dari parti DAP, AMIPF, PRM dan PBS. Kewujudan gagasan ini
31
Zakry Abadi, Analisis Pilihan Raya Umum 1990, MYZ Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1990
hlm.31.
32
Edmund Terence Gomez, The 1995 Malaysian General Election, Institute of Southeast Asian
Studies, Singapura, hlm.4.
33
Ahmad Atory Hussain, Dimensi politik melayu 1980-1990: Antara kepentingan dan wawasan
bangsa, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, hlm. 193.
34
Utusan Malaysia, 3 Februari, 1989.
11

diharap dapat memenangi pilihan raya di kawasan majoriti bukan Melayu khususnya di
Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka. Perhitungan ini dilihat
mempunyai asas yang kukuh sekiranya prestasi parti pembangkang bukan Melayu
diambil kira. DAP misalnya mendapat 24 buah kerusi parlimen dan 37 buah kerusi
undangan negeri dalam pilihan raya umum 1986. Pencapaiannya yang
memberangsangkan itu didorong oleh sokongan kira-kira 968,009 pengundi Cina, yang
merangkumi separuh daripada kira-kira 2,107,000 pengundi Cina seluruh negara35.
Kejayaannya ini jauh lebih baik berbanding dengan pencapaian MCA, Gerakan mahupun
MIC.

Walaupun Gagasan Rakyat dan APU merupakan dua perikatan yang berbeza tetapi
wujudnya kerjasama antara kedua-duanya untuk menghadapi pilihan raya 1990. Ia
terbukti pada hari penamaan calon pada 11 Oktober 1990, di mana hampir semua
kawasan pilihan raya dipertandingkan secara satu lawan satu antara calon Barisan
Nasional dan calon salah satu parti yang mewakili Gagasan Rakyat ataupun APU36.

Satu persoalan yang berlegar-legar pada ketika itu ialah apakah dua ‘perikatan
politik’ yang diterajui oleh Semangat 46 itu berkemungkinan menjadi bibit bagi
terbentuknya sistem dua perti dan menjadi alternatif yang wajar dalam suasana politik
negara ini37. Persoalan ini dan hakikat kerjasama yang terbentuk antara parti
pembangkang menjadikan pilihan raya 1990 yang paling menarik, ghairah,
dipertandingkan dan sukar diramalkan hasilnya.

Pencapaian Gagasan rakyat dan APU Dalam Pilihan Raya Umum 1990

Pilihan raya umum 1990 merupakan yang pertama selepas perpecahan UMNO yang
membawa kepada kewujudan dua puak dalam UMNO dan seterusnya pengharaman parti

35
Zakry Abadi, Analisis Pilihan Raya Umum 1990, hlm.31.
36
Fokus Pilihan Raya Umum 1990, Dewan Masyarakat, Jilid 25, Bil.11, November, Dewan
Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 1990, hlm.26.
37
Ibid.
12

itu. Terdapat tiga isu utama yang dianggap relevan dan kritikal dibincangkan di dalam
kempen pilihan raya yang ke-8 ini38. Pertama pertentangan antara kerajaan BN dengan
institusi istana. Kedua krisis dalam UMNO dan ketiga pertentangan kepimpinan UMNO
dangan institusi kehakiman yang membawa kepada penyingkiran Ketua Hakim Negara
ketika itu.

Pembahagian kerusi telah dilakukan oleh pakatan pembangkang yang bertanding


mengikut keupayaan sendiri di samping kesepakatan berkempen telah menampakkan
hasilnya. Pakatan pembangkang berjaya memenangi 49 kerusi parlimen, di mana DAP
mendapat 20 kerusi, PBS 14 kerusi, Semangat 46 pula 8 kerusi dan diikuti PAS yang
menawan 7. Pakatan ini telah meraih 47% undi popular bagi kerusi parlimen yang
dipertandingkan. Ia menampakkan peningkatan sebanyak 20 kerusi berbanding 29 kerusi
yang diperolehi oleh pembangkang dalam pilihan raya umum 1986. Pencapaian pakatan
pembangkang 1990 bagi peringkat DUN tidak kurang hebatnya apabila gabungan APU
berjaya menawan Kelantan apabila PAS mendapat 24 kerusi dan Semangat 46 pula
mendapat 14 kerusi di negeri itu. Di samping itu, PAS mendapat 8 kerusi di Terengganu,
satu di Kedah dan Semangat 46 pula menambah dua kerusi di Terengganu, dan masing-
masing satu di Pahang, Selangor dan Johor. Pencapaian PAS dan Semangat 46 turut
dikongsi oleh DAP yang mempunyai perwakilan yang teramai dalam DUN iaitu 45 orang.
DAP berjaya menempatkan wakilnya di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali
di Perlis, Kelantan dan Terengganu yang tidak ditandingi oleh parti itu39. Manakala di
Sabah pula, PBS pimpinan Pairin berjaya membuktikan kekuatan parti itu walaupun tidak
lagi berada di dalam Perikatan Sabah dengan memenangi 14 kerusi parlimen.

Secara keseluruhannya DAP, PAS, PBS mahupun Semangat 46 mendapat hasil


yang boleh dibanggakan menerusi pakatan pembangkang kali ini. DAP misalnya

38
Makmor Tumin, Antara pilihan raya umum 1990 dan !999, Dewan Masyarakat, Jilid 38, Bil. 02,
Februari, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2000, hlm. 21.
39
Menjelang pilihan raya umum: Ukur baju di badan sendiri, Massa, Oktober, Utusan Melayu
Berhad, Kuala Lumpur, 1999, hlm.20.
13

walaupun kehilangan 4 kerusi parlimen dalam pilihan raya kali ini tetapi pencapaiannya
di peringkat DUN jauh lebih baik berbanding pilihan raya 1986. Ia berjaya mendapat 45
kerusi DUN, penambahan 7 kerusi berbanding pilihan raya 1986. Manakala PAS pula
lebih cemerlang apabila berjaya mencatatkan penambahan 6 kerusi parlimen serta 18
DUN . Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh yang bertanding buat kali pertama
turut tidak mengecewakan apabila ia mendapat 14.9% undi daripada 152 kerusi DUN
dan 15.06% daripada 61 kerusi parlimen yang ditandinginya 40.Oleh yang demikian,
walaupun pakatan ini gagal menundukkan BN tetapi ia telah menjadi titik penolak kepada
kemunculan semula pakatan parti pembangkang dalam politik Malaysia dan kata pepatah
“ Bersatu Teguh Bercerai Roboh”.

Bibit Kehancuran Gagasan Rakyat

Kegagalan Perikatan Gagasan Rakyat dan APU mengambil alih pucuk kepimpinan negara
membawa kepada lunturnya kerjasama di kalangan parti pembangkang. Di mana
kerjasama yang wujud di kalangan parti-parti pembangkang dalam pilihan raya 1995
amat terhad dan tidak seakrab tahun 1990. Bibit kehancuran pakatan pembangkang
bermula apabila DAP bertindak meninggalkan pakatan Gagasan Rakyat lantaran daripada
tindakan PAS memperkenalkan Hukum Hudud di Kelantan41. Walaupun tidak mempunyai
sebarang ikatan rasmi antara kedua-dua parti ini, tetapi kerjasama yang erat antara DAP
dan Semangat 46 yang menyokong secara tidak langsung Hukum Hudud di Kelantan jelas
menimbulkan kerisauan di kalangan pemimpin serta penyokong DAP. Pada masa yang
sama, krisis dalaman turut melanda DAP sepanjang tahun 1994 dan ia jelas di Perak dan
Negeri Sembilan. Di Perak misalnya, percakaran di dalam parti telah menyaksikan
pengunduran Lau Dak Kee, ahli Parlimen Ipoh dan perletakkan jawatan P. Patoo selaku
Pengerusi negeri Perak42. Manakala di Negeri Sembilan pula, Hu Sepang, seorang
pemimpin yang disegani dan bekas ahli parlimen telah meletakan jawatan dari parti43.
40
Hassan Mohd. Noor, Menjelang pilihan raya umum: Undi BN merosot?, Massa, Ogos, Utusan
Melayu Berhad, Kuala Lumpur, 1999, hlm.20.
41
Edmund Terence Gomez, The 1995 Malaysian General Election, hlm.5.
42
Ibid.
43
Ibid.
14

Masalah dalaman DAP semakin jelas, selepas penamaan calonnya dibuat pada 1995 dan
telah menyaksikan perletakkan jawatan 30 ahlinya. Pada masa yang sama, AMIPF pula
telah memohon untuk menyertai Barisan Nasional manakala PBS pula telah mencuba
nasibnya di Semenanjung dengan bertanding di sembilan kerusi iaitu tujuh di Pulau
Pinang dan masing-masing satu di Johor dan Kedah.

Masalah juga tercetus di dalam APU di mana segelintir pemimpin Semangat 46


berpendapat, wakil-wakil mereka tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan bebas
kerana terpaksa mengikut jari telunjuk PAS. Fenomena ini membawa kepada wujudnya
ketidaksefahaman antara Semangat 46 dan PAS dalam soal membuat keputusan dan
perundingan menjalankan pentadbiran di Kelantan44.

Keadaan parti-parti pembangkang yang berada dalam keadaan yang huru-hara dan
tidak sepakat mengakibatkan pakatan yang wujud tidak semantap 1990. Ia jelas apabila
parti-parti pembangkang telah menyediakan manifesto secara berasingan. PAS misalnya
bertemakan “ Membangun Bersama Islam “ telah menjanjikan empat belas perkara yang
meliputi isu kepimpinan Islam, pendidikan, dasar ekonomi, suasana politk yang sihat,
dasar kebudayaan, berakhlak mulia, sihat, lasak dan berdisiplin45. Sebaliknya Manifesto
20 perkara Semangat 46 pula merangkumi bidang politik, sosial, ekonomi, Islam dan
dasar luar46. Parti Rakyat Malaysia turut mengemukakan Manifesto 12 perkara yang
menyentuh aspek hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar, Sistem Saran Baru dan
pampasan kepada para peneroka. DAP pula lebih agresif dengan temanya “Kuatkan DAP
demi Kebebasan Sejati dan Cegah Pemerintahan Satu Parti di Malaysia”.

Kegagalan dalam mencapai kesepakatan dan manifesto perjuangan antara parti-


parti pembangkang jelas mengecewakan para pengundi yang berharapkan satu pakatan

44
Utusan Malaysia, 26 Mac, 1994.
45
Ahmad Fawzi Mohd. Basri, Pilihan Raya Umum 1995: Mandat baru menjelang 2000, Dewan
Masyarakat, Mei, Jilid 33, Bil.05, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.10.
46
Ibid.
15

yang mampu menyaingi Barisan Nasional dan memberi tekanan kepada kerajaan Barisan
Nasional agar menjadi lebih telus dan bertanggungjawab.

Pilihan Raya 1995

Pilihan raya umum 1995 telah dilangsungkan pada 25 April 1995 dan ia telah
menyaksikan perubahan dalam pemikiran rakyat dan langkah kerajaan dalam
memperkenalkan program liberalisasi ternyata berkesan dalam menawan hati para
pengundi. Isu-isu agama, pendidikan, bahasa dan budaya dianggap sebagai isu lapuk dan
gagal menarik perhatian sebilangan besar pengundi. Rakyat Malaysia dilihat semakin
matang pemikirannya dan telah bertindak dengan rasional apabila menjadikan aspek
pembangunan dan kestabilan sebagai kriteria utama dalam memilih pucuk kepimpinan
negara.

Dalam pilihan raya umum 1995, penguasaan Barisan Nasional meningkat semula
dengan menguasai 65.15% atau 3,894,877 undi di peringkat parlimen manakala di
peringkat undangan negeri pula, Barisan Nasional cemerlang dengan 3,206,610 undi atau
66.98% undi47. Barisan Nasional ternyata mencapai kejayaan yang terbaik dalam sejarah
parti itu dengan memenangi 162 daripada 192 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Manakala prestasi parti pembangkang ternyata merosot akibat daripada perubahan sikap
pengundi dan berlakunya peralihan undi dari pembangkang ke Barisan Nasional.

Parti-parti pembangkang kehilangan 19 daripada kerusi parlimen yang


dimenanginya dalam pilihan raya 1990 dengan hanya memdapat 30 kerusi kali ini. DAP
mengetuai senarai parti pembangkang dengan mendapat 9 kerusi parlimen dengan
722,176 undi yang meliputi 12.06% undi. Ia kemudian diikuti PBS dengan 8 kerusi
parlimen dengan penguasaan 198,596 atau 3.31 undi. PAS dan Semangat 46 pula masing-
masing dengan 7 dan 6 kerusi dengan pemerolehan sebanyak 437,023 ( 7.31% ) dan

47
Laporan Pilihan Raya Umum Malaysia 1995,http://www.spr.gov.my/laporan/1995/b_1995.html.
(atas talian ) (20/2/2003 ).
16

609,644 ( 10.20% ) undi48. Secara keseluruhannya, semua parti pembangkang mengalami


kemerosotan kerusi di peringkat parlimen dan hanya PAS sahaja yang berjaya
menampakkan sedikit peningkatan di peringkat undangan dengan dengan menambah
bilangan kerusinya daripada 32 kerusi kepada 33 kerusi. Manakala DAP pula mengalami
kekalahan yang paling teruk apabila kehilangan 34 kerusi undangan negerinya lantaran
daripada kesilapan strateginya di Pulau Pinang.

Dalam mengulas kekalahan kali ini, parti-parti pembangkang mengemukakan dua


faktor utama iaitu faktor dalaman dan luaran. Dalam faktor dalaman, PRM mengakui
bahawa kekalahan parti itu ialah kerana kemiskinan dari segi kewangan, jentera pilihan
raya serta keadaan pihak pembangkang yang tidak bersatu. Manakala faktor luaran pula,
peranan media dilihat memainkan peranan penting.

Kekecewaan pembangkang terhadap peranan media massa dalam politik negara


telah diluahkan oleh Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan
bahawa:
Media massa tidak memberikan liputan yang adil kepada pembangkang dan ia
menghalang mereka memberi penerangan kepada rakyat hingga akar umbi
berhubung dengan manifesto parti49.

Penguasaan media massa oleh Barisan Nasional membolehkan parti itu memperolehi
undi-undi dari pengundi ‘ atas pagar ’ yang tidak mempunyai kepentingan politik.
Golongan ini dilihat hanya membuat keputusan pada saat-saat akhir berdasarkan suasana
yang diwujudkan oleh parti-parti politik yang bertanding50.

Pilihan Raya 1999

48
Laporan Pilihan Raya Umum Malaysia 1995,http://www.spr.gov.my/laporan/1995/b_1995.html.
(atas talian ) (20/2/2003 ).
49
Utusan Malaysia, 29 April 1995.
50
Sun, 30 April 1995.
17

Pilihan raya umum 1999 merupakan pilihan raya yang terakhir pada abad ke-20. Ia
merupakan pilihan raya yang ke-10 dan telah menyaksikan persaingan yang sengit antara
Barisan Nasional dengan Barisan Alternatif ( BA ) yang menggabungkan DAP, PAS, Parti
keADILan dan PRM. Barisan ini telah berjaya bekerjasama dan berorganisasi dengan
teratur sekali terutamanya dalam membuat penggabungan, menganjurkan ceramah
bersama dan melancarkan manifesto bersama. Malahan pembahagian kerusi tandingan
turut berjalan lancar tanpa tercetusnya pertelingkahan yang serius antara parti
pembangkang. Walaupun BN sekali lagi membuktikan ianya masih lagi ‘relevan’ dengan
memenangi 148 daripada 193 kerusi parlimen yang dipertandingkan tetapi jumlah undi
yang diperolehi BN jelas merosot51.

Barisan Nasional hanya memperolehi 56.7% undi popular dan mencatatkan


kejatuhan sebanyak 9.4% ( 65.1% ) berbanding pilihanraya 1995. Manakala parti
pembangkang yang hanya mendapat 45 kerusi parlimen dilihat semakin meningkat dari
segi pemerolehan undi dan menguasai 43% daripada undi popular. PAS muncul sebagai
parti pembangkang yang terkuat dengan memenangi 28 kerusi parlimen dan 98 kerusi
negeri dengan menawan Terengganu di samping mengekalkan kekuasaannya di Kelantan.
Manakala di negeri Kedah dan Pahang pula, PAS turut berjaya meletakkan asas yang
kukuh apabila ia menawan 18 kerusi undangan negeri di negeri-negeri berkenaan. DAP
menyusuri dengan mendapat 10 kerusi parlimen dan 11 kerusi undangan negeri dengan
meneruskan sisa-sisa perjuangannnya di Melaka dan Perak yang menempatkan 8 daripada
11 kerusi undangannya. KeADILan pula memperolehi 5 kerusi parlimen dan 4 kerusi
negeri yang boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah
parti baru yang bertanding buat pertama kalinya. Parti Bersatu Sabah ( PBS ) yang
bertanding bersendirian di Sabah setakat mendapat 3 daripada 20 kerusi parlimen di
Sabah. Secara kasar BA yang menggabungkan PAS, DAP, KeADILan dan PRM boleh
dianggap berjaya sekiranya dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1995. Di mana
dalam pilihan raya kali ini, BA telah menawan 42 kerusi parlimen dan 113 kerusi

51
Abd. Jalil Ali, Iktibar di sebalik kejayaan Barisan Nasional pada pilihan raya 1999, Dewan
Masyarakat, Jilid 38, Bil 01, Januari, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2000, hlm.4.
18

undangan negeri berbanding hanya 30 kerusi parlimen dan 56 kerusi undangan negeri
pada pilihan raya 1995.

Pilihan raya 1995 jelas meninggalkan impak yang amat mendalam kepada DAP. Ia
seolah-olah menjadi detik penamat kepada kesinambungan parti itu. Walaupun DAP
mampu menebus kekalahan teruk pada 1982 dengan mencapai prestasi yang cemerlang
pada 1986 dan 1990 tetapi fenomena itu tidak berulang dalam pilihan raya 1999. DAP
seolah-olah telah kehilangan ‘ daya penariknya’ dan hanya mampu memenangi 10 kerusi
parlimen dengan mencatat pertambahan satu kerusi berbanding pilihan raya 1995. Situasi
yang hampir sama berlaku di peringkat undangan negeri apabila DAP hanya berupaya
untuk memenangi 11 kerusi. Senario ini telah membuktikan Teori Pendulum atau
Ayunan tidak lagi sesuai digunakan untuk menilai arah sokongan dan pengundian
masyarakat Cina yang pada kebiasaannya memberikan undi mereka kepada BN dan
pembangkang selang setiap lima tahun52.

DAP yang menaruh harapan untuk menafikan majoriti 2/3 BN terpaksa menelan
ubat yang cukup pahit apabila tiga tonggak utamanya tersungkur dalam pilihan raya kali
ini. Dr. Chen Man Hin tumpas di Parlimen Rasah dan kerusi Undangan Negeri Temiang,
Negeri Sembilan53. Ekoran daripada kekalahan ini, Dr. Chen telah bernekad untuk
melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP. Lim Kit Siang juga menghampiri
penghujung karier politiknya apabila tewas mengejut di Parlimen Bukit Bendera dan
Undangan Negeri Kebun Bunga54. Karpal Singh, Naib Pengerusi DAP turut mengalami
nasib yang sama di kerusi tradisinya di Jelutong dan kerusi Undangan Negeri Kampung
Keramat.

Dalam pilihan raya 1999, angin reformasi dan desakan ke arah perubahan begitu
dirasai di seluruh negara. Namun begitu, BN tetap gagah dengan memperolehi 56.7%

52
Hasllina Hassan, Pilihan raya ke-10: Mandat baru untuk Barisan Nasional, Dewan Masyarakat,
Jilid 38, Bil 01, Januari, Dewan Bahasa Pustaka, hlm.12.
53
Ibid, hlm 12.
54
Ibid..
19

undi popular dengan menguasai 148 daripada 193 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Dalam pilihan raya kesepuluh ini, isu-isu pemecatan dan perlucutan jawatan Dato’ Seri
Anwar Ibrahim dan kegawatan ekonomi negara tidak mampu menjadi faktor dominan
dalam pemerolehan undi parti-parti pembangkang. Namun demikian, kebangkitan PAS
khususnya di negeri-negeri utara seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu
merupakan amaran awal yang wajar diberi perhatian oleh UMNO dan BN.

Fenomena pengundi Melayu yang beralih kepada parti pembangkang jelas apabila
UMNO yang memenangi 88 kerusi parlimen dalam tahun 1995 hanya mampu
mempertahankan 72 kerusi pada pilihan raya kali ini. Situasi UMNO bertambah genting,
apabila ia gagal menawan semula Kelantan dan terpaksa pula menyerahkan Terengganu
kepada PAS. Walaupun berjaya mencapai kejayaan cemerlang di Johor yang dianggap
sebagai jantung hati UMNO tetapi kekalahan ramai ahli Majlis Tertingginya ( MT ),
menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen merupakan petanda kemerosotan
pengaruh parti Melayu itu.

Siri kekecewaan UMNO bermula dengan kekalahan, Menteri Besar Terengganu,


Tan Sri Wan Mokhtar ( DUN Cukai ), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob ( Parlimen Parit ), Menteri Pembangunan
Luar Bandar, Datuk Annuar Musa ( Parlimen Peruingat ), Menteri Kewangan Kedua,
Datuk Mustapa Mohamed ( Parlimen Jeli ), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Paduka Dr. Abdul Hamid Othman ( Parlimen Sik ) dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk
Yusof Nor ( Parlimen Besut ).

Malahan kejutan juga hampir-hampir berlaku apabila Datuk Seri Najib hanya
menang dengan majoriti 241 undi sahaja. Lantaran itu, sudah tiba masanya bagi pucuk
kepimpinan UMNO merenung kembali prestasinya dalam pilihan raya kali ini dan
seterusnya menyusun langkah bagi menghadapi pilihan raya ke-11. Tempoh lima tahun
bukanlah satu tempoh yang lama, di mana PAS yang telah menawan Kelantan dan
Terengganu sudah pasti akan terus mengukuhkan kekuasaannya di kedua-dua negeri
20

tersebut. Pada masa yang sama, ia turut meluahkan keyakinannya untuk menawan Kedah,
Perlis malahan Selangor. Justeru itu, PAS sudah tentu tidak akan memberi laluan mudah
kepada UMNO dan ia dijangka akan terus memberi tekanan kepada UMNO dan juga
Barisan Nasional.

Walaupun prestasi UMNO kurang memberangsangkan namun begitu ia bernasib


baik apabila peralihan angin pengundi Melayu dapat diimbangi oleh pola pengundian
masyarakat Cina yang memihak kepadanya. Para pengundi dilihat tidak lagi menaruh
kepercayaan terhadap DAP dalam memperjuangkan nasib mereka. MCA mulai mendapat
semula kepercayaan para pengundi Cina memandangkan kemampuaannya dalam
membawa serta melaksanakan pembangunan yang dilihat mampu membawa kemakmuran
kepada komuniti itu.

Cabaran Dan Hala Tuju Pakatan Pembangkang

Perkongsian politik bukanlah satu perkara yang mudah dan ia melibatkan pelbagai aspek
seperti permuafakatan, toleransi dan semangat kekitaan bagi memastikan pakatan yang
terbentuk itu benar-benar utuh. Menyedari hakikat ini, parti-parti pembangkang telah
menjadikan Barisan Nasional yang terdiri daripada 13 komponen sebagai modelnya.
Namun begitu, pakatan pembangkang ternyata kekurangan formula perpaduan bagi
memastikan pakatan antara mereka mampu bertahan dan mencapai objektifnya.

Pelbagai cabaran yang muncul dilihat melemahkan pakatan-pakatan pembangkang


dan seterusnya ia ‘berkubur’ begitu sahaja. Pakatan Sosialist Front ( 1959-1964 ), PPP-
DAP-GERAKAN ( 1969 ), Gagasan Rakyat - APU ( 1990 ) dan Barisan Alternatif
( 1999 ) merupakan bukti kegagalan silam pakatan pembangkang. Dalam memperkatakan
kegagalan itu, faktor ideologi dilihat sebagai cabaran terbesar yang sering membelenggu
kerjasama antara parti-parti pembangkang. PAS memperjuangkan negara Islam dan
hukum hudud manakala DAP pula berpegang teguh pada dasar ‘Malaysian-Malaysia’.
Parti Semangat 46 pula muncul dalam pilihan raya 1990 dan 1995 cenderung
memperjuangkan kepentingan Melayu manakala PRM pula lebih tertumpu kepada
21

masyarakat kelas pertengahan di kawasan bandar. Parti KeADILan merupakan parti


pembangkang terbaru dan terus menyumbang kepada kekaburan matlamat serta ideologi
perjuangan pakatan pembangkang. Ia dilihat sebagai satu parti cetusan perasaan tidak
puashati penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lantaran itu, perjuangan parti
itu hanya menumpukan perjuangan untuk meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana
Menteri55.

Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah hendak mencari persamaan


kepentingan di antara parti-parti pembangkang? Mereka dilihat seolah-olah ‘tidur sekatil
tetapi mimpinya lain-lain’. Ini menyebabkan parti-parti pembangkang sentiasa bersaing
antara satu sama lain untuk menunjukkan pengaruh serta kekuatan masing-masing dalam
usaha menentukan corak perjuangan pembangkang di Malaysia. Senario ini dapat dilihat
dalam pilihan raya 1999 apabila ahli-ahli Barisan Alternatif bersaing sesama sendiri
walaupun pakatan telah pun dibuat. Barisan Alternatif bertembung sesama sendiri di
kerusi Undangan Negeri Kuala Kurau yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru
anatara calon Barisan Nasional, PAS dan KeADILan. PAS dan KeADILan turut
bertelingkah di DUN Damak dan Batang Sadong di Sarawak56. Pada masa yang sama,
DAP dan KeADILan turut bertanding sesama sendiri di DUN Aulong, Taiping57.

Di beberapa kawasan yang lain, pertandingan tiga penjuru turut melibatkan


penyertaan parti-parti pembangkang bukan BA seperti Angkatan Keadilan Insan Malaysia
( AKIM ), Parti Reformis Sarawak ( STAR ) dan Parti Democratic Malaysia (MDP).
Kehadiran parti-parti serpihan ini jelas menunjukkan tiada kesepakatan yang kukuh di
kalangan parti-parti BA dan lain-lain parti untuk menjadi alternatif kepada gabungan
parti-parti komponen Barisan Nasional.

55
Pakatan pembangkang tempang, Massa, Jun, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur, Kuala
Lumpur, 1999, hlm. 17.
56
Hassan Mohd. Noor, Pilihan Raya paling sengit, Massa, November, Utusan Melayu Berhad,
Kuala Lumpur, 1999, hlm.14.
57
Ibid.
22

Satu lagi cabaran kepada pakatan parti pembangkang ialah wujudnya parti yang
bermusim. Ia akan menonjolkan dirinya ketika pilihan raya dan lenyap selepas itu.
Keadaan yang tidak konsisten ini menghalang kepada usaha ke arah mewujudkan satu
pakatan yang kuat. Antara parti-parti pembangkang yang pernah mewarnai arena politik
negara dan telah tidak aktif lagi adalah seperti Parti Malaya dan Parti Tindakan Rakyat
pada pilihan raya 1964 dan Parti Keadilan Masyarakat ( PEKEMAS ), Kesatuan Insaf
Tanah Air ( KITA ) dan Parti Bebas Progresif Rakyat ( IPPP) dalam pilihan raya 1974.
Selain itu, terdapat juga parti-parti pembangkang yang gagal mempertahankan matlamat
perjuangannya lalu mengubah hala tujuannya. Parti PPP , GERAKAN dan IPF
merupakan contoh yang terbaik apabila parti-parti ini yang diasaskan sebagai parti
pembangkang ahkirnya beralah dan menyertai parti pemerintah selaku parti minoriti.
Senario yang hampir sama turut melibatkan parti Semangat 46 dan PBS yang
menyaksikan kedua-dua parti ini berada dalam persimpangan apabila menyertai puak
pembangkang dan akhirnya kembali ke Barisan Nasional. Fenomena cepat mengalah dan
tidak tahan dugaan menjadi pakatan pembangkang di Malaysia gagal membentuk barisan
pembangkang yang kuat seperti di Amerika Syarikat mahupun Britain dan seterusnya
gagal menyaingi Barisan Nasional.

Masa depan pakatan pembangkang pada hari ini berada di dalam dilema bak
pepatah ‘ hidup segan mati tidak mahu ’. Perasaan ego dan kepartian yang menebal
menyaksikan pakatan dalam BA kecundang apabila DAP bertindak keluar daripada BA
apabila menyifatkan pembentukkan negara Islam PAS ibarat ‘bom jangka’ 58. DAP
bertekad untuk tidak bekerjasama lagi dengan PAS dalam pilihan raya yang akan datang
dan telah menunjukkan kesungguhannya apabila pucuk kepimpinan parti itu
mengarahkan 19 wakilnya di Kelantan dan Terengganu melepaskan jawatan masing-
masing59. Sementara itu, hubungan DAP dengan KeADILan juga mengalami keretakan

58
G. Manimaran, Drama basi pakatan pembangkang, Massa, Januari, Utusan Melayu Berhad,
Kuala Lumpur, 2003, hlm.21.
59
Star, 22 November 2003.
23

semasa pilihan raya kecil DUN Lunas pada penghujung 2000 akibat daripada
pertelingkahan kedua-dua parti itu dalam penentuan calon bagi kawasan Lunas, Kedah60.

Hubungan antara parti pembangkang dalam BA turut dibayangi oleh kewujudan


dokumen sulit yang didakwa milik PAS negeri Pahang yang dikatakan cuba mengkhianati
rakan mereka dalam BA. Pendedahan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob
tentang dokumen Ops 3P milik Pas memperlihatkan tipu muslihat PAS terhadap rakannya
dalam barisan pembangkang61. PAS didakwa tidak ikhlas dalam menyalin kerjasama
dengan DAP dan KeADILan dan kedua-duanya akan diketepikan sekiranya PAS berkuasa
kelak.

Walaupun telah berundur daripada BA, DAP dilihat cuba untuk membuat satu
pakatan baru dengan parti keADILan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-11.
Beberapa siri rundingan telah diadakan di antara kedua-dua pihak namun ia gagal
mencapai kata putus. DAP dan keADILan dikatakan bersaing di negeri-negeri seperti
Pulau Pinang, Perak dan Selangor apabila parti keADILan mengumumkan hasratnya
untuk bertanding kira-kira 60% kerusi di ketiga-tiga negeri itu. DAP ternyata kurang
senang dengan kenyataan parti keADILan itu yang dilihat seolah-olah
membelakangkannya.

Kemampuan untuk muncul dengan satu pakatan yang bernafas baru semakin tipis
apabila PAS bertindak mengumumkan ciri-ciri negara Islam parti itu menerusi dokumen
‘ Negara Islam’pada 12 November 2003. Tindakan PAS mendapat reaksi negatif rakan
BA, keADILan yang menyifatkan pengumuman dokumen itu tidak kena masanya dan
boleh memecah belahkan pakatan pembangkang62. Ini kerana istilah negara Islam itu
dikatakan akan terus menimbulkan salah faham dan ketakutan yang tidak perlu di
kalangan sesetengah pihak, terutamanya bukan Islam63.

60
Ibid.
61
Berita Harian, 5 Februari 2003.
62
Berita Harian, 13 November 2003.
63
Ibid.
24

Kesimpulan
Kewujudan sebuah negara majmuk di Malaysia telah membawa kepada konsep
perkongsian kuasa di kalangan parti-parti politik. Di mana di dalam senario politik
negara, tidak ada wujudnya rakan mahupun musuh selama-lamanya. Sebarang
kemungkinan bakal menjadi realiti sekiranya kehendak serta tuntutan masing-masing
dapat dicapai.

Pembentukan parti Perikatan yang bermula dengan 3 komponen sebelum menjadi


9 komponen menjelang pilihan raya 1974 dan kini utuh dengan 13 komponen yang
mewakili pelbagai kaum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak merupakan
contoh terbaik dalam perkongsian kuasa yang muhibah di Malaysia. Menyedari bahawa,
perlunya kerjasama antara pembangkang bagi menyaingi Barisan Nasional telah
membawa kepada pembentukan pajkatan-pakatan pembangkang dalam pilihan raya 1959,
1969, 1990 dan 1999. Namun begitu, pakatan-pakatan ini yang dilihat berbentuk catch-
all gagal berfungsi dengan berkesan. Walaupun dilihat mempunyai kekuatan untuk
bersaing seperti dalam pilihan raya 1969, 1990 dan 1999 tetapi ia gagal bertahan lama.
Pelbagai krisis dalaman yang tercetus dalam pakatan-pakatan itu akhirnya menyaksikan
parti-parti pakatan membawa arah tuju masing-masing. Selepas itu, wujudnya pula satu
pakatan baru menjelang pilihan raya yang akan tiba. Fenomena ini jelas menunjukkan
ketidak matangan pakatan pembangkang dan mencerminkan satu situasi yang dilihat
kurang bersedia untuk mengambil alih pucuk kepimpinan negara.

Bahang pilihan raya umum ke-11 semakin terasa, dan ia sekali lagi akan menjadi
penentu kepada survival dan kerjasama pembangkang samaada secara langsung atau tidak
langsung. Pelbagai strategi telah diatur oleh parti pembangkang. Barisan pembangkang
khususnya PAS akan menguji sejauhmanakah resipinya negara Islam dapat diterima oleh
para pengundi Islam manakala parti keADILan pula bertaut pada penyatuannya dengan
PRM yang dijangka mampu mendapat sokongan daripada golongan pengundi fahaman
sekular. DAP pula yang seolah-olah telah kehabisan modal politiknya akan terus
memainkan sentimen perkauman dan bergantung pengundi Cina dengan memberi
25

penekanan kepada pembentukan negara Islam ala UMNO mahupun PAS di samping masa
depan pendidikan Cina.

Justeru itu, plihan raya ke-11 ini bakal menjadi kayu pengukur kepada sejauh
manakah parti-parti pembangkang mampu berkompromi demi untuk memberi saingan
yang lebih bermakna kepada Barisan Nasional yang telah sekian lama memegang pucuk
kepimpinan negara. Walaupun gabungan pakatan pembangkang pada ketika ini berada
dalam keadaan yang lesu tetapi ia bukanlah faktor penghalang kepada terbentuknya satu
gabungan yang lebih mantap menjelang pilihan raya yang bakal tiba nanti.

You might also like