You are on page 1of 12

BAB 1 ASAS PERUNDINGAN

OBJEKTIF BAB Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menghuraikan konsep perundingan. 2. Menjelaskan konsep perundingan dan tawar-menawar. 3. Membincangkan ciri-ciri situasi perundingan dan tawarmenawar. 4. Membincangkan aspek peralihan masalah kepada peluang perundingan. 5. Menjelaskan peranan perundingan. 1.1 PENGENALAN

Di dalam kehidupan, kita sering berunding atau menjalankan perundingan. Sama ada kita sedari ataupun tidak, kehidupan seharian menuntut kita untuk sentiasa berunding. Ini bermakna perundingan adalah satu elemen penting di dalam segala aspek dan aktiviti kehidupan kita. Pada asasnya manusia akan terlibat dengan perundingan pada setiap masa dan di mana sahaja. Ia merupakan perkara asas dalam interaksi manusia. Contohnya perundingan dengan rakan sebaya, keluarga, organisasi dan negara. Di dalam dunia yang semakin mencabar, kepentingan perundingan menjadi semakin besar. Namun begitu berapa ramaikah di kalangan kita yang menyedari bahawa mereka memerlukan pengetahuan di dalam bidang ini? Apa yang jelas, kita selalu membuat andaian yang salah di mana kita mengandaikan bahawa kemahiran tersebut boleh muncul sendiri dalam diri kita. Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut mengenai isu perundingan ini, kita perlu maklum bahawa perundingan adalah satu istilah yang mencakupi suatu bentuk aktiviti yang sangat luas. Terdapat pelbagai perspektif yang boleh digunakan untuk memahami aspek yang berbeza di dalam perundingan. Antaranya teori dan kajian daripada bidang sains politik, hubungan buruh, komunikasi, sosiologi, antropologi, ekonomi dan psikologi. Disebabkan kita menjalankan perundingan dalam banyak perkara, adalah penting untuk kita memahami asas kepada perundingan.
1

Terdapat beberapa persoalan yang boleh kita gunakan dalam mengenal pasti apakah itu perundingan dan apakah proses perundingan. Antaranya adalah bila kita dikatakan berunding?; dengan siapa kita sepatutnya berunding? dan untuk apa kita berunding? Secara asasnya, perundingan akan berlaku apabila: (i) dua atau lebih pihak yang berkonflik atau menghadapi sesuatu masalah bersetuju untuk berunding dan merasakan ia merupakan kaedah terbaik bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku; dan dua atau lebih pihak yang perlu membuat keputusan mengenai matlamat dan objektif secara bersama bagi tujuan: untuk menyelesaikan masalah atau pertikaian serta konflik antara dua pihak. Jika wujudnya sesuatu konflik, maka penyelesaian kepada konflik tersebut perlu dijalankan. Di dalam situasi ini, perundingan merupakan kaedah yang paling sesuai untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkesan. untuk mewujudkan sesuatu perkara baru seperti perjanjian ataupun persetujuan. Keadaan ini berlaku kebiasannya disebabkan tidak terdapat kaedah atau prosedur yang jelas untuk membuat keputusan. Oleh itu perundingan perlu dijalankan agar ia dapat memenuhi keperluan pihak-pihak yang terlibat dan mengenal pasti semua aspek yang perlu diberi perhatian oleh pihak tersebut.

(ii)

1.2

KONSEP PERUNDINGAN DAN TAWAR-MENAWAR

Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang konsep perundingan, kita perlu membezakannya dengan konsep tawar-menawar. Ini kerana pada kebiasaannya kedua-dua perkataan ini sering digunakan untuk maksud yang sama. Menurut Volkema (1999), perundingan sebenarnya dilihat sebagai satu konsep yang luas manakala tawarmenawar menggambarkan proses menentukan harga akhir barangan pembelian atau jualan. Contohnya tawar-menawar lebih kepada proses mendapatkan harga yang sesuai manakala perundingan lebih kepada proses formal yang berlaku apabila beberapa pihak cuba mencari persetujuan tertentu. Perundingan atau di dalam bahasa Inggerisnya negotiation berasal daripada perkataan Latin iaitu negotium, yang merupakan cantuman dua perkataan iaitu neg (tidak) dan otium (kesenangan atau kelapangan). Ini menunjukkan perkataan perundingan pada asalnya membawa maksud
2

sesuatu yang bukan merupakan kesenangan (not leisure). Perkara ini dilihat menepati konsep perundingan kini di mana ia memerlukan satu proses, satu turutan dan satu prosedur yang sesuai bagi membuahkan hasil seperti yang diingini. Sebaliknya jika perundingan dilakukan secara sambil lewa, hasil yang diingini sukar untuk dicapai. Ini menunjukkan bahawa perundingan bukanlah satu proses yang mudah tetapi memerlukan persediaan yang rapi dan tepat. Selain itu, ia juga bukan merupakan sesuatu aktiviti yang pasif. Ia merupakan satu bentuk komitmen dan prosedur yang memerlukan kita berhadapan dengan pihak lain secara aktif. Ini kerana ia merupakan satu usaha untuk mencapai penyelesaian. Pihak-pihak yang terlibat di dalam perundingan perlulah berusaha ke arah mendapatkan penyelesaian terbaik. Pada asasnya perundingan merupakan satu aspek atau aktiviti yang sangat meluas. Bagi Johnson (1993), perundingan adalah proses di mana individu atau kumpulan cuba mencapai matlamat melalui perjanjian dengan pihak lain. Proses ini biasanya mencakupi penawaran dan tuntutan konsesi. Namun begitu ia dapat berfungsi dengan lebih baik sekiranya ia menjadi kaedah untuk mendapatkan kepentingan bersama. Kehendak untuk berunding timbul apabila seseorang individu mendapati bahawa apa yang diingini atau diperlukan boleh didapati hanya dengan kos atau dalam situasi di mana ia perlu melalui pihak lain. Perundingan juga merupakan satu proses untuk menyelesaikan konflik yang biasanya berlaku secara bertukar-tukar konsesi. Thorn (1991) menyatakan bahawa perundingan adalah berkenaan dengan penyelesaian konflik antara dua pihak atau lebih yang biasanya melalui pertikaran konsesi. Dalam hal ini ia boleh berlaku secara kompetitif ataupun kooperatif (Konsep kompetitif dan kooperatif akan dibincangkan secara mendalam dalam Bab 2). Bagi Oliver (1996), perundingan adalah satu proses yang mana setiap pihak yang berunding mempunyai kuasa ke atas penyelesaian atau kesudahannya. Menurutnya perundingan adalah transaksi di mana keduadua pihak mempunyai kuasa veto terhadap keputusan akhir. Ia memerlukan persetujuan sukarela daripada kedua-dua pihak dan ia juga merupakan proses memberi dan menerima di mana keadaan sebenar transaksi dipersetujui. Umumnya, kita dapat melihat bahawa terdapat sedikit perbezaan konsep perundingan bagi aspek perbincangan yang berbeza. Kennedy (1987) menyatakan bahawa perundingan adalah proses penyelesaian konflik antara dua pihak atau lebih di mana kesemua pihak yang berunding menyesuaikan permintaan mereka untuk mencapai persetujuan yang dapat diterima oleh semua. Ini bermakna pihak-pihak yang terlibat akan
3

mengubahsuai tuntutan dan cuba bertolak ansur untuk mencapai matlamat bersama. Namun, Kennedy menyatakan bahawa di dalam dunia kesatuan sekerja perundingan dapat difahami sebagai proses menyesuaikan pandangan pihak-pihak yang terlibat tentang hasil ideal mereka kepada suatu hasil yang dapat diperolehi attainable outcome. Ini menunjukkan perundingan merupakan satu proses mengubah pandangan kedua-dua pihak terhadap tentang apa yang mereka inginkan (hasil ideal) kepada satu bentuk hasil yang boleh dicapai. Kesimpulannya dapat dikatakan bahawa perundingan merupakan satu proses yang melibatkan komunikasi (sama ada secara langsung atau tidak langsung) antara dua atau lebih pihak yang mempunyai konflik kepentingan untuk mencapai persetujuan. Dalam hal ini, cara terbaik bagi mendapatkan penyelesaian adalah dengan cara setiap pihak perlu cuba menyesuaikan tuntutan ataupun permintaan mereka dengan pihak yang lain yang terlibat dalam perundingan itu. 1.3 CIRI-CIRI SITUASI PERUNDINGAN DAN TAWARMENAWAR

Ciri-ciri perundingan boleh dibahagikan kepada beberapa aspek utama. Antaranya ialah dari segi ciri-ciri situasi, bentuk, konteks dan aspek kritikal perundingan. 1.3.1 Ciri-Ciri Situasi Perundingan atau Tawar-Menawar

Lewicki, saunders dan Minton (1999) menyatakan bahawa terdapat beberapa ciri utama perundingan dan tawar-menawar iaitu (i) (ii) (iii) Melibatkan dua pihak atau lebih (individu, kumpulan atau organisasi). Berlaku percanggahan matlamat antara dua pihak atau lebih dan mereka perlu mencari penyelesaian. Pihak yang terlibat berunding kerana mereka merasakan mereka boleh menggunakan suatu bentuk pengaruh bagi mendapatkan perjanjian yang baik berbanding jika mereka menerima apa sahaja yang ditawarkan tanpa berunding. Pihak-pihak yang terlibat memilih untuk membuat perjanjian bagi mencapai penyelesaian mencapai perjanjian. Jangkaan proses memberi dan menerima. Kita menjangkakan setiap pihak yang terlibat memberi atau mengubah sesuatu yang ditetapkan pada awalnya dan meminta sesuatu untuk faedah pihaknya atau pihak yang diwakili.
4

(iv) (v)

(vi)

Melibatkan pengurusan sesuatu yang tidak nyata atau intangible dan yang nyata atau tangible. Faktor intangible ialah faktor yang mendasari motivasi secara psikologi dan ia mempengaruhi pihak-pihak dalam perundingan. Faktor yang nyata atau tangible pula ialah seperti terma perjanjian.

1.3.2

Bentuk Perundingan

Perundingan juga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah seperti berikut: 1. Ia boleh melibatkan ramai orang atau hanya dua orang

Perundingan tidak boleh dianggap sebagai satu proses penyelesaian yang berlaku antara dua orang atau dua pihak sahaja. Ia mungkin melibat banyak pihak. Keadaan ini bergantung kepada konteks rundingan yang berlaku. 2. Ia mungkin menfokuskan satu masalah ringkas atau banyak isu yang kompleks

Perundingan biasanya menfokuskan pelbagai isu penting yang berlaku yang memerlukan penyelesaian secara bersama. 3. Ia mungkin ditamatkan dalam satu sesi atau berterusan sehingga beberapa sesi

Perundingan ialah satu proses untuk menyelesaikan atau mendapatkan persetujuan tentang sesuatu isu. Oleh yang demikian, jika sekiranya perkara tersebut tidak dapat dicapai dalam satu sesi, ia akan melibatkan beberapa sesi dan mengambil masa yang lama. 4. Ia mungkin berlaku secara formal atau tidak formal

Perundingan boleh berlaku secara formal dan juga tidak formal bergantung kepada jenis perundingan yang berlaku. 5. Ia mungkin satu usaha untuk mempertahankan hubungan sedia ada atau membuat perubahan

Perundingan boleh melibatkan keadaan di mana kita cuba mempertahankan hubungan sedia ada. Namun begitu, ada juga ketikanya perundingan yang dijalankan cuba membuat perubahan terhadap hubungan tersebut.
5

1.3.3

Konteks Perundingan

Dari segi konteks perundingan, ia biasanya berlaku dalam dua konteks utama iaitu 1. Konteks konflik kepentingan

Konflik kepentingan melibatkan dua bentuk iaitu rundingan buruh dan rundingan komersial. Rundingan buruh merangkumi perundingan mengenai gaji, angka, masa dan keadaan kerja. Manakala rundingan komersial pula berkaitan dengan harga, kuantiti dan kualiti. 2. Konteks konflik hak

Konflik hak dikatakan berlaku apabila wujudnya perbezaan dalam menginterpretasi sesuatu yang berkaitan dengan hak sesuatu pihak. 1.3.4 Aspek Kritikal Perundingan

Terdapat beberapa ciri yang perlu wujud dalam sesebuah perundingan. Ciri-ciri tersebut adalah seperti yang dinyatakan seperti berikut: 1. Maklumat

Perunding perlu mempunyai maklumat yang selengkapnya. Perunding juga perlu bersedia dengan semua fakta yang perlu. Kebanyakan rundingan gagal disebabkan perunding tidak begitu mengetahui mengenai masalah yang membawa kepada konflik atau yang memerlukan persetujuan. Mereka juga tidak begitu mengetahui latarbelakang pihak yang terlibat dalam rundingan yang akan dijalankan. 2. Masa

Perunding perlu memastikan masa yang sesuai dan mencukupi bagi sesuatu rundingan. Perundingan tidak boleh dijalankan di dalam keadaan tergesa-gesa atau di dalam keadaan tertekan. Walaupun perunding mungkin dalam keadaan tergesa-gesa dan perlu menyelesaikan perundingan dengan segera, beliau perlu bijak menyembunyikannya daripada pengetahuan pihak lain. Jika mereka dapat mengesannya, ia akan menyebabkan perunding tersebut berada dalam keadaan yang tidak begitu kukuh. Pihak lain akan cuba mengambil kesempatan di atas keadaan terdesak tersebut. 3. Kepentingan

Kita perlu tahu apa yang kita mahukan dan apa yang pihak lain mahukan. Setiap pihak mempunyai kepentingan dan tujuan tertentu dalam sesuatu perundingan.
6

4.

Hak

Setiap pihak yang berunding mempunyai hak untuk berbuat demikian. Setiap pihak perlu memahami peranan dan keperluan pihak lain dan mempunyai kemahuan untuk bertukar dan meneliti cadangan yang diberikan. 5. Kuasa

Setiap pihak mampu untuk mendapatkan apa yang dirundingi. Setiap pihak perlu diyakinkan bahawa perundingan akan menawarkan peluang dan keuntungan kepada mereka. Secara asasnya, dapat dikatakan bahawa perundingan atau tawarmenawar adalah satu proses yang melibatkan dua pihak atau lebih yang ingin menyelesaikan konflik atau mencari persetujuan tentang matlamat dan kehendak masing-masing dengan membuat perjanjian. Dalam hal ini apa yang paling penting adalah kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat Selain itu, perunding perlulah peka terhadap ciri yang berbeza-beza ini agar mereka dapat menjalan perundingan dengan tepat dan berkesan. Perunding yang mengambil mudah mengenai aspek ini mungkin akan menghadapi masalah apabila telah memasuki proses perundingan. SOALAN DALAM TEKS

1. Apakah yang dimaksudkan dengan perundingan? 2. Apakah yang membezakan konsep perundingan dengan tawar-menawar? Semak jawapan anda di akhir bab ini. 1.4 PERALIHAN MASALAH PERUNDINGAN KEPADA PELUANG

Tugas seseorang perunding di dalam sesebuah perundingan sangat kritikal. Perunding perlu memastikan bahawa mereka mampu untuk menyelesaikan setiap isu atau permasalahan yang menjadi pertikaian dengan baik. Dalam hal ini, kebolehan untuk mengenal pasti peluang perundingan adalah satu kemahiran yang amat berguna. Begitu juga
7

halnya dengan kebolehan untuk menilai apa dan siapa yang perlu dielakkan semasa menjalankan perundingan. Perunding juga perlulah mengetahui dengan siapa beliau akan berunding agar perundingan dapat berlaku dengan berkesan. Ini juga dapat memastikan bahawa pihak yang dirundingi memang benar-benar ingin mencari penyelesaian. Menurut Johnson (1993), terdapat beberapa halangan yang perlu diselesaikan oleh perunding dalam menjalankan perundingan. Halanganhalangan ini perlu diselesaikan agar rundingan yang berkesan dan seimbang dapat berjalan. 1. Apabila perjanjian berunding bukanlah matlamat pihak yang

Di dalam sesebuah perundingan setiap pihak yang terlibat perlulah mempunyai matlamat untuk mencari jalan penyelesaian. Namun begitu, halangan akan berlaku sekiranya terdapat pihak yang menggunakan proses perundingan untuk sekadar mengalahkan pihak lain dan bukannya benar-benar mencari penyelesaian. Begitu juga halnya dengan pihak yang menggunakan proses perundingan untuk mewujudkan satu sistem atau keadaan di mana hanya pihaknya akan dapat membuat semua keputusan. Pada asasnya, setiap pihak perlu menjaga perhubungan yang baik. Untuk mewujudkan peluang rundingan atau untuk terus menjalankan perundingan, perunding perlu meyakinkan pihak-pihak yang berunding bahawa rundingan akan membawa kebaikan kepada semua pihak yang berunding dan tidak terdapat alternatif lain yang lebih baik selain berunding. 2. Apabila satu pihak berniat untuk memusnahkan pihak lain

Di dalam sesebuah perundingan, perunding perlulah menghadapi atau melawan sikap ingin merosakkan atau memusnahkan pihak lain. Jika sikap tersebut wujud, penyelesaian tidak akan dapat dicapai. Contohnya adalah seperti apabila pengurusan ingin memusnahkan kesatuan sekerja atau pekerja ingin mensabotaj syarikat, perundingan yang baik tidak boleh berlaku. Perunding perlulah memahami bahawa matlamat akhir sesebuah perundingan adalah perjanjian dan persetujuan. Matlamat ini hanya akan tercapai dalam keadaan seimbang di mana tidak ada pihak yang mencari jalan untuk melemahkan pihak lain secara langsung atau tidak langsung. 3. Apabila perunding kekurangan kuasa untuk mewakili pihaknya

Perunding perlulah menilai setiap situasi untuk menentukan sama ada pihak yang dirundingi mempunyai kuasa untuk membuat keputusan
8

ataupun tidak. Ini kerana kita hanya dapat berunding secara berkesan dengan pihak yang mempunyai kuasa untuk mencapai perjanjian. Kita akan mendapati senario di mana wakil pihak pengurusan mungkin menangguhkan keputusan atau konsesi semata-mata untuk mendapat persetujuan pihak atasan. Keadaan ini akan berlaku jika sekiranya pihak yang berunding tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Perlu diberi perhatian bahawa perundingan tidak akan dapat berlaku selagi pihak yang berunding tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Perundingan juga tidak dapat berlaku apabila speaker bagi satu pihak yang berunding tidak mempunyai kuasa untuk bercakap bagi pihaknya. 4. Apabila satu pihak tidak dapat atau tidak mahu menyatakan sebab yang rasional untuk sesuatu perkara

Perundingan tidak akan berlaku apabila terdapat satu pihak yang tidak menerima sebarang kenyataan yang objektif. Contohnya sesuatu pihak tidak peduli apakah kenyataan sebenar bagi sesuatu permasalahan atau menyatakan bahawa mereka tidak akan dipengaruhi oleh apa-apapun. Jika mereka ingin bersetuju, mereka akan terus bersetuju dan jika memilih untuk tidak mahu bersetuju, mereka menyatakan keputusan tidak bersetuju tersebut tanpa menyatakan alasan atau menerima pendapat atau kenyataan pihak lain. Adalah mustahil untuk mencapai perjanjian apabila pihak lain tidak mahu membuat penelitian yang rasional. Begitu juga halnya apabila sesuatu isu yang ingin dirundingi melibatkan komitmen kepada ajaran suatu fahaman atau agama. Tiada ruang untuk perbincangan, kompromi dan sebagainya bagi perkaraperkara yang melibatkan fahaman. Jika ini berlaku, perunding terpaksa menfokuskan perbincangan terhadap persoalan-persoalan yang mungkin akan membawa kepada penyelesaian tanpa menyentuh apa-apa yang menjadi perkara yang sensitif. Apa yang penting, perunding perlu bijak menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dirundingi dalam menyelesaikan sesuatu isu. 5. Apabila satu pihak secara relatifnya kurang berkuasa

Kuasa amat penting untuk pihak yang berunding memberi dan menerima. Jika tidak, perunding terpaksa menggunakan alternatif lain selain perundingan. Jika satu pihak agak kuat dan satu pihak lagi agak lemah maka pihak yang lemah tidak dapat menjalankan rundingan dan melakukan tawar-menawar dengan baik. Contohnya perundingan di antara kesatuan sekerja dengan syarikat multinasional. Syarikat multinasional mempunyai kuasa yang amat besar berbanding kesatuan sekerja kerana ia mempunyai aset dan kekayaan yang besar di samping kemampuannya untuk memindahkan operasi ke tempat lain. Ini
9

menyebabkan perundingan yang seimbang dan berkesan tidak dapat berlaku. Sehubungan itu, perunding yang agak lemah perlu membina kuasa terlebih dahulu bagi menghadapi pihak lawan yang kuat. 1.4.1 Mengubah Halangan kepada Peluang Perundingan

Kita biasanya akan menjadi buntu apabila berhadapan dengan terlalu banyak masalah dan halangan di dalam sesebuah perundingan. Namun begitu, perlu diketahui bahawa walaupun kita berada di dalam suatu situasi perundingan yang sukar, tidak mustahil ia boleh berubah kepada satu bentuk peluang jika perunding tahu cara-caranya. Bagi perunding yang kurang berkuasa, mereka perlulah mencari beberapa sumber kuasa bagi membina kekuatan atau menjadi lebih berkuasa. Selain itu, mereka juga perlu mencari kelemahan pihak yang ingin dirundingi untuk mengimbangkannya dengan kekuatan mereka. Pada masa yang sama, perunding juga perlu turut mencari sebab yang jelas mengapa perlunya perundingan untuk dikemukakan kepada pihak lawan. Ini akan menarik pihak lain berunding dengan mereka secara berkesan. Ini juga akan membolehkan perundingan yang seimbang dapat berlaku. Perunding juga boleh meningkatkan peluang denga mengubah pendekatan terhadap orang lain. Apa yang penting perunding perlu mempunyai kredibiliti peribadi untuk menjadi perunding yang berkesan. Jika seseorang perunding terlalu ingin disukai, beliau akan sentiasa diekploitasi oleh pihak lain. Manakala jika sekiranya seseorang perunding terlalu ingin menggunakan kuasa, pihak lain akan cuba mengelakkan diri daripadanya apabila tamatnya sesuatu perundingan. Selain itu sikap mudah percaya perlu dikikis dalam diri seseorang perunding. Perunding tidak boleh menerima seratus peratus motif perundingan seperti yang dinyatakan oleh pihak lain. Apa yang penting perunding perlu perlulah tegas dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi selain sentiasa menyelidik motif pihak penentang dengan teliti. Bagi mendapatkan peluang perundingan, perunding perlu memahami pengalaman, keperluan dan motivasi pihak lain. Perunding yang mahir akan menggunakan proses secara tidak formal untuk mencapai persetujuan atau menawarkan jaminan yang sesuai untuk membawanya ke meja rundingan formal. Pihak perunding juga perlu bersedia untuk menunjukkan bahawa perundingan menawarkan hubungan yang menguntungkan kedua-dua pihak. Perundingan yang sebenar wujud apabila kedua-dua pihak mempunyai kehendak, peluang dan kemampuan untuk mencapai persetujuan.

10

Secara umumnya, dapat dikatakan bahawa perunding perlu bijak bertindak dan membuat keputusan. Perunding yang kuat dan tegas akan dapat membuat keputusan dengan mudah sama ada ingin menarik diri daripada berunding dengan perunding yang tidak jujur ataupun menghadapi penipuan tersebut dengan berhati-hati dan bijak. Jika perundingan tidak dapat dijalankan, perunding perlu mencari penyelesaian-penyelesaian lain yang sesuai. Penyelesaian-penyelesaian ini akan dibincangkan dalam Bab 3. 1.5 RUMUSAN

Kita semua memerlukan kemahiran rundingan. Apabila kita berurusan dengan pihak lain, sama ada dalam bentuk kumpulan, institusi, organisasi perniagaan, dengan individu tertentu berkaitan hal peribadi dan sebagainya kita memerlukan kemahiran perundingan yang mantap. Kemahiran rundingan juga sangat perlu untuk mencapai matlamat, menerangkan terma kita, menyatakan limitasi dan juga membantu pihak lain dalam mencapai matlamat mereka. Dapat dikatakan bahawa perundingan adalah bahagian penting dalam kehidupan yang kompetitif pada masa sekarang. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. 2. Bincangkan tentang masalah atau halangan yang berlaku dalam sesebuah rundingan. Huraikan dengan lengkap bagaimana kita dapat mengubah halangan yang berlaku kepada suatu bentuk peluang. Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Pada asasnya perundingan merupakan satu aspek atau aktiviti yang sangat meluas. Bagi Johnson (1993), perundingan adalah proses di mana individu atau kumpulan cuba mencapai matlamat melalui perjanjian dengan pihak lain. Proses ini biasanya mencakupi penawaran dan tuntutan konsesi. Namun begitu ia dapat berfungsi dengan lebih baik sekiranya ia menjadi kaedah untuk mendapatkan kepentingan bersama. Kehendak untuk berunding timbul apabila seseorang individu mendapati bahawa
11

apa yang diingini atau diperlukan boleh didapati hanya dengan kos atau dalam situasi di mana ia perlu melalui pihak lain. Perundingan juga merupakan satu proses untuk menyelesaikan konflik yang biasanya berlaku secara bertukar-tukar konsesi. Thorn (1991) menyatakan bahawa negotiation is concerned with resolving conflict between two or more parties, usually by the exchange of concessions. Dalam hal ini ia boleh berlaku secara kompetitif ataupun kooperatif. Manakala Oliver (1996) melihat perundingan sebagai satu proses yang mana setiap pihak yang berunding mempunyai kuasa ke atas penyelesaian atau kesudahannya. Menurutnya negotiation is a transaction in which both parties have a veto on the final outcome. It requires voluntary consent on both side. It is a give and take process where the actual conditions of a transaction are agreed. Kennedy (1987) menyatakan negotiation is a process for resolving conflict between two or more parties whereby both or all modify their demands to achieve a mutually acceptable compromise. Ini bermakna pihak-pihak yang terlibat akan mengubahsuai tuntutan dan cuba bertolak ansur untuk mencapai matlamat bersama. Namun, Kennedy menyatakan bahawa di dalam dunia kesatuan sekerja perundingan dapat difahami sebagai a process of adjusting both parties views of their ideal outcome to an attainable outcome. Ini menunjukkan perundingan merupakan satu proses mengubah pandangan kedua-dua pihak terhadap tentang apa yang mereka inginkan (hasil ideal) kepada satu bentuk hasil yang boleh dicapai. Kesimpulannya dapat dikatakan bahawa perundingan merupakan satu proses yang melibatkan komunikasi (sama ada secara langsung atau tidak langsung) antara dua atau lebih pihak yang mempunyai konflik kepentingan untuk mencapai persetujuan. 2. Perundingan merupakan konsep yang luas manakala tawarmenawar menggambarkan proses menentukan harga akhir barangan pembelian atau jualan. Contohnya tawar-menawar lebih kepada proses mendapatkan harga yang sesuai manakala perundingan lebih kepada proses formal yang berlaku apabila beberapa pihak cuba mencari persetujuan tertentu.

12

You might also like