You are on page 1of 10

PEMBESTARIAN SEKOLAH

Pendahuluan

Teknologi Maklumat (IT) merupakan suatu teknologi yang digunakan secara meluas
pada hari ini. Kepentingannya dalam konteks masyarakat hari ini tidak dapat dinafikan
lagi. IT telah menjadi salah satu keperluan asas masyarakat sepertimana keperluan asas
yang lain. Ini bermakna, penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan IT
adalah penting kerana ia merupakan titik tolak kepada kejayaan pembangunan
masyarakat bermaklumat dalam era digital ini.
Menurut Kamus Dewan, teknologi maklumat (IT) adalah suatu bidang yang
meliputi penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi bagi memperoleh,
memproses, dan menyebarkan maklumat. Manakala, teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) pula bermaksud teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan,
penyimpanan pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi
komputer dan telekomunikasi. Persatuan Teknologi Maklumat Amerika (ITAA) pula
mentakrifkan teknologi maklumat ini sebagai "kajian, reka bentuk, pembangunan,
pelaksanaan, dan dukungan atau pengurusan sistem-sistem maklumat berasaskan
komputer, khususnya perisian penggunaan dan perkakasan komputer. Sejak tahun 1990-
an, IT telah diterimapakai secara meluas sebagai istilah yang merujuk kepada industri
pengkomputeran.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) telah memperkenalkan ICT dalam pendidikan yang meliputi prasarana,
pengisian dan latihan guru. Pelbagai projek ICT dilaksanakan, termasuklah pembekalan
komputer, penyediaan makmal pengkomputeran, persediaan sukatan pelajaran dan
perisian pendidikan sebagai aktiviti utama penyediaan prasarananya. Projek pertama
dalam inisiatif ini ialah penubuhan sekolah bestari, aplikasi perdana Koridor Raya
Multimedia (MSC) yang menekankan penggunaan ICT sebagai peneraju pedagogi dan
pengurusan sekolah. Projek ini dirintis pada 1999 hingga 2002 di 88 buah sekolah.
Langkah seterusnya adalah memperluaskan inisiatif tersebut ke seluruh sekolah melalui
program pembestarian sekolah.
Apakah Pembestarian Sekolah?

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi


pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti
pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah
dan kompetensi guru.
Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep
Sekolah Bestari sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik
dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk
membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama
Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta
pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat
melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang
diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri
(self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Pengenalan

Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai
aspek perlu dilakukan supaya ianya berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa.
Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di
Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa
kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan yang
menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya
pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan
bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta
pengurusan sekolah yang efektif.
Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 yang telah
dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari
2007, dasar utama yang ditekankan oleh KPM yang berkaitan dengan pembestarian
sekolah adalah untuk memastikan semua pelajar celik ICT. Mengutamakan peranan dan
fungsi ICT dalam pendidikan sebagai mata pelajaran atau pengupaya dalam pengajaran
dan pembelajaran dan menggalakkan penggunaan ICT bagi meningkatkan produktiviti,
kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan sekolah.
Perlaksanaan pembestarian sekolah mengambilkira semua inisiatif ICT sedia ada
di sekolah seperti projek rintis Sekolah Bestari, projek pengkomputeran dan makmal
komputer sekolah, projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dam Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI), SchoolNet (projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk
capaian ke internet di semua sekolah) dan TV Pendidikan yang melibatkan aspek-aspek
infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan. KPM akan
menyelaraskan semua inisiatif ICT ini bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan
dan keberkesanan sistem pengurusan supaya boleh dilaksanakan secara cekap dan
efektif, tanpa pertindihan dan pembaziran.

“Teachers will need to change their role in the electronic classroom from being
information providers to counselors to help students develop know how and judgment to
select information sources.
Key to success in the Information Age will be making the right judgements
between an awesome array of choices.
We are examining our education system to create a curriculum where people
learn how to learn for continuing education throughout their lives.”
(Tun Mahathir Mohamed, Launch of the Multimedia Super Corridor, 1 August 1996)

“The smart school program will be re-modelled and its implementation fast-
tracked to enable more schools to benefit, at lower cost to the government. Smart
schools will have access to the Internet through the SchoolNet program, which is
already at an advanced stage of implementation.
Advanced teaching and learning materials developed through the Smart School
Pilot program will be utilised for teaching, while the Smart School Management System
will be used to improve administration processes.”
(Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi,
Launch of The Multimedia Super Corridor (M.S.C.) Next Leap, 3 July 2004)

“… pembestarian sekolah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan sekolah-sekolah awam lebih berdaya saing,
kondusif dan moden mengikut arus pembangunan semasa.
Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk
meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada
penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos.”
(Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, 7 Mei 2005)

Skop Pembestarian Sekolah

Pelaksanaan pembestarian ini memanfaatkan (leverage) kepada semua inisistif ICT yang
sedia ada di sekolah merangkumi tiga elemen utama iaitu infrastruktur ICT dan Aplikasi
Pengurusan, Pengisian Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan Pembangunan Sumber
Manusia. Fokus utama Pembestarian Sekolah ialah untuk memastikan semua sekolah
akan mempunyai kecapaian ICT yang sama dengan;
i. menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi
ii. menyediakan perisian dan bahan-bahan digital yang lengkap
iii. memberi latihan yang secukupnya kepada semua guru, pentadbir dan staf
sekongan
Pembestarian Sekolah akan menfaatkan elemen utama yang telah dilaksanakan ke
sekolah-sekolah melalui projek-projek KPM seperti:
i. projek makmal pengkomputeran sekolah
ii. program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI)
iii. rangkaian SchoolNet
iv. rancangan TV pendidikan
v. projek Rintis Sekolah Bestari
vi. ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
vii. mata pelajaran yang berasaskan ICT
viii. perkongsian Pintar dengan Syarikat Swasta
ix. latihan ICT Guru
x. pengurusan Perubahan bagi Guru dan Pentadbir Sekolah
Program Pembestarian ini akan dijalankan secara berperingkat dan berfasa mengikut
keutamaan dan keupayaan Kementerian dengan mengambil kira kesediaan sekolah.

Dasar Dan Matlamat

Dasar Pembestarian semua sekolah merangkumi dasar ICT iaitu;


i. ICT untuk semua pelajar
ii. ICT sebagai alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai mata pelajaran dan
komponen mata pelajaran
iii. ICT digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem
pendidikan
Matlamat Pembestarian Sekolah ialah untuk mengoptimumkan potensi murid di
semua sekolah Malaysia dengan menggunakan ICT sebagai pengupaya kepada
pengajaran dan pembelajaran.
Status Semasa Dan Cabaran

Sekolah Bestari secara ringkas boleh didefinisikan sebagai suatu sistem pendidikan yang
mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusat kepada pelajar dengan
menggunakan pendekatan yang lebih kritis dan kreatif serta menggunakan teknologi
sebagai pengupaya. Penggunaan ICT sebagai bahan bantu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran merupakan jantung Sekolah Bestari. Pendekatan ini tidak hanya terhad
dalam kurikulum, pedagogi, pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, malah juga
dalam bidang pengurusan sekolah. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibestarikan
agar pengurus sekolah dapat menguruskan perjalanan sesebuah sekolah dengan lebih
efektif.
Walau bagaimanapun, dalam proses menubuhkan Sekolah Bestari di seluruh
negara, KPM kemudiannya telah mengambil langkah bijak dan kos efektif dengan
memperkenalkan Program Pembestarian Sekolah. Ini memandangkan untuk
membekalkan infrastruktur teknologi penuh sebuah Sekolah Bestari, Kerajaan perlu
membelanjakan sebanyak RM1.8 juta, manakala untuk membekalkan infrastruktur
teknologi makmal komputer, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM642,000
bagi sebuah sekolah. Oleh itu, alternatif yang terbaik adalah dengan cara membestarikan
sekolah sedia ada yang hanya memerlukan peruntukan yang jauh lebih rendah untuk
setiap buah sekolah.
Program Pembestarian Sekolah memberi maksud mengaplikasikan konsep
Sekolah Bestari pada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Komponen utama pembestarian sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan
pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian sekolah
dapat melatih guru dan pelajar berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran
yang diperoleh dapat melahirkan pelajar yang mengamalkan pembelajaran akses kendiri
(self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).
Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira (leveraging) semua inisiatif ICT
yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu hardware, software dan
wetware. Untuk itu, KPM telah pun membekalkan pelbagai peralatan dan kemudahan
ICT seperti komputer, pencetak, server, projektor dan rangkaian. Statistik sehingga
April 2005 menunjukkan sebanyak 4500 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh
negara telah dilengkapi dengan makmal komputer, sementara 8120 buah sekolah telah
dirangkaikan dengan capaian internet berjalur lebar melalui rangkaian SchoolNet.
Pelbagai perisian kursus telah dibangunkan, baik oleh pihak KPM mahu pun
dengan kerjasama dengan pihak swasta. Perisian kursus untuk kegunaan Sekolah
Bestari yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,
Sains dan Matematik telah dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta. Selain
daripada menghasilkan perisian kursus untuk digunakan oleh guru dan pelajar dalam
program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI).
Pembestarian sekolah melibatkan pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan
berkesan dengan penggunaan aplikasi Smart School Management System (SSMS),
Educational Management Information System (EMIS) dapat membantu
memperkemaskan pengaliran dan perkongsian maklumat di peringkat sekolah, jabatan
dan kementerian.
Latihan kemahiran ICT kepada individu yang terlibat sentiasa diadakan dari
semasa ke semasa. Pentadbir sekolah, guru, staf sokongan dan personel di pelbagai
peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Bahagian-bahagian
di KPM turut dibimbing dan dilatih menggunakan segala kemudahan ICT yang
disediakan.
Strategi Perlaksanaan

Strategi perlaksanaan pembestarian sekolah ini merangkumi penyediaan hardware,


software dan wetware. Bagi memastikan program pembestarian sekolah ini berjalan
lancar, cekap dan efektif, KPM akan:
i. menjadikan 88 buah sekolah di bawah projek rintis Sekolah Bestari sebagai
penanda aras bagi program Pembestarian Sekolah.
ii. menyelaras semua inisiatif ICT di bawah Jawatankuasa Maklumat
Perkomputeran Kementerian (JMPK).
iii. menilai semula setiap perisian kursus yang telah dihasilkan dan melantik juru
audit untuk mengkaji dan menilai kesemua inisiatif ICT dari aspek P&P,
pentadbiran dan pengurusan serta mencadangkan pelan strategik ICT yang baru.
iv. membekalkan infrastruktur, perkakasan dan aplikasi pengurusan yang
mencukupi.
v. meningkatkan jumlah perisian bagi membantu proses pengajaran dan
pembelajaran.
vi. memantapkan program latihan dan bimbingan ICT kepada pentadbir sekolah,
guru dan pelajar. Antara latihan yang dijalankan termasuklah asas penggunaan
komputer, penggunaan komputer untuk pengajaran dan pembelajaran,
penggunaan perisian kursus dan penggunaan TV Pendidikan dalam pengajaran
dan pembelajaran.
vii. menggalakkan perkongsian pintar dengan pihak luar KPM.
Kesimpulan

Dalam menongkah arus globalisasi dan cabaran pendidikan hari ini, semua pihak harus
mengorak langkah yang proaktif. Perubahan ke arah sistem pendidikan bestari adalah
suatu usaha yang amat baik.
Adalah menjadi harapan kementerian, melalui pembestarian sekolah ini akan:
membentuk modal insan yang berkemahiran dalam bidang ICT ke arah
masyarakat k-ekonomi.
mengimbang jurang digital antara bandar, luar bandar dan pendalaman.
membentuk masyarakat yang kreatif, kritis dan inovatif.
membudayakan pembelajaran sepanjang hayat berasaskan ICT.
membangunkan pendidikan bertaraf dunia.
Pembestarian sekolah ini perlu disokong dan dilaksanakan oleh semua untuk menjana
modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.

Rujukan

Abd Samad Hanif, et.al. (2005). “Teknologi Komputer.” Perak: Universiti Pendidikan
Sultan Idris.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). “Rancangan Malaysia Ke-9: Pelan Induk


Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010.” Edisi Pelancaran. Putrajaya:
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ministry of Education (1997). “The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint.”


Kuala Lumpur: Ministry of Education.

Mohammad Sani Ibrahim, Dr. Hj. dan Mohd Jasmy Abd Rahman (2003).
“Pembestarian Sekolah Dalam Era Globalisasi: Satu Pemikiran Baru Dalam
Sistem Pendidikan Malaysia.” Jurnal BTP. 5. hlm. 21 - 41.
Norizan bt . Hj. Ahmad (2003). “Kemahiran dan Penggunaan Komputer Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Sains Di Sekolah Menengah: Lebih Banyak Soalan
Daripada Jawapan.” ICT Dalam Pendidikan Dan Latihan: Trend dan Isu:
Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-16. 128 – 135.

You might also like