Professional Documents
Culture Documents
Diriwayatkan oleh Ya'kub bin al-Fasawy dari Hassan bin Ali r.a, dia berkata, "Pernah
aku tanyakan kepada bapa saudaraku yang bernama Hindun bin Abi Haala kerana dia adalah
seorang yang pandai sekali dalam menyifatkan tentang peribadi Rasulullah SAW, dan aku
sangat senang sekali mendengarkan sifat Rasulullah SAW untuk aku jadikan bahan ingatan.
Maka katanya, "Rasulullah SAW adalah agung dan diagungkan, wajahnya berkilauan
bagaikan bulan purnama, tingginya cukup (tidak pendek dan tidak jangkung), dadanya lebar
(bidang), rambutnya selalu rapi dan terbelah di tengahnya, rambutnya panjang sampai pada
hujung telinganya, dan berambut banyak, mukanya bergabung menjadi satu, di antara kedua
alisnya ada urat yang dapat dilihat pada waktu Baginda sedang marah, hidungnya
membungkuk di tengahnya dan kecil lubangnya, nampak sekali padanya cahaya, sehingga
orang yang memperhatikannya mengira hidung Baginda itu tinggi (mancung). Janggutnya
(jambang) lebat, bola matanya sangat hitam sekali, kedua pipinya lembut (halus), mulutnya
tebal, giginya putih bersih dan jarang, pada dadanya tumbuh bulu halus, lehernya indah
seperti berkilauan saja, bentuknya sedang, agak gemuk dan gesit (lincah), antara perut dan
dadanya sama (tegak), dadanya lebar, di antara dua bahunya melebar, tulangnya besar,
kulitnya bersih, antara dada sampai ke pusarnya ditumbuhi bulu halus seperti garis, pada
kedua teteknya dan pada perutnya tidak ada bulu, sedangkan pada kedua hastanya dan kedua
bahunya dan pada dadanya ditumbuhi bulu, lengannya panjang, telapaknya lebar, halus
tulangnya, jari telapak kedua tangan dan kakinya tebal berisi daging, panjang hujung jarinya,
rongga telapak kakinya tidak terkena tanah apabila Baginda sedang berjalan, kedua telapak
kakinya lembut (licin) tidak ada lipatan dan kerutan. Apabila berjalan derapan kakinya itu
terangkat tinggi seolah-olah air yang sedang jatuh (jalannya ringan, kakinya terangkat, tetapi
tidak seperti jalannya orang yang sombong), jalannya tunduk dan menunjukkan kehebatan,
apabila berjalan, maka jalannya agak cepat bagaikan dia turun dari tempat yang tinggi, apabila
menoleh, Baginda menolehkan seluruh badannya, matanya selalu tertunduk ke bawah, dan
pandangannya sentiasa memperhatikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, selalu berjalan
dengan para sahabatnya, dan selalu memulai dengan salam apabila Baginda berjumpa dengan
sesiapa pun."
Maka kata Hassan berita ini aku sembunyikan dan adikku ternyata sudah lebih dahulu
mengetahuinya daripadaku dan malahan dia sendiri telah bertanya pada ayahnya tentang
keadaan keluar masuknya Rasulullah SAW ke majlisnya, dan bentuknya pun tidak juga
ketinggalan sedikitpun jua." Kata Hasan, "Maka aku pun pernah bertanya tentang peribadi
Rasullullah SAW dan dia pun menjawab, "Bahawa Rasulullah SAW apabila telah masuk ke
rumahnya, Baginda membahagi waktunya menjadi tiga bahagian. Sebahagian untuk Allah
SWT, sebahagian lagi untuk keluarganya dan sebahagiannya yang lain untuk dirinya sendiri.
Kemudian bahagian untuk dirinya itu dibahagikan pula untuk kepentingannya sendiri dan
untuk kepentingan orang lain. Baginda selalu mengutamakan kepentingan umum lebih dari
kepentingan peribadinya sendiri, Baginda tidak pernah mengurangi hak mereka sedikit pun.
Adapun contoh dari sirahnya berkenaan dengan kepentingan umat, adalah bahawa Baginda
lebih mengutamakan orang-orang yang mulia dengan segala kesopanan dan menurut
kedudukannya dalam ketakwaan. Sebahagian daripada mereka ada yang mempunyai satu
kepentingan, ada pula yang mempunyai dua kepentingan, dan ada pula yang mempunyai
banyak keperluan. Untuk itu Baginda menyibukkan dirinya dengan mereka dan mengatur
mereka demi untuk kepentingan mereka dan sekalian umat dari urusannya tadi. Baginda sibuk
dengan memberitahu kepada mereka apa yang harus dikerjakan, dengan memesankan :
Hendaknya orang yang kini hadir mengkhabarkan kepada mereka yang tidak hadir, dan
sampaikanlah hajatnya orang yang tidak dapat berjumpa denganku, kerana sesungguhnya
barangsiapa yang menyampaikan hajatnya seseorang yang tidak mampu untuk bertemu
dengan seorang pemimpin, maka Allah SWT akan menetapkan kaki orang itu kelak pada hari
kiamat. Para pengunjung yang datang itu tidak keluar kecuali setelah mereka mengerti segala
masalah dan dalilnya."
Kata Hassan, "Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada
di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira),
budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang,
tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka
bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah
menolak permintaan seseorang yang meminta. Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan :
Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari
kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah).
Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang
yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang
hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun
apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan
(memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya
tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada
sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau
dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi. Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat
ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian
orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan
orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."