You are on page 1of 11

Pandangan pelajar terhadap alam persekolahan dan pembelajaran

Mohd Zaaba Haji Ismail


S.M. Tunku Abdul Rahman, Mergong
Zurida Haji Ismail
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang

ABSTRAK

Antara masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru pelatih semasa latihan mengajr
adalah berkaitan dengan pengurusan kelas dan disiplin pelajar. Pelajar-pelajar dikatakan
tidak berminat untuk belajar dan seringkali mengganggu usaha guru untuk mengajar.
Pelbagai langkah dicadangkan bagi mengatasi masalah minat dan motivasi pelajar.
Motivasi berkait rapat dengan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap
usaha yang dilakukan. Walaupun bilangan yang hadir agak memuaskan, namun
kehadiran secara fizikal tidak menjamin penglibatan mental. Pelajar-pelajar dilihat gagal
mengambil peluang sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kertas kerja
ini akan membincangkan dapatan dari suatu tinjauan yang melibatkan pelajar-pelajar dari
sekolah yang dianggap bermasalah dan tidak berminat untuk belajar. Tujuan utama
tinjauan ini adalah untuk melihat pandangan pelajar terhadap alam persekolahan mereka.
Kesedaran dan pengetahuan tentang perkembangan sikap pelajar serta perkara-perkara
yang menarik dalam pembelajaran mungkin membantu guru-guru pelatih dalam
mengurangkan apathy atau sikap tidak peduli pelajar terhadap pelajaran.

Pengenalan
Guru-guru dan juga kaunselor sering kali berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak
berminat atau hilang minat untuk belajar, tidak menunjukkan motivasi untuk belajar di
sekolah, atau tidak berminat untuk berada di sekolah langsung. Keadaan ini sering
menjadi sumber kekecewaan bagi guru-guru yang berusaha untuk memujuk atau
membentuk anak didik mereka untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran dan berminat
untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menjadi lebih rumit
bagi guru pelatih yang baru mula untuk berjinak dengan profesion keguruan. Sikap
pelajar yang tidak menghiraukan kehadiran guru-guru pelatih sebagai orang yang
berkuasa dalam kelas sering menimbulkan masalah pengurusan kelas bagi guru-guru
pelatih. Catatan berikut adalah pemerhatian yang dilakukan oleh seorang pelatih
mengenai pengalamannya berhadapan dengan pelajar:
 Today is my first day (in school). It’s horrible. HORRIBLE! My guru
pembimbing introduced me to the children. NOPE! They are no children. They
are monsters! Frankenstein’s defects. One introduced himself as The Rock.
Another male as Baby …. (Minggu 1)
 Again I have to relieve Peralihan. Hell on Earth (Minggu 5)
Pelajar-pelajar sebenarnya memberi tindakbalas terhadap beberapa faktor dalam kelas.
Antaranya ialah siapa yang mengajar, yakni guru berkenaan, apa yang mereka perlu
lakukan dan sejauh mana mereka berasa selesa dalam kelas berkenaan. Ini adalah kerana
motivasi berkaitan rapat dengan apa yang Deci and Ryan (1991) jelaskan sebagai
keperluan semula jadi untuk kawalan, kecekapan, dan penerimaan yang ada pada setiap
individu. Kefahaman tentang faktor-faktor ini membantu guru untuk menyedari bahawa
setiap tindak tanduk mereka mempunyai pengaruh motivasi terhadap pelajar, sama ada
negatif maupun positif. Ibu bapa dan juga guru-guru sebenarnya mampu dan boleh
membantu menggalakkan pembelajaran.

Persekitaran di rumah membentuk sikap awal kanak-kanak terhadap pembelajaran.


Kanak-kanak mendapat mesej bahawa pembelajaran itu seronok dan suatu aktiviti yang
berharga bila ibu bapa meluangkan masa untuk membaja sifat ingin tahu kanak-kanak
tentang alam di sekeliling dengan melayan soalan-soalan, menggalakkan penerokaan
dalam usaha mencari jawapan dan penjelasan tentang fenomena semula jadi. Kanak-
kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang membina harga diri, kecekalan,
kebebasan dan efikasi kendiri akan lebih berkupayaan untuk berhadapan dengan rikiko
yang terdapat dalam proses pembelajaran. Sebaliknya, jika kanak-kanak beranggapan
bahwa mereka tidak cekap atau kurang berkemampuan, maka keinginan untuk terlibat
dalam aktiviti akademik yang mencabar serta keupayaan untuk menangani kegagalan
akan berkurangan.

Bila kanak-kanak mula melangkah ke alam persekolahan, mereka akan mula membentuk
kepercayaan tentang kegagalan dan kejayaan yang berkaitan dengan persekolahan.
Sumber-sumber yang sering dikaitkan dengan kejayaan seperti usaha, kebolehan, nasib
atau aras kesukaran tugasan dan kegagalan yang disebabkan oleh kurangnya kebolehan
dan usaha mempunyai implikasi terhadap cara atau pendekatan yang digunakan untuk
berhadapan dengan situasi pembelajaran.

Motivasi
Motivasi, sama ada di rumah atau sekolah, mempunyai pengaruh yang kuat terhadap
kejayaan pelajar. Motivasi pelajar mempunyai hubungan dengan keinginan pelajar untuk
terlibat dalam proses pembelaran. Ia juga bersangkutan dengan sebab-sebab atau
matlamat yang mendasari penglibatan atau sikap pasif mereka dalam aktiviti-aktiviti
akademik. Walaupun pelajar berminat untuk mengambil bahagian, namun sebab-sebab
penglibatan mereka berbeza antara satu sama lain. Bak kata pepatah, rambut sama hitam,
hati-hati lain. Penglibatan pelajar yang mempunyai motivasi intrinsik biasanya
disebabkan oleh keseronokan yang diperolehi dari aktiviti pembelaran berkenaan atau
perasaan puas yang timbul hasil dari pencapaian yang diperolehi (Lepper, 1988). Pelajar
yang mempunyai motivasi ektrinsik melakukan sesuatu untuk mendapatkan ganjaran atau
mengelak dari hukuman yang mungkin dikenakan jika tidak mengambil bahagian.

Motivasi adalah usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai
prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi adalah aras insentif yang ada pada seseorang
dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Ini bermaksud individu itu bukan
sahaja mahu berusaha untuk belajar malah menghargai dan seronok belajar dan mendapat
manfaat dari pembelajaran (Wlodkowski, & Jaynes, 1990). Istilah motivasi untuk belajar
mempunyai maksud yang agak berbeza. Ia ditakrifkan oleh Hermine Marshall (1987)
sebagai nilai, kepentingan, dan faedah yang diperolehi dari tugasan akademik tidak kira
sama ada tugasan itu menarik atau pun tidak. Carole Ames (1990) mentakrifkan motivasi
untuk belajar sebagai penglibatan jangka panjang yang berkualiti serta iltizam dalam
proses pembelajaran. Menurut Jere Brophy (1987), motivasi untuk belajar adalah
kemahiran yang diperolehi melalui pengalaman yang dirangsang secara terus melalui
model atau contoh, komunikasi jangkaan, arahan atau proses sosialisasi dengan individu
yang berpengaruh terutama guru dan ibu bapa.

Terdapat beberapa teori yang membantu kita memahami motivasi: teori pencapaian
keperluan, teori motivasi harga kendiri, teori efikasi kendiri, teori jangkaan x nilai, teori
atribusi, teori kawalan, dan teori orientasi motivasi. Namun, pada umumnya teoroi-toeri
ini menerangkan kepada kita (a) sebab pelajar melaku apa yang dilakukan, (b)
bagaimana mereka melakukannya, dan (c) keyakinan mereka untuk melakukannya. Bila
kita sebagai pendidik dan mungkin kaunselor betul-betul faham akan tiga dimensi ini,
barulah kita mampu memahami motivasi pelajar, dan kerana itu kita akan berada dalam
kedudukan yang baik untuk meningkatkan motivasi pelajar.

Dari perspektif keperluan pencapaian, pelajar-pelajar lebih cenderung untuk mengelak


kegagalan dan mencapai kejayaan (Atkinson 1957). Teori keperluan pencapaian ini
boleh juga diterangkan dari perspektif motivasi harga kendiri atau self-worth (Covington,
1992) yang memberi tumpuan kepada keperluan pelajar untuk melindungi harga diri yang
timbul dari takutkan kegagalan dan implikasi kegagalan ini terhadap keupayaan diri
sendiri dan harga diri seterusnya. Manakala teori atribusi pula menyatakan penyebab
kepada peristiwa menentukan tingkahlaku individu berkenaan di masa hadapan. Dalam
konteks pencapaian, kawalan merujuk kepada sejauh mana individu mampu mengelak
kegagalan dan mencapai kejayaan. Pelajar yang merasakan diri mereka tidak mampu
mengawal hasilan akan menjadi kurang yakin sama ada mereka mampu mengelak
kegagalan atau mencapai kejayaan. Justeru, mereka mungkin terlibat dengan tingkah
laku yang tidak produktif atau mungkin putus asa sama sekali. Patrick, Skinner, and
Connell (1993) mendapati kawalan mampu meramal kesungguhan, tumpuan, usaha dan
penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Harter and Connell (1984) mendapati
kawalan yang tidak menentu mempunyai hubungan yang negatif dengan pencapaian,
motivasi masteri dan kecekapan. Dari perspektif atribusi, kawalan adalah suatu konstruk
yang penting diukur bila menilai motivasi pelajar.

Motivasi orientasi merujuk kepada tumpuan individu kepada tugasan yang dilakukan atau
fokus pembelajaran atau prestasi. Orientasi tugasan atau tumpuan pembelajaran merujuk
kepada kecenderungan pelajar untuk mencapai kejayaan dan berasa puas dengan
menguasai perkara-perkara yang mereka pelajari (Duda & Nicholls, 1992; Nicholls,
1989). Pelajar yang mempunyai fokus pembelajaran bermotoivasi untuk mencapai
masteri dan bukan mengatasi orang lain. Mereka melihat tugasan dari segi usaha yang
perlu diberi dan bukan kebolehan dan kegagalan dilihat sebagai maklum balas diagnostik
ke arah peningkatan prestasi di masa depan (Middleton & Midgley, 1997). Justeru,
pelajar dalam kategori ini tidak berasa tergugat dengan kegagalan kerana kegagalan
hanya mencerminkan usaha yang diberi dan bukan kebolehan.

Kajian menunjukkan pelajar-pelajar ini sering memilih tugas-tugas yang mencabar dan
kurang berasa bimbang akan kemungkinan kegagalan dalam usaha mereka (Duda, 1992).
Fokus pembelajaran mempunyai hubungan yang positif dengan latihan strategi masteri
dan hubungan yang negatif dengan strategi mengelak (Lochbaum & Roberts, 1993).
Justseru, dapat disimpulkan bahwa focus pembelajaran adalah elemen yang kritikal
dalam motivasi pelajar. Pelajar-pelajar yang mempunyai focus pembelajaran akan
berusaha sedaya upaya untuk menjadi pelajar terbaik yang mungkin. Mereka akan
bekerja keras, sanggup dan seronok belajar perkara-perkara baru dan suka menyelesaikan
masalah untuk kepuasan sendiri dan bukan kerana ganjaran yang mungkin diterima.

Salah satu cara untuk mendekati pelajar yang hilang minat untuk belajar ialah dengan
mengetahui keperluan individu untuk mengawal, kecekapan, dan penerimaan pelajar
berkenaan dalam kelas. Disamping itu, guru juga perlu tahu sejauh mana setiap aktiviti
pembelajaran meningkatkan minat, peluang untuk menentukan aras kawalan dan pilihan,
pengusaan kemahiran yang digalakkan serta sokongan yang diberikan kepada pelajar.
Paling penting ialah sama ada pilihan diberi dan sejauh mana pelajar bebas memilih.
Dalam banyak keadaan pebelajaran yang ditentukan oleh guru, pilihan adalah terhad
kepada kawalan dan pengurasan perasaan dan pemikiran dalaman manakala pilihan
tingkah laku adalah sedikit.

Tujuan
Kesedaran dan pengetahuan tentang perkembangan sikap pelajar serta perkara-perkara
yang menarik dalam pembelajaran mungkin membantu guru dan juga guru pelatih dalam
mengurangkan apathy atau sikap tidak peduli pelajar terhadap pelajaran. Justeru, suatu
tinjauan dilakukan untuk mencungkil pandangan pelajar terhadap alam persekolahan
mereka.

Metodologi
Sumber data diperolehi melalui soal selidik dan temubual. Maklumat soal selidik di
perolehi daripada 159 pelajar tingkatan empat dari tiga buah sekolah. Temubual
dilakukan bagi mendapat maklumat yang lebih terperinci tentang beberapa aspek yang
berkaitan dengan item-item dalam soal selidik. Analisis data dibuat dengan
menggunakan SPSS untuk mendapatkan kekerapan dan peratusan bagi respons kepada
setiap item.

Dapatan dan perbincangan


Dapatan-dapatan dibentangkan mengikut soalan-soalan utama dalam soal-selidik.

Adakah anda berminat untuk ke sekolah?


Bagi soalan yang dikemukakan ini, respons yang diterima adalah seperti berikut:
 67.9 % berminat
 32.1 % tidak berminat
Justeru, mereka kerap hadir ke sekolah. Antara sebab-sebab yang diberi untuk hadir di
sekolah mengikut keutamaan ialah:
 Mahu menjadi pelajar pintar (88.46%)
 Mahu belajar perkara yang diminati (69.2%)
 Kerelaan saya sendiri (57.69%)
 Suka kepada guru sekolah ((50.0%)
 Mahu bersama rakan ((42.3%)
 Mahu berseronok (23.1%)

Terdapat juga lain-lain sebab bagi sebahagian responden dan antaranya termasuklah:
 Disuruh ibu bapa
 Takut didenda guru atau pihak sekolah
 Tiada aktiviti lain yang boleh dibuat di rumah

Pun begitu, sebanyak 57.69 % responden menyatakan mereka pernah ponteng antara 1-5
hari tetapi dengan alasan-alasan tertentu. Alasan utama yang dinyatakan ialah kerana
sakit. Dalam temubual dengan seorang pelajar, Responden C, terdapat beberapa perkara
yang tidak menyenangkan beliau dan membuat hilang minatnya untuk belajar dan sering
ponteng sekolah
 Suka ponteng kerana tidak suka terhadap guru dan bosan dengan pengajaran guru.
 Sikap guru yang memberi layanan yang berbeza menimbulkan rasa tidak puas
hati.
 Rakan sebaya tidak banyak membantu dalam memberi tunjuk ajar.
 Ponteng sekolah sebagai jalan keluar – pergi ke pusat video tanpa pengetahuan
ibu bapa. Beliau akan hanya balik ke rumah selepas waktu persekolahan

Alasan-alasan dan situasi yang dihadapi oleh responden C mungkin mencerminkan


keadaan yang dihadapi oleh sebilangan besar pelajar yang mula hilang minat untuk
belajar. Dari soalan soal selidik, responden memberi beberapa alasan bagi menerangkan
kenapa mereka tidak berminat dengan pelajaran dan persekolahan. Antara alasan yang
diberi ialah:
 Tidak faham pengajaran guru
 Guru pilih kasih
 Latihan yang banyak dan membebankan
 Pengajaran yang membosankan
 Suasana sekolah yang tidak menyenangkan
 Pengaruh kawan
 Hilang keyakinan diri
 Sukar untuk mencapai kejayaan

Guru-guru boleh mengambil beberapa pendekatan bagi menghampiri plajar-pelajar yang


tidak berminat sebagi langkah meningkatkan motivasi untuk belajar. Secara idealnya,
tugasan seharusnya mencabar namun boleh dicapai. Kerelevanan juga turut meningkat
motivasi untuk belajar termasuk memberi konteks dalam pembelajaran, yakni membantu
pelajar melihat bagaimana kemahiran yang dipelajari adalah berkaitan dan perlu dalam
kehidupan sebenar (Lepper, 1988). Tugasan yang melibatkan percanggahan jangkaan
juga berfaedah bagi pelajar kerana merangsang sifat ingin tahu pelajar yang merupakan
motivator intrinsic (Lepper, 1988). Tugasan yang dibahagikan dalam bentuk matlamat
jangka pendek membantu pelajar untuk mengaitkan usaha dengan kejayaan (Stipek,
1988). Brophy mencadangkan agar guru menyatakan secara lisan tujuan tugasan ketika
memberikan tugasan kepada pelajar (Brophy 1986). Iklim bilik darjah juga penting. Jika
pelajar berasa bahawa persekitaran bilik darjah memberi mesej bahwa mereka dihargai,
dihormati sebagai ahli kelas berkenaan, maka mereka akan lebih cenderung untuk
melibatkan diri dalam proses pembelajaran.

Ibu bapa juga perlu berusaha menanam sikap yang positif terhadap persekolahan dan
pembelajaran dalam diri anak-anak. Antara langkah yang boleh diambil ialah melalui
cara-cara berikut:
 Beri peneguhan kepada perkara yang dipelajari di sekolah.
 Didik anak-anak untuk menghormati guru dan sekolah.
 Bantu anak-anak untuk memahami tujuan kerja rumah dan juga peraturan-
peraturan sekolah.
 Libatkan diri dengan kerja sekolah anak-anak.
Ibu bapa dan pendidik perlu menjadi contoh tauladan bagi anak-anak dan para pelajar
dengan menunjukkan minat dan keseronokan untuk belajar. Salah satu cara untuk ibu
bapa menunjukkan komitmen terhadap pembelajaran ialah dengan membaca bersama
anak-anak. Sediakan bahan-bahan serta bimbingan serta kasih sayang dan sokongan
yang anak-anak perlukan untuk berjaya dalam pelajaran. Nilai-nilai murni seperti
iltizam, hormat menghormati serta tanggung jawab akan membantu anak-anak untuk
berjaya dalam kehidupan. Ibu bapa juga perlu memberi sokongan emosi kepada anak-
anak. Antara cara yang paling mudah untuk berbuat demikian ialah dengan memberi
masa untuk mendengar dan menunjuk minat dalam aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.
Keadaan rumah tangga yang aman damai membuat anak-anak berasa selamat dan
membantu mereka memberi tumpuan yang sepatutnya kepada kerja-kerja sekolah

Kepercayaan kendiri
Kepercayaan kendiri adalah kepercayaan dan keyakinan yang ada pada pelajar tentang
kebolehan diri sendiri untuk berjaya dalam pelajaran, menghadapi cabaran dan
melakukan sebaik yang mungkin. Pelajar-pelajar yang mempunyai kepercayaan kendiri
cenderung untuk mempercayai bahwa mereka boleh memahami pelajaran yang diajar
dengan baik dan melakukan tugasan yang mencabar dengan penuh keyakinan serta berasa
optimistik tentang keupayaan untuk melakukan sebaik mungkin. Justeru, salah satu item
yang terdapat dalam soal selidik meminta mereka menyatakan kebolehan sendiri dari
sudut pandangan ibu bapa, adik beradik dan rakan-rakan lain. Respons yang diterima
bagi soalan ini adalah seperti berikut:

Kebolehan sendiri
 Dari pandangan ibu
o 80.77 % berkebolehan
 Dari pandangan bapa
o 73.08 % berkebolehan
 Dari pandangan adik beradik
o 84.61 % berkebolehan
 Berbanding rakan lain
o 61.5 % tidak pasti
Respons pelajar menunjukkan mereka sedar akan jangkaan tinggi daripada ibu bapa
masing-masing. Cuma mereka belum pasti akan tanggapan rakan pelajar terhadap
kebolehan mereka. Kebolehan sebenar pelajar teruji bila mereka berada di kalangan
rakan kelas. Setiap individu dapat membandingkan kebolehannya dengan rakan lain dan
pelajar sesama mereka boleh menentukan tahap kebolehan sesama rakan.

Jadual 1 menunjukkan taburan respons kepada item-item yang berkaitan dengan


kebolehan responden dalam pelajaran. Sebanyak 92.31% menyatakan harapan mereka
untuk pandai dalam pelajaran seperti rakan lain. Respons ini memberi gambaran bahawa
mereka kurang yakin akan kebolehan mereka dan menganggap bahawa pelajar atau rakan
lain lebih pandai daripada mereka. Justeru, guru-guru dan juga ibu bapa perlu berusaha
untuk membina keyakinan dalam diri pelajar akan kebolehan masing dan berusaha untuk
memantapkan kebolehan tersebut. Pelajar-pelajar perlu dihargai dan dihormati dan
segala usaha mereka tidak boleh diperkecilkan. Kita sebagai guru perlu senantiasa
prihatin akan kebimbangan pelajar dan terus menerus membakar semangat mereka untuk
berusaha agar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan juga dalam kehidupan di
hari muka. Adalah penting bagi kita sebagai pendidik dan penjaga untuk membina
keyakinan dan kepercayaan anak-anak akan kebolehan mereka untuk berjaya agar mereka
lebih bersifat waja dan berupaya mendepani segala cabaran yang mungkin.

Jadual 1: Kebolehan dalam pelajaran


Pernyataan Setuju (%) Tidak setuju (%)

Berbanding dengan rakan lain, pelajaran 38.46 50.00


susah bagi saya
Saya memang tidak berbakat dalam mana- 15.38 73.08
mana mata pelajaran
Jika saya tidak faham dari awal, saya 15.38 50.00
memang tidak akan faham semuanya
Saya selalu berharap saya pandai dalam 92.31 7.69
pelajaran seperti rakan lain
Saya belajar kerana mahu menjadi lebih 76.92 11.54
pandai daripada rakan-rakan

Kita perlu menghargai segala usaha anak-anak untuk berjaya. Maklumkan kepada anak-
anak yang kita sebagai ibu bapa berbangga dengan kerja keras dan kejayaan mereka.
Andainya mereka gagal, kita seharusnya meniupkan semangat untuk terus mencuba dan
bukan menambahkan lagi rasa kecewa mereka. Ibu bapa dan pendidik seharusnya
meluangkan masa untuk berbincang tentang kegagalan yang dialami agar mereka
mendapat pengajaran dan iktibar dari pengalaman tersebut dan menjadi dorongan untuk
terus mencuba. Ibu-bapa perlu memahami anak-anak dan tidak boleh berputus asa
dengan mereka. Ini adalah kerana sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa
untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi kanak-kanak. Mereka akan terus belajar
dan berusaha untuk berjaya jika kita percaya bahwa mereka akan berjaya. Kepercayaan
guru sendiri tentang pengajaran dan pembelajaran dan jangkaan mereka terhadap pelajar
juga turut memberi pengaruh yang kuat (Raffini, 1993). Seperti yang dinyatakan oleh
Deborah Stipek (1988), pelajar akan belajar jika guru menjangkakan yang mereka akan
belajar.

Sikap terhadap pembelajaran


Nilai persekolahan merujuk kepada setakat mana pelajar percaya apa yang dipelajari di
sekolah adalah berguna, penting dan relevan untuk diri mereka. Jika pelajar menghargai
persekolahan, mereka cenderung untuk percaya apa yang dipelajari di sekolah boleh
dipindahkan ke situasi lain dalam kehidupan mereka, percaya bahawa belajar itu penting
dan apa yang dipelajari di sekolah adalah relevan dengan kehidupan mereka.
Kepercayaan ini akan membentuk sikap mereka terhadap pembelajaran dan persekolahan.
Pelajar yang percaya bahwa pendidika itu penting akan mempunyai sikap yang positif
terhadap pembelajaran dan persekolahan.

Jadual 2: Sikap terhadap pembelajaran


Pernyataan Setuju (%) Tidak setuju (%)

Saya lebih suka pelajaran jika tidak susah 65.38 30.77

Walaupun pelajaran susah, saya tetap akan 88.46 11.54


mencuba.
Saya hanya belajar bila terfikirkan masa 42.30 46.15
depan
Saya tetap berusaha walau pun tanpa 69.23 23.08
bantuan guru dan rakan.
Saya mengulangkaji pelajaran tanpa disuruh 69.23 19.23

Saya cuma belajar apabila saya suka hendak 11.54 76.92


belajar
Saya akan cuba membuat latihan jika ia 38.46 50.00
tidak sukar.
Saya tidak suka memeningkan kepala saya 34.61 50.00
dengan masalah pelajaran.

Jadual 2 menunjukkan respons pelajar berkaitan sikap mereka terhadap pelajaran. Pada
umumnya pelajar menunjukkan minat yang memberangsangkan terhadap pelajaran.
Walaupun mereka lebih suka belajar pelajaran yang tidak susah, namun 88.46%
menyatakan bahwa mereka akan tetap belajar walaupun pelajaran susah dan akan
mengulangi pelajaran tanpa disuruh. Mereka akan membuat latihan dan cuba
menyelesaikan masalah pembelajaran yang dihadapi. Justeru, untuk berjaya dalam
pelajaran, mereka akan lakukan perkara-perkara berikut:
 Menghafal dan mengingat semua pelajaran (72.43%)
 Belajar sendiri dengan bersungguh-sugguh (62.82%)
 Menyiapkan latihan dalam kelas dan membuat kerja rumah (52.56%)
 Membuat banyak rujukan (50.64%)
 Membuat banyak latihan tambahan (50.0%)
 Mengikuti kelas tuisyen berbayar (50.0%)
 Faham bahan yang dipelajari (48.08%)

Langkah-langkah lain yang akan diambil termasuklah

 Banyak bertanya dan berbincang dengan kawan


 Mendapat bimbingan dari guru-guru
 Mempunyai bakat dan kebolehan semula jadi
 Bergaul dengan rakan-rakan yang pandai
 Mengikuti kursus motivasi
 Bernasib baik

Responden mempunyai pelbagai alasan kenapa mereka ingin berjaya dalam pelajaran.
Antara sebab-sebab mereka ingin berjaya dalam pelajaran ialah:
 Mendapatkan kerja (80.76%)
 Melanjutkan pejaran ke peringkat tinggi (76.9%)
 Menggembirakan ibu bapa (69.23 %)
 Kepuasan diri (61.54%)
 Mendapat pujian dari guru-guru (38.46%)
 Dihormati rakan-rakan (26.92 %)
Pelajar-pelajar sememangnya sedar bahwa mereka perlukan pendidikan untuk
mendapatkan pekerjaan bagi menjamin masa depan mereka. Pendidikan itu mungkin
pada tahap sekolah menengah sahaja tanpa melalui pendidikan tinggi namun mesej yang
disampaikan ialah mereka sedar akan peranan pendidikan dalam menentukan peluang
pekerjaan. Namun, pelajar perlu juga disedarkan bahawa pendidikan adalah proses
berterusan sepanjang hidup dan mereka perlu punya wawasan untuk berjaya di masa
depan.

Penutup
Dapatan dari tinjauan ringkas ini menunjukkan kepada kita bahwa pelajar-pelajar
sememangnya masih berminat dalam pelajaran. Mereka percaya akan perlunya kepada
usaha dan kebolehan diri sendiri untuk berjaya. Namun minat ini boleh bertukar dan
menurun disebabkan oleh sikap dan pengajaran guru dalam kelas. Sikap guru yang tidak
bertanggungjawab atau kurang prihatin akan keperluan para pelajar akan membuatkan
pelajar tidak berminat untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan. Pendekatan
humanistik amat penting dalam pendidikan. Selain membina minda, kita juga perlu
mengisi ruang emosi para pelajar supaya mereka tidak terasa diabaikan dan masih ada
yang prihatin akan keadaan mereka.
Pendidik berkualiti aspirasi negara. Justeru, para pendidik perlu bijak mengadunkan ilmu
dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran. Setiap kita yang menjadi pendidik
seharusnya berusaha keras dengan ikhlas agar mampu mendidik dan menghasilkan
generasi anak bangsa yang bersemangat waja serta mampu bersaing agar tidak
ketinggalan oleh bangsa asing. Kita perlu berusaha membangkitkan semangat dan
memberi dorongan kepada anak-anak didik untuk terus bekerja kuat bagi mengejar
kecemerlangan.

Rujukan
Ames, Carole A.(1990). Motivation: What teachers need to know. Teachers College
Record 91(3) 409-21.

Atkinson, J. W., & Feather, N. T. (1974). A theory of achievement motivation. Huntington, N.Y.,:
R. E. Krieger Pub. Co.

Brophy, J. (1986). On motivating students. Occasional Paper No. 101. East Lansing,
Michigan: Institute for Research on Teaching, Michigan State University, October 1986.
73 pages. ED 276 724.

Brophy, J. (1987). Synthesis of research on strategies for motivating students to learn.


Educational Leadership. 40-48. EJ 362 226.

Condry, J., & Chambers, J. (1978). Intrinsic motivation and the process of learning. In
The hidden costs of reward, M.R. Lepper and D. Greene (Eds.), 61-84. Hillsdale, New
Jersey: Lawrence Erlbaum Associates, Inc.

Covington, M.V. (1992). Making the grade: A self-worth perspective on motivation and school
reform. Cambridge: Cambridge University Press.

Deci, E.L., & Ryan, R.M. (1991). Amotivational apprach to self: Integration in
personality. In R. Dienstbier (Ed.). Nebraska symposium on motivation: Vol.38.
Perspectives on motivation (pp.237-288). Lincoln: University of Nrebraska Press.

Duda, J.L. (1992). Motivation in sport settings: A goal perspective approach. In G.C. Roberts
(Ed.). Motivation in sport and exercise. Champaign, IL: Human Kinetics Books.

Duda, J.L., & Nicholls, J.G. (1992). Dimensions of achievement motivation in schoolwork and
sport. Journal of Educational Psychology, 84, 290-299.

Harter, S., & Connell, J.P. (1984). A model of children’s achievement and related self-perceptions
of competence, control, and motivation orientation. In J. Nicholls (Ed.). The development of
achievement motivation. London: JAI Press.
1
Lepper, M. R. (1988). Motivational considerations in the study of instruction. Cognition
And Instruction 5(4), 289-309.
Lochbaum, M.R., & Roberts, G.C. (1993). Goal orientations and perceptions of the sport
experience. Journal of Sport and Exercise Psychology, 15, 160-171.

Maehr, M. L., & Midgley, C. (1991). Enhancing student motivation: A schoolwide


approach. Educational Psychologist 26(3) & (4), 399-427.

Marshall, H. H. (1987). Motivational strategies of three fifth-grade teachers." The


Elementary School Journal 88 (2), 135-50.

Middleton, M.J., & Midgley, C. (1997). Avoiding the demonstration of lack of ability: An
unexplored aspect of goal theory. Journal of Educational Psychology, 89, 710-718.

Nicholls, J.G. (1989). The competitive ethos and democratic education. Cambridge: Harvard
University Press.

Patrick, B.C., Skinner, E.A., & Connell, J.P. (1993). What motivates children’s behavior and
emotion? Joint effects of perceived control and autonomy in the academic domain. Journal of
Personality and Social Psychology, 65, 781-791.

Raffini, J. (1993). Winners without losers: structures and strategies for increasing
student motivation to learn. Boston: Allyn and Bacon..

Stipek, D. (1988). Motivation to learn: from theory to practice. Englewood Cliffs, New
Jersey: Prentice Hall..

Wlodkowski, R.J. & Jaynes, J.H. (1990). Eager to learn: Helping children to become
motivated to love learning. Oxford: Jossey-Bass Publishers. Chapter 3.

You might also like