You are on page 1of 12

Masalah ponteng sekolah pelajar sekolah luar bandar. Punca dan akibat.

Disediakan oleh : Suhaiza binti Zainoldin @ Zainuddin (MP 071068 i/c : 840421-08-5906)

ABSTRAK

Kertas kerja ini merupakan satu kajian pendek tentang permasalah ponteng
sekolah yang berlaku di sekolah luar bandar. Fokusnya adalah untuk
mengetahui punca pelajar tidak hadir ke sekolah serta mengaitkan dengan akibat
ponteng terhadap pelajar. Responden yang terlibat adalah 10 orang pelajar
tingkatan tiga, empat dan lima yang mencatatkan rekod ketidak hadiran ke
sekolah paling kerap bermula Januari hingga September 2008. Kaedah yang
digunakan adalah kaedah temubual dan rujukan dokumen berkaitan. Temubual
dijalankan kepada pelajar, ibu bapa dan juga kaunselor sekolah berkenaan.
Hasilnya didapati pelajar ponteng berpunca dari sikap mereka sendiri yang
malas dan tidak mementingkan pelajaran. Sikap ibu bapa juga yang tidak
menghiraukan anak mereka yang ponteng sekolah menjadi punca masalah ini
semakin berlelewasa. Akibatnya 80% pelajar yang ponteng sekolah ini telah
terlibat dengan masalah disiplin. Pihak sekolah telah menjalankan pelbagai
progam untuk mengatasi masalah ponteng. Tetapi kurangnya kesedaran dan
kerjasama dari pelajar dan ibu bapa menyebabkan program-program ini tidak
mencapai matlamatnya. Justeru amat diharapkan pelajar menyedari pentingnya
mereka hadir ke sekolah untuk memperoleh ilmu pengetahuan demi masa depan
mereka. Ibu bapa juga harus lebih prihatin dalam memastikan anak mereka hadir
ke sekolah bagi mengelakkan mereka terlibat dengan masalah sosial yang tidak
sihat. Selain itu guru-guru perlu lebih prihatin dengan pelajar dan mengambil
berat terhadap pelajar ponteng supaya masalah ini tidak menjadi semakin serius
di masa akan datang.
PENGENALAN

Menurut kamus dewan, ponteng didefinisikan sebagai kecoh, tipu atau lari dari
tugas dan tanggungjawab tanpa kebenararan. Ponteng merupakan satu
perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar
dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang
dibenarkan pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini
didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang serius.
Malahan di peringkat Parlimen turut dibahaskan tentang masalah pelajar
ponteng sekolah menjadikan ianya bukan sahaja masalah setempat tetapi sudah
dianggap masalah negara. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang
masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu
tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke
peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh
Kementerian Pendidikan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng
didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-
sekolah di kawasan luar bandar.

Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat
terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca
daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan
tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti
mata pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping
itu, pelajar juga kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk
mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri
mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang
banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang
cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka
kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu
bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar
akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih
cerdas.
Dalam situasi pelajar dibandar,pelajar mungkin ponteng kerana mereka lebih
mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di
kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di
pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi.
Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau
berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan
kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai
kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka.
Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di
sekolah.

Berbeza dengan situasi dikawasan yang dikaji dimana persekitaran kawasan luar
bandar ini dikelilingi dengan pokok kelapa sawit. Tiada wujud pusat membeli
belah atau pusat hiburan apatah lagi panggung wayang. Namun masalah
ponteng masih lagi berlelawasa dan memberi impak yang buruk kepada sekolah.
Melihat pelajar yang memakai baju sekolah berada di dalam ladang kelapa sawit
sambil merokok dalam waktu persekolahan merupakan satu pemandangan yang
amat janggal bagi penduduk sekitar. Jesteru pihak sekolah akan dirujuk dan
sekaligus ianya memberi kesan negatif terhadap pengurusan dan pentadbiran
sekolah sekaligus mencemarkan reputasi institusi pendidikan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah aktiviti yang dilakukan oleh pelajar
semasa mereka ponteng. Pelajar yang tidak hadir ke sekolah terdedah kepada
pergaulan dengan golongan yang juga tidak bersekolah. Sama ada rakan
sebaya yang telah dibuang sekolah atas sebab masalah disiplin atau mereka
yang tidak mahu ke sekolah. Golongan ini akan banyak menghabiskan masa
dengan melepak, merokok dan lebih teruk lagi mengambil dadah. Persekitaran
kawasan pedalaman ini tidak membuka peluang pekerjaan yang meluas kepada
golongan muda mudi. Pekerjaan yang ada hanyalah sebagai pengait buah sawit
atau menternak haiwan peliharaan seperti lembu dan kambing. Tidak ramai
golongan muda yang ingin melakukan kerja berat sebegini dan mereka lebih
suka melepak di persimpangan jalan atau merempit tanpa tujuan sepanjang hari.
Pelajar dalam usia remaja ini sering didorong perasaan ingin mencuba dan
sangat ditakuti mereka ini terpengaruh dan terjebak dengan gejala yang tidak
sihat. Justeru peranan guru dan ibu bapa sangat penting dalam memastikan
pelajar diawasi dari masa ke semasa untuk memastikan mereka tidak melakukan
perkara yang akan menghancurkan masa depan mereka kelak. Ramai
beranggapan bahawa pelajar tidak datang ke sekolah kerana guru tidak berjaya
menarik minat mereka untuk datang ke sekolah. Terdapat juga para pelajar yang
memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang
garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan
untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan
kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang
datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda
kerana kesalahan mereka itu.

Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya
akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar
dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang
mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang
pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil. Biasanya pihak
sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan
kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan
kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang
diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka
tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara
tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang
berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka.
Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk
terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya.
Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan
amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.
Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan.
Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja
secara sambilan sebagai pembantu di kedai makan, dan tidak kurang pula yang
bekerja sebagai peniaga makanan di pasar malam. Malah masih ramai di
kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu
keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja
pada waktu malam.

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar
ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan
untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali
gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa,
pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan
gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.

Menurut Aziz ( 2007) dalam penulisannya mengenai masalah disiplin pelajar


menyatakan salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng
sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua
orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu.
Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat
setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.Jangan terkejut jika ada
yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang
bersekolah di luar bandar. Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang
menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang
sihat kepada anak-anak mereka sendiri.

Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari
berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya
mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan akan
melencong ke tempat lain. Justeru kajian ini akan melihat punca dan akibat
budaya ponteng sekolah di kawasan luar bandar dari perspektif pelajar, guru dan
ibubapa.
OBJEKTIF

Objektif kajian ini adalah untuk;

i) Mengetahui punca pelajar ponteng sekolah.


ii) Mengetahui akibat dari gejala ponteng kepada pelajar.
iii) Mengetahui apakah tindakan ibu bapa apabila mengetahui anak
mereka ponteng.
iv) Mencadangkang langkah mengatasi masalah ponteng

RESPONDEN

Kajian ini dilakukan ke atas pelajar salah sebuah sekolah luar bandar iaitu
sebuah sekolah felda dalam daerah Mersing. Responden dipilih daripada 10
pelajar tingkatan tiga, empat dan lima yang mempunyai rekod ketidak hadiran ke
sekolah yang paling kerap dalam tahun 2008. 10 orang penjaga kepada pelajar
dan seorang kaunselor sekolah turut terlibat bagi memperoleh maklumat yang
optimum.

KAEDAH KAJIAN

Bagi mendapatkan maklumat tentang masalah ini sesi temubual telah dilakukan
kepada 10 orang pelajar yang terlibat meliputi persoalan tentang punca pelajar
tidak hadir ke sekolah dan kesan gejala ponteng terhadap mereka. Kaedah
temubual turut dijalankan kepada kaunselor sekolah dan ibu bapa pelajar yang
ponteng, kaedah temubual telah dilakukan bertujuan memperoleh gambaran
yang jelas seta bertanya dengan lebih lanjut tentang masalah yang timbul .
Proses temubual dilakukan secara lansung dan direkodkan.
Walaubagaimanapun beberapa kekangan dari ibu bapa yang tidak dapat hadir
untuk sesi temubual menyebabkan temual melalui talifon telah dijalankan.
DalamRujukan pula dilakukan terhadap dokumentasi yang boleh menunjukkan
rekod pelajar seperti Buku Rekod Kedatangan Pelajar, Keputusan Peperiksaan,
Rekod Disiplin Pelajar dan Buku Latihan.

DAPATAN KAJIAN

Hasil dari rujukan mendapati 80% pelajar yang ponteng terlibat dengan masalah
disiplin. Pelajar ini juga mempunyai rekod penghantaran buku latihan yang tidak
kerap serta keputusan peperiksaan yang sangat tidak memuaskan ( Jadual 1).

Bil Umur Jantina Bil hari Rekod Keputusan Masalah disiplin


pelajar ponteng penghantaran peperiksaan
hingga buku latihan (min)
September
2008
1. 15 tahun Lelaki 78 5% E Merokok,dadah
2. 18 Tahun Lelaki 71 5% G Merokok, gaduh
3. 16 tahun Perempuan 68 12 % G Mencuri
4. 15 tahun Perempuan 60 25 % G Merokok
5. 17 tahun Lelaki 58 20 % E Merokok,gaduh
6. 17 tahun Lelaki 55 18 % E -
7. 16 tahun Lelaki 52 10 % G Samun rumah,
curi motosikal
8. 15 tahun Perempuan 51 30 % D Lari dari rumah
9. 17 tahun Lelaki 51 35 % E -
10. 17 tahun Lelaki 50 30 % E Merokok

Jadual 1 : Hasil rujukan dokumen berkaitan.

Temubual yang dijalankan dengan pelajar mendapati beberapa sebab mereka


ponteng sekolah adalah takut didenda kerana tidak menyiapkan tugasan yang
diberikan guru, tidak cukup tidur kerana pada waktu malam mereka keluar
melepak dengan kawan-kawan atau menonton televisyen, tidak faham dengan
pengajaran guru serta tidak minat belajar. Empat faktor ini adalah yang paling
kerap diperkatakan oleh pelajar-pelajar yang ponteng. Apabila tidak hadir ke
sekolah, apa yang dilakukan oleh pelajar adalah tidur dirumah, pergi ke rumah
rakan, melepak di dalam kebun dan menonton televisyen. Ibu bapa yang ditanya
turut menyatakan anak mereka ada dirumah semasa tidak ke sekolah.

Pelajar turut menyatakan yang ibu bapa mereka tidak kisah sekiranya mereka
tidak hadir ke sekolah. Ada juga ibu bapa yang tidak mengetahui anak mereka
ponteng sekolah kerana kedua-duanya telah keluar bekerja kilang seawal pagi.
Mereka hanya mengetahui perkara ini selepas dihubungi oleh pihak sekolah.
Yang lebih membimbangkan ada ibu bapa yang menyatakan dia sudah tidak
dapat menasihatkan anaknya untuk ke sekolah kerana anaknya memang tidak
minat belajar. Malahan tiada seorang pun penjaga yang menghukum anak
mereka kerana tidak hadir ke sekolah. Ada ibu bapa yang tidak mengambil apa-
apa tindakan apabila mengetahui anak mereka ponteng sekolah. Ini
menunjukkan seolah-olah ibu bapa tidak langsung menghiraukan anak mereka.

Sesi temubual dengan kaunselor pula telah melihat masalah ponteng ini sebagai
satu masalah disiplin yang kronik. Pelajar berkenaan telah pun dipanggil untuk
sesi kaunseling bagi mengetahui masalah sebenar mereka ponteng. Respon
yang diperolehi lebih menjuruskan perasaan meraka yang bosan dengan
pengajaran guru, tidak berminat dan lemah dalam menguasai mata pelajaran
yang diajar. Akibatnya pelajar ini terus ketinggalan dan mengambil jalan mudah
dengan ponteng sekolah. Apabila tidak hadir ke sekolah pelajar mula terjebak
dengan gejala yang kurang sihat seperti rokok dan dadah. Pergaulan bebas
mereka ini telah membawa kepada kes yang lebih rumit lagi seperti pergaduhan,
mencuri dan lari dari rumah.

Kaunselor dan pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik
pelajar-pelajar ini datang ke sekolah. Antaranya mengadakan program
perkhemahan untuk pelajar bermasalah, mengadakan sesi temubual dengan
pelajar bagi menyelami masalah yang mereka alami, memperbanyakkan aktiviti
diluar bilik darjah, mengadakan kem motivasi serta memberi ganjaran kepada
pelajar yang rajin datang ke sekolah. Guru-guru juga sering memantau dan
mengikuti perkembangan pelajar-pelajar bermasalah ini agar pergerakan mereka
tidak menyimpang dari tugas sebagai seorang pelajar dan seoarang islam.
Sekurang-kurangnya pelajar ini dapat merasakan yang masih ada orang yang
sayang dan memberi perhatian terhadap mereka.

Dari sesi temubual juga pelajar telah menyatakan beberapa perkara yang
menarik minat mereka untuk datang ke sekolah. Antaranya adalah aktiviti di luar
sekolah seperti perkhemahan dan lawatan. Pembelajaran tidak suka
permbelajaran yang sekadar menyalin nota di papan hitam. Pelajar-pelajar ini
gemar kepada guru yang tegas tetapi mesra. Boleh menyampaikan ilmu dengan
maksimum dan ada kalanya boleh bergurau senda. Mereka tidak gemar kepada
guru yang menggunakan kekerasan untuk mengajar apatah lagi merotan kerana
mereka sudah dewasa. Mata pelajaran yang membosankan perlu diajar dengan
cara yang pelbagai.

KESIMPULAN

Masalah ponteng sekolah hari ini telah menjadi satu isu global yang
dibincangkan dalam parlimen. Namun tindakan merotan dan gantung sekolah
tidak mampu menangani masalah pelajar ponteng terutama bagi sekolah-
sekolah di luar bandar. Permasalahan yang timbul ini memperlihatkan
peningkatan hari demi hari. Apa yang lebih membimbangkan adalah kesannya
terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat. Antara alasan yang diberikan oleh
pelajar yang ponteng adalah takut didenda kerana tidak menyiapkan tugasan
yang diberikan guru, tidak cukup tidur kerana pada waktu malam mereka keluar
melepak dengan kawan-kawan atau menonton televisyen, tidak faham dengan
pengajaran guru serta tidak minat belajar. Tindakan ibu bapa yang tidak tegas
juga menyumbang kepada masalah ini. Yang lebih membimbangkan ada ibu
bapa yang menyatakan dia sudah tidak dapat menasihatkan anaknya untuk ke
sekolah kerana anaknya memang tidak minat belajar. Kaunselor dan pihak
sekolah telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik pelajar-pelajar ini
datang ke sekolah. Namun semuanya tidak dapat mencapai matlamat sekiranya
tidak mendapat sokongan dari ibu bapa serta kemahuan pelajar itu sendiri.
Beberapa perkara yang dapat menarik minat mereka untuk datang ke sekolah
adalah seperti aktiviti di luar sekolah seperti perkhemahan dan lawatan,kegiatan
kokurikulum dan guru yang berkesan.

CADANGAN

i) Pelajar perlu lebih didedahkan dengan dunia luar bagi memberi


kesedaran tentang akibat ponteng sekolah
ii) Pelajar perlu ada sikap yang lebih positif untuk hadir ke sekolah dan
tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat
iii) Ibu bapa sepatutnya mendenda anak mereka yang tidak hadir ke
sekolah dan tidak mengharapkan guru semata-mata.
iv) Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kehadiran
anak mereka ke sekolah
v) Guru perlu meningkatkan gaya penyampaian pelajaran supaya pelajar
akan lebih berminat untuk mengikuti pengajaran guru.
vi) Guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran dan melakukan aktiviti
luar kelas bagi menarik minat pelajar.
RUJUKAN

Abdul Aziz ( 2007 ), Masalah ponteng pelajar tingkatan 4 sekolah-sekolah dalam


daerah
Muar, satu kajian kes, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Kamus Dewan, edisi-4 (2005), Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kuala Lumpur, Malaysia.

Carol A.Bailey (2007), A Guide to Qualitative Field Research. United States of America
: Sage Publication India Pvt. Ltd

Hashimah Mohd. Yunus (2004) Pengantar Penyelidikan dan Kajian Tindakan. Nota
Kuliah PGT 303 : Tidak Diterbitkan.

Jumaat Hasim (2004). Pandangan Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Luar
Bandar Terhadap Pengajaran Guru Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Di
Dalam Bahasa Inggeris. Universiti Teknologi Malaysia: Projek Sarjana Muda.

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999), Penyelidikan Pendidikan. Skudai, Johor : Penerbit
Universiti Teknologi Malaysia.

Mohamed Sharif Mustafa. (2001) . The Analysis of Counselling in Context: A Qualitative


Case Study Apporach to Practice In Malaysian Secondary Schools. Australia:
Queensland University of Technology. Tidak di Terbitkan.

Mohd Majid Konteng (2004) , Kaedah Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Lebar (2006). Penyelidikan Kuantitatif Pengenalan Kepada Teori dan Metod.
Tanjung Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sharlene Nagy Hesse-Biber, Patricia Leavy (2006), The Practice of Qualitative Research.
United States of America : Sage Publications.Inc.

SOALAN BERSTUKTUR UNTUK TEMUBUAL.

I) Soalan temubual dengan pelajar.

1. Kenapa anda tidak hadir ke sekolah ?


2. Apa yang sering anda lakukan semasa ponteng sekolah ?
3. Apakah tindakan ibu bapa anda apabila mengetahui anda ponteng
sekolah ?
4. Apakah yang dapat menarik minat anda untuk hadir ke sekolah ?

II) Soalan temubual dengan ibu bapa.

1. Adakah anda mengetahui yang anak anda ponteng sekolah ?


2. Dari mana anda mengetahui anak anda ponteng sekolah ?
3. Apakah tindakan anda semasa mengetahui anak anda ponteng
sekolah ?
4. Apakah yang sering anak anda lakukan semasa ponteng sekolah ?

III) Soalan temubual dengan kaunselor sekolah.

1. Mengapa pelajar ponteng ?


2. Apakah akibat pelajar yang sering ponteng?
3. Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah dalam
mengatasi masalah ini?
4. Bagaimana kaunselor boleh membantu pelajar yang ponteng?

You might also like