You are on page 1of 3

Mengenali Kitar Haid Wanita

Apakah sebenarnya pusingan haid ini?


Ini adalah pusingan yang berlaku dalam rahim dan kilang ovari
sebagai tindakbalas pada rangsangan hormon-hormon dari kilang
pituitary dan ovary yang menghasilkan proses penetasan telur.
Hari pertama datang haid sehingga sehari sebelum haid bulan
berikutnya adalah dianggap sebagai satu pusingan. Jangka waktu
pusingan haid antara 20 hingga 40 hari adalah dianggap normal.
Kebanyakan wanita mempunyai pusingan 28 hingga 30 hari
sahaja. Lebih singkat atau lebih panjang daripada waktu ini (20 –
40 hari) adalah dianggap luar biasa atau tidak teratur. Ini
mungkin menandakan satu penyakit atau keadaan hormon tidak
seimbang dan mereka adalah kurang subur.
Adakah pusingan haid wanita dikawal oleh hormon?
Pusingan haid wanita memanglah dikawal oleh hormon-hormon –
dari kilang pituitary , hormon-hormon FSH dan LH , manakala
kilang ovarii mengeluarkan hormon-hormon oestrogen dan
progesterone . Begitu juga dengan ciri-ciri serta sifat
kewanitaan seperti rupa paras, kecantikan, kelembutan kulit dan
lain-lain juga dikawal oleh hormon wanita iaitu oestrogen dan
progesterone yang dikeluarkan oleh kilang ovari.
Kilang pituitary pula mengeluarkan hormon-hormon
gonadotrophin – FSH dan LH. Hormon hormon gonadotrophin ini
bertindak kepada kilang ovari untuk mengeluarkan telor (ovum)
dan kilang ovary pula mengeluarkan hormon-hormon oestrogen
dan progesterone. Hormon-hormon oestrogen dan progesterone
seterusnya akan bertindak pada selaput rahim. Ini adalah
bertujuan untuk membuat persediaan bagi menghadapi
kehamilan. Jika kehamilan tidak berlaku, selaput rahim akan
gugur sebagai darah haid.
Begitulah keadaannya setiap bulan kecuali bila berlaku kehamilan
atau sesuatu penyakit menyebabkan gangguan dalam pusingan
haid. Gangguan emosi seperti kesedihan akibat daripada
kematian saudara-mara dan tekanan fisikal juga boleh
mempengaruhi kawalan bagi pusingan haid.
Bagaimana cara menjaga kebersihan diri waktu haid?
Jagaan kebersihan faraj dan kawasan sekelilingnya pada waktu
haid adalah penting bagi kesihatan dan maruah diri wanita. Untuk
mengelakkan tompokan darah melekat pada pakaian, pakailah
tuala wanita. Bagi gadis-gadis sunti saya nasihatkan jangan
memakai tuala tampon yang dimasukkan ke dalam faraj sepert
yang diamalkan oleh gadis-gadis barat, kerana ia mungkin boleh
merosakkan selaput daranya.
Ada kes yang dilaporkan di mana wanita yang menggunakan
tampon didalam faraj mengalami penyakit yang digelar “tampon
shock” akibat dari jangkitan kuman kerana lupa untuk
mengeluarkan dan menggantikan tampon pada waktu tertentu
dan ini boleh mengancam nyawa wanita berkenaan.
Ada juga wanita yang membasuh saluran faraj dengan
menggunakan antiseptic yang dicairkan sejurus selepas haid
berhenti. Proses ini digelar dengan nama “douching”. Jika perlu
melakukan douching, gunakanlah air suam panas dicampur
dengan sedikit garam atau ubat antiseptik yang sangat cair.
Douching hanya boleh dilakukan oleh wanita yang sudah kahwin
sahaja, anak dara tidak dibenarkan kerana takut ia boleh
merosakkan selaput dara. ‘Douching’ juga merupakan satu
kaedah rawatan bagi penyakit jangkitan kuman dalam faraj.
Setelah bersih dari haid setiap wanita diwajibkan mandi hadas
besar untuk membolehkan ia melakukan amal ibadat.
Apakah yang dimaksudkan dengan taqwim haid?
Taqwim haid adalah catitan tarikh dan pusingan haid dalam
buku catitan harian atau dairi. Ini adalah satu amalan yang baik
dan banyak faedahnya dari segi penjagaan kesihatan dan
hubungan suami isteri serta menentukan waktu subur dan tarikh
bersalin jika ia hamil. Setiap wanita dalam umur subur (15-45
tahun) perlu mencatitkan tarikh dan jumlah hari haid mereka
dalam dairi. Dari catitan ini banyak jenis gangguan dan penyakit
boleh dikesan.
Perbuatan ini mungkin dapat menyelamatkan wanita dari
penyakit seperti barah. Bagi wanita yang hamil, catitan haid
terakhir sebelum hamil adalah penting untuk menentukan umur
kandungan dan juga untuk menganggarkan tarikh kelahiran bayi.
Kebanyakan wanita masih belum sedar betapa mustahaknya
taqwim haid. Kelalaian ini telah menimbulkan banyak kesulitan
terutamanya pada kakitangan perubatan.
Dalam pengalaman saya sebagai doktor pakar kesihatan wanita,
kerapkali saya temui, wanita yang terlupa tarikh haid yang
terakhir dan kiraan bagi umur kehamilan menjadi kurang tepat.
Juga melalui catitan taqwim haid ini dapat ditentukan waktu subur
( antara hari ke-12 hingga hari ke-20 ). Ini amat mustahak untuk
merancang kehamilan dan merancang jantina bayi. Taqwim haid
juga boleh digunakan untuk menjauhkan kehamilan ( merancang
keluarga ) dengan menggunakan kaedah waktu selamat (antara
hari ke-8 hingga ke-11 dan hari ke-20 hingga ke-28 ).
Bagaimana kaitan haid ini dengan waktu subur ?
Wanita hanya keluar benih sekali dalam sebulan, benih
perempuan atau ovum dikeluarkan oleh kilang ovari. Setiap
wanita mempunyai sepasang ovari dan dalam hayat seseorang
wanita ia boleh mengeluarkan lebih kurang 400 telur. Telur ini
biasanya keluar pada hari ke empat belas dalam pusingan haid,
jika pusingan haidnya merangkumi 28 hari.
Waktu penetasan telor ini (ovulation), dikatakan waktu subur
dan ia boleh berlaku diantara hari ke-11 hingga hari ke-20 dalam
pusingan haid.
Jika pusingan haid tidak teratur , maka sukar untuk menentukan
bila waktu subur ( telur menetas ), mungkin juga ia tidak subur.
Setiap wanita perlulah mempunyai pusingan haid yang teratur
untuk meningkat peluang untuk hamil.

You might also like