You are on page 1of 15

Pembangunan Modal Insan Melalui Pendidikan Sekolah Agama:

Satu Kajian awal di Sekolah Menengah Agama Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor

Hairunnizam Wahid1
Dr Jaffary Awang2
Dr Rozmi Ismail3
Kamaruddin Salleh2
Dr Mohamad Alinor Abdul Kadir4

Kumpulan Kajian Dunia Melayu & Islam5


ATMA, UKM

Pembangunan sumber manusia merupakan satu proses yang berterusan


mempertingkatkan modal manusia. Ia amat penting kerana manusia adalah modal yang
dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Banyak kajian menunjukkan
pendidikan mempunyai hubungan yang positif dengan pertumbuhan ekonomi melalui
pembangunan modal manusia. Persoalannya bagaimana pula dengan pembangunan
modal manusia yang diperkenalkan dengan satu perspektif yang baru di Malaysia iaitu
pembangunan modal insan. Walaupun perkataan manusia dan insan mempunyai makna
yang hampir sama daripada segi bahasa, namun ia mempunyai makna yang berbeza dari
segi istilah. Pembangunan insan adalah bukan sahaja melihat dari sudut pembangunan
fizikal manusia tetapi ia lebih luas daripada itu iaitu melihat dari sudut rohani iaitu roh,
qalb serta aqal. Pembangunan modal insan boleh dipupuk melalui pendidikan formal
antaranya melalui pendidikan sekolah agama yang dapat mengimbangi persoalan
kehidupan manusia. Persoalannya sejauhmanakah pihak kerajaan mengambil pendekatan
yang serius dalam pembangunan sekolah agama di Malaysia? Kajian ini akan menjawab
persoalan sama ada pendidikan di sekolah agama dapat melahirkan manusia yang
seimbang bukan sahaja dalam aspek modal ekonomi tetapi juga aspek rohani yang dapat
dikaitkan dengan modal sosial yang dikatakan penting mempengaruhi pertumbuhan
ekonomi sesebuah negara. Kajian awal telah dijalankan di Sekolah Menengah Agama
Bandar Baru salak Tinggi, Sepang, Selangor yang melibatkan seramai 15 orang guru
sekolah tersebut. Hasil kajian awal ini menunjukkan pendidikan di sekolah agama
tersebut telah berjaya melahirkan modal insan yang diharapkan oleh kerajaan dan
diharapkan dapat mendokong pertumbuhan ekonomi negara. Beberapa implikasi dasar
juga dicadangkan dalam kajian ini kepada pihak kerajaan untuk terus membangunkan
pendidikan sekolah agama di Malaysia.

1
Pensyarah di Pusat Pengajian Ekonomi, FEP, UKM
2
Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
3
Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UKM
4
Pensyarah di Fakulti Sains & Teknologi, UKM
5
Penyelidikan di bawah Program Malim Sarjana iaitu DAMAI di ATMA, UKM

1
PENGENALAN

Pembangunan sumber manusia merupakan satu aspek yang penting untuk pembangunan
ekonomi sesebuah negara. Ini adalah kerana daya saing, daya pengeluaran, daya cipta dan
keupayaan dalam teknologi baru di sesebuah negara akan ditentukan oleh kualiti sumber
manusianya. Namun begitu pembangunan sumber manusia yang menekankan
penghasilan output yang bersifat ekonomi semata-mata tidak lagi memadai. Contohnya
jenayah komersial yang dilakukan oleh golongan intelek seperti menipu, pecah amanah
dan jenayah komputer adalah agak besar dan jika tidak dibendung akan membantutkan
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara . (lihat Jadual 1)

Jadual 1: Statistik Jenayah Komersial di Malaysia:Januari hingga September 2006


Nisbah daripada
Jenayah Komersil Bilangan Kes keseluruhan jenayah
(%)
Tipu 3,684 2.16
Pecah Amanah 1,498 0.88
Jenayah Komputer 245 0.14

Jumlah 5,427 3.18


Jumlah Jenayah Keseluruhan 170,481
Sumber: atas talian http://www.rmp.gov.my/rmp03/statindeks2006.htm

Daripada Jadual 1, daripada statistik tahun 2006 didapati jenayah yang paling banyak
dilakukan adalah menipu dengan 3,684 kes dan menyumbangkan 2.16% daripada
keseluruhan jenayah di Malaysia. Ini diikuti dengan jenayah pecah amanah sebanyak
1,498 kes (0.88%) dan jenayah komputer sebanyak 245 kes (0.14%). Kes jenayah ini
sebenarnya melibatkan jenayah komersial yang dilakukan oleh sebahagian besarnya
adalah golongan yang berpendidikan.

Walaupun ia lebih bersifat sosial, namun kesan negatif yang timbul akhirnya boleh
menyebabkan daya produktiviti, pengeluaran dan sebagainya akan menurun. Oleh itu
aspek pembangunan nilai-nilai murni atau sosial perlu dititikberatkan seiring dengan
pembangunan manusia yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum ini. Jalan
penyelesaian yang baik adalah kembali kepada Islam dan ini adalah sejajar dengan proses
kematangan fikiran umat Islam sendiri setelah mengharungi cabaran hidup yang semakin
mencabar oleh kecanggihan sains dan teknologi (Abdullah Ishak, 1995)

Pengenalan konsep modal insan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9)


adalah bertepatan dengan langkah membendung jenayah komersial yang berlaku sebelum
ini. Modal insan yang diketengahkan adalah modal insan yang berkualiti yang menjadi
terus utama kejayaan RMK9. Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara
holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek
termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan sains dan teknologi (S&T) serta
memiliki sikap, nilai dan etika positif dan progresif melalui pendidikan, latihan dan

2
pembelajaran sepanjang hayat. (RMK9 hlm. 249). Ini adalah selaras dengan konsep Islam
Hadhari yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Apa yang menariknya dalam RMK9 adalah penggunaan konsep modal insan yang
menggantikan modal manusia dan ia melibatkan pembangunan secara holistik. Maksud
perkataan insan itu sendiri adalah berbeza dengan manusia. Insan membawa maksud
manusia yg sempurna–kamil (baik, bersih drpd noda, dll) (Kamus Dewan Edisi Ketiga &
Kamus Pelajar) manakala istilah manusia membawa maksud makhluk yg mempunyai
akal budi, insan, orang: ada pun jenis yg tinggi sekali antara segala haiwan ialah ~; ~
utama manusia yg terbaik (Kamus Dewan Edisi Ketiga). Kedua-dua istilah ini jelas
menunjukkan insan adalah subset kepada manusia iaitu manusia yang sempurna dan baik.

Dalam konteks Islam, persoalan pembangunan modal insan ternyata difokuskan kepada
dua aspek utama iaitu aspek rohani dan jasmani. Ini jelas jika diteliti kepada pernyataan
dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu daripada pati tanah
(saripati yang berasal daripada tanah), kemudian Kami jadikan saripati itu airmani
(yang disimpan) di tempat yang kukuh (rahim), kemuadian air mani itu Kami
jadikan seketul darah dan segumpal daging, kemudian Kami jadikan segumpal
daging itu tulang, kemudian Kami jadikan dia satu kejadian yang lain (manusia
yang sempurna), maka Maha Besar Allah dan Dia adalah sebaik-baik Pencipta.
(al-Quran, al-Baqarah: 12-14)

Petikan ayat Al-Quran ini menegaskan kejadian manusia daripada tanah yang asal
kejadiannya daripada air mani yang hina. Dan justeru manusia merupakan komponen
kejadian daripada tanah, maka keperluan manusia untuk memenuhi tuntutan jasmani
seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan.

Persoalannya bagaimanakah pembangunan insan ini dapat dilaksanakan agar dapat


melahirkan modal insan yang diingini oleh pihak kerajaan? Abdullah Ishak (1995)
menyatakan untuk melahirkan generasi Islam yang unggul, perlu satu perancangan yang
teliti melalui pendidikan yang utuh dan ia perlu bermula dengan sistem pendidikan yang
diredai Allah yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan erti kata lain,
pembangunan sumber manusia untuk melahirkan modal insan yang mengikut acuan
Islam adalah melalui pendidikan Islam. Pendidikan Islam mempunyai falsafah dan
matlamat murninya yang tersendiri yang lebih menekankan pembangunan individu bukan
sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga aspek rohani dan akhlak yang bertujuan untuk
membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang yang
akhirnya dapat merealisasikan kebaikan kepada orang lain.

Ini jelas menunjukkan pendidikan Islam adalah amat penting dalam melahirkan modal
insan. Persoalan lain yang wujud iaitu sejauhmanakah pendidikan Islam di Malaysia telah
diberi penekanan oleh pihak kerajaan. Sejauhmanakah kebenaran sistem pendidikan
Islam akan memberi kesan kepada pembentukan modal insan yang baik dan sempurna.
Kesemua ini akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

3
KAJIAN LEPAS

Kebanyakan kajian lepas adalah membincangkan konsep dan falsafah pendidikan Islam.
Contohnya kajian Wan Mohd Zahid dalam Suzalie (2003) membincangkan peranan
pendidikan Islam dalam falsafah negara. Beliau berpendapat perlunya pendidikan Islam
diterapkan dalam pendidikan negara atas dua alasan utama iaitu desakan alaf baru yang
mencabar masyarakat yang sentiasa terdedah kepada unsur-unsur negatif tanpa sepadan
dan desakan sosial seperti penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, pembuaangan bayi
dan sebagainya yang boleh meruntuhkan budaya murni orang-orang melayu.

Keberkesanan pendidikan Islam boleh dilihat daripada tiga aspek. Pertamanya penawaran
dan pelaksanaan, keduanya pencapaian dalam peperiksaan dan ketiganya penghayatan
dan amalan (Adnan Yusopp, dalam Suzalie 2003). Menurut beliau, pendidikan telah
memberi kesan positif ke arah mencapai matlamat membentuk muslim yang berilmu,
beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Pencapaian pelajar dalam pendidikan Islam
adalah baik berbanding matapelajaran yang lain dimana pada tahun 2001, pencapaian
tahap lulus pelajaran agama Islam adalah lebih kurang 90% setiap tahun.

Norhafizah Shoheme (2001) dalam kajiannya juga mengkaji aspek pencapaian sekolah
agama dan merumuskan bahawa kewujudan sekolah agama bukan sekadar untuk
memastikan kelangsungan pendidikan Islam dalam sistem yang lebih teratur, malah
kepentingan dalam pencapaian para pelajar baik dari segi akademik mahupun penglibatan
dalam aspek aktiviti pelajar. Beliau telah membuat kajian di Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama al-Mashoor (Perempuan) Pulau Pinang dan mendapati pencapaian
akademik pelajar sekolah agama tersebut adalah membanggakan. Menurut beliau tren
pencapaian pelajar di sekolah tersebut dalam bidang akademik amat baik terutamanya
dalam peperiksaan utama di Malaysia iaitu peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR), Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM). Contohnya peperiksaan PMR pada tahun 1993 didapati hanya seorang pelajar
mendapat 9A telah meningkat kepada 19 pelajar pada tahun1999. Begitu juga dengan
peperiksaan SPM pada thun 1993, hanya 43 pelajar mendapat gred 1 telah meningkat
kepada 59 pelajar tahun 1999. Secara umumnya didapati pelajar sekolah agama telah
menunjukkan pencapaian yang baik dalam bidang akademik walaupun sekolah ini
merupakan sekolah aliran agama.

Kajian beliau disokong oleh satu kajian lain oleh Abdul Monir dalam Suzalie (2003).
Contohnya beliau telah melihat pencapaian Sekolah Agama Menengah Tinggi
Hishamuddin, Klang Selangor dan mendapati pencapaian akademik dan agama sangat
memberangsangkan. Analisis beliau adalah melihat perkembangan pelajar di Sekolah
tersebut yang lahir tahun 1979. Menurut beliau Bagi peperiksaan PMR yang telah mereka
duduki tahun 1994, pencapaian tahap lulus adalah 100% diikuti SPM (96.4%) dan STPM
(91.4%). Dalam bidang agama pula pencapaian tahap lulus bagi Sijil Rendah Agama
(SRA) adalah 78.89% dan Sijil Tinggi Agama adalah 85.7% . Gambaran ini
menunjukkan perkembangan pelajar sekolah agama ini adalah amat memuaskan
memandangkan mereka cemerlang bukan sahaja aspek akademik malah berjaya dalam
aspek pendidiakn agama.

4
Kecemerlangan ini mendorong ramai ibubapa amat berminat menyekolahkan anak-anak
mereka di sekolah-sekolah agama. Malah apa yang menariknya permohonan masuk ke
sekolah agama amat tinggi sedangkan tempat yang ada adalah terhad. Abdul Monir
(2003) mendapati permohonan masuk ke tingkatan satu sekolah agama negeri amat
tinggi. Beliau mendapati di negeri Pahang, permohonan ke tingkatan satu adalah
sebanyak 4944 permohonan berbanding yang diterima masuk hanyalah seramai 1846
orang pelajar. Di Perak pula permohonan adalah sebanyak 3600 dan diterima hanya 605
orang. Di Selangor pula permohonan adalah sebanyak 5000 dan diterima seramai 2000
orang dan akhirnya di negeri Sembilan yang melibatkan permohonan sebanyak 2000 dan
hanya menerima pelajar sebanyak 1000 orang pelajar. Ini menunjukkan kebanyakan
ibubapa berminat menghantar anak mereka ke sekolah agama.

Persoalannya mengapa ibubapa berminat menghantar anak mereka ke sekolah agama?


Kajian oleh Muhammad Yasir Abu Hassan (2005) contohnya, merumuskan dalam
kajiannya berhubung dengan sejauh mana pengetahuan dan kefahaman agama di
kalangan 60 orang pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
Kedah mendapati bahawa pembentukan personaliti adalah dipengaruhi oleh kefahaman
dan penghayatan tersebut. Dapatan ini menunjukkan sekolah agama mampu mengekang
permasalahan sosial yang kian menggugat personaliti remaja. Pengertahuan agama yang
diperolehi kelihatan mampu membendung gejala sosial meskipun masih terdapat
segelintir pelajar sekolah agama yang turut terjebak dalam isu-isu sosial. Ini sedikit
sebanyak mendorong ibubapa menghantar anak mereka ke sekolah agama iaitu
memastikan anak mereka menjadi manusia yang mempunyai personaliti yang baik dan
tidak terlibat dalam gejala sosial.

Menurut Abdul Monir (2003) lagi, terdapat beberapa fakta mengapa ibubapa memilih
anak-anak mereka ke sekolah agama. Antaranya ialah kesedaran pendidikan agama
kepada anak-anak mereka, kelebihan menguasai pelajarn umum dan agama secara
serentak, peluang untuk memilih bidang adalah lebih luas, sistem pendidikan sekolah
agama yang tidak menyekat masa hadapan anak mereka, pengiktirafan kerajaan terhadap
lulusan sekolah agama dan sistem pendidikan di sekolah agama adalah lebih bersepadu.
Fakta-fakta ini jelas menunjukkan keyakinan masayarakat terutama ibubapa terhadap
sistem pendidikan agama di sekolah agama yang mendorong meningkatnya permintaan
kemasukkan ke sekolah agama.

Beberapa kajian terdahulu ini jelas menunjukkan kesan dan kepentingan pendidikan
agama terutamanya di sekolah agama. Bahagian seteruanya akan membincangkan
perkembangan pendidikan Islam di Malaysia secara umum.

PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam di Malaysia telah bermula sejak zaman
kerajaan Melayu Melaka lagi iaitu sejak pemerintahan Parameswara yang telah memeluk
Islam dengan nama Islamnya Megat Iskandar Shah pada tahun 1414. Pendidikan Islam
bermula dengan pelajaran asas agama Islam termasuklah sembahyang dan mengaji Al-
Quran. Malah pendidikan Islam melalui mengaji Al-Quran merupakan pelajaran dasar

5
kepada semua lapisan masyarakat walaupun secara tidak formal (Abdullah Ishak, 1995;
hlm. 127-130) dan pendidikan Islam terus berkembang sehinggalah kini.

Selepas merdeka, pendidikan agama Islam telah berkembang dengan pesat kesan
daripada sebelum kemerdekaan lagi. Sebelum merdeka, perkembangan pendidikan Islam
adalah seiring dengan perkembangan semangat kebangsaan yang ingin membebaskan diri
dan maruah daripada pihak penjajah iaitu pemerintahan Inggeris. Walaupun penubuhan
sekolah melayu oleh pihak Inggeris adalah bertujuan untuk meningkatkan ilmu
(walaupun dikatakan sekadar mengaburi mata rakyat sahaja) namun tanpa disedari
Inggeris, tindakan mereka telah meningkatkan semangat rakyat terus mempelajari ilmu-
ilmu agama Islam disamping ilmu-ilmu keduniaan yang akhirnya membangkitkan
semangat untuk menentang penjajah (Abdullah Ishak, 1995; hlm 147).

Pendidikan Islam terus menjadi agenda utama pendidikan kebangsaan dan ia menjadi
formal dengan wujudnya seksyen 49 Ordinan Pelajaran 1957 dimana sekiranya di dalam
sekolah bantuan kerajaan, jika wujud pelajar beragama Islam 15 orang atau lebih, maka
murid tersebut hendaklah diajar Agama Islam dan masa mempelajarinya adalah
sekurang-kurangnya 2 jam seminggu. (Abdullah Ishak, 1995; hlm 152). Apa yang
penting disini, pembiayaan bagi pendidikan Islam akan dibiayai secara tetap oleh
kerajaan melalui kementerian Pelajaran dan ia telah dilaksanakan sejak tahun 1961 lagi.
Pada tahun 1961 sejumlah RM2.39 juta telah dibelanjakan dan ia telah meningkat kepada
RM10.21 juta tahun 1972. (Abdullah Ishak, 1995; hlm 159). Ini menunjukkan pendidikan
Islam telah mengalami perkembangan yang pesat pada tahun-tahun tersebut.
Sejaumanakah perkembangan ini terus berkekalan hingga ke hari ini.

Jadual 2: Perbelanjaan Mengurus bagi maksud Pendidikan Khusus 2004

Program Anggaran Nisbah


Perbelanjaan Keseluruhan
(RM Juta) (%)
Pendidikan Teknikal 805.24 72.94
Pendidikan Khas 59.37 5.38
Pendidikan Matrikulasi 171.39 15.53
Pendidikan Islam & Moral 67.92 6.15
Jumlah 1 103.91 100.00
Sumber: Perangkaan Pendidikan Malaysia 2004

Jadual 2 menunjukkan perbelanjaan mengurus dalam pendidikan Islam dan Moral di


Malaysia pada tahun 2004 masih lagi kurang. Perbelanjaan yang terlibat hanyalah
sebanyak 6.15% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus bagi maksud pendidikan
khusus. Malah peratusan ini hampir menyamai perbelanjaan pendidikan khas iaitu
sebanyak 5.38%. Walaupun sebenarnya pendidikan agama sangat penting namun ia
seolah-olah setara dengan pendidikan khas yang dikhususkan untuk pelajar kurang upaya
dan pelajar istimewa.

6
Jadual 3 menunjukkan tren perbelanjaan mengurus Kementerian Pelajaran dalam aspek
pendidikan Islam tahun 2002 hingga 2004. Pada tahun 2002, peruntukan untuk program
pendidikan Islam & moral adalah RM72.39 juta Pada tahun 2003 pula perbelanjaan ini
telah meningkat kepada RM75.59 juta iaitu peningkatan sebanyak 4.42%. Walaupun ia
mengalami peningkatan namun ia merupakan 8.43% daripada jumlah perbelanjaan
mengurus pendidikan khusus. Pada tahun 2004 pula, jumlah perbelanjaan mengurus
program ini telah menurun kepada RM 67.91% iaitu mengalami penurunan sebanyak
10.16% dan nisbah kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan turut menurun kepada
6.15%. Tren ini menggambarkan pihak kerajaan semakin kurang memberi penekanan
kepada aspek pendidikan Islam berbanding pendidikan yang lain bermul tahun 2004.

Jadual 3: Tren Perbelanjaan Mengurus bagi maksud Pendidikan Khusus untuk


Pendidikan Islam 2002-2004

Tahun Pendidikan Perubahan Jumlah Nisbah


Islam & Tahunan Keseluruhan Perbelanjaan1
Moral (RM (%) (RM Juta) (%)
Juta)
2002 72.39 - - -
2003 75.59 4.42 896.88 8.43
2004 67.91 -10.16 1 103.91 6.15
Nota: 1 nisbah perbelanjaan program pendidikan Islam kepada jumlah perbelanjaan mengurus bagi
maksud pendidikan khusus iaitu pendidikan Teknikal, Khas, Matrikulasi & Pendidikan Islam
& Moral
Sumber: Diubahsuai daripada Perangkaan Pendidikan Malaysia pelbagai tahun

Dari segi enrolmen iaitu kemasukkan pelajar ke sekolah agama pula menunjukkan
bilangan pelajar yang memasuki sekolah menegah agama masih lagi amat rendah.
Berdasarkan Jadual 4, pada tahun 2002, hanya seramai 37 122 orang pelajar memasukki
sekolah menengah agama berbanding jumlah keseluruhan pelajar sekolah menengah
seramai 2.05 juta orang. Ia menunjukkan hanya sebanyak 1.81% pelajar yang belajar di
sekolah menengah agama pada tahun tersebut. Pada tahun 2003 pula enrolmen pelajar
sekolah menengah agama telah meningkat sebanyak 2.95% berbanding tahun sebelumnya
dan melebihi peratus perubahan keseluruhan pelajar sekolah menengah iaitu sebanyak
2.23%. Ini menunjukkan peningkatan pelajar yang belajar ke sekolah agama dan juga
meningkat sedikit daripada segi peratus keseluruhan jumlah keseluruhan pelajar (1.82%)
berbanding tahun sebelumnya. Namun begitu tahun 2004 menggambarkan kejatuhan
yang ketara pelajar ke sekolah menengah agama dimana pada tahun tersebut telah
mengalami peningkatan hanya 0.86% berbanding tahun sebelumnya dan hanya 1.79%
pelajar sekolah menengah agama berbanding keseluruhan pelajar. Kejatuhan ini
antaranya disebabkan oleh penurunan pelajar tingkatan 4 ke sekolah menengah agama
iaitu penurunan sebanyak 4.61%. Ini masih jelas menunjukkan amat kurangnya pelajar di
sekolah menegah agama di Malaysia.

7
Jadual 4: Tren Enrolmen Sekolah Menengah Agama Kerajaan & Bantuan Kerajaan tahun
2002-2004
Tingkatan 2002 2003 Perubahan 2004 Perubahan
(%) (%)
Menengah Rendah 23 988 24 064 0.32 24 258 0.81
Tingkatan 1-3 (1.93) (1.91) (1.91)
Menengah Atas
Tingkatan 4 6 357 6 394 0.58 6 099 -4.61
(1.69) (1.72) (1.56)
Tingkatan 5 5 351 6 097 13.94 6 225 2.10
(1.51) (1.69) (1.73)
Tingkatan 6 1 426 1 663 16.62 1 964 18.10
(1.74) (1.56) (1.48)
Jumlah Pelajar Aliran 37 122 38 218 2.95 38 546 0.86
Agama [1.81] [1.82] [1.79]
Jumlah Keseluruhan 2 052 956 2 098 817 2.23 2 156 215 2.73
Pelajar
Nota: ( ) peratus daripada jumlah keseluruhan Pelajar Sekolah Menengah Kerajaan & bantuan
Kerajaan di Malaysia mengikut tingkatan
[ ] peratus daripada jumlah keseluruhan Pelajar Sekolah Menengah Kerajaan & bantuan
Kerajaan di Malaysia
Sumber: Diubahsuai daripada Perangkaan Pendidikan Malaysia pelbagai tahun

Daripada bilangan sekolah dan kelas pula, ia juga menunjukkan angka yang rendah. Pada
Pada tahun 2002, hanya sebanyak 54 buah sekolah menengah dan sebanyak 1303 buah
kelas yang ada di Malaysia berbanding jumlah keseluruhan sekolah menengah
kebangsaan iaitu masing-masing sebanyak 1819 buah sekolah dan 62 698 buah kelas. Ia
menunjukkan hanya terdapat 2.97% buah sekolah menengah agama dan 2.07% buah
kelas berbanding keseluruhan sekolah dan kelas di Malaysia. (Lihat Jadual 5).

Jadual 5: Bilangan Sekolah Agama di Malaysia 2002-2004


2002 2003 Perubahan 2004 Perubahan
(%) (%)
Bilangan 54 55 1.85 55 0
Sekolah (2.97) (2.89) (2.78)
Bilangan Kelas 1303 1334 2.38 1347 0.97
(2.07) (2.07) (2.03)
Nota: ( ) peratus daripada jumlah Sekolah/Kelas bagi sekolah biasa, asrama penuh, agama, teknik
dan model khas.
Sumber: Diubahsuai daripada Perangkaan Pendidikan Malaysia pelbagai tahun

Pertambahan bilangan sekolah dan kelas pada tahun berikutnya amatlah kurang malah
ada yang tidak langsung bertambah. Pada tahun 2003, hanya berlaku pertambahan
sebanyak 1.85% sahaja sekolah menengah agama dan 2.38% bagi kelas manakala tahun
2004 menunjukkan bilangan sekolah menegah agama langsung tidak bertambah dan
bilangan kelas bertambah hanya 0.97% berbanding 2.38% tahun sebelumnya. Malah
jadual tersebut menunjukkan bilangan sekolah dan kelas daripada keseluruhan sekolah

8
dan kelas sekolah menengah terus mengalami penurunan iaitu masing-masing sebanyak
2.78% dan 2.03%. Bilangan kelas dan sekolah yang tidak bertambah akan membantutkan
lagi enrolmen pelajar yang ingin ke sekolah menengah agama. Ini yang menyebabkan
enrolemen pelajar sekolah menengah agama meningkat dengan kadar yang sangat
perlahan seperti yang telah dibincangkan sebelum ini (Lihat Jadual 4).

Jadual 6: Bilangan Sekolah Menegah Agama Kerajaan dan Bantuan Kerajaan


Mengikut Negeri di Malaysia 2002-2004

Negeri 2002 2003 2004


Johor 4 4 4
(2.02) (1.90) (1.72)
Kedah 4 4 4
(2.68) (2.61) (2.58)
Kelantan 6 6 6
(4.80) (4.76) (4.72)
Melaka 2 2 2
(3.13) (3.13) (3.03)
Negeri Sembilan 2 2 2
(2.20) (2.15) (2.04)
Pahang 2 2 2
(1.31) (1.24) (1.20)
Perak 3 3 3
(1.47) (1.43) (1.41)
Perlis 2 2 2
(8.33) (8.33) (8.33)
Pulau Pinang 4 4 4
(4.21) (3.92) (3.80)
Sabah 7 8 8
(3.83) (4.27) (4.21)
Sarawak 7 8 8
(4.52) (5.06) (4.82)
Selangor 3 3 3
(1.53) (1.35) (1.29)
Terengganu 7 6 6
(7.95) (6.59) (5.94)
W.P Kuala Lumpur 1 1 1
(1.18) (1.08) (1.08)
Jumlah Keseluruhan1 54 55 55
(2.97) (2.78) (2.03)
Nota: Termasuk sekolah di W.P Labuan dan Sekolah yang tidak beroperasi
( ) menunjukkan peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah menegah bagi setiap negeri
Sumber: Diubahsuai daripada Perangkaan Pendidikan Malaysia pelbagai tahun.

Jadual 6 menunjukkan bilangan sekolah menengah agama di peringkat negeri hampir


tidak berubah kecuali negeri Sabah dan Sarawak yang masing-masing mengalami
peningkatan sekolah sebanyak sebuah dan negeri Terengganu yang mengalami
kekurangan sebuah sekolah pada tahun 2003. Apa yang menariknya daripada jadual
tersebut, walaupun bilangan sekolah menengah agama hampir tidak berubah, namun

9
bilangan sekolah menengah yang dibina telah bertambah setiap tahun di hampir kesemua
negeri. Ini ditunjukkan dengan nisbah sekolah agama yang semakin mengecil berbanding
jumlah keseluruhan sekolah di setiap negeri.

Namun daripada jadual tersebut juga menunjukkan, pada tahun 2004, negeri yang
mempunyai banyak sekolah agama ialah negeri Sabah dan Sarawak yang masing-masing
ada sebanyak 8 buah sekolah dan dikuti negeri Kelantan dan Terengganu masing-masing
sebanyak 6 buah sekolah. Namun begitu jika dilihat dari segi nisbah kepada keseluruhan
sekolah, negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai nisbah yang besar berbanding
negeri Sabah dan Sarawak iaitu masing-masing sebanyak 4.72% dan 5.94%. Secara
umumnya bolehlah dikatakan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia amat
menitik beratkan pendidikan agama.

Secara keseluruhannya statistik sekolah agama di Malaysia menunjukkan satu penurunan


terutamanya bermula tahun 2003. Mengapakah ini berlaku sedangkan dalam RMK9
kerajaan ingin melahirkan modal insan yang seimbang dalam aspek akademik dan
sahsiah. Adakah kerana pencapaian akademik dan sahsiah di sekolah agama yang
rendah? Kajian ini ingin membuktikan secara umumnya pencapaian dalam segala bidang
di sekolah agama adalah sangat baik dan memberangsangkan. Kajian ini akan memberi
fokus kepada persepsi guru terhadap pelajar yang ada di sesebuah sekolah agama.

METHODOLOGI KAJIAN

Kajian ini akan menggunakan data primer untuk melihat persepsi guru terhadap pelajar-
pelajar sekolah agama. Kajian awal ini akan fokus kepada sekolah menengah Agama
Bandar Baru Salak Tinggi kerana sekolah ini adalah antara sekolah yang baru di buka di
Salak Tinggi yang asalnya dikelolakan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor
(kerajaan negeri) dan akan diserapkan di bawah kerajaan persekutuan. Beberapa orang
guru telah ditemuduga dan seramai 15 orang guru berjaya menjawab soalan selidik
dengan lengkap dan baik untuk dimasukkan dalam kajian awal ini. Kekurangan
responden adalah disebabkan ketika melakukan kajian lapangan, sekolah telah mula
bercuti panjang dan ramai guru-guru terlibat dengan menjaga peperiksaan SPM dan
STPM. Walau bagaimanapun perlu dinyatakan bahawa kajian ini adalah kajian awal dan
bertujuan untuk menguji jawapan-jawapan yang diberikan oleh responden samada soalan
yang dikemukan adalah baik serta jelas dan menjawab setiap persoalan yang
dikemukakan dengan tepat. Walau bagaimanapun untuk kajian lanjutan, kajian ini akan
bermula awal persekolahan Januari 2007 untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika
mengutip borang soal selidik.

Beberapa ujian akan dilakukan termasukan ujian kesahan soalan dan beberapa analisis
secara dikriptif dilakukan untuk melihat sejauhmanakah pelajar sekolah agama daripada
persepsi guru telah berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang daripada segi
akademiknya mahupun sahsiah dan akhlaknya. Soalan-soalan yang dikemukakan akan
membolehkan guru menjawab dalam bentuk lima skala likert iaitu bermula daripada
sangat tidak setuju hinggalah kepada sangat setuju.

10
HASIL KAJIAN

Latarbelakang responden iaitu guru sekolah menunjukkan kebanyakannya adalah wanita


iaitu 73% berbanding lelaki sebanyak 27%, sebanyak 66.7% responden telah berkahwin
dan berstatus duda/janda, 53% pula berumur 30 tahun ke bawah dan sebanyak 60%
responden berpengalaman mengajar lebih dari 5 tahun. Dalam aspek latarbelakang
pendidikan pula, sebanyak 86% responden adalah berpendidikan sarjana muda dan hanya
13.3% responden mendapat pendidikan dari timur tengah. Sebanyak 86.7% responden
mengatakan profesion pendidikan adalah pilihan utama berbanding 13.3% mengatakan
sebaliknya. Gambaran awal responden ini menunjukkan secara umumnya responden
adalah mereka yang berminat menjadi pendidik, berpendidikan tinggi dan berpengalaman
luas dalam pengajaran di sekolah.

Jadual 7: Persepsi Guru terhadap Murid


Soalan dari soalselidik Pura
ta
Skor
1. Ramai di kalangan murid sekolah ini yang tidak menghormati guru 2.07
2. Disiplin pelajar sekolah ini semakin merosot 2.13
3. Tingkahlaku, etika dan adab pelajar semakin teruk perangai 2.13
. 4. Pelajar sekolah ini sukar menerima dan tidak menghiraukan teguran guru 2.00
. 5. Pelajar sekolah ini tidak gemar membantu guru dan rakan-rakan mereka 2.07
6. pelajar sekolah ini terlalu bersikap pentingkan diri sendiri 2.07
7. Pergaulan pelajar lelaki dan perempuan sekolah ini agak bebas 1.80
8. Sekolah ini terlalu mengongkong pergaulan antara jantina 3.07
9. Murid-murid sekolah ini begitu pasif dalam sesi pembelajaran 2.27
10.Gejala moral, buli, gangstersm, mencuri, vandalisme semakin meningkat di sekolah ini 2.47
11.Wujudnya jurang interaksi dan pergaulan di antara peringkat umur di kalangan 2.27
murid sekolah ini
12. Pakaian murid sekolah ini terpengaruh dengan fesyen semasa yang kurang sopan 1.93
13. Prestasi akademik sekolah ini adalah lebih baik dari sekolah menengah kebangsaan 3.93
14. Pelajar-pelajar sekolah ini berani mengemukakan soalan ketika sesi pembelajaran 3.80
15. Pelajar-pelajar sekolah ini begitu yakin memberi pandangan ketika sesi pembelajaran 3.73
16. Prestasi akhlak pelajar sekolah ini lebih baik dari sekolah menengah kebangsaan 4.20
Nota: Skala antara 1 iaitu sangat tidak setuju kepada 5 skala sangat setuju

Ujian kesahan soalan telah diuji dan menunjukkan soalan-soalan yang dikemukakan
adalah baik yang mana nilai alpha bagi setiap kategori soalan yang dikemukakan bagi
kajian ini adalah bernilai antara 0.8142 dan 0.8920. Terdapat juga beberapa soalan yang
perlu disemak semula atau digugurkan kerana mempunyai nilai korelasi yang amat
rendah dan negatif. Apa yang menarik yang ingin dilaporkan disini ialah nilai purata skor

11
bagi setiap soalan yang dikemukakan. Perlu diingatkan skor yang perlu diamati ialah
soalan yang berkaitan dengan akademik dan sahsiah pelajar. Adalah dijangkakan
responden akan memberikan jawapan nilai purata skor kurang dari nilai 3 bagi soalan
berbentuk negatif dan nilai melebihi nilai 3 bagi soalan berbentuk positif. Hasil kajian
dapat dilihat daripada Jadual 7 dan Jadual 8.

Jadual 8: Persepsi terhadap Pelajar dalam aspek Kefahaman Islam


Soalan dari soalselidik Purata
Skor
1. Pelajar gagal membezakan antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah 2.13
2. Pelajar hanya menutup aurat kerana takutkan peraturan sekolah 2.40
3. Wujud kecenderungan pelajar membuli pelajar lalin di sekolah ini 2.53
4. Pelajar sekolah ini suka bergurau secara kasar dan merbahaya 2.13
. 5. Pelajar sekolah ini suka melakukan vandelisme seperti menconteng, mengotori tandas, 2.20
telefon awam dan mencuri
. 6. Terdapat sebahagian pelajar yang bercinta dan berdua-duan (couple) di kawasan 2.93
sekolah
. 7. Pelajar gagal mematuhi etika Islam ketika makan seperti berebut-rebut ketika membeli 2.40
makanan di kantin sekolah
8. Ada pelajar yang membazir makanan dan membuang makanan merata-rata 2.40
9. Pelajar suka berebut-rebut ketika menaiki bas 2.21
10. Ada pelajar yang tidak menunaikan solat atau ponteng ketika amali solat 2.67
11. Ada pelajar yang membuat bising dan mengganggu pelajar lain bersolat ketika dalam 2.73
surau
12. Pelajar sekolah ini bercakap secara tidak sopan dengan guru dan kakitangan sekolah 2.07
13. Pelajar lebih mengutamakan pencapaian akademik berbanding pembentukkan sahsiah 2.73
mulia
14. Pelajar sekolah ini akan menyerahkan wang atau apa-apa barang yang ditemui di 3.67
kawasan sekolah kepada guru
15. Pelajar memberi salam ketika berjumpa guru atau rakan 4.07
16. Ada pelajar yang suka mengejek dan memanggil kawan dengan panggilan yang buruk 3.00
17. Para pelajar sekolah ini bergiat dengan aktif dalam aktiviti bersukan dan kokurikulum 4.13
18. Pelajar sekolah ini begitu peka dengan isu-isu semasa 3.40
19. Pelajar sekolah ini mempunyai daya saing yang tinggi untuk cemerlang dalam akademik 3.53
20. Pelajar sekolah ini mempunyai semangat mencuba yang tinggi 4.13
Nota: Skala antara 1 iaitu sangat tidak setuju kepada 5 skala sangat setuju

Berdasarkan Jadual 7, didapati secara umumnya jawapan yang diberikan adalah mengikut
jangkaan kajian. Pelajar-pelajar sekolah agama dijangkakan mempunyai sahsiah dan
akhlak yang baik iaitu bertepatan dan konsep modal insan yang telah dibincangkan
terdahulu. Pihak guru juga mendapati gejala sosial seperti melepak, gangstersm,

12
pergaulan bebas dan sebagainya adalah amat kurang berlaku di sekolah agama dan jika
berlaku pun ia adalah ia adalah rendah dan kes terpencil. Dalam aspek positif pula
majoriti guru setuju prestasi akademik dan proses pembelajaran pelajar di sekolah agama
adalah sangat baik. Purata skor menunjukkan persepsi guru yang yakin prestasi akhlak
dan akademik pelajar sekolah agama adalah lebih baik daripada sekolah kebangsaan.

Jadual 8 pula adalah yang hampir sama dengan Jadual 7 tetapi ia adalah soalan yang
memfokuskan kepada pengamalan Islam dalam kehidupan pelajar. Berdasarkan Jadual
tersebut dapat dilihat skor purata yang tinggi melebihi purata nilai 4 iaitu guru bersetuju
secara keseluruhannya pelajar sekolah agama tersebut menghormati guru, bergiat aktif
dalam sukan dan kurikulum dan mempunyai daya juang dan kesungguhan yang tinggi.
Ini merupakan satu perkembangan yang baik kerana perkara-perkara tersebut penting
dalam melahirkan modal Insan yang berakhlak mulia serta aktif dalam pelbagai kegiatan
yang sihat. Bagi soalan yang lain terutamanya soalan yang memerlukan jawapan yang
negatif adalah mengikut jangkaan kajian.

Persepsi guru sekolah terhadap kerjaya pelajarnya ini juga telah berubah dan tidak lagi
tertumpu menjadi guru atau ustaz semata-mata. Berdasarkan Jadual 9, dalam soal selidik
yang diedarkan, responden telah diberi pilihan memberi jawapan dengan memberi
pangkat kepada setiap kerjaya yang dipilih. Pangkat 1 adalah pangkat yang paling disukai
dan pangkat 5 adalah yang paling tidak disukai. Hasil jawapan tersebut adalah di Jadual 9

Jadual 9: Persepsi Guru terhadap Kerjaya yang sepatutnya dipilih oleh Pelajar
Kerjaya Purata Skor
Usahawan 3.80
Saintis 3.33
Pendidik/Guru Sekolah 2.80
Profesional e.g Doktor, Jurutera 1.40
Ustaz 3.70

Hasil jawapan yang diberikan juga adalah positif kerana kebanyakan guru sekolah agama
inginkan pelajar mereka memilih kerjaya yang profesional sebagai pilihan yang paling
utama diikuti pendidik dan guru sekolah, saintis, ustaz dan akhirnya usahawan. Walaupun
nampaknya guru tidak mengharapkan pelajarnya menjadi usahawan yang juga
merupakan satu pilihan kerjaya yang baik namun mereka inginkan pelajar mereka
memilih kerjaya yang bersifat profesional seperti jurutera, akauntan, arkitek, doktor dan
sebagainya. Mereka sebenarnya ingin melihat pelajar ini apabila bekerja bukan sahaja
menjadi golongan profesional yang berjaya malah menjadi contoh tauladan dan memiliki
akhlak mulia. Ini diharapkan akan menjadi reliti di masa akan datang apabila jenayah
komersial dapat dikurangkan dan dibendung.

13
IMPLIKASI DASAR

Pendidikan Islam melalui sekolah agama mampu melahirkan modal insan yang
diharapkan oleh kerajaan. Menurut Zainal Aznam dalam Suzalie (2003), perkembangan
sekolah agama perlu diperluaskan lagi oleh pihak kerajaan terutamanya dalam RMK9
disebabkan beberapa faktor antaranya:

1. Minat ibubapa terhadap sekolah agama secara umumnya telah meningkat dengan
begitu ketara sejak 10 tahun kebelakangan ini. Ini disebabkan antaranya ancaman
gejala sosial dan kehidupan yang serba moden dan mencabar.

2. Peranan Islam adalah relevan dengan perkembangan dunia semasa. Pakar-pakar


yang dapat dilahirkan yang asalnya berpendidikan di sekolah agama juga adalah
mereka yang berpengetahuan tinggi dalam Islam. Ini akan mewujudkan modal
insan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

3. Silius yang diajar di sekolah agama di Malaysia adalah mengikut standard


antarabangsa dimana silibus yang diajar adalah hampir sama dengan sekolah
agama lain di negara Islam yang lain. Pelajar lepasan sekolah agama dapat
menyambung pembelajaran mereka bukan sahaja di negara tradisional seperti
Mesir, Jordan dan Arab Saudi malah kini boleh belajar di Iran, Pakistan dan juga
di negara-negara Eropah.

Namun begitu beberapa perkara perlu diperbaiki dan diatasi bagi memastikan pendidikan
sekolah agama akan terus berkembang seiring dengan perkembangan semasa. Menurut
Muhammad Uthman dalam Suzalie (2003), beberapa perkara perlu diatasi untuk
memastikan kecemerlangan sekolah agama antaranya;
1. Prasarana dan kemudahan fizikal perlu dipertingaktkan lagi
2. guru-guru adalah terlatih yang memiliki ciri profesionalisme yang tinggi
3. kemudahan-kemudahan pembelajaran yang baik
4. sumber kewangan yang tetap dan mencukupi
5. pengurusan dan pentadbiran sekolah yang profesional

Justeru, dalam RMK9, pihak kerajaan perlu berusaha menambahkan lagi bilangan
sekolah agama agar penawaran sekolah tersebut seiringan dengan permintaan ibubapa.
Walaupun pihak kerajaan kini sedang giat usaha menubuhkan sekolah wawasan, namun
kerajaan perlu memberi jaminan bahawa kurikulum agama yang ada di sekolah tersebut
adalah setanding dengan sekolah agama. Jika tidak, kerajaan perlu menambahkan lagi
kapasiti sekolah agama. Masyarakat kini amat dahagakan sekolah yang dapat
menawarkan pendidikan agama dan di masa yang sama menawarkan pendidikan yang
berasaskan kurikulum kerajaan. Ia seolah-olah sekolah yang mengamalkan integrasi ilmu
dunia dan akhirat. Oleh itu hasrat kerajaan ingin melahirkan modal insan yang utuh,
golongan profesional Islam dan sebagainya dapat dicapai terutamanya menjelang
wawasan 2020.

14
KESIMPULAN

Teras RMK9 iaitu membangunan modal insan adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan
dengan slogan Islam Hadhari. Kerajaan ingin memastikan modal manusia yang
dilahirkan bukan sahaja mempunyai keintelektual yang tinggi melalui aqal yang
diberikan oleh Allah s.w.t malah perlu seimbang dengan mempunyai nilai murni dan
akhlak yang mulia. Pembangunan insan dapat dilaksanakan terutamanya melalui sistem
pendidikan samada bersifat formal atau tidak yang menekankan aspek nilai murni dan
akhlak mulia. Dalam Islam, pendidikan yang dicadangkan adalah melalui pendidikan
Islam melalui sekolah agama. Adalah disarankan pendidikan melalui sekolah agama
diteruskan oleh kerajaan walaupun dikatakan kerajaan sejak akhir-akhir ini telah
mengurangkan peruntukan untuk pendidikan ini. Hasil kajian awal ini jelas
membuktikan kerajaan perlu peka dan mepergiatkan lagi pendidikan agama di sekolah.
Pelajar di sekolah agama mempunyai tahap pencapaian yang tinggi bukan sahaja aspek
akademik malah yang penting adalah aspek sahsial dan akhlak. Ini telah menyebabkan
ibubapa pada masa kini sangat mengharapkan ingin menghantar anak mereka ke sekolah
agama. Walau bagaimanapun bilangan sekolah agama amat kurang jika dibandingkan
dengan bilangan sekolah kebangsaan. Adalah diharapkan pihak kerajaan akan
menambahkan lagi bilangan sekolah agama terutamanya dalam RMK9.

RUJUKAN

Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suzalie Mohamad. 2003. Memahami Isu-Isu Pendidikan Islam di Malaysia. Kuala


Lumpur: IKIM

Kementerian Pendidikan Malaysia. Perangkaan Pendidikan Malaysia 2004. Shah Alam:


A G Grafik Sdn Bhd.

Muhammad Yasir Abu Hassan, 2005. Pengetahuan dan Penghayatan Islam di Kalangan
Pelajar: Satu Kajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Tidak
diterbitkan.

Musalmah Harun, 2005. Peranan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dalam


Membentuk Personaliti Remaja: Satu Kajian Di Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama Perempuan Kangar Perlis. Tidak diterbitkan

Norhafizah Shoheme, 2001. SMKA (P) Al-Mashoor: Sejarah Penubuhan Dan


Perkembangan Serta Peranannya Dalam Membentuk Generasi Islam. Tidak
diterbitkan

15

You might also like