You are on page 1of 2

BINCANGKAN KESAN TEKNOLOGI TERHADAP ALAM SEKITAR

Teknologi telah banyak membantu manusia dalam kehidupan seharian. Contohnya,


teknologi dalam bidang pengangkutan. Manusia sekarang tidak perlu lagi mengambil
masa berhari-hari berjalan kaki untuk sampai ke satu-satu tempat. Dengan menaiki
kapal terbang, mereka yang berada di Malaysia boleh sampai ke Jepun dengan hanya
beberapa jam sahaja. Tetapi, dalam kealpaan manusia memperkenalkan pelbagai
teknologi baru, kita lupa bahawa kita telah mengabaikan satu faktor yang amat
penting dalam hidup kita, iaitu alam sekitar. Kemusnahan alam sekitar semakin
meningkat, seiring dengan kemajuan teknologi di muka bumi ini berkembang.
Sebagai contoh, penggunaan pestisid dalam bidang pertanian. Para petani
menggunakan pestisid bagi mengelakkan hasil tani mereka musnah dimakan oleh
serangga. Namun, penggunaan pestisid secara berlebihan boleh menyebabkan
pencemaran, disamping mengganggu kitaran makanan dalam sesuatu populasi itu, serta
mengakibatkan kepupusan atau kecacatan sesuatu organisma. Sebagai contoh, pada
tahun 1995 di Minnesota, ahli biologi mendapati hampir separuh daripada spesis
katak ‘leopard’ yang mereka tangkap untuk kajian mengalami deformasi dengan
mempunyai kaki lebih atau kurang daripada empat, tiada mata, dan juga mata
terletak di bahagian belakang atau di bahu mereka. Ada juga petani yang
menggunakan baja nitrogen tanpa mengikut kadar yang dihadkan oleh undang-undang.
Penemuaan baja nitrogen telah membantu peningkatan hasil tani disebabkan kadar
imunisasi tumbuhan kepada jangkitan disamping membekalkan nutrien tambahan kepada
tumbuhan tersebut. Namun begitu, penggunaan baja nitrogen yang berlebihan ke atas
tanah boleh menyebabkan masalah kualiti air yang mana dalam masa jangka panjang
akan mempengaruhi haiwan akuatik. Amaun nitrat di dalam sistem akuatik adalah
terhad, jadi ia mengehadkan pertumbuhan alga. Apabila hujan turun, ia
menghanyutkan sekali baja tersebut ke dalam sungai serta tasik yang mana
merangsang pertumbuhan alga, yang ada antaranya mengandungi toksik. Apabila alga
ini mati, ia terurai dan membebaskan toksik tersebut ke seluruh kawasan tersebut,
yang boleh menyebabkan hidupan akuatik lain, termasuk ikan, mati.
Selain daripada itu, perkembangan dalam bidang pengangkutan juga telah menyumbang
ke arah kemusnahan alam sekitar. Kenderaan akan mengeluarkan asap yang mengandungi
gas-gas merbahaya seperti karbon monoksida, karbon dioksida, ozon, serta nitrogen
dioksida, yang mana kesemua gas-gas ini dipanggil gas rumah hijau, merupakan
faktor utama yang menyumbang ke arah peningkatan pemanasan global. Pemanasan
global berlaku kerana gas-gas ini menyerap radiasi inframerah iaitu haba di
atmosfera. Pemanasan global mempunyai kesan yang sangat besar. Antaranya
peningkatan purata global aras laut. Satu kajian yang dilakukan dari 1970 hingga
1990 menunjukkan bahawa keluasan laut yang diliputi ais di Antartik semakin
berkurangan disebabkan ais itu telah mencair. Ketulan-ketulan ais serta glasier di
seluruh bumi ini juga mencair dalam kadar yang meningkat setiap hari. Selain itu,
disebabkan pemanasan global juga, jumlah organisma terjejas. Sebagai contoh, para
pengkaji telah mendapati bahawa populasi zooplankton di California Current telah
berkurangan sebanyak 80% semenjak tahun 1951 lagi, yang mana secara jelas juga
kerana kawasan tersebut telah meningkat kepanasannya. Pengurangan zooplankton ini
telah menyebabkan keseluruhan rantai makanan ekosistem, populasi burung laut serta
ikan yang memakan plankton turut berkurang.
Yang terakhir, penggunaan teknologi yang mengandungi gas yang dinamakan
chlorofluorocarbons atau dikenali juga sebagai CFSs. Contohnya seperti peti sejuk
yang digunakan untuk menyimpan makanan agar tahan lebih lama, aerosol yang
digunakan untuk membunuh serangga, serta pelarut dan pembersih dalam industri
elektronik. CFCs merupakan penyumbang utama penipisan lapisan ozon. Penipisan
lapisan ozon yang meliputi Antartika terjadi secara semulajadi beberapa bulan
sekali setiap tahun. Namun, pada tahun 1985, saintis mendapati penipisan telah
terjadi dengan kadar yang lebih besar, iaitu sebanyak 67% berbanding tahun
sebelumnya. Dan pada tahun 2000, keluasan kawasan yang menipis dengan cepat ini
telah berkembang sehinnga mencecah 28.3 milion km2. Penipisan lapisan ozon ini
membawa impak yang sangat besar kepada hidupan bumi dengan membenarkan penembusan
cahaya ultraungu(UV) yang lebih banyak ke atas bumi. Pendedahan berlebihan kepada
cahaya ultraungu ini berkait rapat dengan masalah kesihatan manusia seperti
katarak, kanser kulit, dan melemahkan sistem imunisasi badan. Selain itu, sinaran
UV juga mengganggu ekosistem. Contohnya seperti pertumbuhan sejenis alga yang
dikenali sebagai phytoplankton yang merupakan pengeluar utama di Antartik,
berkurangan. Ini adalah kerana, proses fotosintesis telah dibantutkan oleh
kehadiran sinaran UV ini.
Sebagai kesimpulannya, kehadiran teknologi baru dalam kehidupan harian manusia
setiap hari telah membawa manfaat, tetapi penggunaan teknologi yang berleluasa
turut memberikan banyak kesan buruk kepada manusia. Teknologi boleh digunapakai
dalam kehidupan kita, namun ia patut dihadkan jika merosakkan alam sekitar dengan
teruk. Manusia juga harus memikirkan alternatif lain bagi mengelakkan kemusnahan
alam sekitar berlaku secara berterusan dan kesannya akan ditanggung oleh generasi
masa hadapan.

Rujukan :
E.P. Solomon, D.W. Martin, L.R. Berg; Biology 7th ed.,2005, Thomson Learning,
Inc.; Page: 1088-1106 (Humans in the Environment)

You might also like