You are on page 1of 5

Masalah Disiplin Pelajar: Wajar Media Bertanggung jawab?

Oleh: AMIR HUSAIRI SHARIF

Permasalahan disiplin pelajar seperti ponteng, gangsterism, lumba haram, buli, pelacuran,
rokok, dadah, curi, pukul, lari dari rumah serta pelbagai contoh yang lain tidak pernah
lekang daripada dada-dada akhbar. Malah keseriusan masalah seperti ponteng juga
ditahap yang membimbangkan. Ini dibuktikan melalui kewujudan hotline daripada
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membenteras gejala ponteng dikalangan pelajar.

Apabila diperkatakan tentang masalah disiplin dikalangan pelajar, banyak pihak yang
menunding jari sesama sendiri. Budaya salah menyalahkan antara satu itu tidah pernah
mendapat jalan penyelesaian. Ibubapa, sekolah, agama, rakan sebaya bahkan media
adalah ‘mangsa’ utama untuk ditundingkan jari bagi kesalahan disiplin pelajar.

Makalah ini cuba untuk menyingkap permasalahan disiplin pelajar dengan melihat
sumbangan media kearah permasalahan tersebut. Apabila menyebut perkataan media, ia
bermaksud semua jenis media samaada elektronik ataupun cetak. Akhbar, televisyen,
radio, internet, majalah, billboard dan berbagai jenis media lagi turut menyumbang
kepada permasalahan disiplin pelajar. Namun perbincangan makalah ini hanya tertumpu
kepada beberapa media iaitu televisyen, filem, internet, akhbar dan majalah.

Televisyen dan filem


Televisyen atau TV dan filem banyak dikritik sebagai penyumbang kepada perubahan
sosial masyarakat. Ia juga turut mempengaruhi perubahan kepada pelajar secara tidak
langsung. Menonton secara berlebihan boleh memberi keburukan. American Academy of
Pediatric (AAP) menyarankan ibu bapa untuk menghadkan masa menonton serta
melarang anak-anak menonton sambil membuat kerja sekolah. Ini disebabkan oleh
pengaruh kuat TV yang boleh menghayalkan pelajar serta membuang masa mereka.
Begitu juga dengan unsur-unsur negatif yang terdapat didalam TV. Lihat sajalah di skrin
TV kita, jika hendak dibandingkan antara program yang berunsur kebaikan dan juga
program yang memaparkan unsur negatif, boleh dikatakan hampir 70 peratus kita
disogokkan dengan program yang membudayakan atau meyelitkan unsur-unsur tidak
sihat.

Walaupun sesetengah siaran atau filem yang akhirnya membawa pesanan positif tetapi
tetap menyelitkan unsur pakaian menjolok mata sebagai contoh. Malah ada juga yang
siaran-siaran memuatkan aksi-aksi pembunuhan serta unsur-unsur seks. Ini secara tidak
langsung memberikan gambaran dan rangsangan kepada pelajar untuk mencuba seperti
apa yang mereka lihat di kaca TV. Richard L. Baxter didalam A Content Analysis of
Music Videos telah menjelaskan bahawa terdapat lebih 50 peratus aksi ganas dan seks
didalam contoh video muzik yang ditayangkan di MTV.

Pelajar kita kini lebih terdedah kepada pelbagai bentuk unsur yang dibawa oleh TV dan
filem. Lambakan siaran percuma dan berbayar begitu mudah untuk diakses oleh pelajar,
apatah lagi apabila ibu bapa keluar bekerja. Biarpun ada sesetengah siaran diberikan
klasifikasi dan juga ‘kunci’, namun kejayaannya masih ditahap yang tidak
membanggakan. Bahkan klasifikasi itu turut menjadi faktor untuk pelajar menonton
apatah lagi ianya mempunyai unsur ganas, seram dan seks.

TV dan filem tidak hanya membuang masa pelajar, tetapi ia juga turut menjadi agen
kepada sekularisme pemikiran dan budaya pelajar. Pengaruh hedonisme makin menular
dikalangan pelajar terutama dibandar. Proses pembandaran dan modenisasi turut
membawa program TV yang dikatakan ‘moden’ yang boleh mempengaruhi pemikiran.
Pengaruh ini akan merubah gaya hidup, pakaian, tingkah laku dan pemikiran. Filem dan
siaran yang diimport dari Barat banyak memaparkan unsur-unsur tentangan kepada
budaya Malaysia yang penuh adat dan susila. Penentangan budaya yang ditayangkan itu
akan menimbulkan kekeliruan kepada pelajar terutama kepada mereka yang kurang
mendapat didikan yang betul. Akibat daripada itu, mereka akan mudah terikut-ikut
dengan apa yang mereka lihat di layar.

Pihak penjana TV dan filem pula menciptakan ikon-ikon daripada siaran mereka untuk
melariskan program yang mereka siarkan. Minat terhadap ikon-ikon ini akan
membuatkan pelajar mudah untuk mengikuti dan meniru gaya idola-idola mereka seperti
yang ditayangkan didalam TV dan filem.

Namun begitu, TV dan filem juga dapat membantu didalam proses pembelajaran dan
penigkatan sahsiah diri remaja. Program TV pendidikan yang disiarkan di siaran TV9
perlu diperbanyakan dan diberi sentuhan yang lebih kreatif. TV pendidikan boleh
dijadikan sebagai bahan bantu untuk melancarkan pemahaman sesuatu pelajaran terutama
subjek sains. Begitu juga dengan siaran-siaran berita atau rancangan-rancangan berbentuk
dokumentari pendidikan. Siaran sebegini perlu dimanfaatkan oleh guru untuk dijadikan
rujukan supaya proses pembelajaran lebih menyeronokan.

Filem-filem yang dikeluarkan juga dilihat kurang dari segi falsafah. Kata-kata yang
terdapat didalam filem-filem tempatan tidak begitu berinspirasi untuk dijadikan kata-kata
hikmah. Maka pihak penjana filem perlu lebih kreatif dengan menghasilkan filem-filem
yang berfalsafah dan mampu membentuk sahsiah penonton. Sekiranya terdapat filem-
filem yang mempromosikan kebaikan sejagat, ada wajarnya ia dipertontonkan disekolah
kepada pelajar dan dibuat kajian. Seeloknya, siaran TV dan filem dibuat mengikut acuan
budaya kita agar ianya tidak tersasar.

Internet
Internet merupakan media baru di Malaysia. Namun begitu penggunaan internet makin
berkembang dan meluas hingga hampir kesemua sekolah bandar mempunyai akses
internet. Seiring dengan perkembangan penggunaan komputer disekolah, internet turut
sama melebarkan sayap dan berada sama penting dengan keperluan komputer. Selain
sebagai sumber informasi dan pendidikan kepada pelajar, internet dikhuatiri dapat
menyumbang kepada permasalahan disiplin pelajar.

Internet juga sama seperti TV dan filem dimana ia mempunyai visual dan audio pada
masa yang sama. Namun internet berbeza dengan TV dan filem dimana semua informasi
yang dikehendaki berada dihujung jari. Ianya tidak diprogramkan dan tidak mempunyai
batas masa ataupun negara. Kesemua informasi boleh diakses tanpa sempadan.
Disebabkan oleh tiadanya sempadan inilah mungkin internet akan disalah gunakan oleh
pelajar. Tambah pula keinginan untuk mengetahui perkara-perkara baru memang
memuncak dinaluri pelajar. Maka tanpa pengawasan yang sewajarnya, internet mungkin
akan disalah gunakan oleh pelajar.

Pengaruh-pengaruh luar senantiasa ada untuk memusnahkan moral diatas nama


globalisasi. Namun kita bukanlah terlalu jumud dengan mengatakan semua yang datang
dari luar itu tidak elok, tetapi realitinya memang begitu. Tidak dinafikan informasi-
informasi yang terdapat didalam internet begitu berharga dan sekiranya dimanfaatkan
sebaik mungkin oleh pelajar boleh membantu proses pembelajaran mereka. Penggunaan
internet disekolah mungkin dapat diawasi oleh pihak guru, namun sekiranya ia digunakan
dirumah, sukar untuk mendapat pengawasan ibu bapa. Ketiadaan pengawasan sebeginilah
yang membuatkan pelajar-pelajar melayari laman-laman web lucah, membuang masa
bersembang dilaman maya, memuat turun secara haram lagu dan pelbagai jenis
permasalahan lain.

Di internet juga pelajar dapat untuk melihat apa yang terjadi didunia dengan cepat,
mudah dan murah. Maka proses perubahan nilai dan budaya juga cepat berlaku keatas
konsumer internet. Pelajar-pelajar yang mempunyai jati diri yang lemah pasti akan
mudah terikut-ikut dengan apa yang terdapat di layar internet. Internet mempengaruhi
perubahan dari segi fesyen, komunikasi, budaya, pemikiran bahkan pemakanan. Internet
juga boleh dikatakan sebagai agen kepada perubahan masyarakat.

Internet patut dimanipulasi oleh guru-guru untuk mewujudkan pembelajaran yang lebih
efisyen dan bermanfaat. Disebabkan oleh sifatnya yang cepat dan berinformasi, maka
guru-guru boleh menjadikan internet sebahagian daripada alat bantu pembelajaran.
Kemungkinan guru-guru boleh menyuruh pelajar-pelajar mencipta laman web atau
menjawab soalan-soalan di laman web. Cara sebegini lebih menyeronokan dan lebih
cepat difahami murid. Pendedahan sebegini akan mematangkan pelajar dan
memungkinkan mereka untuk berfikir ‘luar dari kotak’. Kita tidak dapat untuk
menyangkal kebaikan internet sebagai penyumbang kepada informasi terkini.

Akhbar dan majalah


Media cetak agak kurang popular setelah media elektronik mendominasi. Ini mungkin
disebabkan oleh faktor harga dan juga stereotype yang terdapat pada media cetak.
Disamping itu, informasi juga lambat terutama majalah bulanan. Namun media cetak
tidak kurang juga pentingnya didalam membantu proses ‘merosakkan’ audiennya.
Gambar-gambar seksi dan penulisan yang tidak membina bukan hanya melalaikan pelajar
tetapi turut membazirkan masa pelajar. Sepatutnya mereka harus menelaah buku ilmiah
untuk masa depan mereka. Media cetak selalunya mengeksplotasikan muka hadapan
untuk menarik perhatian pembaca. Dengan mempamirkan gambar-gambar dan
kenyataan-kenyataan yang boleh menarik pembaca, media cetak terutama tabloid akan
menggunakan kaedah ini. Akhbar juga turut berperanan didalam mempengaruhi
pemikiran pelajar dengan penulisan yang boleh melalaikan dan juga yang berbentuk
propaganda.
Berbeza pada zaman permulaan terbitnya akhbar dan majalah dimana ia telah menjadi
wadah penyampai maklumat dan perjuangan orang-orang Melayu untuk menentang
penjajahan. Penulisan-penulisan pada ketika itu amat membina daripada semua segi.
Penulis-penulis juga bukanlah calang-calang orangnya. Namun kini akhbar telah
berkurangan dari segi mutu.

Pihak media cetak memerlukan sensasi untuk menjual media mereka. Kadangkala sensasi
yang keterlaluan dipasarkan demi untuk kemandirian mereka. Bertitik tolak disinilah
peranan media cetak semakin berubah. Makin banyak unsur-unsur seks dan tahyul
diletakkan sebagai sensasi di media cetak. Hingga kini, unsur-unsur negatif tersebut
masih berleluasa didalam media cetak yang begitu mudah untuk diperolehi oleh pelajar-
pelajar. Senario ini dikhuatiri boleh merosakkan pemikiran pelajar dan menimbulkan
kekeliruan kepada mereka. Apa yang ditegah didalam agama tetapi dibenarkan didalam
media cetak. Komik-komik yang melalaikan juga banyak menggunakan tatabahasa yang
salah dalam penulisan mereka. Ini tidak membantu kepada proses pembelajaran pelajar.

Media cetak perlu memperbanyakkan penulisan-penulisan yang bercorak ilmiah. Tulisan-


tulisan ilmiah ini tidak hanya dapat menjana pemikiran, tetapi turut dapat membantu
dalam proses melahirkan generasi yang bersahsiah dan berbudi perkerti. Selain
menambah ilmu, tulisan-tulisan yang berbentuk intelek ini dapat mewujudkan forum
perbincangan dalam memantapkan diri menjadi rakyat yang berilmu. Tulisan-tulisan
sebegini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada murid disekolah. Ia juga boleh
dijadikan bahan untuk murid mempelajari maklumat dan perkataan yang baru sekiranya
ia terkandung didalam penulisan tersebut. Guru-guru boleh mewujudkan sistem
pembelajaran berasakan kepada permasalahan terkini (problem based learning) dengan
merujuk kepada akhbar dan majalah.

Antara lain, sisipan pendidikan yang diberikan percuma didalam akhbar turut membantu
didalam menyediakan alat bantuan mengajar. Sisipan tersebut sekiranya dimanfaatkan
sebaik mungkin oleh pelajar dan guru, pasti akan menjadikan proses kefahaman manjadi
lebih mudah.

Kesimpulan
Didalam Malaysia sedang melangkah menuju 2020, segala persiapan dari segi mental dan
fizikal diperlukan. Melahirkan manusia yang positif pembangunan insan dan jiwanya
menjadi tanggung jawab banyak pihak. Begitu juga dengan anasir-anasir yang
meruntuhkan keperibadian umat manusia. Antaranya ialah media. Namun begitu makalah
ini bukanlah menunding jari kepada media sebagai punca utama permasalahan disiplin
pelajar tetapi cuma sebagai panduan tentang bahaya dan pentingnya media.

Sebenarnya media bukanlah 100 peratus negatif dari segi isinya, sebaliknya begitu
informatif sekiranya digunakan diatas landasan yang betul. Maka pengawasan yang
sewajarnya diperlukan agar dapat melahirkan pelajar yang mampan pemikirannya dan
teguh jati diri mereka.
Apa yang diperlukan disini ialah kebijaksanaan individu didalam membuat justifikasi.
Keputusan masih lagi terletak ditangan individu untuk menilai baik dan buruk sesuatu
perkara itu, termasuklah media.

You might also like