You are on page 1of 4

Pengenalan Pantun Melayu adalah merupakan sebuah hasil sastera rakyat yang tertua yang disebar-luaskan secara lisan.

Ia tergolong di dalam corak sastera yang berbentuk non-narrative atau bukan cerita. Pantun adalah bahasa berangkap yang mengandungi unsur-unsur keindahan, seperti banyak baris tiap rangkap, banyak suku kata, ritma akhir, pembayang maksud, asonasi-aliterasi, kata-kata yang indah, ringkas dan padat. Pantun merupakan suatu bentuk tradisi lisan yang masih hidup sehingga sekarang. Fungsinya yang terdapat dalam hampir semua aspek kehidupan dalam upacara, kegiatan seni, dan kegiatan berunsurkan pendidikan menyebabkan pantun digemari. Setiap pantun yang terhasil dari pemikiran seseorang Melayu membawa maksud yang tersendiri melalui isi hati dan pemikiran tentang sesuatu perkara yang diucapkan secara halus walaupun maksudnya amat mendalam. Pantun Melayu merupakan puisi Melayu tradisional yang merupakan pusaka atau warisan Melayu yang merupakan puisi yang terikat iaitu yang mempunyai bentuk, rangkap, rima, pembayang dan maksudnya. Pantun merupakan puisi ciptaan asli orang Melayu, bukan saduran dan penyesuaian daripada puisi-puisi jawa, India, cina dan sebagainya (Harun Mat Piah, et,2000:112). Pantun juga merupakan hasil pengalaman hidup yang sederhana, yang dijalin dengan daya keintelektualan, dan seni masyarakat Melayu tradisional. Maka pastinya pantun ialah pemerian latar hidup, filsafat, dan penghayatan seni masyarakat Melayu. Saya berpendapat, kejadian pantun berdasarkan kepada ilham dari pengamatan hasil dari persekitaran dan peredaran semasa dengan mencari makna kehidupan sendiri. Secara inti patinya alam sekitar menjadi sumber ilham. Budaya lisan yang wujud pada suara, telinga, dan ingatan menentukan bentuk pantun. Bentuk ini tidak harus panjang lebar, kerana ingatan kita tidak dapat menangkap dan merakamkan terlalu banyak rincian, kata, bunyi, baris dan maksud. Oleh yang demikian, bentuknya harus agak pendek-pendek dan padat. Pada permulaan pantun bermula dengan pantun dua kerat, kemudian pantun dicipta dengan empat kerat kerana penggunaan pantun ini memudahkan pemantun untuk mencipta pantun. Setelah terciptanya pantun empat kerat maka lahirlah pantun enam, lapan, dua belas hinggalah kepada dua puluh. Ini kerana orang Melayu terdahulu menunjukkan daya kreatif dalam berimaginasi bagaimana mereka mencipta bait-bait pantun dengan mencari makna dahulu kemudian menyatakan pembayang. Penciptaan pantun adalah berkait rapat dengan hasrat hati, permainan bahasa, ejekan, sindiran dan pemikiran yang berfalsafah pemantun. Pantun juga bererti umpama. Sepantun maksudnya seumpama, seperti dalam, sepantun ayam kehilanagan induk. Dilihat dari segi bentuknya, ciri utama dalam ialah sampiran. Pantun merupakan puisi Melayu lama yang menggambarkan kehalusan budi dan keprihatinan masyarakat pada waktu itu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya. Ruang lingkup budaya masyarakat Melayu lama bukan sekadar berkisar dalam diri, antara lainnya seperti sedih, hiba, sayu, kasih dan benci tetapi melebar kepada soal-soal sindiran, kiasan, cinta tanah air, pelayaran, ekonomi dan hubungan diplomatik.

Pantun dibahagikan kepada dua aspek yang penting, iaitu aspek luaran dan dalaman. Aspek luaran ialah dari segi struktur dan seluruh ciri visual yang dapat dilihat dan didengar termasuk rangkap, suku kata, pembayang dan maksud, rima yang tetap, dan setiap rangkap pantun mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap. Manakala aspek dalamannya pula termasuk penggunaan lambang-lambang yang tertentu dan adanya perhubungan makna antara pasangan maksud, sama ada hubungan konkrit atau abstrak. Semuanya itu dalam satu bentuk pemikiran yang tersusun dijelmakan dalam rangkap-rangkap pantun. Bukan sahaja mempunyai erti yang mendalam tetapi persembahan pantun itu sendiri amat menarik dengan baris dan pilihan kata-katanya dengan rima serta susunan perkataannya. Bentuk pemikiran itu membawa makna dan sekali gus memberi gambaran alam yang amat akrab dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisi. Segala-galanya digubah dengan cara yang menawan. Menurut Zainal Abidin bin Ahmad atau Zaba dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal III 1957 menyatakan bahawa pantun adalah milik masyarakat Melayu pantun ini ialah cara karangan berangkap yang betul-betul hak Melayu dari asal dan betul-betul mengandungi semangat Melayu. Dan lagi ialah kaedah yang sejati bagi mengubahkan alun perasaan syair yang sebenar, iaitu menggambarkan fikiran-fikiran hiba, sayu, sedih, suka, sindir, giat, dan warna-warna perasaan yang indah seperti hal ehwal berkasih-kasih dan pujuk rayu yang lembut antara kekasih dengan kekasih. Walaupun masyarakat Melayu lama tidak tahu tentang ilmu tulis menulis namun mereka dapat mencipta pantun dengan baik. Mereka boleh berbalas- balas pantun di antara satu sama lain. Ini lazimnya berlaku dalam majlis-majlis yang tertentu seperti kenduri kendara, majlis meminang, pertemuan di musim menuai, majlis menyambut kelahiran anak dan lain-lainnya lagi. Manakala dalam perbualan biasa pula, kalangan orang-orang tua sering menyulam pantun dalam percakapan mereka. Dengan demikian, fikiran yang mereka kemukakan bertambah jelas apatah lagi pantun yang mereka gunakan mempunyai maksud yang bernas dan tepat. Pada umumnya pantun memiliki ciri-ciri dam hukum kepuitisan yang tersendiri antaranya lain ialah 1. Memiliki rangkap-rangkap yang berasingan. 2. Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris atau kerat-kerat, misalnya; pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat, pantun sepuluh kerat, pantun dua belas kerat dan pantun enam belas kerat. 3. Jumlah suku kata dalam setiap baris adalah antara lapan hingga dua belas. 4. Setiap rangkap ada bahagian pembayang dan bahagian maksud. Pembayang tersebut juga sebagai sampiran atau pembayang maksud. 5. Skema rimanya ialah a-b-a-b

6. Setiap rangkap atau stanza pantun memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna. 7. Memiliki lambang-lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat. 8. Terdapat hubungan makna antara pembayang atau sampiran dengan bahagian maksud. Bagaimanapun, banyak pendapat yang bertelingkah tentang ciri yang terakhir itu. Ada yang berpendapat bahawa tidak terdapat hubungan antara pembayang maksud dengan maksud dalam pantun. Sementara pendapat lain mengatakan ada hubungan antara. Walau bagaimanapun, kadang-kadang kita dapati memang ada hubungan di antara pembayang maksud dengan maksud dalam satu-satu rangkap pantun. Ada juga yang tidak mempunyai apa-apa hubungan. Atau hubungannya tidak jelas. Demikian juga dengan suasana atau gambaran alam yang terdapat dalam pembayang pantun itu menggambarkan kehidupan orang Melayu dengan tumbuh-tumbuhan yang berguna kepada mereka. Mereka tahu benar di mana pokok terap tersebut hidup subur. Menangkap ikan dengan menggunakan belat pula adalah satu cara kehidupan orang-orang Melayu yang tinggal berhampiran dengan sungai. Terutamanya apabila air sungai surut maka belat digunakan untuk mengepung ikan supaya masuk ke dalam lukah yang dipasang. Jelas sekali bahawa kehidupan masyarakat Melayu dapat dikesan melalui serangkap pantun yang indah. Keseluruhan pantun itu memberikan satu kesatuan fikiran yang akrap dengan kehidupan. Sindir-menyindir dan kias ibarat memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar ia berkesan dan indah melalui pantun. Berdasarkan struktur pantun ini, dapat kita lihat satu binaan yang amat kukuh dan rentak rimanya dirasakan bermula di tengah-tengah pada setiap baris iaitu ketika kita meletakkan jeda atau berhenti sekejap ketika menyebut atau membaca pantun itu. Rima di tengah sedemikian ini menjadikan pantun tersebut lebih kemas dan indah. Malah rima itu bagaikan terdapat pada setiap kata yang kemudiannya hadir pada setiap baris pembayang dan maksudnya. Setiap perkataan dalam pantun lazimnya mempunyai hubungan yang amat akrab dengan kehidupan masyarakat Melayu. Justeru itu, jelas pada kita ia merupakan norma dan nilai dalam masyarakat itu sendiri. Jika ia mengandungi perlambangan dengan maksudnya yang tersirat di sebalik sindiran dan kiasan, maka perlambangan itu adalah dalam konteks yang difahami malah digunakan oleh masyarakat Melayu. Malah sebagai satu budaya ia menggambarkan kesantunan, kelembutan dan keindahan yang jelas dilihat bukan sahaja pada maknanya tetapi juga pada struktur luarnya. Dalam pantun, bahasa yang digunakan lebih mengutamakan kefahaman dan kejelasan makna tetapi yang ditekankan adalah bahasa yang digunakan perlu memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya. Ketiga-tiga ciri ini perlu untuk memperlihatkan nilai estetik sesebuah pantun. Dengan ini jelaslah bahawa gaya bahasa dalam pantun cukup penting untuk melihat gaya seseorang pengarang menghasilkan karya. Hal ini bermakna, gaya bahasa merupakan kombinasi

dua unsur, iaitu idea yang diekspresikan dan keperibadian pengarang. Gaya bahasa merupakan sesuatu yang istimewa, iaitu sebagai teknik eksposisi, pencapaian estetika dan pernyataan sikap pengarang.

You might also like