You are on page 1of 2

Akhbar Sebagai Alat Penyebar Maklumat Yang Berkesan

Oleh : Foo Hwee Kheng (U6SB1)

Akhbar merupakan salah satu media yang sudah wujud berpuluh-puluh tahun
dahulu, iaitu semenjak manusia tahu menulis dan mencipta tulisan. Memang tidak dapat
disangkalkan, akhbar masih memainkan peranan yang penting walaupun kita sudah
menjejaki abad ke-20 yang berteknologi canggih ini. Akhbar merupakan wadah yang
paling cepat untuk menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai.

Sesungguhnya, akhbar berperanan sebagai alat penyebaran maklumat yang


berkesan dalam pentadbiran negara. Kerajaan dan rakyat dapat berhubung melalui
maklumat akhbar. Rakyat dapat mengetahui segala proses yang dijalankan dalam
mesyuarat kabinet dan urusan politik kerajaan. Segala corak pemerintahan kerajaan
difahami oleh rakyat. Rakyat juga dapat meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap
program atau perancangan tertentu yang dilaksanakan oleh kerajaan. Pendapat-pandapat
rakyat dapat disuarakan kepada kerajaan melalui akhbar. Dengan ini, kerajaan dapat
menguruskan hal-hal pentadbiran dengan lebih cekap melalui pendapat rakyat yang
berguna. Sebagai contoh, Menteri Pelajaran telah pada peringkat awalnya mempersetujui
cadangan membenarkan pelajar-pelajar sekolah membawa telefon bimbit ke sekolah
dengan syarat-syarat tertentu. Berita ini hangat diperkatakan apabila disiarkan melalui
akhbar dan mendapat tentangan hebat daripada beberapa pihak. Sebagai bukti ketelusan
pemimpin kita, akhirnya cadangan ini ditarik balik setelah respons menunjukkan bahawa
majoriti rakyat tidak menyokongnya. Hal ini membuktikan bahawa akhbar merupakan
alat penyebar yang baik dalam urusan pentadbiran negara, dan negara kita pula berada
dalam keadaan harmoni atas kerjasama rakyat dan kerajaan.

Akhbar masih merupakan bahan bacaan utama rakyat kerana fungsinya sebagai
pelapor isu semasa walaupun negara kita telah mencapai era penggunaan sains dan
teknologi yang tinggi. Mengikut siasatan, akhbar merupakan media yang paling berkesan
dan besar pengaruhnya dalam kalangan rakyat berbanding media lain seperti televisyen,
radio, dan internet. Hal ini adalah kerana segelintir rakyat akan terlepas berita yang
dilaporkan melalui televisyen atau radio. Maka, akhbar harian dianggap alat penyebar
yang berkesan. Rakyat juga dapat mengetahui berita yang berlaku di sekeliling mereka
saban hari. Berita ini sangat berguna kepada rakyat sebagai iktibar atau pengajaran yang
baik. Misalnya, dewasa ini kes ragut beg tangan wanita kerap berlaku. Banyak wanita
menjadi mangsa, malah ada yang tergadai nyawa atas kekejaman peragut. Soal ini apabila
menjadi berita akhbar dapat mengingatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati dan
langkah-langkah untuk membendung masalah ini dibincangkan bersama. Oleh itu, berita-
berita yang disiarkan dalam akhbar merupakan “sejarah” yang penting kepada rakyat.

Di samping itu, akhbar juga penting dalam bidang sukan untuk melaporkan
keputusan kemenangan atau kekalahan pemain. Kita dapat mengetahui pemain
badminton yang terbaik di negara kita atau kebangsaan. Bagi golongan yang meminati
sukan, mereka mendapat maklumat masa sesuatu perlawanan diadakan dan keputusan
melalui akhbar. Sebagai contohnya, berita Nicol David menjadi juara dalam pertandingan
skuasy peringkat antarabangsa. Maka, kita dapat mengenali siapakah Nicol David apabila
disebut-sebut oeh orang lain dan tidak menjadi “seperti katak di bawah tempurung”.
Gambar-gambar aksi pemain yang menarik turut disiarkan melalui akhbar. Dengan itu,
kita dapat merasai suasana semasa pertandingan itu dijalankan walaupun tidak dapat
hadir ke gelanggang. Kegembiraan kemenangan pemain negara kita turut dikongsi
bersama oleh rakyat. Jelaslah di sini bahawa akhbar merupakan alat yang berkesan untuk
menyampaikan berita-berita kepada rakyat.

Akhirnya, akhbar juga penting dalam membantu menyemarakkan dunia hiburan.


Seseorang pelakon atau penyanyi menjadi terkenal melalui akhbar. Akhbar sering
melaporkan gosip yang berlaku dalam kalangan pelakon atau penyanyi. Hal ini
merupakan hal yang paling menarik dan penting bagi golongan remaja. Mereka ingin
mengetahui setiap perkembangan artis pujaan atau idola mereka. Pelbagai berita tentang
idola mereka yang disensasikan dalam akhbar menimbulkan keseronokan dalam kalangan
pembaca sekali gus mempopularkan artis berkenaan. Selain itu, berita tentang sesuatu
album lagu yang akan dipasarkan atau filem yang bakal ditayangkan juga disampaikan
melalui akhbar. Maka, orang ramai akan mengetahui berita terkini tersebut melalui
akhbar. Secara tidak langsung, akhbar menjadi sumber mendapatkan pelbagai maklumat
berkaitan dengan hiburan. Tidak salah jika dikatakan bahawa akhbar juga wadah yang
dapat membantu dunia hiburan tempatan dan antarabangsa.

Kesimpulannya, akhbar merupakan alat penyebaran yang berkesan walaupun


manusia sudah mencapai zaman teknologi yang canggih. Oleh itu, amalan membaca
akhbar haruslah disemai sedari kecil lagi kerana pelbagai fungsinya yang terbukti banyak
memberikan faedah kepada khalayak pembaca. Sesungguhnya, tidak menghairankan lagi
jika Profesor Diraja Ungku Aziz mengatakan bahawa jika sehari tidak membaca akhbar,
maka kita akan menjadi bodoh sehari.

You might also like