You are on page 1of 8

PELAJAR YANG BERWAWASAN

Menjadi seorang pelajar di zaman sekarang pada hakikatnya jauh lebih mencabar dibandingkan

dengan pelajar di zaman dahulu. Pada zaman awal kemerdekaan cabaran bagi seorang pelajar

adalah cabaran dari sudut kemudahan untuk mencapai ilmu pengetahuan itu sendiri. Di masa itu

belum ada internet yang berupa gerbang ilmu pengetahuan bagi yang tahu menilainya. Kemudahan

dari segi buku-buku yang bermutu juga sukar didapati. Kekurangan guru-guru yang terlatih serta

prasarana yang tidak kondusif juga menjadi kekangan pada masa itu. Ini ditambah pula sikap

sesetengah anggota masyarakat yang masih memandang rendah pendidikan formal.

Pelajar zaman sekarang sepatutnya bersyukur kerana segala kemudahan pembelajaran boleh

didapati dengan mudah. Asal saja ada kemahuan, ilmu pengetahuan boleh dicapai di mana-mana

khususnya di internet. Ibu bapa pula tidak kedekut untuk membelanjakan wang membeli buku-buku

rujukan yang baru asal saja anaknya menunjukkan minat dan kesungguhan untuk belajar. Tidak

cukup dengan itu, anak-anak dihantar pula ke kelas-kelas tuisyen bagi mendapat bimbingan guru-

guru pakar dan berpengalaman. Pihak sekolah pula menganjurkan seminar-seminar menjawab

peperiksaan dan kaedah belajar berkesan, suatu yang tidak dinikmati pada zaman dahulu. Segala

kemudahan tersebut datang bersama pembangunan negara yang membawa kepada peningkatan

taraf hidup rakyat.

Lalu bagaimana pula dikatakan menjadi pelajar di zaman sekarang lebih mencabar dari zaman

dahulu? Ini kerana di sebalik kesan positif pembangunan yang hadir pada zaman sekarang, turut

hadir bersamanya gejala-gejala negatif . Gejala negatif inilah yang akan mengganggu halatuju

seorang pelajar. Justeru segala gangguan tadi akan melalaikan seorang pelajar dari menjalankan

tanggung jawabnya yang sebenar.

1
Di zaman ini, pergaulan di antara pelajar menjadi semakin luas dan mudah. Pelajar biasanya

dibelikan telefon bimbit oleh ibu bapa agar mudah dihubungi atau mungkin juga dibeli sendiri kerana

harganya yang murah sekarang. Dengan telefon tersebut seseorang pelajar dapat berhubung

sesama mereka atau dengan rakan berlainan jantina dengan mudah bila-bila masa dan di mana-

mana tanpa mampu lagi dipantau oleh ibu-bapa mereka. Jika dahulu pelajar lelaki malu-malu untuk

memulakan hubungan dengan seorang pelajar perempuan, sekarang ini mereka dapat berhubung

dengan mudah melalui telefon bimbit masing-masing tanpa diketahui sesiapa. Jika dulu mereka

malu untuk berbual hal-hal yang ‘terlarang’ namun sekarang tiada siapa yang mampu melarang. Jika

malu berbual secara langsung boleh dimulakan dengan pesanan ringkas (sms) dahulu sehingga

akhirnya tiada apa lagi nak dimalukan.

Pelajar lelaki (atau mungkin juga perempuan) dapat pula berkongsi gambar-gambar lucah sesama

mereka dengan memuat turun gambar-gambar tersebut ke telefon bimbit dan mengedarkannya

sesama rakan-rakan. Lebih menyedihkan lagi terdapat juga gambar aksi lucah yang dilakukan

sendiri oleh pelajar terbabit atau pasangannya (seringkali tanpa pengetahuan atau kerelaan

pasangan) yang diedarkan di pasaran gelap sesama mereka. Kes-kes disiplin yang melibatkan

gejala telefon bimbit bukanlah suatu yang asing lagi di sekolah-sekolah. Perkara-perkara negatif

terutamanya pornografi juga dapat diperolehi melalui internet dengan mudah disamping perkara

positif. Terdapat juga pelajar yang ketagih untuk ber‘chating’ atau bermain ‘game’ di pusat-pusat

siber kafe selama berjam-jam sehingga terlupa untuk mengulangkaji pelajaran dan bersembahyang.

Bagi menghadapi gejala negatif tersebut, para pelajar mestilah mempunyai perisai yang ampuh

yang dapat melindungi dirinya agar tidak sekali-kali terpengaruh dengan segala gejala negatif

tersebut. Perisai tersebut adalah wawasan yang jelas tentang tujuan hidupnya sebagai seorang

2
pelajar. Pelajar pada zaman dahulu sekalipun hanya belajar di pusat pengajian tradisional seperti

sekolah pondok tetapi diketahui mempunyai wawasan untuk menjadi ‘tok guru’ atau orang alim agar

dapat mendidik masyarakat di sekelilingnya pula di samping untuk dirinya sendiri. Wawasan tersebut

bertolak dari nawaitu yang ikhlas kerana Allah.

Ciri-ciri pelajar berwawasan

Seperti contoh pelajar pondok yang diberikan di atas, pelajar berwawasan mestilah belajar semata-

mata kerana Allah. Allahlah cita-cita setiap makluk. Pelajar tersebut yakin bahawa jika dia

melakukan sesuatu bukan kerana Allah maka segala usahanya akan sia-sia semata-mata umpama

debu di atas batu yang lama-kelamaan akan terbang ditiup angin. Maka wawasan pelajar tersebut

tidak terhenti setakat ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM atau PMR semata-

mata atau sekadar untuk menjadi doktor dan sebagainya bahkan perkara tersebut hanyalah sebagai

jalan menuju ke matlamat yang lebih tinggi iaitu keredhaan Tuhannya.

Walaubagaimanapun, pelajar berwawasan tetap mempunyai target yang jelas tentang

pencapaiannya di dalam peperiksaan. Pelajar sedemikian akan menetapkan target yang tertinggi

yang ingin dicapainya untuk setiap matapelajaran. Beliau juga mampu mengenalpasti tahap

kepentingan setiap mata pelajaran sesuai dengan minat dan cita-cita kerjayanya. Kemampuan

meletakkan target untuk setiap matapelajaran adalah penting lebih-lebih lagi pada masa sekarang

menurut sijil terbuka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sekarang ini, penilaian tahap

pencapaian pelajar adalah berbeza mengikut matapelajaran yang diambilnya dalam peperiksaan

tersebut.

3
Pelajar berwawasan bukan sekadar meletakkan target secara semberono sahaja untuk setiap mata

pelajaran seperti contohnya meletakkan semuanya A1 tanpa menggariskan pelan tindakan yang

sesuai untuk mencapai targetnya itu. Ini kerana dia mesti bertanggungjawab untuk mencapai target

tersebut. Jika dia ingin mencapai A1 untuk setiap mata pelajaran dia mestilah menggariskan berapa

jamkah seminggu yang ingin diperuntukkan untuk mempelajari mata pelajaran berkenaan. Apakah

sub-topik yang penting untuk dipelajari yang sering ditanya dalam peperiksaan? Berapa soalankah

sehari yang ingin dicuba untuk menjawabnya terutamanya bagi mata pelajaran Matematik?

Berapakah karangan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang mesti dibuat seminggu? Dengan

kata lain pelajar berwawasan juga adalah pelajar yang bijak kerana bukan sahaja kuat ‘bekerja’

tetapi juga ‘bekerja’ dengan bijak (work hard and smart).

Pelajar berwawasan juga mestilah jelas tentang cita-citanya dari sudut kerjaya. Pada masa

sekarang jika ditanya kepada seorang pelajar apakah cita-citanya, ramai pelajar yang tidak mampu

memberikan sebarang jawapan. Terdapat juga yang memberikan jawapan yang umum sahaja

seperti ingin masuk universiti atau ingin berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Ramai pula

yang menjawab seperti yang biasa kita dengar iaitu untuk menjadi doktor, guru, akauntan atau

usahawan.

Pernahkah kita mendengar jawapan seperti ini;

“Saya ingin menjadi seorang akauntan bertauliah dan mempunyai firma perakaunan saya sendiri

atau sekurang-kurangnya saya akan bekerja di sebuah syarikat korporat atau multinasional terbesar

di negara ini.”

4
“Saya akan menjadi seorang doktor pakar jantung yang akan melakukan pembedahan bagi

menyelamatkan nyawa ramai manusia.”

“Saya adalah bakal usahawan yang berjaya dimana saya akan mengungguli bidang penghasilan

besi waja bagi membekalkan besi waja ke seluruh tanah air menggantikan PERWAJA yang tenat

sekarang ini.”

“Saya akan menceburi bidang pertanian di mana saya akan memelihara beribu ekor kambing

berbagai spesis untuk dieksport ke seluruh dunia. Saya juga akan menyediakan bekalan daging

halal yang diyakini kepada umat Islam di dalam negara ini. Insyaallah saya akan membeli beribu

hektar tanah untuk tujuan tersebut.”

“Saya akan menjadi seorang saintis di mana saya akan membuat penyelidikan khusus di bidang

farmasi. Saya juga berminat untuk mencari penawar bagi penyakit AIDS kerana saya yakin dengan

sabda nabi bahawa setiap penyakit ada ubatnya.”

Demikianlah jawapan yang sepatutnya kita dengar dari seorang pelajar berwawasan. Jawapan

sedemikian bukan sahaja akan mengagumkan seorang guru yang mendengarnya bahkan tentunya

akan menjadi pendorong dan memberikan motivasi kepada pelajar itu sendiri untuk berusaha lebih

gigih dan tekun bagi mencapai cita-citanya.

Cita-cita pelajar berwawasan sebenarnya timbul dari pendedahan yang diperolehinya dari

persekitarannya juga mendapat dorongan dari kedua ibu-bapanya. Pelajar yang berminat di bidang

perubatan sebagai contohnya akan meminati siri telivisyen seperti House, ER Scrubs dan Medical

investigation. Rencana-rencana yang berkaitan dengan kesihatan yang selalu disiarkan dalam

5
sisipan akhbar harian juga akan diminati oleh pelajar ini. Bagi yang meminati bidang kehakiman pula

pastinya akan meminati siri Law And Order, L.A. Law dan sepertinya. Siri tv berjudul Numbers pula

akan diminati oleh pelajar yang meminati sabjek matematik dan mungkin menyimpan cita-cita

menjadi pakar matematik di masa akan datang. Bagi yang ingin menjadi usahawan berjaya akan

meminati siri The Apprentice. Sayang sekali saluran televisyen di Negara kita tidak banyak

menayangkan cerita-cerita berfaedah seperti di atas atau rencana-rencana yang bermanfaat

dibandingkan dengan cerita-cerita romantik, tahyul, rancangan hiburan atau siri realiti yang tidak

begitu berguna untuk membangunkan minda masyarakat.

Pelajar berwawasan akan sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya yang diminatinya. Ini

termasuklah mengetahui universiti-universiti sama ada swasta atau awam yang menawarkan kursus

yang berkaitan dengan kerjaya tersebut serta syarat minima pencapaian keputusan peperiksaan

yang diperlukan. Dengan itu pelajar tersebut dapat memberikan penekanan (weightage) yang

sewajarnya terhadap matapelajaran yang berbeza sesuai dengan syarat minima yang ditetapkan

oleh universiti berkenaan.

Pelajar berwawasan mempunyai cita-cita yang jelas bukan samar-samar atau sekadar tahu

menyebut secara umum sahaja. Keinginannya untuk mencapai cita-cita tersebut sentiasa kian

membara dalam dirinya. Dia akan sentiasa terbayangkan dirinya menjadi seperti yang dicita-

citakannya itu. Jika dia bercita-cita menjadi seorang peguam, dia akan membayangkan dirinya

sedang memberikan hujjah-hujjah mempertahankan anak guamnya di mahkamah dengan sut hitam

serba lengkap seorang peguam. Dia akan membayangkan dirinya berjaya di mahkamah

menyelamatkan nyawa defendan yang tidak bersalah. Siri televisyen yang sering dilihatnya akan

membantunya membuat visual yang jelas gambarannya itu. Pakar-pakar motivasi memang sepakat

6
bahawa teknik visualisasi tersebut akan meningkatkan peluang kejayaan seseorang sesuai dengan

gambaran yang divisualkannya.

Seperti yang telah dinyatakan tadi, pelajar berwawasan mempunyai wawasan yang jauh melangkaui

sekadar cita-cita kerjayanya sahaja. Matlamat akhirnya adalah kerana Allah dan dia bekerrja untuk

Islam. Dia ingin memberikan sumbangan kepada Islam dalam bidang yang diminatinya. Jika dia

ingin menjadi saintis tujuannya adalah untuk membela umat Islam yang masih ketinggalan dari segi

sains dan teknologinya. Jika dia ingin menjadi seorang pereka animasi digital niatnya adalah untuk

membuat cerita-carita sejarah IsIam atau berunsur nasihat. Bagi yang ingin menjadi jurutera awam

niatnya adalah untuk menghasilkan infrastruktur yang lebih menepati dengan kehendak Islam

(seperti mesra golongan kurang upaya dan mesra alam sekitar) serta menjadi jurutera yang jujur

dan mengelak dari rasuah.

Akhirnya, Segala ciri-ciri yang dinyatakan di atas adalah ciri-ciri utama sahaja bagi seorang pelajar

berwawasan. Ciri-ciri lain seperti berdisiplin, menghargai masa dan sebagainya akan datang dengan

sendirinya bila seseorang pelajar mempunyai wawasan yang jelas terhadap halatuju hidupnya. Ini

kerana wawasan dan cita-cita adalah umpama magnet yang mempu menarik sifat-sifat positif lain

kepada individu yang mempunyainya. Ibarat kata di mana ada kemahuan di situ ada jalan,

insyaallah pelajar yang berwawasan akan menncapai kejayaan selagi dia fokus kepada wawasan

dan matlamat yang dicita-citakannya.

By ZIL AMRI

zil.wan@yahoo.com

Disiarkan dalam majalah CAHAYA Keluaran Disember 2008

7
8

You might also like