You are on page 1of 2

Jenis Watak:

Dalam sesebuah novel banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut
berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua
jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak
utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan
peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

1. Watak Utama:

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam
sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama
kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita.

Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau
antagonis.

Watak Protagonis:

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita
ke arah keadaan yang positif. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak antagonis:

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis.
Contohnya, watak Pak Soh dalam Novel Mereka Yang Tertewas.

Watak bulat/bundar:

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki


sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula
sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal
oleh pembaca.

Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka,


dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya
(jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak
tersebut berubah. Misalnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.
Watak Dinamik:

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah
sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya.
Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut
perkembangan cerita. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Pipih:

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak
ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya,
kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-
tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.
Jelasnya, Pembaca tidak lagi terkejut dengan tindak-tanduk watak tersebut kerana
pembaca telah dapat mengagak sebarang kemungkinan yang akan dilakukannya
berdasarkan sifat peribadi yang dimilikinya. Biasanya, terdapat dua kategori watak
pipih yang dipaparkan oleh pengarang cerita, iaitu:

(a) Watak pipih yang berpihak kepada protagonis.


Contohnya, Watak Jemilah, Pudin, Mat Yassin dan Uda Puat dalam Novel Mereka
Yang Tertewas, berpihak kepada Lebai Pa.

(b) Watak pipih yang berpihak kepada antagonis.


Watak-watak ini cenderung berpihak kepada antagonis. Contohnya, Watak Khatijah
dan Kidam dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Pak Soh.

Watak Statik:

Watak yang tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita.
Ia digambarkan terus dengan pendiriannya atau tingkah laku yang ditonjolkannya dari
awal hingga akhir cerita. Contohnya, Watak Mat Yassin dalam Mereka Yang Tertewas.

2. Watak Sampingan:

Watak-watak pembantu yang ditimbulkan oleh pengarang dalam cerita untuk


menyokong tindak-tanduk watak utama. Watak-watak ini diwujudkan sebagai
pelengkap cerita. Watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam
cerita.

You might also like