You are on page 1of 16

Soalan A

Pada awal kurun ke-20, ramai ahli psikologi yang telah mencuba untuk
mengkaji pemikiran dan pembelajaran melalui intropeksi. Mereka meminta
subjek ‘melihat’ dalam minda sendiri dan menerangkan apa yang sedang
‘difikirkan’. Namun begitu, usaha mereka telah dikritik oleh sesetengah ahli
psikologi seperti J. B Watson (1878-1958) kerana kaedah itu kurang objektif dan
saintifik. Mereka mencadangkan agar ahli-ahli teori memfokuskan kepada dua
perkara yang boleh diperhatikan iaitu tingkah laku (gerak balas) dan persekitaran
(rangsangan) yang mendahului atau mengikuti gerak balas.

Rentetan daripada itu, timbullah aliran behaviorisme yang mengkaji


pembelajaran dan tingkah laku melalui analisis perkaitan rangsangan gerak
balas. Teori pembelajaran behaviorisme sangat mengutamakan pembelajaran
kemahiran-kemahiran tertentu terutamanya berkaitan kemahiran fizikal. Tokoh-
tokoh behaviorisme berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu
perubahan dalam tingkah laku cara seseorang bertindak dalam situasi tertentu.
Pandangan ini memfokuskan kepada perubahan tingkah laku yang nyata dan
dapat diperhatikan.

i. J. B Watson (1978-1958)

John Broades Watson (1978-1958) seorang ahli psikologi di Amerika


Syarikat merupakan pengasas aliran behaviorisme untuk menghuraikan tingkah
laku. Beliau terkenal dengan Teori Pelaziman Klasik Watson. Bagaimanapun,
kajian beliau banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov.

Menurut Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak
balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku,
Watson turut menjalankan kajian terhadap pembelajaran emosi manusia.
Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi semula jadi iaitu takut, marah
dan kasih sayang. Emosi manusia atau perubahannya dipelajari melalui proses
pelaziman.

Hipotesisnya dibuktikan melalui kajian beliau yang dikenali sebagai Model


Pelaziman Klasik Watson yang menggunakan seorang bayi berumur 9 bulan
bernama Albert dan seekor tikus putih. Albert pada mulanya tidak menunjukkan
perasaan takut pada tikus tersebut tetapi apabila satu bunyi yang kuat
dikeluarkan serentak dengan kemunculan tikus tersebut menyebabkan Albert
menjadi takut. Situasi ini diulangi beberapa kali sehingga menimbulkan perasaan
takut Albert kepada tikus tersebut. Melalui proses pelaziman ini, Albert telah
belajar tingkah laku takut.

ii. Ivan Petrovich Pavlov (1849-1936)

Ivan Petrovich Pavlov, dilahirkan pada 1894 merupakan seorang saintis


dan ahli fisiologi Rusia memperkenalkan Teori Pelaziman Klasik atau Teori R-G
(Rangsangan – Gerak Balas. Beliau berpendapat bahawa pembelajaran boleh
berlaku akibat rangsangan yang telah diterima oleh seseorang.

Kajian beliau tentang proses pencernaan dalam anjing dan pemerhatian


terhadap perubahan-perubahan dalam kadar penghasilan air liur anjing akhirnya
membawa kepada Teori Pelaziman Klasik di bawah kajian bidang fisiologi.
Melalui kajian ini, Pavlov telah mengemukakan konsep rangsangan dan gerak
balas (Mook Soon Sang, 2002). Selain konsep tersebut, Pavlov turut
mengemukakan konsep generalisasi, diskriminasi dan penghapusan yang
boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Rahil Mahyuddin (2000) dalam buku Psikologi Pendidikan telah


menjelaskan konsep generalisasi dan diskriminasi dalam situasi bilik darjah.
Menurut beliau, generalisasi bererti kemahiran boleh dipindahkan kepada
beberapa mata pelajaran seperti kemahiran menyelesaikan masalah dalam mata
pelajaran matematik dapat diaplikasikan dalam mata pelajaran fizik. Manakala
diskriminasi pula beerti peneguhan berlaku hanya apabila sesuatu rangsangan
wujud contohnya memberitahu pelajar bila dan dalam situasi mana pelajar boleh
melakukan sesuatu tindakan seperti mengangkat tangan apabila guru habis
menyoal dan berdiri apabila disoal.

Laman web http://www.homestead.com telah mentakrifkan penghapusan


mengikut perspektif behaviorisme dan pembelajaran sebagai gerak balas yang
wujud akan berperingkat- peringkat terhapus apabila peneguhan atau ganjaran
tidak diberikan lagi. Dalam kajian Pavlov, prinsip penghapusan terjadi apabila
loceng yang tidak disertakan dengan rangsangan tak terlazim (makanan). Lama-
kelamaan loceng tidak lagi tidak merangsang anjing untuk mengeluarkan air liur.

iii. Thorndike (1874-1949)

Teori Pelaziman Operan Thorndike yang turut dikenali sebagai teori


cuba-jaya pula telah dikemukan oleh Edward L.Thorndike (1874-1949). Beliau
telah menggunakan seekor kucing untuk membuat kajian. Beliau membuktikan
melalui kajian tersebut bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-jaya. Oleh
kerana latihan dilakukan secara berulang-ulang, gerak balas yang salah
dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurang, perhubungan
antara rangsangan dengan gerak balasnya akan semakin bertambah kukuh.
Maka, perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas ini mewakili konsep
pembelajaran. Menurut Thorndike, perhubungan ini berlaku berdasarkan
bilangan kali latihan, keadaan kesediaan individu dan keberkesanan latihan.

Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran dikawal oleh hukum


pembelajaran dan terbahagi kepada tiga, iaitu (a) Hukum Kesediaan (b) Hukum
Latihan dan (c) Hukum Kesan. Mook Soon Sang (2002) mentakrifkan Hukum
Kesediaan sebagai keupayaan persiapan individu di dalam kendirinya untuk
memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut beliau, Hukum Latihan
menyatakan bahawa semakin banyak latihan yang tertentu dijalankan, semakin
kukuh ikatan atau asosiasi gerak balas yang tertentu dengan rangsangan yang
berkaitan. Manakala Hukum Kesan menyatakan bahawa ikatan rangsangan
dengan gerak balas akan bertambah kukuh sekiranya individu memperoleh
kesan yang memuaskan selepas gerak balasnya dihasilkan. Berdasarkan tiga
hukum tersebut, maka guru dapatlah menggunakannya sebagai pendekatan
yang berkesan untuk merangka strategi pengajaran dan pembelajaran dalam
bilik darjah.

iv. B. F Skinner (1904-1990)

Burrhus Frederic Skinner (1904-1990), seorang ahli psikologi di Amerika


Syarikat, juga merupakan pelopor dalam bidang kajian pelaziman operan dan
telah mengkaji dan memperbaiki lagi teori-teori behaviorisme. Menurut beliau,
pembelajaran akan berlaku jika ada rangsangan dan tindak balas yang
berulangan.

Hipotesisnya berkaitan Teori Pelaziman Operan telah dibuktikan melalui


beberapa eksperimen menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati,
di mana tingkah laku binatang tersebut dikawal dan gerak balasnya dihitung
dalam sebuah kotak yang direka bentuk dan dikenali sebagai Kotak Skinner
(Skinner Box). Beliau telah menggunakan hasil daripada kajian ini untuk
diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Menurut beliau, dalam teori pelaziman operan, gerak balas boleh diulangi atau
dihapuskan jika diberikan peneguhan sejurus selepas gerak balas ditunjukkan.
Menurut pendapat Amir Awang (1986), mengikut Pelaziman Klasik, murid akan
menjadi pasif kerana ganjaran diberikan kepadanya bukan atas usahanya
mendapatkan ganjaran tersebut. Manakala mengikut Pelaziman Operan, pelajar
bertindak aktif kerana ganjaran diperoleh dengan cara berusaha sendiri.
Terdapat lima jenis proses Teori Pelaziman Operan Skinner iaitu
peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip Premack dan
pelupusan. Menurut Rahil Mahyuddin (2002), peneguhan positif meningkatkan
berlakunya sesuatu bentuk tingkah laku dengan adanya rangsangan tertentu
manakala peneguhan negatif meningkatkan tingkah laku melalui penarikan
keluar sesuatu rangsangan terutama yang tidak menyenangkan. Denda pula
bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Skinner
berpendapat bahawa denda hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang
singkat sahaja. Selepas itu, tingkah laku yang tidak diingini akan berulang lagi.
Seterusnya, Prinsip Premack berperanan mengaitkan sesuatu yang kurang
diminati dengan aktiviti yang diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap
aktiviti yang kurang diminati. Akhir sekali, pelupusan bermaksud perlakuan yang
tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya (Dr. Khadijah Rohani et al.,
2006). Ia dapat diatasi jika dikenal pasti dan guru hendaklah bersabar kerana
hasilnya tidak datang serta merta.

Kesimpulannya, teori behaviorisme menekankan peranan persekitaran


dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan
antara sesuatu rangsangan dengan sesuatu gerak balas. Pelaziman klasik dan
pelaziman operan adalah contoh teori behaviorisme yang menekankan kajian
tentang tingkah laku yang dapat diperhatikan. Peneguhan positif dan negatif
memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran dan boleh meningkatkan
tingkah laku yang diinginkan. Denda mempunyai kesan yang tertentu dan tidak
digalakkan sebagai cara untuk mengawal tingkah laku.
Soalan B (i)

Penyampaian sesuatu pengetahuan atau kemahiran akan lebih berkesan


sekiranya seseorang guru mengaplikasikan pelbagai teori pembelajaran dalam
bilik darjah. Teori Pembelajaran “Cuba-Jaya” telah dikemukakan oleh Edward
L.Thorndike (1874-1949). Ia merupakan salah satu daripada daripada teori
pembelajaran behaviorisme. Thorndike telah menyarankan satu set prinsip
menerangkan perubahan yang diperhatikannya dalam proses pembelajaran dan
membahagikannya kepada tiga hukum iaitu (a) Hukum Kesediaan, (b) Hukum
Latihan dan (c) Hukum Kesan.

i. Hukum Kesediaan

Hukum Kesediaan menyatakan apabila adanya bangkitan impuls yang kuat


untuk sesuatu tindakan urutan maka kelicinan menjalankan urutan itu adalah
memuaskan (Habibah Elias dan Rahil Mahyuddin, 1990). Jika tindakan urutan
dihalang, dipaksa untuk mengulangi tindakan tersebut atau tindakan tersebut
mengakibatkan keletihan, maka akan menimbulkan perasaan yang tidak
menyenangkan.

Kamarudin Hj. Husin (1993), menjelaskan bahawa hukum kesediaan yang


dimaksudkan oleh Thorndike ialah persiapan-persiapan yang terdapat dalam diri
individu sebelum ia dapat bertindak. Kesediaan ini melibatkan persediaan dan
perancangan khas untuk membolehkan sesuatu pembelajaran itu dihadapi
dengan mudah. Menurut Thorndike, sekiranya sesuatu unit itu sudah cukup
bersedia, maka ia akan dapat merasakan kepuasan setelah tindakan itu
dilakukan.

Mook Soon Sang (2002) pula mentakrifkan hukum kesediaan sebagai


keupayaan persiapan individu di dalam kendirinya untuk memulakan sesuatu
aktiviti pembelajaran. Menurut beliau, terdapat tiga jenis kesediaan belajar di
dalam bilik darjah iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan
psikomotor. Di dalam pembelajaran, kesediaan kognitif merupakan kesediaan
pemikiran individu untuk berfikir, menaakul, mentafsir dan mengingat sesuatu
perkara dan tahap kognitif manusia adalah berbeza-beza mengikut
perkembangan umur masing-masing. Biasanya ia melibatkan pengetahuan sedia
ada yang terdiri daripada perkara-perkara yang telah dipelajari atau pernah
dialami sebelum ini. Pelajar yang mempunyai kesediaan kognitif dapat
melaksanakan aktiviti pembelajaran dengan baik kerana pengetahuannya sesuai
dengan usaha dan latihan yang diperlukan. Sebaliknya, objektif pembelajaran
tidak akan tercapai sekiranya pelajar tiada persediaan kognitif kerana kelemahan
pemikiran boleh membataskan pemahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran.

Manakala kesediaan afektif merupakan kesediaan perasaan iaitu


semangat, minat, ketekunan, keinginan dan sikap seseorang untuk
melaksanakan sesuatu. Ini penting agar pelajar dapat menghayati dan
memahami isi pembelajaran dengan lebih berkesan. Apabila pelajar tidak
mempunyai semangat dan minat terhadap sesuatu, maka dia akan rasa terpaksa
dan tidak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dengan bersungguh-sungguh.
Menurut Stamford (1971), pembelajaran yang berkesan adalah dipengaruhi oleh
sikap pelajar dan bukan bilangan kali seorang pelajar mengulangkaji bahan
pelajarannya. Secara tidak langsung, tahap afektif yang tinggi dalam diri seorang
pelajar dapat meningkatkan kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor.

Kesediaan psikomotor pula merujuk kepada seseorang yang bersedia


untuk melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran
yang baru. Kesediaan psikomotor sangat penting bagi seseorang individu dalam
melakukan aktiviti fizikal dengan lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, individu
tersebut perlu memastikan terlebih dahulu bahawa potensi dan kematangan
fizikalnya selaras dengan latihan fizikal yang ingin dilakukan. Sekiranya fizikal
seseorang itu belum cukup matang dari aspek perkembangan otot, tulang,
anggota dan sebagainya maka dia tidak boleh melakukan aktiviti fizikal seperti
berlari, melompat dan sebagainya. Seseorang individu juga berbeza dengan
individu yang lain. Perkara-perkara ini perlu diambil kira kerana secara tidak
langsung akan mempengaruhi pergerakan fizikal individu.

Kamarudin Hj. Husin (1993) menyatakan bahawa pada awal


pembelajaran, biasanya murid-murid akan menunjukkan respon yang kasar dan
susah. Tetapi perkara ini boleh diatasi melalui demonstrasi cara-cara melakukan
sesuatu dan latihan-latihan yang kerap. Dengan ini, murid-murid secara
beransur-ansur akan menunjukkan gerak balas yang lebih halus. Pergerakan
yang tidak betul akan diperbaiki manakala pergerakan yang betul akan
dikukuhkan. Apabila latihan ini diteruskan, kemahiran motor yang diperlukan
dapat dikuasai dengan sepenuhnya.Ini bermakna, latihan dapat memberi
kesempurnaan kepada kemahiran individu yang berbeza-beza. Kesimpulannya
ketiga-tiga kesediaan ini perlu diambil perhatian oleh guru di dalam bilik darjah
untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan
dengan lancar dan berkesan. Guru juga perlu sentiasa peka terhadap aspek
perbezaan individu pelajar-pelajarnya.

Menurut Sharifah Alawiah Alsagoff (1986) pula, prinsip kesediaan


bermakna kita tidak dapat mengajar sesuatu individu bergerak balas yang tidak
dapat dibuatnya. Kesediaan pembelajaran amat penting untuk memperolehi
perasaan yakin diri tentang kebolehan belajar dan mengatasi situasi
pembelajaran baru serta percaya bahawa pembelajaran itu ialah satu perkara
baru yang seronok diterokai iaitu bukan satu tugas yang menyusahkan diri
semata-mata.

Mok Soon Sang (2001) berpendapat bahawa terdapat pelbagai faktor


yang boleh mempengaruhi kesediaan belajar seseorang individu. Antaranya
ialah faktor kematangan yang dapat dilihat melalui kematangan fizikal, kognitif,
emosi dan sosial seseorang pelajar. Minat dan sikap pula mendorong seseorang
pelajar untuk memberi perhatian kepada sesuatu pembelajaran. Manakala
motivasi dalaman akan membangkitkan dan mengekalkan minat seseorang
individu dalam proses pembelajaran. Selain itu, kemahiran asas dan
pengalaman penting kepada pelajar untuk mempelajari sesuatu ilmu atau
kemahiran baru. Tanpa kedua-duanya, pelajar tidak dapat menerima
pembelajaran dengan baik dan berkesan. Faktor-faktor ini sangat membantu
dalam mewujudkan aktiviti pembelajaran dengan lebih aktif, mudah, seronok dan
berkesan.
Justeru, kesediaan seseorang sangat penting dalam memulakan sesuatu
aktiviti pembelajaran. Kesediaan merangkumi kesediaan fizikal, kognitif, emosi
dan sosial. Kesediaan adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti
kematangan, minat, sikap, motivasi, kemahiran asas dan pengalaman individu
dalam menjamin keberkesanan sesuatu pembelajaran. Pelajar akan merasa
puas dan seronok menghadapi sesuatu pembelajaran apabila mempunyai
kesediaan. Sebaliknya tanpa kesediaan, pelajar akan mempersepsikan
pembelajaran sebagai beban dan menyusahkan diri.

ii. Hukum Latihan

Hukum Latihan menyatakan bahawa semakin banyak latihan yang tertentu


dijalankan, semakin bertambah kukuh ikatan atau asosiasi gerak balas yang
tertentu dengan rangsangan yang berkaitan. Dengan perkataan lain, sekiranya
pasangan rangsangan gerak balas wujud berkali-kali, maka ikatannya bertambah
kukuh dan lebih tinggi kemungkinannya gerak balas itu akan berlaku semula
apabila rangsangan itu wujud lagi pada masa kelak (Mook Soon Sang, 2002). Ini
bermaksud latihan berulang kali akan mengukuhkan pertalian antara rangsangan
dan gerak balas dan kemungkinan gerak-balas itu berlaku semula adalah lebih
tinggi jika rangsangan tersebut wujud lagi pada masa akan datang.

Sharifah Alawiah Alsagoff (1986) berpendapat bahawa hukum latihan


menyatakan bahawa rangkaian akan diteguhkan dengan penggunaan dan akan
dilemahkan tanpa penggunaan. Beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan
dengan penggunaan di sini adalah ganjaran yang berterusan. Mengikut hukum
ini, latihan tanpa ganjaran tidak akan bermakna. Pengulangan latihan yang tidak
sistematik tanpa ganjaran tidak akan mengakibatkan pembelajaran.

Manakala Kamarudin Hj. Husin (1993) pula melihat latihan yang


dimaksudkan dalam hukum latihan sebagai sesuatu yang utama dalam proses
pembelajaran. Hukum ini menyatakan sesuatu perkaitan antara rangsangan dan
tindak balas akan bertambah kukuh jika terdapat latihan. Sebaliknya, tanpa
latihan dan ulangan, ikatan tersebut akan lemah. Hukum ini banyak diaplikasikan
dalam latihan menghafal dan latihan-latihan otot.

Hukum latihan merujuk kepada peneguhan perkaitan melalui latihan dan


kelemahan perkaitan atau lupaan apabila latihan tidak diteruskan. (Habibah Elias
dan Rahil Mahyuddin, 1990). Pengukuhan berkemungkinan mendorong
berlakunya bertambahnya gerak balas terutamanya apabila diulang serta-merta.
Selepas menyemak semula andaian ini, Thorndike kemudiannya
mengemukakan bahawa pengukuhan dan kelemahan dalam satu perkaitan
antara rangsangan dan gerak balas semasa latihan bergantung kepada
perasaan kepuasan atau kesan yang tidak menyenangkan.

Kesimpulannya, guru dapat mengaplikasikan prinsip asas ini dalam bilik


darjah dengan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti latihan, ulangkaji, aplikasi serta
pengukuhan dalam keadaan yang menyeronokkan. Hukum latihan ini sangat
penting untuk mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan gerak balas.
Tanpa adanya latihan akan menyebabkan kelemahan dan kelupaan. Oleh itu,
pembelajaran pastinya akan lebih berkesan sekiranya pembelajaran disertai
latihan sebagai pengukuhan sesuatu pembelajaran.
iii. Hukum Kesan

Hukum Kesan menyatakan sesuatu rangkaian di antara rangsangan yang


dibuat dan hal ini diikuti pula dengan keadaan yang memuaskan, maka
rangkaian tersebut akan diteguhkan (Sharifah Alawiah Alsagoff, 1986). Namun
begitu, jika ia diikuti dengan keadaan yang menyakitkan hati, maka rangkaian
tersebut akan dilemahkan. Apa yang jelas, mengikut hukum ini, sesuatu yang
perlu dipelajari itu perlu disajikan dengan sesuatu ganjaran supaya
menampakkan tingkah laku yang diingini dan sebaliknya jika sesuatu itu perlu
dielakkan maka dendaan mesti mengikut gerak balas yang tidak diingini itu.

Pendapat beliau turut disokong oleh Kamarudin Hj. Husin yang


mengatakan hubungan antara rangsangan dan gerak balas akan berulangan,
dapat dikekalkan dan bertambah kukuh apabila terdapat kesan yang
memuaskan selepas sesuatu gerak balas dihasilkan. Sebaliknya, hubungan ini
akan menjadi semakin lemah seandainya tindak balas itu diikuti oleh sesuatu
yang menyakitkan. Secara tidak langsung, kemungkinan gerak balas itu untuk
diulangi atau diteruskan akan menurun atau berkurangan.

Mok Soon Sang (2000) pula menjelaskan bahawa hukum kesan


menjelaskan bahawa ikatan rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh
sekiranya individu memperolehi kesan yang memuaskan selepas gerak balasnya
dihasilkan. Sebaliknya, gerak balas yang tidak mendatangkan hasil yang
berkesan akan kian menjadi lemah khasnya apabila sesuatu gerak balas yang
membawa kesan yang menyakitkan atau tidak menyeronokkan. Thorndike
berpendapat bahawa pemberian ganjaran merupakan cara yang berkesan untuk
membentuk tingkah laku yang diharapkan.

Di dalam buku Psikologi Pendidikan, Habibah Elias dan Rahil Mahyuddin


(1990) menegaskan bahawa hukum kesan merupakan hukum yang terpenting
sekali dan mereka juga berpendapat bahawa kemungkinan perkaitan itu
berulang adalah besar sekiranya sesuatu perkaitan itu diiringi dengan perasaan
kepuasan. Sebaliknya, apabila perkaitan itu diiringi dengan perasaan yang tidak
menyenangkan, pengukuhan menjadi lemah. Thorndike merumuskan bahawa
ganjaran menggalakkan pelajar melakukan sesuatu gerak balas manakala denda
akan menghalang manusia daripada melakukannya.

Guru hendaklah memberi ganjaran atau peneguhan sebagai respon atau


gerak balas yang betul kepada pelajar. Peneguhan di dalam bilik darjah boleh
diberikan melalui tiga komponen iaitu (a) secara konkrit seperti hadiah, markah,
makanan dan lain-lain, (b) sosial misalnya memberikan senyuman, perhatian,
penghargaan dan pujian kepada pelajar serta (c) melalui aktiviti-aktiviti yang
digemari oleh pelajar. Proses pembelajaran yang melibatkan tingkah laku akan
sering diulang jika terdapatnya peneguhan yang positif atau ganjaran dan
suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Secara tidak langsung, berupaya
mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan ke arah
pencapaian yang lebih memberangsangkan.

Ringkasnya, kesan pengalaman yang menyeronokkan akan


mengukuhkan lagi pertalian antara rangsangan dan gerak balas. Ini
menggalakkan gerak balas diulang. Sebaliknya, kesan pengalaman yang
menyakitkan hanya melenyapkan gerak balas yang terhasil.
Soalan B (ii)

Berikut adalah contoh-contoh spesifik bagaimana guru boleh menggunakan


hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan dalam bilik darjah:

i. Hukum Kesediaan

Hukum kesediaan yang dimaksudkan Thorndike ialah persiapan-persiapan


yang terdapat dalam diri individu sebelum ia dapat bertindak. Kesediaan dalam
pembelajaran merngkumi tiga aspek iaitu (i) kesediaan mental (ii) kesediaan
fizikal dan (iii) kesediaan emosi.

Di dalam pembelajaran, kesediaan mental atau kognitif merupakan


kesediaan pemikiran individu untuk berfikir, menaakul, mentafsir dan mengingat
sesuatu perkara. Biasanya ia melibatkan pengetahuan sedia ada. Contohnya,
seorang guru yang ingin mengajar tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’. Guru
tersebut perlu memastikan bahawa murid-muridnya sudah mengetahui
bagaimana cara mengambil wudhu’ dengan betul, jenis-jenis air yang sah untuk
berwudhu’ dan kaedah menutup aurat dengan sempurna.

Kesediaan fizikal pula merujuk kepada seseorang yang bersedia untuk


melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran yang
baru. Contohnya dalam tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’, guru hendaklah
memastikan terlebih dahulu bahawa murid-murid mampu mengikuti gerakan-
gerakan yang diajar seperti berdiri tegak, ruku’, sujud dan sebagainya. Guru
perlu peka terhadap perbezaan individu murid kerana secara tidak langsung
akan mempengaruhi pergerakan fizikal individu. Misalnya, murid yang kurang
upaya mungkin tidak dapat melaksanakan sesuatu perkara yang diajar dengan
sempurna. Oleh itu, guru hendaklah mengajar mengikut kemampuan murid.
Manakala kesediaan emosi merupakan kesediaan perasaan iaitu
semangat, minat, ketekunan, keinginan dan sikap seseorang untuk
melaksanakan sesuatu. Guru yang berkesan perlu mengetahui cara untuk
menarik minat murid-murid. Set induksi yang menarik dapat merangsang minat
murid untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Contohnya, dalam tajuk ‘Kewajipan
Menunaikan Solat’, guru boleh memperdengarkan sebuah lagu nasyid
bertemakan solat. Kemudian, guru menyoal murid-muridnya tentang apa yang
mereka dapat dari nasyid tersebut. Guru boleh mengaitkan jawapan yang
diterima dengan pelajaran yang ingin diajarnya. Murid-murid akan lebih
bersemangat apabila dilibatkan dalam pengajaran guru. Secara tidak langsung,
mereka akan termotivasi untuk belajar.

Kesimpulannya, kesediaan pembelajaran adalah penting untuk


memperolehi perasaan yakin diri dan mengatasi situasi pembelajaran baru.
Melalui kesediaan, murid percaya bahawa pembelajaran itu merupakan satu
perkara baru yang seronok diterokai. Guru perlu memberi peneguhan atau
motivasi supaya perlakuan positif murid dapat dikekalkan. Tanpa persediaan,
objektif pengajaran amat sukar untuk dicapai.

ii. Hukum Latihan

Hukum Latihan adalah antara aspek yang penting dan perlu dititikberatkan.
Latihan yang berulang kali akan mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan
gerak balas dan kemungkinan gerak-balas itu berlaku semula adalah lebih tinggi
jika rangsangan tersebut wujud lagi pada masa depan. Hukum ini sesuai
diaplikasikan dalam latihan menghafal.

Contohnya guru ingin mengajar Surah Al-Fatihah kepada murid-muridnya.


Guru perlu membaca surah tersebut dengan fasih dan bertajwid dan murid
mendengar dengan teliti. Kemudian, guru meminta murid-murid mengikut
bacaannya. Hafalan ini perlu dilatih berulang kali bagi memastikan murid-murid
dapat membacanya dengan betul. Pengukuhan boleh diakukan dengan
mengaplikasikannya dalam solat, membaca Al-Fatihah sebelum memulakan
pelajaran dan sebagainya. Pembelajaran pastinya akan lebih berkesan sekiranya
disertai latihan, aplikasi dan pengulangan sebagai pengukuhan sesuatu
pembelajaran.

Mengikut hukum ini, latihan tanpa ganjaran tidak akan bermakna.


Pengulangan latihan yang tidak sistematik tanpa ganjaran tidak akan
mengakibatkan pembelajaran. Pengukuhan berkemungkinan mendorong
berlakunya bertambahnya gerak balas terutamanya apabila diulang serta-merta.
Oleh itu, guru perlu merancang latihan yang sistematik dan terancang demi
pembelajaran yang berkesan.

iii. Hukum Kesan

Mengikut hukum ini, Thorndike menyatakan bahawa sesuatu yang


dipelajari itu perlu disajikan dengan sesuatu ganjaran supaya menampakkan
tingkah laku yang diharapkan. Sebaliknya jika sesuatu itu perlu dielakkan maka
dendaan mesti mengikut gerak balas yang tidak diingini itu.

Contohnya, dalam tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’, guru memberi


latihan kepada murid-murid iaitu menghafal bacaan-bacaan dalam solat.
Kemudian, guru menyemak hafalan murid-murid dan membetulkan jika terdapat
sebarang kesalahan dalam bacaan mereka. Latihan dan pengukuhan memberi
banyak kesan positif kepada murid-murid. Guru boleh memberi peneguhan atau
ganjaran sebagai motivasi. Kesannya murid akan menjadi rajin dan bersemangat
untuk mengikuti pelajaran yang diajar. Secara tidak langsung, murid-murid
berpotensi untuk berjaya dalam pelajaran.
Ringkasnya, kesan pengalaman yang menyeronokkan akan
mengukuhkan lagi pertalian antara rangsangan dan gerak balas. Ini
menggalakkan gerak balas diulang. Sebaliknya, kesan pengalaman yang
menyakitkan hanya melenyapkan gerak balas yang terhasil. Proses
pembelajaran yang melibatkan tingkah laku akan sering diulang jika terdapatnya
peneguhan yang positif atau ganjaran dan suasana pembelajaran yang
menyeronokkan. Secara tidak langsung, berupaya mendorong pelajar
menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan ke arah pencapaian yang lebih
memberangsangkan.

You might also like