You are on page 1of 7

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah
penerokaan angkasa lepas terhadap manusia dan langkah-langkah untuk menggalakan rakyat
Malaysia menceburkan diri dalam bidang ini. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.

Pada 10 Oktober 2007, Malaysia telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas.
Kejayaan negara ini telah mula mendapat pelbagai komen negatif, terutamanya apabila menyentuh
kosnya yang agak besar. Selepas pendaratan manusia ke bulan dan kejayaan meletakkan probe angkasa di
planet Marikh dan Kejora, semakin banyak yang bertanya, “Apa faedahnya manusia pergi ke angkasa
lepas?” Bagi menjawab soalan ini, bayangkan kehidupan hari ini tanpa televisyen berbayar, telefon bimbit
atau tanpa komputer riba. Sudah pasti kita merasakan kita hampir kembali ke zaman batu.

Sebenarnya kemudahan teknologi itu hanya secebis daripada faedah penerokaan angkasa lepas.
Ada banyak lagi teknologi angkasa lepas telah digunakan dan kesannya amat relevan dengan kehidupan
moden hari ini. Misalnya syarikat-syarikat utama dalam pembuatan kereta yang berprestasi tinggi dan
kapal terbang banyak bergantung pada industri aeroangkasa. Beberapa teknologi yang digunakan dalam
reka bentuk kenderaan berkenaan pada asalnya digunakan untuk tujuan angkasa lepas. Ternyata teknologi
berkenaan mampu mengurangkan kos, meningkatkan prestasi, keselesaan dan tahap keselamatan.
Contohnya sistem beg udara, sistem brek karbon, penyerap hentak dan sebagainya.

Selain daripada kelebihan aplikasi teknologi pembuatan kenderaan, industri aeroangkasa ini juga
telah membuka satu saluran memperkenalkan sumber tenaga yang mesra alam seperti penghasilan kereta
hibrid yang menggunakan bahan bakar yang minimum dan dibantu dengan bateri yang memperoleh
tenaga matahari. Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) telah memperkenalkan sejenis logam kalis api
melalui kereta lumba IdeeVerte yang digerakkan dengan kuasa gas petroleum cecair dan menggunakan
bahan pelincir daripada bunga matahari kesan daripada kajian cabaran suasana dan keadaan angkasa
lepas.

Di samping itu, kemajuan dalam penjanaan tenaga elektrik dari cahaya matahari dapat
dimanfaatkan apabila ‘Teleskop Hubble’ mula dilancarkan oleh manusia di angkasa lepas. Kesannya
manusia dapat menikmati sumber tenaga percuma tanpa bingung memikirkan peningkatan kos tenaga
elektrik pada setiap bulan. Eksplorasi angkasa lepas juga telah mencabar pemikiran manusia untuk
menghasilkan lebih banyak hasilan teknologi yang boleh memberikan faedah kepada kita. Misalnya
perkembangan sistem telekomunikasi negara bermula dengan pelancaran MEASAT dan TIONGSAT di
ruang angkasa lepas negara.

Malaysia memang menyedari kepentingan bidang aeroangkasa yang berupaya meningkatkan


keupayaan radar bagi mengukur permukaan muka bumi dengan tepat. Ini telah memudahkan kita untuk
merancang pembangunan berdasarkan maklumat keadaan geologi negara. Semua ini dijalankan bagi
meminimumkan atau menghapuskan risiko bencana alam akibat aktiviti pembangunan yang dilaksanakan.
Sistem pemantauan jarak jauh menggunakan satelit membolehkan kita memantau keadaan cuaca, aktiviti
pembakaran dan penebangan hutan secara haram.

Semua contoh yang diperoleh ini sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada faedah
penerokaan angkasa lepas. Jika difikirkan dari aspek cabaran aeroangkasa sebenarnya ia telah mencabar
keupayaan manusia untuk lebih berinovasi dalam mencipta dan mencari kaedah yang sesuai bagi
membolehkan kita meneroka angkasa lepas. Oleh itu Malaysia haruslah mengorak langkah untuk merebut
peluang bagi membawa masuk teknologi angkasa lepas ini sekiranya ingin berdiri sama tinggi dengan
negara-negara maju yang lain. Sekiranya kita takut dan sentiasa berkira dalam tempoh jangka pendek
maka kita akan sentiasa menjadi pengguna teknologi maju untuk selama-lamanya.

[Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Aplikasi Teknologi daripada

Penerokaan Angkasa Lepas oleh Syed Yusainee Yahya, KOSMIK ,Oktober 2008]
Soalan 2 : Pemahaman

[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

i. Apakah maksud rangkai kata satu saluran? [2 markah]

ii. Bagaimanakah teknologi aeroangkasa ini dapat memberikan faedah kepada manusia?

[3 markah]

iii. Pada pendapat anda relevankah negara kita turut terlibat dalam industri aeroangkasa ini?
Mengapa? [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kefahaman tentang Tatabahasa

[30 markah]

a) Tulis satu ayat daripada kata-kata di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda
tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, serta menggunakan kata-kata
tersebut sebagai peribahasa dan nama khas.
i) Bernama

ii) Menamai

iii) Menamakan

iv) Ternama

v) Kenamaan

vi) Penamaan

[6 markah]

b) Tukar ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

i) Rahim memukul ular yang berlingkar di dalam reban itu dengan sebatang buluh.

ii) Penduduk di situ memagar kawasan tanah di kaki bukit itu.

iii) Kami menziarahi nenek petang semalam kerana beliau sakit.

[6 markah]

c) Dalam ayat-ayat di bawah ini terdapat dua penggunaan ejaan dan imbuhan yang salah. Kenal
pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa
mengubah struktur dan maksud asalnya.

i) Berdasar lapuran pegawai penyiasat, ternyatalah beliau telah difitnah.

ii) Pasokan bola sepak negara akan menjalankan latihan pusat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

iii) Perlancaran kempen keselamatan jalan raya akan diresmikan oleh Perdana Menteri esok.
[6 markah]

d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat dua kesalahanpenggunaan kata atau istilah dan
penggunaan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat
itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i) Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM akan diberi latihan insentif bermula
daripada minggu hadapan.

ii) Oleh kerana dia menunggang motosikalnya terlalu laju, motosikalnya tersembam ke dalam
longkang.

iii) “Simpanlah semua barang-barang kamu di tempat yang elok,” kata pegawai keselamatan itu
kepada Saiful.

[6 markah]

e) Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang
menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan berkenaan.

Sikap malu untuk bertanya tentang isi pelajaran akan hanya membawa keburukan kepada
seseorang pelajar. Guru mungkin beranggapan bahawa para pelajarnya sudah memahami
pelajaran yang diajarkan. Sebagai akibatnya, pelajar mungkin tidak dapat menjawab soalan
peperiksaan dengan baik. Akhirnya, mereka akan gagal dalam pelajaran dan segala penat lelahnya
sis-sia belaka. Oleh yang demikian, sikap malu bertanya perlu dielakkan kerana yang rugi ialah
pelajar itu sendiri. Pelajar yang lemah dalam sesuatu mata pelajaran harus mengikis sikap malu
bertanya. Selain melipatgandakan usaha dengan menghadiri kelas tambahan dan mengadakan
kumpulan belajar, pelajar yang rajin berusaha akan mendapat apa-apa yang dicita-citakan.
Sesungguhnya, tiada kejayaan yang dapat diperoleh hanya dengan berpeluk tubuh saja.

[6 markah]

You might also like