You are on page 1of 12

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

SUKATAN PELAJARAN
KURIKULUM BERSEPADU
SEKOLAH RENDAH

PENDIDIKAN
SENI VISUAL

Pusat Perkembangan Kurikulum


Kementerian Pendidikan Malaysia
2000
RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai


perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ; memelihara
satu cara hidup demokratik ; mencipta masyarakat yang adil di mana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi – tradisi kebudayaannya yang
kaya dan berbagai-bagai corak ; membina satu masyarakat progresif yang akan
menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI , rakyat Malaysia , berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan
usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip – prinsip
yang berikut : -

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi,
dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Kata Pengantar

Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi


menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan
datang. Penyemakan kurikulum bertujuan memantapkan Akta Pendidikan,
memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan
warga Malaysia menghadapi cabaran pendidikan abad 21.

Kurikulum yang disemak semula memberi penekanan kepada nilai murni dan
semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab
mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk
berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi, bijaksana serta dapat
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan
kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi
segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan.

Pendidikan Seni Visual ialah mata pelajaran wajib di peringkat sekolah rendah.
Mata pelajaran ini bertujuan membentuk keperibadian generasi Malaysia yang
celik budaya kesenian. Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah merangkumi tajuk-tajuk yang menegaskan
penerokaan, proses penghasilan, pengertian seni secara menyeluruh dan aspek
kritikan.

Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih


kepada setiap individu dan institusi atas sumbangan kepakaran, masa, dan
tenaga sehingga terhasilnya sukatan pelajaran ini.

(DATO’ SERI Dr. ABDUL SHUKOR BIN ABDULLAH)


Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
PENDAHULUAN

Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu.


Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah,
Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak
merujuk kepada seni lain seperti muzik, seni sastera, seni tari dan seni
mempertahankan diri.

Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk


minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan
terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata
pelajaran lain.

Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif.
Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini
melalui persepsi visual, imiginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran,
penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan
membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini
penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian
dan mengenali cita rasanya sendiri.

Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran


yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain.
Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod
pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid
membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah
sendiri.

Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik,


interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid
berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara
seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk
melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi
pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid
meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam
persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke
arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan
hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
OBJEKTIF

Setelah megikuti kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid


boleh :
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan
menyeronokkan
3. menajamakan daya persepsi dan imiginasi melalui pancaindera
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanaj air
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang
berfaedah

ORGANISASI KURIKULUM

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan


melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan
berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang
menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan,
dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk
memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid
sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif.

Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan


penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang
merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual.

Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan


dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan
yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik
yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat
pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur
seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil
seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikam maklumat dan
aplikasi computer dalam kerja seni visual.
Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran
memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir
secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan,
membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan
iaitu:

a. pemerhatian secara aktif


b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

a. Pemerhatian secara aktif

Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian


keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain
memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain
melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi
dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangan
melalui kegiatan pemerhatian ini.

Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan
manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi
mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus
menyelaras idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi
dan pemikiran abstrak.

b. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan

Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam


pelbagai kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan
memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual
berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah.

Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan
menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran
ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak
langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan
dalam penghasilan seni dimasa akan datang.

c. Apresiasi seni visual secara mudah


Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek
pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan
dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan
menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan
tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita,
lakonan, nyanyian, karangan dan puisi. Murid diperkenalkan tokoh-tokoh seni
dan menghargai sumbangan mereka.

d. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid
juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud
dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan
memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan.
Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila
berdepan dengan semua keadaan.

KANDUNGAN

Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam


empat bidang kegiatan iaitu :
1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional

Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara


aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni
visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara
bersepadu.

1. MENGGAMBAR
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta
kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar
dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur,
imbangan dan komposisi.

Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:

1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster

Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri.


Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali
pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan
memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan.
Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi focus kegiatan
menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan
kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan
kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami
dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apreasiasi hasil kerja
diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam
pelbagai cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyayian dan cerita.

2. MEMBUAT CORAK DAN REKAAN


Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara
untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain.
Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil
daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya. Corak terhasil
daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:

2.1 Corak tidak terancang secara:


2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:


2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi

Bidang ini membolahkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam
alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal
motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini
memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak
terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apreasiasi
hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh
dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN


Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek
seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan
aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka
membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan
membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan,
alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi
secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan
seni.

Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi


aktiviti seperti:

3.1 Arca timbul


3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid


membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi
kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek
apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini
boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyayian
dan cerita.

4. MENGENAL KRAF TRADISIONAL


Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang
melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh
masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan
dengan kraf tradisional seperti:

4.1 Alat domestik


4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar

Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional
dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi,
proses dan teknik membuatalat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek
apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang
merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi
setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai
cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

You might also like