You are on page 1of 27

2.

0 PENGENALAN

Di Malaysia, sejarah kad kredit bermula sekitar tahun 1980-an dan dipelopori
oleh bank asing seperti Standard Chartered Bank. Kemudian ianya diikuti oleh bank-
bank lain seperti Bank Bumiputra (sekarang dikenali sebagai CIMB), Citibank,
Maybank dan lain-lain. Pada awal kemunculannya, penggunaan kad kredit hanya
tertumpu di bandar-bandar besar sahaja seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan
Pulau Pinang. Kini, penggunaannya semakin meluas meliputi kawasan-kawasan
bandar dan luar bandar. (Fadillah Mansor, 2004)

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),


sehingga April 2009, bilangan kad kredit dalam edaran mencapai 9.7 juta kad bagi
kad utama manakala bagi kad tambahan pula mencapai 1.3 juta kad. Ini
menunjukkan kad kredit yang suatu ketika dahulu dilihat begitu ekslusif dan menjadi
lambang kemewahan masyarakat moden kini bagaikan tidak bernilai lagi. Apatah
lagi operandi permohonannya kian dipermudahkan dengan hanya memohon melalui
internet, telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan transaksinya pula boleh
dilakukan secara faks sahaja. Dalam masa yang singkat tidak kurang daripada 24
jam, keputusan dan status permohonan dapat diketahui. Begitu mudah sekali!

Namun begitu, dalam keghairahan masyarakat masa kini menggunakan


kemudahan kad kredit terutamanya yang dikeluarkan oleh bank-bank konvensional,
masih ramai di kalangan umat Islam seakan terlepas pandang terhadap hukum
penggunaannya menurut perspektif Islam. Persoalan riba yang dikaitkan dengan
produk kad kredit konvensional yang membelenggu pengguna-pengguna kad kredit
bukanlah suatu perkara baru. Justeru, usaha Kumpulan AmBank Berhad dalam
memperkenalkan kad kredit Islam berlandaskan syariah yang pertama di Malaysia
pada tahun 1996 adalah sangat tepat. Kad kredit yang dinamakan al-Taslif iaitu
bermaksud kontrak penjualan barangan secara pembayaran ansuran ini juga
merupakan kad kredit Islam yang pertama di Asia Tenggara dan di dunia amnya.
Pengeluaran kad kredit ini sejajar dengan desakan dan kehendak masyarakat
khususnya umat Islam pada hari ini yang memerlukan alat transaksi yang mampu
menawarkan perkhidmatan kredit berasaskan kehendak syarak.
24
2.1 PENGERTIAN KAD KREDIT

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), perkataan kredit bermaksud


kemudahan membayar terkemudian daripada penerimaan barang atau
penangguhan pembayaran bagi barang yang dibeli. Manakala kad kredit pula
didefinisikan sebagai kad yang menunjukkan keterangan seperti nama, tandatangan
dan nombor kod pemegangnya yang membolehkan pemegang kad itu membuat
pembelian sesuatu barangan, perkhidmatan dan sebagainya secara kredit.

Dalam Bahasa Arab, perkataan kad kredit diistilahkan sebagai Bitaqah al-
Itman atau Bitaqah al-I’timad. Manakala pengertian kad kredit yang dipersetujui
dalam Majma’ Al-Fiqh Al-Islami ialah satu akuan yang dikeluarkan oleh satu pihak
pengeluar kepada seseorang individu atau badan tertentu berdasarkan akad yang
dilakukan antara kedua-dua pihak tersebut bagi membolehkan pihak kedua membeli
barangan atau mendapat perkhidmatan dari pihak yang menerima akuan tanpa perlu
membuat bayaran secara tunai berdasarkan jaminan dari pihak pengeluar akuan.

Mengikut seksyen 14 (1), Akta Kredit Pelanggan 1974 atau Consumer Credit
Act 1974, kad kredit didefinisikan sebagai kad, cek, baucer, kupon, setem, buku kecil
atau dokumen atau barang lain yang diberikan kepada seseorang individu iaitu
pemegang kad, dengan perkara-perkara di atas, pemegangnya mempunyai kuasa
untuk mendapatkan tunai, barangan atau perkhidmatan secara kredit. Manakala
pihak yang memberi kemudahan kredit akan memperolehi pembayaran daripada
pihak ketiga iaitu syarikat pengeluar kad yang sebelum itu telah membuat perjanjian
dengan pihak pengguna atau pemegang kad.

Kesimpulannya, kad kredit dapat difahami sebagai kad yang membolehkan


pemegangnya memperolehi barangan, perkhidmatan dan wang tunai melalui kontrak
dan perjanjian yang dipersetujui antara pemegang kad dan syarikat pengeluar kad
berdasarkan syarat-syarat tertentu melalui pengeluar kad kredit utama seperti
MasterCard atau VISA, pemegang kad dibenarkan melakukan transaksi pembelian
barangan atau perkhidmatan secara kredit iaitu salah satu kaedah pembayaran
alternatif selain pembayaran secara tunai atau cek.
25
2.2 JENIS-JENIS KAD KREDIT

Menurut Sanep Ahmad dan Surtahman Kastin Hasan (2002), kad kredit terbahagi
kepada dua jenis iaitu kad kredit bayaran bulanan atau kad caj (charge card) dan
kad kredit bayaran beransur atau kad kredit (credit card). Kedua-dua kad tersebut
mempunyai peraturan dan tatacara penggunaan yang sedikit berlainan. Peraturan
dan tatacara penggunaan bagi setiap jenis kad adalah seperti berikut:

a. Kad Kredit Bayaran Bulanan atau Kad Caj (Charge Card)

Kad caj ialah kad bayaran dengan had perbelanjaan yang telah ditetapkan terlebih
dahulu dan digunakan untuk membuat bayaran bagi sebarang perkhidmatan
ataupun barangan yang dibeli daripada peniaga yang mempamerkan jenama kad caj
pemegang kad sama ada di dalam atau luar negara. Di Malaysia, kad caj yang
dikeluarkan adalah berasaskan konsep konvensional ataupun prinsip Islam. Contoh
kad caj ialah American Express, Diners Club International dan HSBC Amanah
Mastercard. (Buku Panduan Kad Kredit, 2007)

Kad kredit bayaran bulanan mempunyai ciri-ciri berikut:

i. Pemegang kad tidak disyaratkan membuka akaun simpanan di bank


pengeluar atau pihak pengeluar kad. Pemegang kad juga tidak disyaratkan
untuk mengemukakan apa-apa jaminan tunai kepada bank pengeluar bagi
menjelaskan jumlah hutang hasil penggunaan kad.

ii. Pengeluar kad mungkin mengenakan yuran penyertaan yang dikenakan


sekali sahaja dan yuran tahunan yang wajib dibayar setahun sekali walaupun
pemegang kad tidak pernah menggunakan kad caj tersebut. Yuran
penyertaan mungkin perlu dibayar beserta yuran tahunan bagi tahun pertama
dan jumlah yang dikenakan berbeza mengikut pengeluar kad. Walau
bagaimanapun, sesetengah pengeluar kad mungkin memansuhkan yuran
penyertaan atau yuran tahunan bagi tahun pertama sebagai promosi untuk
menarik pemohon kad baru.
26
iii. Pemegang kad diberi had tertentu (credit line and limit) dan dia berhak
menikmati seluruh hak hutang piutang (bayaran tangguh) dalam satu had
‘tempoh izin tangguh jangka pendek' yang telah ditentukan, iaitu tempoh
antara waktu belian dan waktu wajib menjelaskan bayaran bil. Biasanya
dalam 55-60 hari, ketika itu, pemegang akan dibekalkan dengan penyata
bulanan yang menyebut tentang transaksi urusniaga yang telah dilakukan.

iv. Sesetengah pengeluar kad mungkin menyediakan kemudahan pendahuluan


wang tunai dengan had maksimum pengeluaran tertentu. Pemegang kad
yang menggunakan kemudahan ini akan dikenakan yuran pendahuluan wang
tunai bergantung kepada jumlah wang tunai yang dikeluarkan ataupun caj
minimum sebanyak RM15 hingga RM30 mengikut nilai yang lebih tinggi.

v. Pemegang kad perlu menjelaskan bayaran bil kad sepenuhnya sebelum atau
pada tarikh tamat tempoh dan tiada faedah dikenakan. Caj bayaran lewat
akan dikenakan jika pemegang kad gagal untuk menjelaskan bayaran
sepenuhnya pada tempoh yang ditetapkan atau hanya membayar sebahagian
daripada jumlah dalam bil. Sesetengah pengeluar kad mungkin mengenakan
caj tambahan di samping caj bayaran lewat jika pemegang kad gagal
menjelaskan baki sepenuhnya pada bulan kedua dan seterusnya. Pengeluar
kad juga mungkin akan membatalkan perkhidmatan kad jika pemegang
memungkiri jadual pembayaran balik untuk beberapa bulan bergantung pada
polisi dalaman yang ditetapkan oleh pihak pengeluar kad.

b. Kad Kredit Bayaran Beransur atau Kad Kredit (Credit Card)

Kad kredit merupakan satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad
membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang
tunai. Apabila mereka menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan
membayar kepada peniaga terlebih dahulu bagi pihak pemegang kad dan
kemudiannya meminta bayaran daripada mereka dalam bentuk penyata bulanan.

27
Walaupun fungsi kad kredit mempunyai banyak persamaan dengan kad caj
dari sudut fungsi dan penggunaannya, namun kad kredit mempunyai ciri-ciri utama
yang dapat membezakannya daripada kad caj iaitu:

i. Sebaik sahaja menerima penyata bulanan, pemegang kad dikehendaki


menjelaskan sekurang-kurangnya amaun pembayaran minimum sebelum
tarikh tamat tempoh. Pengeluar kad kredit akan memberikan suatu tempoh
tanpa faedah di mana tiada faedah dikenakan ke atas baki yang belum
dijelaskan. Pengeluar kad kredit akan mengenakan faedah ke atas baki yang
belum dijelaskan, jika ada, selepas tarikh tamat tempoh. Biasanya kadar
faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18-25 % setahun. Inilah riba yang amat
jelas malah amat membebankan dan menindas.

ii. Kad ini mempunyai had tertinggi penggunaan. Bermakna pemegang hanya
boleh berbelanja sebanyak mana yang disukai selagi dalam kadar maksimum
yang dibenarkan, dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari amaun
keseluruhan yang tertera dalam penyata bil (sekitar 5% sahaja). Sekiranya
bayaran baki ditangguhkan sehingga melepasi tempoh percuma (biasanya 30
hari), pelanggan akan dikenakan peratusan faedah.

iii. Kebanyakan pengeluar kad kredit menawarkan kemudahan pendahuluan


wang tunai atau pemindahan baki kepada pemegang kad. Caj kewangan dan
yuran bagi pendahuluan wang tunai akan dikenakan bagi setiap pengeluaran.

iv. Pada amnya, terdapat tiga jenis kad kredit iaitu Klasik, Emas dan Platinum.
Kad-kad kredit tersebut dikeluarkan berdasarkan tahap pendapatan
seseorang dan kriteria-kriteria lain yang ditetapkan oleh pihak pengeluar kad.
Terdapat juga kad kredit dwijenama iaitu kad yang dikeluarkan secara
bersama oleh pengeluar kad kredit dan saudagar di bawah satu jenama yang
terkenal. Peniaga tersebut biasanya menawarkan manfaat tambahan lain
kepada pemegang kad seperti diskaun ke atas barangan tertentu dan mata
ganjaran untuk setiap pembelian. Contoh kad kredit dwijenama termasuk
Maybank Petronas Visa dan CIMB Touch ‘n Go Visa.
28
Jadual 2.1 Perbandingan di antara ciri-ciri utama kad kredit dan kad caj
(Buku Panduan Kad Caj, Info Perbankan, 2007)
Ciri-ciri Kad Kredit Kad Caj
Had Kredit Had maksimum ditetapkan Lazimnya, had perbelanjaan
bagi setiap pemegang kad. yang ditetapkan oleh
pengeluar kad tidak
dimaklumkan kepada
pemegang kad, melainkan
pemegang kad sendiri
memohon untuk
mengetahuinya. Walau
bagaimanapun, nilai urus
niaga yang melebihi had
maksimum mungkin
dibenarkan, bergantung
kepada syarat-syarat yang
ditetapkan oleh pengeluar kad.
Bayaran Minimum Bayaran minimum sebanyak Baki belum jelas perlu dibayar
5% atas baki belum jelas. sebelum tarikh tamat tempoh.
Yuran Penyertaan Bayaran dikenakan sekali Bayaran dikenakan sekali
sahaja. Yuran berbeza-beza sahaja. Yuran berbeza-beza
bergantung kepada pengeluar bergantung kepada pengeluar
kad atau dimansuhkan. kad atau dimansuhkan.
Caj Kewangan Caj maksimum sebanyak 18% Tidak berkaitan kerana baki
setahun atas baki belum jelas. belum jelas harus dibayar
sepenuhnya sebelum tarikh
tamat tempoh.
Yuran Tahunan Lazimnya di antara RM60 Lazimnya di antara RM80
hingga RM90 untuk kad klasik. hingga RM160 untuk kad
klasik.
Caj Bayaran Caj maksimum sebanyak 1% Lazimnya di antara 3% dan
Lewat sebulan atas baki belum jelas 3.5% sebulan (atau 36%
atau RM5, mengikut mana hingga 42% setahun) atas
yang lebih tinggi. baki belum jelas atau jumlah
tetap minimum, mengikut
mana yang lebih tinggi.
Lazimnya, kad caj berasas
prinsip Islam mengenakan
jumlah tetap maksimum
sebanyak RM70 sebulan.
Yuran Lazimnya di antara 3% hingga Lazimnya 3% hingga 4%
Pendahuluan 5% atas pendahuluan wang bergantung kepada pengeluar
Wang Tunai tunai sebagai tambahan kad caj. Sesetengah
kepada caj kewangan. pengeluar kad caj tidak
menyediakan kemudahan
pendahuluan wang tunai. Bagi
kad caj berasas prinsip Islam,
jumlah tetap tidak melebihi
RM15 lazimnya dikenakan.
29
2.3 FUNGSI DAN PENGGUNAAN KAD KREDIT

Kad kredit merupakan satu instrumen pembayaran yang membolehkan pemegang-


pemegang kad memperoleh barangan dan perkhidmatan tanpa melibatkan aliran
pengeluaran wang tunai. Kad kredit boleh digunakan di mana-mana kedai atau
institusi perniagaan yang mempamerkan jenama kad kredit yang dimiliki, sama ada
di dalam mahupun luar negara.

Operasi kad kredit melibatkan tiga pihak utama iaitu pemegang kad, peniaga
dan pengeluar kad. Pemegang kad terdiri daripada sesiapa sahaja yang memenuhi
syarat yang boleh melayakkan mereka menjadi pemegang kad. Biasanya syarat
utama yang ditetapkan adalah dari segi umur dan pendapatan individu. Pemegang
kad akan memperolehi kemudahan kredit iaitu penangguhan bayaran kepada
perkhidmatan dan barangan yang dibeli. Di samping itu, mereka boleh
menggunakan kemudahan kad sebagai alternatif pembayaran selain tunai dan cek.
Manakala peniaga selaku pihak kedua yang terlibat dalam operasi kad kredit pula
merupakan pihak yang menerima bayaran bagi barangan atau perkhidmatan yang
dijual melalui kad kredit. Pihak ketiga pula iaitu pengeluar kad kredit adalah terdiri
daripada syarikat atau bank yang akan membuat pembayaran kepada peniaga
terlebih dahulu bagi pihak pemegang kad. Penyata bulanan yang mengandungi
maklumat mengenai urusniaga kad kemudiannya akan dihantar kepada pemegang-
pemegang kad. Di sinilah biasanya keuntungan diperolehi iaitu melalui caj
perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Secara umumnya, operasi kad kredit melibatkan dua fungsi utama iaitu fungsi
transaksi dan fungsi kredit. Fungsi transaksi ialah apabila kad kredit ditunjukkan
kepada peruncit sebagai ganti wang ketika membeli barangan atau perkhidmatan
yang ditawarkan oleh peniaga. Manakala fungsi kredit pula berlaku apabila kad
kredit digunakan sebagai instrumen pusingan hutang. Ia bertindak sama seperti
akaun simpanan, cek atau kad ATM. Dengan kata lain, pemegang kad boleh
mendapatkan pendahuluan wang tunai dengan pengeluaran wang melalui mesin
ATM atau di kaunter-kaunter pengeluar kad kredit.

30
2.4 HUKUM PENGGUNAAN KAD KREDIT

Zaharudin Abd Rahman (2008) menjelaskan selain daripada semua jenis produk
pinjaman konvensional dan akaun pelaburan konvensional di bank-bank
konvensional, umat Islam pada hari ini turut terdedah dengan transaksi yang
mengandungi unsur-unsur riba dalam penggunaan kad kredit konvensional. Menurut
beliau, terdapat dua ciri utama yang menunjukkan berlakunya amalan riba dalam
penggunaan kad kredit konvensional iaitu:

i. Sebaik sahaja menerima penyata bil, pemegang kad tidak wajib menjelaskan
bayaran keseluruhan ‘kos guna’ dalam tempoh izin yang diberikan.
Sebaliknya, pemegang kad hanya dikehendaki menjelaskan sekurang-
kurangnya amaun pembayaran minimum iaitu nisbah kecil daripada penyata
bil yang dikemukakan sebelum tarikh tamat tempoh. Manakala bakinya,
pemegang diberi pilihan samada ingin menjelaskan bayaran tersebut dalam
tempoh izin yang diberikan ataupun ditangguhkan bayarannya lalu pihak
pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang ditangguhkan.

ii. Kad ini mempunyai had tertinggi penggunaan. Oleh itu, pemegang kad hanya
dibenarkan berbelanja sebanyak mana yang disukai selagi tidak mencapai
kadar maksimum yang dibenarkan dan hanya perlu membayar nisbah kecil
dari bil iaitu sekitar 5% sahaja. Sekiranya bayaran baki ditangguhkan
melepasi tempoh percuma (biasanya 30 hari), pelanggan akan dikenakan
peratusan faedah. Biasanya kadar faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18
hingga 25% setahun. Inilah riba yang amat jelas malah amat membebankan
dan menindas.

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang berhasrat menggunakan kad


kredit konvensional yang menetapkan syarat-syarat berunsur riba sambil berazam
untuk sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum dikenakan faedah,
Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam
ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23 hingga 28 September 2000 telah

31
memfatwakan sebagai tidak harus apatah lagi dengan kewujudan alternatif kad
kredit Islam pada masa kini.

Hal ini kerana produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang ditawarkan
oleh bank-bank islam berlesen termasuklah bank perdagangan, bank saudagar dan
syarikat kewangan di bawah Skim Perbankan Islam (SPI) adalah berlandaskan
syariah mengikut kaedah fiqh muamalat. Bagi memastikan dasar ini terlaksana,
semua bank Islam dan bank-bank SPI di Malaysia perlu menubuhkan Jawatankuasa
Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi
bank tersebut adalah mematuhi kehendak syarak. Selain daripada itu, nasihat Majlis
Penasihat Syariah iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan di Bank Negara
Malaysia (BNM) boleh diperoleh bagi memastikan keseragaman dalam pendapat
dan amalan. Dengan ini aktiviti seperti riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan),
perjudian dan penipuan dapat dielakkan termasuklah produk kad kredit Islam yang
ditawarkan. Oleh itu, hukum penggunaan kad kredit Islam adalah diharuskan
memandangkan ketelusan produk tersebut dipantau oleh Jawatankuasa Syariah
bank pengeluar kad dan Majlis Penasihat Syariah yang terdiri daripada para
cendekiawan dan pakar Syariah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Terdapat juga keputusan dalam persidangan yang lain yang mengharuskan


penggunaan kad kredit konvensional sekiranya pengeluar kad tidak meletakkan
sebarang syarat berunsur riba dalam kontrak yang ditetapkan. Walau
bagaimanapun, pemegang kad disyaratkan untuk menjelaskan bayaran keseluruhan
‘kos guna’ sebelum dikenakan faedah. Kad ini sebenarnya bukanlah kad kredit tetapi
merujuk kepada penggunaan kad caj. Berikut disertakan hukum penggunaan kad
kredit konvensional menurut pandangan Islam dari beberapa aspek:

2.4.1 Kontrak dan Hubungan antara Pengeluar, Pemegang dan Peniaga.

Perbahasan awal dalam menilai kesesuaian amalan kad kredit konvensional dari
sudut syarak dilihat dari aspek pembentukan kontrak iaitu perbincangan tentang
persoalan dari aspek manakah kontrak pembentukan kad kredit itu bertepatan
dengan jenis kontrak dan syarat kontrak dalam syariah. Jika kontrak dalam
32
pembentukan kad kredit bertepatan dengan kontrak dalam syariah maka
kebolehterimaan kontrak dalam pembentukan kad kredit tidak diragukan.
Sebaliknya, jika kontrak dalam pembentukan kad kredit tidak bertepatan dengan
mana-mana jenis kontrak dalam syariah maka kebolehterimaannya boleh diragukan.
Kontrak dalam pembentukan kad kredit sebenarnya melibatkan persetujuan di
antara banyak pihak iaitu di antara pihak syarikat pemilik had kad kredit dengan
wakilnya (biasanya pihak bank) sebagai pihak pertama, kontrak di antara pihak
pertama (syarikat pemilik had kad kredit atau wakilnya) dengan pihak kedua
(individu pemegang kad) serta kontrak di antara pihak pertama dengan pihak ketiga
(syarikat perdagangan atau pekedai).

Di dalam perbahasan penggunaan kad kredit konvensional, kontrak yang


lazimnya dibahaskan ialah kontrak di antara pihak pertama dengan pihak kedua.
Kontrak ini melibatkan kebolehterimaan penggunaan kad kredit oleh individu sebagai
pemegang dan pengguna kad kredit. Kontrak di antara pihak pertama dengan pihak
kedua berkemungkinan boleh dikategorikan dalam beberapa jenis kontrak yang
terdapat dalam syariah antaranya seperti kontrak jaminan (kafalah), kontrak pindah
hutang, kontrak wakil dan kontrak hutang. Walau bagaimanapun, ketepatan kontrak
tersebut sebagai kontrak pembentukan kad kredit untuk diiktiraf oleh syarak telah
dipertikaikan banyak pihak. Perincian kesesuaian kontrak tersebut dengan kontrak
pembentukan kad kredit akan dibahaskan satu persatu seperti berikut:

i. Aqad Kafalah - Dhoman (Jaminan)

Menurut M.K Sharbini (1958), aqad kafalah didefinisikan sebagai satu aqad yang
menuntut iltizam untuk membawa sesuatu barang yang telah dijamin atau iltizam
untuk membawa datang seseorang yang sepatutnya datang. Md. Akhir Hj. Yaakob
(1987) pula mendefiniskan aqad kafalah sebagai mencampurkan sesuatu
tanggungan kepada suatu tanggungan berhubung dengan sesuatu permintaan.
Berdasarkan kepada definisi tersebut, ada pendapat yang mengatakan bahawa
aqad kad kredit adalah aqad kafalah. Di sini, pengeluar kad, (bank) dianggap
sebagai ‘kafil’ atau penjamin kepada pemegang kad ke atas hutangnya kepada
peniaga di mana ia menjamin akan membayar hutang yang dibuat oleh pemegang
33
kad. Secara tidak langsung, pemegang kad menjadi ‘makful’ atau pihak yang dijamin
manakala ‘makful lahu’ adalah peniaga.

Menurut Zaharuddin Abd Rahman (2003), aqad kafalah merupakan aqad


paling hampir dalam amalan kad kredit masa kini dan kontrak ini diiktiraf serta sah di
sisi Islam. Kesannya, peniaga tidak berhak menuntut sebarang pembayaran
daripada pemegang kad atas semua transaksi pembelian yang dilakukan dengan
kad kredit kerana ia dipindahkan kepada pihak pengeluar kad. Adapun bayaran
yuran yang dikenakan dianggap sebagai ganjaran atau upah ke atas jaminan yang
dilakukan kerana bagi mereka upah adalah harus pada akad jaminan. Walau
bagaimanapun, ketepatan akad pembentukan kad kredit dengan aqad kafalah masih
boleh dipertikaikan. Ini kerana terdapat beberapa perkara dalam kontrak kad kredit
yang sebenarnya berbeza dengan aqad kafalah.

Mengikut fuqaha’ Hanafi, kafalah adalah gabungan tanggungjawab dengan


erti kata kedua-dua pihak iaitu pihak penjamin (bank) dan pihak yang dijamin
(pemegang kad) sama-sama bertanggungjawab membayar hutang. Orang yang
dijamin tidak terlepas dari membayar hutangnya kepada peniaga. Sebaliknya, dalam
amalan kad kredit, pemegang kad tidak bertanggungjawab untuk membayar
hutangnya kepada peniaga manakala peniaga pula tidak berhak unuk menuntut hak
hutangnya dari pemegang kad tetapi hanya boleh menuntut hutangnya daripada
pihak bank selaku penjamin kepada pemegang kad.

Dalam akad kafalah, ada disyaratkan bahawa harta yang dijamin hendaklah
di bawah kemampuan penjamin iaitu sesuatu yang diketahui. Malangnya dalam
akad kad kredit, pemegang kad dijamin oleh pihak bank sebelum mereka membuat
apa-apa transaksi atau perbelanjaan yang belum diketahui jumlahnya. Ini bermakna
bahawa jaminan yang dilakukan adalah atas sesuatu yang belum tetap dan tidak
diketahui. (Sanep Ahmad dan Surtahman Kastin Hasan, 2002)

34
ii. Aqad Al-Hiwalah (Pindah Hutang)

Aqad Hiwalah didefinisikan oleh fuqaha’ Hanafi sebagai aqad memindahkan tuntutan
hutang dari tanggungan si berhutang kepada tanggungjawab orang lain yang
sanggup beriltizam dengannya. Ulama’ selain Hanafi pula mendefinisikan aqad
hiwalah sebagai satu aqad yang memindahkan sesuatu hutang dari tanggungan
seseorang kepada seseorang yang lain. Selepas aqad dilakukan, ‘muhil’ iaitu
pemegang kad terlepas dari tanggungan membayar hutang kepada ‘muhal’ iaitu
peniaga. Di dalam aqad hiwalah, disyaratkan ‘muhal ‘alaih’ iaitu pihak yang
beriltizam untuk membayarkan hutang telah berhutang kepada pihak yang dijamin
untuk dibayarkan hutangnya. Jika tidak, maka aqad ini menjadi aqad jaminan
(dhoman). Berdasarkan kepada definisi di atas maka terdapat sesetengah golongan
mengelaskan aqad kad kredit sebagai aqad hiwalah.

Mereka berpendapat bahawa dalam aqad kad kredit pemegang kad dikira
sebagai telah memindahkan hutang mereka kepada pihak pengeluar kad. Oleh itu,
dalam aqad ini pemegang kad dianggap sebagai si berhutang, peniaga sebagai si
pemberi hutang dan pengeluar kad (bank) sebagai penerima pindah hutang. Ini
bermakna pemegang kad sebagai si berhutang (walaupun belum lagi berhutang
tetapi akan berhutang) dianggap telah memindahkan hutangnya terlebih dahulu
kepada pengeluar kad. Oleh yang demikian, aqad kad kredit boleh dikategorikan
sebagai bertepatan dengan aqad hiwalah.

Pandangan ini walau bagaimanapun mempunyai beberapa kekurangan yang


menyebabkan ia dipersoalkan, Jika diteliti aqad kad kredit terdapat beberapa
perkara yang berbeza atau tidak sepenuhnya memenuhi syarat dalam aqad hiwalah.
Perbezaan tersebut menyebabkan pengkategorian aqad kad kredit sebagai aqad
hiwalah menjadi kurang tepat. Perbezaan tersebut di antaranya ialah:

i. Aqad kad tidak menepati aqad hiwalah jika bank tidak berhutang dengan
pemegang kad. Oleh kerana bank tidak mungkin berhutang dengan
pemegang kad, maka syarat ini mengkehendaki supaya pemegang kad
mempunyai simpanan di dalam bank. Jika pemegang kad tidak mempunyai
35
simpanan di dalam bank maka aqad tersebut bukanlah aqad hiwalah
sebaliknya aqad kafalah. (M.K Sharbini, 1958)
ii. Potongan harga yang dilakukan oleh penerbit kad atas bayaran hutang
pemegang kad kepada peniaga, akan bertukar menjadi riba kerana dalam
aqad hiwalah tidak boleh dikenakan bayaran atau tambahan ke atas apa yang
dibayarnya sekalipun ia dianggap sebagai upah. Ini berbeza dengan wakalah
yang dibolehkan mengambil bayaran upah.
iii. Dalam aqad kad kredit walaupun pemegang kad terlepas dari membayar
hutangnya kepada peniaga tetapi ia tidak terlepas dari membayar hutangnya
kepada bank sebagai pengeluar kad (muhal). Ini bersalahan dengan aqad
hiwalah yang melepaskan muhil (pemegang kad) daripada membayar
hutangnya kepada muhal dan muhal ‘alaih iaitu peniaga.

Ini bermakna bahawa dalam proses pembentukan kad kredit ketiga-tiga pihak
terlibat dalam perjanjian iaitu perjanjian persetujuan yang berasingan di antara
mereka. Perjanjian di antara ketiga-tiga pihak terlibat yang dilakukan secara
berasingan ini masing-masing mempunyai syarat tersendiri.

iii. Aqad Wakil (Al-Wakalah)

Di dalam Mazhab Syafi’e, aqad wakalah didefinisikan sebagai aqad mewakilkan


sesuatu yang boleh dilakukannya kepada seseorang lain untuk melakukannya
semasa hidup pewakil. Fuqaha’ Hanafi pula mendefinisikan aqad wakalah sebagai
melantik seseorang yang lain berada pada tempatnya untuk melakukan sesuatu
kerja bagi pihaknya yang diharuskan oleh syarak. (Wahbah Az-Zuhayli, 1999) Dalam
istilah fiqh, wakalah didefinisikan sebagai perlantikan seseorang mengambil tempat
orang yang melantiknya bagi melaksanakan sesuatu yang tugas bagi pihaknya.

Berdasarkan kepada definisi di atas, maka terdapat segolongan fuqaha’ yang


mengkategorikan aqad dalam pembentukan kad kredit sebagai aqad wakalah.
Golongan ini berpendapat bahawa wakil boleh dipandang dari dua sudut iaitu
pertama, pemegang kad sebagai wakil yang mewakilkan pengeluar kad (bank)

36
supaya membayarkan hutangnya kepada peniaga, atau kedua pemegang kad
adalah wakil kepada bank untuk membeli barang.

Namun, pengkelasan aqad kad kredit sebagai aqad wakalah juga mempunyai
beberapa keraguan untuk disamakan dengan aqad kad kredit. Beberapa perkara
yang boleh menimbulkan keraguan adalah seperti berikut:

i. Bagi pandangan yang mengatakan bahawa pemegang kad adalah wakil


kepada bank untuk membeli barang, maka pandangan ini terdapat keraguan
kerana sebenarnya pemegang kad yang memerlukan barang dan bukannya
pihak bank.
ii. Dalam akad yang dibuat tidak disebut langsung perkataan wakil sama ada
bagi pihak bank, peniaga atau pemegang kad.

iv. Aqad Al-Qard atau Al-Dayn (Hutang / Pinjaman)

Al-Qard dari segi bahasa bermakna potong. Ini adalah kerana harta yang diserahkan
kepada orang lain yang berhutang merupakan satu potongan daripada harta orang
yang memberi hutang. Dari segi istilah, menurut fuqaha Hanafi, Al-Qard didefinisikan
sebagi pemberian sesuatu harta (mithly) oleh seseorang kepada orang lain supaya
ia membayarnya semula. (Wahbah Az-Zuhaili, 1996) Di sini, peminjam disyaratkan
memulangkan kembali harta mithly yang sama sepertinya. Al-Qard adalah tidak sah
pada barang qimmy dan barang yang berbeza saiznya. Al-Dayn (hutang) walaupun
mempunyai persamaan dengan Al-Qard tetapi berbeza kerana istilah Al-Dayn
adalah lebih umum.

Merujuk kepada definisi di atas, maka terdapat juga pendapat yang


mengatakan bahawa aqad pembentukan kad kredit dikatakan sebagai aqad Al-Qard.
Dalam kes ini, pemegang kad dikatakan sebagai berhutang kepada bank atas
suruhannya supaya membayar terlebih dahulu hutangnya kepada peniaga. Mereka
berpandangan bahawa tujuan kad kredit dibentuk adalah untuk berhutang iaitu bank
terlebih dahulu mengizinkan pemegang kad untuk berhutang kepadanya sejumlah
yang tertentu. Pemberian hutang oleh bank kepada pemegang kad adalah dianggap
37
sebagai perkhidmatan ‘qardul hasan’ dalam tempoh yang tertentu kerana dalam
tempoh tersebut pemegang kad tidak akan dikenakan apa-apa bayaran tambahan.

Namun, demikian, jika dibandingkan aqad qard dengan aqad kad kredit
terdapat beberapa keraguan yang menjadikan ia mungkin kurang sesuai
dikategorikan sebagai akad hutang. Beberapa keraguan tersebut ialah:

i. Aqad qard adalah aqad ‘tamlik’ (memiliki) tetapi hal ini tidak berlaku dalam
aqad kad kredit. Pemegang kad dalam kebanyakan kes langsung tidak
mengambil tunai dari bank yang boleh dianggap sebagai hutang.
ii. Aqad pemilikan kad kredit antara pemegang kad dan bank bukanlah aqad
hutang tetapi menghampiri aqad jaminan kerana bank yang menyuruh
pemegang kad berhutang di mana bank menjamin akan membayarnya
terlebih dahulu kepada peniaga. Pemegang kad perlu membayarnya
kemudian secara ansuran atau tunai kepada bank.

Selain perbahasan mengenai aqad atau kontrak yang diamalkan dalam


produk kad kredit, masalah riba dalam aqad turut ditimbulkan. Dalam permohonan
mendapatkan kad kredit, pemohon dikehendaki menandatangani satu surat
perjanjian yang secara jelas menyatakan adanya unsur riba iaitu peratusan yang
akan dikenakan sebagai denda jika hutang lewat dibayar. Ini bermakna pemegang
kad telah bersetuju untuk bermuamalat denagn riba iaitu membayar faedah atas
hutang yang diperolehinya. Semasa perjanjian dilakukan, pemegang kad
sememangnya tidak membayar faedah tetapi awal-awal lagi telah bersetuju untuk
melakukan riba sebelum pembayaran riba dilakukan. Berkemungkinan juga
pemegang kad bertekad tidak akan terlibat dengan riba iaitu dengan niat akan
membayar setiap kredit yang didapatinya sebelum tamat tempoh. Jika sedemikian
sekalipun, apakah hukum akad tersebut yang dengan jelas menyatakan adanya
pembayaran riba. Adakah dibolehkan menyetujui yang haram secara lisan walaupun
dalam hati kita akan cuba untuk tidak melaksanakannya?

Terdapat dua pandangan yang berbeza dalam masalah ini iaitu pandangan
yang mengharuskan aqad sedemikian dan pandangan yang mengharamkannya.
38
Golongan yang mengharuskan aqad sedemikian berpandangan bahawa jika
pemohon benar-benar berazam untuk tidak terlibat dengan riba dan berazam akan
membayar hutangnya dengan segera agar ia tidak terlibat dengan riba kerana sedar
akan haramnya riba maka aqad tersebut adalah harus. Syarat adanya riba dianggap
sebagai syarat batil iaitu syarat yang bertentangan dengan syarak maka apa-apa
syarat yang batil adalah tidak dikira dan tidak perlu dipatuhi. Mereka berhujah
bahawa mana-mana aqad yang mengandungi syarat batil adalah sah aqadnya tetapi
syaratnya terbatal dan tidak dipenuhi. Kaedah ini adalah bertepatan dengan
pandangan Mazhab Hanafi. Ini bermakna bahawa aqad kad kredit dibolehkan
walaupun dinyatakan dengan jelas akan bayaran riba kerana syarat yang batil tidak
perlu dilaksanakan.

Pandangan kedua mengatakan bahawa tidak harus melakukan aqad untuk


bersetuju melakukan yang haram walaupun ia berazam untuk tidak terjerumus ke
dalamnya. Niat untuk tidak melakukan sesuatu yang haram tidak dapat mengubah
hukum akad yang haram yang telah dipersetujui. Ini bermakna kita tidak dibolehkan
membuat sesuatu aqad dalam sesuatu perkara yang haram. Oleh itu, kad kredit
yang jelas menyatakan riba adalah tidak harus. Pandangan ini adalah bersandarkan
kepada pandangan ulama selain dari golongan Hanafi iaitu ulama Syafi’e dan Maliki
yang menyatakan bahawa aqad batal jika disertai oleh syarat yang batil.

Perbahasan tentang penggunaan kad kredit turut menyentuh tentang


perubahan syarat aqad dalm kontrak yang dimeterai. Pengeluar kad biasanya
menetapkan di dalam surat perjanjian bahawa pihaknya boleh mengubah apa-apa
syarat aqad jika perlu tanpa notis kepada pemegang kad. Perubahan syarat tersebut
tentunya akan memberi faedah kepada pihak pengeluar kad, manakala pemegang
kad pula terpaksa menerimanya tanpa banyak pilihan. Aqad bentuk ini adalah
ditegah oleh syarak dan syarat ini termasuk dalam syarat yang batil kerana ia
memberi faedah kepada satu pihak sahaja.

Mungkin di dalam operasinya tidak berlaku apa-apa perubahan syarat kerana


pengeluar kad tidak merasa apa-apa keperluan untuk berbuat demikian. Syarat tetap
kekal sebagaimana telah dipersetujui semasa perjanjian awal ditandatangani.
39
Namun demikian, adanya syarat ini menjadikan ia satu aqad yang mengandungi
syarat batil di mana pada pandangan ulama Syafie dan Maliki ia menyebabkan aqad
dianggap batal. Golongan ulama Hanafi walau bagaimanapun berpandangan
adanya syarat batil di dalam akad tidak membatalkan aqad. Aqad tetap sah tetapi
syarat batil tersebut terbatal dengan sendirinya dan tidak perlu dipatuhi.

2.4.2 Yuran

Selain daripada perbahasan mengenai kesesuaian aqad kad kredit konvensional,


terdapat beberapa isu lain yang turut ditimbulkan terhadap pro dan kontra
penerimaan kad kredit di sisi syarak. Salah satu isu tersebut adalah dari segi
keharusan yuran keahlian yang dikenakan ke atas pemegang kad. Secara
umumnya, terdapat dua pandangan berbeza tentangnya iaitu pandangan yang
mengharuskan dan pandangan yang mengharamkan.

Menurut Zaharuddin Abd Rahman (2003), yuran keahlian yang dikenakan


kepada pemegang kad dianggap sebagai harga khidmat, kos pengurusan, harga
kad, kos pengendalian dan sebagainya oleh pihak pengeluar kad. Perkara
sedemikian dianggap lumrah dalam mana-mana urusan bagi menampung
perbelanjaan perkeranian. Malah perbezaan jumlah khidmat juga adalah harus
bergantung kepada perbezaan jenis perkhidmatan yang ditawarkan dengan syarat
jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan.
Sekiranya melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan
Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.
Bayaran yuran juga boleh dianggap sebagai bayaran sewa kad. Pemegang kad
dianggap sebagai penyewa kad dalam tempoh tertentu untuk membolehkannya
membuat kredit. Oleh kerana bayaran sewa dibolehkan, maka yuran dalam kes kad
kredit juga dibolehkan.

Namun demikian, terdapat pandangan yang berbeza mengatakan bahawa


bayaran yuran keahlian adalah tidak harus. Hal ini menyebabkan amalan kad kredit
tertolak dari sudut syariah. Ini diperkuatkan dengan beberapa alasan iaitu:
40
a. Bayaran yuran dikatakan mempunyai syubhat riba kerana ia boleh dianggap
sebagai lebihan faedah yang diperolehi oleh pihak bank atas usaha dan
pengorbanannya memberi hutang kepada pemegang kad. Faedah
sedemikian hukumnya adalah haram.
b. Bayaran yuran yang dikenakan dianggap sebagai mempunyai unsur gharar,
penipuan dan tidak jelas. Pemegang kad sebenarnya tidak jelas untuk apakah
kegunaan bayaran tersebut. Oleh itu, yuran ini dianggap sebagai satu bentuk
tipuan dan keuntungan sebelah pihak iaitu pihak yang menerima bayaran
(bank) terutama jika bayaran keahlian tersebut tinggi. Perbuatan sedemikian
jelas dilarang oleh syarak.

2.4.3 Denda Lewat

Semasa akad dilakukan telah dinyatakan dengan terang bahawa denda lewat akan
dikenakan ke atas mana-mana bayaran yang melampaui tempoh masa yang
diberikan. Bayaran ini merupakan faedah atau bunga atas kelewatan bayaran
hutang. Bayaran tambahan ini adalah riba al-nasiah iaitu bayaran atas sebab
tambahan masa hutang yang jelas haram di sisi syarak. Demikian merupakan
keputusan hasil persidangan fiqh bagi kad kredit di Bahrain pada November 1998.
Oleh itu, dari segi aqad jelas menunjukkan penggunaan kad kredit konvensional
diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur riba.

Namun demikian, ada juga pandangan yang mengatakan bahawa sekiranya


pemegang kad berniat untuk menjelaskan segala kredit dengan segera supaya ia
tidak terlibat dengan riba dalam bayaran lewat, maka penglibatannya dengan kad
kredit diharuskan. Walau bagaimanapun, pandangan ini masih dipersoalkan kerana
kadar bunga yang akan dikenakan sebagai denda lewat dinyatakan dengan jelas
dalam kontrak. Penerimaan kontrak ini bermakna seseorang itu menerima satu
perjanjian yang mengandungi unsur riba. Justeru, pemegang kad telah meletakkan
dirinya berada dalam keadaan yang mudah terlibat dengan riba. Kredit yang mudah
diperolehi menggalakkan pemegang kad membuat pinjaman dan ini telah
meletakkan dirinya berada dalam keadaan kemungkinan mudah melakukan riba
41
khususnya dalam keadaan tertentu di mana ia tidak dapat menjelaskan keseluruhan
hutangnya.

Selain itu, Zaharuddin Abd Rahman (2003) menyatakan bahawa terdapat


keputusan yang sama iaitu mengharuskan penggunaan kad kredit konvensional dari
Persidangan Ekonomi Islam AL-BARAKAH ke-12 pada tahun 1996 dengan syarat
jumlah denda tersebut mestilah digunakan untuk tujuan derma kebajikan. Ini
dibolehkan berdasarkan kelemahan fahaman agama dan sengaja melewatkan
dalam urusan melangsaikan bayaran bil walaupun mampu. Demikian juga
pandangan Mazhab Maliki dan Syeikh Prof. Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Namun
begitu, pandangan yang lebih kuat dalam hukum penggunaan kad kredit
konvensional adalah haram.

2.4.4 Komisen bagi Pengeluaran Wang Tunai

Selain daripada dibolehkan membeli barang daripada peniaga secara kredit,


pemegang kad juga dibolehkan mengeluarkan wang tunai daripada mesin ATM atau
kaunter-kaunter pengeluar kad. Pengeluaran wang daripada kad kredit dianggap
sebagai hutang pemegang kad dengan bank dan kebiasaannya bank akan
mengenakan komisen ke atas pengeluaran wang yang dilakukan. Beberapa kaedah
lazimnya digunakan untuk mengenakan bayaran komisen antaranya ialah:

i. Komisen dikenakan setiap kali transaksi dilakukan dengan perkiraan jumlah


tetap misalnya RM50 untuk setiap kali transaksi.
ii. Komisen dikenakan berdasarkan peratus tertentu dari jumlah wang
dikeluarkan atau jumlah minimum, yang mana yang lebih tinggi, misalnya
untuk setiap transaksi bayaran dikenakan sebanyak RM50 atau 3% hingga
5% daripada jumlah wang yang dikeluarkan, mana yang lebih tinggi.
iii. Komisen dikenakan berdasarkan faedah bermula daripada tarikh wang
dikeluarkan dengan kiraan sama ada harian, mingguan atau bulanan.

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menyatakan hukum kepada tiga


kaedah komisen yang ditetapkan bagi urusan pengeluaran wang tunai daripada kad
42
kredit. Bagi kaedah pertama, ulama’ bersepakat menyatakan ia dibolehkan sebagai
satu bayaran pengurusan manakala bagi kaedah ketiga pula, ulama sepakat
menyatakan bahawa ia diharamkan kerana berlaku riba. Walau bagaimanapun, bagi
kaedah kedua, terdapat keraguan dan perbezaan pendapat iaitu dibolehkan jika
berdasarkan nilai tetap tetapi diharamkan jika ia menggunakan peratusan dari
jumlah wang yang dikeluarkan.

Bagi Zaharuddin Abd Rahman (2003), hukum pengeluaran wang tunai


daripada kad kredit adalah berbeza mengikut beberapa keadaan iaitu:

i. Diharuskan jika pemegang kad mempunyai wang yang mencukupi dalam


akaunnya. Ketika itu pemegang kad dianggap hanya mengeluarkan wangnya.
Begitu juga jika diambil dari bank lain. Diharuskan bagi pihak bank mengambil
kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.
ii. Diharamkan jika bank pengeluar kad mensyaratkan faedah hasil pinjaman
yang diberikan kerana termasuk dalam kategori Riba Al-Qurudh (riba
disebabkan oleh hutang) kecuali jika pihak bank pemberi pinjaman hanya
mengambil kos kecil yang tetap iaitu hasil khidmat pemprosesan yang
dibuatnya sahaja. Dalam keadaan sedemikian, hukumnya adalah harus
sebagaimana qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia pada sidangnya yang ketiga
pada tahun 1986.
iii. Jika pemegang kad tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku
overdraft) atau langsung tiada sebarang akaun, pengeluarannya dianggap
sebagai pinjaman terhadap pihak bank. Oleh itu, semua hukum pinjaman (Al-
Qardh) di dalam Islam adalah terpakai ketika itu dan setiap pinjaman yang
mensyaratkan sebarang manfaat bagi pihak pemberi pinjaman dikira sebagai
riba selaras dengan kaedah ‘Kullu Qardhin Jarra Naf’an Fahuwa Riba’.

Hal ini jelas berbeza dengan kaedah pengiraan komisen apabila seseorang
mengeluarkan wang tunai daripada kad kredit Islam. Pemegang kad lazimnya hanya
dikenakan yuran pengeluaran wang tunai secara tetap iaitu tidak melebihi RM15
bagi setiap transaksi yang dilakukan.

43
2.5.5 Komisen dari Peniaga kepad Pengeluar Kad

Amalan kebanyakan pengeluar kad sebagai orang tengah semasa menjelaskan


bayaran yang dituntut oleh peniaga ialah tidak akan membayar sepenuhnya jumlah
kredit yang dituntut. Potongan tertentu d antara 1% hingga 8% dilakukan
berdasarkan perjanjian awal di antara pengeluar kad dan peniaga. Potongan ini
dianggap sebagai komisen iaitu salah satu sumber pendapatan utama pihak
pengeluar kad sedangkan pengeluar kad akan menuntut jumlah kredit penuh
daripada pemegang kad. Dalam hal ini, ulama’ telah berselisih pendapat tentang
kebolehterimaan komisen tersebut.

Zaharuddin Abd Rahman menyatakan hukum komisen dari peniaga kepada


pihak pengeluar adalah harus berdasarkan pendapat Mazhab Hanafi yang sah.
Jumlah kos ini dikira hadiah. Pendapat yang mengharuskan komisen bentuk ini
berpandangan bahawa komisen ini dianggap sebagi upah (jualaah) daripada pihak
ketiga. Upah ini meliputi:

i. Upah ke atas usaha pihak pengeluar kad mencari pelanggan untuk peniaga
(upah broker). Biasanya pengeluar kad akan menyatakan kedai-kedai yang
sedia menerima kad kredit. Langkah ini mendorong pemegang kad ke kedai
tersebut. Terdapat ramai para fuqaha’ yang menganggap ia adalah upah
wakil (ujrah wakalah) kepada bank kerana menjadi wakil bagi peniaga dalam
mempromosikan barangan serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh
dianggap sebagai diskaun khas daripada peniaga kepada pengeluar kad.
ii. Upah atas usaha penerbit kad mengizinkan laluan dan pengeluaran kad,
mengedar nama peniaga dan menjamin pemegang kad.
iii. Potongan sebagai komisen di sini adalh kecil jika dibandingkan dengan kadar
bunga. Oleh itu, ia dianggap sebagi upah dan bukan kadar bunga.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang mengharamkan


komisen tersebut dan seterusnya menolak penggunaan kad kredit. Pandangan ini
merasakan bahawa komisen atau potongan tersebut adalah:

44
i. Manfaat yang diperolehi oleh bank daripada hutang yang diberikan kepada
pemegang kad. Oleh kerana hutang yang mendatangkan manfaat dianggap
riba, maka komisen di sini adalah haram.
ii. Meragukan pembayarannya iaitu sama ada ia benar dibayar oleh peniaga
atau pemegang kad. Pada amalan zahirnya, ia seolah-olah dibayar oleh
peniaga tetapi pada hakikatnya ia dibayar oleh pemegang kad kerana
peniaga menerima bayaran yang kurang daripada yang dituntut tetapi
pemegang kad membayar sepenuhnya. Ini bermakna bahawa ia merupakan
manfaat daripada hutang yang diberi oleh bank kepada pemegang kad dan
bukan upah daripada peniaga. Oleh itu, ia adalah dilarang oleh syarak.
Disebabkan hal ini juga, tidak hairanlah jika terdapat sesetengah peniaga
mengenakan 2% hingga 3% bayaran lebih ke atas belian yang menggunakan
kad kredit, lebih-lebih lagi bagi urusniaga barangan jualan murah atau ‘mega
sales’ di kedai terbabit. Mengenakan tambahan 2% hingga 3% oleh peniaga
merupakan cara yang digunakan oleh peniaga bagi menutup potongan yang
dikenakan oleh pengeluar kad.
iii. Amalan syubhat yang menghampiri haram. Jika dipandang daripada tujuan
bank mencipta kad kredit ini maka ia dianggap sebagai helah untuk
membolehkan ia mendapat untung bukan dengan nama riba tetapi operasi
yang sebenarnya menyamai riba.

2.5.6 Hadiah Kad Emas

Pada amnya, terdapat tiga jenis kad kredit iaitu Klasik, Emas dan Platinum.
Kad-kad kredit tersebut dikeluarkan berdasarkan tahap pendapatan seseorang dan
kriteria-kriteria lain yang ditetapkan oleh pihak pengeluar kad kredit. Bagi menarik
golongan atasan dan berpendapatan tinggi menyertai skim kad emas, pengeluar kad
mungkin menawarkan hadiah-hadiah, skim insurans percuma atau insuran
kemalangan perjalanan.

Di samping itu, dalam program hadiah ahli (membership rewards), pemegang


kad akan memperolehi satu mata ganjaran atas setiap ringgit yang dibelanjakan
menggunakan kad emas. Mata ganjaran ini akan bertambah setiap kali kad emas
45
digunakan untuk berbelanja dan jumlah mata ganjaran yang terkumpul mengikut
jumlah tertentu akan membolehkan pemegang kad menikmati ganjaran istimewa
dan menarik seperti program melancong percuma, penginapan di hotel-hotel secara
percuma, diskaun di restoran-restoran terpilih dan sebagainya.

Menurut Zaharuddin Abd Rahman (2003), diharuskan bagi pemegang kad


emas menerima hadiah-hadiah dan ganjaran yang ditawarkan oleh pihak pengeluar
kad. Tidak dinafikan, insurans konvensional telah diputuskan oleh Sidang Majma’
Fiqh Islami yang pertama pada 1397 sebagai haram kerana mengandungi unsur
riba, gharar, jahalah, judi dan lain-lain yang dilarang syarak. Namun demikian, dalam
situasi ini, diharuskan kepada pemegang kad untuk menerima hadiah atau ganjaran
berupa skim perlindungan insurans yang diberikan oleh pihak pengeluar kad. Hal ini
kerana pemegang tidak disyaratkan untuk membayar apa-apa kepada syarikat
insurans bagi melayakkan diri menerima skim perlindungan insurans tersebut
sebaliknya ia hanya dianggap sebagai hadiah galakan semata-mata. Dengan erti
kata lain, skim perlindungan insurans tersebut bukanlah bermaksud pemegang kad
perlu menandatangani sebarang kontrak dengan pihak insurans tetapi tawaran skim
perlindungan insurans tersebut dikira sebagai tabi’ iaitu perkara sampingan yang
terhasil daripada perjanjian sebagai telah diiktiraf dalam kaedah fiqh bahawa
dimaafkan yang berlaku pada tawabi’ dan tidak pada lainnya.

Dari sudut yang lain pula, diharuskan bagi pemegang kad menerima tawaran
hadiah dan ganjaran yang diberikan oleh pihak pengeluar kad atas dasar
sumbangan, derma dan galakan asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat bank
konvensional yang secara jelas mengamalkan elemen-elemen riba dalam amalan
perbankan. Selain itu, hadiah yang diterima juga disyaratkan terdiri daripada
perkara-perkara yang dibenarkan oleh syarak. Bagaimanapun dalam hal seumpama
ini, ulama’ Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ iaitu
menutup jalan haram dari berlaku.

46
2.5.7 Membeli Emas Dan Perak

Majoriti fuqaha’ telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian


emas dan perak dengan wang tunai hendaklah diserahkan kedua-dua item ribawi
tersebut ketika muamalah dilakukan tanpa sebarang penangguhan. Dalam istilah
fiqh, perkara ini disebut sebagai ‘at-taqabud fil hal’. Matawang merupakan salah satu
barangan yang dikategorikan sebagai item harta ribawi dan pada masa kini, kad
kredit sebagai ganti wang tunai turut dikategorikan sebagai item ribawi. Pembayaran
bertangguh dalam dua item ribawi boleh menyebabkan berlakunya Riba An-Nasi’ah
sedangkan jelas Allah telah mengharamkan sebarang urusniaga yang mengandungi
unsur riba berdasarkan firman Allah SWT:

             

                

                 

 

Maksudnya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri
betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-
hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka
mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba".
Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari tuhannya
lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu
(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah
kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu)
maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 275)

Persoalannya, adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di


tempat transaksi jual beli dilakukan? Dalam hal ini, para fuqaha’ semasa

47
menyatakan bahawa At-Taqabud sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara
melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat.
Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke pihak bank pengeluar yang
akan menguruskan pembayaran selepas itu. Oleh itu menurut pendapat fuqaha’,
diharuskan pembelian emas dan perak menggunakan kemudahan kad kredit kerana
telah berlaku At-Taqabud secara hukmi sebagaimana harus membeli emas dan
perak menggunakan cek. Demikian qarar dan fatwa dari Simposium Ekonomi Islam
ke-12 anjuran Dallah Al-Barakah pada 1996.

Walau bagaimanapun, pandangan baru Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia


OIC memfatwakan hukum membeli emas dan perak menggunakan kad kredit
sebagai haram berdasarkan keputusan nombor 108, pada persidangan 23-28
September 2000. Justeru, adalah lebih baik sekiranya umat Islam menjauhi
transaksi yang meragukan ini sebagaimana tuntutan dalam kaedah Fiqh yang
menyatakan “Keluar dari khilaf adalah lebih diutamakan”.

2.5 PENYELESAIAN KEPADA KAD KREDIT

Kini, bukan sahaja Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Arab Malaysia
Bank (AMBank) tetapi juga bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat
kewangan di bawah Skim Perbankan Islam (SPI) telah memperkenalkan kad kredit
Islam yang kebanyakannya berasaskan kontrak perniagaan “Bai Al-Inah”. Walau
bagaimanapun, masih ada golongan yang mempersoalkan ketelusan Aqad Bai Al-
Inah, ini kerana kad kredit yang dikeluarkan masih bergantung kepada penerbit
konvensional seperti Mastercard, Visa dan American Express.

Bai al-inah merujuk kepada jual beli yang berlaku antara penjual dengan
pembeli. Penjual (pihak bank) menjual asetnya kepad pembeli (pelanggan) dengan
harga tangguh lebih tinggi, kemudian penjual membeli semula aset tersebut dari
pembeli dengan harga tunai yang lebih rendah.

Sebahagian besar fuqaha’ berpendapat bahawa Aqad Bai Al-Inah sebagai


helah untuk membenarkan riba, oleh itu aqad ini tidak sah. Ini mengikut pendapat
48
Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Manakala Mazhab Syafie dan Mazhab Zahiri
berpendapat harus aqad ini berpandu kepada kepada zahir aqad yang jelas sah iaitu
dengan hanya melihat kepada aktiviti menjual dan membeli semula oleh bank atau
membeli dan menjual semula oleh pihak pelanggan. Namun begitu, pandangan ini
tidak melihat niat aqad tersebut, kerana niat bagi mereka adalah urusan Allah s.w.t.
Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk tidak mengetahui niat bank dan
pelanggan dalam Aqad Bai Al-Inah yang berlaku dalam kes kad kredit. Apa yang
jelasnya, memang mereka saling memahami tujuan sebenar Aqad Bai Al-Inah iaitu
‘hutang’ bagi pihak pelanggan.

Oleh itu, organisasi dan umat islam perlu melahirkan satu idea bagi
merealisasikan penggunaan satu kad bagi memudahkan pengguna Islam dalam
urusan perbelanjaan harian mereka. Di sini terdapat dua jalan penyelesaian kad
kredit berasaskan aqad kafalah dan kad debit.

i. Kad Kredit Berasaskan Kafalah

Kafalah adalah aqad yang mencampurkan sesuatu tanggungan kepada suatu


tanggungan berhubung dengan sesuatu permintaan, iaitu satu tanggungan yang
dikongsi oleh sekumpulan orang yang berlainan. (Md. Akhir Hj. Yaakob, 1987)

Dalam konteks kad kredit, pihak pengeluar kad (bank) bertindak sebagai
penanggung (penjamin) kepada pemegang kad ke atas hutangnya kepada peniaga.
Pengeluar kad akan membayar hutang pemegang kad. Walau bagaimanapun,
pemegang kad tidak boleh bergantung penuh kepada bank untuk membayar semua
hutangnya, sebaliknya ia juga akan sama-sama menjelaskan hutang tersebut.

Mengikut pendapat az-Zuhayli, upah boleh dikenakan dalam aqad kafalah,


dan dalam konteks ini, yuran boleh dikenakan ke atas pelanggan sebagai balasan
kepada jaminan yang telah dibuat oleh penjamin.

Walaupun Mazhab Syafie mensyaratkan bahawa barang yang dijamin


mestilah diketahui dari segi jenis, kadar sifatnya, namun jumhur tidak pula
49
mensyaratkan begitu. Oleh itu, sah bank (pengeluar kad kredit) menjamin
pelanggannya (pemegang kad kredit) jumlah hutang tertentu (had kad kredit) dalam
aqad kafalah dengan tanpa mempericikan jenis, kadar atau sifat barang yang dibeli.

ii. Kad Debit

Kad debit adalah kad serbaguna, laku untuk urusan transaksi dan jual beli. Cuma ia
bukan dalam bentuk hutang atau ‘kredit’, sebaliknya berpandu kepada jumlah
deposit wang yang disimpan di dalam bank. Kad debit kini telah diterima secara
meluas. Kad ini adalah lebih realistik kerana pemegang kad dapat memperuntukkan
perbelanjaan secara betul dan cermat berpandu kepada kemampuan depositnya.
Berbeza dengan kad kredit yang membolehkan pemegang kad berbelanja mengikut
kemahuannya walaupun tidak memiliki tunai. Penggunaan kad debit akan
menjadikan individu lebih merdeka dan tidak terikat dengan beban hutang.
Tambahan pula ia lebih sesuai dengan nilai akhlak Islam yang memandang rendah
mereka yang berhutang berbanding mereka yang memberi hutang. Tetapi kini bukan
sahaja yang berhutang itu dipandang rendah tetapi yang memberi hutang itu sendiri
terdiri daripada lintah darat yang kerjanya mencari keuntungan melalui aktiviti kredit.

2.6 PENUTUP

Kad kredit yang sesuai dengan kehendak Islam mungkin lebih wajar berasaskan
kepada aqad kafalah. Kad kredit yang berasaskan pemadanan kepada aqad seperti
hiwalah, wakalah dan al-qard atau al-dayn lebih mengundang banyak permasalahan
dari segi kebolehterimaan dan kesesuaian syarat-syarat akad yang terdapat di
dalamnya. Langkah yang mendasari kepada penggunaan Akad Kafalah merupakan
jalan keluar kepada kad kredit yang berasaskan Akad Bai Al-Inah yang diamalkan
oleh beberapa pengeluar kad kredit Islam yang ada di Malaysia. Ini kerana aqad
tersebut masih mengundang kontroversi dan kesahannya dalam urusniaga Islam
masih dipersoalkan. Oleh itu, lebih baik sekiranya masyarakat menggantikan kad
kredit dengan kad debit dan berbelanja dengan lebih cermat kerana ia akan
melepaskan dan membebaskan pengguna Islam dari menjadi hamba hutang.

50

You might also like