You are on page 1of 7

GURU SEBAGAI “ROLE MODEL”

Oleh : MOHD RADZUAN ABDULLAH


YAYASAN HARMONI

Pengenalan

Menurut Kamus Dewan, Guru ialah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan
pengasuh. Ia juga boleh diertikan sebagai orang yang berpendidikan, berpengetahuan dan
jawatan sebagai guru itu sendiri menyebabkan seorang guru akan dihormati serta menjadi
perhatian masyarakat umum.

Manakala Role pula bermaksud bahagian yang dilakonkan atau tugas seseorang dalam
satu-satu usaha mahupun peranan. Sementara Model bererti membentuk sesuatu atau
bekerja sebagai contoh tauladan.

Persoalan

1. Benarkah seorang guru itu dapat dikatakan sebagai “role model”?

2. Mengapakah seorang guru dianggap sebagai “role model”?

Ia dapat dilihat melalui peranan-peranan yang dipikul oleh seorang guru, sekiranya ia
melaksanakan tugasnya dengan cara yang baik dan betul maka ia layak menjadi “role
model” atau ikutan bagi masyarakat dan muridnya.

Peranan guru sebagai “role model” sebenarnya bukan hanya tertumpu di sekolah tetapi
juga di luar sekolah. Ia dapat dibahagikan kepada dua iaitu;

1) Guru sebagai “role model” kepada murid (di sekolah) , ada menyatakan bahawa
sebagai seorang pembimbing sayugia berusaha menjadikan dirinya (guru) sebagai
seorang insan contoh yang berilmu, berhemah tinggi dan mempunyai integrasi kerana
tingkah laku dan pembawaannya sentiasa terdedah kepada pengamatan murid-murid yang
diajar.

2) Guru juga menjadi “role model” bagi masyarakat. Ini ditegaskan oleh Profesor Dr.
Atan Long dalam kertas kerja beliau iaitu;

“Guru diwujudkan oleh masyarakat untuk memberikan pendidikan secara formal dan
bersistematik kepada generasi muda di dalam masyarakat itu”.

Jelas di sini bahawa peranan seorang guru bukan saja dilihat daripada ilmunya, tetapi
juga dilihat daripada keolahan dan perangainya sebagai model atau contoh kepada
masyarakat, terutama sekali kepada murid, pelajar dan generasi muda.
Peranan guru sebagai “Role Model”

Antara peranan dan sifat-sifat seorang guru yang melayakkan dirinya untuk menjadi “role
model” atau contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dan pelajar itu ialah dapat
dilihat melalui pelbagai peranan yang dipikulnya sama ada secara langsung mahupun
tidak secara langsung, antaranya ialah; (Lihat Rajah).

Dari segi imej

Untuk menjadi seorang


role model yang baik,
terlebih dahulu perkara
yang perlu diberi
perhatian utama oleh
guru ialah mempunyai
kesihatan badan yang
baik dan terjaga. Ini
kerana seorang guru yang sihat dari segi mental dan jasmani akan dapat memberikannya
tenaga dan keupayaan untuk menjalankan serta melancarkan tugasnya dengan sempurna.
Sekiranya seorang guru itu tidak sihat maka sudah tentulah ia tidak dapat menjalankan
tugasnya dengan baik dan tidak dapat mencapai objektif pembelajarannya dengan lebih
berkesan. Selain itu kesihatan yang baik juga perlulah memiliki jiwa yang tenteram dan
damai kerana melalui jiwa yang tenteram akan dapat menjalankan pengajaran dengan
perasaan senang hati.

Imej juga dapat diperlihatkan melalui peribadi yang baik, ini termasuk cara berbahasa,
cara berhubung, tingkah laku, tatasusila yang tinggi, baik hati, ramah tamah, boleh
dipercayai, berpendirian yang tetap, ikhlas dalam pengajaran, cara bertindak yang
mengarah kepada sifat positif dan sebagainya. Ini kerana golongan guru adalah golongan
yang menjadi perhatian dan ikutan murid serta masyarakat melalui imej positif yang
ditunjukkan oleh para guru itu sendiri.

Selain itu imej luaran bagi seseorang guru juga memainkan peranan yang penting untuk
membolehkannya dianggap sebagai “role model”, iaitu melalui cara berpakaian yang
baik, sopan, berpatutan dan sentiasa kemas kerana cara berpakaian ini juga
mencerminkan keperibadian bagi seorang guru.

Guru juga perlu menampilkan imej yang mudah bekerjasama, bertimbang rasa dan selalu
memberi galakan atau pujian kepada murid. Kerana tingkah laku yang baik, sedikit
sebanyak akan dapat mempengaruhi tingkah laku murid yang dididiknya sama ada secara
langsung mahupun sebaliknya. Guru bukan saja menyuruh muridnya berkelakuan baik,
tetapi turut mempraktikkannya, kerana kanak-kanak jarang sekali memulakan sesuatu
tanpa adanya dorongan atau contoh yang baik diperlihatkan oleh guru sebagai peniruan
awal bagi kanak-kanak itu seperti mana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa 'guru
kencing berdiri anak murid kencing berlari' atau 'selangkah guru melangkah sejuta mata
memandang'. Pepatah ini amat sinonim dengan sifat guru itu yang sememangnya menjadi
tumpuan masyarakat dan menjadi pusat pemerhatian atau ikutan bagi murid-murid, di
mana sekiranya seorang guru itu berkelakuan tidak senonoh sudah semestinyalah ia akan
menjadi buah mulut orang ramai dan membawa kesan buruk pada sesebuah sekolah.

Bukan itu saja, seorang guru juga perlu memperlihatkan imej yang baik melalui tindak
balas atau respons yang positif apabila berhadapan dengan murid, misalnya melayan
setiap soalan murid dengan baik dan sentiasa dapat menerima apa jua bentuk kritikan
dengan hati yang cekal. Malahan guru perlulah bersifat profesional dalam pengajarannya
tanpa mengira latar belakang murid yang diajar, dengan erti kata lain iaitu melayan
semua murid dalam situasi yang sama rata meskipun murid itu dari golongan elit.

Dari segi pengetahuan yang luas / mantap

Seorang guru yang baik dan patut menjadi contoh adalah guru yang mengetahui psikologi
kanak-kanak dan dapat menilai kekuatan murid dari segi badan dan jiwa serta tabiat dan
perkembangannya. Guru juga hendaklah mempunyai pengetahuan umum tentang hal
ehwal semasa sebagai persediaan apabila diajukan soalan yang mungkin di luar jangkaan
atau di luar teks sukatan pelajaran.

Seterusnya guru hendaklah memiliki banyak kebolehan dalam menghasilkan sesuatu


pengajaran kerana kebolehan dalam memvariasikan pengajaran akan dapat mengelakkan
kebosanan pada murid dan sekali gus menimbulkan kekaguman bagi muridnya apabila
melihat kesungguhan pada guru mereka dan ini tidak mustahil seorang murid itu akan
menjadikan gurunya sebagai idola dalam mencapai kejayaannya. Selain itu, penyampaian
guru juga mestilah mempunyai kecenderungan-kecenderungan yang memerlukan
perkembangan yang dinamik dan bukannya statik atau bersifat streotaip.

Dari sudut yang lain pula, seorang guru juga boleh mempertingkatkan pengetahuannya
dengan cara bersikap kreatif dan mempunyai imaginasi yang tinggi serta pandai
menggunakan pelbagai kaedah sebagai strategi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Bahkan guru yang bermotivasi dan cintakan profesinya mampu membawa pandangan-
pandangan baru yang lebih ke hadapan dan dapat membawa pembaharuan serta kemajuan
(ejen perubahan). Sekali gus ia dapat melengkapkan dirinya dengan pelbagai
pengetahuan serta bersedia melayani dan menggalakkan muridnya dalam apa jua
kemahiran sebagai sokongan dan dorongan dari seorang guru kepada muridnya. Lebih-
lebih lagi apabila seorang guru itu jarang menghampakan muridnya.

Untuk memantapkan pengetahuan sedia ada, seorang guru itu juga perlulah sentiasa
berinisiatif untuk menambah pengetahuan dengan melakukan pelbagai kajian, percubaan,
pembacaan, penyelidikan, mencari maklumat dan sebagainya. Guru yang menjadi ikutan
bagi muridnya itu hendaklah sentiasa mempersiapkan dirinya mengikuti pembaharuan
dan kemajuan dalam pendidikan seperti menerima kemajuan teknologi dengan
mempelajari dan memahirkan lagi diri dalam teknologi yang dibawa oleh arus
kemodenan agar seorang guru itu tidak ketinggalan dan maju ke hadapan. Ini secara
langsung dapat memainkan peranan seorang guru itu agar lebih terdedah dengan mutu
pengajaran yang lebih dinamik selaku pendidik yang mempunyai daya ingatan yang baik,
percaya diri sendiri, berkeyakinan dan mempunyai tekad yang kuat dalam menghadapi
sebarang masalah yang mendatang.

Dari segi sifat kepimpinan

Dari segi kepimpinan, seorang guru itu bolehlah dijadikan sebagai “role model” yang
asas samada kepimpinan yang dimainkan oleh seorang guru itu secara langsung mahupun
secara tersirat. Ia dapat dilihat melalui peranan guru itu sebagai pemimpin di mata
masyarakat dan murid atau pelajar. Antara sifat-sifat kepimpinan seorang guru yang
boleh dikatakan sebagai “role model” ialah guru sebagai fasillator (pemudah cara).
Tegasnya di sini guru itu akan sentiasa memata-matai anak muridnya untuk
membimbing, mengajar serta menggerakkan pelajar sama ada secara individu mahupun
berkumpulan. Peranan guru sebagai penunjuk cara jelas sekali memperlihatkan sifat
kepimpinan seorang guru itu secara tidak langsung.

Kepimpinan guru juga, bahkan dapat dilihat melalui asas ketamadunan yang dibawa oleh
guru, iaitu membawa budaya berfikir ke arah mewujudkan rakyat yang
bertanggungjawab dalam pengukuhan akidah kerana berfikir merupakan anak kunci bagi
kemajuan dan keunggulan sesebuah negara. Sebagai seorang guru yang berwawasan juga
ia berkemampuan menanamkan adat dan perangai yang mulia dari segi bangsa dan agama
melalui bentuk pengajarannya. Guru bukan saja memimpin dan membimbing ilmu
pengetahuan bahkan pembimbing tingkah laku dan sahsiah murid (termasuk cara
menghormati, kepentingan hidup bersatu padu, percaya-mempercayai, kesihatan tubuh,
kemajuan murid dan sebagainya yang dapat membentuk sikap baik murid.

Kepimpinan seorang guru akan dapat dilaksanakannya dengan baik apabila ia


mempunyai pandangan dan inisiatif yang baik dalam memimpin murid. Guru sebagai
pemimpin mestilah terlebih dahulu dapat mengendalikan pekerjaan dengan baik, teratur,
bersistematik dan tegas dalam percakapan dan pekerjaannya yang dapat menarik minat
murid dengan keadaan yang menyenangkan sebelum ia menjadi ikutan atau contoh
tauladan masyarakat dan murid. Aspek kepimpinan guru juga adalah apabila ia terus
menerus memberi nasihat dan tindakannya bijak serta memuaskan semua pihak. Sesuai
dengan peranannya sebagai ejen dan penggerak utama dalam proses pendidikan yang
mana peranan ini amat strategik dalam menentukan masa depan negara dan pemangkin
utama dalam membentuk generasi cemerlang dan bertakwa. Dengan cara ini baharulah
seorang guru itu layak dikatakan sebagai “role model” dalam aspek kepimpinannya.

Dari segi emosi yang stabil

Seorang guru semestinya akan atau sudah pernah mengalami kerenah dan masalah murid
atau pelajar dalam pembelajaran dan pengajaran. Disebabkan itu persediaan emosi yang
stabil dan cekal hati dalam menghadapi segala kerenah murid dan cabaran dalam
pembelajaran adalah amat penting dan harus ada dalam diri seorang guru. Guru perlu
tahu menyelesaikan setiap masalah murid dalam apa jua situasi dan ini memerlukan sikap
dedikasi seorang guru yang tidak pilih kasih serta bersabar dalam mengulangi isi
pelajaran yang lepas bagi murid yang lemah.

Emosi yang stabil bagi seorang guru amat penting kerana peranan guru itu meliputi
segala aspek bukan saja pendidikan tetapi pembentuk sahsiah murid. Jadi di sini guru
memikul banyak tanggung jawab yang bukan saja mengajar malahan menjadi kaunselor
kepada murid yang bermasalah. Ia perlu memotivasikan dirinya dahulu sebelum
memotivasikan orang lain misalnya memberi motivasi bagi kanak-kanak iaitu motivasi
dalaman, contohnya sifat ingin belajar dari kanak-kanak itu sendiri perlu dipupuk dan
motivasi luaran seperti keinginan belajar yang datang dari sekeliling yang membuatkan
kanak-kanak itu belajar. Dari sinilah emosi yang stabil itu memerlukan pemikiran guru
yang rasional dan sentiasa bersedia membantu pelajarnya apabila diperlukan.

Dari segi mencorak peribadi murid

Sebagai role model, guru adalah orang yang bertanggungjawab dalam mencorak murid
supaya menjadi manusia yang benar-benar berguna terhadap masyarakat dan negaranya.
Ini termasuklah membentuk sikap, nilai dan akhlak manusia serta memberi contoh yang
menjadi ikutan seluruh lapisan masyarakat. Mencorak peribadi murid itu adalah bermula
dari mendidik kanak-kanak mentah menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, guru adalah
merupakan orang yang terpenting dalam membangun dan membina sesebuah masyarakat,
lebih-lebih lagi masyarakat sekolah.

Di samping itu, peranan guru sebagai pencorak peribadi murid juga ialah mampu
mencipta suasana harmoni sesama murid agar bertolak ansur dan bertanggungjawab.
Malahan profesi guru ini juga merupakan pengasas kepada kejayaan murid disebabkan
peranan guru itu sendiri sebagai tulang belakang kepada sistem pendidikan yang dapat
merealisasikan transformasi pendidikan sepertimana yang dicita-citakan oleh kerajaan
dalam pencorakan utama guru yang baik dan ikhlas mendidik anak muridnya.

Dari segi pembentukan watak murid

Di sebabkan pembelajaran bersangkutan dengan pembentukan watak yang erat. Maka


guru haruslah sedar bahawa sekolah adalah diharapkan dapat mempengaruhi
pembentukan watak, iaitu melalui empat faktor berikut;

i. Pengaruh dari keperibadian guru itu sendiri.


ii. Pengaruh rakan sebaya.
iii. Pengaruh pelajaran.
iv. Pengaruh kaedah mengajar.

Jelaslah di sini bahawa melalui pengaruh keperibadian guru dan pengaruh kaedah
mengajar di atas adalah antara faktor utama yang dapat membentuk watak seseorang
murid, guru seharusnya mewujudkan tauladan yang baik dalam menjalankan tugas, suka
memaafkan, tolong-menolong, memerintah dengan jalan yang betul dan adil, melarang,
menghukum yang berpatutan, tidak melakukan sebarang bentuk kekerasan, memberi
hadiah serta mendorong murid ke arah kebaikan. Sekiranya seorang guru ingin berjaya, ia
seharusnya menunjukkan yang beliau mengambil berat dan peka tentang kemajuan
murid-muridnya. Ini merangkumi pertumbuhan dan perkembangan jasmani serta rohani
murid, termasuklah tegas dalam mendidik murid yang mempunyai masalah sahsiah atau
disiplin yang teruk agar dapat membentuk murid yang bermasalah ini ke arah pemulihan
tingkah laku yang positif. Selain itu, guru juga menjadi pembentuk murid sepertimana
yang dikehendaki bagi kemajuan negara. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh
Profesor Dr. Atan Long iaitu;

"Guru-guru yang menjadi pemimpin patut mengubah cara berfikir mereka dengan
memberikan pertimbangan yang lebih kepada murid-murid, tidak menentukan apa corak
yang patut diterima oleh murid-murid, tetapi memperbaiki corak-corak yang telah sedia
ada pada murid-murid itu sendiri supaya menjadi manusia yang sebaik-baiknya".

Guru yang sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk memperbaiki dirinya dan
mengikuti dunia sekelilingnya bukan saja akan dapat menambahkan pengetahuannya
malahan juga akan menjadi contoh yang baik kepada murid agar lebih giat belajar.
Sebagai contoh tauladan kepada murid dan masyarakat guru juga perlu faham jiwa murid
dan berasa bertanggungjawab untuk membentuk insan yang berkualiti dan membina
insan yang kamil iaitu mentarbiah murid semasa di alam persekolahan, penggerak
pembangunan ummah yang sempurna dan pemegang amanah dalam menjalankan tugas.

Dari segi cara bersosial sebagai pengembang atau ejen sosial.

Perasaan bersosial dalam diri kanak-kanak sudah wujud sejak kecil lagi dan ia hendaklah
disuburkan dengan cara yang baik dan menggunakan pendekatan sosial secara psikologi
dan perpatutan dengan tahap perkembangan seseorang kanak-kanak itu. Jadi asas bagi
pendidikan sosial ini adalah terdapat dalam lingkungan pendidikan sosial di sekolah.
Sekolah haruslah mengendalikan latihan praktikal yang didahului oleh guru, contohnya
seperti mengadakan permainan, sukan, hari perayaan bersama atau menyelesaikan dan
berbincang dengan guru dalam masalah pelajaran. Ini secara tidak langsung boleh
mengajar seseorang kanak-kanak itu supaya berani bersosial dalam cara yang baik.
Dalam erti kata yang lain, guru juga sebagai kawan dalam hubungannya dengan murid.

Guru juga sebagai orang tengah dan penghubung antara rakyat dan kerajaan dan dari
sinilah juga dapat diketahui bahawa peranan seorang guru bukan saja kepada muridnya
malahan juga kepada masyarakatnya iaitu sebagai pendamping rapat di luar sekolah,
penghidupan, siahsah kemasyarakatan, kesusasteraan dan kesenian. Oleh itu
setentunyalah seorang guru perlu mewujudkan hubungan yang mesra sesama guru yang
lain agar menjadi contoh yang baik bagi murid.

Sebenarnya ada banyak cara bagi seorang guru mengajarkan cara bersosial kepada murid-
muridnya iaitu antaranya ialah turut serta atau mengambil bahagian dalam aktiviti sukan
dengan murid sebagai contoh terdekat dalam bersosial, membawa reformasi untuk
kepentingan masyarakatnya dengan cara mendampingi diri dengan aktiviti masyarakat,
cara ini sedikit sebanyak akan mendapat pemerhatian oleh murid dalam melihat cara
gurunya bertingkah laku dan bergaul dengan orang ramai yang sekali gus dapat menjadi
ikutan bagi murid-murid itu. Guru yang sentiasa bergabung diri dan bercampur ( pandai
bergaul dan menyesuaikan diri ) dengan masyarakat sekeliling juga akan dapat
mewujudkan keselesaan yang sesuai dengan kebudayaan, bangsa dan undang-undang
bagi sesuatu tempat. Oleh itu, dalam dalam hal ini setentunyalah seorang guru itu dalam
bersosial perlulah mempunyai mental life yang terbuka.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan seorang guru yang dikatakan sebagai pendidik itu adalah 'role model'
terbaik dalam pembentukan modal insan.Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa masa
depan kanak-kanak dalam dunia moden kini sedikit sebanyak adalah hasil daripada
pengaruh guru yang telah banyak mendidik mereka dalam sistem formal yang telah
dilalui oleh kanak-kanak itu. Tidak dapat disangkalkan bahawa para pemimpin, juru bina,
ahli-ahli ekonomi dan setiap anggota masyarakat yang menghadapi cabaran hidup
masing-masing, semuanya telah menemui para guru terlebih dahulu semasa bersekolah
sebelum berjaya menduduki jawatan yang mereka jawat sekarang ini.

Selain itu, guru juga mempunyai pengaruh yang luas dan berkesan dikalangan muridnya,
oleh sebab itu jika kuasa seorang guru itu disalahgunakan sama ada dengan disedari atau
sebaliknya, maka akibatnya akan melembapkan dan menghancurkan generasi masyarakat
akan datang. Jadi di sini adalah menjadi tugas guru bagi menjaga taraf profession ini
dengan mengekalkan prestasi yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat, murid,
bangsa, agama dan negara, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
iaitu;

"Sebaik-baik manusia berjalan di atas muka bumi ialah para guru".

You might also like