You are on page 1of 11

 

5.1 PENGENALAN

lam Melayu yang banyak mengeluarkan hasil hutan dan rempah-ratus, menjadi tumpuan orang
Eropah. Mereka menyedari bahawa untuk memudahkan perniagaan, bahasa anak negeri perlu difahami dan
dikuasai. Di samping itu pula orang Eropah sudah mulai ramai yang tinggal di ceruk rantau Nusantara ini
kerana berniaga, membuka ladang, atau ditugaskan oleh kerajaan mereka sebagai pegawai. Para mubaligh
Kristian turut sama ke Kepulauan Melayu untuk mengajar agama Kristian kepada orang Eropah yang
bertugas di sini dan juga kepada orang tempatan. Semua ini memerlukan kemahiran bahasa Melayu. Sejak
itu, buku petunjuk sederhana dan kamus bahasa Melayu dianggap penting.

5.2 PENGKAJI BARAT

Frederick de Houtman (adik Cornelis de Houtman) menyusun perkataan dan ayat bahasa Melayu
Madagaskar. Bahan ini disusunnya semasa ia ditawan oleh pemerintah Aceh dalam tahun 1599-1602 M.
Kamus ini pertama kali dicetak di Amsterdam pada tahun 1604 M dan dicetak semula pada tahun 1673 M.
Buku ini dicetak lagi di Batavia (kini Jakarta) pada tahun 1707 M.

Gotardus Arthus menterjemah buku Frederick de Houtman di atas ke dalam bahasa Latin pada tahun 1608
M. Buku ini dicetak untuk kali kedua pada tahun 1614 M, dan daripada bahasa Latin ia diterjemahkan pula
ke dalam bahasa Inggeris oleh Augustine Spalding yang diterbitkan di London pada tahun 1624 M. Albert
Ruyl pula mengubah tajuk karya Frederick di atas, dan mengadakan sedikit pengubahsuaian yang
kemudian dicetak di Amsterdam pada tahun 1650 M dan dicetak semula di Batavia pada tahun 1677 M
setelah diperbaiki oleh Frederick Gueynier. Sekali lagi kamus ini diterbitkan di Batavia juga pada tahun
1708 M oleh Petrus van der Worm, dan beliau mengatakan bahawa inilah kamus Melayu - Belanda yang
terbaik.

Casper Wittens menyusun kamus bahasa Melayu - Belanda yang kemudian diperbaiki oleh Sebastian
Danckaerts dan diterbitkan oleh Gravenhaghe pada tahun 1623 M dan di Batavia pada tahun 1706 M.
Kamus ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh David Haex dan diterbitkan di Rom pada tahun
1631 M.

Thomas Bowerey menyusun kamus Inggeris - Melayu pada tahun 1701 M dengan mengemukakan sedikit
peraturan nahu. Kamus ini ditulis oleh pedagang yang datang ke Nusantara, yang mencatat semua
perkataan yang diingatinya (daripada bahasa lisan) sehingga berlaku banyak kesalahan ejaan. Contoh ayat
yang dikemukakan juga banyak yang tidak berterima (tidak gramatis).

Andreas Lambert Loderus mencetak semula kamus yang disusun oleh Casper Wittens dan Sebastian
Danckaerts. Ia juga mencetak semula kamus yang disusun oleh Tustus Heurnius dan kamus yang disusun
oleh Frederick Gueynier di Batavia pada tahun 1708 M.
George Henrik Werndly (Belanda) seorang sarjana bahasa Melayu menulis Nahu Melayu yang diterbitkan
di Amsterdam pada tahun 1736 M, John Howison menyusun kamus Inggeris - Melayu pada tahun 1801 M,
dan P. Farve menyusun kamus Perancis - Melayu pada tahun 1817 M.

Sebelum P. Farve, William Marsden telah menulis A grammar of the Malayan language pada tahun 1812
M. Pendahuluan buku ini mengandungi 50 halaman. Banyak perkara yang dibincangkan oleh Marsden
dalam Pendahuluan bukunya ini. Beberapa hal yang penting ialah:

(a) Yang dimaksud dengan Kepulauan Melayu itu ialah Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa,
Kalimantan, Sulawesi, Maluku, dan beberapa buah pulau yang lain. Setiap pulau, masyarakatnya memiliki
bahasa mereka sendiri tetapi dalam hal perniagaan terutama di bandar pelabuhan, mereka menggunakan
bahasa Melayu. Di antara pelbagai dialek yang dituturkan di pasar semasa berhubungan, dialek Melayulah
yang paling asas dan ia kemudian berkembang menjadi bahasa Melayu.
(b) Bahasa Melayu itu indah, susunan ayatnya teratur, dan nahunya sederhana. Penyebutannya pula mudah
sehingga perkataan pinjaman pun akan mereka selaraskan dengan pengucapan masyarakat setempat.
(c) Bahasa Melayu bukan berasal daripada bahasa Jawa, namun orang Jawa menggunakan bahasa Melayu
untuk tujuan pergaulan. Bahasa Melayu di Sumatera hampir sama dengan bahasa Melayu di Semenanjung
dan perbezaan tersebut hanyalah vokal akhir sahaja.
(d) Langkapura terletak di antara Palembang dan Jambi, bukan di Pulau Jawa kerana tidak ada kesan
kerajaan ini di sana.
(e) Orang di atas angin bermaksud orang Arab manakala orang di bawah angin bermaksud orang Melayu.
Orang di bawah angin lebih suka menyembelih kerbau daripada lembu.
(f) Perkataan Jawi (tulisan) bukanlah berasal daripada perkataan Jawa, Jawi (lembu, atau pokok jawi-jawi)
tetapi membawa maksud campuran tulisan Arab, Parsi, dan Melayu. Perkataan ini dikiaskan daripada anak
Jawi yang bermaksud anak campuran.
(g) Bahasa Melayu bukan berasal daripada bahasa Sanskrit tetapi bahasa Sanskrit memperkaya bahasa
Melayu, sungguhpun ada persamaan bahasa Melayu dengan bahasa Tagalog, Bisaya, dan Pampanga tidak
dapat dibuat sebagai alasan bahasa orang Melayu berasal dari Filipina kerana orang Melayu berkulit
kekuning- kuningan dan berambut panjang manakala Filipina berkulit agak gelap dan berambut keriting.
(h) Bangsa Melayu di Sumatera, Jawa, Sulawesi, dan di beberapa buah pulau yang lain telah lama memiliki
abjadnya sendiri sebelum tulisan Arab diperkenalkan.
(i) Menolak pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu serupa dengan bahasa yang dituturkan di
Indo-China dengan alasan bahawa pengkaji tersebut (J.C. Leyden) tidak menyenaraikan perbendaharaan
kata dalam sifatnya yang asal. Jika seseorang pengkaji tidak mempunyai pengetahuan tentang budaya
masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut lazimnya ia akan menyampaikan sesuatu yang lain daripada
yang sebenarnya dan ini akan menyebabkan sesuatu kajian tersebut tidak sempurna.
(j) Pendengaran pengkaji yang tidak tepat, penyisipan bunyi atau huruf pada ejaan yang asal didapati
berlaku. Untuk siapakah penyesuaian sebutan tersebut dilakukan? Bagi penutur Eropah yang sudah
mahirkah? Penutur tempatan yang terpelajar, penyesuaian tersebut jelas tidak memanfaatkan mereka. Ini
jelas menunjukkan bahawa ejaan Melayu bukan seperti yang mereka katakan tidak tepat atau tidak
mempunyai peraturan tertentu.

Dalam Pendahuluan itu juga Marsden banyak menyanggah beberapa pendapat penulis Barat tentang bangsa
dan bahasa Melayu yang menurutnya lebih mengutamakan kepentingan pemerintah yang menjajah
daripada kebenaran data dan fakta.
Isi buku ini tidak dibahagikan pada bab melainkan pada beberapa tajuk kecil. Tajuk tersebut di antara lain
ialah: Abjad Jawi, Konsonan, dan Vokal, Tanda Bacaan Tulisan Jawi, Golongan Kata, Bahagian Ayat,
Nama, Sifat, Perbandingan, Bilangan, Ganti Nama, Penunjuk, Keterangan, Sendi, Penghubung, Seruan,
Pengimbuhan, Binaan Ayat, Dialek, Prosodi, dan Praksis.

Beberapa hal yang menarik dalam isi buku ini ialah, Marsden mengatakan bahawa orang Melayu telah
mengambil 28 huruf Arab, iaitu £, [, \, ], Ð, a, b, d, e, f, g, i, j, k, l, m, n, o, p, q, r, u, v, w, x, z, y, å dan
mencipta enam huruf lagi dengan menambah titik tertentu pada bentuk yang sudah sedia ada, iaitu c, h, p, s,
u, ].

Marsden telah menggolongkan perkataan bahasa Melayu pada tujuh golongan, iaitu Ganti Nama Diri,
Perbuatan, Keterangan, Sendi, Penghubung, Seruan, dan Partikel. Marsden memasukkan Adjektif ke dalam
kata yang menerangkan Sifat Nama. Dalam bahasa Melayu bentuk perkataan tidak menunjukkan tunggal
atau jamak tetapi Bilangan tersebut dinyatakan secara khusus, iaitu menggunakan Bilangan dan bila perlu
dengan Penjodoh Bilangannya sekali.
Menurut Marsden, Kata Sendi sangat penting untuk membezakan makna, seperti ke rumah, dari rumah, di
rumah, di luar rumah, di atas rumah, di bawah rumah, dan lain-lain. Dengan demikian, sesuatu Nama akan
mudah diketahui sama ada Nama pada Objek atau Nama pada Kata Sendi.

Beliau tidak setuju Kata Bilangan dimasukkan ke dalam golongan Adjektif kerana Kata Bilangan memiliki
ciri yang khusus. Oleh yang demikian, beliau mencadangkan agar digunakan Kata Bilangan Kardinal,
Ordinal, dan Pecahan. Kata Bilangan ini pula sangat penting untuk menyatakan sesuatu Nama sama ada
tunggal atau jamak, kerana dalam bahasa Melayu Nama tunggal dan jamak tidak dicirikan oleh perubahan
bentuk.

Perkataan angkau berubah apabila perkataan sebelumnya diakhiri dengan bunyi vokal a seperti mana bagi
kelompok kata darimana angkau yang akan disebut menjadi darimanangkau. Begitu juga perubahan
tersebut berlaku apabila perkataan sebelumnya diakhiri dengan bunyi asal n seperti akan bagi kelompok
kata akanangkau. Untuk mengelakkan bunyi seperti ini maka perkataan angkau diubah menjadi dikau
sehingga lahirlah perkataan darimana dikau dan akan dikau. Perkataan dikau kini jarang digunakan dan
kembali mengambil perkataan engkau atau disingkatkan menjadi kau.

Perkataan iya atau inya juga mengalami hal yang sama. Apabila bunyi akhir perkataan sebelumnya bunyi h
seperti suruh bagi kelompok kata suruhiya dan bunyi akhir sebelumnya vokal a seperti mana bagi
kelompok kata ke manaiya maka perkataan iya mendapat penambahan d sehingga menjadi diya. Dengan
demikian, ada selang bunyi di antara perkataan sebelumnya dan sesudahnya, iaitu suruh diya atau ke mana
diya. Perkataan diya kini dieja menjadi dia.

Perkataan iya bagi milik atau kepunyaan biasa disebut niya seperti pada kelompok kata kapala niya atau
rambut niya. Lama-kelamaan bunyi niya berubah menjadi nya sehingga kelompok kata di atas menjadi
kepalanya atau rambutnya. Inilah sebabnya nya dikatakan berasal daripada perkataan dia kerana dia berasal
daripada iya dan inya juga berasal daripada iya.
Pembinaan Awalan dengan Kata Dasar ditentukan oleh huruf awal sesuatu Kata Dasar. Dengan demikian,
beliau mengemukakan rumus seperti yang berikut ini:

(a) Awalan men- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf j, c, d.


(b) Awalan meng- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf a, e, i, o, u, h, g.
(c) Awalan mem- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf b, p.
(d) Awalan me- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf r, m, n, w, l.
(e) Perkataan yang bermula dengan huruf t, s, p, k suku kata pertama Kata Dasar ini akan mengubahsuai
bunyi bagi kelancaran pelafazan apabila digabungkan dengan Awalan.
Perkataan tolong, huruf t gugur dan awalannya menjadi men- dan hasilnya menolong.
Perkataan susu, huruf s gugur dan Awalannya menjadi meny- dan hasilnya menyusu.
Perkataan palu, huruf p gugur dan Awalannya menjadi mem- dan hasilnya memalu.
Perkataan kata, huruf k gugur dan Awalannya menjadi meng- dan hasilnya mengata.

Di samping imbuhan di atas, Marsden juga mengemukakan Awalan ber-, bel-, dan be-. Menurut beliau lagi
Awalan be- lebih umum digunakan dalam bahasa lisan, Awalan ber- untuk bertulis dan bel- jarang berlaku,
kecuali pada perkataan belajar.
Di dalam buku tersebut, yang dimaksudkan dengan Kata Penunjuk itu ialah Penunjuk Kala yang terbahagi
tiga, iaitu

(a) Kala Kini Contoh: lagi, sambil, serta, seraya.


(b) Kala Lepas Contoh: telah, sudah.
(c) Kala Akan Datang Contoh: mahu, hendak, akan.

Dikatakan bahawa Awalan ter- apabila diimbuhkan pada Perbuatan, ia menghasilkan Imbuhan Pasif,
seperti terpukul, teralah, tertulis yang beliau samakan dengan imbuhan Latin -tus, seperti amatus, doctus,
loctus. Awalan ter- ini akan berubah menjadi te- apabila ia diimbuhkan dengan Kata Terbitan yang
mendapat Awalan per- seperti persayang menjadi tepersayang.
Imbuhan yang lain ialah: pen-, peng-, pem-, pe-, per-, pel-, di-, ke-, se-, kan-, -i, -an, -lah, -kah, -tah, -nya,
-ku/ku-, -mu, -kau/kau-, -nya, -pun, -nda. Di dalam buku ini terlihat bahawa Marsden mengutamakan
perbincangan tentang binaan perkataan dan hanya sedikit sahaja binaan ayat.

Marsden berpendapat bahawa binaan ayat dalam bahasa Melayu sederhana atau mudah kerana
peraturannya sedikit dan setiap golongan perkataan mempunyai tugasnya masing-masing. Semasa
pembinaan ayat tidak berlaku perubahan perkataan (pada Kata Perbuatan), tidak ada perubahan
perlambangan (huruf) untuk jantina mahupun bilangan. Beliau memberi kesimpulan bahawa nahu bahasa
Melayu tidak serupa dengan nahu bahasa Latin.

Marsden juga menyedari bahawa ada perbezaan di antara bahasa lisan dengan bahasa bertulis. Banyak
perkataan yang tidak disebut (digugurkan) pada bahasa lisan tetapi maknanya tidak berubah. Katanya hal
ini sangat ketara apabila orang Melayu menjawab soalan yang biasanya dijawab seringkas mungkin.

Ciri yang umum dalam Ayat Penyata bahasa Melayu menurut Marsden ialah Nama merupakan Subjek
kepada Perbuatan yang kedudukannya di hadapan. Perbuatan biasanya diikuti oleh Nama (Objek) atau
perkataan lain yang menerangkan Perbuatan atau Nama. Bagi Ayat Perintah pula Perbuatan mendahului
Nama atau Ganti Nama. Dalam membina ayat, pengguguran perkataan tertentu boleh berlaku tanpa
menjejaskan makna ayat tersebut.
Walaupun Marsden mengakui bahawa nahu bahasa Melayu tidak serupa dengan nahu bahasa Latin, namun
beliau tidak dapat melepaskan nahu bahasa Inggeris dalam mengkaji bahasa Melayu.

Pada tahun 1852 M, buku John Crawfurd yang berjudul A grammar and dictionary of the Malay language
diterbitkan. Judul ini terdiri daripada empat buku. Buku pertama, iaitu jilid 1 pula terdiri daripada dua
buku, dan jilid 2 juga terdiri daripada dua buku. Jilid 1 buku pertama mengungkapkan sejarah bahasa
Melayu. Diperlihatkan juga perbandingan perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Jawa. Beberapa
perkataan tersebut ialah:

Bahasa Melayu Bahasa Jawa

kasih asih
gargaji garaji
kapak kampak
karbau kebo
siku sikut
lalat lalar
padi pari
pusat pusar
cubit juwit
makan mangan

Di samping itu diperlihatkan juga perbandingan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Lampung, bahasa
Melayu dengan bahasa Sunda, bahasa Melayu dengan bahasa Madura, bahasa Melayu dengan bahasa Bali,
bahasa Melayu dengan bahasa Bugis, dan juga dengan beberapa bahasa di Indonesia Timur seperti bahasa
di Pulau Timor, Pulau Roti, dan Pulau Sawu.

Perbandingan perkataan tersebut juga beliau lakukan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Tagalog,
Bisaya, Campa, Formosa, Maori, Tahiti, Caroline, Guham, dan beberapa bahasa lain di Lautan Pasifik
hingga bahasa Malagasi di Pulau Madagaskar. Perbandingan ini dimaksudkan oleh Crawfurd betapa
banyaknya persamaan perkataan di antara bahasa Melayu dengan bahasa yang terdapat di Lautan Pasifik
dan Lautan Hindi. Di dalam buku ini juga diperlihatkan beberapa bentuk aksara beberapa bahasa seperti
Batak, Rejang, Lampung, Bugis, dan Tagalog.

Dalam Jilid 1 bahagian kedua pula khusus membincangkan nahu yang dimulainya dengan abjad Jawi dan
cara penyebutan perkataan seperti yang dihuraikan oleh Marsden. Penggolongan perkataan juga tidak jauh
berbeza dengan Marsden, iaitu Nama, Adjektif, Ganti Nama, Perbuatan, dan Pengulangan. Perbincangan
binaan ayatnya juga tidak jauh berbeza dengan Marsden.

Jilid 2 bahagian pertama merupakan kamus bahasa Inggeris - bahasa Melayu manakala jilid 2 bahagian
kedua merupakan kamus bahasa Melayu - bahasa Inggeris. Di dalam kamus bahasa Melayu - bahasa
Inggeris ini belum ditemui senarai perkataan yang bermula dengan Q dan V. Abjad X pula digunakan bagi
perkataan yang bermula dengan kh, seperti xas, xabar, xairat, xalifah, xalwat, dan lain-lain. Ini bermakna
abjad X yang sekarang ini belum digunakan. Beberapa perkataan dinyatakan asalnya, misalnya daripada
bahasa Arab (A), Jawa (J), Sanskrit (S), Tamil (T), Portugis (POR), dan lain-lain.

Pada tahun 1895 M, R.J. Wilkinson menyusun kamus Inggeris - Melayu. Menurut Harun Aminurrashid
kamus ini sangat berguna dan sangat mendalam penyiasatan bahasa Melayunya. Tidak lama selepas itu,
Wilkinson menyusun kamus Jawi - Melayu - Inggeris yang diterbitkan pada tahun 1902 M. Wilkinson
bertugas sebagai nazir sekolah di Jabatan Pelajaran di Negeri-negeri Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang,
Negeri Sembilan). Beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Ejaan. Sejak itu terkenallah Ejaan
Wilkinson, iaitu ejaan yang terdapat di dalam kamusnya tersebut.

Kamus ini dapat dianggap unik kerana abjadnya mengikut abjad Jawi. Oleh yang demikian, di bawah kata
masukan A, terdapat juga U, E, I, dan O. Ini berlaku kerana alif ( £ ) mewakili semua vokal. Setelah kata
masukan alif, ia diikuti oleh B ( [ ), T ( \ ), TH ( ] ), J ( Ð ), C ( c ), H ( a ), KH ( b ), D ( d ), DZ ( e ), R
( f ), S ( i ), SH ( j ), S ( k ), DL ( l ),T ( m ), TL ( n ), 'A ( o ), GH ( p ), NG ( p ), F ( q ), P ( s ), K ( r ), K
( u ), G ( u ), L ( v ), M ( w ), N ( x ), W ( z ), H ( y ), Y ( å ), NY ( ] ).
Sepintas, agak sukar menggunakan kamus ini bagi pengguna sekarang kerana urutan abjadnya yang
berbeza. Sebenarnya, tidaklah susah kerana kamus ini menyediakan indeks menurut abjad yang kita kenali
sekarang ini. Bahagian akhir kamus ini pula menyediakan nama burung, ular, dan pokok berserta nama
saintifiknya dalam bahasa Latin.

Sebenarnya masih ada beberapa buah buku nahu dan kamus bahasa Melayu yang ditulis oleh ahli bahasa
yang lain, tetapi kebanyakannya telah menjangkau abad ke-20. Pada masa ini, beberapa ahli bahasa
tempatan (Melayu) telah mulai menulis kamus dan nahu bahasa Melayu.

5.3 PENULIS TEMPATAN

Sebuah kamus yang disusun oleh Syed Mahmud bin Syed Abdul Kadir al-Hindi telah diterbitkan pada
tahun 1894 M. Kamus ini berjudul Kamus Mahmudiyyah dan diulang cetak pada tahun 1925 M di Kota
Bharu, Kelantan. Di samping menyusun kamus, Syed Mahmud juga menulis buku ilmu pengetahuan.
Kamus Arab - Melayu ditulis pula oleh Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi yang berjudul Kamus
Idris al-Marbawi atau lebih dikenali dengan Kamus Marbawi dicetak pada tahun 1412 H (1933 M). Kamus
ini terdiri daripada 18,000 perkataan Arab dengan pengertian bahasa Melayu dan 700 perkataan disertai
gambar.
Sedikit lebih awal daripada usaha Syed Mahmud ini ialah karya Raja Ali Haji (atau nama selengkapnya
ialah Raja Haji Ali ibni Raja Haji Ahmad), iaitu buku yang berjudul Bustanulkatibin (Petunjuk-petunjuk
bahasa Melayu) yang diterbitkan pada tahun 1857 M dan Kitab pengetahuan bahasa pada tahun 1858 M.
Kedua-dua buku ini saling melengkapi dan Harimurti Kridalaksana telah membincangkan kedua-dua buku
ini sekaligus di dalam makalahnya "Bustanulkatibin dan Kitab pengetahuan bahasa- sumbangan Raja Ali
Haji dalam ilmu bahasa Melayu" (1983 M).
Harimurti Kridalaksana antara lain mengatakan "Bidang-bidang ilmu bahasa Melayu yang digarap oleh
Raja Ali Haji ialah:

1. Tata ejaan yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 1 sampai fasal 10.
2. Pembahagian kelas kata yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 11 sampai 14, dan Kitab
pengetahuan bahasa halaman 2 sampai halaman 21.
3. Analisis kalimat yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 15 sampai 31, dan Kitab pengetahuan
bahasa halaman 22 sampai halaman 32.
4. Leksikografi yang dimuat di dalam Kitab pengetahuan bahasa mulai bab kedua (halaman 50 para
ketiga)".

Apabila memberi takrifan Nama, Raja Ali Haji mengatakan "Nama yaitu tiap-tiap barang yang
menunjukkan maknanya pada dirinya, tiada berserta dengan masa yang tiga, yakni masa yang telah lalu dan
masa lagi yang akan datang dan masa hal sekarang ini".
Jika dihalusi takrifan di atas, ia bukan sahaja menyatakan bagaimanakah menentukan sesuatu perkataan
tersebut sebagai Nama tetapi juga golongan lain, iaitu Perbuatan dan Sifat. Ujian tersebut dapat
diperlihatkan seperti yang berikut ini:

* sudah Ali
* akan budak itu
* sedang pokok

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Kelompok kata di atas boleh dikatakan tidak berterima, oleh yang demikian perkataan Ali, budak itu, dan
pokok ialah Nama. Nama tidak boleh didahului oleh (tiada berserta dengan) masa yang tiga. Perhatikan
pula contoh yang berikut ini:

sudah duduk sudah tinggi


akan berlari akan putih
sedang tidur sedang merah

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Kelompok kata ini berterima. Oleh yang demikian, perkataan duduk, berlari, tidur, tinggi, putih, dan merah
ialah bukan Nama. Yang boleh didahului oleh tiga masa ini jika bukan Perbuatan, ia mungkin Sifat.
Memasukkan Perbuatan dan Sifat ke dalam satu golongan yang sama sebenarnya telah dirintis oleh Raja
Ali Haji kerana di dalam buku ini beliau menyamakan golongan perkataan bagi kaya, miskin, tidur,
bersuka-suka, berdiri, berani, makan, benar.
Raja Ali Haji juga menekankan penggunaan Kata Sendi bagi Kelompok Kata Sendi Namaan, seperti:

dengan si Zaid
daripada air laut
pada kitab
demi Allah
bagi si Zaid
di atas loteng
di dalam pundi-pundi
seperti si Umar

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan).

Contoh di atas memperlihatkan bahawa ada golongan Nama yang mesti didahului oleh golongan Kata
Sendi Nama, seperti daripada, pada, demi, bagi, di, seperti.

Menurut Raja Ali Haji, ayat terdiri daripada "... mubtada yakni permulaan perkataan dan khabar bersandar
daripada permulaan itu".

Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munshi menulis buku Kitab pemimpin Johor sejak tahun 1871 M dan
diterbitkan pada tahun 1978 M. Menurut beliau bahasa itu ialah bunyi percakapan yang terbit daripada
fikiran dan hati yang dijelmakan melalui suara atau bunyi bahasa.
Buku ini banyak membincangkan tentang bunyi bahasa. Sebagai contoh kita lihat bagaimana Muhammad
Ibrahim memberi penjelasan tentang bunyi v. Katanya "Membunyikan dia hendaklah kenakan gigi-gigi di
atas pada sesama tengah bibir yang di bawah dan renggangkan bibir yang di atas itu lalu dibunyikan seperti
hendak menyebut bunyi b tetapi biarlah berangin keluarnya di antara bibir di atas dan bibir di bawah serta
gigi seperti syarat yang tersebut. Berguna dalam bahasa Inggeris dalam perkataan-perkataan seperti di
bawah ini dan sebagainya, misalnya: Victoria, November, Gavnor."

Seperti juga ayahnya, iaitu Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Muhammad Ibrahim juga seorang pengkritik
sosial yang berterus terang. Dalam Fasal yang Kedua Puluh Satu bukunya tersebut, Muhammad Ibrahim
mengatakan: "Adapun tabiat lidah Melayu yang tiada berpelajaran itu selalu memendekkan sebutan sesuatu
perkataan, hingga orang-orang yang berpelajaran pun tertarik kepada sebutan yang salah itu sebab telah
menjadi biasa disebut dalam sebutan sesuatu tempat atau kampung atau negeri itu".

Satu hal yang menarik di dalam buku ini ialah perbincangan Muhammad Ibrahim tentang ibu perkataan.
Menurut beliau ibu perkataan ini berkuasa memberanakkan beberapa perkataan lain sehingga menjadi ayat
dan juga perenggan. Karangan dianggap tidak sempurna jika tidak ada ibu perkataan dan penggunaan ibu
perkataan yang tidak tepat akan merosakkan karangan tersebut.

Yang dimaksudkan oleh Muhammad Ibrahim ibu perkataan tersebut di antara lain ialah: istimewa, adapun,
arakian, alkisah, bermula, bahawasanya, bahawa, hatta, dan, dewasa, sebermula, sebagai lagi, sebagai pula,
sekali persetua, seyogiayanya, syahdan, kalakian, maka.
Selang beberapa tahun kemudian barulah muncul karya Muhammad Syah bin Yusof yang berjudul Sanjuh
suratan. Buku ini diterbitkan pada tahun 1922 M di Maktab Melayu Melaka. Buku ini terdiri daripada tiga
bab, iaitu pembinaan ayat, pembinaan kata, dan menulis karangan pendek.

Muhammad Syah memberi takrifan ayat ialah "susunan daripada beberapa perkataan yang mengandungi
makna". Beliau juga telah membuat golongan perkataan yang diberinya istilah: Nama, Keadaan Nama
(Sifat), dan Perbuatan. Setiap golongan ini diperincinya satu persatu. Menarik untuk disebutkan bahawa
takrifan Perbuatan yang dikemukakan oleh Muhammad Syah ini ada hubungannya dengan takrifan Raja Ali
Haji, yakni: "Maka tiap-tiap perbuatan itu dihukum oleh masa yang ada sekarang, masa akan datang dan
masa yang telah lalu".

Muhammad Syah juga telah menyatakan bahawa tiap-tiap menentukan bilangan yang banyak atau berjenis-
jenis perlulah didahului oleh perkataan sekalian atau segala. Dalam membina ayat sederhana beliau
berpendapat perlu ada Nama dan Perbuatan. Kedua-dua bahagian ini boleh ditambah dengan beberapa
bahagian lagi sehingga menjadi: Nama - Keadaan - Masa - Perbuatan - Nama Kena Buat - Keadaan Kena
Buat. Contohnya ialah: Kucing - merah (itu) - sudah - menangkap - tikus - putih.

Muhammad Syah juga telah memperkenalkan Ayat Songsang di dalam bukunya ini dengan keterangan
"Adapun ayat-ayat songsang itu ialah menyalahi yang biasa, iaitu didahulukan "yang kena buat" daripada
"yang berbuat" tetapi mahulah didahulukan penambah "di" pada Perbuatan dan perkataan "oleh" pada yang
berbuatnya". Contoh yang diberikan ialah: Qasim baca surat disongsangkan menjadi Surat dibaca oleh
Qasim.

Dalam bahagian Pembinaan Kata beliau membahagikan imbuhan pada dua bentuk, iaitu tambahan di
pangkal perkataan, iaitu ber-, ter-, di-, se-, pe-, ke-, me- dan tambahan di hujung perkataan, iaitu -an, -i,
-lah. Bagaimanapun, di bahagian ini beliau tambahkan juga dengan Penggandaan. Perubahan me- menjadi
mem-, meng-, men-, meny- menurut pengarang ini "supaya ringan pada lidah menyebutnya".

Pada bahagian mengarang pula, Muhammad Syah memberikan lima kaedah agar sesuatu karangan
dianggap lengkap, iaitu (1) Asas, (2) Keadaan, (3) Perkara-perkara Berguna, (4) Kegunaan, dan (5)
Pengakuan Tamat. Setiap bahagian ini diberi huraian yang cukup dan selepasnya disediakan contoh
karangan pendek.

Kitab punca bahasa pula ditulis oleh Abdullah bin Talib dan diterbitkan di Terengganu pada tahun 1927 M.
Beliau pula memberi takrifan terhadap "perkataan" sebagai sebutan manusia yang mengandungi makna
yang berfaedah. Untuk perkataan ini beliau menggolongkan pada sembilan golongan, iaitu Nama, Ganti
Nama, Sifat, Perbuatan, Kelakuan, Faham Kata, Penyambung Kata, Pengecuali, dan Seruan. Beberapa
golongan ini sama dengan perbincangan ahli bahasa terdahulu. Yang baru di sini ialah: Kelakuan ialah
perkataan yang menunjukkan gaya atau rupa terhadap perbuatan, seperti bagaimana, di mana, bila, segera,
lambat, kuat, perlahan, lama. Faham Kata ialah perkataan yang menolong kepada perkataan yang lain,
seperti telah, akan, sedang, bagi, pada, atas, bawah. Pengecuali ialah perkataan yang menolak atau
mengeluarkan sesuatu supaya menentukan kadar yang dimaksud, seperti melainkan, kecuali, namun, tidak,
seumpamanya. Seruan pula beliau takrifkan sebagai sebutan yang digunakan untuk isyarat, seperti ya, hai,
wah, oh, aih, yah, nah.

Abdullah bin Talib melihat pembinaan ayat daripada sudut tugas perkataan. Katanya sesuatu ayat atau
percakapan itu sekurang-kurangnya mesti ada: Yang Berbuat - Perbuatan - Yang Diperbuat. Contoh yang
dikemukakan ialah: Muhammad - gali - telaga.

Bagi pengimbuhan, Abdullah bin Talib mengemukakan bentuk awalan yang lebih banyak kerana menurut
beliau awalannya memang demikian asalnya. Bukan kerana susah menyebutnya. Huruf tambahan yang
ditambah pada awal perkataan ialah: ber-, ter-, per-, pen-, pem-, peng-, pe-, se-, di-, me-, men-, meng-,
mem- dan huruf tambahan pada awal dan akhir perkataan ialah: ber-...-an, ter-...-lah, di-...-i, pe-...-an,
per-...-kan, pe-...-i, pen-...-kah, peng-...-an, me-...-i, meng-...-i, men-...-kan, ke-...-an.

Pada masa yang sama, iaitu pada tahun 1927 M, di Singapura diterbitkan pula sebuah buku berjudul Ilmu
bahasa Melayu: penggal I. Pada mulanya buku ini bertajuk Pelita mengarang yang ditulis oleh O.T. Dussek
dan Mohd. Hasyim bin Haji Talib. Buku ini telah diberi beberapa catatan tambahan oleh C.O. Bliganan
(guru pembaca bahasa Melayu di Sekolah Bahasa-bahasa Timur di London) dan menyerahkannya kepada
Sidang Pengarang yang terdiri daripada R.O. Winstedt, O.T. Dussek, W.B. Clark, dan Zainal 'Abidin bin
Ahmad.
Sidang Pengarang ini bukan sahaja membuat beberapa pindaan tetapi juga menambah bab daripada yang
asal. Tujuan buku ini ialah untuk kegunaan guru di sekolah Melayu dan menjadi buku rujukan utama
pelajar di Sultan Idris Training College (SITC) (sekarang Maktab Perguruan Sultan Idris), Tanjung Malim.
Buku ini juga dikeluarkan oleh Pejabat Karang-Mengarang SITC.

Buku ini terdiri daripada sepuluh bab, iaitu Bab 1 - Bunyi Suara yang Digambarkan dengan Huruf, Bab 2 -
Kenyataan Setengah Huruf-huruf Jawi, Bab 3 - Bunyi-bunyi dalam bahasa Melayu, Bab 4 - Kuasa-kuasa
Alif, Ya, Wau, dan Baris, Bab 5 - Membatangkan Huruf-huruf Jadi Bunyi dan Perkataan, Bab 6 - Pati
Petua-petua Ejaan Jawi, Bab 7 - Dari Hal Perkataan Berganda, Bab 8 - Huruf-huruf Tambahan (Penambah),
Bab 9 - Golongan Perkataan, Bab 10 - Ayat.

Di dalam buku ini dibincangkan Penggandaan sama ada cara pembinaannya mahupun maknanya. Pada
bahagian yang memperlihatkan kelainan daripada bentuk dan makna yang umum, disediakan bahagian
Ingatan yang maksudnya serupa dengan perbincangan kekecualian. Seandainya ditemui binaan perkataan
yang seolah-olah Penggandaan tetapi bukan, ia diberi penjelasan yang khusus. Sebagai contoh ialah:
telunjuk, cemerlang, selirat. Di dalam buku ini perbincangan Sisipan belum timbul.

Buku ini juga membincangkan pembinaan kata dengan awalan ber- dan be-. Dikatakan bahawa "Apabila
ditambahkan kepada setengah-setengah perkataan asal yang ada di dalamnya bunyi berpadu dengan r,
misalnya kerja, serta, terkam, layar, lajar maka ditulis bekerja, beserta, beterkam, belayar, belajar ialah
kerana mengelakkan bunyi yang berat apabila berulang-ulang bunyi yang membunuh r."

Awalan yang asal untuk meng- pula ialah me- sehingga disediakan hukum atau rumus untuk binaannya.
Sebagai contoh dinyatakan bahawa "Jika perkataan yang berawalkan salah satu daripada huruf r, ng, l, m,
n, w, ny maka me- sahaja. Jika perkataan asas itu berawalkan salah satu daripada huruf-huruf a, h, kh, gh,
g, h maka hendaklah ditambahkan dengan meng-".
Penulis buku ini berpendapat bahawa perkataan makan dan minum tidak seharusnya ditambah awalan me-
menjadi memakan dan meminum, seperti pada contoh: Kita makan nasi bukan Kita memakan nasi; Dia
minum air bukan Dia meminum air. Hujahnya ialah "Maka tentang perkataan minum itu pula me itu telah
sedia suatu huruf tambahan jua kerana asalnya perkataan itu inum dan me itu ialah um."

Penggunaan Kata Sendi Nama di dan ke ternyata diperhatikan dengan saksama di dalam buku ini. Huraian
yang diberikan ialah "Akan tetapi pada beberapa perkataan yang tertentu di dan ke itu dipakai bersamaan
keduanya, iaitu menurut apa makna yang dimaksudkan. Jika dimaksudkan makna bergerak atau tempat
pergi pakailah ke dan jika dimaksudkan tempat tetap atau sudah sampai di tempat itu pakailah di". Contoh
yang diberikan ialah:

singgah ke Melaka singgah di Melaka


tiba ke Singapura tiba di Singapura
berjalan ke darat berjalan di darat

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Berkenaan dengan Pembinaan Ayat pula, buku ini menjelaskan bahawa ayat ialah "suatu susunan atau
ikatan yang sempurna daripada beberapa perkataan keadaannya memberi faham dengan sepenuh-penuh
faham". Ayat pula ada tiga jenisnya, iaitu Ayat Selapis, Ayat Berlapis, dan Ayat Bersilang. Yang
dimaksudkan dengan Ayat Selapis, "iaitu yang ada satu perbuatannya dan satu pembuatnya". Ayat Berlapis
ialah "susunan perkataan yang ada di dalamnya dua ayat itulah, yakni dua perbuatan dan dua pembuatnya".
Ayat Bersilang pula, "iaitu seperti ayat berlapis juga tetapi ayat-ayat yang berhimpun itu tidak sama
pangkatnya. Hanya satu sahaja yang boleh hidup sendiri; yang lain-lain itu bergantung nyawa kepada yang
satu itulah".

Pada tahun 1938 M muncul pula sebuah buku yang berjudul Mengajar rahsia dalam nahu bahasa Jawi hasil
karya Yunus bin Saldin. Isi buku ini agak berbeza dengan buku terdahulu. Bahagian awal merupakan teori
yang terdiri daripada: Perkataan yang Asal, Perkataan yang Lengkap, Penambahan, Hitungan, dan
Menunjuk Pihak. Setiap bahagian ini diberi huraian singkat dan kadangkala hanya ada contoh sahaja.

Bahagian kedua ialah beberapa buah karangan pendek. Dengan persembahan seperti ini kita yakin buku ini
digunakan sebagai rujukan guru. Berdasarkan karangan yang disediakan, guru akan menjelaskan dan
memberi huraian tentang bidang nahu yang dibincangkan pada bahagian pertama. Di sini pengajaran nahu
lebih ditekankan pada penerapannya, bukan pada teorinya.

Satu tahun kemudian, iaitu pada tahun 1939 M, Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman menghasilkan
buku Penokok dan penambah dalam bahasa Melayu. Inilah buku pertama yang khusus membincangkan
nahu bahasa Melayu tentang Pembinaan Kata. Menurut Haji Muhammad Said, "Adalah tersebut dalam
jalan bahasa Melayu, bahasa cakapan itu dijadikan daripada bunyi-bunyi dan bahasa tulisan itu dijadikan
daripada huruf-huruf. Bunyi-bunyi atau huruf-huruf dirangkaikan jadi perkataan".

Yang menarik di dalam buku ini ialah istilah yang digunakan agak berbeza dengan istilah yang digunakan
oleh penulis terdahulu seperti perkataan umbi untuk Kata Dasar, pendepan untuk awalan, pandin
(penambah kemudian) untuk akhiran, umbutan untuk Kata Terbitan, penokok untuk satu atau lebih
pendepan, penambah untuk satu atau lebih pandin, kandin untuk apitan.
Di dalam buku ini dinyatakan bahawa imbuhan apitan tidaklah hadir sekaligus. Setiap imbuhan hadir secara
berperingkat dari dalam ke luar. Sebagai contoh perhatikan binaan perkataan tak + di + per + harga + i +
kan + nya + lah, iaitu 3 + 2 + 1 + umbi + 1 + 2 + 3 + 4.

Buku kedua Haji Muhammad Said ialah Jalan basa Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1953
M. Buku ini khusus membincangkan tentang Pembinaan Ayat. Dengan demikian, dari penulis ini lahir
buku Pembinaan Kata dan Pembinaan Ayat. Ada beberapa hal penting yang dikemukakan dalam
Pengenalan buku ini.

Keinginan untuk menulis nahu Melayu terdorong oleh pengetahuan penulis tentang nahu bahasa Inggeris
dan bahasa Arab sehingga timbul fikirannya "... bagaimana lain-lain bahasa boleh membuat nahunya
sendiri, mengapa bahasa Melayu tak boleh berbuat demikian".
Penulis ini menganggap bahawa jalan bahasa Melayu tidak serupa dengan bahasa Arab. Oleh yang
demikian, beliau mendakwa "... apa jadi Melayunya itu melainkan dengan seperihal mengikut liuk dan
lentuk Arab tatkala itu hilang semangat dan kacak Melayu terkecuali orang yang telah mahir Melayunya".

Nahu bahasa Inggeris juga tidak sama dengan nahu bahasa Melayu. Jadi "Tidak boleh hanya mengikut atau
tulis terjemah kelak bukannya jadi baik kepada bahasa Melayu, tetapi semata-mata merosakkan dan jadilah
bahasa Melayu keinggerisan ialah kacukan yang sangat dihelak".

Oleh yang demikian, beliau berpendapat biarlah kedua-dua nahu bahasa Arab dan nahu bahasa Inggeris itu
hanya sebagai kias sahaja. Mana yang baik dan sesuai diambil dan mana yang tidak sesuai ditinggalkan.
Perlu juga dicatatkan di sini bahagian akhir Pengenalan tersebut.

Haji Muhammad Said menyampaikan "... permohonan dan permintaan kepada sekalian pembaca yang
hemah, janganlah gemar mencacatkan sahaja, tetapi patutlah lebih gemar pada membantu memolekkan
sesuatu benda yang demikian menjadikan kita semuanya beroleh kemajuan yang segera adanya".

Bahagian awal isi buku ini patut juga dikemukakan kerana ia merupakan takrifan terhadap bahasa dan ayat.
"Adalah fikiran seseorang itu dizahirkan dengan bahasa cakapan atau bahasa tulisan. Bahasa cakapan itu
dijadikan daripada bunyi-bunyi dan bahasa tulisan itu dijadikan daripada huruf-huruf. Bunyi-bunyi atau
huruf-huruf itu dirangkaikan jadi perkataan. Dua atau lebih perkataan yang memberi cukup makna jadi satu
perenggan kata atau ayat. Jalan bahasa itu menunjukkan bagaimana bercakap dan menulis dengan betul".
Beliau menggolongkan perkataan pada sembilan golongan, iaitu Nama, Ganti Nama, Perbuatan, Rupa
Nama (Sifat), Rupa Kata (Keadaan Perbuatan), Sendi Nama, Sendi Kata (Kata Penghubung), Seruan, Ibu
Kata (Kata Permulaan Ayat). Setiap golongan perkataan ini beliau perincikan lagi dengan contohnya sekali.

Untuk melahirkan sesuatu ayat, golongan perkataan di atas diguguskan pada dua gugusan besar, iaitu
Benda atau Perkara (orang atau benda yang dicakapkan) dan Berita (hal atau butir yang dicakapkan).
Pengisi Benda ialah Nama atau Ganti Nama dan pengisi Berita ialah Perbuatan. Perkataan yang
menerangkan ialah Rupa Nama dan Rupa Kata. Perkataan yang menghubungkan ialah Sendi Nama dan
Sendi Kata. Perkataan yang hadir sendiri ialah Seruan dan Ibu Kata.

Berkenaan dengan Bilangan dalam bahasa Melayu Haji Muhammad Said berpendapat bahawa "... dalam
bahasa Melayu hukum ini (penggandaan untuk jamak) tiada kuat kerana boleh juga digunakan rupa tunggal
itu bagi banyak, yakni jika tiada ditambah angka dua (tanda penggandaan) itu bermakna banyak juga
dengan sebab mengikut saksi percakapan dalam perenggan kata itu Maka ramailah orang datang ke situ
tidak termustahak dikatakan Maka ramailah (orang-orang) datang ke situ." Di dalam buku ini juga telah
diperkenalkan istilah Perbuatan Melampau untuk Kata Kerja Transitif, Perbuatan tak Melampau untuk Kata
Kerja tak Transitif, Pelengkap untuk Objek Tepat, Ketujuan untuk Objek Sipi.

Bahagian akhir buku ini dilampirkan petikan Hikayat Abdullah II, iaitu novel karya Abdullah bin Abdul
Kadir Munshi. Petikan ini dimaksudkan sebagai menguji kefahaman pelajar atau pembaca tentang jalan
bahasa Melayu yang telah dihuraikan terdahulu. Perlu juga dinyatakan bahawa penulis buku ini mendapat
nasihat daripada Zainal 'Abidin bin Ahmad bagi mempereloknya dan beliau juga telah menterjemahkan
buku ini ke dalam bahasa Inggeris.
Hingga permulaan abad ke-19, kamus bahasa Melayu telah disusun dalam enam bahasa, iaitu Belanda,
Latin, Inggeris, Perancis, Arab, dan bahasa Melayu manakala nahu bahasa Melayu pula telah ditulis dalam
bahasa Belanda, Inggeris, dan Melayu. Jika pada mulanya bahasa Melayu ditulis oleh ahli pelayaran dan
perniagaan tetapi kemudian ia dikaji oleh sarjana bahasa Melayu sama ada oleh bukan orang Melayu
mahupun oleh orang Melayu sendiri.

5.4 KESIMPULAN

Daripada huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sudah sejak lama
memiliki tradisi nahunya. Oleh kerana kajian awal bahasa Melayu dilakukan oleh bukan penutur ibunda
bahasa Melayu dan bahasa Melayu itu sendiri telah dipengaruhi oleh susuk bahasa Arab dan bahasa
Inggeris, maka penyusunan nahunya juga tidak terlepas daripada pengaruh kedua-dua bahasa ini.
Walau bagaimanapun, beberapa orang penulis tempatan telah berusaha menulis nahu yang lebih bersifat
Melayu, namun kerana rujukan awal dan pengetahuan nahu yang diterima berasal daripada bahasa asing,
maka pengaruh tersebut masih tidak dapat dilepaskan. Sementelahan pula, hampir semua buku nahu bertitik
tolak daripada falsafah Yunani dan dikembangkan oleh penulis nahu bahasa Inggeris.

Marsden, W. A grammar of the Malayan language, 1812, m.s. 38-42.


Ismail Hussein. Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita, 1984, m.s. 41-42.
Marsden, W. op. cit., , m.s. 32.
Crawfurd, J. A grammar and dictionary of the Malay language, 1852.
Wilkinson, R.J. Kamus Jawi - Melayu - Inggeris, 1903.
Harun Aminurrashid. Kajian sejarah perkembangan bahasa Melayu, 1966, m.s. 92.
Abdullah Hassan. 30 tahun perancangan bahasa Malaysia, 1987, m.s. 56.
Skinner, C. Prosa Melayu baharu, 1959, m.s. 21-22.
Al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf. Kamus Idris al-Marbawi: Arab - Melayu,
1933.
Kridalaksana, Harimurti. Bustanulkatibin dan Kitab pengetahuan bahasa - sumbangan Raja Ali Haji dalam
ilmu bahasa Melayu. Kertas kerja dibentangkan pada Hari Sastera '83, 10-13 Dis. 1983. Johor Bahru.
Raja Ali Haji. Kitab pengetahuan bahasa, 1987, m.s. 2.
Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munshi. Kitab pemimpin Johor, 1878.
Muhammad Syah bin Yusuf. Sanjuh suratan, 1922.
Abdullah bin Talib. Kitab punca bahasa, 1927.
Winstedt, R.O., et al. Ilmu bahasa Melayu: penggal I, 1927.
Yunus bin Saldin. Mengajar rahsia dalam nahu bahasa Jawi, 1938.
Muhammad Said bin Haji Sulaiman. Penokok dan penambah dalam bahasa Melayu, 1939.
Muhammad Said bin Haji Sulaiman. Jalan basa Melayu, 1953.

</HTM

You might also like