You are on page 1of 12

‘MALU’

(ETIKA POLITIK & RASUAH)


FALSAFAH POLITIK
PUSAT PENGAJIAN SAINS KEMASYARAKATAN

PENGENALAN

‘Malu’…adalah patah perkataan yang begitu sinonim dengan fitrah seorang manusia
normal dan hakikatnya manusia tidak mungkin dapat lari daripadanya. Secara semulajadi ‘malu’
merupakan satu perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri
mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Walaupun perkataan
‘malu’ hanya mempunyai empat huruf sahaja, dan mungkin segelintir masyarakat memandang
enting, tetapi makna malu sebenarnya cukup bermakna dan tersirat. Pada zaman dahulu, ‘malu’
cukup istimewa dan sangat berharga bagi sesetengah individu kerana kemana-mana sahaja
mereka pergi, ‘malu’ akan dibawa bersama-sama agar setiap tingkah yang dilakukan dapat
dikawal dan berada dilandasan etika yang betul. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘jangan
menconteng arang ke muka’ dapat dihubungkaitkan dengan ‘malu’. Namun begitu, hari ini,
perspektif ‘malu’ sudah tidak seperti dahulu lagi. ‘Malu’ kini terumbang ambing dalam jiwa
manusia dan menyebabkan ramai yang terpesong dari landasan yang benar. Lantaran itu timbul
permasalahan dari sudut etika dan akhirmya berlaku ketidakharmonian dan ketidaksejahteraan
kehidupan manusia. Fenomena rasuah yang melanda Malaysia hari ini merupakan salah satu
gejala yang terjadi apabila ‘malu’ diketepikan. Secara amnya, rasuah sering berlaku dikalangan
ahli-ahli perniagaan, golongan atasan atau korporat serta ahli politik. Padahalnya, golongan
inilah yang sepatutnya adalah entiti yang harus menjaga etika politik mereka demi menjamin
sebuah kehidupan yang adil dan saksama. Namun begitu, apa yang menyedihkan ialah ‘malu’
semakin menipis dikalangan menteri-menteri yang mempunyai reputasi kepentingan awam yang
tinggi, profil yang tinggi dan mempunyai nilai tanggungjawab yang berada pada strata teratas
sanggup menerima rasuah demi mencapai kepentingan hidup masing-masing dan natijahnya,
rakyat menjadi mangsa!! Hal ini dapat dibuktikan apabila terbongkar kes didada akhbar iaitu
antara kes panas yang menjadi perhatian umum sebelum ini ialah skandal Perwaja Steel,
penyelewengan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan skandal kewangan
Penerbangan Malaysia (MAS). Jika kita perhatikan, rasuah merupakan musuh pembangunan
yang memberi impak negatif kepada kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara. Oleh yang
demikian, kami sangat berpendapat bahawa ‘malu’ sebenarnya sangat berkait rapat dengan etika
politik kerana kami percaya bahawa dengan asas etika politik yang utuh, fenomena rasuah dapat
dibanteras di Malaysia dan kesejagatan hidup masyarakat yang adil dapat dinikmati bersama.
Dalam tulisan yang selanjutnya, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai tiga perkara pokok
iaitu malu, etika politik dan rasuah sekaligus mengetengahkan hujahan pemikir falsafah politik
yang dapat menghubungkan penulisan kami.

Etika Politik
Etika merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan
kehidupan baik. Persepktif etika adalah lebih luas daripada manganalisis apa yang betul dan
salah seperti yang sering dianggap. Antara aspek utama etika ialah "kehidupan baik", iaitu
kehidupan yang bernilai atau memuaskan, yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku
moral oleh banyak ahli falsafah. Antara isu utama dalam etika ialah pencarian summum bonum,
iaitu "kebaikan yang terbaik". Tindakan yang betul dikatakan mengakibatkan kebaikan terbaik,
manakala tindakan tak bermoral dikatakan menjadi dalang untuk mencaoai kebaikan. Etika
berkaitan dengan konsep-konsep moral seperti kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan,
tanggungjawab, keadilan; iaitu analisis konsep-konsep seperti ini dan justifikasi pertimbangan
(pernyataan, dakwaan) yang melibatkan konsep-konsep tersebut. Etika adalah teori tentang
tingkah laku yang betul dalam kehidupan yang baik namun tiada berait dengan amalan. Etika
mengkaji fakta, menganalisisnya dan merumuskan apakah tingkah laku yang sebetulnya. Etika
juaga tidak berpegang pada apa yang dinamakan "tanzil Tuhan" atau "wahyu Tuhan" terhadap
jalan terakhir menyelesaikan isu-isu moral tertentu. Etika berbeza dengan agama. Etika dan nilai
adalah ‘sepasang kembar’ yang membawa konotasi yang seiring apabila berbicara tentang
tingkkah laku manusia.

Etika politik dapat dirujukkan sebagai prinsip moral yang ditetap oleh organisasi politik
bagi mengawal tingkah laku mereka yang menceburi bidang politik. Falsafah nilai adalah untuk
membentuk akhlak dan mewujudkan adab dikalangan manusia sesuai dengan matlamat dan tugas
manusia sebagai khalifah dibumi ini. Falsafah etika adalah satu bentuk kawalan bagi memastikan
perlakuan individu selaras dengan nilai yang ditetapkan. Dalam konteks agama Islam, etika dan
nilai meliputi tiga dimensi, iaitu dalam perhubungan manusia dengan Allah s.w.t., sesama
manusia dan hubungan dengan alam sekitar.

Malu
Setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai malu. Sehubungan itu,
pendapat mengenai apa yang dimaksudkan malu, apa yang mendatangkan malu serta tindakan
yang harus untuk mengatasi perasaan malu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu
masyarakat yang lain. Ini adalah kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya terkandung
satu sistem nilai dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu. Malu dalam masyarakat Melayu
mempunyai 3 lapis pengertian, iaitu malu sebagai perasaan, malu sebagai tanda harga diri dan
malu sebagai fungsi kawalan sosial. Malu sebagai perasaan merujuk kepada istilah ‘rasa malu’.
Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara ini termausklah, ‘berasa aib’, ‘rasa segan’ dan
juga ‘segan silu’. Orang yang menunjukkan perasaan malu, akan diperikan sebagai ‘malu-malu’
dan ‘takut-takut’. Secara umumnya, malu merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan
silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain.
Kekurangan ini boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak sertimpal, tidak seperti,
mahupun tidak setaraf. Individu yang mengalami perasaan begini selalunya menganggap dirinya
lebih kecil dan hina daripada orang lain yang dianggapnya mempunyai serba kelebihan pula.

Dari segi kehidupan bermasyarakat, perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga
diri dan air mukanya seseorang. Orang yang beroleh malu bermaksud bahawa maruah, harga diri
dan air mukanya telah tercemar. Dalam keadaan ini, kedudukan sosialnya telah terjejas dan
menjadi rendah. Ketercemaran ini berpunca daripda perlakuannya sendiri dan juga oleh tekanan
sosial. Malu dianggap sebagai tanda harga diri kerana dikatakan seseorang itu dapat merasai
maruah dan harga dirinya apabila beliau mempunyai perasaan malu. Sehubungan itu, malu
merupakan sesuatu yang sihat bagi orang yang bermaruah kerana perasaan ini sebenarnya dapat
mendorong seseorang untuk menjaga maruah dan harga diri. Bagi mereka yang tidak mempunyai
perasaan malu, mereka lazimnya dianggap orang yang tidak tahu harga diri dan sering digelar
muka tembok. Orang yang tidak tahu malu biasanya merupakan kejian orang ramai dalam
masyarakat Melayu. Perasaan malu sebagaimana yang dikaitkan dengan maruah, dan harga diri
amat penting dipupuk kepada anggota-anggota masyarakat. Dengan memberi kesedaran
mengenai perasaan malu yang ada pada diri seseorang itu boleh menjadi penghalang atau
benteng yang penting bagi anggota masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang dianggap
menyeleweng. Masyarakat Melayu menyedari bahawa malu merupakan satu fungsi kawalan
sosial dengan adanya perpatah yang berbunyi; kerana malu tahu menilai batas. Daripada itu,
seseorang akan mengelakkan diri daripada perlakuan yang buruk bagi mengelakkan diri daripada
beroleh malu. Dari segi ini, malu sememangnya boleh mengawal tingkah laku seseorang dan
dengan itu memainkan fungsi kawalan sosial. Malu satu emosi yang negatif bagi orang
keseorangan. Tetapi ia merupakan aspek yang positif dalam kehidupan bermasyarakat, kerana
perasaan malu dapat mengawal orang keseorangan supaya tidak menyeleweng daripada norma
masyarakat dan sekaligus dapat membentuk satu suasana sosial yang lebih harmoni. Oleh itu
sikap “tahu malu” seharusnya dipupuk dalam masyarakat kita.

Rasuah
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang
mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah
syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama ialah
meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah membuat tuntutan palsu, menyalahguna
jawatan/kedudukan. Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak
masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan
jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Definisi rasuah (bahasa Latin: corruptio daripada
kata kerja corrumpere = busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok) menurut
Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam,
termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut
undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai),
dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka. Dari sudut
undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan,
penyalahgunaan harta negara, merugikan negara, memperkaya diri sendiri dan kerabat.

Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk
kepentingan peribadi. Semua bentuk pemerintahan dan organisasi pasti terdapat perilaku rasuah,
sama ada sedar atau tidak. Cuma berat (kes) berbeza-beza: daripada yang paling ringan dalam
bentuk penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga
kepada rasuah yang sudah dianggap satu "prosedur rasmi", dan sebagainya. Kemuncak segala
rasuah ialah satu keadaan yang digelar kleptokrasi, yang erti harfiahnya pemerintahan oleh para
pencuri; iaitu berpura-pura bertindak jujur pun tidak ada sama sekali! Rasuah yang wujud dalam
bidang politik dan pentadbiran/birokrasi mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat,
terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti
pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi.
Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan
antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas). Sama ada sesuatu
hal/perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di
negara/wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu
bentuk rasuah di negara/wilayah tertentu tapi dianggap legal di tempat tertentu lain.

Perbahasan
Malaysia telah mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi sejak kemerdekaan
sehingga hari ini. Konsep demokrasi yang diamalkan di Malaysia adalah sama dengan apa yang
diamalkan oleh negara lain yang mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi, iaitu suatu
pemerintahan yang menggunakan suara rakyat dalam menentukan pemimpin negara atau tampuk
pemerintahan. Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Rasuah merupakan musuh
kepada pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan
pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan
umum lain dan juga dalam badan perundangan atau legislatif telah merosakkan akauntibiliti dan
kecekapan. Disamping itu, dalam sistem pengadilan, rasuah mencabul ketertinggian undang-
undang dan dalam pentadbiran awam pula menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial
lantaran menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada. Disini, saya
singkapkan keadaan-keadaan yang mencetuskan rasuah, pertama kurangnya ketelusan dalam
urusan pentadbiran awam. Ketelusan adalah ‘anak’ kepada etika. Ketelusan sangat penting
apabila kita melakukan pekerjaan agar tidak berlaku penyelewengan. Itulah timbulnya banyak
kes berikutan individu berprofil tinggi telah ditangkap kerana pecah amanah yang melibatkan
wang jutaan ringgit dan yang sengsara adalah rakyat bawahan juga. Setiap badan kerajaan
mahupun swasta, etika dalam pekerjaan sangat dititikberatkan. Namun begitu, sejauh mana etika
ini diambil kira? Apabila perkara mudah sukar untuk dibuat ditambah dengan lemahnya
pemahaman tentang undang-undang, rasuah kian menular disana-sini. Kedua, kebebasan suara
atau kebebasan media disekat. Isu ini sering menjadi topik hangat, walaupun Malaysia sebuah
negara yang mengamalkan sistem demokrasi, namun kebebasan bersuara dan kebebasan media
tidak dinikmati secara total. Memahami bahawa Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum,
kesensitifan antara kaum sangat penting dah ini mungkin adalah punca mengapa kebebasan suara
disekat namun, apabila sesetengah media atau badan-badan ingin menyuarakan pandangan,
bantahan atau membongkar cerita mengenai individu berprofil tinggi pasti ianya akan disekat.
Mengapa? Bimbang akan menjatuhkan maruah mereka? Pandai pula mereka untuk berperasaan
malu bila maruah mereka dicanang sana sini, tetapi ketika melakukan rasuah, malu langsung
dilupakan. Jika hak untuk menyuara masih disekat, sampai bila keadilan yang saksama akan
dinikmati oleh masyarakat dunia? Ketiga, rakyat yang tidak kritikal dan kagum dengan suasana
politik di Malaysia serta ‘malu’ untuk melaporkan kecurangan yang berlaku. Walaupun Malaysia
mencapai pembangunan kelas pertama namun, pemikiran rakyatnya masih dikelas ketiga. Mana
tidaknya, rakyat mudah dibohongi tambahan pula dengan sogokan wang yang berkepul-kepul
menyebabkan mereka ‘gelap mata’ tambahan lagi gaji penjawat awam adalah kecil. Disamping
itu, konsep ‘malu’ yang dipupuk oleh rakyat untuk melaporkan kes rasuah tidak langsung releven
dengan makna ‘malu’ yang sebenarnya. Sepatutnya rakyat membuka mata agar mereka tidak
menjadi boneka kepada golongan-golongan elit yang mengekspoitasi hak sebenar mereka.
Terakhir sekali, keadaan yang mencetus gejala rasuah paling teruk ialah dalam arena politik,
waktu-waktu pemilihan parti atau pilihanraya umum yang mana ativiti aktif “politik wang”
sukar dikesan dan dibanteras. Politik wang ialah istilah rasuah bagi perlakuan mengunakan
wang ringgit dalam pertandingan atau dalam mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan bagi
meraih sokongan terhadap seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang
dipertandingkan. Secara mudah adalah wang tunai diberikan kepada pengundi bagi mendorong
mereka mengundi calon berkenaan. Selain wang, pemberian berbentuk hadiah, barangan seperti
kain pelikat atau kain batik, dan pemberian tender atau kontrak tertentu jika bertujuan
mempengaruhi pengundi, juga digolongkan sebagai politik wang. Sesetengah ahli politik
menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi
rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan,
menagih populariti dan sebagainya. Tidak hairan bila musim pilihanraya dan berkempen,
banyaklah pembangunan yang dilaksanakan untuk meraih undi daripada rakyat serta pemberian
sumbangan wang kepada masyarakat-masyarakat kampung yang hakikatnya anggaran wang
yang sebenarnya tidak diperoleh sepenuhnya tetapi wang lebihan sering digelapkan untuk aktiviti
menyogok agar dpat memperoleh undi. Malangnya, apabila tamatnya musim pilihanraya, batang
hidung ADUN atau wakil rakyat pun tidak nampak dan pembangunan pula dihentikan begitu
sahaja. Susah payah rakyat mengundi wakil-wakil mereka dengan harapan dapat memberi
kemudahan dan kesenangan namun tuba dibalas kepada mereka. Yang kaya, tetap menjadi lebih
kaya dengan tidak menghiraukan golongan yang susah.

"Rasuah politik" telah berlaku di banyak negara dan mengancam jutaan manusia. Rasuah
politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah/kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa
kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut yang lain,
para ahli politik memainkan peranan melindungi syarikat dan perusahaan tertentu (lazimnya
entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru
bertatih. Mereka memang pintar, dengan hanya melindungi syarikat yang telah menaja kempen-
kempen politiknya sahaja. Kemampuan wang yang mereka miliki membolehkan mereka
menawar atau memberi rasuah dengan mudah. Tidak dapat dinafikan lagi golongan individu ini
memang tidak tahu malu! Menikmati wang hasil dari kepayahan dan kesusahan orang lain
merupakan satu kepuasan pada sesetengah individu itu asalkan apa yang dihajatinya tercapai.
Hal ini mungkin dapat dikaitkan dengan teori Nicolli Machiavelli yang menyatakan demi
kepentingan kuasa politik, pemerintah diharuskan menggunakan sebarang cara untuk
merealisasikan matlamatnya dengan doktrin, the end justifies the means, iaitu menghalalkan
semua cara walaupun dalam bentuk kekejaman. Menerusi buku yang ditulis oleh beliau yang
bertajuk ‘The Prince’, fikiran pokok buku itu ialah, untuk mengekalkan kuasa, para pemerintah
harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap
kekuatan dan kepintaran menipu. Beliau juga mengatakan pemerintah perlu bijak mengaburi
mata rakyat dengan menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan
mereka agar terus mendapat sokongan daripada rakyat. Jika ada yang menentang, perlaksanaan
undang-undang secara tegas walaupun dalam bentuk kezaliman perlu dikenakan sebagai
hukuman tetapi pada masa yang sama dalam bentuk yang kelihatan saksama. Machiavelli
menggariskan beberapa ciri yang dianggapnya sebagai asas utama dalam mengekalkan kuasa
walaupun persepsi dari sudut moralnya buruk sekali. Menurut beliau, keperibadian seorang
pemimpin adalah asas bagi kemantapan sebuah kerajaan. Beliau menyatakan nilai–nilai buruk
yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan
dan tidak takut kepada kutukan rakyat. Malahan menurutnya, seorang pemimpin seharusnya
mengutamakan sifat kedekut lebih daripada pemurah. Sifat pemurah hanya ditunjukkan ketika
memerlukan sokongan dan pujian rakyat. Jika mahu menunjukkan sifat pemurah, pemimpin
seharusnya menggunakan harta orang lain untuk diberikan kepada rakyat tetapi bagaimanapun,
bukan dengan cara merampas harta mereka. Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga
patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura
menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik
budi dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik
tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa
yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa. Perubahan karakter pemimpin mestilah
mengikut keadaan. Rasa sayang dan moral dapat diabaikan jika diperlukan. Teori Machiavelli
ini adalah bertentangan dengan prinsip moral dan etika. Kepada golongan yang mengamalkan
teori ini, mereka dipanggil golongan Machiavellis. Adakah pemeritah hari ini telah
mempraktikkan kekuasaan mereka seperti mana yang diperkatakan oleh Machiavelli? Jika kita
mengambil fenomena rasuah di Malaysia dan dikaitkan dengan teori ini, ada persamaan.
Segelintir para pemimpin khususnya ahli politik sering memperalatkan rakyat dengan menabur
janji-janji manis semata-mata ingin memenangi hati rakyat namun pada hakikatnya tersembunyi
muslihat disebaliknya. Rasuah yang dilakukan oleh entiti-entiti ini kelak merosakkan keadilan
sosial dan kesaksamaan ekonomi. Kehidupan flora dan fauna serta ekologi dunia turut terancam
dengan aktiviti rasuah ini kerana sesetengah kontraktor memberi rasuah kepada penguatkuasa
supaya meluluskan projek mega mereka agar mereka dapat menjalankan kerja-kerja
pembangunan dikawasan hutan atau lereng-lereng bukit. Makhluk selain manusia turut
menanggung kesengsaraan akibat perbuatan manusia yang sebenarnya adalah khalifah di bumi
ini. Dimana hilangnya nilai dan perasaan malu itu?

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah memberi kesan
apabila rasuah melumpuhkan perjalanan fungsi sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan
ini, tiada siapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan
untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional
yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik
pandai negara kita. Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku,
maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya.
Umpamanya jika cukai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah
menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh
segelintir pemberi rasuah. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan
menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia akan
menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat
dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan
sesebuah negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan
presiden Marcos dari tampuk kepimpinannya.

Memetik kata-kata daripada Konfusius:

“ Bila memimpin negara seribu kereta kuda, hendaklah kamu menghormati jawatanmu dan
berlaku amanah; berhemat bila menggunakan sumber-sumber dan kasihi rakyatmu, dan berilah
pekerjaan bila tiba waktunya’

Petikan diatas terkandung maksud yang sangat bermakna. Walaupun petikan ini sudah

berkurun lamanya, namun estetikanya cukup berrnilai dan harus diguna pakai oleh pemerintah

dunia hari ini. Berbeza dengan teori Machiavelli, falsafah konfusianisme yang diperkenalkan

oleh seorang tokoh falsafah, Konfusius menekankan prinsip moral peribadi dan politik, ketepatan

hubungan sosial, keadilan dan keikhlasan. Konfusianisme mementingkan akhlak yang mulia

dengan menjaga hubungan antara manusia di langit dengan manusia di bumi. Segala pengajaran

Konfusius adalah menekankan pengamalan nilai dan sifat moral yang mulia. Ajaran konfusius

juga menekankan keperluan menjaga keharmonian manusia dengan alam dan masyarakat.

Manusia mesti mengikut perubahan alam.Keharmonian masyarakat ialah peraturan yang harus

diikuti oleh setiap rakyat dan pemerintah dalam mewujudkan satu keadaan yang sesuai bagi

kehidupan. Antara ajaran kedua yang ditekankan oleh Konfusius ialah mengenai cara menjalani

kehidupan yang harmonis dengan mengutamakan moralitis dan juga kebajikan serta

perikemanusiaan iaitu (Jen). Jen adalah kaedah timbal balik; ertinya, konfusius berkata, jangan
memperlakukan orang lain dengan cara tertentu jika anda tidak mau diperlakukan seperti

itu.Inilah kebajikan yang paling mulia menurut cara hidup Konfusian; jika prinsip ini dapat

diamalkan, maka manusia akan mencapai kedamaian dan keharmonian. Ajaran ketiga yang

diunjarkan oleh Konfusius pula adalah kesusilaan (Li). Iaitu etika yang mengajar bagaimana

manusia bertingkat laku. Ia menekankan bahawa dalam kehidupan, kita harus menjaga

kesopanan dan kesantunan dalam kelakuan dan tingkah laku kita. Kesemua nilai murni ini yang

diajarkan oleh konfusius bertujuan untuk menciptakan manusia yang berbudi pekerti luhur yang

disebut Budiman( Cun zi). Jika seseorang telah menguasai keseluruhan sifat yang luhur seperti

kebenaran , budi pekerti, kebijaksanaan, kepercayaan, bakti, persaudaraan, kesetiaan dan

kesedaran diri. Maka orang itu layak digelar sebagai Budiman. Selain itu, ajaran politik yang

diujarkan oleh Konfusius ialah pemerintahan pada masa itu adalah berasaskan

paternalistic( kebapaan), terjalin sikap saling menghormati dan menghargai antara pemerintah

dan rakyat. Pemimpin Negara haruslah menciptakan kesempurnaan moral dengan cara

memberikan contoh yang benar dan baik kepada rakyat. Dalam ajaran Konfusius, beliau

menekankan sistem pemerintahan secara pembahagian kuasa dan juga pemusatan kuasa bagi

mengelakkan berlakunya pergolakan politik. Sifat kerjasama bukan sahaja di kalangan pegawai

bahkan perlu juga melibatkan rakyat yang paling pentinglah dalam memelihara keharmonian dan

kedamaian dalam sesebuah mansyarakat. Pemimpin Negara seharusnya mempunyai semangat

perjuangan yang kuat demi membangunkan nusa dan bangsa yang berakhlak mulia dan juga

segala kelebihan yang harus dimiliki semua manusia. Sekiranya raja dapat mengikuti arahan ini,

maka amanlah dunia ini. Dengan meneliti dan memahami initipati ajaran konfusius ini, kami

amat percaya, apabila ‘malu’ diutamakan dalam budaya politik Malaysia hari ini, pasti ahli

politik akan mengutamakan etika politik mereka demi menjaga reputasi dan kredebiliti mereka
sebagai pemerintah lantaran itu, nescaya fenomena rasuah di dalam negara Malaysia dapat

dibanteras dan akhirnya kesejahteraan dicapai oleh semua masyarakat.

Kesimpulan

Berdasarkan kajian terhadap tokoh falsafah, ajaran konfusius sebagai adalah menepati

falsafah yang perlu diamalkan oleh semua insan manusia. Konfusianisme merupakan pengajaran

falsafah untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia. Nilai-nilai yang didukung

oleh konfusius seperti kebajikan dan kasih sayang merupakan prinsip asas yang mengikat

hubungan antara manusia. Pemerintah dunia hari ini, khusus kepada negara yang sedang

membangun harus menerapkan nilai-nilai yang di amalkan dalam ajaran Konfusius agar gejala

rasuah tidak menular dengan begitu teruk sekali. Disamping itu konsep sebenar ‘malu’ harus

diketengahkan serta diguna pakai semula seperti suatu masa dahulu untuk menjadi alat kawalan

sosial bagi mengawal batasan tingkah laku agar tidak melakukan perkara yang mampu

merosakkan keharmonian masyarakat sejagat dan keadilan sosial dicapai secara total dan

saksama.

You might also like