You are on page 1of 2

Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh
liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit,
rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis
itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan
perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot,
sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil
sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk
bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga.
Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan,
seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa
panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong
setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu
direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk
memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.

Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin
dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis.
Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat
atau dibelah.

Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di
kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu
biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan
utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak
rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung
kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas
kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu
termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet

Memproses Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang
lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan
pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan
menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk
memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama
seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya
buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan.
Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang,
bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam
mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan
iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua,
dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin
terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran
dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.

Anyaman Lidi

Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok ini
boleh digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok
kelapa ialah lidi. Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa.
Antaranya, lekar, bakul, tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan
bunga.

Memproses Lidi

Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda
dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan
pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam
mengikut bentuk yang dikehendaki.

Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan bulat.
Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu
didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung
lidi dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam
aturan tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya
anyaman tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan
kemas dan bakinya dipotong.

You might also like