You are on page 1of 141

UNSUR-UNSUR KRITIKAN DALAM PUISI MELAYU TRADISIONAL

SELOKA

NOREMAWATI BINTI AJIS


D20061025155

KERTAS PROJEK INI DIKEMUKAKAN BAGI MEMENUHI SYARAT


MEMPEROLEH IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN

FAKULTI BAHASA
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
TANJONG MALIM
2009
UNSUR-UNSUR KRITIKAN DALAM PUISI MELAYU TRADISIONAL
SELOKA

NOREMAWATI BINTI AJIS


D20061025155

KERTAS PROJEK INI DIKEMUKAKAN BAGI MEMENUHI SYARAT


MEMPEROLEH IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN

FAKULTI BAHASA
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
TANJONG MALIM
2009
PENGAKUAN

Saya mengakui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri


kecuali nukilan dan ringkasan yang setiap satunya
telah saya jelaskan sumbernya.

____________________________
Tarikh: 23 Oktober 2009
NOREMAWATI BINTI AJIS
D2006102515
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
35900 TANJONG MALIM PERAK

UNSUR-UNSUR KRITIKAN DALAM PUISI MELAYU TRADISIONAL


SELOKA

OLEH

NOREMAWATI BINTI AJIS

D20061025155

Kertas projek ini telah diterima oleh Program Kesusasteraan Melayu untuk memenuhi
sebahagian daripada keperluan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu)
dengan kepujian pada Sesi 2009/2010

………………………….. ..................................
Penyelia
Dato’ Dr. Rosli Bin Saludin Tarikh:

..................................... ..................................
Penilai
Dr Talib Samat Tarikh:

.....................................
Penyelaras ................................
Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu
Dato’ Dr. Rosli Bin Saludin Tarikh:
PENGHARGAAN

Syukur ke hadrat Tuhan yang Maha Esa kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, saya
telah dapat meyiapkan kertas projek ini dengan sempurna. Walaupun menghadapi
pelbagai kesukaran, namun dengan kekuatan dan kesabaran yang diberikan-Nya,
terlaksanalah tanggungjawab untuk menyelesaikan tugasan ini.

Bersama-sama ini, ingin saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan


terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu dan memberikan
kerjasama dalam usaha menjayakan penulisan kertas projek ini.

Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima


kasih yang tidak terhingga kepada Dato’ Dr. Rosli Bin Saludin, selaku penyelia kertas
projek ini. Beliau telah banyak memberi bimbingan, kerjasama, teguran dan komitmen
untuk kajian ini.

Di samping itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua
pensyarah dan kakitangan Jabatan Kesusasteraan Melayu yang telah banyak
mencurahkan bakti sepanjang pengajian saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), khususnya di Jabatan Kesusasteraan Melayu.

Untuk keluarga tercinta, terima kasih atas dorongan dan perhatian selama ini. Segalanya
amat saya hargai. Tidak ketinggalan buat semua rakan seperjuangan yang sama-sama
menuntut di UPSI, terima kasih atas segala bantuan kalian. Sesungguhnya pengorbanan
dan budi baik kalian semua akan sentiasa tersemat dalam ingatan.

Akhir sekali, kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak
langsung dalam proses menyiapkan kertas projek ini, saya ucapkan ribuan terima kasih.
Segala jasa baik yang telah diberikan itu akan mendapat balasan Tuhan Yang Esa.
ABSTRAK

Kajian ini, ditumpukan kepada unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam puisi seloka
Melayu dalam Himpunan Puisi Klasik karya Md. Ali Bin Bachik dan Mohd Yusof Md.
Nor dalam karya Rampaisari Puisi Warisan. Pengkaji menggunakan unsur kritikan yang
terdapat di dalam seloka yang telah dihasilkan. Pengkaji membahagikan latihan ilmiah ini
kepada lima bab. Bab satu merupakan pendahuluan kepada kajian iaitu menjelaskan
secara umum berkaitan dengan pengenalan, penyataan masalah, objektif kajian, batasan
kajian, kepentingan kajian, kaedah kajian, dan definisi operasional. Manakala dalam bab
2 pula menyentuh tentang tinjauan literatur iaitu mengenai kajian-kajian lepas yang
berkaitan dengan tajuk pengkaji. Bab tiga pula, memuatkan metadologi kajian iaitu
berkaitan dengan teori yang digunakan iaitu teori sastera warisan dan teori sosiologi oleh
pengkaji untuk membuat analisis kajian. Bab empat pula menjelaskan tentang dapatan
kajian berdasarkan objektif utama kajian dalam bentuk huraian. Dapatan kajian yang
dimaksudkan ialah unsur-unsur kritikan dalam seloka dan dikaitkan dengan masyarakat
zaman sekarang. Bagi bab lima pula, ia membincangkan secara menyeluruh berkaitan
dengan hasil dapatan kajian. Dengan mengemukakan cadangan untuk mempertingkatkan
penggunaan seloka dalam khalayak ramai. Dengan ini, unsur-unsur kritikan dapat
ditonjolkan dengan jelas. Secara keseluruhan, puisi Melayu tradisional yang dikaji oleh
pengkaji, mempunyai unsur-unsur kritikan yang tersendiri di samping memberi kesan
nilai murni dan kesan pengajaran kepada pembaca.

ABSTRACT
This study, devote to criticism elements occur in inside Malay stanza poetry Himpunan
Puisi Klasik Md work Ali Bin Bachik and Mohd Yusof Md Nor in Rampaisari Puisi
Warisan work. Researcher use criticism element resides within stanza were generated.
Researcher divide this academic training to five chapter. Chapter is a advance to studies
namely explain publicly about introduction, problem statement, objective of the study,
study limitations, importance of research, study method, and definition operational.
Whereas in chapter 2 also touch of literature outlook that is about last studies about
researcher subject. Chapter three also, loading study methodology namely about theory
used namely heritage and sociological theory of the arts by researcher at making study
analysis. Chapter four also explained of study findings based on inside study main
objective description form. Study findings intended was criticism elements in stanza and
associated with time society now. For chapter five also, it discuss comprehensively about
study findings result. By adducing proposal to increase inside stanza use public. Hereby,
criticism elements can be portrayed clearly. Overall, traditional Malay poetry are being
studied by researcher, having criticism elements distinctive by give good value and
teaching effect to reader.

KANDUNGAN
_____________________________________________________________________

Senarai kandungan Halaman

Judul i

Pengakuan ii

Pengesahan iii

Penghargaan iv

Abstrak v

Abstract vi

Isi Kandungan vii

BAB 1 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan 1-4

1.2 Pernyataan Masalah 5

1.3 Objektif Kajian 6-7

1.4 Batasan Kajian 8

1.5 Kepentingan Kajian 9-10

1.6 Kaedah Kajian 11

1.7 Definisi Opresional 12-20

1.8 Kesimpulan 21

BAB 2 KAJIAN LITERATUR

2.1 Pengenalan 22-23

2.2 Tinjauan Literatur Dalam Negara 24-28


2.3 Tinjauan Literatur Luar Negara 29-32

2.4 Kesimpulan 33

BAB 3 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan 34-36

3.2 Konsep Teori 37-38

3.3 Konsep Teori Sastera Warisan 39

3.3.1 Titik Tolak Sastera Warisan 40

3.3.2 Sejarah idea 40

3.3.3 Idea-idea Pokok Teori Sastera Warisan 41

3.3.4 Kaedah Teori Sastera 42

3.3.4.1 Kaedah Sejarah 42

3.3.4.2 Kaedah Pernerangan Sejarah 43

3.3.4.3 Kaedah Penerangan Pengaruh 43

3.3.4.4 Kaedah Genre 44

3.3.4.5 Kaedah Perbandingan 44

3.3.4.6 Kaedah Moral 45

3.5 Teori Sosiologi 45-47

3.6 Kesinambungan Teori Sastera Warisan dan Pendekatan


Sosiologi dengan Unsur Kritikan dalam Seloka. 48-50

3.7 Kesimpulan 51-52

4.0 DAPATAN KAJIAN

4.1 Pengenalan 53

4.2 Unsur Kritikan dalam Seloka 54


4.2.1 Seloka Pak Kaduk 55-60

4.2.2 Seloka Mak Si Randang 61-65

4.2.3 Seloka Pak Pandir 66-78

4.2.4 Seloka Kisah Pak Pandir 79-81

4.2.5 Seloka Sifat Pak Pandir 82-84

4.2.6 Seloka Si Luncai 85-91

4.2.7 Seloka Pak Balung Ayam Tambatan 92-96

4.2.8 Seloka Kehilangan Adat Melayu 97-99

4.2.9 Seloka Lebai Malang 100-104

4.3 Kesimpulan 105-106

5.0 CADANGAN DAN RUMUSAN

5.1 Pengenalan 107-108

5.2 Cadangan 109-112

5.3 Rumusan 113-114

5.4 Kesimpulan 115-116

BIBLIOGRAFI 117-119

LAMPIRAN

Lampiran A : Seloka Pak Pandir 120

Lampiran B : Seloka Mak Si Randang 121


Lampiran C : Seloka Pak Pandir 122

Lampiran D : Seloka Kisah Pak Pandir 123

Lampiran E : Seloka Sifat Pak Pandir 124

Lampiran F : Seloka Si Luncai 125

Lampiran G : Seloka Pak Balung-Ayam Tambatan 126-127

Lampiran H : Seloka Kehilangan Adat Melayu 128

Lampiran I : Seloka Lebai Malang 129


BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Kesusasteraan Melayu merupakan salah satu bidang ilmu yang sangat penting. Dalam

bidang kesusasteraan ia terdiri daripada beberapa genre. Puisi Melayu dalam pelbagai

genre yang diwarisi oleh masyarakat Melayu hari ini tidak terhitung banyaknya. Warisan

ini merupakan pusaka bangsa Melayu yang mengandungi nilai peradaban yang sangat

tinggi, unik dan sangat luar biasa. Keanekaragaman genre dan bentuknya pula memberi

gambaran bahawa, masyarakat Melayu zaman silam

hidup dengan latar kehidupan yang sangat harmonis, rukun dan beretika. Penghasilan

puisi tradisional seloka berkait rapat dengan bahasa dan mempunyai mesej yang

berunsur sindiran. Bahasa merupakan wadah yang digunakan untuk menyampaikan


mesej dalam seloka tersebut. Oleh itu penggunaan bahasa yang indah mampu menarik

minat pembaca untuk mengetahui mesej yang ingin disampaikan. Dalam konteks ini,

kajian yang dijalankan oleh pengkaji ialah “Unsur-unsur Kritikan Dalam Puisi

Tradisonal Seloka.”

Menurut Atmazaki (1993), puisi pada dasarnya lebih merupakan sifat atau nilai

keindahan dalam pengungkapan bahasa. Ungkapan atau penggunaan bahasa yang indah

itulah yang menghasilkan unsur keindahan atau juga disebut sebagai puitis. Puisi

tradisional mengelompokkan karya-karya puisi yang terdapat dalam masyarakat

Melayu sejak zaman dahulu yang ditradisikan secara lisan, hingga ke zaman sebelum

bermulanya zaman moden.

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu

tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi

Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan

prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi

tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat. Puisi tradisional iaitu Seloka

antara yang pernah diperkatakan dan digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu

kala. Antara puisi Seloka yang popular adalah Seloka Pak Pandir, Seloka Mak Si

Randang, Seloka Pak Kaduk, Seloka Kehilangan Adat Melayu, dan sebagainya.

Para pengkaji mengambil pendekatan sejarah dan budaya untuk menentukan

periodisasi kesusasteraan Melayu tradisional. Berdasarkan perkembangan ini,


perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional terbahagi kepada empat tahap, iaitu

zaman sebelum hindu, zaman hindu, zaman peralihan dan zaman Islam. Satu

pendekatan lagi ialah menggunakan Islam sebagai satu batu persempadanan.

Berdasarkan pendekatan ini, maka perkembangan sejarah kesusasteraan Melayu

tradisional terbahagi kepada dua zaman, iaitu zaman sebelum Islam dan zaman sesudah

kedatangan Islam.

Menurut S.Othman Kelantan (2000), sejarah kesusasteraan Melayu tradisional

mencapai era kegemilangannya pada abad ke-17, dan kegemilangan itu terus

dipertahankan dalam abad berikutnya, sehinggalah merebaknya pengaruh modenisme

dalam alam Melayu pada awal abad ke-20 memasuki tahun 1900 dan seterusnya,

merupakan zaman berkembangnya karya kreatif dalam bentuk novel, cerpen, puisi

baharu dan drama, dan ini berlaku secara besar-besaran di Malaysia dan Indonesia

(S.Othman Kelantan, 2000:23). Tahun 1900 boleh dianggap sebagai garis pemisah di

antara kesusasteraan Melayu tradisional dengan kesusasteraan Melayu moden.

Oleh itu, perkembangan puisi Melayu tradisional bergerak sezaman dan sejajar

dengan perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional itu sendiri. Perkembangan itu

sebenarnya tidak terhenti dengan bermulanya era moden yang dikatakan bermula di

Tanah Melayu pada awal abad ke-20, malah terus memberi kesan dan memainkan

peranan dalam masyarakat Melayu moden.


Bagi kritikan sastera ianya merangkumi aktiviti melakukan penilaian,

penafsiran, penganalisian, hukuman terhadap teks sastera. Rene Wellek menyatakan

kritikan sastera meliputi pengajian tentang karya seni sastera. Ann Jefferson (1988) ada

menyebutkan kritikan pada amnya bermakna perbincangan tentang karya kesusasteraan

terhadap pembaca yang cekap yang tidak semestinya pembaca ilmiah. Kritikan sastera

satu aktiviti atau kegiatan untuk menjelaskan, menilai dan menyampaikan penerimaan

dan tanggapan seseorang terhadap sesuatu karya. Kritikan bererti perbincangan

kesenian-kesenian yang beralaskan dan bersistem atau menilai teknik dan hasilnya

(Encyclopedia Britannica, 1966:780). Kritikan sastera ialah satu usaha yang bukan

hendak mencari untung tetapi mempelajari dan menyebarkan sesuatu fikiran dan

sesuatu yang telah diketahui sebagai yang terbaik dalam dunia (Matthew Arnold,

1970:142-143).

Kritikan di dalam sesuatu puisi tradisional mempunyai beberapa proses dalam

tindakan penilaian karya itu. Proses-proses tersebut meliputi membaca teks,

menghayati isi kandungan teks dan menganalisis isi teks bagi mengembangkan

tanggapan-tanggapan yang terbit darinya.

1.2 Pernyataan Masalah

Era ini, dunia semakin canggih dengan kepesatan sains dan teknologi. Ketaksuban

dalam mengejar kemajuan zaman, dunia sastera semakin dipinggirkan dan ada yang
menganggap dunia sastera sebagai dunia yang tidak bernilai. Kehidupan masyarakat

kini yang semakin didasari oleh kepesatan dunia sains dan teknologi menjadikan

masyarakat semakin kurang untuk menggemari karya-karya sastera yang menjadi

pemangkin dalam pembentukkan sahsiah diri seseorang individu. Kemajuan dalam

bidang teknologi telah menggelamkan ingatan masyarakat tentang kepentingan dunia

sastera terutamanya genre puisi tradisional yang adanya unsur-unsur kritikan yang

boleh dijadikan sebagai nilai dan pengajaran.

Kajian mengenai unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam puisi Melayu

tradisional iaitu Seloka kurang diperkatakan dalam dunia yang penuh dengan dunia

teknologi moden. Hal ini kerana pembaca kurang mengkaji mesej yang mengandungi

unsur kritikan yang dianggap boleh mendidik para pembaca apabila menghayati

sesebuah puisi Seloka tersebut. Pembaca hanya ingin mengetahui mesej atau cerita atau

kejenakaan serta kelucuan yang ingin disampaikan dalam sesebuah seloka. Contoh

yang paling jelas ialah “Seloka Pak Kaduk” yang berunsurkan kejenakaan namun

maksud disebalikya penuh dengan unsur sindiran.

Seloka merupakan salah satu genre sastera yang semakin terpinggir. Hal ini

disebabkan oleh masyarakat pada hari ini menganggap bahawa bidang sastera tiada

nilai komersial jika dibandingkan dengan bidang-bidang yang lain. Keadaan ini turut

mempengaruhi generasi muda zaman sekarang. Mata pelajaran sastera di sekolah turut

terkena tempias dan menyebabkan pelajar zaman sekarang tidak meminati bidang

sastera. Tanggapan negatif tersebut telah mempengaruhi pelajar pada masa sekarang
dan kebanyakan sekolah menutup pengajaran mata pelajaran sastera di sekolah

disebabkan pelajar kurang mengambil perhatian terhadap mata pelajaran tersebut.

Kajian ini dapat memperkenalkan unsur-unsur sindiran dan kritikan sekaligus mendidik

dan menarik minat masyarakat dalam bidang sastera.

1.3 Objektif Kajian

Unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam puisi tradisional iaitu seloka merupakan

salah satu aspek penting dan berguna untuk dikaji. Kajian ini dijalankan adalah untuk

menilai unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam seloka itu sendiri. Dengan adanya

unsur-unsur kritikan dalam seloka maka secara tidak langsung seloka tersebut dapat

menyampaikan mesej yang dikehendaki. Di samping itu, melalui kajian ini pengalaman

baru akan diperoleh dan ia juga akan memberi kepuasan kepada pengkaji.

Kajian ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada masyarakat umum khasnya

dalam kalangan generasi muda pada zaman sekarang yang tidak meminati genre puisi

Melayu tradisional terutamanya seloka. Dengan adanya kajian ini, maka mereka secara

tidak langsung akan mengetahui bahawa seloka juga mampu memberikan kritikan yang

membina dalam pembentukkan insaniah dalam diri seseorang pembaca itu.

Penghayatan dalam puisi tradisional seloka dari aspek kritikan memberi sedikit

sebanyak ilmu pengetahuan yang amat berguna kepada pembaca terutamanya generasi
muda yang pada masa sekarang kurangnya nilai-nilai murni dalam diri mereka sendiri.

Masyarakat pada masa dahulu penuh dengan sopan santun dan berbudi bahasa dalam

menyampaikan sesuatu puisi dengan tujuan untuk menghiburkan penonton sekaligus

mendidik para pembaca menghayati mesej yang mengandungi banyak unsur kritikan di

dalam seloka.

Di samping itu, untuk mengenal pasti unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam

puisi Melayu tradisional iaitu Seloka juga untuk menyambung tradisi seseorang

penyair. Daya kreatif yang ditunjukkan oleh penyair pada zaman dahulu adalah penting

supaya ia tidak luput di telan dek zaman. Seloka-seloka yang dihasilkan oleh penulis

tidak menggunakan bahasa yang secara tesurat tetapi ianya disampaikan dengan

menggunakan kata-kata yang mendalam iaitu tersirat dan terpulang kepada pembaca

atau pendengar itu sendiri mentafsir mesej yang ingin disampaikan. Dalam konteks ini,

pengarang bermain dengan kata-kata dan imaginasinya yang sendiri.

1.4 BATASAN KAJIAN

Kajian ini merangkumi beberapa aspek yang dianggap berkenaan dengan tajuk yang

dipilih oleh pengkaji. Secara keseluruhannya, aspek kajian ini adalah merangkumi dan

meliputi penelitian terhadap unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam seloka yang

terdapat dalam buku yang telah dihasilkan iaitu Himpunan Puisi Klasik karya Md. Ali
B. Bachik dan buku Rampaisari Puisi Warisan karya Mohd Yusof Md. Nor. Dalam

buku Himpunan Puisi Klasik dan Rampaisari Puisi Warisan ini, pengkaji memlilih 9

buah seloka untuk dikaji dari segi sindiran sekaligus mengkritik budaya masyarakat

pada zaman dahulu. Walau bagaimanapun sindiran dan ejekan itu masih dalam

lingkungan pendidikan, yakni untuk memberitahu masyarakat supaya mengambil

pengiktibaran daripada sifat lemah, culas dan pendek akal watak-watak tertentu. Seloka

yang menjadi pilihan pengkaji ialah:

i. Seloka Pak Kaduk

ii. Seloka Mak Si Randang

iii. Seloka Pak Pandir

iv. Seloka Kisah Pak Pandir

v. Seloka Sifat Pak Pandir

vi. Seloka Si Luncai

vii. Seloka Pak Balung-Ayam Tambatan

viii. Seloka Kehilangan Adat Melayu

ix. Seloka Lebai Malang

1.5 Kepentingan Kajian

Sememangnya, setiap kajian yang dijalankan mempunyai kepentingan yang tersendiri.

Kajian yang dilakukan akan memberi kepentingan kepada pengkaji, dunia pendidikan,

bidang kesusasteraan dan juga negara. Kajian yang dilakukan terhadap seloka-seloka

pada zaman dahulu amat penting untuk melihat unsur-unsur kritikan yang tajam
khasnya kepada masyarakat yang mudah ditipu dan selalu menipu. Kritikan sastera

satu aktiviti atau kegiatan untuk menjelaskan, menilai dan menyampaikan penerimaan

dan tanggapan seseorang terhadap sesuatu karya. Kritikan bererti perbincangan

kesenian-kesenian yang beralaskan dan bersistem atau menilai teknik dan hasilnya

(Encyclopedia Britannica, 1966:780).

Kritikan sastera ialah satu usaha yang bukan hendak mencari untung tetapi

mempelajari dan menyebarkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai

yang terbaik dalam dunia (Matthew Arnold, 1970:142-143). Unsur-unsur kritikan dan

sindiran disampaikan secara tersurat dan tersirat di dalam sesebuah puisi seperti seloka

yang banyak mengandungi mesej yang berunsur sindiran tetapi bersifat kelucuan.

Dalam konteks ini, kita dapat melihat bagaimana cara orang Timur menghasilkan

sesebuah karya untuk menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat di dalam

sesebuah karya.

Kajian tentang unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam seloka pada zaman

dahulu penting untuk mengetahui tentang penggunaan gaya bahasa dan mesej yang

berunsur sindiran dan kritikan yang terdapat dalam buku Himpunan Pusi Klasik hasil

karya Md. Ali bin Bachik dan Rampaisari Puisi Warisan hasil karya Mohd Yusof Md.

Nor yang menghimpunkan beberapa buah puisi tradisional yang dihasilkan. Kajian ini

memfokuskan tentang unsur-unsur kritikan atau sindiran yang digunakan oleh penulis

yang berlainan. Kajian ini penting untuk mengetahui tentang kritikan dan sindiran yang
cuba disampaikan oleh penulis terhadap kehidupan masyarakat Melayu terdahulu dan

sekarang.

Selain itu, kajian ini penting untuk memartabatkan genre puisi Melayu

tradisional yang semakin lama dilupakan dalam sastera sebagai salah satu aspek yang

sangat penting. Hal ini kerana puisi Melayu tradisional iaitu seloka juga berperanan

dalam menyampaikan mesej kepada seseorang individu atau masyarakat. Melalui

penggunaan bahasa yang berunsurkan kelucuan dapat menarik perhatian para pembaca

yang membaca tentang isi tersurat dan tersirat pada puisi seloka tersebut. Dengan

adanya kajian ini, ia akan dapat memantapkan perkembangan kesusasteraan Melayu

pada masa kini.

Disamping itu juga, ia akan menggalakkan supaya generasi muda pada zaman

sekarang untuk terlibat dalam dunia penulisan. Kajian ini juga penting dalam memberi

kesedaran kepada pelajar dan pembaca tentang apa yang dihayati dan dibaca dalam

seloka yang telah sedia ada. Walaupun kebanyakan pembaca mengatakan bahawa

penggunaan bahasa dalam sastera adalah menyimpang namun dalam konteks ini ia

adalah untuk memberi kesan dalam penyampaian sesebuah puisi seloka itu sendiri.

Gambaran kebahasaan tetap dikekalkan seperti mana puisi-puisi Melayu tradisional dan

moden tersebut dengan keaslian gaya, diksi serta bunga-bunga bahasa yang digunakan.

Di samping itu, kajian ini penting adalah untuk membentuk keterampilan

pelajar dan juga pembaca dalam menguasai unsur-unsur bahasa, kreativiti, dan
persoalan yang dipilih. Sekaligus memberi nilai dan pengajaran kepada pelajar untuk

tidak melakukan perkara yang serupa dengan watak-watak yang telah dilukiskan di

dalam seloka.

1.6 Kaedah Kajian

Dalam memastikan kajian yang dibuat oleh pengkaji berjalan dengan lancar, pengkaji

telah menggunakan kaedah penyelidikan perpustakaan. Kajian ini dijalankan untuk

mendapatkan maklumat yang berkaitan. Bahan-bahan rujukan juga diperoleh melalui

buku Himpunan Puisi Klasik karya Md. Ali B. Bachik, Rampaisari Puisi Warisan

karya Mohd Yusof Md. Nor, kajian teks sastera Warna Sari Sastera Melayu

Tradisional, Puisi Klasik karya Naapie Mat, Teori dan Kritikan Sastera karya Abdul

Halim Ali dan Membina Keunggulan Tradisi Sastera karya Mana Sikana. Kajian ini

adalah terbatas dan ia hanyalah berbentuk keperpustakaan.

Kajian perpustakaan ini telah dilakukan untuk membuat rujukan tentang

definisi, istilah yang terdapat di dalam tajuk tersebut. Selain itu, dalam usaha mencari

kajian lepas perpustakaan digunakan sebagai sumber utama. Tujuan utama pengkaji

adalah untuk mendapatkan maklumat yang baru dan juga maklumat yang lama.
Selain itu, untuk memantapkan lagi ilmu dan maklumat untuk kajian, pengkaji

turut menggunakan beberapa kajian-kajian lepas dari dalam dan luar negara serta bahan

daripada majalah. Selain itu, pengkaji turut menggunakan pelbagai jenis buku. Di

samping itu, pengkaji juga tidak terlepas dalam merujuk latihan-latihan ilmiah oleh

pengkaji yang terdahulu. Ia adalah untuk pengkaji mendapatkan pengetahuan di

samping panduan baru tentang kerja-kerja untuk menyiapkan latihan ilmiah ini.

Dengan berbekalkan kaedah perpustakaan inilah pengkaji mendapat banyak

maklumat yang berguna, iaitu menjurus kepada tajuk yang telah dikaji oleh pengkaji

iaitu tentang unsur-unsur kritikan dalam puisi Melayu tradisional yang terdapat dalam

seloka.

1.7 Definisi Operasional

Terdapat beberapa konsep yang perlu difahami dalam kajian ini. Ia bertujuan untuk

memudahkan kita untuk memahami maksud sesuatu konsep tersebut dengan lebih

mendalam. Konsep-konsepnya adalah seperti berikut:


i. Seloka

ii. unsur kritikan

1.7.1 Seloka

Perkataan “seloka” berasal daripada bahasa Sanskrit, shola atau anustubh yang

memberi makna suatu bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris (dua kerat, dua

hemistichs), tiap-tiap satunya mengandungi 16 suku kata, tersusun dalam empat unit;

unit yang terakhir selalunya berbentuk ‘diambus’ sementara unit-unit yang lain dalam

bentuk-bentuk yang digemari, dari susunan suku-suku kata panjang dan pendek (guru

dan lagu). Misalnya, ikatan yang standard pada sebuah seloka, yang terdiri daripada

lapan suku kata dalam suatu ‘pada’ suku kata yang keenam selalunya panjang, yang

kelimanya pendek dan yang ketujuh, pendek. Susunan ini memberikan kadensia iambik

(iambic cadence). Dalam pada itu terdapat juga suku kata ketujuh yang panjang yang

memberikan kadensa trochaik (trohaic cadence). Walau bagaimanapun, seperti

kebanyakan puisi Timur- termasuk Sanskrit- aspek yang penting untuk menjadikan

sesuatu ungkapan itu sebagai seloka dan pola irama beginilah yang membina epik-epik

India yang terbesar iaitu Mahabrata (100 000 rangkap seloka) dan Ramayana (24 000

rangkap seloka).

Dalam kesusasteraan Melayu perkataan seloka dimaksudkan kepada sejenis

puisi yang tidak mempunyai struktur yang tertentu, tetapi mempunyai puisi yang tidak
mempunyai ciri-ciri yang diasingkan daripada genre-genre yang lain. Justeru itu dalam

menentukan ciri-ciri ini telah timbul perbezaan pendapat antara para pengkaji:

1. Menurut Simorangkir Simandjuntak (1965), seloka adalah bidalan atau

pepatah yang diberi bersampiran, tegasnya dalam bentuk pantun empat

baris.

Anak agam jual sutera,


Jual di Renggat tengah pekan,
Jangan digengam seperti bara,
Terasa hangat dilepaskan.

2. Zuber Usman (1975), pula berpendapat seloka hampir sama dengan

gurindam, tetapi seloka yang dipentingkan ialah kelucunanya:

Malang celaka Raja Genggang,


Tuak terbeli tunjang hilang.
Gigi tanggal rawan pun musnah,
Awak tua gadis bermusim.

3. Menurut Hooykaas (1965), seloka adalah pantun yang memakai rima yang

sama a-a-a-a seperti syair:

Candu dibungkus kain palas,


Makan dia mata bilas,
Mandi segan kerja malas,
Harta orang hendak digalas.

4. Amir Hamzah mengatakan seloka ialah pantun yang mempunyai perkataan


erti antara sampiran dan maksudnya:

Jalan-jalan sepanjang jalan,


Singgah-menyinggah di pagar orang,
Puru-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

(Hooykaas 1965, 73-85)

5. Za’ba yang memberikan huraian dan contoh-contoh yang banyak mengenai seloka

dan gurindam, mengatakan seloka adalah sejenis karangan yang lebih kurang sama

seperti gurindam; sebab itu kebanyakan sifat-sifat gurindam ada kepadanya.

Sekadarkan lainnya dalam seloka itu ada tercampur kelakar, mengeli hati, gurau

senda, giat, ejek, dan terkadang perasaan nyanyi, asyik berahi, hiba rawan, khayal

dan mimpi; sebagai contoh:

(dalam jenis seloka melarat)


Maka baginda pun mengejutkan tuan
Puteri sambil berulit:
‘adinda tua. Bangunlah tangkai hati
Abang dan penglipur lara kekanda, urat
rambut batu kepala abang’- serta
Beberapa cumbu yang memperbaharui kasih
dan memulihkan mesra. Maka tuan puteri
pun bangunlah sambil memalis seumpama
Bunga cempaka kembang pagi lemah lembut
dalam taman puspa sari adanya.

6. Dalam bahasa jawa, seloka dikenal dan diasosasikan dengan peribahasa, misalnya seloka

jawa:

Rindik asu digitik


(ertinya, lari seperti anjing dipukul)
Kutik marani sunduk
(gabus mendapatkan tusuk)
Keno kebotan sungu
(kerbau keberatan tanduk).
Ternyata daripada contoh-contoh di atas, genre seloka telah dikelirukan dengan genre-

genre yang lain yang sewajarnya telah mempunyai bentuk dan stuktur yang khusus.

Pembicara-pembicara yang menyentuh soal ini, khususnya dari aspek yang

dimaksudkan di sini, telah memberikan definisi dan contoh berdasarkan bentuk yang

ditemui mereka ketika itu dan pemahaman masyarakat yang terlalu umum di tempat

dan waktu yang tertentu. Daripada ukuran dan pendekatan yang kita gunakan dalam

kajian ini, seluruh contoh yang dikemukakan itu tidak dapat digolongkan sebagai

seloka, kerana bentuknya yang telah tertakluk kepada genre yang lain.

Ciri-ciri seloka menurut Za’ba ialah seloka adalah karangan berangkap (puisi)

yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Selain itu, perkataan

menyindir atau mengejek, dikatakan dengan cakap yang berangkap. Perkataan gurau

senda dan jenaka semata-mata, istimewa jika bercampur dengan rangkap atau

pertentangan bunyi di mana-mana.

Ringkasnya seloka Melayu tidak mengandungi cerita seperti seloka sanskrit dan

tidak juga ada persamaan struktur di mana-mana. Seloka melayu adalah sejenis puisi

bebas, tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris dalam

serangkap, jumlah perkataan dalam sebaris, sama ada berirama atau tidak. Cuma yang

penting ia terdiri daripada ungkapan yang sejajar, lebih daripada dua baris, mempunyai

kadensa yang sama dengan talibun atau prosa berirama; dan isinya mengandungi
maksud mengejek, menyindir sama ada serius atau jenaka, atau mungkin juga

mengandungi perasaan-perasaan berahi, asyik, khayal dan mimpi.

1.7.2 Unsur Kritikan

Kritikan sastera ialah satu displin ilmu yang saintifik, yang membicarakan soal

penghayatan, penganalisian dan penilaian terhadap sesebuah karya kreatif. Ia dikatakan

ilmu yang saintifik, kerana menggunakan pendekatan atau metodologi sewaktu

membuat kritikan. Sesiapa sahaja boleh melakukan kritikan setelah membaca sesebuah

karya, baik apa jua genre, novel, cerpen, sajak atau drama, asalkan menggunakan

mana-mana pendekatan atau metodologi kritik sastera.

Secara am, penghayatan dalam kritik sastera bermaksud apresiasi, pengamatan,

pemahaman, tanggapan, perasaan serta pemikiran yang terjelma dari reaksi pembacaan.

Seseorang itu mungkin berasa berminat atau terpikat semasa menikmati sesebuah

karya. Begitu juga sebaliknya, seseorang itu mungkin merasa bosan, dingin, tidak puas

hati atau apa-apa sahaja perasaan negatif yang lainnya.

Terdapat pelbagai jenis kritikan. Secara umum dan secara konservatif,

pendekatan kritikan sastera itu dapat dibahagikan kepada dua iaitu isi dan bentuk atau

isi dan panyampaian. Biasanya proses kritikan itu melalui beberapa peringkat.
Peringkat pertama kita memahami karya itu dari sudut isi. Sebuah puisi misalnya kita

fahami dulu apa maksud puisi itu?

Selanjutnya, bentuk. Apakah bentuk yang digunakan oleh pengarang untuk

karya itu dan bagaimana pengarang mengolah karyanya? Kalau sebuah cerita misalnya,

kita menyatakan dalam bentuk apakah cerita itu digubah?

Pada kebiasaaanya sastera menggunakan bahasa. Jadi, penyampaian karya

sastera itu dilihat dari segi isi, bagaimana bahasa itu digembleng untuk menonjolkan isi

melalui bahasa dan bentuknya itu, menimbulkan kesan. Dan kesan daripada sesebuah

karya sastera itu berbagai-bagai. Ada yang berkait dengan emosi kita dan ada pula yang

berkait dengan akal kita. Kesan ini pula kita dapat lalui melalui kepandaian pengarang

mengolah bentuk dan bahasa tadi. Dengan kepandaian mengolah isi karya dapat

ditonjolkan, perasaan dapat dibangunkan, pemikiran dapat diungkapkan.

Selain itu, ada kritikan yang membicarakan sastera dari aspek bahasa sahaja.

Misalnya kritikan itu membicarakan bagaimana penggunaan bahasa dalam sesebuah

karya itu dengan menunjukkan di mana letaknya kesesuaian penggunaan bahasa dalam

karya tersebut. Nilai kesesuaian tentang bahasa karya itu pula sering didengar dan

dirasa, bukan sahaja indah ketepatan penggunaan kata dan susunan kata dan

keberkesanan penggunaan bahasa yang dikaitkan dengan maksud karya sastera. Tidak

kurang pula, membicarakan tentang pembaharuan dan kesegaran pengucapannya.


Ada juga kritikan yang mengambil aspek penyampaian sesebuah karya. Ada

juga kritikan yang mengambil kira aspek plot cerita sebagai tumpuannya. Selain itu

terdapat juga kritikan yang membicarakan manusia dalam sesebuah cerita. Selanjutnya

ada pula orang yang mengambil aspek kritikan sastera itu dari memisahkan antara

bentuk dengan isi yang membicarakan tema dan persoalan di satu pihak dan bentuk

pula dibicarakan di pihak lain. Tidak kurang pula ada kritikan yang hanya

membincangkan soal keunikan bentuk. Hal ini terjadi kerana adanya perkembangan

baru dalam sastera yang tidak memperdulikan isi tetapi hanya bentuk. Misalnya dalam

membicarakan sebuah novel, yang dilihat bukan gabungan isi dengan bentuk novel itu

tetapi yang menjadi tumpuan baginya bagaimana, bentuk novel itu berbeza dengan

bentuk novel-novel yang lalu.

Di Malaysia pengkritik Hashim Awang, Ramli Isin dan Othman Puteh sering

menggunakan kritikan jenis ini. Kritkan formalisme ini agak mudah dilakukan tetapi

yang menjadi masalah ialah penilaiannya tidak semestinya dapat memberikan keadilan

kepada sesebuah karya sastera, sebab menurut pendekatan ini setiap karya sastera mesti

tunduk kepada bentuk formal yang sudah lumrah wujud, sedangkan hakikat sastera itu

tidak ke semua karya sastera mesti mengikut satu format yang standard.

Kritikan struktural ialah kritikan yang bertitik tolak daripada idea bahawa

sebuah karya itu merupakan satu kesatuan yang organik. Setiap unsur yang ada di

dalamnya itu berkait rapat antara satu dengan lain, tidak boleh dipisahkan, ibarat irama

dan lagu, kalau dipisahkan rosaklah lagu, pincanglah seni. Jadi kritikan yang

menggunakan pendekatan ini membicarakan sesebuah karya seni, pembicaraannya


menekankan unsur-unsur penting yang terdapat dalam karya itu dan menghubungkan

unsur-unsur tersebut antara satu dengan lain.

Kritikan lain ialah kritikan sosiologi. Kritikan jenis ini lebih banyak

menekankan isi dan kesan sosial terhadap sastera. Dalam perlaksanaanya kritikan jenis

ini cenderung menilai dan menganalisis kesusasteraan dengan cara mengaitkannya

dengan masyarakat yang menjadi wadah kepada penulis dan karya sastera itu sendiri.

Kritikan yang paling tua ialah kritikan moral. Kritikan jenis ini meletakkan nilai

tara sastera itu terutama kepada kesan moral daripada karya sastera itu. Dengan itu

kecantikkan dan keindahan karya sastera itu diukur berdasarkan sejauh mana hasil

sastera itu memberi manfaat kepada pembaca. Sering juga kritikan jenis ini

memandang sastera dari sudut pengajaran yang diberikan terhadap pembangunan jiwa,

emosi dan mental manusia.

Dalam sastera, kritikan tentunya berfungsi sebagai pengukur yang memberi

pertimbangan-pertimbangan baik buruk, positif negatif, objektif mahupun subjektif

atau tinggi atau rendahnya mutu yang membawa kepada penerimaan atau penolakan

terhadap sesuatu karya itu. Menelusuri definisi kritikan yang bertujuan untuk menilai

sesebuah karya, maka kita dapat merumuskan bahwa kritikan juga berfungsi sebagai

penilai yang akan membuat keputusan dan pertimbangan terhadap nilai karya dari

pelbagai dimensi. Kritikan sastera juga berfungsi membina budaya intelektualisme,

kerana kecenderungannya mengajak pengkritik berada dalam wadah argumentasi


berlandaskan aturan ilmu, pemikiran yang rasional dan kesejagatan norma-norma

masyarakat yang harmonis.

1.8 Kesimpulan

Kesimpulannya, seloka merupakan salah satu bahasa berirama yang disampaikan

dengan menggunakan bahasa yang meleret-leret. Isi yang disampaikan itu

mengandungi unsur-unsur pengajaran dan nasihat. Isi ini pula disampaikan melalui

nada-nada ejekan dan sindiran, sama ada secara terus atau tersirat disebalik yang jelas

bahasa sindirannya. Sehubungan dengan itu, seloka juga mempunyai peranan untuk

mendidik masyarakat. Unsur nasihat yang disampaikan secara sindiran yang halus.

Nasihat itu juga kekal kebenarannya dan luas pengaruhnya. Hal ini terbukti apabila

timbulnya peribahasa ‘buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Kebenaran ini

ternyata bukan sahaja diterima oleh masyarakat Melayu lama bahkan juga kehidupan

masyarakat kini. Unsur didaktik juga berperanan untuk mengungkapkan unsur-unsur

didaktik atau pengajaran. Jelasnya di disini, seloka juga memainkan peranan dalam

masyarakat. Walaupun bahasa yang digunakan secara mudah dan berunsur sindiran

tetapi ianya mempunyai maksud yang tersirat. Unsur-unsur kelucuan juga ditimbulkan

bertujuan untuk menghiburkan anggota masyarakat.


BAB 2
TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Dalam bab ini, pengkaji membincangkan tinjauan literatur yang berkaitan dengan kajian

tentang puisi tradisional iaitu seloka. Seloka ialah karangan berangkap, pepatah atau

perumpamaan yang mengandungi jenaka, senda gurau, ejekan, olok-olokan, giatan malah

sindiran. Selain, itu seloka juga ada gurau senda yang mengandungi sindiran yang ditulis

dalam bentuk bahasa puisi, dan mengandungi pengajaran atau teladan. Apabila

membicarakan mengenai puisi Melayu, ia merangkumi satu aspek yang amat luas,

menakjubkan dan penuh dengan misteri. Masyarakat Melayu tradisional yang dianggap

ringkas, kolektif dan serba kekurangan itu telah

menghasilkan puisi-puisi yang begitu banyak dan berkualiti. Kajian-kajian yang lebih

serius dan bersifat akademik terhadap warisan puisi tradisional dikatakan hanya bermula

pada abad ke-19. Ia dipelopori oleh golongan penulis dan pengkaji Melayu tradisional

sebelum diambil alih oleh golongan para sarjana dan pegawai-pegawai Eropah.

Kesedaran terhadap kepentingan warisan ini telah membawa kepada satu dimensi baru

dalam kajian warisan puisi. Ia dilakukan dengan lebih komprehensif dan mendalam oleh

golongan pengkaji yang terdidik dalam disiplin sastera dan akademik.


Sesebuah kelompok masyarakat menjalani kehidupan yang terjaring dalam suatu

kebudayaan. Kebudayaan membawa maksud seluruh aspek kehidupan manusia yang

asalnya dibentuk untuk memenuhi keperluan jasmani dan rohani yang terdapat di dalam

kelompoknya. Aspek-aspek kehidupan yang dimaksudkan tersebut ialah politik, sosial,

ekonomi, teknik, pengetahuan, etika, falsafah dan juga kesenian. Salah satu cabang yang

terdapat dalam kesenian ialah kesusasteraan. Kesusasteraan merupakan kesenian yang

merangsang manusia yang menggemari keindahan dan juga keselesaan. Bahan yang

paling penting untuk melahirkan keindahan dan keselesaan tersebut ialah bahasa.

Dalam bahasa yang seni, ia menggunakan kata-kata tanpa memperhitungkan

persoalan utama sama ada kata-kata itu tertulis atau sekadar ucapan yang diluahkan.

Kata-kata yang tertulis berbeza dari lambang yang terlihat pada lukisan sebagaimana

berbezanya kata-kata yang dituturkan dari nada yang dilahirkan melalui muzik. Hal ini

kerana kata-kata tersebut mewujudkan makna-makna yang tertentu. Makna tersebut

penting menjadikan kesusasteraan penting kerana dari segi puisi yang tercetak dengan

indah sekalipun tidak mampu untuk menandingi sebuah lukisan yang agung malah puisi

yang diucapkan dengan baik sekalipun tidak dapat disamakan dengan bunyi muzik yang

halus (MK. Danzinger; 1983:1-2). Oleh yang demikian, kesusasteraan merupakan salah

satu bidang yang sangat luas. Kesusasteraan terdiri daripada pelbagai genre. Salah satu

genre yang terdapat dalam kesusasteraan adalah puisi Melayu tradisional iaitu seloka.
Seloka merupakan salah satu genre sastera yang begitu banyak menggunakan

bahasa untuk menjadikan sebuah seloka tersebut puitis. Aspek yang paling penting yang

terdapat dalam seloka ialah unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam sajak tersebut.

Dalam konteks ini, kesusasteraaan dapat memberi kesan dalam pembentukkan

personaliti, mempertajamkan pemikiran dengan asuhan kreatif, mengilhamkan misteri,

menghalusi nilai etika dan juga unsur kritikan. Di samping itu, ia juga menjadikan

sesebuah seloka atau hasil karya yang lain harmoni dan sinonim dengan perkara yang

hendak disampaikan dalam sesebuah masyarakat.

2.2 Tinjauan Literatur Dalam Negara

Kerangka hati dan budi Melayu mengandungi tiga komponen utama iaitu

epistemologi, pandangan alam semesta (worldview) dan komponen nilai serta akhlak.

Dalam konteks epistemologi, ilmu mengikut pandangan orang Melayu ialah ilmu

pencarian akal budi manusia serta ilmu ilham dan wahyu. Sementara itu, dalam aspek

komponen pandangan alam semesta, masyarakat Melayu meletakkan Allah sebagai

sumber panduan tertinggi dalam pemikiran dan aktiviti. Aspek komponen nilai, moral,

etika, dan akhlak berkaitan erat dengan pandangan orang Melayu tentang sesuatu yang

dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan

keindahan.
Menurut Harun Mat Piah, seloka ialah sejenis puisi bebas, (sama seperti gurindam

yang tidak terikat), berangkap atau tidak, jika berangkap tiada tentu jumlah barisnya

dalam serangkap, jumlah perkataan dalam sebaris, memakai rima atau tidak. Selain itu,

seloka juga memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan satu

keseluruhan idea. Dari segi bentuknya ia sama seperti gurindam, talibun, teromba dan

mantera; tetapi tergolong sebagai seloka kerana isinya mengandungi sindiran, jenaka,

mengusik, bersenda gurau atau perasaan-perasaan asyik, berahi, khayal atau mimpi.

Seloka tidak memperlihatkan kepelbagaian jenis dan tema; contoh dan penggunaannya

juga amat terhad, baik dalam pemakaian secara lisan, mahupun dalam bahan-bahan yang

telah tertulis. Dengan pendekatan demikian istilah pantun, seloka, dan contoh-contoh

yang dikatakan seloka dari bentuk pantun dan syair dapatlah ditolak daripada

digolongkan sebagai seloka (Harun Mat Piah: 1989).

Seloka merupakan puisi tradisional Melayu sejajar dengan gurindam, seganding

dengan pantun dan syair. Puisi tradisional ini berasal daripada kesusasteraan Hindu klasik

yang didapati dalam epos Mahabrata dan Ramayana. Semenjak bilakah gurindam dan

seloka ini dikenali umum oleh orang-orang Melayu tidaklah diketahui. Akan tetapi dalam

buku Sejarah Melayu yang disusun pada T.M. 1612 oleh Tun Seri Lanang ketika

menggambarkan bunyi burung-burung di dalam taman Puteri Gunung Ledang,

membandingkan dengan orang bergurindam dan berseloka. Kejadian tersebut berlaku

zaman kerajaan Melayu Melaka kerana itu besar kemungkinan bahawa bentuk-bentuk

gurindam dan seloka ini sudah dikenali oleh orang-orang Melayu semenjak kurun Masehi

yang ke XVI atau lebih dahulu daripada itu. Perkataan seloka berasal daripada bahasa
Sanskrit. Bentuk seloka hampir sama dengan gurindam tetapi lazimnya seloka terdiri dari

empat baris yang bersajak, bunyi suku kata dihujungnya sama, tiap-tiap baris mempunyai

empat patah perkataan, demikian mengikut sesetengah pendapat. Di negara kita pada

masa kini, puisi seloka kurang begitu terkenal jika dibandingkan dengan pantun dan

syair, namun jika kita hayati dan halusi sedalam-dalamnya maksud atau mesej yang

tersirat dalam seloka sebenarnya memberi penginsafan yang mendalam, yang amat kritis

mempersoalkan kewibawaan bangsa, keunggulan pemerintahan sesebuah negeri dan

negara (Mohd Rosli Saludin, 2007: 117).

Perkataan seloka berasal daripada kata sloka dalam bahasa Sanskrit. Seloka

mengandungi 16 suku kata, dan berbentuk bebas. Dari segi bentuk seloka sama dengan

beberapa jenis puisi lain seperti guindam, talibun, mantera dan teromba, iaitu mempunyai

bentuk yang tidak tetap dari segi jumlah baris dalam rangkap dan rima akhirnya. Walau

bagaimanapun, seloka sebagaimana kata C.Hooykaas, mengandungi unsur sindiran.

Sindiran ini pula boleh bersifat jenaka mahupun serius dan mungkin juga mengandungi

unsur-unsur lain seperti perasaan-perasaan asyik, berahi, khayal dan mimpi. Sesuai

dengan cirinya yang dasar sebagai sindiran dan jenaka, lalu tema dan isinya juga berupa

sindiran, ejekan atau hanya cetusan perasaan, kagum atau benci terhadap seseorang dan

perlakuannya. Bagaimanapun jika dihalusi lebih teliti akan mudah diinsafi, bahawa

ejekan dan jenaka di dalamnya tidaklah berhenti dengan menghibur, bermain atau

bersuka-suka semata-mata. Sebaliknya masih boleh pula diberikan interpretasi yang lebih

wajar, iaitu pengajaran dan panduan kepada anggota masyarakat dalam menghadapi
sesuatu keadaan yang mungkin mengancam kesejahteraan diri dan masyarakat (Harun

Mat Piah, 1989).

Menurut Pendeta Za’ba seloka tersebut ialah sejenis karangan yang lebih kurang

sama seperti gurindam juga. Hal ini kerana kebanyakan sifat gurindam terdapat pada

seloka. Perbezaaannya ialah seloka turut memasukkan perasaan asyik berahi, hiba rawan,

khayal, mimpi, kelakar, mengelikan hati, gurau senda, sindir, giat dan ejekan. Menurut

Pendeta Za’ba lagi adalah terlalu sukar untuk membezakan antara gurindam dan seloka.

Malah kadang-kadang sesebuah puisi yang seperti ini boleh dikatakan seloka dan boleh

pula dikatakan gurindam. Selain itu, Pendeta Za’ba juga mengatakan bahawa terdapat

gurindam dan seloka yang bercampur dengan pantun dan kadang-kadang syair juga.

Puisi-puisi ini selalu juga disebut ‘pantun seloka’ dan syair seloka; dan banyak terdapat

dalam hikayat lama serta cerita-cerita rakyat yang panjang. Pendeta Za’ba kemudiannya

membuat rumusan tentang penjelasan gurindam dan seloka itu sebagai seloka yang boleh

dikatakan gurindam sahaja, yang juga boleh dikatakan seloka sahaja dan yang boleh

dikatakan kedua-duanya sekali (Za’ba, Pelita Bahasa Melayu Penggal III: 194).

Menurut Naapie Mat, seloka berasal dari bahasa Sanskrit. Bentuk ini asalnya

terdapat dalam kitab-kita tua India, Mahabrata dan Ramayana, mempunyai sajak yang

sederhana dan terdiri dari empat perkataan dan delapan suku kata pada tiap-tiap baris.

Seloka kerapkali digunakan sebagai nasihat dan ibarat. Bahasanya kerapkali melarat dan

penuh dengan sindir giat yang tajam dan dalam, dan biasanya mengejek-negejek. Seloka

boleh juga mengandungi perasaan-perasaan hiba, rawan, sedih, asyik berahi, khayal dan
angan-angan mengikut jenis-jenis seloka itu. Seloka terdiri dari empat baris dan bersajak

seperti syair (Napiee Mat, 1992).

Contoh seloka:

“Sudah bertemu kasih sayang,


Duduk terkurung malam siang,
Hingga setapak tiada renggang,
Tulang sendi habis bergoncang.”
Atau

“Orang selsema sakit berhingus,


Lubang hidung rasa terkambus,
Ibarat laksana telur kemungkas,
Benci nak pandang, rasa cemus.”

Menurut Gahazali Dunia, beliau merencanakan seloka itu mempunyai bentuk

yang tiada tetap jumlah barisnya, sedang isinya mengandung sindiran terhadap kelakuan

seseorang pemadat, pemalas, dungu dan sebagainya dengan maksud untuk dijadikan

bidalan belaka (Gahazali Dunia, 1992).

2.3 Tinjauan Literatur Luar Negara

Kajian mengenai seloka ini pernah dilakukan oleh penulis luar negara kebanyakannya

daripada negara Indonesia.


Menurut Zuber Usman, (1975) berpendapat seloka hampir sama dengan

gurindam, tetapi seloka yang dipentingkan ialah kelucuannya. Kelucuannya jelas

terpancar pada seloka klasik iaitu:

Malang celaka Raja Genggang,


Tuak terbeli tunjang hilang,
Gigi tanggal rawan pun murah,
Awak tua gadis bermusim,

Manakala Amir Hamzah tokoh penulis yang berasal dari Indonesia mengatakan

seloka adalah pantun yang memakai rima yang sama a-a-a-a seperti syair:

Jalan-jalan sepanjang jalan,


Singgah-menyinggah di pagar
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

Menurut Simorangkir Simandjuntak (1965), seloka adalah bidalan atau pepatah

yang bersampiran, tegasnya dalam bentuk pantun empat baris.

Anak agam jual sutera,


Jual di Rengat tengah pekan,
Jangan digengam seperti bara,
Terasa hangat dilepaskan.
Seloka lama yang dimaksudkan oleh Rustam Efendi, tiada yang berbeza dengan maksud

penulis-penulis hikayat lama, ialah puisi lama dan pengertian umum. Dalam puisi baru,

ciptaan Rustam Effendi disinggungya pula perkataan seloka itu:

Syarat saraf saya mungkiri,


Untai rangkai seloka lama,
Beta buang beta singkiri,
Sebab laguku menurut sukma.

(Rustam Effendi : 1967)

Menurut C. Hooykaas (1965), menyatakan seloka yang terdapat dalam bahasa

Melayu itu ialah suatu seloka dari empat baris yang masing-masing terdiri seboleh-

bolehnya dari empat perkataan dari 8-11 suku kata, dan bersajak sebagai kalimat-kalimat

syair tetapi dalam empat baris ataupun sebagai kebanyakan pantun. Pendapat C.

Hooykaas ini hampir serupa dengan R.J. Wilkinson dalam kamusnya itu, yakni seloka itu

tiada mempunyai bentuk atau hukum-hukum yang tetap seperti pantun, syair, gurindam

dan sebagainya. Seloka adalah pantun yang memakai rima yang sama a-a-a-a seperti

syair:

Candu dibungkus kain palas,


Makan dia mata bilas,
Mandi segan kerja malas,
Harta orang hendak digalas.

Jadi bentuknya tetap empat baris seperti syair. Sedang isinya sama dengan seloka

yang lain, iaitu mengandungi sindiran terhadap kelakuan seseorang yang kurang baik,

bodoh, dungu, pemadat dan sebagainya (C. Hooykaas: 1965).

Melihat keterangan-keterangan di atas, sungguh kaburlah bagi kita bentuk seloka

dalam kesusasteraan Melayu/Indonesia. Pendapat C. Hooykaas yang mengemukakan

bentuk seloka terdiri dari sajak empat baris dapatlah kita anggap suatu keterangan yang

agak berani, mengingat samarnya pengertian seloka itu dalam syair-syair dan hikayat-

hikayat lama.
Sutan Takdir Alisjahbana juga turut tidak ketinggalan menyuarakan pendapatnya

mengenai puisi Melayu tradisional terutamanya seloka. Seloka yang dimaksudkan oleh

beliau adalah sejenis puisi yang tidak mempunyai struktur yang tertentu, tetapi

mempunyai puisi yang tidak mempunyai ciri-ciri yang diasingkan daripada genre-genre

yang lain. Sekaligus karya yang ditulis oleh Sutan Takdir dalam bukunya iaitu Puisi

Lama tidak menyinggung sedikit pun mengenai seloka (Sutan Takdir Alisjahbana: 1971).

Menurut Sabaruddin Ahmad memberikan contoh seloka itu terdiri sesusun seperti

pantun berkait, yang dalam istilah lain disebut pantun seloka:

Taman melatu di rumah-rumah,


Ubur-ubur sampingan dua,
Kalau mati kita bersama,
Satu kubur kita berdua,
Ubur-ubur sampingan dua,
Tanam melati bersusun tangkai,
Satu kubur kita berdua,
Kalau boleh bersusun bangkai.

(Sahabaruddin Ahmad: 1979)

Dalam bahasa jawa, seloka dikenal dan diasosiasikan dengan peribahasa, misalnya seloka

jawa:

Rindik asu digitik


(ertinya, lari seperti anjing dipukul)
Kutik marani sunduk
(Gabus mendapatkan tusuk)
Kebo kebotan sungu
(Kerbau keberatan tanduk).

Dalam ceritera ‘Pak Kaduk’ pada halaman terakhir kami jumpai pula perkataan seloka

sebagai berikut:
Aduhai malang Pak Kaduk!
Ayamnya menang kampung tergadai!
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran!
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang!
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan!
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang tanduk!’

(Ceritera Jenaka : 1963)

Ternyata daripada contoh-contoh di atas, genre seloka telah dikelirukan dengan

genre-genre yang lain yang sewajarnya telah mempunyai bentuk dan struktur yang

khusus. Pembicara-pembicara yang menyentuh soal ini, khususnya dari aspek yang

dimaksudkan di sini, telah memberikan definisi dan contoh berdasarkan bentuk yang

ditemui mereka ketika itu dan pemahaman masyarakat yang terlalu umum di tempat dan

waktu yang tertentu.

2.4 Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan-pernyataan yang telah dijelaskan oleh pengkaji, ia

menunjukkan ramai tokoh yang mengkaji mengenai puisi tradisional iaitu seloka. Ini

menunjukkan bahawa setiap tokoh mempunyai pandangan yang berbeza mengenai

seloka. Fungsi puisi pelbagai dan sering dijadikan perantaraan antara interaksi minda
dengan naluri manusia pada sebelah pihak dengan interaksi antara minda dan alam

semesta ciptaan Tuhan. Malahan ada yang beranggapan puisi itu bertujuan untuk

membersihkan kerohanian. Kita melalui rasa simpati atau keinsafan. Manakala puisi yang

bersifat humor pula dikatakan untuk membetulkan manusia ke arah jalan yang lurus di

samping menggelikan hati. Namun begitu, semua bersetuju puisi itu bertujuan untuk

menyemarakkan kesedaran agar manusia sedar tentang hidup yang kompleks dan hubung

kait antara manusia dengan alam dan Penciptaannya. Oleh yang demikian, secara sedar

kita telah menghasilkan sastera tempatan berasaskan acuan lorek dan persepsi dan

penteorian barat. Akibatnya, kita tidak bebas untuk memberi tafsiran sendiri terhadap

puisi tradisional terutamanya seloka dari sudut pandangan seseorang. Kita harus

mendokong persepsi terhadap puisi tradisional tempatan seperti pantun, seloka dan

sebagainya sebagaimana yang difahami oleh penulis barat.

BAB 3
METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Dalam bab ini, pengkaji membincangkan metodologi kajian yang digunakan dalam

menjalankan kajian. Metodologi kajian yang digunakan ialah teori sastera warisan dan

teori sosiologi. Teori sastera warisan dan teori sosiologi merupakan teori yang paling

sesuai digunakan dalam mengkaji unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam Puisi

Tradisional iaitu Seloka. Metadologi kajian ini memfokuskan kepada kesesuaian teori ini

digunakan dalam menganalisis unsur-unsur kritikan yang terdapat pada seloka. Tujuan

utama metodologi kajian ini dilakukan adalah untuk memudahkan

pengkaji membuat kajian terhadap seloka tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang

terdapat dalam teori sastera warisan dan juga teori sosiologi.

Menurut Kamus Dewan, Edisi Keempat (2005:1030), metodologi ditakrifkan

sebagai sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu

kegiatan, disiplin dan sebagainya. Dalam kajian ini, pengkaji telah menggunakan teori
struktural sebagai landasan pegangan kajian pengkaji. Manakala metodologi kajian

menurut Cohen & Manion 1996, dalam Othman Mohamed (2001:26) pula merupakan

pendekatan yang digunakan dalam penyelidikan pendidikan bagi mengumpulkan data dan

data ini pula akan digunakan sebagai asas bagi membentuk inferensi dan pentafsiran untuk

tujuan menghurai dan membuat jangkaan tentang sesuatu fenomena. Dalam kajian ini juga,

pengkaji telah menggunakan teknik penyelidikan perpustakaan.

Teknik penyelidikan ini merupakan teknik penyelidikan yang digunakan oleh

pengkaji untuk mendapatkan data dan maklumat. Penyelidikan perpustakaan merupakan

cara pengkaji mendapatkan data-data dan bukti kajian melalui kajian ke atas dokumen dan

rekod. Teknik penyelidikan ini adalah teknik yang paling popular bagi penyelidikan

ekonomi dan sains sosial. Bahkan juga, teknik penyelidikan perpustakaan ini merupakan

teknik yang sesuai bagi penyelidikan yang menggunakan data bersiri terutamanya siri

masa.

Selain itu juga, teknik penyelidikan perpustakaan dipilih dan digunakan oleh

pengkaji kerana pengkaji mendapati bahawa teknik ini mempunyai faedah dari segi

menjimatkan kos, masa dan tenaga untuk mendapatkan data-data yang akan digunakan

dalam dapatan kajian. Data-data yang diperolehi daripada penyelidikan perpustakaan

merupakan data-data yang telah disediakan oleh penyelidik atau agensi lain, dan pada

kebiasaannya merupakan data yang telah diproses terlebih dahulu. Dengan menggunakan

sumber yang sedia ada untuk mendapatkan data-data dan bukti bagi membuat hipotesis
yang telah dirangkakan, pengkaji akan dapat meneruskan penyelidikan tanpa perlu

membuang banyak masa dan belanja.

Pengkaji juga memilih teknik ini kerana teknik ini dapat mengelakkan pengkaji

daripada menghadapi masalah kerumitan untuk mendapatkan data jika dilakukan dengan

metod lain. Teknik ini tidak memerlukan banyak perancangan, tetapi pengkaji hanya perlu

tahu di mana data yang diperlukan itu boleh didapati. Jadi, penyelidik hanya perlu

mengetahui tentang penerbitan-penerbitan orang perseorangan ataupun institusi-institusi

yang terlibat dan pengkaji juga perlu tahu akan kebolehannya untuk mendapatkan sumber-

sumber tersebut bila diperlukan nanti.

Namun, dengan menggunakan teknik ini, pengkaji akan berhadapan dengan

masalah untuk mempercayai data-data yang diperolehi. Oleh sebab itu, dalam kajian ini,

pengkaji telah cuba mengenalpasti dan mendapatkan data-data yang sah melalui sumber-

sumber boleh dipercayai untuk digunakan dalam kajian pengkaji. Teknik penyelidikan

perpustakaan ini dipilih oleh pengkaji sebagai teknik penyelidikan kajian ini kerana

pengkaji merasakan bahawa teknik ini paling sesuai untuk digunakan dengan tajuk kajian

pengkaji.

3.2 Konsep Teori

Dalam arus perkembangan dunia sastera, teori sastera mempunyai sejarah yang amat

panjang. Sejarah teori sastera ini bergerak seirama dan senadi dengan denyutan disiplin

ilmu sastera itu sendiri hingga ke hari ini (A. Halim Ali, 2006: 16). Kemunculan teori-teori
sastera ini adalah disebabkan oleh perkembangan bidang kritikan sastera. Kebanyakan para

penulis sastera menggunakan teori untuk mengkritik sesebuah hasil karya. Kelahiran teori

sastera ini banyak bergantung kepada kecenderungan praktis kritikan. Wajah kritikan dapat

dilihat daripada rupa teori yang mendasarinya. Di sinilah letaknya kebergantungan teori

dan kritikan saling berganding bahu dalam memanjang dan meluaskan perkembangan

disiplin sastera di dunia klasik ke moden.

Secara umumnya, teori sastera diertikan sebagai rumus-rumus bagi menentukan

sesuatu karya. Selain itu, terdapat juga pendapat tokoh-tokoh sastera berkaitan konsep

teori. Abdul Halim Ali (2006) menyatakan teori berasal daripada perkataan Yunani iaitu

therio yang membawa maksud "pemandangan". Konsep ini memberi makna teori

berasaskan kepada konsepsi seseorang yang kemudiannya mengemukakannya dalam

bentuk suatu pandangan. Terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh

sastera di dalam mahupun luar negara. Menurut Mieke Bal (1985) dalam Abdul Halim Ali

(2006) menyatakan ‘a theory is a systematic set of generalized statements about a

particular segment of reality’. Manakala menurut Heinan (1985) pula, teori ialah ‘a group

of logically organized laws or relationships that constitute explainnation in a discipline’.

Teori kesusasteraan itu secara umumnya diertikan sebagai rumus-rumus bagi

menentukan sesuatu karya (A. Wahab Ali, 2000:5). Kerlinger (1973:90), mendefinisikan

teori sebagai satu himpunan konsep, takrifan dan definisi yang paling berkait memberikan

gambaran secara sistematik tentang fenomena dengan memperincikan tujuan teori itu

mengandungi beberapa konsep yang mempunyai kaitan sesama sendiri dan teori itu sendiri

memberikan pengertian kepada kita bagaimana sesuatu fenomena itu berlaku. Mana Sikana
adalah salah seorang pengkaji Melayu di Malaysia yang telah memberikan definisi teori.

Menurut Mana Sikana (1997) dalam Abdul Halim Ali (2006) teori merupakan gagasan

tentang definisi, konsep, prinsip, kriteria dan saranan yang menjelaskan sesuatu subjek.

Dalam rangka falsafah, teori berada pada tahap ketiga selepas ilmu dan dari batas inilah

juga bermukimnya daerah seni yang berperanan menyempurnakan dalam rangka falsafah

tauhid di atas (S. Jaafar Husin, 1995: 132).

Selain itu, menurut Luxemburg (1984) dan Zainuddin Fananie (2002) teori sastera

dapat disebutkan sebagai ilmu yang meneliti sifat-sifat yang terdapat dalam teks sastera dan

bagaimana teks tersebut berfungsi dalam masyarakat. Oleh itu, dapatlah dirumuskan

bahawa, teori sebagai gugusan idea atau konsep yang membentuk suatu tanggapan bagi

memahami dan menjelaskan sesuatu tanggapan bagi memahami dan menjelaskan sesuatu

fenomena berasaskan aturan yang sistematik.

3.3 Teori Sastera Warisan

A. Wahab Ali dalam buku Teori dan Kritikan Sastera Serantau (2005 : 47-57)

berpendapat, segala perlakuan kita dalam budaya hari ini bukanlah tercipta saat ini.

Semuanya diwarisi dari budaya lampau. Kita minum menggunakan cawan dan gelas,

diwarisi daripada budaya lampau bahawa mereka minum menggunakan bekas, mungkin
tempurung, keloncot daun, uih dan buluh. Budaya minum menggunakan bekas itu tetap

kekal tetapi yang berubah lewat zaman ialah bekas dan gayanya. Bekasnya hasil pengaruh

kemajuan budaya pembuatan barangan. Kita terima cawan dari China, gelas dari Eropah,

piala dari Parsi, Arab dan Mesir. Cara budaya minum kita warisi dari budaya yang lalu.

Cara kita menyedut air, cara meletakkan bibir pada bekas minuman, memegang bekas

minuman, campuran dalam minum dan cara kita menghidangkan air itu kita warisi. Cara

berubah mengikut kemajuan budaya tetapi budaya minum itu tetap rasanya.

Begitu juga hasil sastera sebagai budaya bangsa, tetap kita warisi. Sastera

yang kita cipta hari ini, bukanlah mutlak ciptaan asli kita tanpa warisi budaya. Orang

terdahulu telah mencipta sastera. Kita adalah penerima dan penerus budaya sastera itu.

Apabila kita mencipta adalah berdasarkan model waris yang diterima. Menerima warisan

dan mewariskan budaya sastera itu, samalah seperti budaya minum namun itu merbahaya

mengikut masa, suasana, zaman dan pengaruh yang melingkunginya menurut kesesuaian

dan keserasian zamannya. Begitu juga budaya sastera. Jika hendak mengaji dan mengkritik

perlulah berasaskan warisan.

3.3.1 Titik Tolak Teori Sastera Warisan

Teori sastera warisan bertitik tolak daripada andaian pujangga silam dan penulis atau

sasterawan semasa menulis sesebuah karya itu adalah untuk masyarakatnya. Karya yang

baik untuk zaman ditujukan untuk mendidik masyarakat dengan pelbagai cara di samping

menghiburkan mereka. Karya-karya itu menjadi pusaka bangsa yang seterusnya diwariskan

pula, hingga menjadi warisan budaya bangsa. Warisnya berupaya menimba nilai-nilai
budaya, menerima, mencerna, menyesuaikan dan merubahnya dengan situasi terkini, demi

melestarikan warisan bangsa itu. Perubahan-perubahan itu dilakukan oleh pengarang dan

sasterawan terkini, baik melalui budayanya sendiri, mahupun melalui penerimaan budaya

dari luar demi kelangsungan dan demi dinamika budaya itu.

3.3.2 Sejarah Idea

Teori Sastera warisan ini muncul hasil daripada pengalaman A.wahab Ali meneliti,

mengajar dan mempraktikkan dunia kreatif sebagai sasterawan. Hasil daripada gabung jalin

tiga macam pengalaman itu, beliau mendapati bahawa sastera Melayu boleh dikaji dan

dipraktikkan dengan menggunakan teori Sastera Warisan. The emegence of the Novel in

Indonisian and Malaysian Literature: Acomparative Study adalah satu contoh yang

mengilhamkan idea Teori Sastera Warisan. Dalam kajian itu, beliau menelusuri unsur-

unsur lama dan baru serta perihal zaman yang mempengaruhi pengembangan bentuk cerita

Melayu itu sehingga munculnya bentuk roman atau novel yang kita kenal hari ini.

3.3.3 Idea-Idea Pokok Teori Sastera Warisan

i. Pengarang anggota masyarakat mendukung budaya sesuatu budaya.


ii. Karya pengarang mengucapkan secara langsung atau tidak tentang nilai-nilai

budaya bangsanya.

iii. Pengarang yang baik bertanggungjawab mendidik anggota masyarakatnya.

vi Karya yang baik adalah menurunkan nilai-nilai murni kepada pembaca

pusaka yang perlu diwariskan bagi kesinambungan budaya bangsa.

v. Sebagai warisan, waris yang menerima berhak memanfaatkan warisannya dengan

berbagai cara menerima seadanya, mencerna demi perubahan zaman, mengekalkan

sebahagian dan menghilangkan sebahagiannya serta menambah pula dengan unsur-

unsur baru yang menjadi tradisi baru yang bakal diwariskan.

viii. Karya sastera itu ialah merupakan takungan khazanah budaya, lewat zaman teradun

unsur budaya melalui isi, pemikiran, bentuk, bahasa dan estetiknya.

3.3.4 Kaedah teori sastera

Terdiri daripada kaedah sejarah, pertalian teks, pencernaan pengaruh, genre, perbandingan,

dan moral. Setiap kaedah yang digunakan ini penting dalam menilai sesuatu unsur kritikan

dalam mengkaji sesebuah puisi tradisional seperti seloka.

3.3.4.1 Kaedah Sejarah


Kaedah sejarah digunakan bagi meneliti perkembangan sesuatu unsur sastera yang sudah

membudaya pada serentetan karya lewat zaman. Hal ini dapat dibuatkan periodisasi

perkembangan sastera itu berdasarkan unsur-unsur budaya yang dominan. Misalnya, unsur

pemikiran, bentuk, nilai, perlakuan, gaya bahasa, estetika dan seumpamanya.

Kaedah sejarah ini digunakan untuk meneliti sesebuah teks terkini atau pada

sesuatu zaman dengan menelusuri unsur-unsur budaya tertentu bagi menyatakan

kedudukan dan mutu percapaian sesebuah teks yang dikaji.

Seseorang pengkaji atau pengkritik yang menggunakan kaedah ini perlulah

luas pengetahuannya mengenai sesebuah genre sastera dan sejarah yang berlaku

sebelumnya dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang sastera sezaman dan terkini

serta budaya sesuatu bangsa. Ini bergantung kepada bidang yang menjadi fokus kritikan

atau kajiannya.

3.3.4.2 Kaedah Pertalian Teks

Kaedah pertalian teks sesuai untuk mengkaji dan mengkritik sesebuah teks sastera dengan

melihat hubungan teks yang dikaji dengan teks yang lampau atau teks terkini dengan teks

yang lalu, mengenai penyebaran dan pertalian unsur-unsur budaya sastera itu dari zaman ke

satu zaman.
3.3.4.3 Kaedah Pencernaan Pengaruh

Kaedah ini digunakan bagi melihat unsur-unsur luar yang masuk ke dalam budaya sastera,

menyatakan punca, menyatakan sifat teks, punca dan bagaimana pengaruh dari luar dan

teks punca dicerna dengan gaya kreatif berdasarkan budaya kreatif tempatan: apakah yang

diambil, bagaimana unsur diambil dan dicerna, apa kesannya menyegarkan atau

menghiburkan atau bagaimana penerimaan estetik budaya sastera semasa.

3.3.4.4 Kaedah Genre

Kaedah ini dilakukan bagi melihat budaya sastera pada sesuatu zaman itu mentradisikan

sesuatu genre. Genre yang sudah ditradisi dan mantap ini berubah serta bertalian antara

satu dengan lain. Di samping itu, dilihat bagaimana terputusnya genre itu, sehingga

menimbulkan genre baru dalam budaya sastera bangsa.


3.3.4.5 Kaedah Perbandingan

Kaedah perbandingan boleh digunakan untuk kajian dan kritikan bagi membandingkan

lebih daripada satu teks budaya sastera berdasarkan zaman dan budaya sesuatu genre atau

budaya pengarang yang melahirkan teks sastera. Kaedah ini boleh digabungkan dengan

kaedah pertalian teks dan kaedah pencernaan pengaruh bagi memperagakan dan menilai

kekuatan dan kelemahan teks-teks serta pencapaian teks-teks yang dikaji.

3.3.4.6 Kaedah Moral

Kaedah moral boleh digunakan untuk kritikan dan kajian bagi melihat satu teks atau

beberapa rentetan teks dengan memfokuskan baik buruk dan nilai-nilai murni moral itu

diadun dalam satu-satu bangsa zaman budaya yang dilalui oleh sesuatu masyarakat dan

bangsa. Dalam hal ini, agama, firasat dan kebiasaan masyarakat yang menjadi landasan

budaya mesti dijadikan asas analisis.


3.5 Teori Sosiologi

Teori sosiologi dalam kritikan sastera ialah satu kaedah kritikan yang menggunakan

prinsip-prinsip teori sosiologi. Sosiologi ada hubungkait dengan aspek-aspek historikal

sebagaimana yang dibincangkan dalam teori historikal sebelum ini, ia juga mengambil kira

aspek-aspek luaran teks sebagai asas menilai teks. Aspek-aspek yang menjadi teras

kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya, dan etika sosial akan

turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi teks dan pengkaryanya serta

masyarakat pembaca.

Falsafah pemikiran Auguste Comte (1798-1875) yang meletakkan sosiologi sebagai

ilmu yang tertinggi dan patut dipelajari, maka kritikan sastera dan penulisan teksnya juga

turut dipengaruhinya. Pemikiran Auguste Comte (1798-1875) telah mendapat sambutan

yang hangat dan turut mempengaruhi pemikiran ahli falsafah Inggeris John Stuart Mill.

Lanjutan daripada pemikiran inilah berkembangnya pengaruh postivisme dan aliran

realisme dalam kesusasteraan Perancis dan Barat (Abdul Halim Ali, 1998:4).

Sosiologi merupakan kajian tentang hukum masyarakat dan proses yang berkenaan

dengannya; dan orang yang berlainan bukan setakat sebagai individu, tetapi juga sebagai

ahli persatuan, kumpulan sosial, dan institusi (pendek kata sebagai anggota masyarakat).

Sosiologi secara teori sering kali dikaitkan dengan soal-soal manusia dalam masyarakatnya.
Sosiologi berminat tentang perangai kita sebagai manusia; atau secara ringkas, mengkaji

hubungan antara manusia yang pada awalnya saling tidak kenal kepada suatu peringkat

yang lebih proses sosial sejagat.

Sosiologi yang muncul pada abad ke-19 dianggap sebagai tindak balas akademik

tentang gaya kemodenan; apabila dunia semakin kecil dan lebih bersepadu, pandangan

hidup manusia tentang dunia semakin mengecil dan tersebar. Ahli sosiologi berharap,

melalui ilmu ini dapatlah kita memahami unsur-unsur yang menjalinkan perpaduan

(mencari persamaan) antara kita, dan juga untuk membentuk "penawar" (antidote) kepada

perpecahan atau krisis moral masyarakat.

Para sosiologi masa kini menyelidik struktur makro yang membentuk dan

seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat, seperti kaum atau etnik, kelas masyarakat

dan peranan jantina dan institusi seperti keluarga; proses sosial yang mewakili lencongan

daripada, atau kehancuran, struktur ini, termasuk jenayah dan perceraian; dan proses mikro

seperti interaksi interpersonal.

Ahli sosiologi sering kali bergantung kepada kaedah kuantitatif untuk menghurai

corak hubungan sosial, dan untuk membina model-model yang boleh membantu dalam

meramal perubahan sosial dan kesannya kepada manusia. Sesetengah ahli sosiologi pula

berpendapat kaedah kuantitatif (seperti wawancara terarah, diskusi berkumpulan, dan

kaedah etnografi) mampu memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap proses

sosial. Cara yang terbaik ialah menggunakan kedua-dua kaedah secara serentak. Keputusan
daripada kedua-dua kaedah ini boleh digunakan untuk menguatkan hujah antara satu sama

lain. Contohnya, kaedah kuantitatif boleh menghurai corak am sosial, manakala kaedah

kualitatif pula boleh membantu dalam memahami bagaimana seseorang individu bergerak

balas terhadap perubahan sosial.

Secara ringkasnya, pendekatan ini memberi penekanan kepada aspek pengajaran

sosial sebagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota

masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya.

Dalam hal ini, pendekatan sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang

pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan

intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosiolisasi, pendidikan,

alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau terlebih

dahulu (Mana Sikana, 1983: 110).

3.6 Kesinambungan Teori Sastera Warisan Dan Pendekatan Sosiologi Dengan


Unsur Kritikan Dalam Seloka.

Teori Sastera Warisan dan pendekatan Sosiologi amat sesuai digunakan dalam mengkaji

puisi Melayu tradisional seperti seloka kerana seloka merupakan salah satu warisan nenek

moyang kita yang mengandungi pelbagai nilai keindahan dan pengajaran. Namun,

kekayaan nilai kritikan dan pengajaran di dalamnya tidak digunakan oleh masyarakat pada

hari ini. Malang sekali sekiranya kita terus menerus melupakan puisi yang indah seperti ini

kerana ianya merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya.


Teori Sastera Warisan ini sesuai digunakan kerana puisi tradisional yang

merupakan seloka adalah salah satu puisi tradisional yang datang turun temurun sejak dari

nenek moyang lagi. Teori Sastera Warisan menjadi titik tolak kepada karya-karya yang

menjadi pusaka bangsa yang seterusnya diwarisi pula menjadi warisan budaya bangsa.

Warisnya berupaya menimba ilmu-ilmu budaya, menerima, mencerna, menyesuaikan dan

merubahnya dengan situasi terkini, demi melestarikan warisan bangsa terutamanya puisi

tradisional seloka. Di samping itu juga, seloka berupaya memberi pengajaran serta nilai-

nilai murni yang boleh diambil ikhtibar berdasarkan cerita yang tersirat dia dalam seloka

itu sendiri.

Selain itu pendekatan sosiologi digunakan sesuai mengenai kajian yang dibuat oleh

pengkaji iaitu unsur kritikan dalam seloka. Pendekatan sosiologi memberi penekanan

kepada aspek pengajaran sosial bagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya

menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan

masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan sosiologi tidak dapat lari dari menuntut

dan membicarakan tentang pengkarya. Di samping itu juga pendekatan ini juga

menekankan isi karya yang mampu memberi manfaat dalam mendidik masyarakat. Karya

yang baik adalah karya yang mampu memberi pengajaran dan mempunyai isi yang

mempersoalkan pembentukkan masyarakat dan individu yang baik. Contohnya melalui

seloka Pak Kaduk, seloka Pak Pandir dan sebagainya yang menekankan unsur kritikan

sosial kepada masyarakat yang disampaikan secara tersirat.


Kritikan sastera telah berkembang sebagai satu displin dalam pengkajian

kesusasteraan sejak zaman Plato (424-347 S.M.) lagi iaitu kira-kira 2,400 tahun yang lalu.

Kemunculan displin ini bergerak secara seiring dengan bidang teori dan penghasilan karya-

karya kesusasteraan. Kemunculan karya kesusasteraan membuka luas fenomena sastera.

Teori sastera pula menyediakan landasan kepada pemahaman terhadap fenomena tersebut,

manakala, bidang kritikan menyediakan kaedah yang menunjukkan cara mentafsir

fenomena sastera.

Ini bermakna kehadiran sesuatu karya akan menyusul selepas itu kerja-kerja

kritikan sastera. Jelasnya, tanpa karya kesusasteraan, kritikan tidak mungkin berkembang

dan teori sastera akan tinggal hanya sebagai teori murni. Oleh kerana, tiga bidang sastera

ini menjadi nadi penting kepada kehidupan displin sastera itu. Kritikan sastera menjadi

kompenan pelengkap yang memberi nafas kepada teori dan karya-karya kesusasteraan.

Begitulah akrabnya pertalian antara kritikan dengan sastera. Secara tidak langsung,

keadaan ini menyebabkan para sarjana sastera berminat untuk menyelami hubungan kedua-

dua aspek tersebut. Jelaslah bahawa persoalan tentang kritikan sastera telah lama

diperkatakan. Teori Sosiologi dan Teori Sastera Warisan ini dianggap sesuai dalam

pengkajian ini kerana kedua-dua teori tersebut membincangkan kisah masyarakat yang

berlaku pada zaman dahulu kala. Kedua-dua teori ini secara tidak langsung bertindak

sebagai panduan atau rujukan kepada kritikan terhadap seloka yang dipilih. Kelebihan yang

dapat digunakan apabila menggunakan teori ini ialah dapat mengenal puisi warisan dan
keistimewaan masyarakat pada zaman dulu yang banyak menggunakan puisi sebagai alat

penyampaian dan maklumat kepada masyarakatnya.

Dalam konteks sastera Melayu, genre puisi misalnya merupakan sebuah warisan

teras hati budi masyarakat Melayu yang penuh kesantunan dan nilai-nilai luhur. Pengaruh

daripada puisi tradisional menggabungkan nilai estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai

budi serta kesantunan orang Melayu. Secara umumnya, budi didefinisikan sebagai akal atau

daya fikir untuk memahami sesuatu yang konkrit atau abstrak, yang praktikal ataupun

teoritikal. Penghayatan dalam puisi tradisional seloka dari aspek kritikan memberi sedikit

sebanyak ilmu pengetahuan yang amat berguna kepada pembaca terutamanya generasi

muda yang pada masa sekarang kurangnya nilai-nilai murni dalam diri mereka sendiri.

Masyarakat Melayu yang pada ketika itu lebih mementingkan tradisi lisan telah

menggunakan bentuk-bentuk kesusasteraan Melayu tradisional seperti syair, pantun,

peribahasa, pepatah dan perumpamaan bagi menggambarkan pencapaian serta pemikiran

mereka.

3.7 Kesimpulan

Teori yang yang digunakan oleh pengkaji adalah teori sastera warisan dan teori sosiologi.

Kedua-dua teori yang digunakan adalah menepati tajuk yang dikaji oleh pengkaji. Oleh
yang demikian, pengkaji telah memilih kedua-dua teori ini untuk mengkaji unsur-unsur

kritikan yang telah dihasilkan oleh pengarang pada zaman dahulu. Jelaslah bahawa teori ini

memang sesuai digunakan untuk mengkaji unsur kritikan yang terdapat dalam seloka yang

terdapat dalam puisi-puisi Melayu tradisional. Melalui teori sastera warisan dapatlah dilihat

bahawa anggota masyarakat mendukung budaya sesuatu budaya dan secara tidak langsung

karya pengarang mengucapkan secara langsung atau tidak langsung tentang nilai-nilai

budaya bangsanya.

Pengarang yang baik bertanggungjawab mendidik anggota masyarakatnya dan

menurunkan nilai-nilai murni kepada pembaca pusaka yang perlu diwariskan bagi

kesinambungan budaya bangsa. Sebagai warisan, waris yang menerima berhak

memanfaatkan warisannya dengan berbagai cara menerima seadanya, mencerna demi

perubahan zaman, mengekalkan sebahagian dan menghilangkan sebahagiannya serta

menambah pula dengan unsur-unsur baru yang menajdi tradisi baru yang bakal diwariskan.

Karya sastera itu ialah merupakan takungan khazanah budaya, lewat zaman teradun

unsur budaya melalui isi, pemikiran, bentuk, bahasa dan estetiknya. Sosiologi merupakan

kajian tentang hukum masyarakat dan proses yang berkenaan dengannya; dan orang yang

berlainan bukan setakat sebagai individu, tetapi juga sebagai ahli persatuan, kumpulan

sosial, dan institusi (pendek kata sebagai anggota masyarakat). Teori Sosiologi pula secara

teori sering kali dikaitkan dengan soal-soal manusia dalam masyarakatnya. Sosiologi

berminat tentang perangai kita sebagai manusia; atau secara ringkas, mengkaji hubungan

antara manusia yang pada awalnya saling tidak kenal kepada suatu peringkat yang lebih
proses sosial sejagat sekaligus unsur-unsur kritikan dalam seloka menjadi titik tolak kepada

hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan masyarakat.

BAB 4

DAPATAN KAJIAN
4.1 Pengenalan

Dalam bab ini pengkaji membincangkan dapatan kajian hasil daripada analisis karya yang

dikaji. Bab ini akan membincangkan keindahan di dalam seloka itu sendiri. Dalam sesebuah

hasil karya, ia mempunyai pelbagai kelainan daripada pengucapan yang lurus hingga bahasa

itu menjadi berwarna dan berbunga indah dan menarik. Ia dapat menimbulkan rasa yang

berlainan serta makna yang lebih halus. Kelainan itu bertambah banyak dalam karya sastera

kerana ia mengandungi unsur estetik atau unsur keindahan. Unsur keindahan tersebut

dicungkil daripada penggunaan bahasa. Manakala gaya bahasa mendasari pengucapan dalam

karya tersebut (Keris Mas,

1988 : 3-4). Perkara yang ingin dibincangkan ialah unsur kritikan yang terdapat

dalam sesebuah karya iaitu seloka yang menyindir masyarakat dengan cara yang

halus dan berkesan.

4.2 Unsur Kritikan Dalam Seloka

Dalam buku Himpunan Puisi Klasik karya Md. Ali Bin Bachik dan Mohd Yusof

Md. Nor dalam karya Rampaisari Puisi Warisan, pengkaji telah memilih sembilan

buah puisi untuk dikaji. Puisi yang dikaji tersebut terdiri daripada puisi Melayu

tradisional iaitu seloka. Pengkaji akan mengkaji unsur kritikan berdasarkan kepada
terdapat dalam sembilan buah seloka yang terdapat dalam buku tersebut. Sajak

yang dikaji adalah seperti berikut:

x. Seloka Pak Kaduk

xi. Seloka Mak Si Randang

xii. Seloka Pak Pandir

xiii. Seloka Kisah Pak Pandir

xiv. Seloka Sifat Pak Pandir

xv. Seloka Si Luncai

vii Seloka Pak Balung-Ayam Tambatan

viii. Seloka Kehilangan Adat Melayu

ix. Seloka Lebai Malang

4.2.1 Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,


Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awang pulang kebuluran,
Ada isteri di bunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

(Sumber: Gahazali Dunia, 1992 : 109)

Seloka "Pak Kaduk" mempunyai makna kritikan yang sangat mendalam. Setiap

baris atau bait-bait dalam Seloka Pak Kaduk begitu bermakna dalam menyelitkan

unsur sindiran dalam seloka. Susunan ayat dan bahasa yang digunakan begitu
teratur dan sekaligus melambangkan kedudukan masyakarat Melayu pada zaman

dahulu. Di dalam seloka Pak Kaduk ini juga ada menyatakan dengan terus terang

mengejek Pak Kaduk dan sekaligus ia menyatakan nasib Pak kaduk sungguh

malang. Pak Kaduk boleh dianggap sebagai simbol kepada masyarakat Melayu

pada zaman dahulu yang mana Pak Kaduk hanya menurut perintah dan tidak mahu

berfikir dengan cara yang waras. Dalam seloka Pak Kaduk ini menceritakan akan

nasib malang Pak Kaduk yang mana kampungnya tergadai dek kerana seekor ayam.

(Othman Puteh & Aripin Said, 2003: 23-25). Contohnya kisah nasib malang Pak

Kaduk dapat dilihat melalui bait-bait ayat yang terdapat di bawah ini.

Sungguh malang nasib Pak Kaduk


Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada rumah awak menumpang!

(Sumber: Gahazali Dunia, 1992 : 109)

Di samping itu juga, nasib malang Pak Kaduk ini juga berkait rapat dengan sikap

Pak Kaduk yang gemar menyabung ayam. Hobi menyambung ayam ini

sememangnya popular dalam kalangan masyarakat pada zaman dahulu kerana ianya

dianggap sebagai satu hiburan setelah penat bekerja. Dengan cara ini sahajalah

masyarakat pada zaman dahulu menghiburkan hati masing-masing. Di dalam seloka

Pak Kaduk ini menggambarkan kekalahan Pak Kaduk dalam menyambung ayam.

Contohnya dapat dilihat melalui bait-bait pada seloka Pak Kaduk ini iaitu:

(http://klasik.blogmas.com/2008/10/31/malang-pak-kaduk/)
Pak Kaduk, Oi Pak Kaduk,
Kalah sabung, menang sorak,
Pak Kaduk, Oi Pak Kaduk,
Kurang fikir sebab banyak borak!

(Sumber: Gahazali Dunia, 1992 : 109)

Seloka ini jelas menyatakan Pak kaduk banyak bercakap dari berfikir. Kelakuan

Pak Kaduk yang lurus bendul ini memudahkan orang lain mengambil kesempatan

ke atas dirinya yang mudah ditipu. Selain itu, Pak Kaduk juga seorang yang dungu

sepanjang hidupnya dan gagal membuat pertimbangan sendiri. Seloka Pak Kaduk

diterjemahkan oleh masyarakat Melayu dahulu sebagai satu wahana yang memberi

iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk

bernasib malang akibat daripada kejahilan dirinya sendiri. Menurut Raja Ali Haji

Yahya, 1975 dalam karyanya iaitu “Cerita Jenaka”, rentetan kisah Pak Kaduk yang

mengisytiharkan ayam miliknya menang dalam perlawanan namun tanah miliknya

tergadai apabila dia telah bersepakat dengan raja di negerinya itu untuk menukar

ayam masing-masing sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung.

Ketika perjalanan pulang ke rumah, dia kelaparan kerana bekal yang

dibawanya ketika perlawanan sabung ayam itu dibuang di tengah jalan. Apabila dia

berperahu ketika pulang, dia mengalami kesukaran untuk mengendalikan perahu

miliknya itu kerana apabila dia hendak menghala perahunya ke hulu, didayungnya

ke arah hilir dan sebaliknya. Setelah lama mendayung barulah dia sampai ke rumah

dengan keadaan yang penat dan lapar. Isterinya pula tidak memasak kerana

menyangka dia telah makan sebelum pulang ke rumah. Dia mula naik angin dan
isterinya nyaris mati dipukulnya kerana tidak menyediakan makanan. Sudahlah

ketika dia berperahu pulang ke rumah mengalami masalah, apabila sampai di rumah

isterinya tidak memasak dan rumahnya pula diambil oleh raja negeri tersebut akibat

kalah dalam pertaruhan sabung ayam.

Menurut S.Othman Kelantan dalam bukunya yang bertajuk “Pemikiran Satira

dalam Novel Melayu” (1997:55) mengatakan “perjudian” yang disebutkan itu lebih

merupakan usaha yang entah tidak kepada rakyat ketika berdepan dengan raja,

orang-orang yang berkuasa. Penerimaan Pak Kaduk terhadap pertukaran ayamnya

yang bertuah dengan ayam celaka, adalah nasib malangnya sebagai rakyat biasa

apabila berdepan dengan orang yang berkuasa yang bersifat kejam dan zalim.

Dikatakan Pak Kaduk bersorak-sorak sehingga mencarikkan ‘seluar dan baju

kertasnya’ yang digam oleh isterinya, ketika melihat ayamnya Si Kunani menang,

seolah-olah Pak Kaduk “bodoh” dan “dungu” tidak sedar akan ayamnya yang sudah

bertukar itu. Tetapi pada hakikatnya, setiap rakyat yang teraniaya tentu sahaja

“bergembira” dalam penderitaannya bersama-sama orang lain, iaitu suatu perbuatan

yang terpaksa dilakukannya untuk menyenangkan golongan yang tidak boleh

dibantah. Inilah pengalaman Pak Kaduk ketika berdepan dengan raja, yakni pihak

berwibawa, yang tidak dapat dibantah dan dilawan.

Nasib malang Pak Kaduk sinonim dengan segelintir individu dalam

masyarakat Melayu zaman pasca moden ini kerana masyarakat kini mengejar

kebendaan semata-mata tanpa berfikir panjang. Mereka sanggup menggadai maruah


diri dan keluarga apabila ingin mencapai sesuatu. Masalah sosial yang semakin

meruncing kini terjadi gara-gara faktor kejahilan diri sendiri. Individu-individu

yang lalai ini tidak dapat membezakan sama ada keseronokan yang mereka kecapi

itu bersifat sementara ataupun berkekalan. Seloka Pak Kaduk ini memberi seribu

satu pengajaran kepada golongan yang alpa dengan keseronokan duniawi semata-

mata (Abdul Halim Ali, 2006:41-42)

Menurut S.Othman Kelantan dalam bukunya yang bertajuk Pemikiran Satira

dalam Novel Melayu (1997:53) orang yang “terlalu dungu serta dengan tololnya”

tidak akan tahu tentang tuah ayam, melainkan orang yang cerdik dan pintar.

Daripada dialog itu, ternyata Pak Kaduk seorang yang tahu benar tentang tuah

ayam, sebab itulah dia sanggup mempertaruhkan “kampung kita”, yakni tanah dan

rumah kepunyaanya, “untuk mendapat duit baginda” dan dipersetujui pula oleh

isterinya. Ketika Pak Kaduk sudah berdepan dengan raja dan memperlihatkan ayam

sabungnya Si Kunani, Raja Indera Sari segera meminta Pak Kaduk membawa

ayamnya itu kepada baginda.

Dalam seloka ini, Pak Kaduk kehilangan tanah yang merupakan satu-satunya

harta yang dia ada kerana terpengaruh dengan omongan kosong raja yang tidak

berhati perut itu. Jika di zaman serba canggih ini, Pak Kaduk moden boleh

diklasifikasikan dengan individu yang mudah terpedaya dengan janji-janji kosong

“along” yang dikenali sebagai pemiutang. Gara-gara ingin hidup senang individu

ini berani mengambil risiko dengan meminjam sejumlah wang pada pemiutang ini
tanpa mengambil kira soal faedah yang cukup tinggi akan dikenakan kepada

penghutang. Apabila si penghutang ini gagal membayar balik sejumlah wang yang

dipinjamnya dalam tempoh masa yang ditetapkan maka bermulalah episod tragis

dalam hidup mereka. Kehilangan nyawa orang yang mereka sayang dan nyawa

mereka sendiri pasti akan terjadi kelak apabila gagal membayar balik hutang

tersebut seperti yang terjadi pada Pak Kaduk yang kehilangan seluruh harta

miliknya akibat kalah dalam perlawanan sabung ayam.

Sesetengah orang menyangka bahawa kemajuan yang telah dicapai umat

manusia sekarang ini, yang begitu canggih, mengagumkan, itulah tujuan daripada

hidup. Itulah matlamat yang akan dicapai oleh setiap orang. Tidak ada lagi

perhentian atau persinggahan di sebalik itu. Jika telah tercapai kemajuan dan

kelengkapan hidup sempurnalah kemanusiaan kita. Hidup di zaman moden serba

maju, serba pantas, serba teknologi tetapi juga serba gelisah, serba tidak ada

pegangan dan serba diliputi oleh rasa takut. Kesenangan hidup moden hanya

nampak pada kulit, namun jauh di dasar hati manusianya penuh dengan keresahan.

Kebanyakannya bersembunyi di sebalik kemewahan dunia yang serba tidak kekal

ini (Othman Puteh & Aripin Said, 2003: 45-50).

Kebudayaan saat ini, mengajar kepada manusia bagaimana hendak hidup

tetapi ia tidak mampu menerangkan kerana apakah manusia itu hidup dan apakah

hikmah daripada kehadiran manusia hidup di dunia ini. Mereka hanya mencari

kesenangan hidup menurut cara mereka sendiri. Mungkin dengan mencuri, berjudi
dan membuat kezaliman.Jika dahulu, orang mencuri dengan cara sembunyi-

sembunyi tetapi kini kebanyakannya mencuri dengan terang-terangan di depan

mata. Mereka mencuri dengan cara riba, rasuah dan menerima sogokan (Othman

Puteh & Aripin Said, 2003: 10-15).

4.2.2 Seloka Mak si Randang

Baik budi emak si Randang,


Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

Seloka Mak Si Randang pula, lebih kepada seloka yang menyindir orang yang

tertentu. Seloka Mak Si Randang ini menyifatkan watak Emak Si Randang seorang

yang berbudi tetapi budi Emak Si Randang tidak kena pada tempatnya. Emak Si

Randang suka melebihkan orang lain dari anaknya sendiri. Orang Melayu memang

tidak suka berterus terang dalam sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang

hendak diperkatakannya itu merupakan perasaan hatinya. Orang Melayu bersifat


demikian kerana perbuatan berterus terang itu diibaratkan seperti “orang yang

berbaju tidak berseluar”, iaitu “tidak arif dikilas kata, tidak bijak bersilat cakap”.

Selain terikat kepada adat dan norma-norma masyarakat, orang Melayu mempunyai

nilai budi yang amat tinggi. Mereka lebih menghormati orang miskin yang berbudi

daripada orang yang sombong. Mereka tidak suka menonjolkan diri dan kadang

kala menghormati orang lain berlebih-lebihan. Mereka sanggup bersusah payah dan

berhabisan asalkan dapat mengambil hati atau berbudi atau orang lain (S.Othman

Kelantan, 1997: 115-118).

Terdapat tiga peristiwa yang boleh ditafsir melalui seloka ini. Pertamanya

adalah dengan kehadiran orang luar, kedua mengenai anak dan ketiga adalah

mengenai hutang yang belum dijelaskan hingga memakan diri Mak Si Randang itu

sendiri.

Melalui aspek yang pertama, dengan kehadiran orang luar iaitu pedagang

yang datang ke rumah Mak Si Randang. Mak Si Randang melayan tetamu yang

datang ke rumahnya dengan cara yang berlebihan. Namun di dalam Islam itu

sendiri menyatakan kita sebagai tuan rumah perlu memuliakan tetamu yang

bertandang ke rumah tetapi biarlah dengan cara yang berpada-pada. Lain pula

dengan sikap Mak Si Randang yang mana melebihkan orang luar berbanding

dengan keluarga sendiri. Contohnya boleh dilihat melalui bait-bait di dalam seloka

tersebut iaitu:
Baik budi emak si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

Maksudnya di sini ialah Mak Si Randang seorang yang baik hati. Dia melayan

tetamu yang bertandang ke rumah dengan cara yang baik. Sikap ini sememangnya

boleh dipuji kerana dalam Islam sendiri menggalakkan umatnya memuliakan

tetamu yang datang ke rumah. Selain itu, Mak Si Randang sanggup melakukan apa

sahaja bagi memastikan tetamu yang bertandang ke rumahnya di layan dengan baik.

Hal ini terbukti melalui bait-bait seloka iaitu:

Tiada berkayu rumah diruntuhkan,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

Di dalam bait-bait tersebut menyatakan Mak Si Randang sanggup dirinya rugi

daripada membiarkan tetamunya lari. Mak Si Randang sanggup menanak nasi

dengan menggunakan kayu api dan terpaksa menggunakan kayu api sebagai tiang

di rumahnya ekoran kehabisan kayu api di rumah yang digunakan untuk memasak.

(http://klasik.blogmas.com/2007/12/27/emak-si-randang/)

Setelah itu, aspek kedua dalam seloka ini dapat dilihat apabila anaknya pula

balik ke rumah dengan keadaan lapar namun tidak dipedulikan oleh Mak Si

Randang. Sebaliknya terus melayan tetamu yang datang dengan hati yang senang

hati. Di dalam hal ini menampakkan sikap Mak Si Randang yang tidak berhati perut
dan tidak berperikemanusiaan menjadi seorang ibu yang baik. Anak yang pulang

kelaparan tidak dihiraukan oleh ibunya sendiri sebaliknya melayan orang luar lebih

baik daripada keluarga sendiri. Contoh yang boleh dikesan melalui seloka ini ialah:

Anak pulang kelaparan,


Anak dipangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

Cerita ketiga pula yang terdapat dalam seloka ini ialah, bebanan hutang yang

terpaksa ditanggung oleh Mak Si Randang itu sendiri ekoran kebaikannya melayan

orang luar lebih baik daripada keluarga sendiri. Contohnya ialah:

Dagang pergi awak terhutang,


Beras habis, padi tak jadi.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

Unsur kritikan yang boleh dilihat melalui seloka ini ialah kebaikan yang tidak kena

pada tempatnya. Kebaikan Mak Si Randang boleh dipuji kerana melayan tetamu

yang bertandang ke rumahnya. Namun sikapnya yang berlebih-lebihan

menyebabkan keluarganya diabaikan. Hal ini boleh dibuktikan apabila anaknya

kelaparan tidak dihiraukan langsung oleh Mak Si Randang. Sikap ini juga banyak

berlaku dalam kalangan masyarakat kita kini (Othman Puteh & Aripin Said, 2003:

20-22).
Kesibukan bekerja di kota menyebabkan ibu bapa gagal memainkan peranan

dan tangunggjawab sebagai orang tua. Seloka ini secara berterus-terang menyindir

masyarakat yang berbudi tidak pada tempatnya sehingga mengabaikan tanggjawab

masing-masing. Kegiatan sosial yang semakin berleluasa saban hari, kes-kes

maksiat, rompakan, pembunuhan, penderaan dan penyalahgunaan dadah dan

berbagai-bagai lagi penyakit terpampang dan terhidang di dada-dada akhbar dan

tersiar melalui televisyen. Seandainya ada pihak yang berpendapat masalah ini

sering timbul dan bersinonim dengan kelalaian ibu bapa dalam menjalankan

tanggungjawabnya merupakan tuduhan yang tidaklah boleh diremehkan begitu

sahaja.

(http://www.ui.ac.id/Penelitian_Sosial_Budaya_Cenderung_Tinggalkan_Masyaraka

t)

Faktor keluarga yang sering menghimpit menjadi punca seseorang itu

terdesak dan memilih untuk terjun ke kancah permasalahan sosial. Mereka sanggup

mencuri, menipu, memperkosa dan pelbagai angkara dek keinginan memenuhi

nafsu yang meluap-luap. Arus modenisasi dan materialistik telah mengheret

sekelompok besar institusi rumah tangga menjadi goyah dan pincang. Hidup ala

nafsi -nafsi siapa lu gua telah menjadi sebahagian budaya songsang masyarakat

bandar. Keghairahan mengejar wang ringgit, pangkat dan martabat menjadi kiblat

manusia moden.
Akhirnya anak-anak terbiar dalam kedahagaan kasih sayang bak laut yang

tidak bertepi . Demi mengubati kehibaan dan kehausaan kasih sayang anak-anak

hanya ditemani oleh kad-kad visa dan kad kredit yang menjadi lambang status

masyarakat elit. Akhirnya dengan kuasa wang anak-anak hidup lepas bebas

melepasi batasan moral, akhlak dan agama. Justeru, berkembanglah konflik sosial

yang tiada noktahnya (Othman Puteh & Aripin Said, 2003: 71-76).

4.2.3 Seloka Pak Pandir

Pandai! Pak Pandir!


Anak dipijak dagang dijunjung,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh di langit,
Air tempayan dicurahkan,
Mulut disuap pisang,
Buntut dicangkuk onak,
Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga menanggung!
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram!
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga yang menanggung!

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Melalui seloka Pak Pandir unsur kritikan yang boleh dikesan melalui bait-bait kata

atau ayat yang terdapat di dalamnya sama ada dalam bentuk tersurat atau tersirat.

Maksud tersirat yang terdapat di dalam seloka Pak Pandir ini menceritakan watak
Pak Pandir itu sendiri yang lurus bendul, dungu dan juga tamak haloba. Kebodohan

Pak Pandir terserlah melalui kata-kata atau ungkapan di dalam seloka itu sendiri.

(S.Othman Kelantan, 1997: 58)

Pandai! Pak Pandir!


Anak dipijak dagang dijunjung,
Kucing dibunuh tikus dibela!

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Maksud pada baris di atas jelas menunjukkan kebodohan Pak Pandir di

peringkat awal. Hal ini bermakna Pak Pandir gagal mengenal pasti anaknya sendiri

yang telah meninggal dunia terjatuh daripada genggamannya. Anak Pak Pandir dan

Mak Andeh meninggal dunia. Mak Andeh menyuruh Pak Pandir menanam anak

mereka yang baru meninggal dunia. Ketika dalam perjalanan anak yang digengam

oleh Pak Pandir jatuh ke tanah tanpa disedari oleh Pak Pandir sendiri. Setelah

sampai ke kubur, Pak Pandir pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat

segulung itu dengan tidak memeriksa apa yang ada di dalamnya. Kemudian Pak

Pandir pun berjalan pulang. Apabila Pak Pandir sampai separuh jalan maka

bertemulah Pak Pandir dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi (S.Othman

Kelantan, 1997: 58).

Apabila dilihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka dia pun berfikir

dihatinya, “hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang

lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini”.
Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan

anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka

dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Setelah

sampai ke halaman tangganya dia pun memanggil isterinya, katanya, Andeh,

Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga

yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan

anak kita.

Maka sahut Mak Andeh, agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir di tengah

jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar. Maka kata Pak Pandir, tidak

Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi. Maka sahut Mak Andeh baiklah,

moh kita lihat pula. Kata Pak Pandir, mohlah, Andeh aku tunjukkan. Maka kedua-

duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah

kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, inilah dia

anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh. Setelah

dilihat oleh Mak Andeh, akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan

sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat

kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu.

Lalu dibalutkan anaknya, ditanam semula.

Setelah selesai menanam mayat anaknya, mereka pun pulanglah ke rumah

dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir suami isteri.
Selain itu, Pak Pandir juga dikatakan bodoh dan malang apabila dia dikaitkan

dengan peristiwa kerbau dan Tok Imam.

Perkaitan kerbau dan Tok Imam ini bermula apabila Pak Pandir melihat

kampung itu adalah beberapa ekor kawan kambing sedang makan rumput.

Semuanya berjanggut. Maka Pak Pandir pun hampirlah kepada kawan kambing itu

serta berkata, “Hai Pak Lebai, andeh mengajak ke rumah hendak kenduri. Maka

kambing itu pun berbunyilah oleh ketakutan melihat Pak Pandir itu, lalu ia lari tiada

berketahuan lagi seraya berbunyi ‘ Bek! Bek!' kata Pak Pandir, apa sebenarnya Pak

Lebai mengata nasi Andeh lembek? Tidak lembek, keraslah betul”. Maka pada

pertengahan jalan itu bertemulah ia dengan sekawan burung pipit uban sedang

merayap diatas rumput. Maka kata Pak Pandir, “Hai Haji, mari kita pergi ke rumah

aku. Andeh menyuruh ajak, kami hendak kenduri. Maka burung itu pun berbunyi,

‘Pit! Pit!' Maka kata Pak Pandir, rumah kami tidak sempit, haji luas dan besar.

Jangan kita lambat lagi, Andeh sudah lama menanti”. Setelah itu pipit tu pun

terbang lari. Maka diusir juga oleh Pak Pandir sambil berkata, Nanti, nanti kita

pergi bersama-sama. Hingga penatlah ia mengikut burung itu, hampir-hampir lelah.

Maka naiklah berang Pak Pandir dan mengambil kayu lalu dilemparnya.

Dengan takdir Allah kayu tersebut terkena dua ekor burung itu lalu jatuh ke tanah.

Pak Pandir segeralah mengambil dan berkata, tadi aku ajak benar-benar, tiada mahu

sekarang baharu hendak pula, sahajakan haji buta perut.


Wah! Apabila dilihat oleh Mak Andeh, apatah lagi, hingga tenarlah bunyi

sumpah seranahnya akan Pak Pandir, hingga tiada terdengar oleh anjing dan kucing.

Serta katanya, aduhai harapnya hatiku hendak kenduri, diperbuat oleh Pak Pandir

keparat umpan alir ini, mahu pun di tangkap oleh harimau panjang sembilan itu,

sahajakan yang tiada boleh diharap. Kalau muntahkan darah pulangkan kepadanya

sahaja pun jadi, tentang kerja jangan. Lain disuruh, lain dibuatnya (Othman Puteh

& Aripin Said, 2003:70-75).

Maka jawab Pak Pandir, Andeh kata cari lebai yang berjanggut dan haji yang

berserban putih ini bukankah dia? Semuanya Andeh marahkan aku. Maka Mak

Andeh pun diamlah pun diamlah seraya katanya, baiklah pergi pula panggil Dato

Keramat Jin Islam kemari, tetapi baik- baik, jalan itu simpangnya dua yang sebelah

kiri itu terus ke rumah nenek gergasi.

Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Pak Pandir pun berjalanlah

dengan senjatanya iaitu sebilah golok. Berjalan pun berlari-larian sahaja kerana hari

hampir petang. Sekejap berjalan sampailah dia ke simpang dua itu. Maka terlupalah

dia akan pesan Mak Andeh itu lalu diikutnya jalan simpang kiri. Selang tiada

berapa lamanya sampailah ke rumah nenek gergasi itu. Maka nenek itu pun sedang

tidur bertiga beranak di dalam rumahnya. Maka Pak Pandir pun berdiri di tengah

halaman rumah gergasi itu, lalu dia melaung, katanya Hai nenek Tok Sheikh

Keramat, bangunlah! Andeh menyuruh ke rumahnya, dia hendak kenduri.

Harta habis badan tergadai,


Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh di langit,
Air tempayan dicurahkan,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Rangkap ini menampakkan sikap tamak Pak Pandir sehingga menyebabkan dirinya

bertelanjang. Kisah bermula apabila Pak Pandir ke sungai membuat lukah.

Dilihatnya banyak ikan yang tersangkut dalam lukahnya. Pak Pandir memanggang

ikan-ikan tersebut dan memakannya sehingga dia kenyang. Mak Andeh kehairanan

melihat sikap pelik Pak Pandir. Pak Pandir pergi pagi-pagi lagi dan balik lewat

petang. Mak Andeh bertanya kepada Pak Pandir ke mana awak pergi tadi turun

pagi-pagi petang barulah balik? Apa awak buat? Maka sahut Pak Pandir dengan

tersipu-sipu, katanya tiada ke mana aku pergi, Andeh. “Aku cuma berjalan sahaja di

dalam hutang untuk mencari makanan, namun tiada yang aku perolehi” (Raja Haji

Yahya, 1975. Cerita Jenaka).

Setelah itu, Mak Andeh berkata kepada Pak Pandir membuat penat sahaja Pak

Pandir merayau segenap hutan itu. Baiklah makan harta kita yang ada ini cukup.

Bukannya kita ada beranak cucu, apatah yang disusahkan mencari ke sana ke mari

lagi? Maka kata Pak Pandir, aku tiada mahu makan harta andeh lagi, kerana Andeh

tak mahu menyuruh aku lagi. Biarlah aku membuat hal aku seorang dan Andeh pun

buatlah kerja Andeh seorang, usah dihiraukan hal aku (Raja Haji Yahya, 1975.

Cerita Jenaka).
Mak Andeh itu, pun diamlah dengan masam mukanya tiada berkata-kata.

Seketika lagi hari pun malam. Keduanya pun tidurlah. Telah keesokan harinya Pak

Pandir pun tidak lagi melihat lukahnya. Ikan-ikannya yang dapat semua disalainya.

Serta masak sahaja dia pun meratahlah hingga tinggal separuh barulah ia berhenti

dan yang lebihnya itu dimasukkannya ke dalam karung, digantungkannya pada

pohon kayu itu juga. Telah hari petang ia pun pulang. Demikianlah perbuatan Pak

Pandir pada setiap hari, meratah ikan salai dengan bersembunyikan daripada Mak

Andeh, tiada pernah dibawanya pulang ke rumah. Maka dengan takdir Allah,

lukahnya itu pun tiadalah mahu mengena lagi, beberapa dialih dan ditahannya tiada

juga mahu kena lagi, tetapi Pak Pandir tiada khuatir dan meratah ikan kerana ikan

salainya masih ada lagi separuh karung tergantung pada pohon kayu itu. Maka

itulah kerjayanya berulang meratah salai itu pada setiap hari ke atas pohon kayu itu

(Raja Haji Yahya, 1975. Cerita Jenaka).

Mak Andeh yang tiap-tiap hari tinggal menunggu rumah seorang dirinya mula

berfikir, apa gerangan kerja Pak Pandir hilang sehari-hari tiada berselang ini?

Jikalau begitu, baik aku pergi mengintai akan dia. Mak Andeh pun mengambil

candungnya lalu pergi mengikut jalan Pak Pandir itu. Tiada berapa lamanya

sampailah Mak Andeh ke tempat penyalai Pak Pandir itu berjalan mengendap-

endap di dalam hutan itu serta memperhatikan Pak Pandir. Maka dengan takdir

Allah ta`ala kain Pak Pandir tersangkut di atas pohon kayu itu, lalu kelihatanlah

Mak Andeh akan Pak Pandir duduk tercapak pada dahan kayu itu sedang meratah

ikan salai. Maka nampaklah karung salainya tergantung seperti sarang tempua.
Telah nyatalah dilihat oleh Mak Andeh ia pun baliklah ke rumahnya bertanak nasi

lalu makan sorang dirinya sambil berfikir didalam hatinya, itulah rupanya akal Pak

Pandir bedebah itu. Baiklah mana-mana dayaku hendak ku ambil juga ikan salainya

itu (Raja Haji Yahya, 1975. Cerita Jenaka).

Telah ia sudah makan lalu berbaring dimuka pintu. Seketika lagi hari pun

petang. Mak Andeh pergi mengambil air ke sungai. Maka Pak Pandir pun pulanglah

dengan perut yang kenyang meratah ikan salai itu habis dua karung, langsung dia

pergi mandi ke sungai serta naik kerumah, dan Mak Andeh pun menyediakan nasi

lalu mengajak Pak Pandir makan. Maka kata Pak Pandir, makanlah Andeh dulu,

aku sudah kenyang makan buah-buahan kayu di dalam hutan tadi (S.Othman

Kelantan, 1997: 58).

Sahut Mak Andeh, awak makan buah-buahan haram tak mahu membawanya

aku barang sebiji. Maka kata Pak Pandir, perasaan aku Andeh tak suka makan

buah-buahan kayu hutan. Lainlah aku orang sudah biasa tinggal bersama-sama

dengaan lotong dan kera. Dari sebab itulah tiadalah kubawakan, besok boleh aku

bawakan pula (Raja Haji Yahya, 1975. Cerita Jenaka).

Maka Pak Pandir pun berbaringlah ditengah rumah sambil berdikir-dikir.

Maka kata Mak Andeh, apa yang awak takut sekali? Sahut Pak Pandir, aku? Apa

pun tiada kutakuti, harimau, gajah, badak, beruang, singa, beruk, dan hantu
semuanya boleh kucundangi, tetapi Andeh, ada suatu binatang sahaja yang terlalu

kutakuti.

Maka kata Mak Andeh apa namanya yang awak takuti itu? Cubalah katakan.

Maka Pak Pandir hai Andeh jangankan binatangnya, namanya sahaja pun aku takut.

Tidaklah Andeh tiada berani aku menyebutnya. Maka kata Pak Pandir aduhai

Andeh, sahajalah sebab Andeh menyuruh juga, kalau tidak mati dibunuh tidak aku

mahu berkabar. Namanya binatang itu tok tok kai. Hai Andeh seram rasa badan dan

kembang tengkuk aku hendak menyebut namanya. Maka kata Mak Andeh,

langsungkanlah Pak Pandir maka sahut Pak Pandir, itulah dia binatangnya yang

selalu berbunyi.

Tok-tok kai serondung batang,


Dimana hinggap?
Ditengah belakang

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Itulah dia binatangnya yang sangat kutakuti, Andeh. Maka kata Mak Andeh, kalau

binatang itu, tidaklah mengapa sangat tetapi aku pun takut juga rasanya. Setelah itu

kedua-duanya pun tidurlah. Telah keesokan harinya pagi-pagi, maka Pak Pandir

pun pergilah ke pohon kayu salainya itu. Serta sampai ia pun memanjatlah lalu

meratah salainya itu empat lima ekor sekali suap.


Mak Andeh melihat Pak Pandir sudah pergi maka dia pun bersiaplah pergi

mengikut Pak Pandir perlahan-lahan. Serta dia sampai dilihatnya Pak Pandir sedang

meratah ikan salai diatas pohon itu. Maka Mak Andeh pun naiklah ke atas suatu

tunggul yang bertunas. Disitulah Mak Andeh berlindung, tiadalah nampak kepada

Pak Pandir. Maka Mak Andeh pun berbunyilah seperti bunyi binatang yang sangat

ditakuti oleh Pak Pandir itu.

Tok-tok kai serondung batang


Di mana hinggap?
Di tengah belakang

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Wah serta terdengar oleh Pak Pandir bunyi itu, ia tak sedar lagi mencampakkan

dirinya dari atas pohon itu serta dengan jerit pekiknya, tiada terkira lagi larinya

langsung masuk ke dalam hutan rimba raya itu hingga habislah segala tubuhnya di

cangkuk oleh sekalian onak dan duri, berlumur dengan darah dan kain bajunya pun

habis koyak rabak. Maka dia lari itu haram tiada menoleh lagi ke belakang. Setelah

dilihat oleh Mak Andeh kelakuan Pak Pandir itu, maka makinlah sangat

diperbuatnya lagi bunyi itu dengan sekuat-kuatnya. Maka didengar oleh Pak Pandir,

pada perasaan nya binatang itu sudah hinggap dibelakangnya sahaja. Pak Pandir

pun lari dengan sekuat hatinya.

Akhirnya, setelah Pak Pandir sudah hilang di pandangan, maka Mak Andeh

pun pergilah memanjat pohon kayu tempat Pak Pandir terjun itu lalu diambilnya
sekalian ikan salai Pak Pandir itu, dibawanya pulang, disembunyikannya dibawah

kawah. Seketika lagi hari pun petanglah. Mak Andeh pun menyiapkan nasi Pak

Pandir. Dinanti-nantinya tiada juga Pak Pandir balik. Hatta, tersebutlah pula kisah

Pak Pandir lari tadi. Hingga beberapa jauhnya ia pergi baharulah hilang

pendengarannya bunyi “ Tok tok kai serondong batang itu”. Maka ia pun

berhentilah sedikit oleh teramat penat dan jerehnya, serta ia berjalan perlahan-lahan

pula ikut sekehendak kakinya. Dengan takdir Allah ta`ala teruslah Pak Pandir

pulang ke rumahnya, sudah pasang dammar, dengan bertelanjang bulat, seurat

benang pun tiada berkain, lalu dia meneriak Mak Andeh. Katanya Andeh, Andeh

berilah aku kain kerana aku sudah bertelanjang bulat (S.Othman Kelantan, 1997:

58).

Buntut dicangkuk onak,


Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga menanggung!
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram!
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga yang menanggung!

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

Pak Pandir juga seorang yang pandai berbohong. Diberitahu Pak Pandir kepada

Mak Andeh bahawa dirinya hendak belayar. Maka Mak Andeh menyediakan

kelengkapan makanan yang secukupnya kepada Pak Pandir. Mak Andeh pun

membuatlah penganan daripada wajek dan dodol serta lain-lainnya kira-kira dua

belas buyung penuh semuanya lalu disimpan diatas para.


Setelah sudah maka kata Mak Andeh , bila awak akan pergi? Aku hendak

pergi mencari sayur-sayur ke dalam repuh itu. Maka kata Pak Pandir, sekaranglah

juga aku hendak pergi? Aku hendak pergi mencari sayur-sayur ke dalam repoh dan

di dalam tujuh hari ini apabila berbunyi bedil di kuala, alamat aku akan sampailah

dari belayar. Siap-siaplah Andeh, sapu sampah dan buang sekalian sawang sarap di

atas rumah kita ini.

Setelah dia berpesan, maka Mak Andeh pun memberikan wang seratus rial itu

kepada Pak Pandir dan ia pun lalu pergi mencari sayur. Maka Pak Pandir pun

berkemaslah naik ke atas para tempat buyung penganan itu lalu dimakannya habis

dua buyung. Dia pun berdiamkan dirinya. Seketika lagi Mak Andeh pun baliklah

lalu bertanak dan menyayur serta makan sambil merungut, sudah belayar agaknya

Pak Pandir tadi.

Maka seketika lagi hari pun malamlah. Maka Mak Andeh tidur seorang

dirinya. Maka tersebutlah perkataan Pak Pandir yang memakan kuih itu habis

sebuyung pula. Maka bibir mulutnya pun habis dimakan oleh tikus, ia menderita

sahaja, lama-lama habislah bibir atas dan bibir bawah oleh dicium tikus itu berbau

lemak dan manis. Itu pun tiada juga Pak Pandir hiraukan. Dia makan juga hingga

terseringing tinggal gusi sahaja.

Hatta, telah genaplah tujuh hari, dengan takdir Allah Ta`ala. Pak Pandir pun

bersin yang teramat kuat. Maka Mak Andeh pun berfikir. Iaitu tentulah bunyi bedil
dikuala. Lalu ia pun segeralah menyapu sampah dibawah dan diatas rumah.

Kemudian Mak Andeh pun membuang sawang-sawang yang ada para itu. Maka

terkejutlah Pak Pandir seraya melompat, katanya, aku Andeh, bukan siapa. Lalu dia

menjengukkan mukanya kepada Mak Andeh seraya berkata. Hai Andeh tengok igi

ada ibir tidak.

Asal terpandang sahaja sumpah seranahlah akan Pak Pandir lalu dipalunya

dengan penyapu. Maka Pak Pandir pun turunlah dari atas para seraya berkata, igi

ada, ibir tidak juga kepada Mak Andeh serta dijeringing-jeringingkannya mulutnya.

Maka bertambah-tambah dahsyat Mak Andeh melihatnya oleh terlalu buruk

rupanya (S.Othman Kelantan, 1997: 58).

Maksud keseluruhan seloka Pak Pandir ini adalah Pak Pandir mengutamakan

orang asing tetapi anak sendiri terbiar dan tidak diberi perhatian sewajarnya. Pak

Pandir membunuh kucing tetapi tikus yang kotor dan tidak berguna dibela. Semua

harta miliknya tergadai kerana percaya akan cakap orang asing. Pak Pandir

akhirnya tidak memiliki apa-apa lagi. Dirinya pun bertelanjang. Apa-apa sahaja

yang ada dibazirkan semata-mata mendengar berita yang belum pasti.

Sebenarnya, Pak Pandir mudah ditipu dalam baik tanpa disedarinya.

Akhirnya, dia terpaksa menanggung nasib malang. Pak Pandir suka mendengar

kata-kata manis orang luar sebagaimana sifat pokok rambutan jantan yang boleh
berbunga tetapi tidak boleh berbuah. Sesuatu yang diheboh-hebohkan belum tentu

berlaku, sebagaimana kilat memancar di langit tetapi hujan tidak turun.

Begitulah apa yang berlaku pada masyarakat pada zaman ini. Mesej yang

cuba disampaikan ialah sindiran terhadap manusia yang mengutamakan orang lain

atau melakukan sesuatu yang akan merugikan diri sendiri. Selain itu, mesej lain

yang cuba diselitkan ialah kebodohan merugikan diri sendiri, sikap tamak

membawa rugi, sikap suka meniru orang lain tanpa menyedari kebolehan diri

sendiri, watak dungu masyarakat Melayu, jangan percaya kepada khabar angin

yang belum tentu benarnya, dan utamakanlah anggota keluarga sendiri sebelum

memberi layanan istimewa kepada orang lain.

Semua mesej yang cuba disampaikan ini memberi kesan kepada masyarakat

dan Negara jika adanya masyarakat yang gemar mendengar khabar angin serta tidak

mempunyai pendirian hidup. Jika masih bersikap seperti ini tidak mustahil jika

suatu hari nanti negara kita akan dijajah semula. Sikap tamak dengan mengejar

kemewahan dan kemasyhuran akan menyebabkan kita menjadi hamba kepada

kemewahan dan kemasyuran. Selain itu, sikap suka meniru orang lain juga

menyebabkan kita hilang ideniti bangsa yang mana keaslian mula tercalar dek

sanggup membodohkan diri meniru karya, cara hidup, ciptaan dan sebagainya.

Identiti diri ini akan hilang sekelip mata jika kita tidak menjaga dan keaslian diri

menjadi keutamaan.
Di samping itu juga, masyakarat kota dan desa umpamanya, ada segelintir

daripada mereka melebih-lebihkan orang luar berbanding keluarga sendiri. Sikap

yang semakin menular ini akan menyebabkan remaja atau generasi muda bertindak

agresif dalam kehidupan mereka dan gejala sosial akan semakin meningkat dengan

kehadiran penagih dadah, pelacur, perompak, perogol dan sebagainya.

4.2.4 Seloka Kisah Pak Pandir

Wah! Pandainya Pak Pandir!


Pipit uban disangka Pak Haji,
Kambing jantan disangka ketawa,
Tikar kosong ditanam,
Anak dibawa keciciran!

(Sumber: Md Ali b. Bachik, 1989 : 5)

Dalam seloka kisah Pak Pandir ini hanya memaparkan beberapa bait yang hanya

menceritakan kisah Pak Pandir. Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan

melalui seloka ini. Antaranya ialah peristiwa Pak Haji dan Pak Lebai serta peristiwa

kematian anak Pak Pandir sendiri.

Cerita bermula apabila Mak Andeh menyuruh Pak Pandir mencari dan

memanggil Pak Lebai dan Pak Haji. Tujuannya untuk mengadakan kenduri doa

selamat di atas kematian anak mereka. Pak Pandir ialah seorang yang bodoh dan

dungu. Apabila isterinya, Mak Andeh menyuruhnya mencari umpan belalang rusa

untuk memancing ikan, dia menangkap rusa di dalam hutan dan dibawakan kepada

Mak Andeh. Apabila Mak Andeh pergi keluar sebentar, dia berpesan kepada Pak

Pandir supaya memandikan anak mereka dengan air panas. Maka Pak Pandir pun
memandikan anaknya dengan air yang sedang mendidih sehingga mati anaknya itu.

Selepas kematian anaknya itu, diadakan kenduri, maka Mak Andih menyuruh Pak

Pandir membeli kerbau. Oleh sebab Pak Pandir tidak mengenal kerbau, Mak Andeh

menerangkan bahawa yang meragut-ragut rumput itulah kerbau. Apabila ditemui

orang sedang menyabit rumput. Pak Pandir pun membeli sabit itu. Kemudian Mak

Andeh telah menyuruh suaminya menjemput Lebai untuk menghadiri kenduri di

rumahnya. Mak Andeh memberitahu tanda Lebai ialah berjanggut. Apabila Pak

Pandir berjumpa dengan kambing. Disangkanya itulah Lebai, lalu ditangkap

kambing itu dan dibawa pulang (S.Othman Kelantan, 1997: 58).

Peristiwa tersebut menampakkan kebodohan Pak Pandir dalam mengenal

seseorang yang bernama Pak Lebai dan Pak Haji. Kebodohan yang ada pada Pak

Pandir ini menyusahkan Mak Andeh yang selalu makan hati dengan sikap tidak

ambil kisah oleh Pak Pandir. Kebodohan Pak Pandir ini juga ada berlaku dalam

kalangan masyarakat pada zaman ini. Masyarakat sekarang terutamanya remaja

gemar membuat kerja yang sia-sia seperti melepak di pusat membeli belah,

menagih dadah, melakukan kerja yang tidak senonoh dan sebagainya. Hal ini

berlaku kerana kurangnya perhatian daripada ibu bapa yang sibuk dengan

kehidupan seharian dan juga masyarakat atau keadaan sekeliling yang mendorong

mereka melakukan perkara seperti itu. Selain itu, orang-orang Melayu terutamanya

mengambil jalan mudah untuk mendapat untung yang cepat di dalam perniagaan,

berusaha mencari peluang yang ada sehingga sanggup menipu dengan menyorok

barang kawalan. Masyarakat Melayu seperti ini gemar mengikut perangai atau
sikap orang luar hingga mengakibatkan diri sendiri kerugian. Perkara ini sering

berlaku tidak kira sama ada di dalam perniagaan atau pekerjaan lain.

Seterusnya, masyarakat pada zaman sekarang berlumba-lumba mencari

kemewahan dengan mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti sehingga

apa-apa yang ada dipersia-siakan atau tidak dihargai. Di dalam hal ini, masyarakat

mengetepikan perkara yang dianggap tidak penting malah berusaha untuk

mendapatkan sesuatu keuntungan sehingga perkara yang dipandang remeh dan

tidak berharga tidak dijaga dengan baik. Namun perkara yang dianggap remeh atau

tidak berharga itulah yang akan menjadi tunjang atau tulang belakang kepada

kejayaan. Masyarakat sekarang hanya memikirkan perkara yang mudah berbanding

mereka perlu berfikir untuk mencapai matlamat dengan cepat.

Golongan remaja sekarang masih lagi mengalami krisis identiti sehingga

mereka mudah mempercayai kata-kata manis yang mempunyai maksud yang

tersirat sekaligus membawa mereka ke kancah yang hina. Malahan masyarakat

yang mudah menerima atau mudah memperdaya apabila mendengar kata-kata

manis akan menyebabkan implikasi yang buruk kepada seseorang atau masyarakat

keseluruhannya.
4.2.5 Seloka Sifat Pak Pandir

Inilah sifat Pak Pandir


Asalkan bergaya itulah kaya
Asalkan berkilat itulah intan
Asalkan buntat pasti bertuah
Asalkan berbungkal itulah emas

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

Sifat Pak Pandir juga bukan sahaja dikatakan bodoh dan dungu dia juga boleh

dikatakan mudah mempercayai orang lain dan hilang pertimbangan jika dia melihat

sesuatu yang berharga bagi dirinya. Hal ini terbukti apabila Pak Pandir pergi untuk

menyabung ayam. Itulah kerjanya setiap hari menyabung ayam bersama ayam

kesayangannya iaitu Si Kunani. Selalunya Pak Pandir menang dalam pertarungan

itu. Tetapi pada petang itu, Raja memanggil Pak Pandir dan bertaruh dengan Pak

Pandir dengan memberikan ayam kesayangannya itu kepada Raja dan dibalas

dengan jumlah wang emas yang banyak. Apabila Pak Pandir mendengar

perkhabaran itu, tanpa perlu membuang masa, Pak Pandir segera menukar ayam

kesayangannya kepada raja. Begitu mudah Pak Pandir terpedaya dengan hanya

memberikan ganjaran wang emas tanpa memikirkan akibat dan kesan daripada sifat

Pak Pandir itu sendiri (S.Othman Kelantan, 1997: 58).

Dalam masa yang sama Raja ingin bertarung dengan Pak Pandir dengan ayam

yang baru sahaja ditukarkan oleh Raja sebentar tadi. Malah ganjaran adalah
sejumlah wang emas yang besar dan juga sebuah kampung. Hal ini bermaksud

jikalau Pak Pandir kalah dia terpaksa memberikan kampungnya sendiri kepada Raja

dan jika Pak Pandir menang Raja akan memberikan lagi sejumlah wang emas

kepada Pak Pandir. Pak Pandir yang bersifat materialistik begitu mudah bersetuju

dengan tawaran tersebut. Contohnya dapat dilihat melalui bait-bait seloka tersebut.

Asalkan berkilat itulah intan


Asalkan buntat pasti bertuah
Asalkan berbungkal itulah emas

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

Pertarungan pun bermula yang mana ayam Raja yang baru iaitu Si burung Kunani

bertarung dengan ayam Pak Pandir yang dahulunya ayam Raja. Akhirnya

pertarungan selesai dan Pak Pandir bersorak untuk ayamnya dahulu. Pak Pandir

menyangkakan bahawa dirinya telah menang dalam pertarungan tersebut namun dia

telah kalah teruk dan terpaksa menggadaikan kampungnya sendiri sebagai mana

yang telah dijanjikan sebelum ini. Buktinya melalui seloka ini yang mana sifat

tamak dan mudah percaya membuatkan Pak Pandir kalah dan menyesal (S.Othman

Kelantan, 1997: 58).

Sifat mudah percaya,


Tidak sedar terpedaya,
Susah buatan sendiri,
Akhirnya menyesal diri sendiri.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)


Sifat Pak Pandir boleh dikaitkan dengan masyarakat pada zaman ini yang mudah

terpedaya dan tamak untuk mendapatkan sesuatu keuntungan kepada diri sendiri.

Masyarakat yang leka dengan pembangunan akan menyebabkan mereka lalai dalam

memberi perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan sahsiah diri. Selain itu,

nilai-nilai murni dalam diri seseorang akan terkubur dan sekaligus masyarakat akan

menjadi tamak dan lebih mementingkan kekayaan. Apabila kekayaan mulai

menguasai diri masyarakat akan sanggup melakukan perkara-perkara yang hina

seperti menipu, membunuh, melakukan perbuatan keji untuk mencipta nama dan

menjadi lebih kaya.

Dalam erti kata lain, masyarakat menjadi hamba kepada kekayaan semata-

mata sekaligus hilang ciri-ciri ketimuran dan keislaman. Manusia akan lebih

mengutamakan hal-hal atau faedah berkaitan dengan keduniaan. Sekiranya ada

nilai-nilai murni atai positif masyarakat lebih menghormati orang lain dan alam

sekitar. Masyarakat lebih maklum perkara yang baik dan tidak baik yang dilakukan

dan memikirkan kesan perbuatan mereka.


4.2.6 Seloka Si Luncai

Sikap si luncai, biarkan, biarkan…


Ada rumah tiada terjaga,
Ada anak tidak terlatih,
Ada ternakan tidak terbela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tiada selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan…!
Si luncai pun terjun dengan labu-labunya.

(Sumber: Himpunan Puisi Klasik: 6)

Kisah bermula dengan adanya sebuah negeri yang bernama Indera Pat. Negeri

Indera Pat mempunyai seorang raja iaitu Maharaja Isin. Baginda baru sahaja

ditabalkan menjadi Maharaja kerana kemangkatan kedua orang tuanya. Baginda

mempunyai seorang isteri bernama Tuan Puteri Bongsu dan mempunyai seorang

putera yang bernama Tuan Puteri Lela Kendi yang berumur sepuluh tahun. Di

dalam negeri tersebut mempunyai seorang anak yatim piatu yang miskin dan oarang

kampung menggelarnya Si Luncai. Gelaran Si Luncai diberikan kepadanya kerana

perutnya besar dan punggungnya tonggek serta berjalan mendabik dada. Si Luncai

bekerja mengambil upah dan menjemur padi serta menjual kayu api (S.Othman

Kelantan, 1997: 56).

Si Luncai mempunyai keinginan untuk menghadap Maharaja Isin. Si Luncai

menghadap Raja dengan wajahnya yang hodoh. Maharaja enggan menerima


kehadiran Si Luncai di dalam istana dan Maharaja berbuat demikian. Si Luncai

tidak berputus asa dan suatu hari Si Luncai pun bersiaplah memakai pakaiannya

yang lain, iaitu berseluar ganjam putih sudah koyak-koyak, dan berbaju hitam

buruk mengerebang seperti sarang petola, serta memakai kain hitam bermancung

cobak-cabik, dan bertengkolok batik seperti tali ayam. Setelah bersiap, Si Luncai

pun pergilah mengadap, dan ketika itu Maharaja sedang bercukur untuk pergi

sembahyang Jumaat. Si Luncai pun naiklah ke balai penghadapan di bawah rembat

balai itu, lalu ia menyembah pada baginda, seraya ditegur oleh baginda. Katanya

Hai Luncai, apa maksudmu datang ini? Maka sembah si luncai, ampun Tuanku

beribu-ribu ampun, tiadalah apa-apa hasrat patik, hanya hendak mengadap ke

bawah dulu yang maha mulia sahaja.

Setelah itu baginda pun diamlah. Baginda terus bercukur tanpa mempedulikan

kehadiran Si Luncai. Apabila dilihat oleh Si Luncai ulu baginda itu bergundul

tentang tengkuknya, maka dia pun menangislah dengan teramat sangat, tersenak-

senak dan terisak-isak sehingga bercucuran air matanya. Maka titah baginda, Hai

Luncai, apa engkau tangiskan ini? Maka sembah Si Luncai, ampun Tuanku beribu-

ribu ampun, tersangatlah besar dukacita bagi kalbu patik tanyakan, dan hendak pun

patik sembahkan telah Tuan patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan

menakuti sangat-sangat dihati patik, siapa mengetahui kalau-kalau menjadi

kemurkaan ke bawah duli tuanku.


Maka titah baginda, khabarkanlah olehmu tiada aku marah. Maka sembah Si

Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, ada pun sebabnya patik menangis ini

kerana patik lihat ulu Tuanku itu. Ampun-ampun daulatnya barang bertambah-

tambah daulat, serupalah betul-betul dengan kepala pachal tua ke bawah duli yang

telah hilang itu, daripada dogol-dogol dan sulahnya itu sedikit pun tiada bersalahan

lagi. Maka itulah sebabnya hiba dan rawan dihati patik. Pada perasaan pati,

tambahan pila susuk gaya bayanya pun haruslah sebaya dengan tuanku juga

(S.Othman Kelantan, 1997: 56-57).

Setelah baginda mendengarkan sembah Si Luncai, maka baginda pun

murkalah terlalu amat, merah padam warna mukanya seraya bertitah, hai Luncai,

sampailah engkau ini kanak-kanak lagi miskin, patutlah tiada mempunyai akal dan

fikiran. Adakah sampai hermat engkau menyamakan sifat aku dengan bapa engkau

yang sudah mampus itu? Ceh! Ceh! Tidak kusangka sekali-kali demikian berani

engkau. Maka sekarang engkau ini derhaka kepada aku, tentulah engkau ku bunuh

(S.Othman Kelantan, 1997: 56-57).

Maharaja pun memberi isyarat pada hulubalangnya menyuruh tangkap Si

Luncai, serta diikat dan dimasukkan kedalam guni. Titah baginda kepada seorang

pertanda menyuruh bunuh akan Si Luncai dan campakkan ke dalam air di kuala

sungai itu. Perintah Maharaja dituruti dengan penuh taat dan dibawanya Si Luncai

turun ke sampan serta berkayuh ke hilir.


Si Luncai berkata, wahai encik pertanda, mintalah hamba sebiji labu air

hendak hamba peluk, seolah-olah ganti ibu hamba, kerana hamba hendak mati ini,

bolehlah hamba marifatkan hamba mati bersama-sama dengan ibu hamba. Maka

jawab pertanda itu, baiklah. Kerana ia pun belas juga melihatkan orang yang telah

tentu mati itu, lalu disuruhnya ambil labu air tempat bekalan mereka di dalam

perahu itu, yang besar sekali, seraya dikeluarkan dan diuraikan ikatnya lalu

diberikan labu itu kepada Si Luncai.

Labu itu dipeluk oleh Si Luncai, lalu menangislah dia dengan amat sangatnya

di tengah-tengah perahu itu. Kemudian Si Luncai berkata kepada segala pertanda

itu, “katanya ya mamak pertanda, hamba melihat tuan hamba berkayuh itu

terlalulah kasihan di hati hamba oleh terlampau penatnya. Jika begitu, ada suatu

nyanyi supaya boleh membuat pelalai berkayuh itu, kita perbuat beramai-ramai”.

Maka jawab pertanda itu, “apa dia? Luncai, pelalai itu?” Maka kata Si Luncai,

“buatlah demikian”. Si luncai terjun dengan labu-labunya, “jawabnya biarkan,

biarkan”. Maka pertanda itu semuanya membuatlah seperti yang diajarkan oleh Si

Luncai itu beramai-ramai. Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan.

Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan (S.Othman Kelantan, 1997:

56-57).

Maka dengan hal yang demikian bernyanyi itu bersahut-sahut, Si Luncai pun

terjunlah sungguh ke dalam sungai seraya menyelam. Maka pertanda jurumudi itu

beberapa kali telah menyatakan, Si Luncai sudah terjun dengan labu-labunya ke


dalam air, tetapi oleh sabor dengan nyanyinya itu tiadalah siapa yang

menghiraukan. Kemudian lalu berkatalah pula jurumudi dengan bengisnya, hai

kamu sekalian anak perahu, cubalah lihat kebelakang, Si Luncai sudah terjun

dengan labu-labunya.

Melalui cerita yang tersirat dalam seloka Si Luncai ini, dalam erti kata lain, Si

Luncai boleh dikatakan bijak berbanding dengan watak Pak Kaduk dan Pak Pandir.

Hal ini kerana, Si Luncai pandai menipu dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Sikap cerdik yang dimiliki oleh Si Luncai ini menyebabkan ramai orang yang boleh

tertipu dengan tindak tanduknya. Sifat dan sikap cerdik yang ada pada Si Luncai

boleh dicontohi. Namun budaya menipu ini boleh menjerumus kita ke arah budaya

yang tidak sihat. Umpamanya apabila seorang anak gadis menipu orang tuanya

untuk bermalam di rumah kawannya tetapi dia menipu sebenarnya dia ingin keluar

bersama teman lelakinya. Jika ibu bapa seperti ini membiarkan sahaja anaknya itu

keluar bermalam di rumah kawannya umpama Si Luncai terjun dengan labu-

labunya.

Dalam tindakannya menunjukkan Si Luncai pemuda yang pintar. Ini boleh

dilihat pada keinginannya hendak menghadap raja dan beberapa kali pula

dicubanya. Si Luncai buka setakat hendak melihat raja, tetapi secara pemikiran

“kepala” yang sama, dia hendak menguji raja, hendak menduga kepintaran raja.

Kemudiannya ternyata Si Luncai memang pintar: dia dapat mempengaruhi pertanda

di dalam perahu dengan menerima sebuah “labu”, dan ketika dimasukkan ke dalam
guni, Si Luncai telah membuat helah ketika mendengar jeritan seekor rusa yang

dikatakannya jeratnya sudah mengena, dan akhirnya menukarkan seorang lelaki

India ke dalam guninya. Kepekaan Si Luncai terhadap alam sehingga dia dapat

mempengaruhi sekalian musuhnya dan melekakannya dengan segala ucapan dan

kata-katanya (S.Othman Kelantan, 1997: 57).

Hal seperti ini akan mengundang kepada keburukan dan gejala negatif yang

sering melanda masyarakat pada zaman ini. Kelekaan ibu bapa dalam mendidik

anak-anak akan menyebabkan keruntuhan moral sekaligus negara kehilangan

pelapis atau generasi muda yang bakal menerajui negara nanti. Seloka Si Luncai ini

membawa maksud yang tersirat iaitu sikap Si Luncai yang mengabaikan

tanggungjawabnya sebagai seorang ayah dengan membiarkan anak-anaknya

kelaparan, rumah yang tidak dijaga dengan baik dan segala ternakan serta tanaman

dibiarkan begitu sahaja. Buktinya terdapat pada bait atau rangkap pertama dalam

seloka ini.

Sikap si luncai, biarkan, biarkan…


Ada rumah tiada terjaga,
Ada anak tidak terlatih,
Ada ternakan tidak terbela,
Ada kebun tidak ditanam,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

Selain itu, sikap Si Luncai juga diibaratkan sebagai orang yang tidak pandai

menggunakan kecerdikan atau kepandaiannya ke arah kebaikan. Sikap Si Luncai


juga dikatakan sebagai seorang yang pemalas untuk melakukan sebarang kerja dan

tiada kemajuan di dalam hidupnya. Contohnya terdapat dapat rangkap seloka ini.

Ada cerdik tiada selidik,


Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan…!
Si luncai pun terjun dengan labu-labunya.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

Seloka Si Luncai ini boleh dikaitkan dengan masyarakat sekarang yang ada segala-

galanya tetapi tidak mampu untuk memandang ke hadapan dan sikap malas yang

ada pada segelintir masyarakat yang tidak mahu maju dan hanya mengharapkan

bantuan orang lain.

Secara kesimpulannya, Si Luncai sebenarnya ada segala-galanya sebagai

insan yang boleh berjaya dengan cemerlang dalam hidup, tetapi bersifat malas,

tidak menjaga anak dengan baik, harta tidak diusahakan dengan baik, kecerdikan

tidak menjaga anak dengan baik, harta tidak diusahakan dengan baik,

kecerdikannya tidak dipakai ke jalan yang baik, ada belajar mencari ilmu tapi

bertindak tidak menggunakan otak. Akhirnya Si Luncai atau dikiaskan kepada

orang yang bersifat seperti ini akan gagal dalam hidup dan akan tenggelam dalam

dunianya sendiri. Orang lain telah berjaya tetapi dia tetap dengan dunianya sendiri

(Mohd Rosli Saludin, 2007: 222-223).


4.2.7 Seloka Pak Balung- ayam tambatan

Episod pertama (sungguh malang nasib Pak Balung)

Kasih dicurah sayang diberi,


Makan dihidang minum disaji,
Tak perlu kais tak perlu cari,
Beras padi datang sendiri.
Hilang dicari lambat dituruti,
Bulu dicuci leher diurut,
Paruh diasah taji diraut,
Ekor dibelai najis dikaut,
Lupa diri lupa daratan,
Berkokok lantang bersahut sahutan,
Akulah handal akulah jantan,
Akulah jaguh ayam tambatan.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 7)

Maksud seloka Pak Balung-Ayam Tambatan ini lebih merujuk kepada kisah seekor

ayam yang dijadikan sebagai ayam sabungan. Kisah malang ayam tambatan dalam

seloka ini terbahagi kepada empat episod. Dalam episod pertama sungguh malang

nasib Pak Balung ini menceritakan kehidupan mewah ayam tambatan yang

bernama Pak Balung yang mana dirinya dijaga dengan baik oleh tuannya. Buktinya

Pak Balung dijaga dengan baik dengan diberikan mandi seluruh badannya, paruh

diasah, taji diraut dan ekor dibelai dengan penuh kasih sayang. Buktinya pada

rangkap ini yang mana menyebut Pak Balung dijaga dengan baik.

Hilang dicari lambat dituruti,


Bulu dicuci leher diurut,
Paruh diasah taji diraut,
Ekor dibelai najis dikaut,

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)


Di samping itu juga, Pak Balung berkokok dengan lantang menandakan dirinya

sebagai ayam yang handal dan ayam jaguh sehingga ramai yang kalah ditangannya.

Buktinya:

Lupa diri lupa daratan,


Berkokok lantang bersahut sahutan,
Akulah handal akulah jantan,
Akulah jaguh ayam tambatan.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

Di dalam episod dua sungguh malang nasib Pak Balung-Ayam Tambatan ini lebih

menceritakan mengenai kehidupan Pak Balung yang belum pasti. Nasibnya tidak

dapat ditentukan sama ada Pak Balung dapat hidup selama-lamanya atau tidak.

Kerisauan mula melanda diri Pak Balung apabila ia memikirkan nasibnya yang

tidak diketahui lagi. Buktinya terdapat dalam rangkap kedua seloka ini.

Episod kedua (sungguh malang nasib Pak Balung)

Nasib Pak Balung belum pasti,


Entah untung entahkan rugi,
Entah hidup entahkan mati,
Entahkan maut di hujung taji.
Entah pekak mungkin buta,
Entah momok mungkin gila,
Entah patah tergeliat,
Atau pincang seumur hayat!

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 7)


Dalam episod ketiga sungguh malang nasib Pak Balung pula, memceritakan saat-

saat kegagalan atau kekalahan Pak Balung di gelanggang. Badannya yang dahulu

dijaga dengan baik oleh tuannya kini hanyalah tinggal daging merah yang

kehilangan bulu akibat pertarungan digelanggang. Nasib Pak Balung umpama

sudah jatuh ditimpa tangga apabila Pak Balung dijual kepada orang lain yang

menyebabkan kesedihan menyelubungi diri seekor ayam iaitu Pak Balung.

Kemenangan diukur dengan darah iaitu Pak Balung ayam tambatan kalah jatuh

terkapar dengan seluruh badannya luka-luka dan tiada lagi bulu yang cantik di

badannya.

Episod ketiga (sungguh malang nasib Pak Balung)

Dalam gelanggang satu bulatan,


Di situlah Pak Balung dilepaskan,
Tanpa sebab tanpa alasan,
Bersabung nyawa beradu kekuatan,
Bulu tercabut berterbangan,
Darah merah bercucuran,
Kulit daging berkecaian,
Wang ringgit bertukar tangan,
Yang kalah jatuh terkapar,
Yang menang mandi darah,
Siapa yang untung ketawa besar,
Siapa yang rugi menyumpah-nyumpah.

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 7)

Episod keempat kisah Pak Balung pula menceritakan kemenangan orang yang

menang dirai dengan gelak ketawa dan orang yang kalah berdarah sehingga
keseluruhan badannya. Kisah Pak Balung akhirnya terkubur akibat kemegahan

yang ada pada dirinya akhirnya tercalar dengan kekalahan Pak Balung di

gelanggang. Buktinya dalam episod keempat kisah Pak Balung.

Episod keempat (sungguh malang nasib Pak Balung)

Orang menang awak yang parah,


Orang ketawa awak berdarah,
Akibat megah diri...
Akhirnya menjilat luka sendiri!

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 7)

Menurut Mohd Rosli Saludin, 2007:(220-221), kisah Pak Balung ini boleh

diteladani iaitu jangan mudah sombong atau bongkak dengan sesuatu kelebihan

yang ada pada diri kita. Hal ini kerana sikap sombong dan bongkak akan

menyebabkan kita akan rugi dan kehilangan kawan-kawan atau sahabat dalam

hidup kita. Unsur kritikan di dalam seloka ini berunsur ejekan dan jenaka yang

didalamnya tidaklah terhenti dengan maksud berhibur, bermain atau bersuka-ria

semata-mata. Masyarakat sekarang yang bersikap sombong akan merugikan dirinya

sendiri.

Kehidupan sekarang yang penuh dengan sikap berlumba-lumba mengejar

kekayaan atau kemewahan akan memberikan kesan yang negatif kepada negara.

Sebenarnya, perasaan sombong atau takbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu

pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. Pandangan

tersebut mungkin suatu pandangan yang secara faktanya benar. Umpamanya jika

kita membandingkan pendapatan sebanyak RM 7000.00 sebulan dengan


pendapatan sebanyak RM3500.00 sebulan, tentulah jumlah pendapatan pertama

jauh lebih besar berbanding dengan jumlah pendapatan kedua

(http://www.ikim.gov.my).

Walau bagaimanapun, kesombongan itu berlaku apabila pandangan tersebut

beriringan dengan anggapan orang yang dipandangnya itu lebih kecil, serba

kekurangan atau kurang berharga berbanding dengan dirinya. Ketakburan berlaku

apabila pandangannya itu tidak disertakan dengan kesyukurannya kepada Allah

s.w.t. kerana memberi kelebihan tersebut. Secara tidak langsung dia menganggap

apa yang dimilikinya itu tidak mempunyai kaitan dengan rahmat atau rezeki yang

diberikan oleh Allah ataupun dia menganggap bahawa dia sememangnya individu

istimewa kerana itu Allah memilihnya untuk memiliki kelebihan tersebut

(http://www.ikim.gov.my).

Secara kesimpulannya, Pak Balung atau dikiaskan kepada manusia tadi lupa

daratan dan menggangap dirinya yang terbaik dan terulung sekali. Mendabik dada

tanpa menyedari bahawa diri sendiri telah dijadikan sebagai batu loncatan oleh

orang lain. Orang lain yang menjadikan dirinya sebagai kuda tunggangan untuk

mendapat keuntungan yang besar dan berlipat kali ganda. Pak Balung atau watak

manusia telah dijadikan sabungan untuk mendapatkan sesuatu dalam bentuk

kekayaan. Akhirnya dirinya hancur dan menanggung kerugian dan yang untung

adalah orang lain di sisinya. Sepatutnya kita harus sedar orang lain mahu

mengambil kesempatan ke atas diri kita Mohd Rosli Saludin, 2007:(220-221).


4.2.8 Seloka Kehilangan Adat Melayu

Aduhai resam, wahai adat!


Lembaga di mana telah berpudat?
Wah! Hilang adat lenyaplah bahasa,
Ghaib sepi tiada bersisa...
Laksana dipagut tedung yang bias!
Amboi! Amboi! Adat tiruan, resam terpaksa,
Umpama gajah menjadi rusa,
Oleh ragi campuran bangsa!
Sayang! Sayang!
Merajuk ke manakah adat melayu?
Laksana debu dipuput bayu.
Wallahualam!
Entah jatuh ke laut gerangan,
Disambar yu!

(Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

Seloka ini lebih kepada adat pepatih yang ada di Negeri Sembilan. Seloka ini

menceritakan mengenai kehilangan adat melayu yang mula hilang ditelan zaman

dek generasi muda yang tidak mengambil endah mengenai kecantikkan dan

keindahan adat Melayu. Adat disini bermaksud segala sistem kehidupan yang

dilalui oleh masyarakat beradat harus ada peraturan yang baik dan teratur. Raja

kepada adat tersebut adalah kebenaran dan bila jumpa kebenaran itu diketepikan.

Adat ini juga boleh diketepikan buat seketika jika ada muafakat namun begitu

masih lagi tertakluk kepada adat walaupun kita kata tidak mahu mengikut adat.

Setiap manusia bernyawa pasti ada mempunyai adatnya yang tersendiri. Lari

daripada adat setelah kita tidak ada di muka bumi ini. Hal ini terbukti apabila dalam
bait-bait di dalam seloka ini ada menyebut hilangnya adat maka hilanglah tamadun

Melayu.

Aduhai resam, wahai adat!


Lembaga – di mana telah terpudat?

Wah! Hilang adat lenyaplah bahasa,


Ghaib sepi tiada bersisa…
Semakin mengerang senantiasa,
Laksana dipangut tedung yang bisa!

(Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

Adat Melayu sekarang sudah dicemari dengan unsur-unsur luar yang masuk

mencemari adat melayu yang sememangnya cantik dan indah sebelum ini. Bangsa

Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan

sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Dan kebiasaan ini

telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek

moyang mereka. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-

amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama

menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini.

Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di

dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama,

mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah

ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat.
Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa

pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak

pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu.

Kebanyakan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-

harian, ia juga dipanggil ritual. Buktinya di dalam rangkap ini iaitu:

(http://www.ashtech.com.my/adat/).

Amboi! Adat tiruan, resam terpaksa,


Umpama gajah menjadi rusa;
Oleh ragi campuran bangsa,
Adab tertib habis binasa!

(Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

Di samping itu juga, adat Melayu dikatakan sudah hilang kerana campuran

daripada budaya asing yang menyerap masuk ke dalam adat melayu sekaligus

keaslian dan keindahan adat melayu itu sendiri sudah hilang tanpa arah.

Sayang! Sayang!
Merajuk ke manakah adat Melayu?
Laksana debu dipuput bayu!

(Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

Adat melayu yang selama ini dijunjung dan dipelihara keaslian dan

keindahannya mungkin hilang dek kerakusan manusia mengejar kebendaan dan

hilang sifat pertimbangan dan mementingkan diri sendiri. Hal ini terbukti melalui

rangkap ini.
Wallahualam!
Entahkan jatuh ke laut gerangan,
Disambar yu!

(Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

Sering ditekankan dalam kehidupan masyarakat yang pentingkan adat harus

mengamalkan pusaka orang tua yang dianggap baik. Contohnya bergotong-royong,

bersopan, menghormati orang tua, hormat pemimpin, bersatu padu, berbudi dan

sebagainya. Dalam kehidupan masyarakat beradat diingatkan bahawa kita tidak

harus pentingkan diri sendiri sahaja. Jika malu seorang akan mendapat malu semua.

Kelompok masyarakat adalah sangat penting. Perlakuan yang tidak baik dan tidak

beradab harus ditinggalkan. Jika kita terlajak perbuatan, kita harus menanggung

malunya. Setiap malu bukan boleh ditebus dengan wang ringgit sahaja. Kita mesti

ingat jika kaki sudah terdorong ke arah perkara yang kurang elok adalah buruk

padahnya dan badan akan binasa (http://www.jkkn.gov.my/v2/?page_id=55).

4.2.9 Seloka Lebai Malang

Lebai nasib langkahan malang,


Ke hulu hilir penat berulang,
Celaka sial bedebah jembalang,
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.
Ayuhai nasib fakir miskin,
Dapat sedekah sebungkus lempeng
Habis hilang baju dan kain,
Penganan habis dibaham anjing.
Penat berkejar tiada terkira,
Ke sana ke mari tersera-sera
Punah golok bersama nira
Pulang ke rumah mendapat mara.
(Sumber: Mohd. Yusuf Md. Nor, 1985: 173)

Di dalam sebuah desa ada seorang lelaki bernama Lebai yang pandai mengaji dan

taat kepada Allah s.w.t. Lebai seorang yang sangat bersopan santun dan mempunyai

hati yang ikhlas bersama isterinya yang tinggal di sebuah dusun. Ada peristiwa

yang mana seorang lelaki dan seorang kanak-kanak datang ke rumah Lebai untuk

menjemput Pak Lebai kenduri doa selamat dan kenduri berkhatam.

Maka jawab Pak Lebai, yalah, baliklah engkau dahulu. Ada sekejap pula

datang seorang lagi mempersilakan Pak Lebai ke rumahnya oleh hendak kenduri

Maulud. Maka itu pun disanggup juga Pak Lebai, demikianlah juga katanya. Maka

ketiga-tiga mereka itu pun pulanglah ke rumah masing-masing dengan berharap

Pak Lebai akan hadir ke rumah mereka.

Masa demi masa sampailah petang, Pak Lebai tak kunjung tiba. Maka mayat

yang mati itu pun dimandikan serta disembahyangkan lalu ditanamkan. Dan

demikian juga yang berkhatam itu pun dikhatamkan oranglah dan yang berkenduri

itu pun bertampillah berzikir, masing-masing dengan pekerjaannya.

Cerita lain pula di pihak Pak Lebai. Selepas mereka bertiga berjumpa dengan

Pak Lebai, maka Pak Lebai mengerjakan solat zohor. Sesudah sembahyang lalu Pak

Lebai berfikir di dalam hatinya, ke manakah tempat baik yang aku harus pergi ini?

Pak Lebai berkata di dalam hatinya. Jika aku pergi kepada orang mati tentu aku
mendapat sedekah kain putih dan tikar. Dan kalau aku pergi kepada orang

berkhatam, perutku tentulah kenyang, dan sedekah pula secupak daging kerbau,

serta kelapa setali dan kampit beras satu. Dan jikalau aku pergi kepada orang

berzikir itu perut aku tentulah kenyang makan lempeng penganan angkatan orang

itu. Maka kalau begitu, baiklah aku pergi kepada orang mati itu dahulu, kerana

sabda junjungan dahulukan kerja wajib daripada kerja yang lain-lain.

Setelah Lebai Malang berfikir demikian, maka dia pun pergilah ke rumah

orang yang kematian itu. Dengan takdir Allah ta`ala Pak Lebai bertemu dengan

orang-orang yang pergi menanamkan orang mati itu baru pulang sahaja dari kubur.

Maka kata saudara si mati, Allah, Pak Lebai, mengapa lambat datang? Sudahlah

apa boleh buat? Tiada hendak menjadi rezeki saya.

Maka Pak Lebai pun pergilah pula ke rumah orang berkhatam itu. Serta Pak

Lebai sampai ke sana, orang semuanya habis hendak balik. Demi dilihat oleh orang

empunya kerja itu, katanya, ah, ah ini pun Pak Lebai baru sampai. Mengapa Pak

Lebai lambat datang? Sekarang apa pun tiada lagi, semuanya telah habis, melainkan

barang dimaafkan sahajalah hal saya ini, kerana semuanya telah habis sekali (http://

mforum.cari.com.my/archiver/?tid-419117.html).

Pak Lebai, tiada mengapa, asalkan sudah selamat, sudahlah. Kemudian ia pun

berjalan menuju ke rumah orang bermaulud itu. Setelah ia sampai ke sana, orang
baru lepas berangkat saja, masing-masing orang pun hendak kembalilah. Maka

apabila dilihatnya oleh tuan rumah akan Pak Lebai, maka katanya, Allah mengapa

lambat datang Pak Lebai? Hingga penatlah saya menanti tiada juga Pak Lebai

sampai. Kemudian diperbuatlah mana-mana yang dapat. Naiklah, Pak Lebai, nah

inilah yang ada hanya sebungkus penganan saja lagi, lain semuanya sekali telah

habis.

Maka ujar Pak Lebai, tiada mengapa apa pula yang disusahkan saya ini. Lalu

diambilnya bungkusan lempeng itu serta berjalan pulang ke rumahnya. Kelakian,

maka hari pun hampir petang Pak Lebai pun sampailah ke kampungnya lalu

teringatlah ia akan air niranya diatas pohon kabung tiada berambil lagi. Maka ia

pun pergilah kepohon kabung itu dan lempengnya itu pun disangkutkannya pada

sungai tempat ia memanjat pohon itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada bacuk

niranya itu. Dilihatnya bacuk itu penuh berisi air nira.

Lempengnya yang ditinggalkannya dibawah itu sudah digonggong oleh

anjing, dibawanya lari. Maka setelah dilihatnya oleh Pak Lebai akan hal

penganannya itu digonggong oleh anjing, maka hilanglah fikirannya, lalu dia

mencabut goloknya serta dipunggahkan oleh anjing itu, tiada kena. Dan diambil

bacuk nira yang penuh dengan nira itu, lalu dibalingkannya, tiada juga kena. Maka

ia pun terjun dari atas pohon itu berkejar sekuatnya menghambat binatang bedebah

itu.
Unsur kritikan yang boleh dilihat melalui seloka ini ialah unsur atau sikap

tamak yang ada pada diri sendiri. Pak Lebai seorang yang tamak. Kisah Pak Lebai

ini adalah seloka yang berunsur jenaka dengan tujuan menyindir orang yang

berkelakuan tamak. Selain itu, Pak Lebai disifatkan sebagai orang yang

mementingkan diri sendiri dengan mengambil kira jenis makanan yang akan

dihidang dan diberikan kepadanya kelak. Sifat ini sememangnya amat

mementingkan diri sendiri kerana hanya mengambil benda yang dianggap remeh

temeh. Kebijaksanaan dalam pengajian Agama Islam tidak digunakan dengan

sebaik-baik malah mengikut nafsu yang telah menguasai diri

(http://www.ashtech.com.my/cerita_rakyat/lebai_malang.html).

Masyarakat sekarang perlulah bersyukur dengan apa yang ada. Janganlah

bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri yang pastinya akan merugikan diri

sendiri. Di dalam seloka ini menceritakan Pak Lebai yang mendapat tiga jemputan

kenduri yang dia perlu hadiri. Namun ketika asyik memikirkan jenis makanan yang

dia boleh bawa pulang, Pak Lebai terlepas ketiga-tiga kenduri berkenaan. Sikap

tamak yang melanda diri Pak Lebai menyebabkan dirinya bertelanjang kerana

penganan yang telah diberi kepadanya telah dimakan oleh anjing ketika dia leka di

atas pokok kelapa untuk mengambil nira. Pada rangkap Pak Lebai ini menjelaskan

segala-galanya mengenai sikap tamak yang ditunjukkan oleh Pak Lebai.

Lebai nasib langkahan malang,


Ke hulu hilir penat berulang,
Celaka sial bedebah jembalang,
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.
Ayuhai nasib fakir miskin,

(Sumber: Mohd. Yusuf Md. Nor, 1985: 173)

Masyarakat sekarang yang begitu mementingkan diri sendiri sehingga

mengakibatkan kerugian pada diri sendiri. Kehidupan yang hanya berdasarkan

prinsip tamak dan mementingkan diri sendiri akan memberikan kesan kepada

masyarakat dan negara. Tiada lagi nilai-nilai murni yang akan membentuk

pembangunan sahsiah dan tersirat. Masyarakat juga perlu untuk merealisasikan dan

melaksanakan kawalan serta tekanan sosial.

Kawalan sosial sama ada berbentuk primer seperti adat resam, amalan

masyarakat dan lain-lain atau berbentuk sekunder seperti undang-undang, tindakan

badan-badan formal seperti mahkamah, polis dan sebagainya. Masyarakat juga

perlu untuk merealisasikan dan melaksanakan kawalan serta tekanan sosial.

Kawalan sosial sama ada berbentuk primer seperti adat resam, amalan masyarakat

dan lain-lain atau berbentuk sekunder seperti undang-undang, tindakan badan-

badan formal seperti mahkamah, polis dan sebagainya. Oleh yang demikian seloka

lebih banyak menggungkapkan kata tersirat berbanding tersurat. Isinya tidak

menyampaikan aspek yang hendak dinyatakan secara terus, sebaliknya disampaikan

dengan cara masih berselindung di sebalik kata-kata.

4.3 Kesimpulan
Kritikan sastera ialah satu displin ilmu yang saintifik, yang membicarakan soal

penghayatan, penganalisian dan penilaian terhadap sesebuah karya kreatif. Ia

dikatakan ilmu yang saintifik, kerana menggunakan pendekatan atau metodologi

sewaktu membuat kritikan. Sesiapa sahaja boleh melakukan kritikan setelah

membaca sesebuah karya, baik apa jua genre, novel cerpen, sajak atau drama,

asalkan menggunakan mana-mana pendekatan atau metodologi kritik sastera. Oleh

yang demikian, penghayatan dalam kritik sastera bermaksud apriesiasi,

pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan serta pemikiran yang terjelma dari

reaksi pembacaan.
BAB 5

CADANGAN DAN RUMUSAN

5.1 Pengenalan

Dalam bab ini pengkaji membincangkan tentang rumusan unsur-unsur kritikan yang

terdapat dalam puisi tradisional seloka. Pepatah Melayu yang mengatakan ‘biar mati

anak jangan mati adat’ menunjukkan betapa tinggi komitmen masyarakat Melayu

terhadap adat resam peninggalan moyang mereka. Kehidupan masyarakat Melayu dilihat

berpandukan kepada sistem rasa dan amat sensitif dengan perasaan orang lain. Mereka

diasuh dan diterapkan dengan amalan-amalan hidup yang penuh dengan sifat bersopan

santun, tidak suka menonjol diri dan sentiasa mengalah sebagai tanda hormat dan

toleransi yang tinggi. Oleh yang demikian, sejak zaman tradisional lagi, orang Melayu

telah melengkapkan diri mereka dengan mencipta panduan hidup dan peraturan-peraturan
yang dikenali sebagai sastera Melayu tradisional berbentuk puisi. Ia dapat dikaitkan

dengan inisiatif masyarakat dahulu kala dalam menggambarkan kehidupan mereka.

Masyarakat Melayu yang pada ketika itu lebih mementingkan tradisi lisan telah

menggunakan bentuk-bentuk kesusasteraan Melayu tradisional seperti syair, pantun,

peribahasa, pepatah dan perumpamaan bagi menggambarkan pencapaian serta pemikiran

mereka.

Terdapat juga beberapa cadangan yang dikemukakan oleh pengkaji untuk

panduan dan juga rujukan pihak yang berkenaan. Hal ini penting untuk semua lapisan

masyarakat. Tidak kira golongan muda dan juga golongan tua. Secara tidak langsung ia

akan dapat mengangkat martabat sastera agar setanding dengan bidang-bidang yang lain.

Cadangan yang dikemukakan oleh pengkaji adalah untuk memastikan puisi melayu

tradisional seperti seloka menjadi salah satu genre sastera yang berdiri gah setanding

dengan genre-genre sastera yang lain.

5.2 Cadangan

Unsur kritikan adalah salah satu aspek yang paling penting dalam bidang kesusasteraan

yang menjadi titik tolak kepada proses penilaian dengan cara pengamatan dan

perbandingan, menganalisis dan menghayati dengan kaedah-kaedah yang sistematik dan

beralasan dengan maksud mengembangkan tanggapan-tanggapan yang terbit darinya.

Peranan kritikan sastera menjadi pelengkap yang membuat pertimbangan-pertimbangan


nilai terhadap sesebuah karya. Tujuan kritikan juga harus diambil kira kerana tujuan

pengkritik itu akan menjustifikasikan kritikannya. Kritikan juga dapat membantu

membina teori dan pendekatan baharu. Berasaskan kritikan yang dibuat terhadap

sesebuah teks, akan mendorong kelahiran teori atau pendekatan baharu.

Dalam keadaan ini, pendekatan dan teori kritikan akan sentiasa mengalami

perubahan, modifikasi dan perkembangan oleh Jaque Derrida dengan pendekatan baharu

yang disebut poststrukturalisme. Secara interteori, kritikan akan membantu

memperluaskan perkembangan sastera dari semasa ke semasa dalam pelbagai

pembaharuan yang menakjubkan. Pendidikan merupakan salah satu institusi yang mampu

untuk mengangkat martabat sastera. Dalam sistem pendidikan negara yang ada pada masa

sekarang mata pelajaran sastera telah dijadikan sebagai mata pelajaran elektif.

Dalam konteks ini, pelajar telah diberi kebebasan untuk memilih mata pelajaran

yang mereka suka. Fenomena yang berlaku dalam kalangan pelajar ialah mata pelajaran

sastera dianggap sebagai mata pelajaran yang tidak mempunyai nilai komersial. Secara

tidak langsung, mata pelajaran sastera telah dipinggirkan di sekolah. Oleh yang demikian,

bagi memastikan mata pelajaran sastera setanding dengan bidang-bidang yang lain maka

mata pelajaran sastera harus dijadikan sebagai mata pelajaran wajib sama dengan mata

pelajaran Bahasa Melayu. Dengan ini, bidang sastera akan berdiri sama tinggi dan duduk

sama rendah dengan bidang yang lain misalnya bidang teknologi yang sedang hangat

diperkatakan pada zaman sekarang.


Selain itu, peranan pihak Kementerian Pelajaran untuk menjadikan mata pelajaran

sastera sebagai mata pelajaran wajib, pihak yang berkaitan dengan dunia sastera harus

bergiat aktif untuk memberi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat. Sasaran

bukan sahaja kepada golongan muda khususnya pelajar, namun ia harus didedahkan

kepada golongan tua. Hal ini kerana ramai golongan tua yang berminat dengan dunia

sastera tetapi mereka masih kurang memahami sastera tersebut. Pendedahan harus

dilakukan dengan memberi ceramah atau bengkel agar semua golongan tidak kira muda

atau tua berminat dengan sastera. Dengan adanya aktiviti seperti ini maka semua

golongan akan dapat mengenali keindahan yang wujud dalam sastera.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menyediakan garis

panduan kemahiran di dalam sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu dan memberi

penekanan yang lebih kepada unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam seloka yang

banyak menyelitkan unsur-unsur sindiran kepada masyarakat melayu itu sendiri.

Pemilihan teks perlu diberi panduan agar tidak berlaku kontroversi yang boleh

menjejaskan nama baik kesusasteraan Melayu.

Selain itu, pelbagai aktiviti juga harus dijalankan. Misalnya aktiviti “Kembara

Puisi” harus dijalankan disetiap pelosok daerah. Aktiviti ini akan dapat membantu untuk

memperkenalkan puisi kepada semua lapisan masyarakat. Di samping itu, secara tidak

langsung mereka akan dapat menghayati dan merungkai maksud yang terdapat dalam

puisi tradisonal Melayu iaitu seloka. Dengan penghayatan ketika deklamasi puisi

dilakukan, maka masyarakat yang mendengar akan menerima input yang berguna. Ia
akan menggalakkan masyarakat berfikir tentang apa yang hendak disampaikan oleh

pembawa ketika seloka tersebut dinyanyikan.

Peranan guru merupakan salah satu aspek yang penting dalam usaha

memartabatkan unsur kritikan yang terdapat dalam sesebuah puisi Melayu tradisional.

Dalam era pendidikan sekarang, sastera mula diketepikan oleh pelajar kerana ia susah

untuk dipelajari. Dalam konteks ini, guru harus berperanan supaya mengubah persepsi

pelajar terhadap mata pelajaran sastera di sekolah. Guru harus mempelbagaikan teknik

dalam pengajaran sastera di sekolah. Misalnya, berlakon, berpuisi dan sebagainya.

Dengan adanya aktiviti ini di sekolah ia akan menarik minat para pelajar supaya

mempelajari mata pelajaran sastera.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran pula, guru harus mempelbagaikan

teknik tersebut. Guru hendaklah mengurangkan aktiviti memberi nota kepada pelajar. Ia

harus digantikan dengan guru harus membuat aktiviti lakonan di dalam kelas. Misalnya,

ketika mengajar seloka, aktiviti nyanyian seloka harus dilakukan oleh guru. Dengan cara

ini, pelajar akan merasa seronok iaitu belajar sambil bermain. Ilmu yang mereka pelajari

pada hari tersebut akan dapat memberi manfaat kepada mereka.

Selain peranan guru, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan untuk

memartabatkan bidang sastera agar ia dikenali di serata dunia. Promosi mengenai sastera

khususnya sajak harus diperluaskan agar masyarakat dapat mengetahui tentang bahasa

tersebut. Misalnya, mengadakan bulan membaca puisi. Ia dilakukan di mana-mana


tempat tidak kira kawasan kampung atau bandar asalkan perkara yang hendak

disampaikan kepada masyarakat sampai. Dengan adanya sokongan dari pihak kerajaan

maka secara tidak langsung maka martabat sastera sebagai sebuah bidang yang

mempunyai nilai komersial dapat diangkat.

Di samping itu, seni berpuisi juga harus diserapkan dalam majlis rasmi seperti

hari ucapan, hari perhimpunan mingguan dan acara-acara yang lain agar aktiviti ini dapat

dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat. Pertandingan seni berpuisi dalam

pelbagai bentuk juga boleh dianjurkan oleh pihak sekolah. Masyarakat luar seperti ibu

bapa harus memberi galakan kepada anak-anak mereka supaya bergiat aktif menyertai

pertandingan tersebut. Dengan cara ini ia akan dapat memupuk minat pelajar dalam

bidang sastera. Pengkaji juga turut mengemukakan saranan iaitu cara yang patut

dilakukan oleh pembaca untuk dapat memahami dan menikmati puisi yang dibaca dan

didengarinya. Dengan cara ini maka secara tidak langsung pembaca akan dapat

memahami isi seloka yang hendak disampaikan oleh pengarang. Cara untuk menikmati

seloka ialah pertama, sebagai pembaca dan pendengar kita harus membiarkan penyampai

berbuat apa sahaja (merujuk perkara-perkara yang baik). Maknanya ialah pembaca atau

pendengar harus turut mengerahkan fikirannya bersama-sama dengan penyampai.

Dengan ini, pembaca dapat berdamping rapat dengan puisi dan akan dapat memahami isi

seloka yang disampaikan.


5.3 Rumusan

Pengkaji telah menganalisis unsur-unsur kritikan dalam seloka. Dalam analisis ini

pengkaji menggunakan buku Himpunan Puisi Klasik yang ditulis oleh Md. Ali bin

Bachik dan Mohd Yusof Md. Nor dalam karya Rampaisari Puisi Warisan yang

menyelitkan beberapa seloka yang boleh dikaji melalui unsur kritikan. Sehubungan itu,

pengkaji telah menggunakan perpustakaan sebagai sumber utama untuk mendapatkan

maklumat. Secara keseluruhannya, seloka yang dihasilkan semasa mempunyai nilai dan

pengajaran yang tersendiri yang secara tidak langsung menggambarkan masyarakat

melayu pada zaman dahulu. Ia dapat dilihat melalui gaya atau stail pengarang menggarap

kata-kata untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Pengarang begitu teliti dalam

menyusun kata-kata agar menjadi lebih menarik. Tidak dapat dinafikan, bahawa kesemua

seloka yang dikaji tersebut mempunyai nilai-nilai didaktiknya yang tersendiri. Setiap bait

seloka yang dihasilkan mempunyai makna yang tersendiri. Mesej yang hendak

disampaikan menggunakan kata-kata yang indah dan menarik.

Walaupun mesej yang hendak disampaikan tersebut kasar tetapi cara penyair

menyampaikannya adalah menggunakan kata-kata secara halus dan teliti. Setiap seloka

yang dihasilkan tersebut mempunyai keindahan bahasanya yang tersendiri. Dari aspek

pemilihan kata-kata atau diksi, bahasa yang digunakan bersifat biasa dan konvensional.

Kebanyakan seloka tersebut menggunakan ayat-ayat pendek tetapi ia cukup memberi

kesan kepada pembaca. Misalnya seloka “Pak Kaduk ”. Walaupun penggunaan ayat

tersebut pendek namun aspek yang hendak disampaikan adalah amat mendalam dan amat
berguna kepada masyarakat ketika itu. Kebanyakan penggunaan gaya bahasa dalam

seloka ini adalah untuk mengajak para pembaca untuk berfikir tentang perkara yang

hendak disampaikan oleh pengarang. Penggunaan gaya bahasa simile, metafora,

paradoks, hiperbola dan personifikasi akan memberi kesan secara tidak langsung kepada

pembaca. Ia turut memberi kesan kepada emosi para pembaca. Metafora sebagai seni

berbahasa yang mampu mengungkapkan pemikiran pembaca terhadap persekitaran yang

luas.

Hasil daripada pengamatan pembaca terhadap persekitaran, mereka dapat

menggunakan gaya bahasa metafora bagi menyampaikan maksud yang tersirat dengan

lebih berkesan. Tuntasnya, seloka yang dihasilkan pada zaman dahulu mempunyai nilai

estetika yang begitu tinggi. Kesemua seloka tersebut mempunyai keindahannya yang

tersendiri dalam menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat kepada pembaca.

5.4 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, puisi melayu tradisional seloka ini mempunyai unsur-unsur

didaktik yang begitu tinggi. Seloka yang sarat dengan unsur-unsur humor dikatakan

berasal daripada bahasa Sanskrit dan merujuk kepada perkataan menyindir atau mengejek
yang diperkatakan dengan cakap yang berangkap. Ia juga merujuk kepada percakapan

gurau senda dan jenaka semata-mata istimewa jika bercampur dengan rangkap atau

pertentangan bunyi di mana-mana. Dengan ini secara tidak langsung ia akan memberi

kesan emosi kepada semua pembaca. Penggunaan gaya bahasa yang digunakan oleh

pengarang dalam sajak ini adalah untuk mengajak para pembaca berfikir tentang isi yang

tersurat dan tersirat. Di samping itu juga penggunaan diksi dalam setiap bait ayat

memberikan impak yang berkesan kepada pembaca mengenai maksud tersurat dan

tersirat dalam seloka tersebut.

Walaupun penggunaaan bahasa dalam seloka sering dipertikaikan kerana ia

dianggap sebagai kesalahan penggunaan bahasa, namun dalam sastera bahasa tersebut

adalah penggerak kepada sesebuah hasil karya. Ia bersifat subjektif dan relatif serta

mampu memberi kesan kepada seseorang individu pembaca. Mohd Taib Osman (1975)

dalam ‘Warisan Puisi Melayu’ menyatakan bahawa Puisi Melayu Tradisional merupakan

pancaran masyarakat Melayu lama yang mempunyai maksud yang begitu mendalam

walaupun penggunaan kata dan perbendaharaannya agak terhad dan sering kali dianggap

beku. Kewujudan pelbagai bentuk puisi yang berperanan dalam memberi nasihat dan

pengajaran kepada masyarakat jelas menunjukkan betapa lengkapnya warisan puisi

Melayu tradisional dan mendidik serta menasihati generasi muda agar berkelakuan baik

dan berusaha untuk membentuk jati diri yang positif. Ia jelas bertepatan dengan budaya

masyarakat Melayu yang gemar tegur-menegur demi kesejahteraan bersama.


BIBLIOGRAFI

BUKU

Annas Hj. Ahmad, (1978). Sastera Melayu Lama Dan Baru. Percetakan Hong Sdn Bhd.

Ab. Rahman Ab. Rasyid, Harun Jaafar, Mohd Rosli Saluddin,& Talib Samat, (2000).
Kamus Sastera Melayu Terkini. Selangor Darul Ehsan : Person Education
Malaysia Sdn.Bhd.
Ab. Rahman Ab. Rashid, Mohd Rosli Saludin dan Zakaria Perngis, (2003). Analisis
Autentik Sastera-Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Selangor Darul Ehsan: Pearson
Malaysia Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Napiah, (2004). Membina Keunggulan Tradisi Sastera. Singapura:


Pustaka National Pte. Ltd.

Arifin Nur. (1971). Sastera Melayu Klasik. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Darus Ahmad, (1965). Kesusasteraan Melayu Klasik, Pustaka Aman Pres, Kota Bahru,
Kelantan.

Dharmawijaya, (1998). Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran. Shah Alam:
Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Djamaris, Edwar, (1990). Menggali Khazanah Sastra Melayu Klasik, Balai Pustaka,
Jakarta,

Fang, Liaw York, Drs., (1978). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Pustaka Nasional,
Singapura.

Fatimah Daud, (1992). Pengenalan Teori-Teori Sosiologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti

Gazali Dunia, (1992). Sastera Melayu Lama Prosa Dan Puisi, Fajar Bakti Kuala
Lumpur.

Gazali Dunia, (1969). Langgam Sastera Lama, Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Harun Mat Piah, (1997). Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan Genre Dan
Fungsi. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Harun Mat Piah, (2003). Puisi Melayu Tradisional, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala
Lumpur.

Harun Jaafar, (2002). Siri Pengajaran Kesusasteraan Melayu: Wacana Kesusasteraan


Melayu Klasik. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ismail Hamid, (1967). Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama, Pearson Education


Malaysia. Petaling Jaya, Selangor.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Taib Osman (Peny.), (1975). Warisan Puisi Melayu, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Mohd. Taib Osman, (1974). Kesusasteraan Melayu dan Perubahan Sosiobudaya. Ogos
1974, Dewan Bahasa.
Mohd Taib Osman. (1998). Bunga-bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Md. Nor, (1985). Rampaisari Puisi Warisan: Fajar Bakti.

Mohd. Yusof Mohd Nor & Abdul Rahman Kaeh (1985). Puisi Melayu Tradisi. Petaling
Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Md Ali Bin Bachik, (1989). Himpunan Puisi Klasik, Polygraphic Marketing Sdn Bhd.

Md. Ali Bachik (2003). Khazanah Puisi Klasik Melayu, Melaka: Perbadanan Muzium
Melaka (ILADAM).

Mana Sikana, (2006). Membina Keunggulan Tradisi Sastera, Pustaka Nasional.

Majlis Peperiksaan Malaysia, (2006). Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh, (2006). Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Naapie Mat, Puisi Lama, (1992). Nurin Enterprise.

Noriah Taslim, (1993). Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Othman Puteh & Aripin Said.(2003).Himpunan 366 Cerita Rakyat


Malaysia.Singapura:Buona Vista Drive.

Simonrangkir Simandjuntak, B., (1965). Kesusasteraan Indonesia, Jil.1 Jakarta: P. T.


Pembangunan.

Soesilo Teor, (1963). Suka duka Si Pandir. Djakarta: Nusantara Bukit Tinggi.

Sutan Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, (1971). Petaling Jaya: Zaman Batu Baru Ltd.

Siti Aishah Murad, (1996). Konsep Nilai dalam Kesusateraan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh, (1987). Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan
Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Winsted, R. O., A History Of Classifical Malay Literature, (1960). Kuala Lumpur:


Oxford University Press,
Zainal Abidin Bin Ahmad (Za’ba), (1964). Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Zainal Abidin Bakar (peny.), (1983). Kumpulan Puisi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Zuber Usman, (1975). Kesusasteraan Lama Indonesia, Cetakan Kelima Melaka: Abbas
Bandung.

LAMAN WEB:

Diperoleh Ogos 4, 2009 daripada http://klasik.blogmas.com/2008/10/31/malang-pak-


kaduk/

Diperoleh Ogos 27, 2009 daripada http://klasik.blogmas.com/2007/12/27/emak-si-


randang/

Diperoleh September 17, 2009 daripada


http://www.ui.ac.id/Penelitian_Sosial_Budaya_Cenderung_Tinggalkan_Masyarakat.pdf

LAMPIRAN A

Seloka Pak Kaduk

Ayuhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awang pulang kebuluran,


Ada isteri di bunuh,

Nyaris mati oleh tak makan,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk,

Rumah runtuh awak menumpang.

(Sumber: Gazali Dunia, 1992 : 109)

LAMPIRAN B

Seloka Mak si Randang

Baik budi emak si Randang

Dagang lalu ditanakkan

Tiada kayu rumah diruntuhkan,

Anak pulang kelaparan,


Anak di pangku diletakkan,

Kera di hutan disusui,

Dagang pergi awak terhutang,

Beras habis padi tak jadi. (Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 2)

LAMPIRAN C

Seloka Pak Pandir

Pandai! Pak Pandir!

Anak dipijak dagang dijunjung,

Kucing dibunuh tikus dibela,

Harta habis badan tergadai,


Mendengar gelagak dagang,

Tak sedar bertelanjang,

Mendengar guruh di langit,

Air tempayan dicurahkan,

Mulut disuap pisang,

Buntut dicangkuk onak,

Gunting makan di hujung,

Pak Pandir juga menanggung!

Apa didengar gelagak dagang,

Gelagak rambutan jantan,

Orang berbunga dia berbunga,

Orang berbuah dia haram!

Kilat memancar hujan tak jadi,

Awak juga yang menanggung! (Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 3)

LAMPIRAN D

Seloka Kisah Pak Pandir

Wah! Pandainya Pak Pandir!

Pipit uban disangka Pak Haji,

Kambing jantan disangka ketawa,

Tikar kosong ditanam,


Anak dibawa keciciran!

(Sumber: Md Ali b. Bachik, 1989 : 5)

LAMPIRAN E

Seloka Sifat Pak Pandir

Inilah sifat Pak Pandir

Asalkan bergaya itulah kaya

Asalkan berkilat itulah intan


Asalkan buntat pasti bertuah

Asalkan berbungkal itulah emas

(Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 5)

LAMPIRAN F

Seloka Si Luncai

Sikap si luncai, biarkan, biarkan…

Ada rumah tiada terjaga,

Ada anak tidak terlatih,


Ada ternakan tidak terbela,

Ada kebun tidak ditanam,

Ada cerdik tiada selidik,

Ada belajar kepalang ajar,

Ada mengaji tiada kuasa,

Ada kuat tiada buat,

Biarkan, biarkan…!

Si luncai pun terjun dengan labu-labunya.

(Sumber: Himpunan Puisi Klasik: 6)

LAMPIRAN G

Seloka Pak Balung- ayam tambatan

Episod pertama (sungguh malang nasib Pak Balung)

Kasih dicurah sayang diberi,

Makan dihidang minum disaji,


Tak perlu kais tak perlu cari,

Beras padi datang sendiri.

Hilang dicari lambat dituruti,

Bulu dicuci leher diurut,

Paruh diasah taji diraut,

Ekor dibelai najis dikaut,

Lupa diri lupa daratan,

Berkokok lantang bersahut sahutan,

Akulah handal akulah jantan,

Akulah jaguh ayam tambatan.

Episod kedua (sungguh malang nasib Pak Balung)

Nasib Pak Balung belum pasti,

Entah untung entahkan rugi,

Entah hidup entahkan mati,

Entahkan maut di hujung taji.

Entah pekak mungkin buta,

Entah momok mungkin gila,

Entah patah tergeliat,

Atau pincang seumur hayat!

Episod ketiga (sungguh malang nasib Pak Balung)

Dalam gelanggang satu bulatan,


Di situlah Pak Balung dilepaskan,

Tanpa sebab tanpa alasan,

Bersabung nyawa beradu kekuatan,

Bulu tercabut berterbangan,

Darah merah bercucuran,

Kulit daging berkecaian,

Wang ringgit bertukar tangan,

Yang kalah jatuh terkapar,

Yang menang mandi darah,

Siapa yang untung ketawa besar,

Siapa yang rugi menyumpah-nyumpah.

Episod keempat (sungguh malang nasib Pak Balung)

Orang menang awak yang parah,

Orang ketawa awak berdarah,

Akibat megah diri...

Akhirnya menjilat luka sendiri! (Sumber: Md. Ali b. Bachik, 1989: 7)

LAMPIRAN H

Seloka Kehilangan Adat Melayu

Aduhai resam, wahai adat!

Lembaga di mana telah berpudat?

Wah! Hilang adat lenyaplah bahasa,


Ghaib sepi tiada bersisa...

Laksana dipagut tedung yang bias!

Amboi! Amboi! Adat tiruan, resam terpaksa,

Umpama gajah menjadi rusa,

Oleh ragi campuran bangsa!

Sayang! Sayang!

Merajuk ke manakah adat melayu?

Laksana debu dipuput bayu.

Wallahualam!

Entah jatuh ke laut gerangan,

Disambar yu! (Sumber: Abdul Halim Ali, 1964: 42)

LAMPIRAN I

Seloka Lebai Malang

Lebai nasib langkahan malang,

Ke hulu hilir penat berulang,

Celaka sial bedebah jembalang,

Pakaian dibuang bertelanjang pulang.

Ayuhai nasib fakir miskin,


Dapat sedekah sebungkus lempeng

Habis hilang baju dan kain,

Penganan habis dibaham anjing.

Penat berkejar tiada terkira,

Ke sana ke mari tersera-sera

Punah golok bersama nira

Pulang ke rumah mendapat mara.

(Sumber: Mohd. Yusuf Md. Nor, 1985: 173)

You might also like