You are on page 1of 8

FERTILITI DI KALANGAN WANITA BEKERJA: KAJIAN KES GURU-GURU

WANITA DI SEKITAR TANJONG MALIM

LATAR BELAKANG KAJIAN

Pada masa kini, di kebanyakan negara proses migrasi dan mortaliti telah mencapai
satu paras yang stabil, tetapi faktor fertiliti sahaja yang tinggal sebagai faktor dinamis
dalam pertumbuhan penduduk. Fertiliti merupakan satu fenomena sosial yang
kompleks dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap semua aspek
pembangunan. Fertiliti dapat mempengaruhi struktur keluarga, bekalan guna tenaga,
kadar untuk menyediakan kemudahan awam dan lain-lain proses masyarakat. Oleh
itu, fertiliti dapat mempengaruhi semua dimensi hidup sesuatu masyarakat maka
fertiliti pernah menjadi tumpuan kajian ramai pengkaji (Usman, 1989).

Menurut Freedman (1962), seperti yang dirujuk oleh Usman (1989) fertiliti adalah
satu daripada tiga komponen yang penting dalam bidang demografi. Fertiliti juga
mempunyai kaitan langsung dengan pertambahan penduduk. Dari sudut biologi,
fertiliti boleh ditakrifkan sebagai satu penyatuan antara tiga faktor iaitu, kesuburan
ibu, persenyawaan telor dan kemungkinan ‘embryo’ tersebut untuk terus hidup.
Walaupun secara asasnya fertiliti adalah salah satu faktor biologi tetapi faktor sosial
mempunyai peranan yang penting dalam menentukan faktor biologi ini (Usman,
1989).

Fertiliti juga boleh didefinisikan sebagai kadar kesuburan. Kesuburan ialah bilangan
sebenar anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita sepanjang tempoh ia boleh
mengandung dan amalan-amalan pembiakan. Ia boleh dinyatakan dalam bentuk
saiz keluarga yang dicapai atau purata bilangan anak yang dilahirkan oleh
seseorang wanita pada suatu peringkat tertentu dalam umur pembiakannya (15
hingga 49 tahun) (Usman, 1989). Kemerosotan kesuburan nampaknya bukanlah
kerana perubahan dalam struktur umur penduduk. Perancangan keluarga
memainkan peranan yang penting dalam kemerosotan kesuburan, tetapi ini sukar
untuk ditentukan. Penggunaan pelbagai kontraseptif dan kemahuan bagi
perancangan keluarga telah berkembang pada tahun-tahun kebelakangan ini dan
jika arah aliran ini berterusan maka akan berlakulah kemerosotan kesuburan
selanjutnya yang dijangkakan.

Poo Bee Tin, Liew Chei Siang & Norlaila Abu Bakar (2003) pula menyatakan
bahawa kesuburan merupakan satu elemen demografi penting yang akan memberi
kesan kepada pertumbuhan penduduk sesebuah negara yang seterusnya akan
menyumbang kepada pertambahan dalam bilangan tenaga kerja apabila penduduk
mencapai umur 15-49 tahun. Justeru itu, kesuburan manusia merupakan satu
proses semula jadi yang bertanggungjawab terhadap penggantian biologi dan
pemeliharaan masyarakat manusia supaya terus wujud. Ini bermakna, tanpa
kesuburan manusia penduduk dunia tidak akan bertambah. Ia juga dianggap satu
komponen pertumbuhan penduduk yang penting selain daripada kematian dan
migrasi (Usman, 1989).
Selain itu, faktor demografi juga memainkan peranan penting dalam kesuburan.
Faktor demografi terdiri daripada struktur umur, komposisi jantina, tahap pekerjaan
dan tahap pembandaran. Jadi, memang terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan
kemerosotan kadar kesuburan wanita. Pada masa dulu, kadar fertiliti di kalangan
wanita adalah tinggi (Usman, 1989). Hal ini berlaku kerana dalam masyarakat
primitif dan masyarakat tradisi, anak yang ramai akan menandakan ketua rumah
mempunyai kekuasaan dan kekayaan kerana anak akan memberi pendapatan dan
menyumbang tenaga untuk membantu ibu bapa mereka (Andorka, 1978: 24).

Kajian tentang fertiliti sama ada di peringkat mikro (negara) ataupun makro
(antarabangsa) adalah berkait rapat dengan masalah pertambahan penduduk.
Dalam hal menilai keruncingan masalah penduduk sebagai satu masalah yang
menjejaskan kehidupan manusia terdapat dua aliran pendapat yang bertentangan.
Satu aliran ‘pessimists’ yang menganggap masalah penduduk telah mencapai
peringkat kritikal dan patut diberi perhatian yang serius. Aliran yang keduanya
adalah aliran ‘optimist’. Aliran ini mengatakan bahawa dengan perkembangan
kemajuan dalam teknologi, kita dapat menyelesaikan masalah penduduk. Oleh yang
demikian, banyak daripada kajian-kajian fertiliti adalah dengan tujuan menjelaskan
keadaan sebenarnya paras fertiliti sesuatu negara. Data-data fertiliti ini boleh
digunakan sebagai satu panduan dalam pembentukan polisi-polisi kerajaan seperti
Perancangan Perbelanjaan Negara. Di samping itu, data-data fertiliti juga digunakan
untuk membuat unjuran penduduk dan memberi gambaran tentang saiz, struktur dan
arah perkembangan penduduk dalam sesuatu negara pada masa akan datang.
Maklumat fertiliti juga merupakan alat penting dan berfaedah dalam perancangan
dan asas penyelesaian masalah sedunia (Barclay, 1987).

Pada keseluruhannya, perubahan yang berlaku pada paras fertiliti, mortaliti dan
migrasi akan memberi kesan secara langsung kepada kadar pertumbuhan
penduduk. Justeru itu, kadar pertumbuhan penduduk mempunyai kaitan yang amat
rapat dengan tahap pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. Ini kerana tahap
pembangunan sosioekonomi akan mengubah kualiti hidup diri dan keluarga.
Perubahan kualiti hidup itu boleh dijelaskan dari segi semakin tinggi tahap
pendidikan atau semakin meluas kadar kenal huruf, semakin peka seseorang itu
kepada masalah-masalah sosial dan sentiasa bersedia untuk mewujudkan
kehidupan sesebuah keluarga yang sempurna dan bahagia (Hairi, 1989; 55).

KAJIAN-KAJIAN TENTANG FERTILITI

Fertiliti merupakan satu skop kajian yang kompleks dan luas. Ramai pengkaji telah
membuat penyelidikan tentang fertiliti di kalangan wanita. Pengkaji-pengkaji telah
mengemukakan pelbagai teori berkenaan dengan konsep fertiliti. Kebanyakan teori-
teori fertiliti yang dikemukakan adalah berdasarkan pengalaman dari negara-negara
barat. Jadi, adalah penting untuk kita menilai sama ada teori-teori perlakuan fertiliti
ini adalah selaras dengan perkembangan dalam keadaan sebenar di negara-negara
Dunia Ketiga (Usman,1989).

Teori Transisi Demografi bukanlah suatu yang baru dan ia penting dalam kajian
kependudukan. Demografi merujuk kepada tingkah laku kumpulan (iaitu beberapa
bahagian daripadanya) dan bukan kepada tingkah laku individu (Barclay, 1987).
Menurut Mohd. Shamsudin Zahid Sopian (1995) pula, beliau melihat demografi
sebagai satu pengkajian tentang kependudukan manusia yang melibatkan elemen
fertiliti (kelahiran), mortaliti (kematian) dan migrasi. Ia melibatkan pengkajian yang
saintifik tentang saiz, penyebaran ruang dan komposisi serta bagaimana ketiga-tiga
komponen ini berubah mengikut masa. Justeru itu, demografi pada asasnya ialah
pengkajian saintifik dan statistik tentang fertiliti, mortaliti serta migrasi dan
bagaimana komponen ini berubah mengikut masa dan kemudiannya mempengaruhi
saiz dan taburan kependudukan manusia di sesuatu kawasan. Dalam hal ini, semua
komponen untuk mengukur demografi dikenali sebagai pemboleh ubah demografi.
Pemboleh ubah demografi ini pula amat penting kepada sesebuah negara kerana ia
akan mempengaruhi faktor sosial, politik dan ekonomi. Jadi, para pengkaji sedang
mencari satu teori untuk menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam
kesuburan dan sebab-sebab berlakunya perbezaan kesuburan di kalangan manusia.
Penemuan teori ini dapat dijadikan asas dalam meramalkan kesuburan yang akan
datang. Setakat ini, teori-teori kesuburan yang telah dikemukakan dapat dibahagikan
kepada dua iaitu, Teori Sosial dan Teori Ekonomi.

PENYATAAN MASALAH

Sejak kebelakangan ini, fertiliti dan pekerjaan merupakan dua pemboleh ubah yang
mendapat perhatian oleh para ahli ekonomi, demografi dan sosiologi semenjak
bermulanya disiplin tersebut (Tiun, 1985: 23). Menurut Tiun (1985), hubungan tahap
pekerjaan dan kadar fertiliti adalah bersifat songsang iaitu semakin ramai wanita
bekerja semakin menurun kadar fertiliti. Menurut Bolssfeld (1998) dan Cochrane
(1983) seperti yang dirujuk oleh Usman, (1989) wanita yang berpendidikan tinggi
lebih suka menangguhkan umur perkahwinan mereka kerana mempunyai komitmen
yang lebih untuk bekerja dan mereka berpendapat bahawa melahirkan anak akan
mengganggu pekerjaan mereka dan ini akan menyebabkan kadar fertiliti semakin
menurun. Jadi, boleh dikatakan penurunan kadar fertiliti adalah diakibatkan oleh
peningkatan penglibatan wanita bekerja di luar rumah.

Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil, daripada sebuah


negara pengeluar bahan mentah seperti getah pada tahun 1971, kini Malaysia telah
berubah menjadi sebuah negara pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru
(Aiken, Leinbach, Leigh & Moss, 1994). Kemajuan ekonomi yang dicapai oleh
Malaysia telah mengubah corak hidup sesebuah keluarga. Saiz keluarga yang besar
semakin kecil disebabkan kehidupan moden. Jadi, keluarga yang besar semakin
merosot. Bagi sesetengah keluarga bilangan anak yang ramai sering kali dianggap
akan menyusahkan keluarga dan ia juga akan menyukarkan sesebuah keluarga
untuk mengekalkan satu taraf hidup yang optimum. Dalam hal ini, adalah menjadi
lumrah bagi golongan yang berpendapatan tinggi dan berkedudukan baik tidak mahu
bilangan anak yang ramai. Sebaliknya, keluarga yang berpendapatan rendah
berkeadaan sebaliknya.

Perkembangan pelbagai bidang pekerjaan di Malaysia secara tidak langsung


mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada golongan wanita. Misalnya
dalam bidang perguruan golongan wanita mendapat peluang yang banyak
berbanding dengan golongan lelaki. Malah berlandaskan kemajuan ekonomi yang
disokong oleh pencapaian akademik yang tinggi akan memberi peluang kepada
golongan wanita untuk memiliki karier yang baik seperti guru. Bagi kaum wanita
sektor pekerjaan yang terbuka luas secara tidak langsung membolehkan mereka
turut sama menceburi diri dalam sektor pekerjaan. Dengan bekerja golongan wanita
mempunyai sumber pendapatannya sendiri tanpa perlu bergantung kepada keluarga
mahupun suami.

Wanita yang bekerja dalam bidang profesional juga mempunyai dedikasi yang tinggi
terhadap kerjaya sehingga memungkinkan mereka meninggalkan niat untuk
berumah tangga. Pada masa yang sama bagi wanita yang bekerja mereka akan
berhadapan dengan kekangan masa antara waktu bekerja dengan waktu untuk
mengandung dan melahirkan anak. Jelas di sini, semakin komitednya seorang
wanita itu terhadap kerjayanya kadar kesuburan akan semakin menurun. Dalam hal
ini, kesukaran dalam penjagaan anak-anak juga akan menyebabkan golongan
wanita tidak berminat untuk mempunyai keluarga yang besar. Ini kerana sebagai
seorang wanita berkerjaya kualiti anak yang dilahirkan adalah lebih penting daripada
kuantiti.

Justeru itu, tidak dapat dinafikan kadar kesuburan yang kian memperlihatkan trend
yang semakin menurun pada hari ini mempunyai kaitannya dengan penglibatan
wanita dalam sektor pekerjaan sama ada dalam bidang profesional mahupun
sebaliknya. Malah isu berkaitan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dengan
pengaruhnya terhadap kesuburan seorang wanita semakin kerap dibincangkan dan
dipersoalkan kerana ia berhubung kait dengan pembangunan negara.
Selain itu, tugas sebagai seorang guru juga mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan
guru wanita. Tugas sebagai seorang guru yang dimaksudkan di sini ialah beban
tugas mereka di sekolah. Ini menjadi satu sebab yang mendorong mereka untuk
memiliki saiz keluarga yang kecil. Di mana saiz keluarga yang kecil senang untuk
diuruskan bagi guru-guru yang mempunyai tugas yang berat di sekolah. Jadi,
mereka akan memilih saiz keluarga yang kecil sahaja iaitu, bilangan anak mereka
adalah lebih kurang terdiri daripada seorang atau dua orang sahaja. Ini adalah
kerana, bilangan anak yang sedikit akan membantu mereka untuk menguruskan
keluarga mereka dengan lebih mudah. Tanggungjawab sebagai seorang guru
adalah sangat penting. Jadi, apabila seseorang guru itu mempunyai bilangan anak
yang ramai sudah pasti tanggungjawab mereka akan lebih membebankan lagi. Ini
secara tidak langsung mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru.

Selain itu, cuti bersalin yang agak lama iaitu, selama dua bulan atau 60 hari juga
secara tidak langsung mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita.
Cuti yang panjang dengan gaji akan menggalakkan guru-guru wanita untuk
melahirkan anak yang ramai. Jadi, keistimewaan atau kelebihan seperti ini akan
mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita. Ini juga secara tidak
langsung akan membantu mencapai legasi bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr
Mahathir Mohamad iaitu, pencapaian dasar 70 juta penduduk pada tahun 2100
(Usman, 2004). Pengumuman dasar 70 juta penduduk ini telah mendapat liputan
besar-besaran di seluruh dunia terutama daripada golongan anti kesuburan. Dalam
konteks ini, Malaysia tidak perlu meneruskan dasar kependudukan lama sebaliknya
berhak menentukan dasar kependudukannya yang baru. Jelaslah, dasar 70 juta
penduduk yang disarankan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir
Mohamad lebih 20 tahun yang lalu memberikan kebaikan kepada negara
terutamanya ia dapat mengekang kejatuhan kesuburan secara cepat. Walau
bagaimanapun, kadar kesuburan semakin merosot di kalangan wanita-wanita
bekerja terutamanya di kalangan guru-guru wanita. Jadi, penyelidikan ini akan
mengkaji tentang kadar kesuburan di kalangan guru-guru bagi mengetahui lebih
mendalam tentang kadar fertiliti di kalangan guru-guru di sekitar Tanjong Malim.

Penyelidikan ini akan membincangkan tentang faktor yang mempengaruhi kadar


fertiliti di kalangan guru-guru wanita iaitu sejauh mana tugas sebagai seorang guru
mempengaruhi fertiliti. Di samping itu, pengkaji juga akan mengkaji tentang amalan
perancangan keluarga, umur perkahwinan serta bilangan anak dalam sesebuah
keluarga di kalangan guru-guru wanita di sekolah menengah sekitar Tanjong Malim.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF KAJIAN

Matlamat utama kajian ini adalah untuk mengetahui sejauh mana faktor kerjaya
khususnya kerjaya sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti. Selain itu,
kajian ini juga akan mengkaji kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita mengikut
etnik. Walaupun terdapat banyak lagi faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti di
kalangan wanita bekerja khususnya di kalangan guru-guru wanita, akan tetapi
pengkaji hanya memilih faktor-faktor tertentu sahaja yang dianggap penting untuk
mengkaji kadar fertiliti. Jadi, matlamat utama kajian ini ialah mengkaji sejauh mana
tugas sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru
wanita di sekitar Tanjong Malim.

Kajian ini akan menjelaskan tentang bagaimana tugas seorang guru itu
mempengaruhi kadar fertiliti sama ada tugas guru membebankan mereka dan ini
secara tidak langsung mempengaruhi kadar kesuburan di kalangan mereka.
Matlamat ini akan dibuktikan dengan mengkaji amalan perancangan keluarga,
bilangan anak dan umur berkahwin di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong
Malim.

Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji secara mendalam aspek
perhubungan di antara kadar fertiliti dengan tugas guru iaitu bagaimana tugas guru
wanita dapat memberi implikasi terhadap kadar fertiliti. Dalam kajian ini terdapat
beberapa aspek yang lebih spesifik yang akan diberi penekanan khusus dalam
penyelidikan ini iaitu, seperti berikut:
i) mengenal pasti umur perkahwinan dan bilangan anak dalam sebuah
keluarga di kalangan guru-guru wanita di kawasan kajian,
ii) mengkaji amalan perancangan keluarga di kalangan guru-guru wanita di
kawasan kajian,
iii) mengkaji sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi kadar
fertiliti di kalangan guru-guru wanita Melayu, Cina dan India di kawasan
kajian,
iv) menjelaskan implikasi tugas guru terhadap kadar fertiliti di kawasan kajian
secara keseluruhannya.

SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Skop kajian meliputi beberapa sekolah menengah di sekitar Tanjong Malim, Perak
Darul Ridzuan. Di daerah Tanjong Malim terdapat 14 buah sekolah rendah dan 4
buah sekolah menengah. Bilangan keseluruhan guru ialah 360 orang guru
berkhidmat di sekolah rendah dan 412 orang guru berkhidmat di sekolah menengah.
Pengkaji memilih secara rawak seramai seratus orang responden di sekolah
menengah di sekitar Tanjong Malim.

Bagi mengetahui kadar kesuburan mengikut etnik, pengkaji memilih 65 orang guru
Melayu, 20 orang guru Cina dan 15 orang guru India. Pengkaji memilih kawasan ini
kerana ia merupakan tempat tinggal pengkaji. Pengkaji juga kenal dan faham
dengan sikap responden yang dipilih. Kawasan ini juga tidak jauh dari rumah
pengkaji dan ini memudahkan pengkaji mudah berulang alik dari rumah ke kawasan
kajian.

Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan perhatian kepada umur perkahwinan dan
bilangan anak yang dimiliki oleh seorang guru di sekitar Tanjong Malim. Di samping
itu, pengkaji juga ingin mengkaji tentang amalan perancangan keluarga di kalangan
guru di sekitar Tanjong Malim. Kajian ini hanya dihadkan kepada guru-guru wanita
yang bekerja di sekitar Tanjong Malim sahaja tanpa mengira kaum. Walaupun
terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti, akan tetapi dalam kajian
ini pengkaji ingin mengkaji sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi
kadar fertiliti dan implikasinya terhadap kadar fertiliti di kawasan kajian.

Fokus responden kajian ini hanya bertumpu kepada guru-guru Melayu, Cina dan
India. Kajian ini hanya berfokus kepada guru-guru wanita yang telah berkahwin di
sekitar Tanjong Malim. Guru-guru wanita yang berkahwin sahaja dijadikan
responden oleh pengkaji bagi mendapatkan data tentang bilangan anak yang dimiliki
oleh guru-guru di sekitar Tanjong Malim. Ini adalah bagi mengetahui kadar
kesuburan di kalangan mereka di samping memudahkan proses penganalisisan data
tentang perbezaan kadar kesuburan mengikut etnik.

FERTILITI DI MALAYSIA

Di Malaysia, kajian-kajian yang berhubung dengan perbezaan fertiliti penduduk tidak


banyak dijalankan. Kajian yang pertama telah dijalankan pada tahun 1966/67 oleh
pihak ‘Malaysian Family Survey’. Kajian-kajian yang seterusnya pula telah dijalankan
pada tahun 1967/68 dan 1970. Selain itu, Kajian Malaysia Population and Family
Survey (MPFS 1984/85), telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) (Hairi, 1989). Matlamat utama kajian ini
ialah untuk meneliti pola demografi dan proses pembentukan keluarga di
Semenanjung Malaysia. Di samping mengenal pasti faktor-faktor yang
mempengaruhinya, ia juga menerangkan bagaimana faktor-faktor itu berubah
mengikut masa. Misalnya, pola kesuburan telah dilihat berdasarkan ras, tempoh
perkahwinan, umur perkahwinan, saiz keluarga yang telah dicapai dan perbezaan
taraf sosioekonomi yang telah mempengaruhi kesuburan penduduk. Dari kajian-
kajian itu, didapati terdapat beberapa angkubah yang boleh mempengaruhi kadar
fertiliti penduduk. Kajian-kajian ini telah melihat hubungan fertiliti dengan beberapa
faktor sosioekonomi keluarga seperti pencapaian pelajaran, pekerjaan dan latar
belakang petempatan.
Umumnya banyak kajian telah dilakukan terhadap kesuburan penduduk di dunia.
Salah satu daripadanya ialah menerusi kajian yang dilakukan oleh Abdul Rahman
Hasan (1997) terhadap penduduk di Semenanjung Malaysia. Kajian tersebut
menunjukkan paras kesuburan di Semenanjung Malaysia mengalami proses
peralihan sejak pertengahan dekad 60-an, terutamanya bagi paras kesuburan bagi
etnik Cina dan India jatuh dengan amat ketara. Antara faktor yang dikaitkan dengan
kejatuhan kesuburan ialah peningkatan umur perkahwinan pertama, pengurangan
kematian bayi, peningkatan pencapaian pendidikan, proses urbanisasi dan
penggunaan kontraseptif moden.

Bagaimanapun semua kajian tersebut menganggap kesuburan ialah sesuatu yang


statistik. Secara dinamiknya, kesuburan dilihat sebagai satu proses pembinaan
keluarga yang berlaku secara berjujukan dan bersandarkan kepada masa.
Umumnya, kesuburan di Semenanjung Malaysia mencerminkan ciri-ciri kesuburan
Negara Membangun dengan sebahagian besar wanitanya terus melahirkan anak
pada pariti yang tinggi (Abdul Rahman Hasan, 1997). Selain itu, wanita di
Semenanjung Malaysia sangat berkeinginan untuk mempunyai anak pertama
secepat mungkin selepas berkahwin, sama ada wanita dibahagikan mengikut
kategori tingkat pendidikan, umur perkahwinan, tempat tinggal dan mengikut etnik.

Berbeza dengan kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Kependudukan (1998),
menurut kajian tersebut Malaysia telah mengalami penurunan Jumlah Kadar
Kesuburan yang signifikan semenjak tahun 1957. Jumlah Kadar Kesuburan (JKK)
bagi Semenanjung Malaysia telah menurun daripada 6.5 kelahiran bagi setiap
wanita dalam tahun 1957 kepada 3.9 kelahiran dalam tahun 1990. Penurunan dalam
jumlah kadar kesuburan yang berlaku sejak tahun 1957 adalah disebabkan oleh
pelbagai faktor seperti peningkatan taraf pendidikan dan peluang pekerjaan bagi
wanita. Peratusan wanita yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi
setelah tamat persekolahan menengah sebelum menceburi alam pekerjaan semakin
meningkat. Golongan tersebut bukan sahaja melewatkan perkahwinan tetapi mereka
juga lebih cenderung kepada saiz keluarga yang kecil. Misalnya, antara tahun 1970-
1990, purata umur perkahwinan pertama bagi wanita telah meningkat dari 22.1
tahun kepada 24.6 tahun di Semenanjung Malaysia, 20.4 kepada 22.9 di Sabah dan
21.2 kepada 22.9 di Sarawak (Pusat Kajian Kependudukan, 1998). Selain itu,
penurunan kadar kesuburan juga disebabkan oleh wujudnya program perkhidmatan
perancangan keluarga yang mantap dan mudah didapati oleh wanita yang
berkahwin. Walau bagaimanapun, masih terdapat perbezaan dalam kadar
kesuburan yang ketara antara kawasan-kawasan yang disebabkan oleh
ketidakseimbangan tahap pembangunan di antara kawasan dan negeri-negeri di
Malaysia. Di pantai barat Semenanjung Malaysia kadar jumlah kesuburan adalah
lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar kesuburan di negeri-negeri pantai
timur.

Poo Bee Tin, Liew Chei Siang & Norlaila Abu Bakar (2003), mendefinisikan
kesuburan sebagai salah satu elemen demografi penting yang akan memberi kesan
kepada pertumbuhan penduduk sesebuah negara yang seterusnya akan
menyumbang kepada pertambahan dalam bilangan tenaga kerja apabila penduduk
mencapai umur 15-64 tahun. Menurut ketiga-tiga penulis tersebut, ahli-ahli
demografi menggunakan istilah kesuburan bagi menerangkan bilangan kelahiran
yang sebenarnya terjadi dalam sesebuah keluarga dalam satu jangka masa tertentu.
HIPOTESIS KAJIAN
Berdasarkan kepada matlamat kajian dan tinjauan penulisan yang lampau, hipotesis
dibina dan akan cuba diuji dalam kajian ini.

Hipotesis Ho : Tidak ada hubung kait yang signifikan di antara tugas guru,
umur
perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami
dengan kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekolah
menengah sekitar Tanjong Malim.

Sebenarnya, pelbagai faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru


wanita di sekitar Tanjong Malim dan bukan sahaja tugas guru, umur perkahwinan,
pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami mempunyai hubung kait dengan kadar
fertiliti di kalangan mereka. Maksudnya, faktor-faktor tersebut tidak menentukan
kadar fertiliti di kalangan mereka.
Hipotesis H1 : Terdapat hubung kait yang signifikan di antara tugas guru,
umur
perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami
dengan kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekolah
menengah sekitar Tanjong Malim.
Jadi, tugas guru, umur perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami
memang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kadar fertiliti di
kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim. Selain daripada melakukan
ujian terhadap dua hipotesis ini, kajian ini juga diharap akan menunjukkan
angkubah-angkubah lain yang mempunyai hubung kait dengan kadar fertiliti di
kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim.

KEPENTINGAN KAJIAN

Penurunan kadar kesuburan atau fertiliti di kalangan kaum wanita begitu hangat
diperkatakan. Malah bagi negara-negara maju, isu ini dianggap satu perkara yang
biasa berlaku di negara-negara tersebut serta tidak keterlaluan jika dikatakan
bahawa ia merupakan satu trend bagi masyarakat di negara-negara tersebut.
Keadaan yang sama juga kian berlaku di kebanyakan Negara-negara Sedang
Membangun seperti Malaysia, walaupun senario ini masih baru namun isu ini
semakin mendapat perhatian dan harus difikirkan kerana kadar kesuburan di
Malaysia didapati telah berkurangan atau semakin menunjukkan trend penurunan.

Kajian ini sangat penting untuk mengetahui sejauh mana tugas seorang guru boleh
mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita. Dengan melakukan kajian
ini pengkaji dapat mengetahui faktor atau trend kesuburan di kalangan guru-guru
wanita. Selain itu, pengkaji juga ingin melihat umur perkahwinan serta bilangan anak
dalam sebuah keluarga di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim sama
ada umur perkahwinan mempengaruhi bilangan anak di kalangan responden. Di
samping itu, pengkaji juga ingin mengetahui amalan perancangan keluarga di
kalangan responden. Adalah diharapkan dapatan-dapatan daripada kajian ini dapat
memberikan gambaran yang jelas kepada pengkaji mengenai kadar kesuburan di
kawasan kajian. Selain itu, kajian ini juga mampu menyumbang ke arah peningkatan
pemahaman pengkaji tentang fertiliti.

You might also like