You are on page 1of 8

USTAZ ABU BAKAR AL-BAQIR(1907–1974)

SAARI SUNGIB | ABUURWAH @GMAIL.COM |

C ONTENTS
Latar Belakang .................................................................................................................................................. 2

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik ................................................................................................................... 2

Maahad Al-Ehya Al-Sharif.................................................................................................................................. 3

Meluaskan Pembaharuan ................................................................................................................................. 3

Pembaharuan melalui Ekonomi......................................................................................................................... 4

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama.......................................................................................................... 4

Pembaharuan melalui Pendidikan ..................................................................................................................... 4

Pembaharuan melalui Politik Islam.................................................................................................................... 5

Tamparan kepada UMNO.................................................................................................................................. 5

Pusat Memperjuangkan Kemerdekaan .............................................................................................................. 5

Tamparan berubah Menjadi Hasutan ................................................................................................................ 6

Pengintipan dan Penangkapan .......................................................................................................................... 7

Lima Tahun Merengkok dalam Penjara.............................................................................................................. 7

Terus Berjuang.................................................................................................................................................. 7

Sumbangan kepada Gerakan Islam .................................................................................................................... 8

Anugerah.......................................................................................................................................................... 8
USTAZ ABU BAKAR AL-BAQIR(1907–1974)
SAARI SUNGIB | ABUURWAH @GMAIL.COM |

L ATAR B ELAKANG

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang
bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam
pelajaran sejak kecil lagi. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-
Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari
Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang.
Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam,


terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan
pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala
Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok
Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

S EORANG A KTIVIS D AKWAH DAN P OLITIK

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-
politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr.
Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak
Usaha Pembaharuan Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas
pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang
diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan
bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh
Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap
malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri
daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan
Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah
yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah
pendekatan pembaharuan.

M AAHAD A L -E HYA A L -S HARIF

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah
menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol. Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi
erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan
tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini
dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974. Usaha pembaharuan ini diteruskan pada
tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad).
Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah.
Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

M ELUASKAN P EMBAHARUAN

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan
umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal
abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih
kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak.
Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak
sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di
Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang
berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya. Guru-gurui dari Indonesia ini
terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di
Indonesia. Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif
sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam
dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

P EMBAHARUAN MELALUI E KONOMI

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan
besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di
Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha
meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang
sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah
Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia.
Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir. Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat
Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah
dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan


ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-
madrasah seluruh Tanah Melayu.

P EMBAHARUAN DALAM P ENTADBIRAN A GAMA

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas
PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol. Ustaz Abu Bakar Al-
Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal
agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu. MATA adalah satu tamparan
yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama
negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama.
MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di
setiap negeri.

P EMBAHARUAN MELALUI P ENDIDIKAN

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat
telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR. LEPIR adalah
hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan
pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam
bidang pendidikan. Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk
memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu. Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem
persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.
LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku
pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu. Dengan menerajui LEPIR, Ustaz
Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam
dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.

P EMBAHARUAN MELALUI P OLITIK I SLAM

Pada 14 Mac 1948, dalam Persidangan MATA, sebuah "Parti Orang-Orang Islam Malaya" atau
dikenal dengan nama Hizbul Muslimin telah ditubuhkan. Nama Hizbul Muslimin telah
dicadangkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan disokong oleh Ustaz Abrab Tamimi dan Dr.
Burhanuddin Al-Helmy.

Hizbul Muslimin mengambil semangat penubuhannya daripada Masjumi di Indonesia dan Ikhwan
Muslimin di Timur Tengah. Hizbul Muslimin ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan
tanahair berasaskan Islam.

Dasar parti ini adalah atas "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang
berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu Darul-
Islam". Dalam persidangan tersebut Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi Ketua Umum
Hizbul Muslimin.

T AMPARAN KEPADA UMNO

Dalam persidangan penubuhan MATA di Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin-pemimpin UMNO


berasa sangat ragu-ragu dan berusaha mengelakkan diri daripada menyertainya. Tidak ramai di
kalangan tokoh UMNO yang hadir dalam persidangan tersebut.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin PKMM ramai yang hadir. Bahkan ramai anggota PKMM yang
mengambil bahagian penting dalam menggerakkan beberapa jawatankuasa di bawah MATA.
Keadaan ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada UMNO yang baru saja ditubuhkan itu.
Satu lagi tamparan terhadap UMNO adalah apabila PEPERMAS ditubuhkan. Dengan penubuhan
PEPERMAS ia menjadi saingan hebat kepada bahagian iktisad UMNO. Bahagian ini sedang giat
merangka perancangan ekonomi lima tahunnya yang pertama dan mahukan sokongan ramai
orang Melayu.

Sejak itu lagi pihak UMNO telah membuat ancaman dengan menggunakan ungkapan "bahaya
dari gunung" terhadap tuntutan dan usaha yang dilakukan oleh aktivis Islam daripada MATA.

Penubuhan Hizbul Muslimin seterusnya memberi tamparan yang sangat hebat kepada UMNO.
UMNO menolak penubuhan Hizbul Muslimin. Sebaliknya, sebagai parti yang memperjuangkan
kemerdekaan, PKMM menjadi parti yang sangat berdamping rapat dengan Hizbul Muslimin.

P USAT M EMPERJUANGKAN K EMERDEKAAN


Pada masa itu Maahad Al-Ehya Al-Sharif menjadi pusat, sedangkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
menjadi ikon bagi perjuangan kemerdekaan. Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak
memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata
"nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka".

Di bawah kepemimpinann Ustaz Abu Bakar Al-Baqir beberapa persidangan bagi menyemarakkan
tuntutan kemerdekaan telah diadakan. Hubungan peribadi yang baik di antara Ustaz Abu Bakar
Al-Baqir dengan pemimpin PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, pemimpin Melayu Parti
Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah C.D dan juga pemimpin-pemimpin kiri seperti Ahmad
Boestamam dan lain-lain menjadikan semua persidangan yang dipanggil di atas nama Ustaz Abu
Bakar Al-Baqir mendapat sambutan yang amat luar biasa.

Suasana keterbukatan dan perkongsian yang diwujudkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
menjadikan semua pihak yang mahukan Tanah Melayu merdeka, merasakan sumbangan mereka
masing-masing dihargai. Tidak hairan kenapa beberapa pendukung PKMM dan PKM beranggapan
bahawa Hizbul Muslimin adalah sayap politik Islam bagi PKMM sebagaimana API adalah sayap
pemuda dan AWAS adalah sayap wanita bagi PKMM. Pada masa itu terdapat ramai anggota-
anggota Melayu daripada PKM yang pada masa yang sama juga merupakan anggota dan
penggerak utama bagi PKMM.

Bagi sebahagian orang Melayu, PKM pada masa itu adalah satu saluran perjuangan untuk
mendapatkan kemerdekaan. Tambahan lagi semasa pendudukan Jepun mereka turut serta dalam
Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau MPAJA. MPAJA adalah front utama PKM dalam perang
gerila menentang penjajah Jepun. Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, pelbagai kumpulan
politik Melayu kecuali UMNO, berkongsi satu cita-cita yang sama, iaitu untuk membebaskan
Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British.

Demikian juga bagi aktivis Islam, dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin mereka mahu menjadikan
MATA sebagai jabatan agama, LEPIR sebagai jabatan pendidikan dan PEPERMAS sebagai jabatan
ekonomi di bahawa Hizbul Muslimin. Apapun, Al-Ehya dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-
Baqir dalam persidangan-persidangan ini telah menaik dan mengibarkan bendera merah putih
berbintas duabelas yang melambangkan bendera Malaya Merdeka. Bendera ini telah diluluskan
oleh pakatan politik berbilang kaum PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin
Al-Helmi pada tahun 1947.

T AMPARAN BERUBAH M ENJADI H ASUTAN

Penubuhan Hizbul Muslimin menambah lagi tamparan kepada UMNO. Tuduhan-tuduhan yang
dilemparkan oleh Dato Onn Jaafar terhadap Hizbul Muslimin menyebabkan pentadbiran penjajah
British melakukan pengawasan yang ketat dan tekanan yang hebat terhadap Hizbul Muslimin.

Dato Onn mengulang ancamannya dengan mengatakan: "Bahaya dari Gunung itu masih ada lagi
dan ditambah pula satu merbahaya lagi yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya
orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu 'merah"."

Keterbukan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk bergabung tenaga
dengan semua pergerakan rakyat yang menentang British dan memperjuangkan kemerdekaan
dilihat sebagai ancaman oleh Dato Onn dan UMNO pada masa itu.
Lantaran itu Hizbul Muslimin dilabel oleh Dato Onn sebagai "merah" dan dengan itu Dato Onn
telah berjaya menghasut penjajah British untuk menganggap parti Islam itu sebagai pro-komunis.

P ENGINTIPAN DAN P ENANGKAPAN

Dengan tuduhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, pengintipan berterusan


dilakukan terhadap Hizbul Muslimin. Banyak pengintipan dan laporan kepada pihak polis
dilakukan oleh Penghulu Muda yang baru sahaja didatangkan ke Gunung Semanggol pada awal
tahun 1948. Beliau adalah saudara kepada Datuk Zainal Abidin Abas, iaitu orang kuat UMNO yang
juga merupakan kawan baik kepada Dato' Onn.

Sebenarnya penghantaran Penghulu Muda itu adalah kehendak UMNO untuk mengintip
pergerakan Al-Ehya dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Akhirnya Penghulu Muda itu mati dalam
keadaan yang tidak baik iaitu selepas meminum arak. Kepercayaan seperti ini amat berpengaruh
kepada umat Islam di Gunung Semanggol pada masa itu. Peristiwa seperti inilah yang menjadikan
orang-orang Melayu di Gunung Semanggol terus menolak UMNO. Pada pukul 12:00 tengahari, 29
Julai 1948, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditangkap di bawah Undang-Undang Darurat.

L IMA T AHUN M ERENGKOK DALAM P ENJARA

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan tanpa bicara di atas alasan "bahaya kepada keselamatan Tanah
Melayu". Beliau bersama-sama lebih 300 tokoh politik agama dan pemimpin Melayu ditahan
kerana dituduh menentang British. Tuduhan sampingan yang dikenakan sebagai alasan menahan
Ustaz Abu Bakar Al-Baqir adalah beliau ada berkempen menyeru orang ramai supaya jangan
membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina di Gunung Semanggul! Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
ditahan selama enam bulan di penjara Taiping, kemudian dipindahkan sebagai tahanan politik di
Pulau Jerjak. Beliau ditahan di Pulau Jerjak selama setahun setengah.

Semasa beramai-ramai di penjara Pulau Jerjak, mereka telah membuat pakatan iaitu apabila
keluar nanti ada di kalangan mereka secara langsung atau tidak langsung hendaklah menjalankan
jarum ke dalam UMNO untuk menukar UMNO dari slogan "Hidup Melayu" kepada slogan
"Merdeka". Kemudian Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dipindahkan ke penjara di Tanjung Beruas
Melaka dan akhirnya ke penjara Ipoh. Selepas dipenjarakan selama empat tahun tiga bulan, Ustaz
Abu Bakar Al-Baqir dibebaskan pada bulan Oktober 1952.

Walaupun penjajah British tidak secara rasmi mengeluarkan perintah mengharamkan Hizbul
Muslimin, namun tindakan British menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama 300 orang
pemimpin dan para aktivis, telah menjadikan Hizbul Muslimin lumpuh sama sekali.

T ERUS B ERJUANG

Sebagai pengasas parti lslam pertama di negara ini, Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai
matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah
masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan Darul lslam. Dalam
pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak dan
beberapa bulan selepas itu barulah UMNO ditubuhkan. Semasa Darurat semua kegiatan politik
telah diharamkan oleh British. Namun UMNO dibenarkan bergerak cergas oleh penjajah British
bagi mengatur jentera ke arah pilihanraya 1955. Dalam pilihanraya tahun 1955, Ustaz Abu Bakar
Al-Baqir bertanding sebagai calon Perikatan Melayu Perak menentang calon UMNO, tetapi gagal.

Ustaz Abu Bakar Al-Bakir tidak menjadi calon PAS yang telah pun ditubuhkan pada tahun 1951.
Sebaliknya satu pakatan politik dan kerjasama telah diwujudkan di antara PAS dengan Perikatan
Melayu Perak. Pendekatan ini adalah satu strategi yang dirasakan perlu bagi melindungi Maahad
Al-Ehya Al-Sharif.

S UMBANGAN KEPADA G ERAKAN I SLAM

Walaupun aktiviti di atas nama Hizbul Muslimin berakhir disebabkan perintah Darurat, namun
keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulamak terhadap perjuangan politiknya
amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan
ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah diberikan
kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pengasas Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin MATA,
PEPERMAS, LEPIR dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah meletakkan asas utama bagi
penubuhan PAS.

A NUGERAH

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah meneruskan usaha baktinya memajukan Maahad El-Ehya Al-Sharif
hingga ke akhir hayatnya pada bulan Julai, 1974. Pada tahun 1960an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir
telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Perak. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah
dianugerahkan pingat Jasa Perdana (J.P) dan Pingat Jasa Kebaktian ( P.J.K). Setelah
pemergiannya, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Perak
1975.

You might also like