You are on page 1of 10

KAJIAN KES 3

1.0 SUBJEK

Nama : Maya (bukan nama sebenar)


Jantina : Perempuan
Asal : Kampung Dew, Selinsing, Perak.
Umur : 17 tahun
Bangsa : Melayu
Agama : Islam
Bilangan adik- beradik : 2 orang (anak sulung)
Pekerjaan bapa : Pengawal keselamatan sekolah
Tinggal bersama : Ayah, ibu dan seorang adik
Pencapaian akademik : Sederhana

2.0 KES

Nama Kes
Lari Dari Rumah

Perihal Kes
Lari dari rumah boleh membawa maksud meninggalkan tempat kediaman atau
perlindungan sama ada mengikut kawan atau pergi ke tempat yang lebih selesa pada
pemikirannya. Remaja adalah peringkat personaliti yang mudah terikut-ikut dengan
perangai dan pengaruh rakan-rakan sebaya. Menurut Juriah (1995), lari dari rumah
dikatakan sebagai individu yang meninggalkan rumah kediaman tanpa kebenaran atau
persetujuan ahli keluarga atau penjaga. Definisi yang diberikan oleh Kurtz dan rakan-
rakannya (1991) adalah lebih terperinci iaitu satu situasi di mana remaja meninggalkan
rumah kediamannya atau tempat tinggalnya yang sah dari segi undang-undang untuk
semalaman iaitu melebihi 24jam tanpa kebenaran ahli keluarga atau penjaga.
Kajian Kes
Maya (bukan nama sebenar) merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Namun Maya juga memiliki dua orang abang tiri yang kini kedua-duanya telah pun
mendirikan rumahtangga dan tinggal di Kuala Lumpur. Kini Maya tinggal bersama
dengan ibu, ayah dan juga adik perempuannya yang berusia 12 tahun. Maya mempunyai
hubungan yang baik dengan kedua orang abang tirinya dan ayah tetapi hubungan Maya
dengan ibu dan adik agak sedikit tegang. Apabila pulang dari rumah, Maya akan terus
mengemas rumah, menyapu sampah dan juga membasuh pinggan. Maya berasa amat
sedih kerana ibunya selalu melebih-lebihkan adiknya dan memanjakannya sehingga
Maya sendiri diketepikan dan sering dimarahi atas perbuatan yang kecil. Ibu melayan
Maya seperti orang luar dan seringkali Maya diherdik. Malah lebih merungsingkan Maya
lagi apabila keadaan ini bukan sahaja berlaku pada Maya tetapi ayah juga dilayan
sebegitu oleh ibu. Apabila ayah membela Maya, ayah juga akan dimaki hamun dan
diherdik oleh ibu tanpa belas kasihan. Kadang-kadang ayah sedih dengan sikap ibu yang
memilih kasih.

Menurut Maya, dahulu ibu tidak begini. Ibu adalah seorang yang penyayang dan
lemah lembut. Namun setelah melahirkan adik, ibu seperti seakan berubah dengan
perubahan yang begitu mendadak. Maya amat terkejut dan menerima segalanya dengan
hati yang terbuka. Apabila Maya telah masuk ke alam sekolah menengah, ibu masih lagi
dengan sikapnya yang bengis dan memilih kasih. Maya pernah mengadu pada ayah dan
apabila ayah memarahi ibu, ibu akan memarahi ayah semula dan Maya juga tidak akan
terlepas. Ibu akan memukul Maya apabila ketiadaan ayah di rumah. Ini menyebabkan
Maya takut untuk mengadu pada ayah lagi. Dahulu Maya juga pernah mengadu pada
abang-abang tirinya dan abang tiri terus menegur sikap ibu. Namun ibu pula berjauh hati
dengan abang dan ini menyebabkan Maya rasa bersalah. Ibu akan merajuk dan
mengatakan semua orang sudah tidak menyayanginya lagi.

Maya rasa serba salah untuk berkongsikan kepahitan bersama keluarga. Beritahu
ayah dimarahi dan dibenci, beritahu abang ibu akan merajuk pula. Apabila tiba waktu
makan Maya tidak pernah diajak menjamu selera bersama keluarga. Maya juga
menyatakan setiap kali tibanya musim raya, Maya tidak dibenarkan keluarg oleh ibunya
kerana Maya terpaksa menjaga rumah waktu ketiadaan mereka. Apabila Maya diajak
oleh abang-abangnya keluar beraya Maya akan menolak dengan alasan Maya penat tetapi
hakikat sebenarnya Maya tidak dapat berhari raya bersama keluarga lain. Jika tidak Maya
akan dimaki hamun oleh ibunya selepas kepulangan abang-abangnya. Hubungan Maya
dengan adik juga agak dingin.

Oleh kerana Maya rasa dirinya ditolak oleh ibu, Maya mengambil keputusan
untuk melarikan diri dari rumah secara senyap. Maya pergi meninggalkan rumah pada
waktu persekolahan dan sebelum itu Maya telah meminta duit kepada ayahnya dengan
alasan untuk membeli buku. Maya telah menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur. Apabila
sampai di Kuala Lumpur, Maya telah menghubungi abangnya dan meminta untuk
mengambilnya di Puduraya. Abang Maya amat terkejut dengan tindakan yang diambil
oleh Maya. Maya menceritakan segala-galanya kepada abang dan meminta abangnya
supaya tidak menghubungi ibu dan ayah di kampung. Abang memahami situasi Maya
dan mengikut kehendak Maya.

Setelah hampir sebulan, abang memujuk Maya supaya memberitahu kepada ayah
di kampung. Setelah puas dipujuk, Maya akhirnya bersetuju untuk memberitahu kepada
ayah. Ayah dengan segera datang ke Kuala Lumpur seorang diri. Pada mulanya ayah
amat marah tetapi setelah dijelaskan keadaan sebenar, ayah mula bersimpati dengan
Maya. Maya juga meminta maaf kerana duit yang dipinjamkan oleh ayah bukanlah untuk
membeli buku tetapi sebagai tambang untuk ke Kuala Lumpur. Namun ayah tetap
bersyukur kerana Maya melarikan diri ke rumah abang. Di kampung ayah telah membuat
aduan polis dan meminta orang-orang kampung mencari Maya. Maya amat sedih apabila
ayah kata ibu tiada apa-apa reaksi dan ibu hanya bersenang-senang di rumah tanpa
menghiraukan kehilangan Maya.

Kini Maya sedar apa sahaja tindakan yang dibuatnya sedikit pun tidak akan
menyentuh perasaan ibunya. Maya hanya mahukan perhatian daripada ibu dan kasih
sayang seorang ibu. Maya menyesal membuat tindakan terburu-buru melarikan diri dari
rumah. Maya telah menyusahkan hati ayah dan juga saudara mara tetapi tidak ibunya.
Apabila pulang ibu dengan lebih kejam mengherdik Maya dan sejak dari itu, hubungan
Maya dan ibu menjadi semakin tegang. Kini Maya hanya membuat seperti biasa di
rumah. Balik sekolah mengemas rumah, membasuh pinggan, menyapu sampah dan masa
yang selebihnya Maya hanya duduk di biliknya. Maya juga tidak lagi menjamah masakan
ibu kerana ibu menegahnya makan masakannya. Kini Maya terasa dirinya terasing dan
tidak sabar untuk membina hidup baru selepas SPM.

3.0 ANALISIS KES SECARA TEORITIKAL

Teori Yang Dipilih


Teori Pemusatan Insan

Rasional Teori Dipilih


Teori ini dipilih adalah kerana teori ini memberi penekanan kepada andaian
bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia boleh membuat
keputusan sendiri yang membawa kepada kebebasan dan berdikari. Sifat-sifat manusia
adalah seperti membina, bekerjasama, boleh dipercayai, bersifat realistik dan sanggup
bersosial. Emosi-emosi negatif seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian
keperluan seperti kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.

Manusia mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk berfungsi


penuh iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan
untuk berkembang dengan bebas, beliau akan berkembang dengan sempurna dan akan
menjadi individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam
konteks persekitarannya menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika
diberikan atau disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan
berkembang dengan yakin ke arah Nirwana kendiri – menjadi apa sahaka yang dia mahu.
Jika manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan yang penting baginya,
kemungkinan besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap orang
lain tidak boleh dipercayai serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan
perkembangan ke arah nirwana diri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang diri dan
persekitarannya merupakan realiti baginya.

Bersesuaian dengan kes di atas, saya telah memilih teori pemusatan insan kerana
Maya lebih mahukan perkongsian perasaan dengannya. Maya tahu menilai mana baik dan
mana buruk, Maya juga tahu dia bertanggungjawab menghormati ibunya dan Maya juga
tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelajar dan anak. Namun di sini Maya
hanya mahukan seseorang mendengar dan menyelami perasaannya agar tekanan dan
bebanan ini dapat dikongsi dengan orang lain yang boleh dipercayainya. Saya percaya
Maya mempunyai keinginan untuk berkembang, matang dan mencapai kesempurnaan
kendiri. Ianya wujud dari diri Maya sendiri apabila Maya berkata dia mahu membina
hidup barunya selepas menduduki SPM. Saya melihat Maya mampu memulihkan diri,
memerlukan kemesraan dan persekitaran yang menyokong untuk mencapai kepuasan
kendiri pada tahap yang tinggi.

Bagaimana Kes Timbul Berdasarkan Teori


Berdasarkan kepada kajian kes, masalah ini timbul apabila Maya merasakan
dirinya tidak lagi diperlukan setelah melihatkan kepada layanan ibu. Keadaan ibu yang
seolah-oleh menolak kehadiran Maya dalam hidupnya menyebabkan diri Maya selalu
tertindas atas rasa benci ibu. Dalam teori ini juga ada menyatakan andaiannya terhadap
manusia iaitu konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi
kita dengan orang lain. Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan
konsep kendirinya. Masalah-masalah berlaku kerana timbul yang wujud antara konsep
kendiri dengan pengalaman-pengalaman yang lalu. Hanya dengan pengalaman dan
penghormatan barulah individu akan bersedia berkongsi masalahnya.
Matlamat Terapi
Matlamat Teori Pemusatan Insan ini ialah setiap individu mempunyai keinginan
untuk berkembang, matang dan mencapai kesempurnaan kendiri. Ini adalah merupakan
satu-satunya pendekatan teraputik yang utama yang bergantung terhadap gerakan
dalaman klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu dilihat sebagai boleh
memulihkan diri, memerlukan kemesraan dan persekitaran yang menyokong untuk
mencapai kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi. Ianya adalah bertujuan untuk
membina individu agar dapat berkembang dengan sihat.

Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat sebagai
ramuan yang penting di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling, komunikasi
difokuskan kepada individu yang mengalami masalah. Beberapa kajian telah dapat
menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang dicadangkan oleh Roger adalah sesuai
untuk menggalakkan peningkatan penyesuaian psikologikal pada diri klien. melalui
kaunseling pemusatan insan, klien telah meningkatkan penghargaan kendiri. Menurut
Carkhuff dan Berenson (1967), kajian-kajian telah mengesahkan kepentingan sumbangan
empati,penghormatan dan ketulenan dalam proses kaunseling. Satu ciri utama yang
membezakan kaunseling pemusatan insan dengan pendekatan lain ialah meningkatkan
tahap tanggungjawab pada diri klien berbanding dengan yang dijangkakan oleh kaunselor
(Brammer dan Shostrom, 1982).

Teknik Yang Digunakan


Di dalam teori ini saya telah mengaplikasikan semua teknik yang terkandung iaitu
penerimaan tanpa syarat, empati, ketulenan, aktif mendengar dan berfikir, parafrasa,
penjelasan, maklum balas, kongruen, mendengar dengan empati, menghormati,
penerimaan yang mesra dan konfratasi. Ke semua teknik ini saya aplikasikan sebaik yang
mungkin bagi melancarkan lagi perjalanan sesi.
4.0 TINDAKAN KAUNSELOR

Saya telah meneroka Maya sebaik mungkin bagi mengenalpasti masalah sebenar
Maya. Masalah Maya ini berpunca daripada faktor keluarga iaitu sikap ibu Maya yang
terlalu dingin dengannya. Maya juga rasa tersisih di dalam hidup ibunya yang memilih
bulu dalam membesarkan anak-anak. Maya rasa sedih dan kecewa dengan layanan
ibunya yang tidak seperti ibu-ibu yang lain.

Sewaktu penerokaan saya telah mengaplikasikan pelbagai kemahiran untuk


melancarkan lagi perjalanan sesi seperti kemahiran soalan terbuka dan soalan tertutup,
dorongan minima, parafrasa, refleksi, merumus, konfrantasi, mentafsir mendengar,
kongruen dan memfokus. Kesemua kemahiran ini saya aplikasikan sebaik yang mungkin
bagi memahami diri dan situasinya, mengenalpasti keperluannya termasuk harapan, cita-
cita serta matlamat hidupnya dan menjadikan Maya individu yang berfungsi dengan
sepenuhnya.

Saya juga memfokuskan kepada pergerakan badannya atau non verbal klien.
komunikasi non verbal merupakan sistem komunikasi secara menyeluruh yang
bergantung kepad alisan dan tanpa lisan. Komunikasi non verbal dapat memberi lebih
banyak maklumat berbanding dengan komunikasi verbal di mana pergerakan badan
adalah lebih tulen maklumatnya. Saya memfokuskan kepada pergerakan badan, aktiviti
tangan, kaki dan juga kedudukan badan. Saya dapat melihat Maya meluahkan perasaan
kecewanya apabila nafasnya pendek, menunduk dan menggosok belakang leher. Oleh
kerana itu saya lebih memfokuskan kepada komunikasi non verbal Maya. Saya akan
bertanya kepada dia jika dia tidak nampak selesa dan apabila luahannya tidak selaras
dengan pergerakan yang dilakukannya. Melalui pemerhatian ini saya akan dapat menilai
sejauh mana luahan itu telus dari Maya sendiri.
5.0 IMPLIKASI

Melalui sesi kaunseling ini, Maya kelihatan lebih lega dan dapat berkongsikan
masalahnya dengan orang yang dipercayainya. Ini kerana Maya telah memutuskan
sendiri untuk berjumpa dengan kaunselor secara sukarela. Pada permulaan, Maya
kelihatan menghadapi sedikit kebimbangan, percanggahan perasaan dan fikiran namun
semuanya dapat diatasi dengan baik. Maya juga bersedia untuk berbincang apabila
merasa diterima dan dapat menghayati perhubungan kaunselor dengan klien. maya lebih
terbuka dan bebas meluahkan perasaannya dan membuat penjelajahan diri dengan telus.
Maya telah menentukan sendiri jalan penyelesaiannya dengan dibantu oleh kaunselor.
Maya juga bersedia untuk berubah dan bersedia untuk terus berkembang dalam usaha
mencari matlamat baru.

6.0 REFLEKSI

Kekuatan
Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah
mambina individu agar dapat berkembang sihat. Oleh itu ada di antara kekuatan teori ini
menurut mereka ialah teori ini menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara
kaunselor dengan klien, menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta
kejujuran kaunselor merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan
perhubungan dan memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam
hubungan dan bukan hanya sebagai rakan yang merendah diri.

Kelemahan
Semasa melakukan sesi kaunseling menggunakan teori ini, saya dapat
mengenalpasti beberapa kekuatan dan kelemahan di dalam mengaplikasikannya. Antara
kelemahan yang terdapat di dalam mengaplikasikan teori ini ialah teori ini tidak terdapat
satu set/teknik/tatacara yang khusus. Teori ini juga kurang panduan tentang cara
mewujudkan hubungan kaunselor dengan klien. selian itu kebanyakkan konsep tidak
dapat dibuktikan dan diukur dengan mudah atau secara abstrak.

7.0 CADANGAN

Saya mencadangkan supaya ilmu kaunseling ini diterapkan kepada semua pelajar
dan guru-guru di sekolah agar mereka semua dapat memahami diri sendiri dan manusia
di sekelilingnya dengan lebih baik. Selain itu agar warga sekolah dapat memperbaiki
kelemahan dan mengasah lagi kekuatan diri yang ada. Melalui ilmu kaunseling juga
mereka akan dapat ilmu bagaimana untuk mengatasi masalah mereka sendiri dengan
lebih baik dan tidak memudaratkan individu yang signifikan. Ini amat penting sebagai
asas dalam menjalani kehidupan seharian.

Unit Bimbingan dan Kaunseling pula berperanan mengukuhkan lagi ilmu yang
ada dengan mengadakan seminar, lawatan, bengkel, Latihan Dalam Kumpulan (LDK),
sesi kelompok, sesi individu, kem, program dan ceramah kepada semua warga sekolah.
Dengan itu semua akan mendapat manfaat dan dapat berkongsi ilmu kaunseling secara
bersama-sama dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dengan lebih baik.

Cadangan ini diutarakan kerana melalui pengalaman saya menjalani praktikum


dan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) sebanyak dua kali, majoriti warga sekolah tidak
tahu akan kepentingan ilmu kaunseling dan juga timbul salah faham antara guru-guru
dengan guru pembimbing sekolah. Guru-guru menganggap guru pembimbing sekolah
umpama malaikat yang ‘sepatutnya’ dapat menyelesaikan masalah pelajar-pelajar di
sekolah. Untuk melahirkan sekolah yang cemerlang bukanlah bergantung semata-mata
kepada guru pembimbing tetapi adalah di atas peranan semua pihak. Jika semua warga
sekolah menjalankan tanggungjawan mereka dengan cekal dan amanah, pastinya sekolah
cemerlang akan dapat dilahirkan dengan banyak. Dengan itu, untuk menjayakan dan
memantapkan sesebuah sekolah, bukanlah perlu diusahakan oleh guru pembimbing
sekolah sahaja tetapi atas kesedaran semua pihak.
8.0 PENUTUP

Sebagai penutup, saya merasakan kes seperti ini boleh di atasi dengan baik melalui
tindakan bijak kaunselor. Kaunselor yang memainkan peranannya dengan baik dan
mengaplikasikan segala kemahirannya dengan baik akan dapat menjalankan sebuah sesi
kaunseling yang baik dan berjaya.

Tandatangan,

.............................................................
(NUR LIYANA BINTI MOHAMED JOHAN)
(D20021010330)

You might also like