You are on page 1of 5

PENGAJARAN KOLABORATIF

Definisi- Pengajaran Kolaboratif

1. Satu urusan yang melibatkan (biasanya) dua orang guru yang bekerjasama secara kolaboratif di setiap peringkat
pengajaran: merancang dan menyediakan rancangan pengajaran, melaksanakan dan menilai pencapaian aspek
yang ditumpukan dalam mata pelajaran.
(Sturman, 1992).

2. Pengajaran sebenar yang dilaksanakan secara kolaboratif oleh dua orang guru yang sama atau berbeza disiplin
kepada sekumpulan pelajar dalam kelas yang sama pada waktu yang sama. Urusan pengajaran seperti ini
menekankan perkongsian bersama agihan kuasa dan membuat keputusan antara guru-guru tersebut.
(Nunan, 1992)

3. Dalam pengajaran kolaboratif, guru saling bergantungan untuk memberi dan menerima idea/maklumat,
sokongan moral dan galakan apabila menghadapi kesukaran samada secara peribadi atau professional.
(Hargreaves, 1995).

4. Kolaborasi meningkatkan keberkesanan dan kreativiti hasil dari cantuman buah fikiran dua orang yang
digembelingkan.

5. Guru tidak bekerja secara bersendirian sebaliknya merujuk kepada satu sama lain untuk mendapatkan idea demi
kemajuan atau penambahbaikan.

6. Pengajaran kolaboratif menggembelingkan kekuatan, keyakinan dan kepakaran guru-guru yang dapat
membantu mereka menghadapi cabaran pembaharuan atau arus perubahan dengan lebih baik.

7. Pengajaran Kolaboratif - satu sumber pembelajaran secara profesional melalui rundingan persahabatan dan
komen ikhlas dari rakan sejawat.

8. Kolaborasi antara guru merupakan satu mekanisme yang kuat untuk guru meninjau pandangan dan amalan
pengajaran-pembelajaran masing-masing (Bailey,1996).

9. Perancangan Kolaboratif menggalakkan percambahan pemikiran yang kreatif dan produk yang dihasilkan
bersama lebih baik mutunya dari yang dihasilkan sendirian.

10. Kolaborasi di dalam kelas memberi peluang untuk masing-masing memerhatikan ‘satu model’ yang sedang
mengajar.

Faktor-faktor yang menentukan kejayaan Pengajaran Kolaboratif

1. Guru-guru perlu berkongsi prinsip falsafah pendidikan yang sama untuk memudahkan mereka berkomunikasi
dan bersetuju akan nilai asas yang menentukan prestasi murid.
2. Guru digalakkan mencari sendiri pasangan/ahli yang sesuai untuk membentuk pakatan/pasukan bagi
melaksanakan Pengajaran Kolaboratif.
3. Kejayaan sesuatu Pengajaran Kolaboratif bergantung kepada sejauhmana kesediaan setiap ahli memberi
sumbangan kepada pasukan/pakatan tersebut.
4. Keperluan murid di sekolah merupakan asas utama untuk pembentukan pasukan Pengajaran Kolaboratif.
5. Penggemblingan sumber seperti kepakaran, minat, pengetahuan, kemahiran, pengalaman, personaliti dan masa
setiap ahli dalam pasukan tenaga pengajar sangat penting khususnya dalam Pengajaran Kolaboratif pelbagai
disiplin.
6. Kemudahan prasarana seperti ruang/bilik yang tersedia ada, alat teknikal, bahan pengajaran dan pembantu yang
boleh digunakan untuk Pengajaran Kolaboratif perlu dipertimbangkan untuk menentukan keberkesanannya.
7. Pakatan kolaboratif memberi peluang kepada guru untuk membuat refleksi demi menggalakkan penilaian yang
kritis dan mendalam tentang pedagogi masing-masing.
8. Wawasan yang terhasil dari refleksi dan penilaian yang berterusan menggalakkan perkembangan profesional
diri.
9. Setiap ahli perlu memiliki kekuatan ego yang cukup kuat untuk meluahkan pendapat, fikiran atau perasaan agar
dapat berbincang dengan pasangannya.
10. Kekuatan ego membolehkan seseorang mengenalpasti kelebihan, kemahiran dan kepakaran rakan sejawat tanpa
rasa tergugat
(Shannon and Meath-Lang, 1992).

11. Setiap ahli hendaklah berkongsi pendapat bahawa Pengajaran Kolaboratif boleh dilihat sama ada sebagai satu
hubungan persahabatan atau satu perkahwinan yang saling melengkapkan.

Model Pengajaran Kolaboratif - Freudenstein (1991)

Ada tiga bahagian utama dalam latihan pengajaran:

1. Pra-pengajaran – peringkat perancangan dan persediaan.


2. Pengajaran – peringkat persembahan dan pelaksanaan.
3. Pasca-pengajaran – peringkat penilaian dan pengubahsuaian

Diadaptasi dr Model Peng. Kolaboratif Freudenstein (1991)


PEMBELAJARAN KOPERATIF
Pembelajaran koperatif adalah satu pendekatan mengajar di mana murid bekerja bersama dalam kumpulan belajar
yang kecil, membantu di antara satu sama lain untuk memenuhi kehendak tugasan individu atau kumpulan. Teknik-
teknik dalam pembelajaran koperatif adalah sangat sesuai dalam kelas dengan pelbagai kebolehan kerana ia
menggalakkan perasaan positif dengan saling menghargai, menyokong dan menghormati sesama murid. Beberapa
orang sarjana terkemuka yang banyak menyumbangkan tenaga mereka terhadap pembelajaran koperatif ada Robert
E. Slavin, Spencer Kagan dan Miguel Kagan, David W. Johnson dan Roger T. Johnson.

 Prinsip-prinsip asas pembelajaran koperatif ialah:

 Saling kebergantungan positif

1. Kebertanggungjawaban individu
2. Interaksi serentak
3. Penglibatan saksama
4. Interaksi bersemuka
5. Kemahiran sosial
6. Pemprosesan kumpulan.
 

1. Saling kebergantungan positif


 

Bila terdapatnya saling bergantungan secara positif, ahli-ahli di dalam sesuatu kumpulan akan bekerjasama
dalam cara yang dapat menyokong pembelajaran setiap ahli kumpulan. Ahli-ahli kumpulan juga akan merasa
bahawa mereka memerlukan satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat. Lantas, setiap individu akan
memastikan kumpulan mereka berjaya. Ada banyak cara seseorang guru dapat menstrukturkan pembelajaran
yang berteraskan unsur saling bergantungan secara positif. Misalnya, penggunaan resos seperti lembaran kerja
di mana 2 orang berkongsi untuk menyelesaikannya. Dalam kes ini, ia dikenali sebagai saling bergantungan
resos secara positif. Di samping itu, bekerjasama untuk mencapai sesuatu sasaran yang merupakan suatu
ganjaran seperti hadiah, sijil kejayaan, atau pun pujian guru. Saling bergantungan peranan secara positif pula
merupakan situasi di mana setiap ahli dipertanggungjawabkan satu peranan dan mereka perlu sandar menyandar
pada peranan setiap ahli untuk berjaya. Ini seterusnya membawa mesej bahawa kepimpinan dalam sesuatu
kumpulan adalah dikongsi berdasarkan peranan masing-masing.

2. Kebertanggungjawaban individu
 
Setiap ahli di dalam kumpulan bertanggungjawab untuk belajar dan menyumbang kepada tugasan/aktiviti
kumpulan demi kejayaan kumpulan masing-masing. Setiap ahli disedarkan bahawa kejayaan diri mereka
bergantung kepada ahli-ahli kumpulan yang lain dan dengan itu, akan memotivasikan mereka untuk
memastikan setiap ahli mencapai prestasi yang baik. Ahli-ahli dalam kumpulan akan dipilih secara rawak
untuk menjawab, menerang atau menghujah. Masing-masing dikehendaki untuk menduduki ujian perseorangan
tanpa bantuan rakan-rakan sekumpulan dan markahnya akan diambilkira untuk menentukan kejayaan
kumpulannya. Interaksi serentak berlaku bila mana murid bekerja atau terlibat secara serentak dalam
kumpulan koperatif mereka. Dalam kelas tradisional, interaksi seperti perbincangan atau persembahan berlaku
secara tersusun. Dalam kelas koperatif, perbincangan boleh berlaku di dalam setiap kumpulan pada masa yang
sama. Interaksi serentak mempertingkatkan penglibatan aktif setiap murid dan mempertingkatkan potensi
belajar setiap murid. 

3. Penglibatan saksama
 
Dalam pembelajaran koperatif, mestilah ada penglibatan saksama, di mana semua murid mesti melibatkan diri
secara saksama dan oleh itu setiap murid akan menjadi ahli kumpulan yang aktif dalam proses pembelajaran.
Dalam kerja kumpulan yang lain, tidak ada cara untuk memastikan yang setiap murid mendapat peluang yang
saksama untuk belajar. 

4. Interaksi bersemuka
 
Ahli-ahli kumpulan dapat berdialog atau berbincang dalam kedudukan yang berhampiran di antara satu sama
lain dan menunjukkan persefahaman serta kemajuan. Kedudukan mata-bertentang-mata dapat
memberangsangkan perkongsian idea, resos ataupun jawapan. Di samping itu, ia dapat juga memupuk
semangat kekitaan dan seterusnya menggalakkan penglibatan aktif setiap ahli. Menurut Johnson, Johnson
dan Holubec (1986) salah satu disiplin dalam kumpulan koperatif adalah memastikan ahli kumpulan berjumpa
secara bersekemuka semasa bekerja untuk menyempurnakan tugasan dan meraikan kejayaan masing-masing.

5. Kemahiran Sosial
 
Kemahiran-kemahiran yang terlibat di dalam pembelajaran koperatif seperti mengikut giliran, memberi galakan.
mendengar, memberikan pertolongan dan meminta pertolongan dan pengelasan ataupun meminta penjelasan
dalam nada serta intonasi yang menurut norma-norma masyarakat, dan menyemak pemahaman bagi
membolehkan kumpulan berfungsi secara efektif. Kemahiran ini akan memupuk ciri-ciri kepimpinan,
kepercayaan, membuat keputusan dan lain-lain. Pelajar-pelajar pendiam juga bermanfaat kerana mereka juga
akan terus berusaha untuk mempelajari kemahiran sosial. Pemerolehan kemahiran sosial adalah penting dalam
kejayaan hidup. Pelajar bukan sahaja perlu kemahiran sosial untuk pergi bekerja di tempat di mana saling
bergantungan dan kerja berpasukan adalah amalan biasa.

6. Pemprosesan Kumpulan
 
Ahli-ahli kumpulan akan menilai kembali usaha mereka serta kemajuan kumpulan dari segi pencapaian
matlamat. Di samping itu, mereka juga akan membuat refleksi tentang kumpulan masing-masing telah berfungsi
dengan baik. Tambahan pula, mereka juga membuat cadangan supaya kumpulan tersebut akan berfungsi
dengan lebih efektif lagi. Semasa pemerosesan kumpulan, ahli-ahli boleh mereflek secara individu tentang cara
perfungsian atau perjalanan kumpulan meraka pada hari tersebut atau selepas mengakhiri sesuatu unit. Borang
Penilaian Kendiri boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Di samping itu, ahli-ahli juga harus digalakkan untuk
mereflek secara berkumpulan.

7. Implikasi Pembelajaran Koperatif


 
Antara implikasi utama pembelajaran koperatif boleh disenaraikan seperti berikut:

a. Meningkatkan prestasi akademik murid.


b. Meningkatkan kemampuan pemikiran kritikal murid.
c. Mengeratkan persahabatan yang positif.
d. Meningkatkan kemahiran bergaul antara guru dan murid.
e. Meningkatkan penyertaan murid dalam menyiapkan tugas.
f. Meningkatkan motivasi murid untuk mencari ilmu pengetahuan.
g. Mewujudkan semangat tolong menolong dan menghargai pendapat sesama murid.
h. Memperbaiki kefahaman dan sikap murid terhadap pembelajaran dan cara belajar yang berkesan.
 

Pembelajaran Koperatif harus diimplementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan
kecemerlangan. Keberkesanannya memang tidak dapat dipertikaikan. Ia bukan sahaja membentuk kerjasama di
kalangan kumpulan malah memberi peluang menjernihkan proses pemikiran mereka.

You might also like