You are on page 1of 6

ULASAN ARTIKEL : PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN

DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

Wan Hamzari Bin Wan Hamid


Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia

Artikel ini merupakan satu kajian yang telah dilakukan oleh Bhasah Abu
Bakar, Abd. Rahman Daud & Fairuz Abdul Haleem Shah dari Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (UPSI). Tujuan kajian ini
dijalankan adalah untuk mengenal pasti takat penggunaan Alat Teknologi
Pendidikan Matematik (ATPM) di sekolah-sekolah. Kajian ini meliputi sekolah
yang pelbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Rendah
Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah (SM).

Kajian ini dilakukan berdasarkan daripada beberapa masalah yang telah


digariskan iaitu kekurangan kemudahan IT yang disediakan di sekolah, sikap
guru terhadap penggunaan ATPM, kursus atau latihan guru terhadap
penggunaan ATPM dan pengurusan sekolah ke atas pengurusan bilik sumber.
Menurut Muhammad Khairuddin Lim, Ibrahim bin Tamby Chek (2006),
mendapati bahawa guru yang mampu mengawal bilik darjah dengan cara yang
tersendiri mampu mempengaruhi penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran
yang di ajar. Kekangan-kekangan ini mungkin mempengaruhi pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Pembelajaran yang berkesan juga dianggap
sebagai pembelajaran yang menyeronokkan (Dick & Reiser, 1989).

Kemahiran guru dalam menggunakan ATP juga memainkan peranan yang


penting dalam pengajaran dan pembelajaran dan ia tidak akan berkesan jika
kemahiran ini tiada seperti yang didapati oleh Blondin (1966) bahawa salah satu
faktor penghalang penggunaan ATP ialah kekurangan kemahiran di kalangan
guru-guru. Pentadbiran sekolah juga merupakan halangan terhadap penggunaan
ATP di sekolah.

Terdapat beberapa persoalan tentang penggunaan ATPM di sekolah


antaranya termasuklah menentukan tahap penggunaan ATPM berdasarkan
aliran sekolah, mengenalpasti penggunaan ATPM dalam kalangan guru wanita
dan lelaki, menentukan takat kecukupan ATPM di pusat sumber, menentukan
takat penggunaan ATPM oleh guru-guru matematik, mengkaji penggunaan
ATPM oleh guru-guru berdasarkan peringkat umur, dan menentukan sumber
guru mendapatkan kemahiran menggunakan ATPM.

Antara faktor yang telah dikenal pasti dalam kajian literatur sebagai faktor
yang memainkan peranan dalam penggunaan ATPM di sekolah iaitu sikap guru
terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru terhadap penggunaan ATPM,
kursus dan latihan guru ke atas penggunaan ATPM, dan pengurusan sekolah
terhadap penggunaan ATPM.

Kajian ini dijalankan secara tinjauan menggunakan kaedah pensampelan


tinjauan dan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Data
yang dipungut telah dianalisis menggunakan pakej SPSS Windows Versi 11.
Statistik deskriptif dan inferential telah digunakan untuk menganalisis semua
data kajian termasuklah kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, chi-ganda
dua, anova dan ujian-t. Dalam artikel ini, ia menggunakan sebanyak 314 buah
sekolah yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah rendah dan menengah
sebagai sampel kajian.

Berdasarkan dapatan kajian yang telah dilakukan, didapati bahawa


peralatan moden seperti televisyen, video dan komputer kurang digunakan
berbanding kaedah konvensional iaitu menggunakan Carta Matematik, Model,
poster matematik dan peralatan matematik. Dalam kaedah pengajaran
konvensional, pengajar memberi penerangan dan menyebarkan ilmu berpusat di
dalam kelas dan bergantung kepada silibus dan kaedah pengajaran oleh tenaga
pengajar. Setiap tenaga pengajar juga mempunyai pendekatan berbeza
mengikut inisiatif mereka untuk memberi penjelasan terhadap topik atau bab
yang diajar. Namun begitu, terdapat juga pelbagai bahan sumber pendidikan
termasuk kemudahan maklumat dari sumber elektronik dapat meningkatkan
pencapaian akademik pelajar (Ismail Zain, 2002).

Hampir 50% dari setiap jenis sekolah tidak pernah menggunakan


komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik darjah. Ini terbukti
bahawa, guru masih lagi ketinggalan dalam dunia teknologi. Mengikut Mayer
(2001, 2003) menyatakan bahawa pembelajaran multimedia merupakan bahan
menggunakan perkataan dan gambar yang direka bentuk bagi menghasilkan
pembelajaran bermakna. Sepatutnya guru mempelbagaikan gaya pengajaran
mereka dengan menggunakan ATPM yang berteknologi dan terkini dan bukan
hanya menggunakan kaedah konvensional. Dalam era globalisasi ini, guru perlu
berani menggunakan ATPM yang berasaskan teknologi. Ini ditegaskan oleh
Baharudin (2000), menyatakan bahawa visual grafik dan animasi dapat
mempelbagaikan kaedah dan cara penyampaian oleh guru atau tenaga
pengajar.

Dapatan dalam kajian ini juga menyatakan bahawa umur juga memainkan
peranan dalam penggunaan ATPM bagi pengajaran dan pembelajaran. Didapati
guru berumur antara 25 ke 35 tahun lebih aktif menggunakan ATPM berbanding
dengan guru yang baru keluar dari maktab atau universiti. Keadaan ini berlaku
mungkin disebabkan oleh semangat serta kudrat untuk mencurahkan ilmu
kepada pelajar yang ada pada diri seseorang guru itu. Guru yang baru mula
mengajar didapati lebih aktif menggunakan ATPM dari guru yang berumur lebih
dari 35 tahun. Ini juga merupakan senario dalam dunia pendidikan di negara kita,
di mana guru yang telah lama mengajar kurang menggunakan Alat Teknologi
Pendidikan. Mungkin ia disebabkan oleh komitmen terhadap perkara lain
bertambah serta semangat untuk mengajar dengan menggunakan Alat Teknologi
Pendidikan kian pudar dalam diri mereka. Bukan itu saja, tahap kecelikan dalam
bidang IT juga merupakan faktor yang menghalang penggunaan Alat Teknologi
Pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang telah lanjut
usianya kurang berminat dalam perkara atau alat yang berkaitan dengan
teknologi. Di sini, kita dapat lihat faktor umur memainkan peranan dalam
penggunaan ATPM.

Kekurangan alat ATPM di pusat sumber dan latihan kepada guru juga
mungkin menjadi salah satu punca guru-guru kurang menggunakan ATPM
moden yang mungkin wujud di pusat sumber. Mereka kurang mendapat latihan
daripada pihak yang berkuasa dan merasa ragu-ragu untuk mempelajari dari
rakan sekerja ditakuti akan merosakkan alatan ATPM yang canggih itu. Keadaan
ini mungkin disebabkan sistem pengendalian bilik sumber tidak membenarkan
guru dapat menggunakan bilik sumber dengan bebas. Mereka terikat dengan
beberapa peraturan yang menyekat kebebasan mereka menggunakan bilik
sumber yang sepatutnya dapat membantu guru dalam menyediakan alat bantu
mengajar. Menurut Zol (2001), ketiadaan Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM)
merupakan punca pelajar selalu menghadapi masalah yang serius untuk
memahami sesuatu konsep pembelajaran.

KESIMPULAN

Melalui kesimpulan dan perbincangan yang telah dilakukan menerusi


kajian ini, didapati bahawa masih mengutamakan penggunaan ATPM
konvensional daripada yang moden. Kajian ini juga mendapati bahawa
peratusan guru yang tidak pernah menggunakan komputer dalam P&P adalah
lebih tinggi daripada mereka yang menggunakan komputer dalam era IT masa
kini. Dari sini dapat disimpulkan bahawa guru masih lagi kurang menggunakan
ATPM secara keseluruhan iaitu menggabungkan kaedah konvensional dengan
kaedah yang terkini untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Pendekatan pembelajaran yang berkesan mengikut minat dan
keinginan pelajar adalah perlu dibangunkan supaya pelajar seronok dengan apa
yang mereka belajar dan sekali gus akan meningkatkan pencapaian pelajar (Ee
Ah Meng, 1999).

Sebagai kesimpulannya, penggunaan Alat Teknologi Pengajaran


memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas. Pemilihan Alat Teknologi Pengajaran dalam proses pengajaran
dan pembelajaran dengan tepat memainkan peranan yang penting dalam
keberkesanan sesuatu pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan
dalam mengenalpasti Alat Teknologi Pengajaran yang perlu digunakan untuk
proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, kemahiran mengendalikan
Alat Teknologi Pengajaran perlu ada pada setiap guru tidak mengira umur,
jantina, jenis sekolah yang diajar dan pengalaman mengajar kerana ia
merupakan aspek yang penting untuk meningkatkan mutu pengajaran dan
pembelajaran serta pendidikan di negara kita.

RUJUKAN

Baharuddin Aris, Manimegalai Subramaniam & Rio Sumami Shariffudin (2001).


Reka bentuk Perisian Multimedia. Muapakat Jaya Percitakan Sdn. Bhd.

Blondin, M.A. (1966). A Study to Determine Some of the Different To the Use of
New Educational Media among Secondary and Elementary Principal and
Teachers. Unpublished M.A thesis. University ateneo De Manila

Dick ,W. & Reiser, R.A. (1989). Planning Efective Instruction. Prentice-Hall.

Ee Ah Meng (1999). Psikologi Pendidikan I: Psikologi Perkembangan. Penerbit


Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ismail Zain (2002). Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran. Utusan Publications
& Distributors Sdn. Bhd.

Mayer R.E (2003). The Promise of Multimedia Learning : Using the same
instructional design methods across different media, learning and
instruction. UK: Cambridge University Press.

Muhammad Khairuddin Lim, Ibrahim bin Tamby Chek (2006). Kualiti Pengajaran
Guru Mempengaruhi Pembelajaran Pelajar di Bilik Darjah. Seminar dalam
rangka Konferensi Internasional UPI – UPSI. Fakulti Perniagaan dan
Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zol Bahri Razali (2001). Pembelajaran Berbantu Multimedia: Implikasi


Pembelajaran Subjek Kejuruteraan Mekanikal. KUKUM.

You might also like