You are on page 1of 10

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL.

GAYA PEMBELAJARAN: SATU TINJAUAN LITERATUR

Oleh

Joseph Gomez
Jabatan Ilmu Pendidikan
MPSK

1.0 Pengenalan

Antara tanggungjawab utama para pendidik adalah usaha berterusan untuk


memastikan semua anak murid dapat belajar dengan berapa baik yang boleh.
Pakar pendidikan dan pengkaji psikologi telah mengemukakan pelbagai teori
pembelajaran seperti teori behavioris, teori kognitif, teori sosial dan humanis
dalam usaha memahami cara mana pembelajaran berlaku. Teori-teori ini telah
menolong para pendidik mengutarakan prinsip-prinsip pengajaran dan
pembelajaran yang telah dan sedang memandu amalan pengajaran dan
pembelajaran di institusi-institusi pembelajaran di Malysia mahupun di seluruh
dunia. Walau pun demikian, ternyata masih terdapat golongan pelajar signifiken
yang `kurang beruntung’ dan yang tidak dapat mengoptimumkan peluang
pembelajaran yang disediakan oleh institusi-institusi pendidikan ini.

Kebelakangan ini lebih ramai pemimpin pendidikan mula mengakui betapa


pentingnya kita mengambil kira proses pembelajaran dan cara atau gaya individu-
individu belajar sebagai kunci usaha meningkatkan kualiti pendidikan. Ini bererti
antara cabaran utama institusi sekolah masa ini adalah untuk mengenal pasti gaya
pembelajaran pelajar mereka dan untuk menyampaikan pengajaran yang sepadan
dengan gaya pembelajaran mereka.

Setiap individu mengamalkan gaya pembelajaran yang berbeza dan


tersendiri. Sebilangan pelajar lebih berminat dan cenderung kepada belajar sendiri
sedangkan sekumpulan yang lain lebih cenderung kepada aktiviti dalam
kumpulan. Selain itu, terdapat juga pelajar yang memerlukan panduan yang jelas
sebelum memulakan sesuatu projek dan terdapat juga pelajar yang sedia menerima
sesuatu secara terbuka semasa memperolehi pengetahuan daripada pelbagai
sumber.

Pembelajaran boleh berlaku melalui pelbagai cara kerana cara pengamatan


dan pemerosesan maklumat yang berlaku dalam manusia adalah berbeza-beza.
Sesetengah individu hanya boleh melihat sesuatu secara konkrit manakala
sesetengah individu boleh melihat sesuatu secara abstrak. Ini bermakna setiap
individu mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri.

40
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

2.0 Beberapa Definisi Gaya Pembelajaran

Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Demikian


juga, para pendidik mempunyai pandangan yang berbeza tentang gaya
pembelajaran yang dibincangkan.

Menurut Dunn (1980), gaya pembelajaran ialah cara seseorang pelajar


memproses serta mengekalkan maklumat baru. Gaya pembelajaran bergantung
kepada ciri-ciri biologi dan perkembangan sahsiah seseorang dan ia dipengaruhi
oleh persekitaran, emosi, pengaruh sosial serta perasaan individu. Akibatnya,
sesuatu pengajaran boleh jadi berkesan bagi seorang pelajar tetapi tidak berkesan
bagi pelajar yang lain kerana gaya pembelajaran mereka berbeza.

Renzulli and Smith (1978) mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai satu


bidang strategi pengajaran yang mana pelajar cuba menuntut pembelajaran.
Mereka berpendapat bahawa pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan sekiranya
pengajaran guru selari dengan gaya pembelajaran pelajar. Dengan ini, penyesuaian
dalam pengajaran perlu dilakukan untuk melayani gaya pembelajaran pelajar.

Kolb (1985) dapat menggambarkan empat model pembelajaran yang asas


hasil daripada gabungan pengalaman pelajar dan keperluan persekitaran. Beliau
berpendapat bahawa dalam proses pembelajaran, semua pelajar yang berkesan
perlu berkebolehan dalam aspek pengalaman konkrit (concrete experience),
pemerhatian reflektif (reflective observation), konseptualisasi abstrak (abstract
conceptualization) dan eksperimentasi aktif (active experimentation).

Keefe (1987) berpendapat bahawa gaya pembelajaran merangkumi tigas


aspek, iaitu kognitif, afektif dan psikologikal. Gaya kognitif melibatkan
pememprosesan maklumat, gaya afektif melibatkan tindak balas yang berasaskan
motivasi manakala gaya psikologikal bersifat tabiat yang berkaitan dengan unsur-
unsur seks, kesihatan dan alam sekitar. Beliau mentakrifkan pembelajaran sebagai
satu proses dalaman dan berpendapat bahawa pembelajaran hanya berlaku apabila
terdapatnya perubahan tabiat sama ada secara kekal atau sementara bagi seseorang
individu.

Satu pasukan bertugas yang dianjurkan oleh `National Association of


Secondary School Principals’ dan terdiri daripada pakar-pakar teori dalam bidang
gaya pembelajaran telah mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai `satu komposit
faktor-faktor bersifat kognitif, afektif dan psikologi yang berfungsi sebagai
petanda-petanda stabil tentang cara mana se orang pelajar membuat persepsi,
berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran pembelajarannya. Mengikut
pasukan ini, gaya pembelajaran juga merangkumi gaya kognitif iaitu cara intrinsik
pemprosesan maklumat yang mewakili mod membuat persepsi, pemikiran,
penyelesaian masalah dan cara mengingat kembali seseorang individu itu’
(Griggs, S.A., 1991).

41
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

Definisi yang pelbagai ini mencerminkan bidang gaya pembelajaran yang


semakin berkembang dan kompleks. Yang jelas ialah gaya pembelajaran adalah
berasaskan ciri-ciri dalaman seorang individu itu. Kepelbagaian definisi gaya
pembelajaran bukan sahaja menekankan aspek perbezaan individu tetapi
menyokong pegangan bahawa perlakuan pembelajaran (learning behaviour)
seorang individu itu adalah cukup stabil, tekal dan unik.

3.0 Model-Model Gaya Pembelajaran

Beberapa perspektif dan dimensi gaya pembelajaran yang berlainan telah


dikemukakan oleh pakar pendidik dan pengkaji dalam masa setengah abad yang
lepas. Terdapat model-model gaya pembelajaran yang mengambil kira dimensi
personaliti (Wilkin, 1954; Myers, 1978), ada yang memfokuskan pemprosesan
maklumat (Schmeck, 1983; Kolb, 1984), ada yang membawa dimensi interaksi
sosial pelajar (Reichmann & Grasha, 1974) dan ada juga model-model yang
`multi-dimensi dan menekankan kecenderungan cara pengajaran dan
kecenderungan persekitaran (Keefe,1989; Dunn & Dunn, 1978). Dengan ini,
banyak instrumen telah digubal dan banyak kajian telah dijalankan untuk
mengenal pasti gaya pembelajaran pelajar dengan harapan pembelajaran yang
berkesan boleh diadakan. Dapatan-dapatan kajian juga membantu para pendidik
memahami terdapatnya perbezaan gaya pembelajaran di kalangan pelajar dan
memberi kesedaran bahawa sebenarnya tidak ada satu cara yang unggul untuk
menjalankan pengajaran.

4.0 Instrumen-Instrumen Gaya Pembelajaran.

Pelbagai instrumen telah dibina untuk mengenal pasti gaya pembelajaran.


Antaranya ialah The Centre for Innovative Teaching Experience (CITE) Learning
Style Instrument oleh Babich, Burdine, Allbright & Randol (1975), Learning Style
Inventory oleh Dunn, Dunn & Price (1975), Learning Style Inventory oleh
Renzulli & Smith (1978) dan Transaction Ability Inventory oleh Gregorc (1979).
Kebanyakan instrumen ini merupakan instrumen laporan kendiri yang mana
seseorang individu boleh mengenal pasti gaya pembelajaran sendiri berasaskan
skor yang diperolehi. Instrumen-instrumen lain sebagaimana yang disenaraikan
dalam kajian Shareena (1995) termasuk Cognitive Style Interest Inventory (Hill,
1976), dan Teacher Assessment of Student Learning Styles (Hunt, Butler, Noy,
Rosser, 1978).

CITE Learning Styles Instrument mengandungi 45 item. Item-item ini


terbahagi kepada 3 bidang, iaitu cara seseorang individu mengumpul dan
menerima maklumat, cara individu bekerja, dan cara individu berkomunikasi
dengan pihak lain. Dalam bidang pengumpulan dan penerimaan maklumat, gaya
pembelajaran yang terlibat ialah bahasa visual, nombor visual, bahasa auditori,

42
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

nombor auditori dan auditori-visual-kinestetik. Dalam bidang cara seseorang, gaya


pembelajaran ialah pelajar individu dan pelajar berkumpulan manakala bidang
berkomunikasi meliputi gaya pembelajaran pernyataan lisan dan pernyataan
bertulis.

Dunn, Dunn & Price (1975) mengemukakan Learning Style Inventory untuk
membuat diagnosis terhadap gaya pembelajaran seseorang individu. Learning
Style Inventory ini mengandungi 104 item dan merupakan satu instrumen laporan
kendiri yang berasakan pemilihan susunan keutamaan empat perkataan dalam
setiap item. Empat perkataan yang dimaksudkan ialah rasa (pengalaman konkrit),
lihat (pemerhatian reflektif), fikir (konseptualisasi abstrak), dan buat
(eksperimentasi aktif).

Learning Style Inventory oleh Renzulli dan Smith (1978) mengandungi 65


pernyataan dan digubal untuk mengukur kecenderungan seseorang individu
terhadap sembilan aktiviti dalam kelas. Aktiviti-aktiviti ini ialah projek, latih-tubi,
pengajaran rakan sebaya, perbincangan, permainan, pembelajaran kendiri,
pengajaran berprogam, syarahan dan simulasi. Dengan skala 1 - 5, seseorang
individu dikehendaki membulatkan nombor yang sesuai untuk menunjukkan
penglibatan mereka dalam aktiviti tersebut. Nombor 1 ialah sangat kurang
kecenderungan dan nombor 5 ialah sangat berkecenderungan.

Menurut Gregorc (1979), gaya pembelajaran melibatkan perlakuan yang


berbeza. Perbezaan dalam perlakuan ini boleh diperhatikan dan memberi petunjuk
bagaimana otak manusia berfungsi. Transaction Ability Inventory yang dihasilkan
oleh beliau merupakan satu instrumen laporan kendiri yang berasaskan pemilihan
susunan keutamaan empat perkataan, iaitu ‘Concrete-Sequential’, ‘Concrete-
Random’, ‘Abstract-Sequential’ dan ‘Abstract-Random’. Selain daripada
instrumen tersebut, temuduga dan pemerhatian juga dicadangkan untuk membantu
penyelidik mengenal pasti gaya pembelajaran individu.

Soloman dan Felder (1992) telah membinakan satu inventori gaya


pembelajaran untuk mengenal pasti gaya pembelajaran responden berasakan
Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman (Felder and Silverman, 1988).
Inventori ini juga dikenali sebagai Index of Learning Styles (ILS) dan bertujuan
untuk memprofilkan responden mengikut empat dimensi gaya pembelajaran; iaitu
cara membuat persepsi (sensori lawan intuitif), modaliti menerima input (`verbal’
lawan `visual’), cara pemerosesan maklumat (aktif lawan reflektif), dan cara
memahami sesuatu maklumat (sekuen lawan global). ILS tersebut mengandungi
44 item berbentuk pernyataan tidak lengkap dan setiap item diberi dua pilihan
pelengkap (a) dan (b). Setiap dimensi adalah berbentuk dikotomi (bercabang dua)
dan ditentukan oleh 11 item. Gaya pembelajaran responden dapat diprofilkan
mengikut empat dimensi yang dinyatakan berdasarkan pilihan pelengkap yang
dibuat oleh mereka.

43
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

5.0 Kajian-Kajian Dalam Gaya Pembelajaran

Banyak kajian telah dijalankan oleh para penyelidik pendidikan dalam bidang
gaya pembelajaran pelajar. Kajian-kajian tersebut cuba mengenal pasti gaya
pembelajaran pelajar mengikut pelbagai peringkat persekolahan dan latar belakang
pelajar.

Di peringkat sekolah rendah, beberapa kajian telah dijalankan oleh Carbo


(1980), Krimsky (1982), Perrin (1984), Pizzo (1981; 1983) dan Virostko (1983).
Di peringkat sekolah menengah rendah ialah kajian-kajian oleh Carruthers &
Young (1980), Della (1984), Dunn (1981), Griggs & Price (1980b), Hodges
(1982; 1983) dan Trautman (1979). Di peringkat menengah tinggi ialah kajian
oleh Ballinger & Balingger 1983), Cavanaugh (1981), Lynch (1981) dan
Tanenbaum (1982).

Kajian berhubung dengan pelbagai latar belakang pelajar juga telah


dijalankan. Antaranya ialah pelajar bandar oleh Dunn (1981), Weinberg (1983),
Wheeler (1980; 1983), Della Valle (1984) dan pelajar luar bandar oleh Griggs &
Price (1980a; 1980b).

Kajian terhadap pelajar yang berisiko tinggi telah dibuat oleh Carruthers &
Young (1980), Lynch (1981) dan Weinberg (1983). Bagi pelajar lembah pula,
kajian-kajian telah dijalankan oleh Hart (1976) dan Wheeler (1980; 1983).
Seterusnya kajian terhadap pelajar dwibahasa telah dijalankan oleh Spiridakis
(1983) dan pelajar yang berbeza dari segi budaya oleh Burton (1977). Akhir sekali
ialah kajian terhadap pelajar-pelajar cerdas oleh Barbe & Milone (1982), Cody
(1983), Dunn & Price (1980) dan Griggs & Price (1980a).

6.0 Kesan Pembelajaran dan Pengajaran Mengikut Kecenderungan Gaya


Pembelajaran Pelajar

Ramai penyelidik berpendapat bahawa apabila pelajar diajar mengikut


kecenderungan gaya pembelajaran masing-masing, pencapaian akademik mereka
akan meningkat secara signifikan. Disebabkan itu, Dunn, et al. (1990),
berpendapat adalah tidak patut sekiranya satu-satu gaya pembelajaran seperti
belajar secara berkumpulan dipaksa ke atas semua pelajar. Ini kerana langkah
sedemikian boleh menjejaskan pencapaian pelajar yang mempunyai
kecenderungan yang tinggi terhadap gaya yang lain. Selain pembelajaran dari segi
akademik, kajian lain menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam sikap dan
perlakuan pelajar apabila gaya pengajaran guru dipadankan dengan gaya
pembelajaran pelajar. (Brown, 1978; Cafferty, 1980; Della Valle, 1984; Dunn,
1980; Krimsky, 1982; Murrain, 1983; Pizzo, 1981 dan Shea, 1983).

Semasa ditemubual tentang gaya pembelajaran, Dunn (1990) berpendapat bahawa


pelajar dengan tahap akademik yang berlainan boleh menunjukkan peningkatan

44
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

yang signifikan dalam pencapaian akademik apabila gaya pengajaran guru


disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar juga boleh menunjukkan
sikap positif terhadap persekolahan selepas mereka ditunjuk cara belajar dengan
mengambil kira kecenderungan gaya pembelajaran mereka. Misalnya, Model
Gaya Pembelajaran Dunn telah digunakan sebagai satu program dalam pengajaran
dan pembelajaran di Center for Educating Students with Handicaps in Regular
Education Settings (CESHRES), North Carolina, USA. Program ini telah memberi
kesan yang positif terhadap pelajar-pelajar pendidikan khas. Selain daripada itu,
Dunn (1990) juga melaporkan bahawa pelajar-pelajar pencapaian rendah
pembelajaran di Center for Slow Learners, Richardson, Texas juga menunjukkan
kejayaan tinggi setelah diberi pengajaran berdasarkan gaya pembelajaran mereka.

Brunner dan Majewski (1990) dari Frontier dan Hamburg School Districts,
New York, juga melaporkan peningkatan pencapaian yang sangat tinggi bagi
pelajar-pelajar pendidikan khas dan pelajar-pelajar pencapaian rendah apabila
mereka melalui satu program yang menggabungkan gaya pembelajaran dan
‘Mastery Learning’.

Perrin (1990) telah merancang satu program khas untuk melayan perbezaan
dalam gaya pembelajaran pelajar di Amityville High School, New York. Setelah
pelajar-pelajar menyertai program tersebut, mereka telah menyedari tentang gaya
pembelajaran sendiri dan dilatih menggunakannya untuk belajar. Dapatan
menunjukkan bahawa pencapaian akademik, ingatan dan perlakuan pelajar-pelajar
yang termasuk dalam golongan berisiko tercicir telah meningkat secara dramatis.

Di Corsicana High School, Texas, Orsak (1990) melaporkan bahawa pelajar-


pelajar yang tidak pernah lulus mata pelajaran bacaan, penulisan dan matematik
dalam tiga tahun telah diajar mengikut kecenderungan gaya pembelajaran mereka.
Pada akhirnya, tiga puluh dua daripada tiga puluh empat pelajar itu lulus dalam
peperiksaan berpusat.

7.0 Perhubungan Gaya Pembelajaran Dengan Pembolehubah-


Pembolehubah

Banyak kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti perhubungan gaya


pembelajaran dengan pembolehubah-pembolehubah seperti ras dan budaya,
pengajian / mata pelajaran, tahap pengajian dan persekolahan, jantina, umur, serta
latihan dan pengalaman pembelajaran.

7.1 Ras dan Budaya

Sally Lam Phoon (1986) menjalankan satu kajian untuk membuat perbandingan
gaya pembelajaran antara pelajar Asia dengan pelajar Caucasion. Kajian beliau
menunjukkan bahawa pelajar-pelajar Caucasian lebih berkecenderung tinggi
kepada keceriaan, kecergasan, penghayatan, dan belajar di waktu pagi. Walau

45
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

bagaimanapun, pelajar Caucasion didapati mempunyai kecenderungan yang


rendah kepada pembelajaran berbentuk visual dan auditori jika dibandingkan
dengan pelajar Asia.

Kajian Sharifah (1985) berhubung dengan gaya pembelajaran pelajar


Pendidikan Jarak Jauh di Universiti Sains Malaysia menunjukkan terdapatnya
perbezaan yang signifikan dalam gaya pembelajaran antara pelajar bumiputra dan
bukan bumiputra. Pelajar bukan bumiputra lebih suka bertanding antara satu sama
lain dan lebih cenderung kepada gaya pembelajaran visual jika dibandingkan
dengan pelajar Bumiputra. Pelajar Bumiputra didapati mempunyai sikap lebih
berdikari jika dibandingkan dengan pelajar bukan Bumiputra.

Lesser, Fifer dan Clark (1976) cuba mengenal pasti gaya pembelajaran
kumpulan etnik yang berlainan di sekolah rendah. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa kebolehan mental dan gaya pembelajaran kanak-kanak Cina dari
kumpulan kelas menengah dan kelas bawah adalah berbeza dengan kanak-kanak
Yahudi dari kumpulan kelas menengah dan kelas bawah.

Dalam kajian berhubung dengan gaya pembelajaran pelajar ESL (Bahasa


Inggeris sebagai bahasa kedua), Reid (1987) mendapati bahawa gaya
pembelajaran pelajar-pelajar ESL ini berbeza secara signifikan dengan pelajar-
pelajar yang bahasa ibunda mereka ialah Bahasa Inggeris.

7.2 Pengajian / Mata Pelajaran

Mathews (1985) mengkaji gaya pembelajaran 2000 orang penuntut maktab


dan universiti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penuntut opsyen Matematik
lebih cenderung kepada gaya pembelajaran kategori aplikasi berbanding dengan
penuntut opsyen Kemanusiaan, Sains Sosial, Pendidikan dan Urusniaga yang
lebih cenderung kepada kategori konseptual.

Satu kajian tempat yang telah menyentuh faktor pengajian/mata pelajaran


adalah kajian Ab Rahim Selamat dan rakan-rakan (1995). Dalam kajian tersebut,
para penyelidik telah mendapati bahawa pada keseluruhannya guru-guru pelatih
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Institut Perguruan Sultan Idris
mempunyai kecenderungan yang paling tinggi untuk gaya pembelajaran nombor
visual dan auditori-visual-kinestetik. Selain itu, guru pelatih tersebut juga didapati
lebih cenderung terhadap gaya pembelajaran pelajar individu berbanding pelajar
kumpulan. Sekiranya mengikut pengajian, kajian tersebut menunjukkan
terdapatnya perbezaan yang ketara dalam gaya pembelajaran nombor visual antara
guru pelatih KPLI Pengajian Melayu/Sastera dengan Pendidikan Seni dan
Pengajian Melayu/Sejarah. Selain daripada itu, kajian juga menunjukkan bahawa
terdapat perbezaan yang jelas dalam gaya belajar bersendirian di antara guru
pelatih Pengajian Melayu/Sastera dengan guru pelatih Pendidikan Seni. Kumpulan
Pengajian Melayu/Sastera mempunyai gaya belajar bersendirian lebih tinggi
berbanding dengan kumpulan Pendidikan Seni. Dapatan kajian ini juga

46
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

menunjukkan bahawa guru pelatih pengkhususan Pendidikan Seni


berkecenderungan tinggi dalam gaya pembelajaran lisan berbanding dengan
kumpulan Pengajian Melayu/Sastera dan Pengajian Melayu/Sejarah.

Witkin (1976) berpendapat bahawa pemilihan opsyen/mata pelajaran berkait


rapat secara langsung dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar-pelajar opsyen
sains dan matematik mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza daripada pelajar
opsyen sains sosial. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar boleh
mencapai prestasi akademik yang lebih tinggi bila gaya pembelajaran mereka
dapat diambil kira dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Dapatan kajian Reid (1987) juga menunjukkan bahawa pelajar dari mata
pelajaran berbeza mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Pelajar sains
didapati mempunyai gaya pembelajaran yang lebih cenderung kepada visual dan
auditori manakala pelajar sains sosial lebih cenderung kepada gaya pembelajaran
visual. Kajian Melton (1990) pula menunjukkan bahawa pelajar opsyen
kesusasteraan Bahasa Inggeris adalah lebih kinestetk daripada pelajar opsyen sains
dan perubatan.

7.3 Tahap Pengajian dan Persekolahan

Beberapa kajian berkaitan dengan hubungan gaya pembelajaran dengan


tahap/peringkat pengajian pelajar bagi satu-satu kursus pernah dijalankan.
Antaranya, Ewing & Yong (1992) mendapati bahawa pelajar-pelajar berlainan
tahun pengajian di sekolah menengah mempunyai gaya pembelajaran yang juga
berlainan. Price, et al. (1977) dalam mengkaji pelajar gred 1-12 mendapati bahawa
kecenderungan gaya pembelajaran berubah dari satu gred ke satu gred.

Kajian juga telah dijalankan untuk mengkaji hubungan tahap persekolahan


seseorang dengan gaya pembelajarannya. Misalnya, Yusoff Ismail (1982)
mendapati terdapat korelasi antara gaya pembelajaran pelajar-pelajar dengan tahap
persekolahan dalam kajiannya.

7.4 Jantina

Dapatan kajian tentang hubungan antara gaya pembelajaran dan jantina tidak
begitu konsisten. Kajian yang dijalankan oleh Shareena (1995) untuk meninjau
gaya pembelajaran pelajar Melayu dalam ESP (English for Special Purpose)
menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara gaya
pembelajaran responden dengan jantina. Kajian oleh Cavanaungh (1981) juga
menunjukkan dapatan yang sama yang mana aspek jantina tidak mempunyai
hubungan dengan gaya pembelajaran responden. Sebaliknya, Sheldon dan Janness
(1976) mendapati kumpulan lelaki lebih berkecenderungan kepada gaya
pembelajaran visual berbanding dengan kumpulan perempuan. Menurut Restak
(1979) pula, golongan perempuan adalah lebih cenderung kepada gaya
pembelajaran kinestetik dan auditori.

47
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

7.5 Umur

Kajian tentang gaya pembelajaran dan hubungannya dengan umur responden


juga banyak dijalankan. Thompson dan O’Brien (1991) menggunakan Gregorc
Style Delineator (GSD) untuk menentukan gaya pembelajaran 16 orang guru dan
207 orang pelajar. GSD mengkategorikan seseorang individu mengikut gaya
pembelajaran “Concrete Sequential”, “Abstract Sequential”, “Abstract Random”
dan “Concrete Random”. Dapatan kajian menunjukkan kesan yang signifikan
antara gaya pembelajaran dan umur.

Kajian Bowles (1992) juga telah menunjukkan bahawa faktor umur


mempengaruhi gaya pembelajaran seseorang pelajar. Kajian beliau membuat
perbandingan antara dua kumpulan sampel iaitu antara 121 orang pelajar berumur
lebih 21 tahun dan di bawah 21 tahun. Dapatan kajian menunjukkan pelajar
berumur lebih 21 tahun lebih cenderung kepada pengajaran berbentuk kuliah dan
ceramah manakala pelajar berumur di bawah 21 tahun lebih berminat kepada
perbincangan, pengajaran bersifat permainan dan simulasi.

Barbe & Milone (1981) dalam kajian tentang hubungan umur dengan gaya
pembelajaran mendapati bahawa terdapat satu anjakan modaliti gaya pembelajaran
dengan umur. Mereka mendapati bahawa pelajar sekolah rendah lebih cenderung
kepada modaliti auditori tetapi membuat anjakan modaliti kepada visual apabila
umur mereka meningkat.

7.6 Latihan dan Pengalaman Pembelajaran

Carbo (1980) melaporkan bahawa latihan tiada berkesan ke atas gaya


pembelajaran pelajar. Akan tetapi, tiga penyelidik yang lain (Hyland, 1993;
Melton, 1990; Reid, 1987) mendapati bahawa gaya pembelajaran boleh
dicorakkan oleh pengalaman pembelajaran. Misalnya, Reid (1987) mendapati
bahawa pelajar-pelajar ESL yang lebih pengalaman belajar Bahasa Inggeris adalah
lebih auditori tetapi kurang visual, kinestetik dan taktil berbanding pelajar-pelajar
yang kurang pengalaman. Hyland (1993) pula mendapat bahawa kecenderungan
untuk gaya pembelajaran auditori dan kinestetik di kalangan pelajaran Jepun telah
menambah semakin banyak pengalaman pembelajaran pelajar-pelajar tersebut.

8.0 Kesimpulan

Pelbagai perspektif dan dimensi gaya pembelajaran boleh menimbulkan


masalah pemilihan model yang sesuai sekali untuk digunakan sebagai dasar untuk
merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

Walaupun renj perspektif gaya pembelajaran semakin meluas, beberapa


persetujuan am dapat di buat tentang gaya pembelajaran. Antaranya ialah:

48
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3

 Setiap individu mempunyai satu atau lebih gaya pembelajaran, kekuatan


pembelajaran dan juga kelemahan pembelajaran
 Gaya pembelajaran individu akhibat daripada `nature’ dan juga `nurture’
 Gaya pembelajaran adalah hasil faktor-faktor budaya, personaliti,
psikologi, sosial dan persekitaran
 Gaya pembelajaran wujud dalam kontinuum yang luas

Para pendidikan tidak kira di tahap persekolahan rendah, menengah atau pun
pengajian tinggi, di kelas pelbagai budaya atau homogen, boleh memantapkan
serta memperkayakan amalan pengajaran dan pembelajaran dengan
mempelbagaikan cara pengajaran mereka untuk melayan gaya pembelajaran yang
sudah tentu berbeza-beza di kalangan pelajarnya.

Literatur tentang gaya pembelajaran jelas menunjukkan bahawa sememangnya


terdapat pelbagai gaya pembelajaran dan individu-individu mempamerkan gaya
yang unik. Jadi seorang pendidik harus memahami kepelbagaian gaya
pembelajaran pelajar supaya kaedah pengajaran yang sesuai boleh digunakan.
Sedapat-dapatnya, kaedah padanan (matching) gaya pembelajaran dengan gaya
pengajaran harus dilakukan. Ini memandangkan dapatan kajian-kajian yang lepas
(Dunn, Dunn & Price, 1989; Orsak, 1990; Perrin, 1990) yang mendapati
pencapaian yang signifikan dalam pembelajaran apabila padanan dilakukan.
Seandainya keadaan tidak mengizinkan, usaha harus ke arah menggunakan
pelbagai pendekatan (provisioning) dalam pengajaran agar tuntutan gaya
pembelajaran yang berbagai-bagai dalam satu-satu kuliah dapat dipenuhi. Selain
itu, guru harus membantu pelajar-pelajarnya membuat flexing agar guru pelatih
dapat menggunakan kesemua gaya pembelajaran mereka sampai ke tahap
optimum. Pokoknya, pensyarah harus memberi perhatian yang lebih teliti terhadap
gaya pembelajaran pelajar dan menggunakan ketiga-tiga pendekatan, matching,
flexing dan provisioning untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran di
kalangan pelajar.

Dalam konteks negara Malaysia, usaha menunaikan hasrat mengadakan


pendemokrasian pendidikan serta pendidikan cemerlang dengan memastikan
perkembangan optimum dan menyeluruh bagi setiap individu seperti disarankan
oleh Falsafah Pendidikan Negara, tidak lagi tidak dapat mengambl kira dan
melayan perbezaan gaya pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar kita.

Nota:

Penulis ingin merakamkan terima kasih kepada semua ahli pasukan


penyelidikan MPSK (1996 hingga 1998) yang telah menyumbang
dalam usaha mengumpul dan memantapkan tinjauan literatur ini.

49

You might also like